6) Mayat Hidup Kuat Makan

Sudah lama saya bercadang mahu berpindah saja dari tempat tinggal Aki Sahak. Ini bukanlah disebabkan saya tidak mahu menanggung beban yang sering diletakkan oleh Aki Sahak ke bahu saya. Sebenarnya saya merasa penduduk-penduduk di situ sudah
menganggap saya berlebihan, malah lebih penting lagi dari Aki Sahak.
Apa lagi Aki Sahak sendiri yang
menceritakan tentang hubungan saya dengan Pak Tua Mahat di sebelah emak, dan Tok Aji di sebelah ayah.

Memanglah benar Pak Tua Mahat itu abang emak saya yang tua, manakala Tok Aji itu ialah tok aki saya iaitu ayah kepada ayah saya.

Perkara keturunan bukanlah perkara yang hendak disebut-sebut selalu, tetapi entah mengapa Aki Sahak selalu saja mengaitkan saya dengan Pak Tua Mahat sedangkan dia juga pernah berguru dengan Pak Tua Mahat saya itu. Sekarang mereka berdua sudah lama meninggal dunia.

Sebab itulah saya mengambi keputusan untuk berpindah saja dari situ, sama ada balik ke kampung atau pun bertukar ke kampung isteri saya. Tetapi permohonan saya mahu bertukar itu masih belum diputuskan oleh pihak atasan.
Apabila saya beritahu kepada AkibSahak mengenai cadangan saya mahu berpindah itu, dia seolah-olah berat mahu melepaskan, tetapi dia tidaklah menghalang keputusan tersebut.

Berkali-kali dia mengingatkan saya bahawa setiap usaha menolong orang yang dilakukannya itu bukanlah untuk membebankan saya, sebaliknya dia tahu kebolehan saya melebihi dirinya.
Sedangkan saya sendiri tidak tahu apakah ukuran yang dibuatnya.

Setahu saya Aki Sahak sudah lama berguru dengan Pak Tua Mahat. Dia berkawan rapat dengan Pak Tua Mahat kerana umur mereka lebih kurang sebaya. Sebelum berkahwin dengan Makda Saodah, dia menetap di kampung saya. Tetapi setelah berpindah ke kampung isterinya hampir 20 tahun jarang pula dia balik ke kampung.

Sebab itulah hubungan saya hampir terputus dengannya. Abang pada Aki Sahak ini pun bukanlah calang-calang orang. Saya percaya tentulah Aki Sahak ada juga menuntut dari abangnya.

Bagaimanapun semasa abang Aki Sahak itu meninggal dunia dulu, saya masih kecil lagi kira-kira berumur 10 tahun. Tetapi saya masih ingat akan kejadian yang menimpa arwah Aki Mat Tera.

Lama Aki Mat Tera jatuh sakit
menyebabkan badannya menjadi kurus kering. Walaupun sakit terlantar namun Aki Mat Tera berselera bila makan. Dia makan bertambah-tambah. Malah kalah pula orang yang sihat kalau melawan makan dengannya.
Isterinya bercadang mahu memanggil Pak Tua Mahat atau Aki Sahak sendiri datang mengubatnya. Tetapi Aki Mat Tera enggan diubat oleh Pak Tua Mahat atau Aki Sahak.

“Aku pawang besar…” jelasnya
membantah bila isterinya Simit mahu memanggil Pak Tua Mahat.

“Takkan orang baru nak belajar
berpawang nak mengubat aku” katanya angkuh.

“Jangan begitu” pujuk Simit masih mengharapkan suaminya mahu berubat.

“Pawang ni bukan kira besar kecilnya, berubat ikut rasi..kalau rasi dengan penyakit, pawang kecil mengubat boleh sembuh” tegasnya mencemik.

Meluat juga dia dengan perangai
sombong suaminya yang tidak mahu berubat dengan Pak Tua Mahat.

“Aku tak mahu berubat dengan Mahat” dia tetap berkeras tidak mahu Simit menjemput Pak Tua Mahat.

“Aku tahu siapa Mahat, dulu aku
makam garam dari dia. Takkan dia ada rupa nak mengubat aku” dia terus mengejek-ngejek kebolehan Pak Tua Mahat.

“Kalau tak mahu dengan Mahat, cuba- cubalah dengan Sahak” Simit tetap mendesak.

“Sahak nak mengubat aku…” Aki Mat Tera tersengih mengejek.

