Bercakap dengan jin ~ 75 ~ Telan Darah Dan Nanah

Datuk terus batuk di depannya.
Perempuan cantik itu berhenti
mengoyak-ngoyak kertas. Matanya merenung muka datuk. Matanya kelihatan bersinar-sinar.

“Siapa nama kamu,” tanya datuk.

Perempuan cantik terus membisu. Orang yang ada di situ terus mentertawakan datuk. Mereka mengira perbuatan datuk itu, satu perbuatan yang bodoh kerana bercakap dengan orang gila. Saya lihat air muka datuk berubah.

Tanpa diduga perempuan cantik itu terus menampar muka datuk. Suara ketawa dari orang-orang yang mengelilingi perempuan cantik kian kuat. Muka datuk jadi merah, saya kira datuk terasa malu. Perempuan cantik itu terus meludah muka datuk.

Saya lihat datuk menggigit bibir. Saya mula cemas, bila kedua-dua belah daun telinga datuk bergerak-gerak. Saya tahu bila daun telinga datuk bergerak, ertinya dia sudah berada dalam tahap kemarahan yang amat hebat. Orang- orang yang ada di situ terus mentertawakan datuk.

Beberapa orang pemuda yang kurang ajar mengeboo-boo diri datuk. Datuk toleh kiri, toleh kanan. Dia sudah dapat mengawal rasa marahnya.

“Eh, syaitan, kamu buat apaaa…!” pekik datuk sekuat hati.

Suaranya dapat didengar oleh seluruh penduduk kampung. Orang yang mengetawakan dirinya terkejut dan ada yang bertempiaran lari tidak tentu hala. Dalam sekelip mata sahaja datuk sudah berdiri sambil mencekak pinggang.

Perempuan cantik, anak Malik Cina jatuh terlentang dan terus pengsan. Terkapar di perdu manggis macam mayat. Orang yang berkumpul terus hilang entah ke mana. Datuk masih lagi berdiri, Malik Cina dan isterinya tergamam, tidak berkata sepatah apa pun, macam orang kena pukau.

“Anak kamu disihir, bawa dia ke
tempatnya, jangan dirantai kakinya,” ujar datuk pada Malik Cina.

Tanpa membuang masa sepasang suami isteri itu mengusung anak kesayangan mereka ke bilik khas.
Ketika tubuh perempuan cantik itu diusung, di kaki langit mula kelihatan awan kemerah-merahan.

Sebentar lagi, matahari akan menyelesaikan tugasnya. Datuk kembali ke ruang anjung rumah. Datuk minta segelas air dan tujuh biji beras dari Malik Cina.
Barang yang diminta itu segera
diadakan. Datuk masukkan tujuh biji beras ke dalam gelas yang berair. Datuk membaca sesuatu pada air tersebut.

“Sapukan air ini ke mukanya, dan separuh lagi beri dia minum, kalau ada lebih lagi, sapukan pada pergelangan tangan dan kakinya,” datuk menyerahkan gelas berisi air dan tujuh biji beras pada Malik Cina.

Malik Cina pun membawa gelas itu ke bilik anaknya.
Saya pun menyandarkan badan ke dinding sambil memicit jejari di kaki.

Datuk meluruskan kedua belah tangan lantas diletakkan atas sepasang kepala lututnya. Mata datuk terus menikam tikar mengkuang yang terbentang menutup lantai.
Sinar matahari yang lembut menjalani lantai rumah. Angin pun menghantar rasa dingin. Tetapi, hati saya masih panas dengan sikap orang-orang kampung yang mengejek-ngejek datuk.

Tidak ada budi bahasa, tidak ada
timbang rasa. Mereka mencari
kepuasan dan hiburan dari penderitaan orang lain. Mereka ketawa melihat anak perempuan Malik Cina yang suka mengoyakkan kain dan kertas. Mereka ketawa, bila anak perempuan Malik Cina menampar muka datuk. Mulut mereka melahirkan rasa simpati sedangkan hati tidak begitu.

