3) Hantu Botak Dalam Lombong

Baru saja saya meneguk kopi di rumah Aki Sahak, dua orang lelaki tiba-tiba memanggilnya dari tengah halaman.
Aki Sahak ini memang kenal baik dengan Pak Tua Mahat saya. Sebab itulah dia juga sangat menghormati saya.
Dua orang lelaki itu saya lihat dalam keadaan cemas. Tetapi dia tidak terus memberitahu tujuan kedatangannya.
Mereka berdua seolah-olah terkejut melihat saya ada di rumah Aki Sahak.
.
Mungkin saya orang baru di situ, dan mereka menyangka saya juga datang meminta pertolongan dari Aki Sahak.
Memang ramai orang dari kampung- kampung jauh datang ke kampung tempat Aki Sahak tinggal ini. Mereka tahu Aki Sahak selalu dicari orang kerana mahu berubat. Sudah lebih dua puluh tahun Aki Sahak pindah ke kampung tersebut apabila berkahwin dengan isterinya Makda Saodah.

“Apa halnya?” tanya Aki Sahak.

“Adalah sikit perkaranya Aki…” sahut salah seorang darinya.

“Emm, kalau iya pun naiklah dulu” pelawanya sambil undur sedikit dari muka pintu.

Dua orang lelaki itu naik ke rumah. Mereka duduk bersebelahan dengan saya. Saya menghulurkan tangan kepada mereka berdua.

“Mat Deh…” ucap saya ketika
bersalaman.

“Sali” sahut lelaki yang duduk
berhampiran dengan saya tersenyum.

Kami mengangguk tanda mula
berkenalan.

“Saya Tonel” seorang lagi
memperkenalkan diri.

“Mat Deh ni orang kampung aku…” Aki Sahak menerangkan kepada mereka.

“Sengaja datang nak jenguk-jenguk aku. Kebetulan pula dia baru tukar kerja ke sini” ujarnya lalu memanggil isterinya supaya membawakan dua buah cawan lagi.

Tidak lama kemudian Makda Saodah keluar membawakan dua buah cawan kosong. Dia menuangkan kopi lalu menghulurkan kepada dua orang lelaki tadi.
Kami tidak banyak berbual. Sali dan Tonel kelihatan resah saja hendak memberitahu sesuatu. Seolah-olah kehadiran saya di situ mengganggu mereka hendak bercakap kepada Aki Sahak.

“Cakaplah, apa halnya?” kata Aki Sahak setelah masing-masing terdiam.

“Begini Aki…” jelas Sali tergagap- gagap.

image

“Anak Bang Amud di baruh jatuh lombong, sampai sekarang tak jumpa” dia terus memberitahu perkara yang sebenar tujuan kedatangan mereka.

“Huss, mcam mana boleh jatuh
lombong?” Aki Sahak macam terkejut.

“Mandi dengan kawan kawannya. Tiba-tiba dia tenggelam, sampai sekarang tak jumpa” Tonel pula menerangkan. Aki Sahak terdiam.

Saya lihat dia merenung sesuatu yang sukar hendak dilihat dengan mata kasar.

“Banyak sangat dia nak korban. Bulan dulu lelaki tua, sekarang ni pula kanak-kanak, huss…!” Aki Sahak mendengus macam menyimpan dendam.

Dengan tidak banyak bicara saya dan Aki Sahak terus mengikut dua lelaki tadi menuju ke lombong yang dikatakan. Saya dapati sudah ramai orang berkumpul di tepi lombong.
Penyelam-penyelam yang didatangkan dari bandar juga sudah silih berganti menyelam ke dalam air.

Semua penyelam itu memberitahu susah mahu melihat ke dalam air kerana terlalu keruh. Sebaliknya orang- orang kampung sudah tidak sabar lagi. Budak yang mati lemas di dalam lombong itu sepatutnya sudah ditemui.
Lombong itu bukanlah luas sangat.

Tetapi bagaimana pula mayat budak itu tidak ditemui lagi?
Ada juga setengah pihak
mencadangkan supaya menunggu saja sampai mayat tersebut timbul.
Kononnya kalau mayat mati lemas ianya akan timbul apabila perut sudah kembung dipenuhi air. Tetapi sejak dari tenggelamnya kira-kira I 10 pagi, sehingga jam 5.30 petang mayat berkenaan tidak juga timbul.

Ketua Kampung Pak Semail sudah berbincang dengan ketua penyelam- penyelam itu supaya diusahakan secara tradisional untuk menemui semula mayat budak tersebut. Sebaliknya ketua penyelam-penyelam itu seorang lelaki India menolak kemahuan Ketua Kampung Pak Semail.

Dia tetap berpendapat kegagalan usaha menemui mayat budak yang tenggelam itu disebabkan air lombong terlalu keruh. Abang Amud yang dikatakan oleh Sali tadi, iaitu ayah kanak-kanak berkenaan sudah mula tidak yakin lagi anaknya boleh ditemui. Dia tahu anaknya sudah mati lemas.

