Bercakap dengan jin ~ 58 ~ Ilmu Papan Sekeping

Sudah dua jam, saya duduk di pangkal pokok kekabu di tebing sungai. Tidak ada seekor ikan pun yang mahu menjamah umpan di mata pancing.

“Banyak ikan yang kau dapat?”

Saya segera menoleh ke kanan. Samad Perang tercegat di situ dengan sepasang matanya merenung tajam ke arah saya. Batang pancing saya cacakkan ke tanah.

“Tak ada ikan yang mahu makan umpan pancing. Bila pakcik datang dari Kuala Lumpur?”

“Dah dua hari, melihat rumah lama dan kawasannya. Sudah penuh dengan lalang.”

“Dah jumpa datuk saya?”

“Belum lagi, cadang tu memang nak jumpa dia, sengaja pak cik jalan ikut tepi sungai, redup sikit.”

“Kalau pakcik nak jumpa dia elok sangat tu, diapun ada di rumah. Masa saya tinggalkan tadi, dia mencangkul.”

“Tak apalah Tamar, kau memancinglah tetapi, kau ingat memancing ni mesti sabar.”

“Ya, pakcik.”

Samad Perang terus meninggalkan saya di perdu kekabu. Samad Perang yang saya lihat sebentar tadi, berbeza dengan Samad Perang yang dulu. Mukanya kelihatan bersih dan badannya gemuk. Kulit mukanya kelihatan kemerah-merahan.

Matahari petang yang memancar garang mula menurun. Air sungai yang tadi memancarkan cahaya yang berkilau-kilau kerana dipanah sinar matahari, sudah tidak bercahaya lagi. Tetapi, ikan-ikan terus bermain di permukaan air sambil menangkap serangga yang hanyut. Anehnya, ikan-ikan itu tidak mahu menjamah umpan beras kunyit di mata pancing. Selalunya, umpan yang dibuat oleh nenek jadi kegemaran ikan, belum pernah saya pulang ke rumah dengan tangan kosong. Paling kurang saya akan dapat dua tiga ekor baung putih dan teroboi atau ikan keli. Petang itu, tuah tidak berada di pihak saya. Pulanglah saya dengan tangan kosong bersama matahari petang yang kian rapat ke puncak gunung di seberang sungai.

“Kenapa muka masam macam cuka, kau tak dapat ikan,” tegur nenek bila saya sandarkan batang pancing di pokok rambutan di belakang rumah.

Pertanyaan nenek tidak saya jawab. Saya terus duduk di anak tangga bongsu.

“Tamar, aku bercakap dengan kamu, kenapa kamu diam?” Suara nenek mula meninggi. Berdiri di depan saya bercekak pinggang. Kain tudung yang menutup kepalanya jatuh atas bahu. Dan sanggul lintangnya jelas kelihatan, hitam berkilat diselang-seli dengan uban.

“Saya meradang tak dapat ikan nek.”

“Itu puncanya, eh, apa kau sudah lupa, rezeki kita di tangan Allah, kalau kau sudah berusaha tetapi, tidak dapat, ertinya rezeki kau tak ada, apa kau mahu melawan kuasa Allah.”

“Tidaklah begitu nek.”

“Kalau sudah tahu, kenapa kau mesti marah? Kau harus bersyukur kerana hari-hari lain kau dapat ikan.”

Saya terdiam mendengar kata-kata nenek itu. Saya terus senyum dan bangun menuju ke arah datuk yang sedang duduk termenung di penjuru halaman rumah sebelah kanan. Tangannya masih memegang cangkul.

“Ada pakcik Samad Perang jumpa Tuk?”

“Ada, kenapa Tamar?”

“Sebelum dia jumpa tuk, dia jumpa saya di tepi sungai.”

“Hum, macam tu, dia baru saja balik.”

