Bercakap dengan jin ~65 ~ Darah dalam mulut

Haji Salim menggigit bibir. Matanya merenung wajah saya dan datuk sebentar. Ia menarik nafas panjang sambil menepuk pangkal lengan datuk.

“Bagaimana kalau kebolehan yang ada pada awak dan saya disatukan untuk menentang perkara jahat.”

“Saya juga terfikir ke arah itu tapi…,” datuk tidak meneruskan kata-katanya.

Saya lihat datuk kerutkan kening macam ada sesuatu masalah besar yang bermain dalam kepala.

“Apa masalah yang awak fikirkan?” mendadak Haji Salim mengajukan pertanyaan.

“Dari mana harus kita mulakan kerja ni, inilah yang saya fikirkan.”

“Mudah saja.”

“Mudah macam mana?”…

“Kita tahu, ada orang yang memuja syaitan dan syaitan yang dipuja tu mula bergerak dan kita harus menentangnya.”

“Banyak persediaan yang mesti kita adakan Haji.”

“Kita adakan,” tingkah Haji Salim tenang.

Datuk meraba pangkal leher berkali-kali. Sinar matahari petang yang lembut masuk ke ruang tempat kami duduk melalui jendela yang terbuka. Haji Salim terus memicit ibu jari kanan perlahan-lahan. Datuk bangun dan berdiri di muka jendela, melihat beberapa ekor burung gagak yang terbang rendah sambil berbunyi. Haji Salim juga bangun mengambil sebilah keris. Mata keris itu dilurutnya dengan limau nipis. Air limau menitis atas kain pelekat yang dipakai.

“Aduh,” jerit saya sekuat hati.

Cara tiba-tiba saya terasa batang leher ditekan oleh sepasang tangan yang kasar dan berbulu tebal. Makin kuat saya bergerak, makin kejap tangan berbulu itu menekan leher membuat saya susah bernafas. Datuk dan Haji Salim segera menghampiri saya. Aneh, bila mereka berada dekat saya, tangan kasar yang berbulu, melepaskan leher saya. Semua yang berada di ruang itu bergerak dengan sendiri. Lembing yang tersusun di atas tempatnya bergerak lagi, macam dilanggar sesuatu.

“Benda sial tu, masih ada lagi di sini,” nada suara datuk meninggi.

Matanya, merenung ke setiap penjuru ruang. Haji Salim terus menghampiri saya, melihat bahagian tengkuk saya yang disentuh oleh tangan ghaib.

“Leher cucu kamu lebam dan bercalar,” Haji Salim memberitahu datuk dengan wajah yang sedikit cemas.

“Tak apa, benda tu mencabar kita,” balas datuk.

“Kalau selalu dicabar, padahnya kita yang menanggung,” rungut Haji Salim penuh kesal.

Haji Salim terus mengurut tengkuk saya. Rasa sakit dan sengal terus berkurangan. Saya dapat menggerakkan leher saya ke kiri dan ke kanan dengan aman. Rasa pedih dari kesan tercalar itu masih dapat saya rasakan. Datuk dan Haji Salim kembali di tempat asal. Benda-benda yang berada di ruang tersebut terus bergerak. Datuk dan Haji Salim tidak ambil kisah dengan semuanya itu, seolah-olah tidak ada apa yang berlaku di situ. Mereka terus merancang untuk melakukan sesuatu.

“Huuuupppp…,” jerit Haji Salim sambil melompat.

Seekor belalang kunyit yang besar hinggap di pangkal lengan Haji Salim. Mata belalang itu kelihatan bersinar-sinar merenung ke arah datuk dan saya. Haji Salim cuba menangkap belalang tersebut. Usahanya tidak berjaya, setiap kali ia cuba mengangkat tangan, belalang itu terbang ke tempat lain. Bila Haji Salim diam, belalang itu datang padanya. Hinggap di mana suka. Ada masanya di pangkal hidung, di telinga atau di kening. Tindak tanduk belalang kunyit itu memang tidak menyenangkan Haji Salim. Ia jadi marah.