Tetapi mengapa mayat anaknya tidak timbul ke permukaan air? Kalaulah hendak dikatakan tenggelam dalam lumpur adalah mustahil.
Kemudian saya nampak Aki Sahak menarik bahu Abang Amud ke satu tempat yang jauh dari orang ramai berkumpul. Saya tidak tahu apakah yang dikatakan oleh Aki Sahak kepadanya. Saya bersama Sali dan Tonel asyik memerhatikan penyelam- penyelam silih berganti menyelam ke dalam lombong.

Sehingga jam 7.00 malam anak lelaki Abang Amud tidak juga ditemui. Ketua penyelam itu memberitahu orang-orang kampung kerja menyelam itu ditangguhkan hingga ke esok harinya.
Mereka tidak dapat lagi menyelam disebabkan hari semakin gelap.
Penghulu Mukim yang ikut
menyaksikan peristiwa tersebut cuba mententeramkan keluarga Abang Amud. Dia nasihatkan supaya keluarga Abang Amud bersabar hingga besok paginya.

Bagaimanapun penyelam- penyelam itu tetap berkhemah di tepi lombong untuk memudahkan kerjanya pada esok pagi.

Tidak lama selepas penyelam-
penyelam itu menangguhkan kerja- kerja menyelam, saya nampak Aki Sahak bersama Pak Semail menghampiri Penghulu Mukim yang baru saja mahu meninggalkan tempat itu. Entah apa pula dicakapkan oleh Aki Sahak kepadanya tidak pula saya ketahui. Cuma dalam samar-samar senja saya lihat Penghulu Mukim terangguk-angguk kepala saja. Sekali- sekali dia tersenyum sambil menepuk- nepuk bahu Aki Sahak.

Dalam masa saya asyik memerhati Aki Sahak bersama Pak Semail bercakap- cakap dengan Penghulu Mukim, tiba- tiba Abang Amud datang menepuk bahu saya. Dia tersengih-sengih saja menjabat tangan saya. Sali dan Tonel yang ada bersama lalu memperkenalkan kami.

“Aki Sahak dah beritahu tentang Mat Deh ni…” kata Abang Amud masih dalam keadaan rusuh.

“Jadi, saya nak minta tolonglah pada Mat Deh. Tolong benar-benarlah Mat Deh…” ujarnya dengan penuh harapan.

“Eh, tolong apa ni?” sahut saya
tersengih-sengih juga.

“Janganlah berdalih lagi Mat Deh. Saya minta tolong benar-benar ni. Aki Sahak minta saya sendiri sampaikan kepada Mat Deh” Abang Amud mendesak.

Saya menjadi serba salah dengan permintaan Abang Amud itu. Saya berpaling ke arah Aki Sahak. Dia bertiga dengan Penghulu Mukim dan Pak Semail datang menghampiri saya.

“Kalau boleh tolonglah apa-apa pun Mat Deh…” Penghulu Mukim menghulur tangan kepada saya.

Cepat-cepat saya menyambut tangan Penghulu Mukim.
Belum sempat saya menyahut Aki Sahak sudah menyuruh saya diam. Aki Sahak meminta saya membantunya dalam usaha mencari mayat anak Abang Amud yang tenggelam itu.

“Lombong ni bukannya sungai. Kalau sungai bolehlah kita kata budak tu hanyut. Tentu ada sesuatu yang menyorokkan…” demikian Aki Sahak menerangkan kepada orang-orang kampung yang berkumpul di tepi lombong.

Penyelam-penyelam yang bertugas juga ada sama menyaksikan. Mereka juga tidaklah membantah bila Aki Sahak menawarkan diri untuk menolong kerana mereka sudah pun mengambil keputusan menangguhkan kerja-kerja menyelam.

“Perlukah bara api dan kemenyan?” soal Abang Amud.

“Tak payah. Ini bukan kerja asap
kemenyan. Saya dan Ustaz Mat Deh ni tahulah nak buat macam mana…” Aki Sahak memberi jaminan.

Sedangkan saya kebingungan dengan keputusan Aki Sahak. Saya tidak tahu bagaimanakah cara mahu menolongnya.
Tetapi saya tidak berani untuk
bertanyakan kepadanya. Lagipun dia berkali-kali menyebut fasal Pak Tua Mahat iaitu bapa saudara saya yang sudah lama meninggal dunia. Dia memberitahu tentang Pak Tua Mahat pernah memberitahu dia mengenai diri saya.

“Kita buat Mat Deh, kita buat kerana Allah” Aki Sahak berbisik kepada saya.