“Budak hingus meleleh nak ubat aku. Kau tau, dia tu belajar dengan aku!” katanya masih berkeras tidak mahu berubat pada Pak Tua Mahat dan Aki Sahak.

Simit tidak tertahan dengan sikap Aki Mat Tera kerana sudah terlalu lama terlantar. Tubuhnya semakin kurus hanya tinggal rangka saja. Bolehlah diibaratkan sebagai kata orang kalau tak ada kulit, tulang pun habis berkecai. Begitulah kurusnya tubuh Aki Mat Tera.

            ( gambar hiasan )
Malah sepanjang dia sakit itu Aki Mat Tera tidak membenarkan Aki Sahak menjejakkan kaki ke rumahnya. Dia menuduh Aki Sahak cuba memikat Simit. Inilah yang menyinggung perasaan Aki Sahak.

Sejak itu Aki Sahak juga tidak mahu menjengah abangnya yang sakit tenat itu.
Hinggalah Aki Mat Tera tidak boleh bergerak lagi dia tetap tidak mahu diubat oleh Pak Tua Mahat.

Bagaimanapun selera makannya tetap terbuka.
Dengan tidak setahu Aki Mat Tera, Simit terus memberitahu Pak Tua Mahat supaya datang mengubat Aki Mat Tera. Setelah merasakan sesuatu yang tidak kena pada Aki Mat Tera, lantas Pak Tua Mahat menyuruh Simit memanggil Aki Sahak datang ke rumahnya.

Setelah Aki Sahak datang dia pun mengajak Aki Sahak sama-sama mengubati Aki Mat Tera. Pada mulanya Aki Sahak memang enggan juga pergi ke rumah Aki Mat Tera, tetapi setelah didesak oleh Pak Tua Mahat barulah dia mengalah.

“Ini bukan perkara Abang Mat Tera yang kita hadapi” jelas Pak Tua Mahat menasihati Aki Sahak.

“Perkara lain yang kita sama-sama tak tau…” suaranya keras apabila Aki Sahak enggan menemui Aki Mat Tera.

“Kecil hati aku Abang Mahat” Aki Sahak terharu bila mengenangkan tuduhan abangnya.

“Kecil hati aku fasal dia tuduh aku ke rumahnya kerana nak mengulang Kak Simit. Adakah patut dia tuduh aku macam tu!” ujarnya menahan perasaan kesal.

“Ah, cakap setan kau nak ikut” Pak Tua Mahat mendengus.

“Bukan Abang Mat Tera yang cakap macam tu, setan yang cakap! Setan yang cakap!” dia menambah macam memarahi sikap Aki Sahak kerana enggan menziarahi abang sendiri yang sedang terlantar sakit.

“Iyalah dia yang ikut cakap setan…” balas Aki Sahak.

“Fasal itu kita jangan peduli”.

“Sakit hati aku dibuatnya!”.

“Kau nak jadi setan juga?”.

“Dia cakap tak fikir dulu…”.

“Kau nak jadi setan?”.

“Tak patut dia tuduh aku macam tu…”.

“Kau nak jadi setan?”.

“Siapa nak sabar Abang Mahat !”

“Kau nak jadi setan?” suara Pak Tua Mahat semakin keras menyebabkan Aki Sahak serba salah.

Dia terdiam bila ditanya bertalu-talu oleh Pak Tua Mahat.

“Kau nak jadi setan?” ulangi Pak Tua Mahat merenung tepat-tepat.

Dia merasa tidak patut Aki Sahak langsung tidak mahu menziarahi abangnya kalau sekadar dituduh mahukan kakak ipar sendiri. Orang sakit selalunya mempunyai fikiran yang tidak tenteram. Sebablah
cakapnya merepek sampai melalut tidak ketahuan.
Sepatutnya Aki Sahak tidak boleh ambil hati dengan tuduhan orang yang terlantar sakit seperti Aki Mat Tera itu.
Lagi pun kalau dibandingkan isteri Aki Sahak dengan Simit pun, jauh lebih muda dan menariknya isteri Aki Sahak. Masakan dia boleh terpengaruh dengan tuduhan orang yang sedang terlantar sakit kerana orang seperti ini fikirannya sudah nyanyuk.

