Bercakap dengan jin ~ 76 ~ Uji ilmu pada isteri

image

Matahari pagi memancar indah.
Sinarnya jatuh pada dedaun dan
rerumput di halaman. Sekawan itik air berlari di tanah lapang menuju ke arah danau nan terbentang membiru. Dan kabus kelihatan kian menipis di puncak bukit.

Saya masih lagi berdiri di muka
jendela. Datuk yang sudah selesai mandi embun terus melakukan senaman Harimau Bangun Tidur. Saya terus menggeliat sambil melebarkan kedua belah tangan. Saya tarik nafas panjang. Angin pagi yang menyentuh kulit tubuh, membuat saya terasa seram dan sejuk. Datuk terus bersenam. Dari arah dapur saya terdengar batuk Malik Cina.

Sesekali terdengar suara isterinya merungut sesuatu. Tidak tahu apa yang dirungutkan, kerana suaranya tidak berapa jelas.
Datuk berhenti melakukan senaman. Datuk mengenakan seluar dan baju ke tubuh. Wajahnya nampak kemerah- merahan dan berseri. Seimbas pandang datuk kelihatan lebih muda dari usianya. Dengan tenang datuk turun ke tanah. Datuk berdiri sejenak di kaki tangga.

Macam ada sesuatu yang ganjil saya rasakan pagi itu. Selalunya, datuk mengajak saya turun atau memberitahu sesuatu yang akan dilakukannya. Tetapi, kenapa perkara seperti itu tidak datuk lakukan pagi ini?

Timbul pertanyaan dalam hati saya. Datuk bergerak meninggalkan kaki tangga. Ia menuju ke tengah halaman dan berdiri di situ sebentar. Kemudian datuk membongkokkan badannya lalu mencabut beberapa rumpun rumput hijau. Rumpun rumput itu datuk ramas dan datuk kenakan dengan air embun;yang berada di dedaun mempelam dan bunga di sisinya.

Semua gerak-geri datuk saya
perhatikan dengan penuh teliti. Datuk memasukkan rumpun rumput itu ke dalam sakunya. Ia terus juga mundar- mandir mengelilingi halaman rumah.
Sampai di sudut kanan halaman, datuk berdiri di situ merenung ke arah matahari jatuh. Perlahan-lahan datuk angkat kaki kanannya separas pusat. Badannya dipusingkan lebih dari sepuluh kaki.

Saya kagum, kerana datuk
mengimbangi badannya dengan
sebelah kaki. Saya kira, apa yang datuk lakukan itu satu senaman untuk menegangkan kulit tubuh.
Senaman seperti itu, amat jarang sekali dilakukan oleh datuk. Dalam sebulan, ia cuma melakukan dua atau tiga kali sahaja di tempat yang berlainan.

Kadang-kadang apa yang datuk
lakukan, memang melucukan dan boleh jadi bahan ketawa atau dianggap sebagai kerja orang yang tidak siuman.
Terutama pada orang yang tidak
mengenali diri datuk.
Saya membiarkan wajah disentuh oleh sinar matahari yang ramah. Dalam saat-saat demikian, saya semacam,terlibat satu lintasan bayangan di,halaman. Bentuknya kurang jelas dan sukar untuk digambarkan. Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam perasaan timbul dalam hati. Tiba-tiba lintasan bayangan itu muncul kembali.

Badan saya mula berpeluh dalam hembusan angin pagi yang nyaman. Secara tidak sengaja saya mendongak ke langit. Saya menggigit ibu jari dan terus tersenyum. Saya sudah dapat mengesan dari mana lintasan bayangan itu muncul.

“Ya, dari pelepah kelapa dara yang ditiup angin.”

Bisik batin saya. Sepasang mata saya tertumpu ke pelepah kelapa yang bergoyang. Sinaran matahari yang mula keras tertumpu ke arah pelepah,tersebut dan membentuk bebayang yang panjang di bumi.
Bila angin bertiup agak kencang
pelepah kelapa itu tu bergerak dengan cepat, lantas membentuk lintasan bebayang yang panjang di bumi (untuk beberapa saat). Ternyata saya sudah ditipu oleh perasaan saya sendiri. Perlahan-lahan saya menarik nafas panjang dan senyum pun terukir di bibir. Keraguan dan kebimbangan yang merajai hati, sudah pun berakhir.