Sebelum memulakan rancangan Aki Sahak itu kami semua menunaikan fardhu Maghrib terlebih dahulu. Selesai sembahyang Maghrib barulah Aki Sahak menerangkan bahawa dia mahu menidurkan saya. Barulah saya faham bahawa cara menidurkan orang satu cara perubatan yang memang pernah diajar oleh Pak Tua Mahat kepada saya,
tetapi jarang saya amalkan.
Saya pun bersetujulah untuk membantu Aki Sahak. Saya sendiri yang akan ditidurkan, dan rawan (yakni roh sewaktu kita tidur) saya sendiri yang dikeluarkan mencari budak tersebut disembunyikan.
Bagi orang-orang yang tidak
memahami mungkin merasa pelik bagaimanakah cara demikian boleh dilakukan. Tetapi bagi mereka yang sudah mempelajari Usuluddin tidak ada apa yang hendak dipelikkan. Di sini saya tidak mahulah menerangkan, tetapi eloklah sesiapa yang ingin mengetahuinya bertanyalah kepada ahli-ahli Usuluddin.

Dipendekkan cerita, dibentangkanlah
tikar di bawah sepohon pokok. Sali yang masih mempunyai air
sembahyang diminta oleh Aki Sahak berdiri di belakang saya untuk menyambut tubuh saya apabila rebah ke belakang.
Segala apa yang hendak dilakukan oleh Aki Sahak itu memang saya sudah ketahui. Sebenarnya Aki Sahak juga tahu bahawa saya boleh tidur sendiri dengan tidak payah dipandu olehnya, tetapi saya sendiri berkehendakkan dia
mengawas saya kalau-kalau apa yang saya hadapi nanti sukar dilawan.

“Mulakan zikir…” bisik Aki Sahak.

Saya hanya tersenyum. Kerana apa yang dicakapkan oleh Aki Sahak itu bukanlah ditujukan kepada saya. Aki Sahak memang dapat merasa diri seseorang itu sama ada berzikir atau tidak.

Dalam beberapa saat saja saya
merasakan dunia menjadi gelap. Hanya saya dengar suara Aki Sahak saja memerintahkan saya supaya terus berzikir. Ketika ini saya merasakan diri saya melayang ke udara. Apabila Aki Sahak menyuruh melihat diri sendiri, saya nampak tubuh saya terbaring di atas tikar.

“Sekarang kamu cari di mana anak Abang Amud yang tenggelam di dalam lombong ni pagi tadi” suara Aki Sahak begitu jelas kedengaran ke telinga saya.

Dengan tidak bertangguh saya rasakan diri saya terus masuk ke dalam air lombong. Semuanya gelap gelita tidak kelihatan apa-apa. Kemudian sayabdengar Aki Sahak menyuruh saya membacakan Surah Waddhuha. Setelah saya bacakan ayat berkenaan semuanya menjadi terang benderang.
Ketika ini saya nampak di tengah lombong satu lembaga manusia yang duduk bersila di tengah dasar lombong sambil meriba budak lelaki.

“Dah jumpa” bisik saya perlahan sambil memerhatikan kelakuan lembaga tersebut.

Saya berligar-ligar di dalam air itu mahu menghampiri lembaga yang duduk bersila di tengah dasar lombong sambil meriba budak lelaki. Tiba-tiba dia berpaling memerhati ke arah saya.
Matanya kelihatan merah menyala- nyala seperti puntung api.

“Lepaskan budak tu…” perintah saya mengancam lembaga tersebut.

Tetapi dia tidak menghiraukan saya. Saya terus memberi isyarat supaya dia melepaskan mayat anak Abang Amud yang diribanya. Memang saya tahu budak tersebut tidak boleh diselamatkan lagi, tetapi tidak patut puaka air itu tidak mahu lepaskan.

Kalau puaka air itu berkeras saya sudah merasakan geruh telah menanti.
Sama ada saya akan menerima geruh atau sebaliknya adalah kuasa Allah saja. Tetapi puaka air itu tetap jenis syaitan yang menjadi musuh semua anak Adam. Syaitan juga mempunyai ilmu yang hebat kalau anak-anak Adam tidak mempunyai cukup persediaan.
image

“Lepaskan!” perintah saya lagi
mengancam lembaga botak itu.

“Budak ini mengganggu anak cucu aku bermain” sahut lembaga botak itu menyahut cabaran saya.

“Aku cakap lepaskan!” saya terus memberi amaran.

“Mana budak tu tau anak cucu kau bermain. Kau tubuh halus, kenapa tak menyisih semasa budak tu mandi di sini” ujar saya mengingatkan.

Lembaga botak itu tetap
menggelengkan kepala. Dia berkeras tidak mahu melepaskan mayat anak Abang Amud.

“Lanarjumannakum
walayamassannakum minna azabun ‘alim…” saya menghembus perlahan- lahan ke arah lembaga tersebut.

Setiap kali saya menghembuskan nafas
berpuluh-puluh anak panah dengan api menyala menjunam ke tubuh lembaga botak itu.
Saya nampak lembaga botak itu
menggeliat-geliat setiap kali anak panah berapi itu singgah ke tubuhnya.
Dia menjerit-jerit sambil meronta meminta saya berhenti membacakan ayat tersebut.

“Ampun minta maaf kami. Ampun…” laung lembaga botak itu menahan kesakitan.

“Kami tahu awak anak buah Tok
Pawang Mahat. Kami tahu, tapi
janganlah seksa kami macam ni” dia merintih-rintih.

