Bercakap dengan jin ~63 ~ Nesan berdarah

Saya terus menekup mata, bila kawannya yang memegang parang mengangkat parangnya tinggi-tinggi dan terus menjatuhkan atas lengan penjual. Semua orang di situ mengeluh, ada pula yang memalingkan muka ke arah lain. Tidak sanggup melihat darah dan lengan yang terputus dua.

“Yaaaakkk,” saya terdengar suara pemegang parang, lepas itu saya tidak terdengar apa- apa.

Semuanya sunyi sepi. Bila saya terdengar suara tepukan tangan orang ramai, saya segera menjatuhkan telapak tangan yang menutup mata saya. Aduh, sungguh mengkagumkan, lengan penjual ubat tidak putus dua. Tidak ada darah yang menitik atas muka tunggul. Wajah penjual ubat kelihatan tenang sambil menggosok lengannya dengan sejenis minyak yang dipamerkan di situ. Sedang penjual ubat asyik menggosok minyak di lengan, pemukul gendang mengambil tombak bermata kapak, lalu mengkapak belakang penjual ubat dengan sekuat hati. Semuanya tidak mendatangkan kesah, penjual ubat tersenyum bahagian belakangnya terus digosok dengan minyak. Dalam beberapa minit sahaja, orang yang berkumpul di situ berebut-rebut membeli minyak tersebut yang harganya lima puluh sen sebotol. Bila orang ramai selesai membeli ubatnya. Ia memperlihatkan kekuatan kulit tubuhnya yang tidak mampu dilukakan dengan senjata tajam. Ia menikam perutnya dengan pedang. Ternyata pedang itu tidak mampu menembusi kulit perutnya.

“Orang Melayu mana ada kuat macam saya,” ujarnya dalam bahasa pasar yang tunggang- langgang.

Ia merenung satu- satu wajah orang Melayu yang ada di situ. Kemudian, ia mencabar orang Melayu yang ada di situ menunjukkan kekuatan. Seorang Cina tempatan menghampiri penjual ubat. Cina tempatan itu menasihatkan penjual ubat dari Taiwan, supaya jangan berbuat demikian. Perbuatan itu boleh menyinggung perasaan orang Melayu di tempatnya. Penjual ubat dari Taiwan itu, tidak mengendahkan nasihat Cina tempatan tersebut. Ia terus mencabar dan mencabar.

“Eh, lu jangan ingat orang Melayu tak kuat,” saya segera menoleh ke kanan.

Saya lihat Haji Salim melangkah garisan putih yang ada di situ. Ia menyinsingkan lengan bajunya. Penjual ubat dari Taiwan terus ketawa. Orang ramai yang ada di situ resah. Mereka bimbang, kalau sesuatu yang tidak diingini akan terjadi. Cina tempatan segera menghampiri Haji Salim, bahu Haji Salim dipegangnya dengan lembut sekali.

“Haji tolong jangan gaduh, dia bukan Malaysia punya orang, dia tak tahu punya adat,” pujuk Cina tempatan.

“Saya tahu, fasal dia bukan orang Malaysia, saya mahu tunjuk sama dia orang Malaysia juga kuat,” balas Haji Salim.

Saya mula terasa kecut dan cemas.

“Pak Haji tak usah Pak Haji, ini merbahaya,” pujuk saya pula.

“Tak apa Tamar,” balas Haji Salim dengan tenang.

Ia menyuruh saya keluar gelanggang. Penjual ubat dari Taiwan tersenyum sinis melihat saya dan Haji Salim.

“Sekarang kalau lu boleh kasi luka, gua beri lu lima ratus, kalau gua kasi luka lu berapa lu kasi,” penjual dari Taiwan menyoal Haji Salim.

Saya lihat muka Haji Salim selamba sahaja. Sesekali memberi isyarat tangan pada Cina tempatan supaya bersabar dan bertenang.

“Tak usah kasi apa-apa, gua tak mahu lu punya wang dan gua punya wang tak mahu kasi sama lu,” ujar Haji Salim dan terus meletakkan lengannya atas tunggul kayu.

“Nanti lu punya tangan putus macam mana?”

“Tak apa.”

“Betul ni.”

“Betul, semua orang boleh jadi saksi.”

“OK, kita mula.”