Semua persoalan itu berlegar-legar dalam tempurung kepala saya. Bibir terus saya gigit. Datuk masih lagi tunduk merenung lantai. Saya alihkan pandangan ke halaman rumah Malik Cina yang bersih.

Angin lembut terasa menampar wajah. Datuk batuk, bagaikan kilat saya merenung kearahnya. Saya lihat datuk masih lagi tunduk dengan sepasang tangan berada atas tempurung lutut. Saya mula bosan berhadapan dengan suasana begini. Terasa jemu tidak menentu.

“Tamar.”

“Ya tuk.”

“Apa yang kau fikirkan.”

“Tak ada apa-apa tuk.”

“Betul, kau tak fikir apa-apa?”

“Betul tuk.” Datuk terus menegakkan badannya.

Lengan yang berada atas tempurung lutut berubah tempat. Kedua belah telapak tangan datuk menekan tikar mengkuang. Saya lihat datuk berada dalam keadaan yang aman sekali.

Wajahnya kelihatan tenang dan damai. Saya segera mendekati datuk. Saya berharap dalam keadaan yang bosan dan menjemukan itu, datuk mahu bercakap-cakap atau bercerita apa sahaja. Kalau datuk meluahkan nasihat. Saya sanggup menerimanya.
Andainya, datuk menceritakan tentang zaman kanak-kanak hingga ke zaman remaja, saya sanggup mendengarnya.
Asalkan rasa jemu dan bosan hilang dari hati.

Datuk jeling saya bersama senyum nipis. Bahu saya ditepuknya. Datuk bersedia untuk mengungkapkan
sesuatu. Mulutnya nampak seakan-akan bergerak-gerak. Saya kesal, gerakan bibirnya tidak mengeluarkan suara. Diganggu oleh jeritan yang memanjang dan nyaring.

“Dia menjerit lagi,” kata datuk dengan wajah yang resah.

Saya terdengar bunyi keras dan kain dikoyak berturut-turut. Datuk segera berdiri. Malik Cina keluar dari bilik khas anaknya menemui datuk.

“Dia mengamuk lagi, dia menendang emaknya dan mengoyakkan kain gebar dan cadar katil,” beritahu Malik Cina sambil menelan air liur.

Keresahan dan kebimbangan jelas terpamer di mukanya. Malik Cina tidak tentu arah. Sekejap garu batang leher, sekejap garu telinga capangnya.

“Apa yang mesti saya buat?
Bagaimana kalau kakinya saya rantaikan semula,” Malik Cina renung muka saya dan saya hadiahkan senyum untuknya.

Suara jeritan kian lantang diikuti dengan bunyi tapak kaki orang berlari. Terdengar bunyi kaca pecah berderai.
Dinding rumah terus ditendang bertalu- talu. Malik Cina memulakan langkahnya menuju ke bilik khas anaknya. Datuk terus memegang tangan kirinya.
Malik Cina agak terkejut, bibir
bawahnya yang tebal nampak bergerak. Keningnya agak terangkat sedikit. Suara jeritan anak perempuannya terus menguasai kampung.

“Jangan rantai dia,” kata datuk.

“Bagaimana, kalau dia lari dari rumah dan mengacau orang kampung?”

“Bersabar, sekejap lagi dia berhenti, air yang aku berikan tadi, ada lagi atau dah habis?”

“Air tadi, dah habis.”

“Tak apa, ambil air lain, cepat sikit,” desak datuk. Malik Cina anggukkan kepala.

Datuk terus melagakan gigi atas
dengan gigi bawah berkali-kali.
Kemudian melangkah dengan tenang di ruang anjung. Kedua belah tangannya disilangkan ke belakang.
Datuk sedang memikirkan sesuatu. Malik Cina segera meninggalkan kami menuju ke ruang dapur.