“Kalau kau tak mahu dipanah dengan api, lepaskan budak tu” perintah saya lagi.

Lembaga itu tidak menyahut. Dia hanya terkial-kial merintih meminta belas kasihan dari saya. Untuk menguji sama ada dia benar-benar mahu mengaku kalah, saya cuba berhenti dari berzikir.

Sebaik saja saya berhenti berzikir tiba- tiba dia melontarkan sesuatu ke arah saya. Berdecap rantai besi memukul kepala saya. Belum sempat dia mengulangi untuk melemparkan rantai besi itu ke arah saya, cepat-cepat saya menguatkan zikir di dalam hati saya.

“Wah, kau nak main-main ye. Kau nak duga aku, kau nak duga!” saya mengherdik.

Dalam keadaan ini saya mendengar suara Aki Sahak membisikkan kepada saya, “Allahu Akhbar”.

Lantas saya mengucapkan Allahu Akhbar tiga kali, kemudian menghembuskan ke arah lembaga botak itu.
Seluruh kawasan lombong itu bergegar bagaikan ditimpa letusan gunung berapi. Tubuh lembaga botak itu berputar-putar seperti debu ditiup angin. Dia melolong-lolong meminta saya berhenti dari mengucapkan Allahu Akhbar.

“Minta ampun kami, minta ampun…” dia merintih-rintih menahan gegaran yang menggoncangkan seluruh kawasan lombong.

“Sekarang lepaskan budak tu! Lepaskan anak Abang Amud. Budak tu dah mati lemas, tak ada guna kau sorokkan dia” jerkah saya mengancam.

“Tolonglah berhentikan dulu gegaran ni” katanya merayu-rayu.

Apabila saya berhenti menghembuskan nafas, gegaran itu berhenti. Dia tercongok semula di tengah dasar lombong meriba mayat anak Abang Amud. Saya lihat dia merintih-rintih seperti orang menahan seksaan yang berat.
Tetapi dia tetap berdegil tidak mahu mengalah. Dalam keadaan tergigil-gigil menahan kesakitan itu lembaga
berkenaan tidak juga melepaskan mayat anak Abang Amud yang diribanya.

“Kalau kau berdegil aku bakar kau lagi” tegas saya mengingatkan.

“Nantilah dulu tunggu sampai kami puas bermain-main dengan budak ni” dia tersenyum mengerling ke arah saya seolah-olah mahu mengejek.

“Nampaknya awak tak serik!” bentak saya.

“Kami tak mahu lawan ustaz. Kami nak bermain-main dulu dengan budak ni” ujarnya ketawa kecil.

“Kalau nak bermain kenapa tak main dengan anak cucu kau. Mau tak kalau aku ambil anak cucu kau buat mainan?” saya cuba mengujinya.

“Apa salahnya kalau ustaz nak
bertukar-tukar…” dia semakin galak ketawa.

Ketika ini saya terdengar suara Aki Sahak mengingatkan supaya syaitan jangan dilayan. Memang syaitan sengaja melalaikan kita dengan janji- janji kosongnya. Sebab itu kalau berhadapan dengan syaitan jangan lagi dilayan bercakap. Teruskan saja menyerang sampai dia tidak dapat bertahan.

Saya tahu memang syaitan tidak boleh dilayan. Tetapi saya cuma mahu menduga saja. Saya mahu tahu sejauh mana permainan puaka air yang menjelma sebagai lembaga botak itu.

Sebaliknya Aki Sahak mahu saya bertindak cepat. Mungkin orang ramai yang berkumpul di darat sudah tidak sabar lagi menunggu. Segala pertelingkahan saya dengan lembaga botak itu memang dapat didengar dengan jelas oleh mereka. Bagi orang- orang yang tidak mengetahui seperti penyelam-penyelam yang ada di situ, mungkin mereka merasakan saya sedang merepek atau bercakap sendirian. Atau bercakap untuk
memperolok-olokkan orang ramai saja.

Tetapi kuasa Allah itu tidak dapatlah hendak saya tunjukkan kepada sesiapa. Kecuali mereka yang memahami dan mempelajarinya saja.
Pengalaman yang sedang saya lalui itu hanya boleh diketahui oleh mereka yang mengetahui tentang ilmu Allah saja.

“Panah saja dengan
lanarjumannakum…” bisik Aki Sahak.

Saya mendengar suara Aki Sahak sayup-sayup dari permukaan air.

“Besarkan tubuh kamu, kerana roh manusia boleh membesar tidak ada had” kata Aki Sahak.

Saya menarik nafas. Ketika ini saya nampak dengan jelas tubuh saya menjadi besar berkali-kali ganda.
Lantas saya tangkap tengkuk lembaga botak itu.

“Lepaskan” perintah saya keras.

“Ampun…” sahut lembaga botak
tergigil-gigil.

“Taubat, kami tak buat lagi. Kami akan lepaskan budak ni” katanya gementar.

Tetapi dia tetap meriba budak itu.

“Walauanna quranna suyyirat
bihiljibalu…” saya berdoa dengan khusyuk dan taqwa kepada Allah.