“Ayuh.”

Penjual ubat dari Taiwan pun mengambil parang bermata lebar. Lengan Haji Salim ditetaknya dengan sekuat hati. Ia terkejut, lengan Haji Salim tidak putus dua atau pun berdarah.

“Silakan, tetaklah seberapa banyak yang kamu suka,” kata Haji Salim.

Muka penjual ubat jadi merah padam. Tanpa membuang masa, ia terus menetak sebanyak tiga kali berturut- turut. Semuanya tidak mendatangkan kesan. Penjual ubat itu merenung orang yang mengelilinginya.

“Sekarang lu kasi pukul saya punya tangan,” penjual ubat bersuara.

“Jangan marah kalau luka,” balas Haji Salim.

“Tak marah, gua kuat.”

“Silakan.”

Penjual ubat dari Taiwan itu terus duduk mencangkung. Lengan kanannya diletakkan atas tunggul kayu khas. Ia menarik dan menahan nafas, perutnya kelihatan kempis, kiri kanan pipinya kelihatan kembung, macam monyet menyembunyikan makanan dalam mulut. Haji Salim mengambil parang bermata lebar. Berdiri dengan tenang dekat penjual ubat itu. Kedua belah bibir Haji Salim kelihatan bergerak-gerak. Saya kira ia sedang membaca ‘Bismillah’ untuk melakukan pekerjaan itu. Semua biji mata orang ramai tertumpu pada Haji Salim yang memakai serban putih, berseluar kuning dengan baju putih berbutang lima. Ada di antara orang ramai itu berbisik sama sendiri. Mereka bagaikan tidak percaya lelaki yang bertubuh kurus dengan janggut sejemput itu boleh mencederakan lengan penjual ubat dari Taiwan. Dalam keadaan orang ramai yang termanggu-manggu itu. Haji Salim pun menjatuhkan parang bermata lebar ke atas penjual ubat.

“Wahhhhh….,” suara penjual ubat meninggi.

Mukanya kelihatan berkerut menahan kesakitan. Urat-urat hijau nampak menonjol menolak kulit. Dalam saat-saat begitu, bahagian daging yang membengkak itu menjadi merah dan akhirnya bertukar menjadi hitam kebiru-biruan. Kawan penjual ubat segera menyapukan minyak. Hasilnya tidak ada apa-apa. Makin disapu dengan minyak, makin besar bengkaknya dan penjual ubat beransur lemah. Ia tidak terdaya menggerak- gerakkan tangan yang kena tetak itu. Ia cuba bangun, usahanya itu gagal juga. Haji Salim segera menghampirinya. Bahu penjual ubat itu disentuhnya dengan jari kelingking kiri.

“Lu bangun,” kata Haji Salim.

Penjual ubat itu terus bangun tetapi, lengan yang kena tetak itu kelihatan terkulai dan terus bengkak. Mukanya terus berpeluh. Haji Salim terus menjamah jari telunjuk kanan penjual ubat. Jari itu direntapnya hingga berbunyi. Beberapa minit kemudian bengkak yang membatas di lengan beransur kurang dan akhirnya terus pulih seperti sediakala. Kesan mata parang masih kelihatan seperti satu garisan di lengan penjual ubat. Orang ramai yang menyaksikan peristiwa itu tercengang. Beberapa orang anak muda menghampiri Haji Salim, mereka bertanya sesuatu pada Haji Salim yang berbadan kurus itu.

“Lu memang kuat,” penjual ubat itu merenung muka Haji Salim.

“Ini semua tuhan punya kuasa,” jawab Haji Salim pendek.

Penjual ubat itu segera menghulurkan wang lima ratus ringgit pada Haji Salim. Dengan wajah yang tenang Haji Salim menolak.

“Tak mahu.”

“Apa fasal, kita sudah janji.”

“Saya bukan mahu lawan itu macam, saya panas hati bila lu cakap orang Melayu tak ada kuat dan tak boleh lawan sama lu.”

“Saya sudah banyak tempat pergi, belum ada orang Melayu berani lawan, jadi saya ingat orang Melayu memang tak kuat.”

“Lu silap, orang Melayu tak suka tunjuk-tunjuk kuat itu macam, tapi kalau sudah lu cakap besar, saya mau cuba.”