Mahu tidak mahu Aki Sahak terpaksa mengalah juga. Dia mengikut Pak Tua Mahat ke rumah Aki Mat Tera. Jiran- jiran juga berkumpul di rumah Aki Mat Tera apabila mendengar Pak Tua Mahat sanggup mengubatinya.
Sebaik saja Pak Tua Mahat dan Aki Sahak naik ke rumah terus dimaki hamun oleh Aki Mat Tera. Terkial-kial dia mahu bangun tetapi tenaganya ternyata lemah. Saya sendiri duduk tidak jauh dari hujung kaki Aki Mat Tera bersama emak saya..

“Aku tau kau berdua nak berbini
dengan Simit…” gerutu Aki Mat Tera terkial-kial mahu bangun.

“Sabarlah Abang Mat Tera” emak saya memujuk supaya Aki Mat Tera tidak berkuat mahu bangun.

“Abang Mat Tera sakit, biarlah Abang Mahat cuba-cuba tengok…” ujar emak saya lembut.

“Mahat nak ubat aku…” dia tertawa mengejek sambil mengerling emak saya.

“Dia bukan nak ubat aku, dia nak
jumpa Simit. Aku tahu dia selalu berzina dengan Simit” katanya lagi menggertap bibir.

Saya lihat Simit menangis teresak-esak mendengar tuduhan Aki Mat Tera itu.

“Astaghfarullah al-azzim” keluhnya menahan perasaan sebak yang menusuk-nusuk di jiwa.

“Jangan ambil hati Kak Simit” emak saya memegang bahu Kak Simit.

“Orang sakit tenat memang macam tu. Cakapnya merepek” ujarnya memujuk.

Simit tidak menyahut. Dia
mengangguk-angguk kepala saja menyetujui kata-kata emak saya tadi.

“Aku tau Simit, aku tau…” Aki Mat Tera terus mengejek.

“Kau berzina dengan Mahat, kau
berzina dengan Sahak” katanya tertawa menyakiti hati mereka yang dituduhnya.

“Tutup mulut kau Abang Mat Tera!” jerkah Aki Sahak tidak sabar dengan tuduhan Aki Mat Tera.

Kalaulah tidak mengenangkan jiran- jiran ramai berkumpul di ditu, memang sanggup dia menerkam abangnya. Dia tidak peduli lagi fasal abangnya sakit terlantar berbulan-bulan di tempat tidur.

“Sahak…” Pak Tua Mahat memarahi Aki sahak.

“Ingat! Kau bukan bercakap dengan Abang Mat Tera, kau bercakap dengan setan. Ingat tu…!” katanya mengerling Aki Sahak yang masih kelihatan marah.

Aki Sahak tertunduk. Dia sedar tidak dapat mengawal dirinya apabila mendengar tuduhan yang dilemparkan.
Perkara menuduh dirinya berzina dengan kakak ipar sendiri, tentulah macam mencontengkan arang ke mukanya. Manakala tuduhan itu dibuat oleh abang kandungnya sendiri.

Walaupun abangnya dalam keadaan sakit tenat, namun dia percaya fikirannya masih baik. Aki Mat Tera masih dapat mengingat semua kejadian yang pernah dilalui. Sebab itulah Aki Sahak percaya abangnya itu tidak nyanyuk. Tuduhan yang dilemparkan oleh abangnya memang terbit dari hatinya sendiri yang mulai cemburu terhadap isterinya.

Sudah berbulan-bulan dia terlantar sakit. Tentulah timbul rasa cemburu, apabila melihat Simit sering menemui Aki Sahak dan Pak Tua Mahat meminta tolong, sedangkan dia sudah melarang supaya jangan meminta tolong dari dua orang lelaki berkenaan.

“Kau mesti banyak bersabar” ujar Pak Tua Mahat masih memandang ke arah Aki Sahak.

“Usah nak berpura-pura Mahat, aku tau kau dah berzina dengan Simit. Bukan sekali dua, sudah berkali-kali. Simit akan buntingkan anak kau, tau…” Aki Mat Tera mengejek.

Simit menangis tersedu-sedu
mendengar tuduhan suaminya itu. Tetapi dia tidak menyahut. Dia tahu Aki Mat Tera sedang sakit tenat.
Mungkin juga boleh dianggap
membuang tebiat, kerana masanya sudah semakin hampir. Sebab itu Simit tidak menghiraukan sangat.

“Kau pandai berpura-pura! Kau berzina dengan bini orang! Dengan Simit!” pekik Aki Mat Tera terketar-ketar.