Setelah puas bergerak ke sana ke sini, datuk terus duduk bersila sambil sandarkan badan ke dinding. Lutut kanan didirikan dan dahinya terus bertemu dengan tempurung lutut Saya kurang senang melihat datuk dalam keadaan demikian. Saya segera menghampirinya.

“Ada apa-apa masalah tuk?”

“Tak ada apa-apa, kalau ada pun kau tak boleh menolongnya,” jawab datuk tanpa memandang wajah saya.

Datuk menyindir saya. Tetapi, saya masih tersenyum. Suara jeritan anak Malik Cina terus berlanjutan. Beberapa orang jiran tetangga mula datang.

“Kurang elok kalau ramai sangat jiran- jiran datang,” rungut datuk sambil menjatuhkan lutut kanannya.

Matanya tertumpu pada wajah saya yang tidak dapat menangkap maksud dari kata-katanya itu.

“Boleh menganggu kerja aku, lagipun yang datang ni cuma nak tengok kemudian jadikan bahan cerita pada orang lain yang tak sempat datang,” tambah datuk lagi.

Saya lihat buah halkum di batang lehernya bergerak-gerak, bila datuk menelan air liur.
Malik Cina datang. Segelas air sejuk diserahkan pada datuk. Saya lihat datuk memperhatikan air dalam gelas dengan teliti. Malik terus duduk bersila di depan datuk. Perlahan-lahan datuk menjentik lantai tiga kali berturut-turut. Suara jeritan anak Malik Cina beransur kurang dan lemah akhirnya hilang terus.

Dengan wajah yang tenang datuk mendekatkan gelas berisi air sejuk ke bibir. Saya lihat bibir datuk bergerak agak perlahan-lahan sekali. Dari gerak bibirnya itu, saya dapat meneka bahawa datuk sedang membaca al Fateha dengan khusyuk sekali. MalikbCina hanya melihat semua gerak-geri datuk dengan teliti.

Saya renung ke halaman rumah.
Keadaan hari sudah beransur kelam. Tetapi, langit dan awan kelihatan cerah sekali. Angin tidak sekencang tadi bertiup. Beberapa orang jiran tetangga mula meninggalkan rumah Malik Cina.
Meraka agak kecewa kerana tidakbdapat menyaksikan kelakuan aneh Malik Cina.

“Sudah tak menjerit lagi?”
bisik saya pada Malik Cina.

Tidak ada jawapan yang saya terima tetapi ekor mata datuk menikam ke wajah saya. Dia dengar dengan jelas apa yang saya bisikkan pada Malik Cina. Anak telinga datuk cukup tajam.

“Agaknya, dia dah letih,” kata datuk.

Saya dan Malik Cina segera merenung ke arah datuk. Dan tanpa membuang masa, datuk terus menyerahkan gelasb berisi air sejuk pada Malik Cina. Air dalam gelas kelihatan bergerak serta berkocak kecil tetapi gelas bertukar tangan dari datuk ke Malik Cina.

“Lagi apa yang mesti saya buat?”

“Buat macam air pertama yang aku berikan pada kamu tadi.”

“Saya ingat”

“Bagus, aku ingatkan lagi sekali, air pertama untuk basuh muka, untuk minum, sapu pergelangan tangan dan kaki tetapi, air ini ditambahkan sedikit caranya iaitu menyapu pangkal dagunya,” datuk mengulanginya dengan harapan Malik Cina tidak akan melakukan kesilapan.

“Baik-baik air tu berkocak,” saya terus menudingkan jari telunjuk ke arah gelas yang ditatang oleh Malik Cina.

Cepat-cepat Malik Cina
memperlahankan langkah dan
mengurangkan goyang tangan hingga air dalam gelas tidak berkocak dan meleleh di bibir gelas. Malik Cina meneruskan langkahnya menuju ke bilik khas anaknya.

“Dengan izin Allah penyakitnya
hilang,” suara datuk lembut dan
ditujukan pada saya.