Lalu saya hembuskan ke kepala
lembaga botak itu. Kepala itu menjadi hancur seperti debu berterbangan.
Jeritannya bergema ke segenap
pelusuk. Hanya saya saja yang dapat mendengar jeritannya yang menggema itu. Kalaulah semua orang yang berkumpul di tepi lombong itu dapat mendengarnya, tentulah mereka sedar betapa besarnya kuasa Allah.

Hanya ayat-ayat Allah saja dapat menghancur-leburkan segala gangguan syaitan. Malah ayat-ayat yang dibacakan setiap hari sewaktu menunaikan fardhu sembahyang itu boleh menggegarkan jantung syaitan.
Sekiranya mereka dapat melihat bagaimana terancamnya syaitan dengan ayat-ayat Allah itu, sudah tentu mereka insaf dengan diri mereka.

Inilah yang berlaku ke atas lembaga botak jelmaan dari puaka air itu. Dia tidak dapat menyembunyikan dirinya apabila dibacakan Surah Waddhuha.
Kemudian seluruh anggotanya menjadi debu bila dibacakan ayat-ayat Quran.
Kalaulah dengan ayat-ayat Quran gunung boleh dihancur-leburkan, apa sangatlah kepada Allah kalau mahu meleburkan makhluknya seperti syaitan itu.
Sebaik saja tubuh lembaga botak itu berkecai menjadi debu, mayat anak Abang Amud itu terlepaslah dari ribaannya.

“Sudah dilepaskan mayat budak tu, kejap lagi timbullah” saya memberitahu Aki Sahak.

“Baiklah sekarang masuk semula ke dalam tubuh kamu, dan buka mata” saya dengar Aki Sahak memberi arahan.

Perlahan-lahan saya masuk ke tubuh yang terbaring. Kemudian semuanya menjadi gelap. Apabila saya buka mata semua orang masih mengelilingi saya.

Tatkala saya mahu duduk, terdengar dua tiga orang memekik dari tepi lombong, “Itu dia, itu dia…mayat budak tu dah timbul di tengah lombong” kata mereka kegembiraan.

Tiba-tiba saya tergamam bila Abang Amud memeluk leher saya. Terasa air matanya hangat menitis di atas bahu saya.
Ketika ini orang ramai sudah mula menarik jenazah anak Abang Amud ke tepi. Ketua penyelam itu segera mendapatkan Penghulu Mukim, dan dia sibuk menyediakan laporan mengenai gerakan mencari mayat budak tersebut.
Di samping itu dia juga telah
melaporkan ke ibu pejabatnya
mengenai kejayaan menemui mayat itu.

Penyelam-penyelam itu juga
mengambil keputusan untuk
membatalkan perkhemahan di situ, di samping mahu membawa jenazah berkenaan ke hospital terlebih dahulu.
Sementara Abang Amud membantah tidak mahu lagi jenazah anaknya dibawa ke hospital.

Setelah Penghulu Mukim memberi jaminan kepada Abang Amud bahawa mayat anaknya tidak akan dibedah apabila dibawa ke hospital, barulah Abang Amud setuju. Saya juga nasihatkan Abang Amud supaya bekerjasama dengan penyelam- penyelam tersebut kerana terpaksa membawa jenazah anaknya ke hospital terlebih dulu sebagai urusan rasminya.

“Mereka juga bersusah payah menolong Abang Amud” kata saya mententeramkan Abang Amud.

“Ah, dia nak cari nama je…” rungut Abang Amud mendongkol fasal Ketua Penyelam itu pada mulanya tidak mahu kerjasama dari Aki Sahak.

“Mereka juga sama berpenat lelah” Aki Sahak juga meng
ingatkan dia.

“Dia datang kerana tugas, sebab itu dia perlukan bawa jenazah budak ni ke hospital. Biarlah tugasnya selesai…” Penghulu Mukim memujuk Abang Amud.

Malam itu juga jenazah anak Abang Amud dibawa ke hospital. Sementara Penghulu Mukim sendiri mengikutnya bagi mengelakkan dilakukan pembedahan ke atas mayat berkenaan.

Kira-kira pukul 2.00 pagi barulah jenazah itu dapat dibawa balik ke rumah.
Semasa orang-orang kampung
berkumpul di rumah Abang Amud menunggu kepulangan jenazah anaknya, satu bunyi menggerunkan kedengaran dari arah lombong. Bunyi itu bergaung kuat seperti air disedut.
Sali merapati saya dan bertanyakan apakah bunyi yang kedengaran dari lombong tersebut.

Saya sendiri tidak tahu apakah harus dijawab. Sebenarnya saya tidak tahu mengenai latar belakang kampung tersebut. Tentulah saya tidak tahu kejadian yang berlaku ke atas anak Abang Amud. Hanya beberapa minggu sebelum itu seorang pengail tua mati lemas di lombong berkenaan.
Sali bertanyakan kepada saya kerana disangkanya saya dapat melihat semua keadaan di dalam lombong. Memanglah sukar bagi saya mahu menerangkan kepada Sali bagaimana saya melihat lembaga botak di dalam lombong tadi, tetapi bukannya melihat semua penjuru yang terdapat di dalam lombong.
Bunyi bergaung macam air disedut itu berulang kali semakin kuat. Saya juga terkejut dengan bunyi yang menggerunkan itu. Saya lihat Aki Sahak melelapkan mata menggunakan makrifat mahu mencari punca bunyi tersebut.