Saya anggukkan kepala mendengar cerita dari datuk itu. Datuk dan saya beredar dari situ menuju ke bawah pokok manggis yang tidak jauh dari kaki tangga. Di bawah pokok tersebut datuk dirikan pelantar papan yang muat untuk empat orang duduk bersila. Tiang pelantar datuk buat dari buluh kuning, tingginya kira-kira satu kaki dari paras bumi. Saya dan datuk terus duduk di situ. Beberapa minit kemudian nenek datang meletakkan dua cawan kopi panas.

“Apa cerita Samad Perang dengan awak? Saya nampak tadi, bukan main rancak bercakap,” nenek menyoal datuk.

Saya cuma senyum saja.

“Tak ada apa-apa, Cuma dia bertanya pendapat saya berhubung dengan tanah dan rumahnya yang sudah ditinggalkannya hampir dua tahun tu.”

“Kenapa pula?”

“Dulu dia suruh anak buahnya duduk dan bersihkan tanah, tapi anak buahnya tak mahu, kata mereka tanah dan rumah tu berhantu.”

“Dia suruh awak duduk di situ?”

“Tidak pula…,” datuk tidak meneruskan kata-katanya.

Datuk terus menghirup air kopi. Saya menggigit bibir sambil merenung ke arah beberapa ekor burung yang hinggap di dahan manggis.

Datuk meletakkan cawan kopi yang berbunga mawar di atas piring. Datuk kedutkan kedua belah keningnya macam memikirkan sesuatu. Ia merenung ke arah muka jalan.

“Mamat Bukit datang,” katanya dengan tenang.

Saya dan nenek terus merenung ke arah muka jalan masuk ke halaman rumah.

Mamat Bukit terbongkok-bongkok mengayuh basikal menuju ke arah kami. Sampai dekat pelantar Mamat Bukit tongkatkan basikal tuanya. Tanpa mengucapkan sesuatu, Mamat Bukit terus duduk di sisi datuk. Dahinya berpeluh dan nafasnya turun naik. Datuk tidak peduli dengan Mamat Bukit yang nampak agak cemas. Dengan tenang datuk menghirup kopi.

“Pergi buatkan kopi untuk dia,” bisik datuk pada nenek. Nenek pun bangun. Bila Mamat Bukit sudah tenang, datuk pun menghadiahkan senyum padanya.

“Ada apa masalah Mamat?” tanya datuk. Mamat Bukit tersenyum, dalam masa yang sama nenek menghulurkan secawan kopi padanya.

“Minum Mamat.” Kata nenek.

“Terima kasih, kerana susah-susah buat kopi untuk saya,” balas Mamat Bukit. Nenek terus duduk di tempat asalnya.

Saya terus menghirup kopi. Beberapa helai daun manggis yang sudah tua, gugur ke bumi.

“Jadi kau menjaga dan mengusahakan tanah Samad Perang?” Mamat Bukit agak terkejut dengan pertanyaan yang dihadapkan oleh datuk padanya.

“Mana awak tahu semuanya ini?” soal Mamat Bukit.

“Samad Perang bertanyakan pendapat aku dalam hal tersebut dan aku setuju dengan apa yang dirancangkannya, eloklah kau mengusahakan tanah dan menjaga rumahnya, aku kira kau orang yang paling sesuai sekali, kau sahabatnya.”

“Apa kata anak buahnya yang lain?”

“Usah kau bimbang hal tersebut, dia sudah serahkan pada anak buahnya tapi, mereka tak mahu menjaganya.”

“Tapi, ada hal lain lagi.”

“Apa dia Mamat? Cakaplah,” suara datuk agak meninggi.

Biji matanya cukup tajam merauti wajah Mamat Perang. Mamat Perang segera menundukkan kepala. Dahinya nampak berkerut.

“Sebaik saja saya menerima amanat Samad Perang untuk menjaga rumah dan mengusahakan tanahnya, anak saudaranya datang dan mengatakan rumah dan tanah Samad Perang, ditunggu jin tanah,” suara Mamat Bukit tersangkut-sangkut.

Nenek terus renung muka Mamat Bukit. Saya lihat nenek tersenyum dan terus bersuara:

“Kenapa kau tak tanya Samad Perang, tentang hal itu?”