Sebagai jawapan, saya anggukkan kepala dengan harapan apa yang diingini oleh datuk bakal menjadi kenyataan. Datuk terus merenung ke halamanndatuk. Dahi luasnya dikerutkan. Datuk menggerakkan lehernya ke kiri dan ke kanan hingga rasa lenguh terus hilang. Datuk menggeliat.

“Waktu Maghrib dah nak masuk
Tamar .”

“Ya, kita nak sembahyang di rumah atau di masjid tuk?”

“Aku fikir berjemaah lebih baik,
pahalanya lebih, jom kita ke masjid”

“Saya mengikut saja.”

Datuk membetulkan baju yang dipakai. Meraba kaki seluar dan membetulkan letak songkok. Kain pelekat yang tersangkut di bahu datuk raba dua tiga kali. Saya menarik nafas terhibur mendengar kicau burung yang terbang pulang ke sarang.
Malik Cina mendekati datuk. Saya lihat pakaian Malik Cina agak kemas. Rasa cemas tidak terpamer di wajahnya.

Sesekali ia melepaskan senyum bila terpandangkan diri saya yang merenung ke arah dedahan pokok di halaman, tempat murai dan merbah melompat.

“Aku nak ke masjid Malik.”

“Kenapa tak sembahyang di sini?”

“Biarlah aku berjemaah, dapat juga aku berkenalan dengan orang orang di sini,” datuk meraba misai nipisnya dengan jari telunjuk.

Malik Cina termenung sejenak. Ada sesuatu yang di fikirkannya.

“Bagaimana dengan anak kamu?”

Malik Cina bagaikan tersentak mendengar pertanyaan dari datuk. Ia terus mengigit kuku di ibu jari kanan.

“Nampaknya dia letih dan terus tidur.”

“Bagus tapi jangan biarkan dia tidur senja, bila kau dengar suara azan, kau kejutkan dari tidur, kalau dia melawan atau mahu menjerit simbahkan air yang aku berikan pada kamu ke mukanya.”

“Tapi,” Malik Cina berhenti bercakap.

“Apa lagi Malik?”

“Siapa yang nak buat semuanya tu.”

“Kamulah, siapa lagi,” nada suara datuk meninggi.

“Saya nak ikut berjemaah ke masjid.”

“Tak payah, kau sembahyang di rumah, jaga anak kamu. Kalau kamu mahu dia elok,” datuk jegilkan biji mata.

Mukanya nampak merah.
Malik Cina tidak berkata apa-apa. Akhirnya, anggukkan kepala. Setuju,dengan cadangan datuk. Mereka berbalas senyum penuh mesra.

Malik Cina kami tinggalkan. Sampai di masjid datuk terus bersalaman dengan para jemaah yang lain. Mereka melayani datuk dan saya penuh mesra.
Bila sampai waktu Maghrib, beduk ke kepala tangga masjid pun dipukul orang bertalu-talu.

“Boleh cucu saya mulakan azan,” begitu sopan datuk mengajukan pertanyaan pada lelaki yang memakai serban, menyimpan janggut yang sudah putih.

Terasa sedikit kesal di hati saya atas sikap datuk. Hatinya mahu berbudi;tetapi diri saya yang jadi sasaran. Kenapa dia sendiri tidak mahu mengeluarkan suara untuk berazan?
Timbul pertanyaan dalam diri saya.

“Silakan, cara kebetulan pula bilal;masjid tak datang, tak payahlah saya cari orang lain,” sahut orang itu.

Datuk pun menolak saya ke arah lelaki tua tersebut. Dan akhirnya saya mendapat tahu bahawa orang tua itu adalah imam besar masjid tersebut.

“Silakan,” ucap lelaki tua itu.

“Jangan segan-segan Tamar, mulakan,” tingkah datuk.

Saya tidak ada pilihan. Dengan
keyakinan pada diri sendiri, saya terus melaungkan azan. Saya tidak tahu bagaimana penerimaan orang-orang di situ terhadap suara saya.