“Belalang sial,” jerit Haji Salim bila belalang kunyit itu hinggap di cuping telinganya untuk kali yang kelima.

Ia bangun dan terus mengambil batang penyapu. Belalang itu terbang ke arah dinding dan hinggap di situ. Haji Salim angkat penyapu dan hayun ke dinding. Belum pun sempat penyapu menjamah dinding, belalang itu terus terbang dan hinggap di batang hidungnya. Marah Haji Salim kian menjadi-jadi, mukanya kelihatan kemerah- merahan, sinar matanya nampak garang sekali.

“Sudah, jangan dilawan nanti awak penat sendiri,” kata datuk.

“Sial betul.”

“Ada cara menghalaunya, ambilkan saya sebiji cili kering, sebiji bawang besar dan limau nipis,” kata datuk dengan tenang.

“Nak buat apa?”

“Saya nak menumis sambal belalang kunyit?”

“Ah…,” Haji Salim terkejut.

Wajah datuk direnungnya tepat. Ia mahu mempastikan apakah datuk bercakap benar atau sekadar untuk bergurau senda.

“Kau bergurau dalam masa orang cemas begini?”

“Tidak,” datuk bangun menuju ke ruang dapur.

Tiba- tiba belalang yang terbang ke sana ke mari dalam ruang, terus menghilang tanpa dapat dikesan.

“Dah hilang,” kata saya.

Langkah datuk terus mati. Haji Salim letakkan penyapu atas pelantar. Kami merenung ke setiap sudut tidak bergerak lagi. Suasana terasa sepi sekali.

“Aku harap dia keluar terus dari sini,” keluh datuk lalu melangkah dan berdiri di muka jendela.

Melihat langit petang yang cerah, beberapa ekor burung gagak kelihatan terbang dengan bebas sambil berbunyi.

“Biar kami balik dulu,” kata datuk.

Saya pun segera bangun mengikut langkah datuk menuju ke muka pintu.

“Boleh saya gunakan petua awak untuk menghalau belalang tu, kalau-kalau ia datang lagi,” Haji Salim berlari mendapatkan datuk.

Saya lihat datuk tersenyum.

“Boleh, saya dapat petua tu dari orang tua-tua yang terdahulu. Kata mereka itulah petua menghalau hantu syaitan seperti pelesit dan jembalang,” terang datuk dengan tenang.

Haji Salim anggukkan kepala.

Saya dan datuk meninggalkan rumah Haji Salim. Matahari terus beransur condong. Burung-burung gagak berkeliaran melompat dari dahan ke dahan sambil berbunyi dalam nada suara yang nyaring. Lebih kurang dua puluh langkah kaki melangkah, saya menoleh ke arah rumah Haji Salim. Saya lihat Haji Salim masih tercegat di muka pintu, melambai- lambaikan tangan ke arah saya dan datuk.

“Ada masanya petua orang tua-tua tu boleh dipakai, kau sendiri tengok. Lepas aku cakap begitu belalang tu terus ghaib entah ke mana,” beritahu datuk kepada saya.

Macam selalu, bila datuk berkata demikian, saya cuma anggukkan kepala sahaja. Kira-kira sepuluh minit perjalanan, akhirnya saya dan datuk sampai ke rumah. Saya terus menuju ke bilik dapur. Saya lihat nenek sedang duduk memilih antah beras. Tanpa membuang masa, saya terus duduk di sisi nenek dan terus membantunya memilih antah beras. Saya mampu bertahan di sisi nenek cuma kira-kira lima minit sahaja. Memilih antah beras memang membosankan dan tidak layak untuk dikerjakan oleh orang lelaki. Saya terus bangun untuk pergi ke ruang anjung rumah. Baru mahu melangkah nenek terus bersuara.

“Kau dan datuk singgah di mana? Hingga lambat balik. Air kopi yang disediakan semuanya sudah sejuk.”

“Singgah rumah Haji Salim,” sahut datuk dari atas.