“Nampaknya dia nak minta geruh juga” bisik Aki Sahak.

Mukanya kelihatan garang seperti menghadapi musuh di hadapan. Saya merasakan bulu roma saya tegak.

Ini bukanlah bererti saya bimbang menghadapi gangguan syaitan, tetapi secara automatik apabila zikir dikuatkan di dalam hati, bulu roma mudah saja tegak. Apalagi tatkala mengetahui akan gangguan syaitan.

“Kalau dia nak geruh, kita bagi geruh!” sahut saya macam mencabar lawan.

“Ini geruh lain yang dipintanya” kata Aki Sahak menggertap bibir.

“Dia nak minta aku sendiri. Laknat…!” kemarahan terbayang pada wajah Aki Sahak.

Ketika ini jenazah anak Abang Amud belum sampai lagi ke rumah. Kira-kira dalam pukul 12.30 tengah malam. Bunyi bergaung macam air disedut itu cukup jelas kedengaran kepada orang ramai yang berkumpul di rumah Abang Amud menunggu kepulangan jenazah.

“Kalau begitu kita mesti ke hospital” Sali mengesyorkan.

“Mana tahu kalau diganggunya pula jenazah budak tu” dia kelihatan cemas menghadapi suasana demikian.

“Nanti dulu…” ujar Aki Sahak.

“Selalukah bunyi macam tu
kedengaran?” tanya saya pada Sali.

“Tak pernah…” katanya menggelengkan kepala.

“Seumur hidup saya tak pernah dengar bunyi macam tu” jelasnya semakin bertambah bimbang.

“Macam mana?” Aki Sahak pula
bertanya kepada saya.

“Aki dah biasa di sini, terpulanglah pada Aki” sahut saya perlahan.

Saya tahu Aki Sahak mahukan buah fikiran saya bagaimana mahu menghadapi keadaan selanjutnya.
Cuma saya dan Aki Sahak saja yang tahu mengenai hantu botak jelmaan puaka air itu. Sebab itu dia bertanyakan kepada saya, kerana jenis puaka air ini sama juga dengan syaitan yang mesti dimusuhi oleh anak-anak Adam.

Dari Kak Liah isteri Abang Amud kami diberitahu mengenai lombong itu adalah bermula dari sungai mati iaitu teluk sungai yang terputus apabila sungai menjadi lurus. Kata Kak Liah nenek moyang Abang Amudlah yang menjaga lombong berkenaan.

Semasa arwah ayah Abang Amud masih hidup dia sering membuat ancak sebagai makanan kepada penunggu di situ. Dia melakukannya adalah
mengikut seperti mana dipesankan oleh ayahnya pula. Mereka turun temurun membuat ancak di tepi lombong setahun sekali dengan meletakkan ayam separuh masak di situ.

Tetapi setelah kedatangan Aki Sahak ke situ, Abang Amud datang belajar agama dari Aki Sahak. Sejak itu dia tidak pernah lagi melakukan kerja- kerja memberi makan penunggu.
Seperti yang diceritakan oleh Kak Liah, sejak beberapa keturunan Abang Amud lombong itu memang sudah ada di situ.
Lombong itu berasal dari sungai mati seperti yang disebutkan tadi.

Lama kelamaan lombong berkenaan menjadi besar. Ikan banyak di situ.
Ketika ini Pak Jarak merupakan
pengail di kampung tersebut. Dari Pak Jarak inilah asal usul keturunan Abang Amud kemudiannya. Tiap-tiap hari Pak Jarak mengail tetapi tidak dapat ikan.
Mahu menjala dia tidak berani masuk ke tengah disebabkan lombong itu dalam. Kalau mahu menjala dari tepi saja mungkin tersangkut pada akar- akar kayu.

Satu hari ketika hujan turun renyai- renyai Pak Jarak nampak seekor ular besar berlingkar di atas sebatang kayu yang melintang di tengah lombong.

Ketika dia ternampak ular ini mata kailnya direntap ikan. Tetapi sayangnya mata kail dia tersangkut di dalam air.

Pak Jarak menjadi serba salah sama ada mahu turun ke air melepaskan mata kailnya yang tersangkut atau membiarkannya begitu
saja. Kalau mahu turun ke air dia bimbang akan ular besar yang berlingkar di tengah lombong berhampiran denagn tempatnya menghulur joran kail.
Dalam keadaan serba salah ini satu lembaga botak muncul di depannya. Lembaga botak ini pula berpaut pada hujung ekor ular tadi.

“Jarak…!” lembaga botak ini
menegurnya.