Pak Tua Mahat tidak menyahut. Dia membacakan sesuatu sambil menghembuskan kepada Aki Mat Tera. Biarlah Aki Mat Tera memaki hamunnya tidak berhenti-henti, namun Pak Tua Mahat tetap tidak berundur.
Dia terus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran yang tertentu.
Setelah lama Pak Tua Mahat
membacakannya, tiba-tiba Aki Mat Tera terus memekik. Dia meronta-ronta bagaikan mahu bangun melawan, tetapi tubuhnya ternyata lemah.

“Bangsat kau Simit…” gerutu Aki Mat Tera.

“Dah aku cakap Mahat dengan Sahak jangan jangan diberi naik ke rumah ni, seksa aku!” dia merintih-rintih kesakitan.

“Kau tak beri aku dengan Sahak
datang, fasal takut rahsia kau terbuka!” tiba-tiba Pak Tua Mahat membentak.

“Rahsia apa?” Aki Mat Tera tersengih- sengih bagaikan orang yang tersipu malu.

“Sekarang pergi dari sini!” jerkah Pak Tua Mahat merenung Aki Mat Tera tidak berkelip matanya.

“Tinggalkan Mat Tera biar diuruskan oleh keluarganya. Kau tidak ada hak nak menguruskan Mat Tera!” suaranya keras macam memberi amaran yang mengancam.

“Pergi nak ke mana?” tanya Aki Mat Tera seperti tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Pak Tua Mahat.

Ketika ini semua jiran-jiran yang berkumpul di situ melihat Aki Mat Tera berbantah-bantah dengan Pak Tua Mahat. Tetapi seperti yang diceritakan oleh Aki Sahak kemudiannya kepada saya, masa itu dia sendiri sudah
nampak keadaan sebenarnya. Barulah dia menyesal kerana memarahi abangnya apabila dituduh berzina dengan kakak ipar sendiri.

Aki Sahak ikut sama menyertai Pak Tua Mahat. Dia melihat satu lembaga besar sedang memangku Aki Mat Tera seolah-olah seorang ayah sedang meriba anak kecil saja lakunya. Muka lembaga itu tidaklah jelas sangat hanya seperti bayang-bayang hitam yang terlindung. Lembaga besar itu pun seakan-akan asap pekat saja.

“Tinggalkan Mat Tera…!” perintah Pak Tua Mahat.

“Nak tinggalkan Mat Tera atau kami serang kamu dengan petir” Aki Sahak pula mencelah.

Lembaga itu memerhatikan Pak Tua Mahat bersama Aki Sahak sudah bersedia untuk menyerangnya.
Dia masih juga meriba Aki Mat Tera seperti ayah yang meriba bayi. Sementara Aki Mat Tera pula dilihatnya seperti bayi tidur tidak bergerak langsung.

“Kau berdua…” sahut lembaga besar seperti asap tebal itu.

“Jangan ganggu aku. Ini anak aku yang mesti aku jaga. Mengapa kau bersusah payah mahu mengambilnya dari aku”

Dia ketawa mengejek lalu melemparkan besi serampang ke dada Pak Tua Mahat.
Dengan pantas Pak Tua Mahat
menangkap besi serampang itu.
Kemudian diramas-ramasnya hingga menjadi cair.

“Mat Tera tu abang aku, bukan anak kau” kata Aki Sahak sambil membacakan beberapa ayat dihembuskan kepada lembaga berkenaan.

Ketika ini petir memancar memukul kepala lembaga besar tersebut hingga berkecai. Tidak lama kemudian dia bertaup semula lantas meriba Aki Mat Tera yang tidur seperti bayi.

“Sia-sia aje kerja kau Sahak”

Lembaga itu mengejek-ngejek kerana dia terlepas dari ancaman petir tadi.
Belum sempat dia duduk tetap, Pak Tua Mahat menghembuskan ayat-ayat Quran yang datang seperti gunung menimpa kepala lembaga berkenaan.
Dia terhimpit di bawahnya meronta- ronta mahu melepaskan diri. Puas dia terkial-kial akhirnya dapat juga dia keluar dari bawah gunung yang menimpa dirinya.

“Nampaknya kau nak bunuh aku, Mahat” pekik lembaga itu meradang.

“Memang aku nak bunuh kau” sahut Pak Tua Mahat pula mengejek.

“Sekarang, tinggalkan Mat Tera!”
ujarnya mencabar lembaga tersebut terus bertarung.