“Datuk kamu ke mana Tamar?”

Saya menoleh ke kanan. Malik Cina tersenyum ke arah saya. Ia memakai baju Melayu, berkain pelekat kotak berwama putih dan hijau serta berjalur merah. Songkok putihnya terserkup kemas di kepala. Rambut di bahagi pelipis kanannya, kelihatan memutih.

“Itu dia”

Jari telunjuk saya menuding ke arah datuk.

Malik Cina tersenyum lalu melambaikan tangan ke arah datuk.
Mereka berbalas senyum. Datuk
bergerak menghampiri ke arah anak tangga. Malik Cina menggaru pangkal lehernya dua tiga kali.

“Buat apa di situ?” Tanya Malik Cina, matanya menatap wajah datuk.

Biji mata saya juga tertikam ke muka datuk yang kelihatan kemerah- merahan. Tanda sihat.

“Bersenam,” suara datuk lembut.

“Dah tua-tua mahu jaga badan.”

“Bukan jaga badan, jaga kesihatan, tubuh badan perlu dijaga. Bila sihat mudah kita buat amal ibadah dan menolong orang, bukankah, menjaga kesihatan diri disuruh oleh Islam.”

“Saya setuju dengan awak,” Malik Cina menegakkan ibu jari kanannya.

Mereka ketawa serentak. Datuk terus memijak mata tangga. Sampai di ambang pintu ia berdiri sebentar. Renung kiri, renung kanan. Melangkah kembali menuju ke ruang anjung.

“Macam mana anak kamu Malik?”

“Alhamdulillah, sejak minum air yang awak beri tu, ia terus tidur nyenyak.”

“Aku harap, dia tidak menjerit lagi.”

“Saya juga harap begitu.”

Malik Cina membetulkan songkok putihnya. Ia menggaru pipi kanannya dua kali. Malik Cina terus duduk bersila. Datuk juga berbuat demikian.

“Ke mari kamu,”

Datuk renung ke arah saya.
Tanpa buang masa saya terus duduk di sisinya. Malik Cina dengan tenang membalut rokok daun. Isterinya datang lalu menghidangkan kuih dan satu teko air kopi, berserta beberapa cawan.

“Cuma ini saja yang ada, kuih jemput,” Malik Cina terus menuangkan air kopi ke dalam cawan.

Asap nipis berlegar- legar di permukaan cawan. Isteri Malik Cina meninggalkan kami.

“Ini pun sudah cukup baik,” kata datuk sambil mengenakan telapak tangan kanannya dengan asap nipis yang bermain di permukaan cawan.

Perbuatan itu segera disedari oleh Malik Cina. Air mukanya nampak berubah. Pelik juga, kenapa datuk melakukan perkara sedemikian? Ah, datuk memperlihatkan perkara yang aganjil ketika berada di rumah sahabat lamanya. Timbul pertanyaan dalam diri saya.

“Kau terkejut dengan apa yang aku buat ni?” Datuk ajukan pertanyaan pada Malik Cina.

Dengan sopan sekali Malik Cina anggukkan kepala sambil meletakkan piring kuih jemput di depan datuk. Saya menjeling ke arah datuk.

“Kau tak usah bimbang, apa yang aku buat ni hanyalah petua dan orang tua- tua. Menurut kata mereka, jika nak menguji sesuatu keluarga tu kena sihir, beginilah caranya,” datuk membuka rahsia.

“Tak kan minuman dan makanan yang dibuat sendiri pun disihir?” Malik Cina ragu-ragu.

“Kau sendiri tahu, kerja syaitan ini, selagi ada udara, selagi ada langit dan bumi serta air semuanya dimanfaatkan untuk menjahanam dan membinasakan anak adam,” terang datuk.

Malik Cina terdiam.

Datuk terus menghirup air kopi. Datuk menggerakkan bahu kanannya dua kali sambil mencuit kepala lutut saya dengan ibu jari kelengkengnya.