Saya senyum memandang ke arah nenek. Saya lihat nenek tersenyum. Saya terus masuk ruang anjung. Tukar baju dan seluar.Saya ambil gasing dan tali di bawah meja. Kemudian melompat ke halaman rumah. Hasrat hati saya mahu pergi mencari kawan untuk diajak main gasing.

“Tamar.”

“Ya tuk.”

“Kau mahu main gasing dengan kawan-kawan.”

“Ya tuk.”

“Jangan main lama-lama, dekat Maghrib mesti balik. Aku tak mahu kau merayau ke mana-mana. Keadaan tidak begitu aman.”

“Saya pergi main kejap aje tuk.”

“Pergilah.”

“Baik tuk,” saya terus melompat keriangan.

Kemudian terus berlari menuju ke rumah beberapa orang kawan. Menjelang waktu Maghrib baru saya pulang. Tetapi kepulangan saya, tidak segembira waktu saya pergi tadi. Gasing kesayangan saya terbelah dua dipangkah oleh kawan. Mahu menangis rasanya, melihat gasing yang dibuat dari batang limau terkopak dua dan pakunya tercabut lalu hilang.
“Esok aku buat yang baru,” kata saya menghiburkan hati.

Sudah dua hari Haji Salim tidak datang ke rumah. Sudah dua hari orang-orang kampung terhindar dari gangguan perkara-perkara yang ganjil. Semuanya berada dalam keadaan aman. Selama dua hari juga, datuk tidak membincangkan perkara kubur lama di hujung kampung dengan nenek atau saya. Datuk lebih banyak membisu dan membuat amalan pada waktu malam.

Pada sebelah siangnya, datuk banyak menghabiskan dengan membuat lukah atau memburu ayam hutan. Berdasarkan pada tindak tanduknya itu, saya menganggap datuk dan Haji Salim telah berjaya membanteras perbuatan terkutuk itu dengan cara kebatinan. Kalaulah anggapan saya itu benar, saya memang gembira. Dua minggu kemudian, kira- kira pukul sepuluh malam, Haji Salim datang ke rumah datuk dengan membawa sundang. Datuk yang sedang membaca surah Yasin terkejut dengan kedatangan Haji Salim.

“Bukankah sudah saya pesan, kita tak boleh berpandangan muka, bertegur selama tiga minggu. Apa awak sudah lupa. Kalau macam ini awak, usaha kita akan jadi sia-sia, kita buat perkara bodoh,” suara datuk keras.

Pertama kali saya lihat datuk bersikap kasar terhadap Haji Salim. Datuk berdiri di muka pintu tanpa mahu menjemput Haji Salim naik ke anjung. Andang daun kelapa yang dibawah oleh Haji Salim menerangi sebahagian daripada halaman rumah. Cahaya andang itu juga menjalar hingga ke ruang anjung.

“Maafkan saya, saya ada masalah besar,” tambah Haji Salim yang memakai kain pelekat petak besar, berbaju putih tebal yang sudah bertukar warna menjadi agak kekuning-kuningan, bersongkok putih yang tepinya sudah bertahi lalat.

“Apa masalahnya?”

“Cucu saudara saya, hilang.”

“Lelaki ke perempuan.”

“Perempuan, baru anak dara sunti.”

“Haaa…,” datuk mengeluh.

Wajahnya mula resah. Kemarahan yang merajai wajahnya sebentar tadi terus hilang

. “Sudah dicari ke belum?” tanya datuk.

“Saya sudah puas mencarinya, bila tak terdaya baru saya jumpa awak. Saya ingat pesan yang awak buat pada saya dulu, saya terpaksa melanggarnya. Saya sudah terpaksa.”

“Sudah terpaksa tak apalah,” suara datuk terus lembut.

Datuk terus menjemput Haji Salim naik ke anjung. Jemputan datuk itu segera ditunaikan. Andang daun kelapa dipadam dan disandarkan pada pangkal tiang. Tanpa dijemput saya datang ke anjung. Duduk bersimpuh dekat datuk.

“Kita pergi ke kubur lama,” Haji Salim mengemukakan cadangan.