Lembaga itu tertawa menyakitkan hati Pak Tua Mahat. Tiba-tiba saja dia melontarkan beratus-ratus tombak menuju ke dada Pak Tua Mahat.
Dengan pantas pula Pak Tua Mahat menghembuskan api membakar semua tombak-tombak yang berterbangan itu.
Dia masih juga tertawa mengejek Pak Tua Mahat.

Tetapi Pak Tua Mahat tahu lembaga besar yang meriba Aki Mat Tera itu sudah menderita kesakitan.
Bagaimanapun dia tetap berpura-pura menunjukkan serangan yang dibuat ke atasnya tidak memberi bekas. Inilah yang dipermainkan oleh syaitan bagi menguji kekuatan iman insan.
Sekiranya insan cepat putus asa, maka sudah tentu syaitan akan beroleh kemenangan.

“Kita serang serentak Sahak…” Pak Tua Mahat memberi arahan kepada Aki Sahak.

Aki Sahak membacakan sesuatu lalu berterbangan panah dari api menerkam ke arah lembaga besar itu. Serentak dengan itu Pak Tua Mahat pula menghembuskan ke arah lembaga tersebut hingga terlempar rantai besi melilit seluruh tubuhnya. Pak Tua Mahat dan Aki Sahak terus menyerang dari berbagai sudut.
Bukan saja rantai besi melilit tubuh lembaga besar itu, di samping panah api datang dari segenap penjuru, petir juga berdentum membakarnya. Batu sebesar gunung menimpa kepalanya.

“Kau tipu aku Mahat. Kau berdua dengan Sahak, aku berseorangan. Mana boleh aci macam ni…” dia menggeliat- geliat menahan serangan bertubi-tubi.

“Aku suruh kau tinggalkan Mat Tera!” suara Pak Tua Mahat semakin keras.

Dia tidak berhenti dari terus
menyerang. Habis satu ayat, dibacanya ayat yang lain. Berhenti batu sebesar gunung menimpa kepalanya, datang pula panah api meradak. Lembaga besar itu terjerit-jerit menahan kesakitan.
Jeritan itu dapat didengar oleh jiran- jiran yang menyaksikan melalui suara Aki Mat Tera yang menggeliat-geliat di tempat tidur.

Serangan Pak Tua Mahat ditambah lagi oleh serangan Aki Sahak yang tak putus-putus membaca Ayatul Kursi.
Sehingga sampai 333 kali  Aki Sahak membacakan Ayatul Kursi terdengarlah rintihan dari lembaga itu meminta diberhentikan.

“Cukuplah, terseksa aku!” rintih
lembaga itu merayu.

“Kalau takut terseksa, pergi sekarang” perintah Pak Tua Mahat.

“Aku tak boleh tinggalkan anak aku” jelas lembaga itu mempertahankan diri.

“Boleh atau tak boleh kau mesti
tinggalkan Mat Tera!” tegas Pak Tua Mahat tidak mahu bertolak ansur pun.

“Ini anak aku” sahut lembaga itu
berkeras.

“Sahak, teruskan…” Pak Tua Mahat menyuruh Aki Sahak terus membacakan Ayatul Kursi.

“Jangan, jangan…” lembaga itu
menangis teresak-esak melalui Aki Mat Tera yang terbaring lemah.

“Tak tahan aku bahang api, panas…” ujarnya merayu-rayu.

“Aku beri tempoh lima minit” Pak Tua Mahat memberi amaran.

“Kalau kau tak pergi juga, aku akan hancur musnahkan macam debu” katanya menggertap bibir.

Kelihatan Aki Mat Tera tidur nyenyak. Dia tidak bergerak lagi seperti mula- mula kedatangan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak datang. Saya yang duduk di lunjur kakinya bersama emak saya, dapat melihat ombak dadanya turun naik dengan kencang. Matanya lelap.

Sekali-sekala saya lihat mukanya memang menggerunkan. Pipinya sudah cengkung, sementara matanya jauh ke dalam. Tulang pipinya menungkal ke atas. Mukanya juga sudah menjadi kecil dan dagunya kelihatan terlalu panjang. Tetapi dia masih juga terlantar di tempat tidur.
Setelah lima minit, Pak Tua Mahat melihat ke dalam makrifat, dia dapati lembaga itu masih meriba Aki Mat Tera. Tetapi seluruh badannya sudah bertukar menjadi hitam akibat serangan bertalu-talu tadi.