Apakah mereka menganggap suara saya baik atau sebaliknya? Apakah mereka merasakan laungan azan saya macam orang baru belajar?
Sesungguhnya saya tidak tahu.
Hanyalah Allah sahaja yang
mengetahui hati mereka.

“Boleh tahan juga suara cucu awak,” puji imam.

Saya lihat datuk tersengih. Matanya merenung ke arah saya dengan penuh rasa bangga. Saya kira datuk sengaja melakukan perkara tersebut. Dia mahu menguji diri saya. Apakah saya mengalami perasaan darah gemuruh bila disuruh melakukan azan di tempat lain. Ternyata saya lulus dalam ujian.
Saya kira datuk tentu gembira. Pasti bila pulang nanti datuk akan menceritakan kemampuan diri saya pada nenek. Saya juga berharap ujian yang baru dilalui akan juga jadi pembuka hati pada datuk untuk mencurahkan serba sedikit ilmunya pada saya.

Mungkin esok, mungkin bulan depan atau tahun depan datuk akan menurunkan petua dan pengetahuan tradisional pada saya. Timbul harapannyang berbunga dalam diri.
Selepas menunaikan fardu Maghrib, datuk terus berborak dengan imam.

Mereka berhenti berborak ketika masuk waktu Isyak. Dalam waktu yang amat singkat itu, datuk memperolehi beberapa orang kenalan baru yang sehaluan.

Kawan-kawan baru datuk itu terus membuat ramalan kedatangannya ke kampung tersebut untuk mengubatkan gadis Malik Cina. Datuk cuma tersenyum sahaja dan datuk memberitahu mereka Malik Cina adalah kawan lamanya.
Kunjungannya adalah kunjungan seorang sahabat. Tidak lebih dari itu dan tidak ada kena mengena untuk mengubat anak gadis Malik Cina.

“Saya bukan bomoh,” kata datuk.

“Agaknya awak pawang,” celah
seorang.

“Tidak.”

“Agaknya dukun,” sahut satu suara.

“Dukun, pawang, bomoh adalah sama tetapi saya bukan dari golongan itu, saya adalah hamba Allah macam awak semua, tidak ada yang istimewa pada diri saya, kenapa tuan mahu mahu bertanya sesuatu yang bukan pada tempatnya,” begitu lantang suara datuk.

Kata-kata datuk itu dapat diterima oleh mereka. Tidak ada pertanyaan yang diajukan pada datuk dan saya tidak lagi jadi perhatian mereka.
Kami sampai ke rumah Malik Cina kira-kira pukul sembilan lebih. Malik Cina menyambut kami di muka pintu.

Senyumnya tetap bermain di bibir. Malik Cina terus bertanya pada datuk tentang pengalamannya bersama para jemaah di inasjid. Datuk terus memberitahu, ia mengalami pengalaman yang sungguh menggembirakan hatinya.

“Siapa yang laungkan azan tadi?” Malik Cina bertanya.

“Kenapa?” sambut datuk.

“Suara orang baru, kalau Bilal Halim saya kenal, saya yakin suara yang saya dengar tadi bukan suaranya.”

“Si Tamar cucu aku nak cuba.”

“Haaa…,” Malik Cina terkejut.

“Suaranya lantang dan nafasnya
panjang,” sambung Malik Cina.
Datuk terus ketawa.

Bangga cucunya menenima pujian. Tanpa segan-segan datuk menepuk bahu kanan saya berkali-kali. Senyumnya, terus berbunga. Rasa bangga menyelinap dalam hati. Siapa tidak bangga menerima pujian.

“Cucu kamu memang hebat,” bersama senyum Malik Cina memuji.

“Betuk ke?” datuk pura-pura terkejut.

“Betul,” wajah Malik Cina nampak serius.

Senyum datuk terus meniti di bibir. Saya menggaru pangkal dagu beberapa kali.

“Mari kita makan,” ajak Malik Cina.