“Jangan terburu-buru, kita cari,” balas datuk.

“Di mana kita nak cari, sudah puas mencarinya. Saya dah putus asa. Sudahlah cucu saudara saya tu tak ada ayah, ada emak lumpuh pula, entah apalah nasibnya,” Haji Salim tunduk merenung lantai.

Saya jadi hiba. Badan saya terasa sejuk dijamah angin malam yang membawa suara katak dan cengkerik bersahut-sahutan. Bunyi burung hantu di hujung dahan jelas kedengaran.

“Jangan putus asa, mari kita ikhtiar untuk kali terakhir kumpulkan orang-orang kampung,” datuk renung muka Haji Salim.

“Orang-orang kampung tunggu dekat dewan sementara menanti awak datang. Saya tahu ini semua kerja orang yang memuja kubur, mereka dendam dengan saya,” keluh Haji Salim.

“Sudahlah tu, mari kita ke dewan,” datuk terus bangun meninggalkan ruang anjung.

Haji Salim juga berbuat demikian. Sampai di halaman, Haji Salim menghidupkan api andang daun kelapa. Datuk terus menyuluh ke kiri dan ke kanan dengan lampu picit. Saya masih lagi berdiri di anjung rumah. Tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Apakah saya harus mengikuti mereka atau tinggal bersama nenek di rumah.

“Kau jangan ikut Tamar,” kata nenek.

“Ha….saya nak ikut,” saya terus melompat, memburu datuk dan Haji Salim yang berada dalam jarak 30 kaki dari saya.

Datuk dan Haji Salim tidak menoleh ke arah saya, mereka terus melangkah dengan rancak. Walau bagaimanapun, mereka tahu saya mengikuti mereka di belakang. Cahaya obor daun kelapa Haji Salim terus menerangi permukaan jalan, bunga- bunga api dari obor daun kelapa berterbangan di udara ditolak angin malam. Siulan cengkerik dan bunyi katak tidak pernah putus.

Kami sampai ke dewan, terdapat kira-kira antara enam hingga sepuluh orang kampung yang duduk bertenggek pada bibir simen dan semuanya saya kenal. Beberapa dari mereka menyedut rokok daun bertembakau jawa. Bau asap dari rokok daun bertembakau jawa itu membuat nyamuk tidak berani dekat pada orang-orang kampung yang ada di situ.

“Kau Daud, duduk dekat rumah budak tu, kau tentu tahu waktu bila budak itu hilang,” datuk mengajukan pertanyaan pada seorang lelaki yang berbadan kurus.

“Budak perempuan tu memang selalu mandi di sungai waktu Maghrib nak tiba, saya sudah tegur tapi dia tak peduli.”

“Bukan itu, aku nak tahu waktu bila ia hilang Daud.”

“Begini, petang tadi saya nampak dia ke sungai. Maghrib dia tak balik, emaknya menangis dan suruh saya mencarinya.”

“Kau pergi cari?”

“Saya cari tapi tak jumpa, saya minta tolong jiran lain. Semuanya sia-sia. Kemudian baru saya beritahu Haji Salim,”

Daud berhenti bercakap. Wajahnya sedih. Dan orang-orang kampung yang ada di situ mengakui keterangan Daud itu. Mereka terlibat dalam usaha mencari gadis sunti yang hilang itu. Mereka juga memberitahu datuk, mustahil gadis sunti itu dihanyutkan oleh arus sungai kerana air sungai begitu cetek sekali. Mahu dikatakan gadis itu dilarikan oleh orang jahat juga tidak masuk di akal. Belum ada orang jahat yang muncul di kampung.

“Ah, semuanya ni perbuatan orang yang memuja kubur,” tiba-tiba Haji Salim bersuara lantang dan bersedia untuk mengeluarkan beberapa ungkapan lagi.

“Sudah haji, dalam sesuatu hal kalau kita terlalu menurut perasaan akan membawa padah buruk pada diri kita,” tingkah datuk.

Orang-orang kampung yang ada di situ anggukkan kepala, seolah- olah setuju dengan apa yang datuk katakan itu.