Bila menyedari Pak Tua Mahat kembali datang untuk menyerang bersama Aki Sahak, lembaga besar itu melepaskan Aki Mat Tera dari ribaannya. Melihat keadaan ini Pak Tua Mahat tahu lembaga itu sudah mengalah. Dia tidak sanggup lagi melawan.

“Ilmu kau berdua, bukan ilmu pawang. Aku tak tau apa ilmu yang kamu pakai” lembaga itu bersuara terketar-ketar.

“Jangan tanya tentang ilmu, sekarang tinggalkan Mat Tera!” jerkah Pak Tua Mahat.

“Kau mahu kami serang lagi…?” tanya Aki Sahak mengeraskan suara.

“Jangan, ampun…ampun” rintihnya menangis teresak-esak.

“Aku tak tau jalan balik” katanya berpusing-pusing di sekeliling Aki Mat Tera.

“Datang tau, balik tak tau ye…” Aki Sahak tidak mempercayai dalih lembaga tersebut.

“Tolonglah lepaskan aku. Bukakan ikatan aku…” lembaga itu merayu bersungguh-sungguh.

Pak Tua Mahat mengangguk.
Dia bersetuju dengan permintaan lembaga itu mahu pergi dengan tidak diganggu.
Ikatan yang dimaksudkan oleh lembaga itu ialah terletak pada Aki Mat Teransendiri. Memang Pak Tua Mahat tahu mengenai ikatan lembaga tersebut dengan Aki Mat Tera.

“Kak Simit jangan terkejut…” bisik Pak Tua Mahat pada isteri Aki Mat Tera.

“Selama ini Abang Mat Tera pakai ilmu salah, inilah yang menyeksa dia sekarang” beritahu Pak Tua Mahat.

“Habis, apa kakak nak buat?”
Simit serba salah bila mendengar keterangan Pak Tua Mahat itu.

“Suruh orang bukakan lantai rumah sekeping, atap sekeping dan anak tangga bawah sekali” jelas Pak Tua Mahat.

Apa yang dikatakan oleh Pak Tua Mahat itu dilakukan oleh orang. Papan lantai sekeping dikopakkan, atap juga dibuang sekeping, manakala anak tangga rumah juga ditetas pengikatnya.Setelah semuanya dilakukan, Aki MatnTera pun meninggal dunia.

Apabila Aki Mat Tera meninggal dunia, mayatnya pun diselubungkan dengan kain. Mereka pun bersiap-siaplah untuk menguruskan pengebumiannya pada esok harinya. Ketika mahu
memandikan mayat alangkah
terperanjatnya apabila melihat mayat Aki Mat Tera sudah reput. Hanya tulang-tulangnya saja yang tinggal seolah-olah dia sudah lama meninggal dunia.

Memang benar Aki Mat Tera sudah lama meninggal dunia. Yang dilihat sedang sakit itu hanyalah lembaga yang memelihara dia. Lembaga itulah yang kuat makan. Dan lembaga itulah yang melarang Simit dari menjemput Pak Tua Mahat dan Aki Sahak, kerana dia tahu orang-orang demikian adalah musuhnya.

Bila mengenangkan sumbangan Aki Sahak ini kepada orang ramai, saya rasa macam berdosa pula mahu berpindah dari situ disebabkan tidak senang dengan Aki Sahak. Saya seolah-olah mahu melarikan diri dari membantu dia di situ. Tetapi  saya tidaksanggup membuat kerja-kerja seperti dilakukan oleh Aki Sahak itu.

Saya tidak mahu dijadikan tumpuan oleh masyarakat. Masalahnya berat kalau kita sudah mula mahu menerima harapan seseorang yang mengharapkan sesuatu dari kita. Sedangkan semua kerja-kerja ini mestilah dibuat dengan ikhlas. Bila hati kecil kita sudah mempertikaikan sesuatu, maka kerja- kerja yang dilakukan itu sudah menjadi sia-sia.
Kadangkala timbul pula tomahan dari orang lain yang mengatakan cara yang dilakukan itu sama seperti bomoh yang mencari wang.

Padahal bukan semua bomoh mencari wang melalui cara pengubatan mereka. Kalau mahu dikira upah memang tidak setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Aki Sahak.

Apakah perasaan kita bila dikejutkan orang sewaktu mata baru mahu terlena tengah malam? Bagaimana kita mahu mencari nafkah apabila semalam- malaman berjaga merawat pesakit?

Masyarakat hanya melihat dari satu aspek saja iaitu bomoh tidak mengeluarkan apa-apa modal apabila mengubati pesakit?
Inilah yang susah hendak dijawab.