“Nak tanya macam mana? Anak saudaranya datang sesudah Samad Perang balik.”

Saya dan datuk ketawa mendengar jawapan dari Mamat Bukit. Datuk terus menepuk bahu Mamat Bukit.

“Semuanya tu karut, kerana Samad Perang dulu diserang penyakit ganjil, kaum kerabatnya merasakan penyakit itu berpunca dari tanah yang didudukinya, semuanya tu karut, kau pergi jaga rumah dan usahakan tanahnya, jalankan amanat kawan kamu tu dengan jujur dan ikhlas,” ujar datuk.

Mamat Bukit anggukan kepala. Setuju dengan cakap datuk. Lebih-lebih lagi datuk telah memberi jaminan padanya. Sedia membantunya jika menghadapi sebarang masalah.

“Kalau dah ada jaminan macam tu. Saya tak bimbang,” suara Mamat Bukit merendah.

Di bibirnya terpamer senyum. Dia pun menghirup kopi yang tersedia di depannya. Kemudian Mamat Bukit minta diri untuk pulang.

Saya tidur kembali setelah menunaikan sembahyang Subuh. Bila saya terjaga dari tidur untuk kali yang kedua, saya lihat jam bulat yang terletak atas meja di hujung kepala, sudah menunjukkan pukul lapan pagi. Saya terus melakukan senaman seperti yang diajar oleh datuk. Senaman yang dilakukan selamat sepuluh minit itu mengeluarkan peluh di seluruh badan.

Saya biarkan peluh badan kering dengan sendirinya. Saya ingat pesan datuk yang mengatakan, bila badan berpeluh kerana bersenam, jangan terus mandi. Jangan kesat peluh dengan tuala, biarkan peluh itu keluar dan kering dengan sendirinya. Bila dikesat dengan tuala, mungkin liang-liang bulu roma tersumbat oleh daki peluh. Akibatnya, boleh menimbulkan rasa sakit-sakit dalam badan. Bila peluh sudah kering, saya terus ke sungai. Biasanya saya terjun dari bibir tebing ke dalam sungai. Tetapi, pagi itu kebiasaan tersebut tidak saya lakukan. Apa yang saya lakukan ialah mengenakan kedua belah telapak kaki saya dengan air di permukaan sungai. Sedikit demi sedikit saya meranduk air sungai. Mula-mula, kedua belah buku lali saya kena air. Lepas itu, buah betis melarat hingga ke tempurung lutut. Randuk lagi hingga air sungai paras pinggang. Kemudian, baru saya tenggelamkan badan paras leher. Akhirnya, saya terus menyelam dan berenang dengan bebas.

Semuanya yang saya lakukan itu semata-mata mematuhi petua dari datuk. Menurutnya, bila kita mandi sebaik-baiknya hindarkan menjirus air atau mengenakan air terus ke badan dengan mengejut. Cara itu, kurang baik, boleh membuat pergerakan darah dalam urat terganggu. Cara yang baik kenakan air dari bawah, kemudian terus membawa ke atas (kepala). Dengan berbuat demikian perjalanan darah tidak terganggu. Tambah datuk, jika petua itu diamalkan terus menerus, boleh menghindarkan diri dari diserang penyakit lumpuh,kebas atau sakit-sakit di bahagian sendi badan. Apakah petuadatuk itu betul atau tidak, saya tidak dapat mempastikannya tetapi, petua tetap saya amalkan.

Lepas mandi di sungai, saya terus pulang ke rumah. Sampai di rumah saya agak terkejut sedikit. Dua orang wanita, sedang duduk di pelantar di bawah pokok manggis. Saya segera menghampiri mereka. Saya lihat wanita yang memakai baju kurung merah, berusia dalam lingkungan dua puluhan. Wanita yang memakai baju kurung putih berusia kira-kira lima puluhan.

“Cari siapa?” tanya saya.

“Tuan rumah ni.”

“Yang lelaki ke, yang perempuan?” wanita yang berusia lima puluhan itu terdiam.

Dia renung muka saya sejenak.

“Awak siapa.” Cara mendadak wanita berusia lima puluh menyoal saya.