Bau tumis petai, bilis terus menyumbat lubang hidung. Rasa lapar mula terasa.
Saya dan datuk mengikut Malik Cina ke ruang makan. Kami duduk bersila. Makanan yang dihidangkan memang sesuai dengan selera saya.

“Silakan,” jemput Malik Cina.

Nasi terus ditaruh dalam pinggan saya dan datuk. Entah mengapa malam itu saya makan dengan lahap tanpa silu dan segan. Tetapi, datuk tetap macam biasa iaitu menghadkan makanan.

“Cepat benar berhenti makan?” Malik Cina renung muka datuk.

“Dah kenyang,” datuk terus membasuh tangan.

“Agaknya, awak mengira suap nasi awak?”

“Ya, ada hadnya, kalau lebih dari had amalan saya, boleh mendatangkan mudarat,” balas datuk lalu menyandarkan badan ke dinding.

Saya terkejut, malam itulah baru saya tahu bahawa datuk menghitung nasi yang disuapnya. Dia tidak makan sebarangan atau mengikut kemahuan nafsu. Saya berharap Malik Cina akan mengemukakan pertanyaan pada datuk.
Biar Malik Cina tanya berapa suap nasi untuk makan malam dan berapa suap pula untuk makan tengah hari.

Sayang, Malik Cina tidak mengemukakan pertanyaan itu pada datuk dan harapan saya untuk mengetahui rahsia tersebut turut musnah. Tidak mengapa, satu ketika yang baik akan saya tanyakan petua itu.
Dari ruang makan saya dan datuk berubah ke ruang anjung. Suara katak dan cengkerik jelas kedengaran. Dalam saat-saat tertentu terdengar bunyi kucing jantan mengiau mencari kucing betina.

Bulu roma saya mula tegak dalam desiran angin malam yang lembut itu saya terdengar suara burung jampuk dan salakan anjing mendayu-dayu.

“Macam mana dengan anak kamu Malik?”

“Masa awak tinggalkan rumah ni tadi, dia terus tidur, waktu Isyak tadi dia terjaga tapi dia nampak lemah benar,” terang Malik Cina.

Gegendang telinga saya menangkap bunyi desiran angin yang menyentuh dedaun di halaman rumah. Langit nampak cerah. Beberapa ekor kelawar berterbangan mencari mangsanya. Dari anjung rumah juga saya dapat melihat lampu minyak tanah berkelip-kelip, bergerak arah ke utara.

Saya kira jumlahnya lebih dari
sepuluh. Barangkali orang kampung berjalan malam. Mereka bertandang ke rumah jiran untuk menghabiskan masa malam dengan bercerita apa sahaja.

Tetapi, kenapa bawa pelita terlalu banyak, timbul pertanyaan dalam hati saya. Suara burung jampuk kian ramah berbunyi bersama salakan anjing. Anjing terus menyentuh dedaun. Kelawar kian kerap berterbangan.
Badan saya mula terasa dingin. Rasa mengantuk mula menyerang. Tetapi Malik Cina dan datuk masih ghairah bercerita.

“Jangan ganggu dia, biar dia tidur, kalau dia minta nasi berikan nasi, aku tahu dia tu lapar, sebelum nasi diberikan padanya kau kepalkan nasi itu sambil membaca sebelas kali ayat fatihah,” datuk lunjurkan kedua belah kakinya.

“Kalau dia tak mahu makan, bila tengok nasi dah dikepalkan macam mana?”

“Insya-Allah, dia mahu, aku tahu dia lapar.” Datuk raba pangkal hidung.

“Ya, dah lama anak saya tu tak makan nasi, cuma dia makan kulit pisang dan bulu jagung, kalau tak ada benda benda tu dia tak mahu makan.”

“Ganjil sungguh sakit anak kamu Malik.”

“Entahlah, saya sendiri tak tahu nak kata apa.”