“Begini saja, kita cari malam ni juga,” datuk mengemukakan cadangan.

Ternyata tidak semua orang- orang kampung yang ada di situ mahu menerima cadangan datuk.

“Siapa mahu ikut saya,” tanya datuk lagi.

Cuma tiga orang sahaja yang mengangkat tangan tanda setuju, manakala yang lain tidak mengangkat tangan termasuklah Daud, jiran terdekat keluarga gadis sunti yang hilang.

“Kenapa Daud?” soal Haji Salim.

“Kerja sia-sia. Susah mencari orang hilang waktu malam. Kami dah buat tadi,” sahut Daud.

“Habis apa yang patut kita lakukan?”

Soal Haji Salim.

“Kita cari siang esok, lagi mudah.”

“Tak apalah, siapa yang tak mahu boleh pulang. Siapa yang mahu ikut, bersedia,” datuk mengeluarkan arahan.

Kumpulan Daud terus meninggalkan kawasan dewan. Bila saya hitung, ternyata cuma tiga orang sahaja orang kampung yang mahu menyertai kami. Dicampur dengan diri saya, datuk dan Haji Salim, jumlah kami menjadi enam orang sahaja.

“Kita pecahkan enam orang ni, menjadi tiga kumpulan. Tamar ikut Borhan, Salleh ikut Haji Salim, Hassan ikut saya.”

Datuk mula mengatur gerakan. Saya segera berdiri di belakang Borhan yang sudah pun menyalakan obor daun kelapa.

“Saya yakin dengan pertolonga Allah yang Maha Besar, budak perempuan yang hilang tu akan kita jumpa juga,” kata datuk lalu mengajak kami pergi ke tebing sungai.

Ia menyuruh kami mencari kesan-kesan yang ditinggalkan oleh budak perempuan yang hilang itu. Seluruh kawasan tempat gadis sunti mandi, habis kami jajahi. Pokok besar, pokok kecil semuanya kena pijak dan diselongkar. Tidak ada sesuatu kesan pun yang dapat kami temui. Haji Salim cacakkan andang daun kelapa ke tanah. Ia terus duduk di atas sebatang pokok yang tumbang. Langit waktu itu kelihatan cerah. Gumpalan awan putih bergerak perlahan-lahan arah barat daya. Bulan yang sedang mengecil terus dipagar oleh bintang-bintang yang sedang mengerdip. Embun malam terasa menjamah rambut.

“Begini, Tamar dan Borhan cari sebelah sana, terus hingga sampai ke kaki bukit. Haji Salim sama Salleh dari sebelah sini hingga ke hilir sungai. Saya sama Hassan cari dari seberang sungai hingga sampai ke kawasan bendang,” datuk mengeluarkan aturcara dari pertimbangan akal fikirannya.

Tidak ada bantahan. Semuanya berpecah mengikut arahan yang ditetap. Saya jadi gementar, usia Borhan dengan saya jaraknya antara lima dan enam tahun sahaja. Tidak ada pengalaman. Dan orang-orang yang mengikut datuk dan Haji Salim lebih beruntung lagi. Datuk dan Haji Salim orang tua yang banyak pengalaman, tidak mudah gementar bila berhadapan dengan kecemasan. Saya dan Borhan bertengkar kecil, masing-masing tidak mahu jadi kepala. Borhan mahu saya jadi kepala, sedangkan saya keberatan kerana itu merupakan tugas yang berat. Akhirnya Borhan mengalah.

“Tak apa, kalau kau tak mahu apa boleh buat, marilah,” Borhan terus meredah hutan kecil.

Saya tersenyum tetapi, saya ditugaskan untuk membawa obor daun kelapa. Kami terus meredah hutan. Angin malam yang bertiup membuat badan saya terasa amat dingin. Beberapa batang ranting kering dan daun kering berjatuhan ke bumi akibat dirempuh angin. Bunyi katak dan cengkerik terus rancak kedengaran di samping bunyi tolongan anjing liar yang ditingkah oleh bunyi kelawar yang terbang malam mencari makanan.