Tanpa membuang masa, saya terus menerangkan hubungan diri saya dengan orang yang dicakap oleh mereka.

“Saya ada hajat besar nak jumpa datuk awak,” terang wanita yang memakai baju kurung putih.

Saya menggigit lidah, saya yakin mereka datang dari Kedah.

Kalau tidak dari Kedah mungkin mereka dari Perak Utara atau Pulau Pinang. Sebabnya saya berkata begitu, loghat percakapan mereka, loghat orang utara.

“Begini saja makcik, biar saya pakai seluar dan baju dulu, kemudian saya panggil datuk dan nenek saya, kalau tak silap mereka pergi ke kebun pisang,” terang saya dengan jujur.

“Jauh ke, kebun pisangnya?”

“Dekat aje, makcik tunggulah. Apa hajat makcik yang sebenar?”

“Tak payahlah saya terangkan pada awak, pergilah panggil datuk awak tu, makcik ni datang dari jauh,” tambah wanita berbaju kurung putih, tanpa menyebut dari mana dia datang.

Setelah mengenakan seluar dan baju, saya segera menemui datuk dan nenek di kebun pisang. Tanpa banyak cakap mereka pun pulang.

Nenek terus menjemput kedua orang perempuan itu ke dalam rumah. Macam selalu, nenek terus menghidangkan kopi pada tetamu yang tidak diundang itu.

“Saya ni datang dari Kulim, menurut adik lelaki saya yang bekerja di Pusat Pertanian di pekan ini, awak bomoh handal,” perempuan berbaju kurung membuka mulut di depan datuk.

Saya lihat datuk tenang saja.

“Ini anak perempuan saya nombor dua, dia ni ada penyakit, sudah ramai bomoh mengatakan dia ni kena buatan orang, saya minta tuk bomoh tolong tilikkan siapa yang membuat anak saya ni,” tambahnya dengan wajah serius.

Datuk segera sandarkan badan ke dinding. Merenung tajam pada nenek yang duduk tidak jauh dari perempuan berbaju kurung putih.

“Saya bukan bomoh, saya bukan dukun. Cuma adik awak saja yang mengatakan saya dukun,” suara datuk agak meninggi.

“Apa yang mahu awak tahu, sekarang sudah jelas,” datuk renung muka nenek.

Saya lihat nenek tersenyum, lalu mengambil cawan kosong.

Beberapa minit kemudian, saya dan datuk pun beredar dari pelantar di bawah pokok manggis. Senja pun merangkak tiba. Suasana beransur menjadi samar-samar. Beduk di surau pun dipalu orang dan diikuti dengan suara azan Maghrib. .

“Tapi…”

“Tak ada tapinya, saya bukan bomoh saya bukan dukun,” datuk terus memotong cakap wanita yang berbaju kurung putih. Air mukanya segera berubah. Nenek agak terkejut dengan sikap datuk itu.

Saya tidak tahu kenapa datuk bertindak demikian. Saya lihat kedua orang wanita itu jadi serba-salah.

“Maafkan saya,” suara datuk menurun. Dia menarik nafas panjang sambil menggaru-garu pangkal lehernya. Dan wanita yang memakai baju kurung putih terus tunduk merenung lantai.

“Sepatutnya, saya yang minta maaf kerana datang tidak memberitahu, mungkin melanggar pantang.”

“Awak tak melanggar pantang, kita sesama Islam tetap bersaudara. Tetapi, saya kesal kerana awak mengatakan saya bomoh handal, seolah-olah saya ni lebih berkuasa dari Allah, sedangkan saya bukannya bomoh atau dukun.”

“Maafkan saya.”

“Lagi satu saya marah, kerana awak minta tilik atau minta tengok tentang orang yang kononnya, membuat anak awak. Saya nak tanya, awak orang Islam? Betul atau tidak.”

“Saya orang Islam, kenapa awak tanya macam tu.”