“Lu betul punya haji, bukan main-main punya haji, badan kurus tapi hati banyak kuat.”

“Sudahlah kawan.”

“Sekarang saya tak mahu cakap itu macam lagi, lu serupa saya punya saudara,” penjual ubat itu terus bersalam dengan Haji Salim.

Penjual ubat itu terus mengemaskan semua bahan- bahan perniagaan. Disumbatkan ke dalam kereta Morris Minor berwarna hitam.

“Kita kawan, tak mahu lawan-lawan,” kata penjual ubat itu dan terus masuk ke kereta.

Ia meninggalkan tempat itu menuju arah ke Tapah. Saya dan Haji Salim meninggalkan tempat tersebut. Kami menuju ke tempat motorsikal yang diletakkan berhampiran dengan warung penjual kopi. Bila sahaja Haji Salim memegang motosikalnya, cina tempatan yang menegah ia beradu kekuatan tadi datang menghampirinya.

“Terima kasih, lu sudah ajar itu orang. Dia cakap tak baik, macam dia saja yang kuat. Lagi satu, dia cakap selalu kata Melayu tak kuat, dia macam suruh Melayu sama Cina gaduh,” kata Cina tempatan itu.

“Tak apa, saya ingat dia mesti terus balik Taiwan dan tak mahu datang ke sini lagi.”

“Saya harap juga begitu, dia bukan Cina Malaysia, dia tak tahu kita di sini, tak kira Melayu, Cina India semua mahu hidup baik-baik dan satu hati.”

“Sudahlah lu siapa nama?”

“Saya nama Lim Kim Seng, lu siapa nama?”

“Haji Salim.”

“Baik, terima kasih.”

“Sama-sama.”

Cina tempatan itu meninggalkan saya dan Haji Salim, ia menuju ke arah kiri jalan. Saya lihat ia naik basikal menuju ke arah kawasan perlombongan yang tidak berapa jauh dari pekan Temoh. Bila Haji Salim menghidupkan enjin motorsikal, beberapa orang pemuda menghampirinya. Mereka terus menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Haji Salim. Enjin motorsikal terus dimatikan. Haji Salim terus berdiri di tengah kumpulan para pemuda yang berjumlah antara lima hingga tujuh orang.

“Kami mahu menuntut ilmu dari Pak haji,” salah seorang daripada pemuda itu menyampaikan hasrat hati.

Saya, mereka tidak pandang langsung. Saya bagaikan tidak wujud di situ. Haji Salim merenung wajah mereka satu-satu dengan tenang.

“Minta maaf, aku bukan orang handal,” jawab Haji Salim.

“Tak usah jadi harimau menyembunyikan kuku, kami sudah lihat kemampuan tuan haji tadi,” balas jurucakap pemuda itu.

“Semuanya dengan izin Allah. Kalau mahu mencari sesuatu kau pelajarilah isi Quran. Ingat, sebelum itu kau harus mengenali Allah lebih dahulu.”

“Maksud Pak Haji.”

“Kalau diizinkan oleh Allah semua perkara boleh berlaku. Tetapi kalau kamu tidak mengenalinya, bagaimana kamu mahu minta pertolongan dariNya.”

“Kami mahu mengenali Allah dengan pertolongan tuan haji.”

“Carilah ilmu itu. Tetapi, bukan pada saya. Ingat, menuntut ilmu atau belajar itu memang dituntut oleh agama Islam. Hukumnya fardhu kifayah.”

Haji Salim menepuk baju pemuda yang menjadi jurucakap kumpulan itu. Saya lihat pemuda itu resah tidak menentu sambil merenung wajah kawan-kawannya yang lain.

“Tamar kita pergi sekarang,” kata Haji Salim pada saya.

Ia terus menghidupkan enjin motorsikal. Ia duduk atas motorsikal dan Haji Salim mengangkat tangan kanannya sebagai tanda selamat jalan. Akhirnya, bahagian depan warung dan kumpulan pemuda itu kami tinggalkan. Kami terus menuju ke Kampung Haji Ariff. Sepupu Haji Salim menyambut kami. Tengahari itu, kami makan di rumah sepupunya. Kira-kira pukul empat, kami kembali ke kampung dengan membawa benih durian dari jenis yang baik. Dekat waktu senja kami pun sampai di rumah. Haji Salim memberikan saya dua pokok benih durian. “Kau tanam dekat rumah.” Kata Haji Salim.