“Sah, anak kamu kena buatan orang, anak kamu disihir, agaknya dia ni pernah berkasar dengan orang, sekarang orang tu balas dendam.”

“Entahlah, saya pun tak tahu,” Malik Cina melepaskan sebuah keluhan.

Wajahnya nampak hampa dan kecewa sekali. Dari gerak gerinya ia memang mengharapkan pertolongan dari datuk.
Saya mula menguap panjang. Datuk tepuk bahu kiri saya kerana menguap dengan membuka mulut lebar-lebar.

“Tak baik menguap macam tu, macam mulut buaya lapar,” sergah datuk.

Saya.tersipu-sipu malu. Malik Cina nampak tersengih. Tidak sanggup saya menentang wajah mereka. Saya tunduk merenung lantai dengan perasaan yang serba salah.

“Bolehkah sakit anak saya itu baik,”.Malik Cina menggantungkan harapan pada datuk.

Dua tiga kali datuk menggigit bibir. Dua tiga kali ia meraba-raba ibu jari kanannya. Sesekali ia menarik nafas panjang bersama renungan yang tajam ke arah halaman rumah. Kegelapan malam sunggul pekat.

“Kita berusaha, kalau diizinkan Allah sakitnya akan sembuh,” suara datuk dalam nada yang lembut, penuh harapan.

Malik Cina tunduk sambil menelan air liur. Saya terdengar jam dinding di.rumah Malik Cina berdenting dua belas.kali. Badan saya kian sejuk. Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk.

Bagi menghilangkan rasa mengantuk, saya merenung ke luar anjung rumah. Biji mata saya terbeliak, saya terlihat berpuluh puluh pelita minyak tanah bergerak sendiri dalam jarak kira 400 meter dari rumah. Saya teringat, siang tadi kawasan itu saya lihat penuh dengan hutan. Tidak ada sebuah rumah pun terdapat di situ.
Saya mula resah. Apakah saya sedang melihat manusia atau melihat syaitan berpesta.

Timbul pertanyaan dalam hati saya. Seluruh badan mula terasa seram sejuk. Lolongan anjing, kian nyaring. Suara burung hantu dan jampuk tingkah-meningkah. Desiran dedaun yang berlaga sama sendiri kian kuat. Saya bertambah terkejut melihat jumlah pelita minyak tanah kian bertambah. Semuanya menuju ke arah utara.

“Tuk tengok tu,” kata saya lalu menunjukkan ke arah pelita minyak tanah.

Datuk dan Malik Cina segera melihat ke arah tersebut. Mereka berpandangan sesama sendiri. Tidak ada sesuatu yang mereka lihat.

“Kami tak nampak apa-apa Tamar,” kata datuk.

“Ada pelita minyak tanah berjalan sendiri.”

“Mustahil di situ kawasan hutan, masa Jepun dulu dijadikan tempat memancung kepala orang. Kau mengarut,” kata Malik Cina.

Datuk gelengkan kepala.
Saya masih melihat pelita minyak tanah berbaris serta bergerak sendiri.

Anehnya, datuk dan Malik Cina tidak dapat melihat cahaya pelita tersebut. Sukar untuk saya menyakinkan diri mereka. Saya terus tarik nafas.

“Sudahlah Tamar, pergi tidur. Bilik kamu dan datuk sudah aku kemaskan.” Malik Cina menepuk bahu saya.

Arahannya segera saya patuhi. Datuk dan Malik Cina saya tinggalkan di ruang anjung. Bilik yang disediakan untuk saya menempatkan dua buah katil bujang.

Bila saya letakkan kepala atas bantal, badan mula terasa geram. Macam ada sesuatu yang berkeliaran dalam bilik tersebut. Pada papan dinding saya rasakan ada sepasang mata merah merenung saya. Badan saya menggeletar. Bila saya membaca ayat Kursi, rasa takut itu hilang dan saya terlelap.

Masa terlelap itu, saya bermimpi menemui seorang lelaki yang ganjil. Berpakaian serba hitam. Saya lihat kelopak mata kirinya berlapis tiga.