“Sebagai orang Islam, awak harus tahu menengok dan menilik tu perbuatan syirik, kenapa kerja yang ditegah oleh agama awak lakukan? Apa awak percaya pada bomoh dan dukun dari kuasa Allah?”

Wanita berbaju kurung putih itu terdiam.

Kemudian, dengan cara terhormat datuk meminta kedua orang wanita itu pulang saja ke Kulim dan datuk tidak mahu mendengar tentang masalah yang mereka hadapi. Bila datuk sudah bertindak demikian, nenek segera campur tangan.

“Mereka datang dari jauh, setidak-tidaknya awak dengarlah cerita mereka, kenapa awak nak naik darah tak tentu sebab,” kata nenek.

Datuk segera bangun, berdiri di muka tingkap kedua belah telapak tangannya menekan bendul tingkap.

Datuk merenung ke arah dedaun manggis dan rambutan yang bergoyang disentuh angin. Saya lihat kedua belah cuping telinganya seakan-akan bergerak-gerak. Datuk duduk kembali di tempat asalnya.

“Begini saja, kerana hal ini, hal orang perempuan eloklah awak ceritakan pada isteri saya. Minta maaf, kalau saya bersikap kasar dengan awak berdua, saya tahu sangat perangai orang perempuan, kerja tengok menengok atau menilik dan jumpa bomoh memang kesukaan orang perempuan, janganlah menambahkan dosa kering dalam hidup kita,” cukup tenang datuk berkata-kata.

Datuk bangun kembali. Dia terus menarik tangan saya.

“Ke mana tuk?”

“Tolong kerja aku di kebun pisang.”

“Orang yang datang ni macam mana?”

“Biar nenek kamu yang selesaikan.”

Saya terpaksa patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh datuk. Sampai di kebun pisang saya terpaksa mencangkul. Bila matahari berada betul-betul di ubun kepala. Barulah saya dan datuk pulang. Setelah menunaikan sembahyang Zuhur. Saya dan datuk terus menghadapi hidangan yang disediakan oleh nenek. Waktu saya dan datuk berehat di anjung rumah. Nenek segera datang. Duduk dekat saya. Nenek memerhatikan gerak geri datuk dengan teliti. Bila dilihatnya, datuk berada dalam keadaan yang betul-betul tenang. Nenek terus mengusik datuk.

“Awak ni, makin tua makin menarik,” kata nenek.

“Sudahlah, jangan nak mengada-ngada, malu dilihat cucu. Dah tua-tua nak bergurau,” balas datuk dengan senyum yang lebar.

Nenek terus ketawa panjang sambil menjeling ke arah saya. Datuk terus mengipaskan badan dengan kipas yang dibuat dari daun mengkuang rimba.

“Apa cerita perempuan tadi?” tanya datuk.

Nenek kenyit mata. Memberitahu saya yang jeratnya sudah mengena.

“Saya dah suruh mereka datang jumpa awak lepas waktu Asar.”

“Apa halnya?”

“Soal rumahtangga. Menurut ceritanya, si suami bersikap dingin pada isteri dalam setahun hanya sekali bersama, mana ada orang perempuan yang sanggup menghadapi masalah begini,” terang nenek dengan wajah yang selamba.

Kemudian nenek terus bercerita:

Perempuan yang memakai baju kurung putih itu namanya Naemah. Suaminya berniaga kedai runcit. Mereka mempunyai tiga orang anak. Anak yang tua, lelaki sudah bekerja. Anak yang kedua perempuan namanya Sariyah yang datang bersamanya memakai baju kurung merah. Anak yang ketiga seorang perempuan. Sudah menikah dan mengikut suaminya bertugas di Arau, Perlis.

“Suami Sariyah bertugas sebagai pegawai dalam Angkatan Tentera Laut di bahagian kejuruteraan dan ditempatkan di Butterworth. Usia Sariyah sudah dua puluh tiga tahun dan mempunyai lima orang anak yang masih kecil. Sebelum menikah dengan Zainuddin (suaminya) Sariyah bertugas sebagai guru sekolah rendah. Bila sudah menikah terus berhenti atas permintaan suaminya. Di awal perkahwinan, mereka cukup bahagia. Bila sudah dapat anak lima. Suaminya berubah sikap, sudah tidak mahu tidur bersama. Bila didesak, suaminya akan mengeluarkan kata-kata yang kurang menyenangkan.”