“Awak mengail di sini tak minta
kebenaran kawan. Lombong ini kawan yang punya…” katanya mengingatkan.

“Mana aku tau awak yang punya” sahut Pak Jarak memberanikan hati.

Sedikit sebanyak dia juga memang pawang terkenal di kampung itu.

“Kawan tak mahu awak mengail lagi di sini!” kata lembaga botak itu memberi amaran.

“Aku tak peduli…” sahut Pak Jarak tersinggung dengan sikap lembaga botak berkenaan.

“Selama ini rupanya kaulah yang menyebabkan aku tak dapat ikan” jerkahnya lalu menghunus parang.

Pantas dia mencacakkan mata parang ke tanah, sambil membaca jampi serapah seperti yang pernah dituntutnya. Lembaga botak itu menjadi marah lantas melontar Pak Jarak dengan rantai besi. Pak Jarak menepisnya sambil menghentakkan tumit tiga kali ke bumi.
Lembaga botak itu terhuyung hayang bagaikan dadanya kena hentak dengan tumit.

“Kalau awak berkeras juga…” laung lembaga botak itu menahan kesakitan di dadanya.

“Kawan balas dendam pada anak bini awak. Anak bini awak pun selalu mengail ke sini!” katanya mengancam.

Pak Jarak menjadi serba salah. Dia tahu puaka air itu tidak dapat melawan dia, bagaimanapun dendamnya tetap membara. Mungkin anak atau isterinya akan diganggu apabila datang ke lombong tersebut. Dia tidak boleh menegah isteri atau anaknya supaya jangan mengail di situ kalau tidak bersebab. Dia juga tidak boleh memberitahu mereka tentang apa yang dilihatnya sekarang.

“Jadi awak nak apa?” soal Pak Jarak bercekak pinggang.

“Lebih baik kita bersahabat” sahutnya tegas.

Tawaran puaka air itu mudah saja diterima oleh Pak Jarak. Ilmu kebatinannya yang dituntut selama ini memberi kesan juga. Bukan mudah mahu bersahabat dengan puaka air, seperti juga bersahabat dengan hantu raya dan lain-lain. Syarat bersahabat pun memang dia tahu. Dia perlu memberi makan sahabatnya itu setahun sekali iaitu seekor ayam panggang masak mentah, bertih dan darah ayam berkenaan.

Setelah bersahabat dia boleh
mengarahkan puaka air itu
mendapatkan apa saja keperluannya. Dia juga boleh mendapatkan pertolongan menentang musuh- musuhnya kalau perlu apabila sudah bersahabat.

“Kalau kau mahu bersahabat, apa salahnya” ujar Pak Jarak lalu mencabut parangnya.

Dia memulangkan semula rantai besi yang dilemparkan oleh puaka air ke arahnya tadi. Di situlah mereka berteguhan janji sebagai sahabat.

“Ingat, kau jangan ganggu anak cucu dan keturunan aku!” katanya meminta janji.

“Baiklah..asal saja kita tak putus sahabat” balasnya.

Selepas itu ular yang berlingkar di atas batang melintang di tengah lombong itu menyelam semula ke dalam air bersama lembaga botak yang berpaut pada hujung ekornya. Kemudian Pak Jarak merentap kailnya dan dapatlah ikan kelah sebesar daun keladi.

Tiap-tiap hari bila dia mengail sentiasa dapat banyak ikan. Bagaimanapun kalau hari hujan panas dia melarang anak cucunya bermain di tepi lombong itu. Siapa yang mengail ketika itu disuruhnya balik. Apakah rahsia hujan panas itu tidak pernah diberinya tahu kepada anak cucunya.

“Macam itulah ceritanya…” jelas Kak Liah pada saya.

“Kalau begitu…” bisik saya pada Sali.

“Mari kita ke baruh tengok apa yang ada di lombong sekarang” kata saya mengajaknya.

Aki Sahak juga membenarkan saya pergi melihat apakah sebenarnya yang berlaku di lombong. Dia sendiri
menunggu di situ saja. Kemudian saya dan Sali terus menuju ke baruh. Sali membawa lampu picit dan berjalan di depan. Saya mengekorinya dari belakang.

Ketika sampai di lombong suasana di situ terlalu gelap. Kami menyusup di celah-celah teberau untuk memerhatikan lebih dekat apakah yang sebenarnya berbunyi. Sali sendiri tidak pernah lagi mendengar bunyi tersebut.
Memang bunyinya sungguh
menggerunkan.

Saya menyuruh Sali memadamkan lampu picit terlebih dulu. Oleh itu kami terpaksa merempuh belukar teberau itu dalam keadaan gelap gelita. Sebaik saja sampai di tebing lombong, terdengar bunyi bergaung itu seperti air disedut.
Tidak ada apa-apa yang kelihatan walaupun bunyinya terlalu hampir dengan kami. Sali terdiam tidak bercakap apa-apa. Saya tahu dia benar- benar dalam ketakutan.

“Jangan-jangan naga tak ustaz?”
bisiknya gementar.