“Minum, semuanya selamat,” suara datuk tenang.

Tanpa membuang masa saya terus minum kopi dan makan kuih jemput. Terasa cukup enak. Saya tidak pasti berapa banyak kuih jemput sudah masuk ke dalam perut.
Datuk tersenyum melihat kuih jemput yang kian berkurang di piring. Dan datuk pura-pura batuk. Mengingatkan saya supaya jangan lahap sangat makan. Tetapi, Malik Cina terus juga menyuruh saya makan kuih jemput. Katanya, di dapur masih ada kuih jemput yang panas dan baru.

“Ahhhhhhh.”
Mendadak sahaja datuk bersuara demikian.

Tangkai cawan terpisah dari badan. Piring kuih jemput terus jadi retak seribu. Serentak dengan itu juga terdengar suara jeritan anak Malik Cina. Keras dan nyaring sekali.
Datuk terus bangun. Cawan, teko dan piring di depan terus ditendang. Semuanya hancur berkecai. Saya terkejut, bila melihat anak perempuan Malik Cina berdiri depan kami. Matanya kelihatan merah dan rambutnya mengerbang.

Anak perempuan Malik Cina terus menyambar langsir tingkap. Kain langsir itu dikoyaknya hingga hancur.
Ia bersedia untuk mengoyak baju dan kain yang dipakainya. Sebelum perkara itu dilakukan, Malik Cina segera menyerah seberkas akhbar lama padanya.
Akhbar lama itu terus dikoyak. Tidak sampai sepuluh minit, naskhah akhbar lama itu habis dicarik-carik dan bersepah atas lantai. Perlahan-lahan ia membuka sepuluh jarinya dan bersedia untuk mencakar muka datuk. Sebelum bergerak ke arah datuk. Ia membuka silat dan menyembah ke arah matahari.

Melihat keadaan yang agak cemas itu, saya terus melompat ke tanah untuk menyelamatkan diri. Saya mula menggigil ketakutan. Sesungguhnya, saya sendiri tidak sedar bagaimana saya boleh terjun dari rumah yang mempunyai tujuh anak tangga. Air kopi yang saya minum tadi terasa mahu keluar menerusi kemaluan saya.
Anehnya, dalam rasa takut itu timbul pula rasa berani dalam diri saya. Rasa ingin mengetahui apa yang terjadi mendorong saya berlindung di balik pohon bunga raya. Saya mengintai keadaan dalam rumah. Semuanya dapat saya ithat dengan jelas.

Malik Cina cuba memeluk tubuh
anaknya. Tetapi, ia ditolak hingga terlentang. Isterinya cuba memegang tangan anaknya, ia juga ditendang hingga tersandar ke dinding. Anak Malik Cina terus menjerit, rambutnya yang terurai menutup ebahagian dan wajahnya. Ia melangkah ke arah datuk. Datuk masih lagi duduk di tempatnya.

Tiba-tiba datuk menepuk lantai dengan sekuat hati. Anak Malik Cina bagaikan terpaku di lantai. Tidak terdaya melangkah ke mana-mana. Tegak bagaikan patung. Datuk terus bangun melafazkan azan dengan suara yang amat lantang sekali. Seluruh penduduk kampung jadi gempar. Mereka dikejutkan dengan suara azan waktu pagi yang bening.
Selesai datuk melafazkan azan. Datuk membaca ayat Kursi dengan kuat sekali. Belum pernah datuk membaca ayat Kursi selantang itu. Bila pembacaan ayat suci itu berakhir, anak perempuan Malik Cina jatuh berdentum di lantai. Terkapar bagaikan mayat.

“Jangan sentuh tubuhnya.”
Suara datuk meninggi.

Isteri Malik Cina tidak jadi menyentuh tubuh anaknya. Dari kerutan wajahnya, ternyata perempuan yang berusia hampir lima puluh tahun itu, kurang senang dengan perintah datuk.
Perempuan itu terus dipeluk rasa resah dan gelisah. Sesekali, ia meraba kelopak matanya yang terasa berair.
Hatinya terasa amat sayu. Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Lebih lebih lagi melihat keadaan anak yang terlantar dengan keadaan pakaian yang tidak senonoh.