Tiap-tiap lapisan kelopak matanya itu ada tahi lalat yang sekejap mengembang dan sekejap mengecil. Matanya bagaikan mahu tersembul, macam mata udang berwarna merah.

Daging pipinya kelihatan lembik dan berlendir. Ada air jernih di celah-celah daging pipinya yang lembik itu. Air itu bercampur nanah meleleh perlahan- lahan ke mulutnya. Lelaki ganjil itu menelan air jernih bercampur nanah dengan penuh ghairah dan bernafsu sekali. Lelaki itu menyuruh saya menjilat daging pipinya yang lembik.

Saya menolak permintaannya. Lelaki itu jadi marah dan dia mula menghampiri saya. Kedua belah tangannya yang berkuku panjang menghala ke batang leher saya. Dengan sedaya upaya saya cuba mengelak.
Usaha saya gagal. Saya tidak berdaya menentangnya dan terus menjerit dengan sekuat hati.

Bila saya terjaga, saya terlihat datuk sedang membaca Quran kecil di katil sebelah. Datuk renung ke arah saya.

“Kau mengigau?”

“Saya mimpi, ada orang nak cekik tengkuk saya.”

“Kau tidak membaca surah al-Fateha. Bukankah sudah aku pesan sebelum tidur, baca surah al-farihah dua puluh satu kali, lepas tu jangan cakap dan terus tidur.”

“Saya terlupa tuk.”

“Patutlah kamu diganggu syaitan, kau abaikan pesanan aku Tamar.”

“Saya terlupa sungguh tuk.”

“Sudah, tidur semula.”

Saya rebahkan badan atas katil. Kali ini saya tidak dapat tidur. Kerana takut datuk marah, saya pura-pura tidur dengan memejamkan kedua belah kelopak mata saya. Desiran angin malam di luar, jelas kedengaran. Suara burung hantu dan lolongan anjing tetap kedengaran.

Saya buka mata separuh, saya lihat datuk masih lagi kedengaran membaca Quran. Kemudian saya lihat dia melakukan sembahyang dua rakaat dan terus berwirid panjang. Rasa takut terus hilang dari hati saya. Tiba-tiba, saya dikejutkan oleh suara orang perempuan yang sedang marah-marah.

Serentak dengan itu juga saya
terdengar bilik saya ditendang bertalu- talu. Beberapa ketul bateri lampu suluh yang diletakkan atas meja dekat katil jatuh bertaburan atas lantai. Datuk berhenti dari melakukan wirid. Dia termenung.

“Ayah, saya dahaga cepat ambil saya air,” suara perempuan meminta sesuatu.

Dituruti dengan bunyi tapak kaki memijak lantai menuju ke dapur.

“Malik, jangan berikan air itu terus kepadanya, berikan pada aku dulu,” suara datuk meninggi.

“Ya, saya buat dengan apa yang awak mahu,” itu suara Malik Cina.

“Kenapa, bagi dengan jantan tua tu,” suara perempuan meningkah, tentu suara anak Malik Cina.

Dinding bilik terus ditendang bertalu- talu. Saya bangun. Duduk di sisi datuk.
Suara perempuan merungut dan
mengetuk sesuatu tetap kedengaran. Saya resah, tetapi saya lihat datuk masih berada dalam keadaan tenang.
Datuk ambil gelas air dari tangan Malik Cina. Datuk tatang air dalam gelas di tapak tangan kanannya. Datuk membaca sesuatu dan menghembus pemukaan gelas dengan mulut.

“Berikan padanya, sekarang.”

“Ya,” sahut Malik Cina lalu menyambut gelas itu dari tangan datuk di bawa ke bilik anaknya.

Dan saya tidak lagi mendengar suara anaknya menjerit atau merungut sesuatu. Datuk terus membaca al Quran.

Leave a comment

Filed under Cerita, Ilmu, Perawatan, Renungan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s