“Tak apalah, bila mereka datang nanti saya tanya lagi. Pelik juga ceritanya,” kata datuk sambil termenung panjang.

Nenek segera ke dapur.

Saya mengikut nenek. Sampai di ruang dapur nenek meneruskan kerjanya menganyam tikar mengkuang. Saya terus belajar menganyam tikar mengkuang dari nenek. Ternyata kerja itu tidak sesuai dengan diri saya. Nenek saya tinggalkan. Saya terus menuju ke pelantar di bawah pokok manggis. Rebahkan badan di situ. Saya terus tertidur. Saya dikejutkan oleh datuk bila sampai waktu Asar untuk sembahyang. Seperti yang dijanjikan lepas waktu Asar Naemah dan anaknya Sariyah pun datang. Mereka terus duduk di hadapan datuk yang menunggu kedatangan mereka di anjung rumah. Kali ini wajah datuk nampak gembira.

“Awak menikah dulu macam mana? Maksud saya, ada tak berkenalan dulu sebelum nikah,” soal datuk pada Sariyah.

“Kami menikah suka sama suka, kami berkawan sejak di bangku sekolah lagi. “

“Awak yakin, masa berkenalan dulu suami awak, tidak ada berkenalan dengan orang lain?”

“Setahu saya tak ada.”

“Hubungan awak dengan mertua dan adik serta abang ipar awak bagaimana?”

“Dengan mertua tidak begitu baik, begitu juga dengan kakak dan ipar yang lain.”

Datuk menarik nafas panjang. Dia termenung sejenak. Wajah Naemah direnungnya sebentar. Datuk menggigit kuku di ibu jarinya dua tiga kali.

“Awak ada ambil tahu tentang anak awak ni, maksud saya awak sudah mengajar dia memasak dan melayan suami dengan baik,” tanya datuk pada Naemah, yang sejak tadi mendengar percakapan datuk dengan anaknya.

“Sudah, rumahtangga mereka elok tapi…,” Naemah tidak meneruskan kata-katanya.

Dan datuk tidak mendesak supaya Naemah menerangkan sesuatu dengan lebih lanjut lagi. Datuk menghampiri nenek. Mereka berbisik sesuatu.

“Kerana anak awak perempuan, biarlah orang perempuan yang menyelesaikan. Isteri saya akan menguruskan hal anak awak,”ujar datuk pada Sariyah.

Datuk memerintahkan saya memasang tirai kain. Perintah itu segera saya patuhi.

“Isteri saya pandai mengurut, biarlah dia memeriksa diri anak awak. Sekarang pergi sebelah tirai sana,” beritahu datuk lagi.

Naemah dan anaknya segera berubah tempat duduk di sebalik tirai. Kerana kain tirai itu dibuat dari kain bekas guni gandum yang tebal, saya tidak tahu apa yang berlaku di balik tirai tersebut. Datuk duduk dengan membelakangi ke arah muka pintu. Kedua belah telapak tangan datuk menekan lantai rumah.

“Apa yang mesti saya buat,” terdengar suara nenek dari balik tirai.

“Jamah dan urut perutnya dari pangkal pusat ke atas, Awak tak usah takut saya akan memberi tunjuk ajar,” jawab datuk.

Saya terus duduk di sisi datuk. Saya lihat telapak tangan datuk bergerak ke sana ke mari atas lantai, macam orang mengurut tubuh manusia.

“Berhenti di situ,” nada suara datuk meninggi.

“Ya, saya berhenti di sini,” jawab nenek.

“Nafsu suaminya dikunci, melalui urut yang dibuat tadi. Sariyah banyak kurangnya sebagai seorang isteri bila bersama, tidak dapat memberi sesuatu yang baik untuk suami, dirinya macam papan sekeping.”

“Apa maksud awak papan sekeping?”