Semua lubang, semua perdu pokok dan rimbunan lalang kami jenguk. Beberapa ekor katak dan belalang berlompatan, bagaikan marah kerana tempat mereka diganggu. Sesekali, kaki saya terpijak lopak. Dedaun yang saya langgar merempuh batang leher lalu, menjatuhkan air embun yang lekat di hujungnya pada kulit tengkuk. Terasa cukup sejuk.

Tiba-tiba saya tersepakkan sesuatu yang lembut dalam rumpun lalang. Bila saya bergerak, terasa benda lembut itu memaut pergelangan kaki saya. Benda lembut sejuk itu merayap hingga ke buah betis saya. Dada saya berdebar, badan terasa seram sejuk. Lolongan anjung kian jelas kedengaran. Suara cengkerik dan katak kian bertambah rancak. Angin terus menggugurkan ranting- ranting kering yang bunyinya amat menakutkan.

“Kenapa berdiri di situ Tamar.”

“Ada…,” saya tidak dapat meneruskan kata-kata. Badan saya terus menggeletar.

Malam yang dingin terasa panas hingga memercikkan peluh-peluh halus di dahi. “Kenapa muka kamu pucat Tamar?” “Ahhh..Ahhh ada…,” mulut saya terus terlopong. Benda lembut sejuk itu terus meraba buah betis saya. Melihat saya dalam keadaan yang cemas itu, Borhan menghampiri saya dan terus merampas obor dari tangan saya. Ia terus menyuluh ke arah rumpun lalang. Biji mata Borhan terbeliak. Tangannya terus menggeletar dan obor terus bergerak tidak tentu arah menurut getaran tangannya.

“Mayat Tamar,” suara Borhan separuh menjerit.

Mukanya kelihatan berubah. Mujurlah, rasa cemas itu sekejap saja menguasai dirinya. Beberapa minit kemudian, ia kembali tenang. Ia menarik tangan saya dari rumpun lalang. Saya angkat kaki kanan tetapi tidak berdaya. Kaki saya bagaikan ditarik oleh sesuatu. Jari-jemari manusia saya rasa mula merayap dari buah betis menurun ke buku lali.

“Mayat pegang aku Borhan.”

“Nanti aku lepaskan.”

Borhan pacakkan atas bumi. Dari cahaya obor itu saya melihat mayat seorang gadis terlentang. Biji matanya terbeliak, mulutnya ternganga, penuh dengan darah beku. Rambutnya mengerbang. Perkara yang benar-benar mencemaskan perasaan saya bila saya melihat jari jemari mayat itu memaut pergelangan kaki saya. Macam diarahkan oleh sesuatu untuk berbuat demikian. Dengan ekor mata saya menjeling ke arah jari-jemari mayat dan kaki kanan saya.

Rupa-rupanya telapak kaki kanan saya memijak pangkal lengan mayat itu. Tidak hairanlah bila saya menggerakkan kaki, tangan dan jari-jemarinya turut sama bergerak. Biji matanya yang terbeliak dengan rambut yang terhurai pada mayat tersebut memang menakutkan. Saya rasa matanya bagaikan melihat diri saya hingga ke jantung hati. Kakinya terkangkang keras. Kain batik lusuh yang dipakainya terselak hingga ke pangkal paha dan baju kebayangan pula terkoyak di bahagian dada. Saya kira ada perlawanan antara orang yang menyerang dengan mangsanya. Borhan terus menatap mayat itu. Tanpa diduga, Borhan menutup kedua belah matanya dengan telapak tangan.

“Mayat tu bergerak,” katanya.

“Bergerak,” pekik saya lalu membuka langkah seribu.
Habis pokok besar dan kecil saya redah, tidak terasa sakit walau sedikit pun. Melihat saya lari, Borhan juga ikut lari lintang pukang di malam yang gelap melanggar apa sahaja yang menghalang. Anehnya, kami sampai serentak ke tempat mula datang tadi. Kami tidak dapat berkata apa-apa, cuma tercungap-cungap macam ikan kekurangan air. Tidak sampai lima minit kami berada di situ Haji Salim, Hassan, Salleh dan datuk pun tiba. Mereka tercengang melihat kami tercungap- cungap dengan wajah yang pucat.