Sebab itulah saya mahu melarikan diri dari tempat kerja-kerja demikian.
Kadangkala kepala mahu naik pitam apabila terpaksa membacakan satu- satu ayat itu dengan kusyuk. Ayat-ayat tersebut bukannya dibaca seperti menghafal senikata lagu yang dinyanyikan oleh anak-anak muda. Tetapi disekalikan dengan makrifatnya. Untuk mencapai tingkat itulah yang boleh menyebabkan kepala naik pitam.

Tetapi saya kesihan juga kepada Aki Sahak yang sudah mula mendapat bantuan dari saya. Tentulah dia kecewa sekiranya saya mengambil keputusan bertukar dari situ. Pernah juga Aki Sahak membisikkan kepada saya, sementara saya masih bertugas didaerah itu, mungkin Abang Amud bercadang juga mahu mendalami pengubatan cara ditidurkan ini.

Dalam masa berkira-kira mahu bertukar dari daerah itu hampir saya terlalai kerana Asar sudah masuk. Isteri saya juga sudah mengingatkan tentang Asar.
Saya pun segera mengambil wudhuk di bilik air untuk menunaikan fardhu Asar berjemaah dengan isteri saya.
Perkara mahu bertukar itu sudah saya beritahu pada isteri saya. Dia juga tidak membantah tujuan saya, kerana selama ini memang dia sedari saya selalu saja dipanggil orang. Kadangkala terkuap- kuap di tempat kerja menahan mengantuk.

Pernah juga isteri saya bergurau
dengan memanggil saya doktor tak berijazah. Tetapi saya tidaklah hiraukan sangat. Bukan saya yang meminta diri saya dipanggil, tetapi masyarakat di situ yang mahu mencari saya. Semenjak Aki Sahak menyuruh mereka mendapatkan saya kalau menghadapi gangguan syaitan, maka saya sudah menjadi tumpuan.
Asar itu seperti biasa kami terus berjemaah menunaikan fardhu Asar.

Semasa masuk rakaat kedua, saya terdengar ada orang memanggil saya dari halaman. Terpaksa saya mendehem kuat. Kemudian meneruskan sembahyang saya hingga selesai. Setelah memberi salam saya wirid pendek saja..Kemudian saya terus ke pintu hadapan menjengah siapa yang memanggil tadi. Sali tercegat di tengah halaman
.
“Ada apa Sali?” tanya saya sambil mempelawanya masuk dahulu.

“Tak payah masuklah ustaz…” sahut Sali tersengih-sengih.

“Aki Sahak panggil?” tanya saya
menduga.

Selalunya mereka datang berjumpa saya kerana disuruh oleh Aki Sahak. Dia mengangguk.

“Kalau macam tu, masuklah dulu” Saya berkeras juga mengajak dia masuk dulu.

“Masuklah, kita minum kopi dulu. Lepas tu barulah kita pergi. Tak apa tu, Aki Sahak dah ada cukuplah…” kata saya menyuruhnya masuk dulu.

“Elok kita cepat ustaz…” ujar Sali mendesak.

“Tak apa, masuklah dulu” ujar saya mendesaknya supaya masuk.

Sali menjadi serba salah apabila
didesak. Mahu tidak mahu terpaksa juga dia masuk. Tetapi saya lihat dia di dalam keadaan rusuh. Mungkinkah ada gangguan di lombong? Saya rasa puaka air di lombong itu masih belum musnah lagi. Bukanlah satu perkara mudah untuk menghapuskan mereka sama sekali, kecuali kita hanya boleh menghalang niat jahat syaitan saja.

“Takkan nak cepat sangat” isteri saya pula keluar dari bilik menyindir.

“Datang cuma nak ajak ustaz aje?” katanya terus berjalan ke dapur.

Sali tersengih-sengih.
Dia tidak banyak bercakap bila sudah duduk. Mungkin dia bimbang orang akan tertunggu-tunggu. Tentulah mereka menuduh dia tidak boleh diharap disuruh memanggil saya. Sepatutnya dia mesti segera datang semula membawa saya bersama.

“Apa halnya?” tanya saya.

“Abang Amud ajak ustaz cepat” dia memberitahu.

“Apa halnya…?” ulangi saya.