“Masa kau menanamnya, bacalah Bismillah dan selawatkan nabi tiga kali.”

“Ya Pak Haji, saya faham.”

Saya pun meninggalkan rumah Haji Salim menuju ke rumah nenek. Waktu itu, hari sudah beransur gelap. Saya melangkah dengan cepat sekali. Sampai dekat pokok besar, langkah saya tidak serancak mula melangkah tadi. Hati saya berdebar. Saya menoleh ke kiri. Saya terpandang tubuh manusia berdiri di balik pokok besar. Kerana pandangan pertama tidak berapa jelas. Saya memandang untuk kali kedua. Saya lihat datuk berdiri di situ. Bila saya panggil namanya, datuk terus menghilangkan diri. Rasa cemas mula menguasai diri saya. Mustahil waktu menjelang Maghrib datuk mahu berada di situ? Kalau datuk, bila namanya dipanggil, dia pasti menyahut. Aneh, kenapa setelah namanya disebut datuk menghilangkan diri. Timbul pertanyaan dalam diri saya. Saya terus renung ke arah pokok besar untuk kali yang ketiga. Di tempat saya melihat datuk berdiri tadi, diganti oleh seorang perempuan yang memakai serban putih. Perempuan itu mengamit saya, menyuruh saya menghampirinya.

Kali ini, saya sudah dapat memutuskan bahawa apa yang saya lihat itu bukannya manusia. Tetapi, syaitan yang menyerupai manusia. Saya terus membaca ayat al-kursi. Sampai tamat ayat itu saya baca, perempuan yang memakai serba putih masih juga tersenyum. Kerana takut yang terlalu kuat menguasai diri, saya terus berlari dengan sekuat hati. Benih durian saya campakkan.

Sampai di rumah saya lihat nenek dan datuk berada di muka pintu menanti kepulangan saya. Mereka tidak bertanya bila melihat muka saya pucat. Datuk menyuruh saya mandi. Baju yang saya pakai dilarangnya untuk dibawa masuk ke rumah. Saya tidak bertanya kenapa datuk dan nenek melarang saya membawa masuk baju ke rumah. Apa yang saya alami sebentar tadi, tidak saya nyatakan pada datuk. Saya kira, peristiwa itu adalah kecil dan tidak wajar di beritahu pada mereka. Mungkin apa yang saya lihat itu memang betul, mungkin tidak. Sebabnya, bila seseorang itu sudah dikuasai rasa takut, tunggul pun disangka hantu. Selepas makan malam, apa yang saya alami bersama Haji Salim di Temoh itu, saya ceritakan pada datuk. Aneh, saya tidak nampak datuk merasa terkejut dengan apa yang telah saya alami itu.

“Kerana itu, aku suruh kau ikut dia. Kau harus sedar Tamar, orang yang berilmu tidak pernah mahu menunjukkan ilmunya pada sebarang orang dan sebarang tempat.”

“Untuk apa ilmu itu, kalau tidak ditunjukkan pada orang tuk?”

“Ilmu bukan untuk ditunjuk pada sesiapa, ilmu untuk menolong orang dan untuk kegunaan sendiri.”

“Saya faham.”

Datuk tersenyum mendengar cakap saya itu. Bagaikan faham, bila saya berkata begitu, ertinya saya tidak mahu mendengar ceramahnya.

“Bila aku mahu menerangkan sesuatu, kau cuba melarikan diri dari mendengarnya,” rungut datuk.

Saya terus bangun masuk ke bilik. Saya menatap majalah hiburan sambil berbaring di atas katil. Saya terdengar suara datuk membaca Yasin dengan lantangnya. Makin lama makin sayup terdengar suara datuk. Dan akhirnya saya tidak terdaya untuk menahan sepasang kelopak mata saya dari bercantum.

KUBUR
Saya merasa pelik, bila Haji Salim sembahyang Maghrib di rumah datuk. Lepas sembahyang Maghrib mereka membaca Quran. Bagi nenek perkara itu merupakan sesuatu yang ganjil.

“Ada apa rancangan. Haji Salim dengan datuk kamu?” tanya nenek.