“Ada orang jumpa?” tanya datuk.

“Adaa…,” jawab Borhan sambil menyandarkan badannya pada saya.

Tiba-tiba ia terus rebah. Haji Salim terus mendekatinya.

“Pengsan,” kata Haji Salim.

Semua yang ada di situ segera memberi pertolongan pada Borhan. Akhirnya, Borhan pulih dari pengsan. Datuk memberikan rawatan dengan secukupnya pada Borhan. Mukanya yang pucat lesi, kembali merah.

“Apa yang kau jumpa Borhan?”

Datuk terus menyoal Borhan. Tangan datuk terus memicit setiap sendi tubuh Borhan. Air embun yang gugur terus menyentuh rambut kami. Dua tiga orang menguap panjang.

“Cucu saudara Haji Salim, si Timah sudah mati,” suara Borhan lemah.

Haji Salim terus termenung panjang. Matanya merenung pokok-pokok hutan yang tegak kaki di malam yang dingin. Lolongan anjing sudah tidak kedengaran lagi. Diganti dengan suara burung hantu dan jampuk. Bunyi katak dan cengkerik tetap hebat macam tadi. Datuk dan Haji Salim mengadakan rundingan. Kemudian datuk minta saya dan Borhan menunjukkan rumpun lalang tempat mayat itu dijumpai. Kali ini saya jadi kepala jalan. Saya tidak merasa takut atau gentar kerana ada datuk dan Haji Salim. Kami sampai ke rumpun lalang. Haji Salim terus mengangkat tubuh cucu saudaranya yang sudah kaku. Usianya sekitar tiga belas tahun. Datuk merenung mayat gadis malang itu dengan tenang.

“Lidahnya dipotong orang,” beritahu datuk pada Haji Salim.
“Memang tak salah agakan saya.”

“Kita berusaha mencari orang yang membuat kerja laknat itu.”

“Ya, kematian cucu saudara saya harus dibalas,” nada suara Haji Salim keras.

Saya, Hassan, Salleh dan Borhan hanya mendengar sahaja dengan apa yang dikatakan oleh datuk dan Haji Salim. Ketika mayat itu berada di pangkuan Haji Salim, saya tidak berani merenungnya. Mayat gadis sunti yang malang itu dibawa ke rumah ibunya. Diletakkan di ruang depan. Siang esok mayat gadis malang itu akan diuruskan pengkebumiannya, begitu mengikut rancangan Haji Salim yang disampaikan pada datuk. Lebih kurang pukul empat pagi, saya dan datuk meninggalkan rumah ibu gadis yang malang itu. Haji Salim terus membaca Quran dekat cucu saudaranya.

“Biar kami balik dulu Haji,” kata datuk pada Haji Salim.

Waktu itu, sudah pukul empat pagi, bintang timur sudah pun muncul di kaki langit. Udara terasa bertambah dingin.

“Tak apalah, esok datang awal. Kalau boleh biarlah sebelum pukul lapan pagi,”jawab Haji Salim pendek.
Ia terus membaca Quran dekat jenazah cucu saudaranya. Saya dan datuk meninggalkan rumah gadis sinti yang malang.

Sudah dua mingu , jenazah gadis sunti yang malang itu disemadikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Parit. Saya masih ingat, waktu orang-orang kampung meratakan tanah kubur, kira- kira pukul sebelas pagi, cuaca begitu baik, matahari memancar keras. Tanpa diduga oleh sesiapa pun, dalam cuaca panas yang terik itu, hujan turun dengan selebatnya. Pakaian ornag kampung yang ada di situ semuanya basah kuyup. Beberapa orang kampung meramalkan bahawa, hujan panas yang turun waktu orang menanam jenazah membawa alamat yang kurang baik pada orang yang masih hidup.

Leave a comment

Filed under Cerita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s