Sali terdiam. Susah benar dia mahu menerangkan kepada saya. Mengapa pula dia masih mahu menyembunyikan tujuan kedatangannya. Kalau dia disuruh oleh Abang Amud
mendapatkan saya, mestilah saya hendak tahu jugak apa masalah Abang Amud. Sepatutnya Sali mesti memberitahu.

Tetapi dia tetap membisu. Sama seperti seorang gadis yang bekerja di pejabat daerah yang pernah menemui saya terlalu susah mahu menerangkan tujuannya. Dia mahu bercakap sama seorang saja dengan saya. Terpaksalah saya membawanya jauh sedikit. Dia memberitahu tentang seorang lelaki yang berjanji mahu mengahwini dia, tetapi masih juga enggan masuk meminang. Lelaki itu memberi berbagai-bagai dalih. Akhirnya menghilangkan diri entah ke mana. Gadis itu meminta saya membuatkan sesuatu supaya lelaki tersebut kembali kepadanya.

Masalah gadis tersebut tentulah tidak sama dengan Sali. Gadis itu terpaksa menyembunyikannya kerana masalah peribadi. Saya sendiri tidak tahu apakah caranya mahu menolong kerana seperti saya katakan, saya bukanlah seorang bomoh.
Sedangkan gadis berkenaan
menyangkakan saya seorang bomoh.

Bagaimanapun saya nasihatkan
gadis itu supaya sembahyang Tahajud memohon kepada Allah supaya lembutkan hati lelaki yang telah merosakkan masa depannya itu dan datang menikahinya. Sama ada dia melakukan atau tidak, saya pun tidak tahu. Selepas itu saya tidak pernah lagi menemui gadis tersebut.

“Apa halnya?” soal saya lagi.

“Abang Amud suruh ustaz cepat itu saja” jelasnya serba salah.

“Iyalah, cepat nak ke mana?” heran juga saya mengapa Sali tidak mahu berterus terang.

Sebenarnya kalau memerlukan saya cepat pun tidaklah penting sangat, kerana Aki Sahak sendiri mempunyai pengalaman yang lebih dari saya.
Pengubatan cara tidur yang sering saya katakan itu memang saya belajar dari Aki Sahak juga. Malah bukanlah perkara yang pelik, kerana ada kawan saya yang pernah bekerja di Sarawak memberitahu, di Sarawak juga pengubatan secara ini sudah meluas digunakan.

“Cepat, nak ke mana?” saya
mendesaknya.

Belum sempat Sali menjawab, isteri saya sudah keluar membawa kopi bersama karipap yang sudah disediakannya. Sali terus terkebil-kebil mata memerhati isteri saya datang.

“Bagilah can ustaz rehat-rehat dirumah…” isteri saya mengusik.

“Abang Amud yang suruh jemput” beritahu Sali tersengih-sengih.

“Kalau ustaz selalu aje dijemput, saya ni macam mana?” ujar isteri saya.

Sebenarnya isteri saya bukanlah menyindir, sebaliknya dia memang gemar mengusik. Kadangkala kalau orang nipis telinga mungkin mengatakan isteri saya menyindir.
Tetapi dia memang tahu mengapa masyarakat di situ menjemput saya tergesa-gesa.
Disebabkan mereka tidak pernah mengalami pengubatan yang sering saya dan Aki Sahak lakukan, jadi mereka menyangka ianya satu perkara baru. Sebenarnya ilmu Allah bukanlah baru, ianya sudah ujud sejak lama dulu.

“Minumlah dulu…” pelawa isteri saya menghulurkan cawan kepada Sali.

“Lepas tu nak ambil ustaz, ambillah.

Tapi hantar balik tau…” katanya
tersenyum.

Sali tersengih-sengih mendengar usikan isteri saya itu.

“Abang Amud suruh ustaz datang fasal Aki Sahaklah” kemudiannya dia memberitahu.

“Mengapa Aki Sahak?” tanya saya.

“Entah…” jelas Sali perlahan.

“Sejak lepas Zohor tadi dia muntah darah. Fasal itu Abang Amud minta sangat ustaz datang cepat.” katanya bercampur rusuh.

Tidak jadi saya meneguk kopi bila mendengar cakap Sali. Lantas saya suruh isteri saya bersiap-siap untuk menziarahi Aki Sahak. Dalam kepala saya mula timbul bermacam-macam soalan, bagaimana Aki Sahak yang sentiasa beringat itu, sekali sekala terlalai juga. Tetapi, inilah sifat insan..

Leave a comment

Filed under Renungan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s