“Boleh saya selimutkan tubuhnya dengan kain, saya malu kalau ada orang yang datang dan nampak anak saya dalam keadaan begini,” rayu Malik Cina.

“Jangan, jangan disentuh dan jangan rapat dengannya.”

“Habis, awak mahu seksa anak saya begini,” jerit isteri Malik Cina.

“Kalau awak mahu saya selesaikan semuanya, ikut sahaja cakap saya, kalau awak tak setuju, saya tak marah,” datuk renung muka Malik Cina.

Suasana dalam rumah menyepi. Deru angin yang melanggar dedaun dan reranting jelas kedengaran. Malik Cina dan isterinya saling berpandangan.
Datuk terus meraba-raba pangkal telinganya macam ada sesuatu yang didengarnya.

“Kami mahu awak meneruskan hingga berjaya,” Malik Cina membuat keputusan.

Isterinya terus membatu. Biji matanya terus menjilat batang tubuh anaknya yang terkapar. Melihat keadaan dalam rumah sudah tenteram. Saya keluar dari tempat persembunyian. Naik ke rumah dan duduk dekat datuk.

“Kamu ke mana tadi Tamar?”

“Saya lari, saya takut.”

“Memanglah kamu ni pengecut,” suara datuk serak.

Ia telan air liur. Saya tersengih, tebal rasa kulit muka, bila disoal begitu didepan Malik Cina dan isterinya. Bagi menutup rasa malu itu, saya cuba tersenyum pada Malik Cina. Malangnya senyuman yang saya berikan tidak dibalas.

“Kali ni, kamu jangan lari ke mana- mana walau apapun yang terjadi kau duduk di situ, hadap semua yang datang,” datuk mengeluarkan perintah.

Wajahnya nampak serius. Sepasang tangannya terus memeluk tubuhnya kejap-kejap. Mata datuk tertumpu ke arah permukaan tikar mengkuang yang terbentang. Kedua belah pipinya kelihatan kembung dan daun telinganya nampak tegak, macam telinga arnab.

Datuk angkat punggungnya perlahan- lahan. Kedua belah tangannya dibuka.
Udara yang ada dalam mulutnya
dihembuskan. Kedua belah pipinya yang kembung terus jadi kempis. Datuk meluruskan tubuhnya macam batang kayu.
Saya perhatikan gerak-geri datuk dengan teliti. Di luar rumah, sinar matahari kian garang. Beberapa orang kampung yang terdengar jeritan anak Malik Cina segera menghampiri rumah.
Kerana tidak ada sesiapa pun yang mempelawa mereka, mereka terus berdiri di hujung halaman rumah sambil memanjangkan leher. Mereka ingin mengetahui apa yang terjadi dalam rumah.
Rupanya, kedatangan orang-orang kampung itu, tidak menyenangkan hati Malik Cina. Ia minta kebenaran pada datuk untuk menutupkan pintu dan tingkap. Permintaannya tidak diperkenankan oleh datuk.

“Jangan pedulikan mereka, kau pergi carikan mayang pinang dan cendawan batang,” kata datuk pada Malik Cina.

“Kamu pula carikan aku kain putih dan bunga cengkih,” datuk renung muka isteri Malik Cina. Tanpa bersuara sepatah apa pun, pasangan suami isteri itu turun dan rumah.

Datuk meraba pangkal telinga kiri dengan tangan kanannya. Ia
melangkah dua tapak ke depan. Urat- urat di batang lehernya nampak menonjol. Datuk memusingkan badannya ke kanan dengan kaki kanannya terangkat dan badannya dibengkokkan sedikit. Kedua belah tangannya kelihatan bergerak lembut, macam mengikut irama muzik.
Sekali pandang, gerakan yang datuk lakukan itu macam orang mahu memulakan Tarian Inang Pulau Kampai. Saya terasa geli hati.

“Kamu tunggu budak perempuan ni,” suara datuk keras serentak dengan itu ia menghentakkan kakinya ke lantai rumah.