“Petang ni, petang apa nek?”

“Petang Jumaat dan malam ni malam Jumaat.”

“Nek tahu datuk dan Haji Salim nak pergi ke kubur lama tengah malam ini.”

“Kubur lama? Nak buat apa?”

“Itu kenalah tanya datuk.”

Nenek terdiam. Matanya, tajam merenung muka saya. Saya pasti, nenek tidak akan bertanya pada datuk berhubung dengan hal tersebut. Bukan perangai nenek mahu mengambil tahu tentang gerak-geri seorang suami.

“Untuk apa datuk dan Haji Salim pergi ke situ Tamar,” begitu lembut suara nenek.

Renungan matanya, cukup redup meraut seluruh paras saya.

“Dia orang nak tengok, kerana orang puja kubur lama.”

“Nak tangkap orang tu ke?”

“Entahlah, saya pun tak tahu.”

“Bagus juga tu, menghalangkan orang membuat maksiat,” balas nenek.

Ia terus bangun menuju ke dapur. Tentu nenek membuat air kopi untuk Haji Salim dan datuk. Lebih kurang pukul dua belas malam. Datuk dan Haji Salim berhenti membaca Quran. Datuk terus menepuk bahu saya dengan kasar.

“Orang baca Quran tak ikut sama, tersengguk-sengguk, macam burung hantu,” kata datuk.

Haji Salim ketawa sambil menghirup air kopi. Saya lihat ada enam cawan kosong di situ. Ini bererti datuk dan Haji Salim terpaksa berhenti dari membaca Quran sebanyak enam kali, kerana minum kopi.

“Haji Salim ni mengikut petua datuk. Biasanya datuk kalau minum kopi ia tidak akan menggunakan cawan yang sama. Ia akan menukarkan cawan setiap kali menuang air kopi yang baru.”

Cara itu datuk lakukan, bila ia mahu melaksanakan sesuatu tugas yang dianggapnya terlalu berat dan sukar.

“Sudah sampai masanya untuk kita berangkat,” datuk renung muka Haji Salim.

Perlahan-lahan Haji Salim anggukkan kepala tanda setuju. Datuk terus sarungkan baju hitam serta seluar hitam ke tubuh. Kepalanya dililitkan dengan kain kuning sebesar dua jari. Haji Salim tidak menukarkan pakaiannya. Ia memakai seluar Melayu berkaki besar. Bajunya dari kain batik Jawa yang terpamer lukisan wayang kulit. Songkok putihnya terletak kemas di kepala. Golok pendek terselit di pinggang.

“Kalau kau nak ikut Tamar, mari,” suara datuk merendah.

Kain pelikat saya gantikan dengan seluar kuning. Baju T merah saya tukarkan dengan baju Melayu cekak musang. Datuk menyelitkan rotan semambu yang panjangnya kira dua depa ke celah ketiak. Ada tugas baru yang datuk berikan pada saya. Saya disuruh membawa lampu suluh. Tanpa banyak cakap kami pun turun dari rumah. Berdiri di halaman rumah sebentar.

“Kita melangkah sekarang,” datuk mengeluarkan arahan.

Kami pun melangkah menuju ke arah kubur lama. Datuk mengarahkan pada saya, jangan memasang lampu kecuali arahannya sendiri. Memang tidak selesa berjalan dalam belukar waktu tanpa menggunakan lampu. Dua tiga kali saya tersepakkan tunggul dan akar kayu. Saya tidak berani membuat bantahan. Malam itu, keadaan langit cerah. Gumpalan awan hitam nampak berarak lembut menuju ke arah barat daya. Saya kira tidak lama lagi hujan pasti turun. Hal itu saya bisikkan pada Haji Salim.

“Mengikut pengalaman aku yang sudah-sudah, hujan akan turun menjelang subuh,” balas Haji Salim perlahan-lahan.

Datuk terus meredah hutan. Sesekali kelihatan cahaya kilat menangkap di kaki langit. Deru angin malam terus juga menampar-nampar gegendang telinga. Terdengar ngiau kucing jantan mencari kucing betina. Suara jampuk dan burung hantu terdengar sayup-sayup. Begitu juga dengan suara anjing menyalak sesuatu di malam yang dingin. Angin malam yang menyentuh kulit muka dan leher membuat saya terasa seram. Selalunya, kalau berjalan malam saya terasa takut. Tetapi malam itu rasa takut itu tidak terjadi dalam diri saya. Apa yang ada ialah rasa berani dan tabah.