“Entahlah” jawab saya, kerana cerita naga ini tidak terlintas langsung di kepala saya.

“Sebenarnya inilah lombong yang dipanggil orang lombong guntung” beritahunya perlahan dalam keadaancemas.

“Kalau hari hujan panas pernah orang nampak ular besar timbul di tengah lombong” katanya tidak pernah renggang dari saya.

“Kau pernah nampak?” tanya saya menduga.

“Tidak..” katanya sambil memerhati ke tengah lombong.

“Pernah mengail?” soal saya lagi.

“Ada juga..” jelasnya.
“Kadangkala menjala juga dengan orang kampung” dia menerangkan selanjutnya.

“Tak ada pula jumpa ular?” saya
kehairanan dengan keterangan dia.

“Selalunya Abang Amud bakar
kemenyan barulah orang berani
mencari ikan” Sali menceritakan kepada saya latar belakang sebenarnya lombong guntung itu.

Mengapakah dipanggil lombong
guntung Sali juga tidak tahu, kononnya nama itu sudah ada sejak turun temurun.
Saya hanya mengangguk-angguk saja mendengar cerita Sali. Mungkin orang bandar mengatakan itu sebagai tahyol, tetapi bagi saya bukannya perkara mustahil. Di dalam Quran pun ada di sebutkan tentang peranan syaitan yang menjadi musuh setiap insan.
Syaitan yang nyata ialah perbuatan seseorang insan itu, tetapi syaitan yang tidak nyata adalah makhluk halus yang tidak boleh dilihat dengan pancaindera. Bagaimanapun apakah caranya saya hendak menerangkan kepada Sali tentang puaka air yang disebutkan tadi.

Memang cerita Kak Liah itu juga
dianggap tahyol. Tetapi apa yang diceritakan oleh Kak Liah, sudah dapat saya lihat sendiri melalui makrifat yang dilakukan oleh Aki Sahak. Itulah lembaga botak yang dikatakan pernah ditemui oleh Pak Jarak.
Sayangnya Pak Jarak cuma mempunyai ilmu pawang, bukannya ilmu agama.
Maka dia telah menerima syaitan menjadi sahabatnya. Sepatutnya seseorang insan tidak boleh menjadikan syaitan itu sahabat, sebaliknya mestilah menggunakan syaitan itu sendiri untuk melawan syaitan yang lain.

Sebenarnya kita boleh menggunakan syaitan, tetapi jangan biarkan diri kita digunakan oleh syaitan. Cara bersahabat yang dibuat oleh Pak Jarak, memang selalu digunakan oleh pawang-pawang di masa lalu. Cara bersahabat ini secara tidak langsung telah menjadikan diri kita dipergunakan oleh syaitan.
Insan berhak memerintah syaitan seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Allah Sulaiman ‘Alaihissallam.
Dan ilmu syaitan tidak akan dapat mengatasi ilmu insan seperti diterangkan dalam Quran mengenai Nabi Allah Sulaiman ‘Alaihissallam.

Tatkala Nabi Allah Sulaiman
‘Alaihissallam mahukan istana Puteri Ratu Balqis dipindahkan dan dibawakan kepadanya, jin Afrit yang merupakan syaitan paling tinggi ilmunya telah menyahut seruan Nabi Allah Sulaiman ‘Alaihissallam berjanji akan membawa istana Balqis sebelum sempat Nabi Allah Sulaiman ‘Alaihissallam bangun dari duduk.

Tetapi seorang insan telah menyahut dengan berjanji akan membawa istana Balqis sebelum sempat mata Nabi Allah Sulaiman ‘Alaihissallam berkedip. Ini menunjukkan ilmu syaitan tidak akan dapat menandingi ilmu insan. Jadi, mengapakah kita mengambil jalan bersahabat dengan syaitan?

Hal ini susah saya hendak terangkan kepada Sali.
Lama saya dan Sali berdiri di tepi tebing lombong itu, tetapi tidak ada lagi bunyi menggerunkan seperti tadi.
Kalau ada bunyinya saya akan
menyuruh Sali menyuluh, walaupun saya tahu kalau disuluh pun tentulah tidak akan kelihatan apa-apa.

“Dah tak ada bunyinya..” keluh Sali pendek.

“Pukul berapa sekarang?” saya
bertanya.

Sali menyuluh jam tangannya

“Dekat pukul dua…” beritahunya perlahan.

“Kita balik dulu…” ujar saya menepuk bahunya.

“Kalau ada lagi bunyinya, esok kita ajak Aki Sahak kerjakan” terus saya tolak dia suruh berjalan di hadapan.

Sali tidak menyahut. Dia memasang lampu picit semula merempuh belukar teberau. Ketika berdiri di tebing lombong itu sempat juga saya membaca Ayatul Kursi sebanyak 133 kali.
Sepanjang perjalanan balik itu tidak ada pun kami dengar bunyi macam air disedut itu lagi.

Semasa kami sampai di halaman rumah Abang Amud itulah, jenazah anaknya baru sampai dibawa balik dari hospital.

Leave a comment

Filed under Renungan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s