Saya terpinga-pinga. Amat berat
rasanya untuk memenuhi
permintaannya.
Belum pun sempat saya menyampaikan bantahan pada nya. Datuk sudah meninggalkan saya sendirian. Ia melangkah tenang menuju ke halaman rumah dalam sinar matahari yan keras.
Bayang tubuh datuk nampak
memanjang di tanah.
Bila datuk hampir ke hujung halaman tempat orang-orang kampung berdiri, datuk pusingkan lehernya ke kanan.
Tiba-tiba, orang-orang yang berdiri di situ lari lintang-pukang tidak tentu arah, macam terpandangkan sesuatu yang amat menakutkan.

“Datuk.”

Pekik saya sekuat hati. Datuk segera melihat ke arah saya. Ya Allah, wajah datuk berubah, jadi macam muka harimau yang amat menakutkan.
Badan saya menggeletar dan kepala lutut saya terasa amat lemah sekali. Saya berdoa dalam saat saat demikian, supaya datuk jangan datang ke rumah.

Doa saya diperkenankan oleh Allah, datuk tidak memandang ke arah saya. Ia meneruskan perjalanannya dalam panas terik membelah hutan kecil di hujung halaman. Orang-orang yang lari tadi menyampaikan berita pada kawan- kawan tentang keanehan yang terjadi pada datuk. Seluruh kampung jadi gempar.

Tidak sampai satu jam, cerita manusia berkepala harimau hauskan darah merebak ke seluruh kampung. Halaman rumah dan kaki tangga rumah Malik Cina mula dikerumuni oleh orang- orang kampung, mereka membawa parang, lembing serta senapang kampung berlaras satu. Mereka mahu menangkap manusia berkepala harimau.

“Eh, budak! Mana dia Malik Cina?”

Salah seorang dari orang yang berada di kaki tangga mengajukan pertanyaan pada saya.

“Dia keluar cari ubat anaknya,” jawab saya.

“Bininya ke mana?”

“Cari ubat juga.”

“Orang tua yang baru datang tu ke mana perginya?”

“Keluar.”

“Sudah sahlah, rumah ni jadi punca manusia kepala harimau,” suara orang di kaki tangga kian meninggi.

Saya jadi tidak tentu arah. Macam- macam yang saya fikirkan. Saya renung anak Malik Cina yang terbujur. Saya renung muka orang-orang kampung di halaman. Semuanya masam, tidak memperlihatkan rasa persahabatan.

Saya yakin, kalau orang-orang naik ke rumah dan menjentik hidung saya.
Tentu saya mati kelemasan, jumlah,mereka bukan sedikit. Inilah, saat yang paling genting dalam hidup saya. Pada siapa mahu saya sampaikan rasa cemas dan takut ini?
Rasa cemas dan takut yang menguasai diri saya terus berakhir. Malik Cina dan isterinya muncul di depan saya.
Mereka masuk ke rumah menerusi pintu dapur. Semua barang-barang yang diingini oleh datuk mereka adakan. Mereka juga terkejut melihat orang berkumpul di kaki tangga dan di halaman rumah.

“Eh Malik ke mana orang tua itu kamu sembunyikan, dia bawa bencana,” tanya seorang penduduk pada Malik Cina.

“Aku tak sembunyikan dia, masa aku keluar rumah tadi, dia ada di sini?” tingkah Malik Cina.

“Kau tahu tak apa yang sudah terjadi?”

“Aku tak tahu.”

“Kami mahu tangkap dia, kalau
dibiarkan seluruh kampung jadi huru- bara, dia tu bukan manusia, aku tengok badannya sahaja serupa kita tetapi, kepalanya tak serupa kita, dia berkepalakan harimau,” sambung orang itu bersungguh-sungguh.

Air liurnya bersembur.
Malik Cina dan isterinya berpandangan sama sendiri, Orang yang berkumpul terus membisu. Seluruh wajah mereka kelihatan cemas. Tetapi, biji mata mereka tertumpu ke arah saya. Mereka bagaikan mahu mematahkan seluruh tulang temulang di anggota tubuh saya.

“Kamu cari aku, aku datang,” saya terdengar suara datuk dari arah belakang kumpulan orang kampung.