Cara kebetulan pula saya berjalan di tengah. Di depan saya datuk, di belakang saya Haji Salim. Haji Salim terus menyuluh ke arah pangkal pokok yang bergoyang dalam suluhan lampu picit. Serentak dengan itu terdengar suara ngauman yang memanjang. Belum pun sempat datuk bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, satu lembaga menerpa ke arah datuk bersama ngauman yang cukup kuat. Datuk rebah ke bumi.

“Rimau Kumbang Haji,” pekik datuk.
Haji Salim mendekati datuk. Dengan tangkas, ia menendang badan harimau yang mahu menggigit lengan datuk. Dengan sekali tendang sahaja harimau itu terpelanting dan terus hilang. Kesannya tidak dapat dicari.

“Bangun,” kata Haji Salim.

“Ke mana dia pergi.”

“Biarkan dia.”

“Pelik,” rungut datuk sambil bangun.

Perjalanan diteruskan lagi. Kami bertiga menyeberangi anak sungai. Airnya terasa cukup sejuk sekali. Haji Salim menyuruh saya melangkah perlahan-lahan. Ia tidak mahu air sungai yang diranduk itu mengeluarkan bunyi. Langit sudah kelihatan tidak cerah lagi. Di mana-mana kelihatan awan hitam bertompok- tompok. Angin terus bertiup agak kencang dari tadi. Dahan- dahan mati terus jatuh, bunyinya macam orang berlari. Semuanya datuk dan Haji Salim buat tidak kisah. Kami sampai ke tebing dan terus memanjatnya. Dari situ kami mula tercium bau kemenyan yang cukup hebat dibawa angin.

“Jalan perlahan ke arah kubur lama,” perintah Haji Salim.

“Ya,” jawab datuk pendek.

Lebih kurang satu rantai mahu sampai ke kubur lama, kami melihat cahaya api di atas kubur. Kami juga terdengar suara orang bercakap yang disertai dengan suara tahlil. Datuk menyuruh saya dan Haji Salim merangkak seperti dirinya. Kami pun merangkak menuju ke arah kubur lama. Lebih kurang dua kaki mahu sampai ke kawasan kubur lama, datuk menyuruh saya dan Haji Salim duduk sambil merenung ke arah kubur lama.

Dengan pertolongan cahaya api dari pinggir kubur itu, saya dapat melihat dengan jelasnya kira-kira sepuluh orang sedang mengelilingi kubur yang berbatu nisan tinggi dan besar. Mereka semuanya memakai kain hitam dan kepala mereka juga bertudung dengan kain hitam. Di bahagian kepala nisan terdapat tempat perasap dengan bara yang merah menyala. Ada orang yang melemparkan kemenyan ke dalam tempat bara. Saya tidak dapat mempastikan dengan tepat, apakah orang yang duduk sebelah kanan atau sebelah kiri yang melemparkan kemenyan ke dalam tempat bara itu. Ada orang yang ditugaskan untuk menjaga api di pinggir kubur. Orang itu memegang kayu panjang untuk menolak tunggul-tunggul kayu ke dalam api. Dengan itu api tersebut terus menyala sambil mengeluarkan bunga-bunga api yang halus terbang ke atas. Salah seorang daripada mereka terus bangun, menatang seorang kanak- kanak kecil. Kanak-kanak itu didekatkan pada api tersebut. Tiba-tiba kanak-kanak itu menangis.

“Pulangkan pada aku, dia anakku,” terdengar suara perempuan.

“Aku boleh pulangkan, tetapi….,” suara orang yang menatang kanak-kanak itu adalah orang lelaki.

“Tapi apa?” tanya orang perempuan.

“Biar aku potong lehernya.”

“Untuk apa?”

“Ini janji kita dulu.”

“Nanti ibunya marah, aku cuma menjaganya saja.”
“Jadi, ini bukan anak kamu, kamu curi dari ibunya.”

“Ya.”

“Dia hak aku,” suara orang lelaki itu meninggi.

Leave a comment

Filed under Cerita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s