Semua orang yang berkumpul kelihatan terkejut. Beberapa orang dari mereka terus merendahkan badan dan menyusup di bawah rumah, kemudian terus menghilangkan diri. Saya kembali bersemangat. Muka orang yang berdiri di halaman, saya renung satu- persatu.
Saya lihat datuk melangkah dengan gagahnya sambil membibit baldi yang berisi air. Dua orang cuba menghalang perjalanan datuk. Tetapi, usaha mereka gagal. Bila datuk berdehem, kedua-dua orang yang menahan datuk itu terus terjatuh, seolah-olah tulang kaki mereka tidak berguna sama sekali.

Anehnya, bila datuk meninggalkan mereka dalam jarak sepuluh langkah, mereka dapat bangun kembali, Tetapi, mereka terlupa dengan apa yang mereka alami. Datuk terus merempuh barisan orang ramai itu. Bila sampai di kaki tangga, datuk terus berdiri di situ.
Baldi yang berisi air diletakkan di sebelah kanannya.
Saya berharap datuk tidak akan
bertindak yang boleh menimbulkan seribu ketegangan dan haru-biru. Isteri Malik Cina terus menangis tersedu- sedu.

“Apa yang kamu mahu?” tanya datuk pada orang ramai.

“Kamu tukang sihir dan kami mahu menghukum kamu,” jawab seorang lelaki.

Badannya cukup tegak. Besar dan nampak gagah.

“Kenapa kamu cakap macam tu?” Soal datuk lagi.

“Tadi, kami nampak kepala kamu bertukar jadi kepala harimau.”

“Itu tandanya kamu tidak ikhlas, kamu mahu menganiayakan aku, kalau kamu jujur, kamu tak nampak semuanya itu.”

“Kamu berdalih.”

“Siapa yang berdalih, kamu atau aku cakap dengan jujur?” pekik datuk lalu menghentakkan kakinya ke mata anak tangga.

Orang itu terdiam. Mulutnya bagaikan terkunci. Datuk membaca sesuatu sambil melipatkan ibu jari kanannya dan jari kelengkengnya menekan ibu jari tersebut. Saya tahu, selagi datuk tidak menegakkan ibu jarinya, orang itu tidak kan boleh berkata-kata walau sepatah pun.

“Cakap dengan jujur,” ujar datuk.
Ibu jari dan jari kelengkengnya
ditegakkan.

Muka orang itu berpeluh.
Nafasnya jadi sesak. Tempurung lututnya menggeletar.

“Ya, saya mengaku, saya mahu
menggunakan ilmu sihir saya yang boleh melumpuhkan seluruh badan awak,” orang itu memberikan pengakuan.

Datuk tersenyum.

“Sekarang kamu dah mengaku, apa yang kamu mahu dari aku, kamu mahu bersahabat atau untuk menjadi lawan,” datuk renung muka orang itu.

“Aku mahu bersahabat.”

“Kalau mahu bersahabat, pulanglah ke rumah. Aku tahu, kamu tak suka orang mengubat anak Malik Cina, kau suka perempuan itu menjerit dan koyak kain, kemudian kau tumpangkan ilmu salah kamu. Aku tahu, kamu yang suruh orang-orang mengerumuni anak Malik Cina. Betul atau tidak?”

“Betul.”

“Kenapa kamu buat macam tu.”

“Saya sebenarnya sedang menuntut ilmu terlentang ke langit, anak Malik Cina yang sakit ini mahu saya jadikan ujian.”

“Sudahlah, berhentikan perbuatan itu. Pulanglah ke rumah dan bertaubat, biar aku uruskan anak Malik Cina,” suara datuk keras.

Orang itu tundukkan kepalanya. Tanpa mengucapkan sesuatu ia meninggalkan rumah Malik Cina. Kawan kawannya yang lain menurut jejak langkahnya.
Datuk menyorot langkah mereka hingga keluar dari kawasan halaman rumah Malik Cina.
Datuk terus duduk dekat anak Malik Cina. Ia minta barang barang yang dipesan dari Malik Cina isterinya. Semua barang-barang itu dimasukkan ke dalam baldi yang berisi air kecuali kain putih.

“Ikatkan kain putih itu pada buku lali anak kamu,” kata datuk pada isteri Malik Cina.

Perintah itu segera dipatuhi.

“Ini usaha terakhir, aku hanya
menjalankan ikhtiar. Allah yang akan menentukan untuk menyembuhkan penyakit atau sebaliknya. Cara ini tidak sesuai dengan perubatan moden tetapi inilah ikhtiar yang terdaya aku lakukan,” sambung datuk lagi dengan tenang.

Datuk tarik baldi ke depannya. Ia memperkemaskan silanya. Kedua belah lengan bajunya dilipat separas siku. Datuk terus membaca Al-Fatihah seribu kali. Bila sudah selesai, datuk berdiri di muka pintu. Datuk melihat matahari yang memancar garang dengan wajah yang tenang dan penuh keyakinan. Mulutnya telap bergerak. Entah apa yang dibacanya, saya sendiri pun tidak tahu.

“Sekarang usung anak kamu ke tengah laman rumah, biarkan ia di situ,” beritahu datuk pada Malik Cina.

Anak perempuan Malik Cina segera diusung. Saya hanya memegang bahagian buah betis dengan perasaan bimbang. Saya takut, ketika diusung nanti, anak perempuan Malik Cina tersedar dari pengsan dan terus menendang saya.
Syukur, apa yang saya bimbangkan tidak berlaku. Anak Malik Cina diletakkan di tengah halaman dalam sinaran matahari yang amat garang.
Datuk terus membimbit baldi ke
halaman rumah. Tanpa menegur Malik Cina dan saya, datuk terus menjiruskan air dalam baldi ke tubuh anak Malik Cina. Anak Malik Cina tersedar dari pengsan. Saya merasa terkejut air yang membasahi tubuhnya kering dengan serta-merta. Kain dan baju terus kering.

“Pergi ambil kain, balutkan tubuhnya, ia sejuk tu,” datuk menujukan kata- kata itu untuk isteri Malik Cina.

Isteri Malik Cina masuk ke rumah dan keluar dengan sehelai batik jawa. Tubuh anaknya segera dibalutkan dengan kain tersebut.

“Bangun nak,” kata datuk.

Anak Malik Cina terus bangun. Ia duduk mencangkung. Matanya merenung ke arah datuk. Cahaya matanya cukup lembut.

“Kenapa saya ni,” tanyanya tersipu- sipu.

“Kau tak ada apa-apa, baliklah ke rumah.”

“Ya saya nak balik.” Anak Malik Cina terus menuju ke rumah.

Kami mengekorinya dengan
hati-hati. Sampai di rumah, anak Malik Cina terus mandi, kerana keadaannya agak lemah. Datuk menyuruh isteri Malik Cina mendampinginya. Anak Malik Cina terus menghias diri. Sikat rambut dengan rapi serta menaruh bedak ke pipi. Ia mula menyebut nama suaminya berkali.

“Kamu layan karenahnya, jangan dimarah, sebaiknya kau beri hatinya gembira hingga ia percaya pada diri sendiri.
Dalam tempoh dua tiga hari ni, ia akan menghadapi tekanan perasaan yang hebat, susah untuknya membuang kebiasaan yang dialami masa ia sakit dulu,” datuk mengingatkan Malik Cina.

Malik Cina anggukkan kepala.

“Aku terpaksa duduk di rumah kamu dua hari lagi, bila anak kamu sudah sihat dan pulih, aku pergi,” datuk renung muka Malik Cina.

“Itulah yang aku harapkan,” Malik Cina keriangan.

Tetapi saya kurang senang mendengar kata-kata itu. Duduk di rumah memang membosankan. Apakan daya, kata-kata datuk tidak boleh dibantah.

Selama tiga hari berikutnya, datuk terus berikhtiar memulihkan sisa sakit yang dideritai oleh anak Malik Cina.
Setiap pagi dan petang anak Malik Cina disuruh minum segelas air sejuk yang sudah dibacakan dengan Bismilah seratus kali.

Leave a comment

Filed under Renungan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s