“Sejenis ilmu syaitan yang diamalkan oleh manusia yang lupakan kekuasaan Allah, Ilmu itu dikenali sebagai ilmu papan sekeping, kalau terkena pada orang perempuan hidupnya sudah tidak bermakna lagi.”

“Bagaimana dengan perempuan yang saya urut ini?”

“Sudah terlalu jauh.,” datuk seakan-akan mengeluh.

Wajahnya nampak gusar sekali.

Datuk menyuruh saya membuka tirai. Datuk memanggil Sariyah. Suruh duduk berhadapan dengannya. Naemah duduk dekat nenek.

“Apa benda-benda ganjil yang selalu awak temu dalam rumah awak?” Agak terkejut juga Sariyah mendengar pertanyaan dari datuk itu.

Sariyah renung muka ibunya (Naemah) sambil mengerutkan dahi. Saya lihat ibunya anggukkan kepala.

“Sudah setahun lebih, setiap Selasa saya jumpa anak-anak ular di bilik air. Pada setiap malam Khamis ada sejenis belalang, macam belalang kunyit masuk ke bilik tidur, belalang tu suka hinggap di pangkal belikat saya.”

“Apa yang kamu buat?”

“Anak-anak ulat hitam tu, saya jirus dengan air panas. Tapi sebanyak mana yang mati, sebanyak itu yang datang.”

“Dengan belalang.”

“Saya bunuh tapi dia datang juga.”

Datuk terdiam. Sepasang matanya, merenung keluar menerusi pintu rumah yang terdedah. Angin terus berlegar-legar di luar rumah menyentuh dedaun pokok yang terdapat di situ. Dan angin yang masuk ke dalam rumah menyentuh wajah saya.

Terasa amat nyaman sekali. Tiba-tiba suasana yang begitu tenang, macam ada orang membaling batu ke dinding. salah satu papan dinding rumah tercabut. Bila saya mahu memeriksanya datuk segera menahan. Kata datuk, biarkan papan dinding itu di situ. Biar dia yang uruskan semuanya.

Aneh, sungguh. Tidak ada manusia yang lalu lalang di sekitar kawasan rumah. Siapa pula yang membaling batu ke rumah waktu siang. Bunyinya ada tetapi batunya tidak ada. Macam mana papan dinding yang dipaku kuat boleh tercabut? Semua persoalan itu menerpa dalam tempurung kepala saya.

“Saya akan cuba berikhtiar mengatasi nasib malang yang menimpa awak. Kalau diizinkan Allah usaha saya akan berjaya. Tetapi, awak jangan menggantungkan harapan pada saya,” cukup lemah nada suara yang keluar dari mulut datuk.

“Berdoalah pada Allah, semoga apa yang kita lakukan diberkatinya, sebagainya, sebagai orang perempuan, saya tahu perasaan awak yang tidak mendapat perhatian dari suami,” nenek meningkah.

Sepasang matanya merenung redup ke wajah Sariyah.

“Awak balik dulu ke tempat awak, dua minggu lagi awak datang ke sini, kalau tak boleh datang beritahu pada saya cepat. Dengan itu mudah saya pergi ke tempat awak,” saya bangga mendengar kata-kata datuk.

Saya berdoa supaya Sariyah jangan datang ke rumah datuk. Biar datuk sendiri yang pergi ke rumahnya. Dapat juga saya berjalan.

“Saya datang. suami saya tidak ada di sana. Dia pergi kursus selama tiga minggu di Singapura. Semasa dia tak ada, dia izinkan saya pergi ke mana-mana untuk menghiburkan hati.”

“Saya yakin suami awak kasihkan awak tapi ada penghalangnya.”

“Bolehkah awak tengok siapa penghalangnya?” Ibu Sariyah turut campur.

“Tolong jangan sampai saya membatalkan usaha ini,” jawab datuk keras. Ibu Sariyah terus membisu.

Datuk terus merenung muka Sariyah. Saya membetulkan rambut saya yang jatuk ke dahi. Ibu Sariyah tunduk merenung lantai. Nenek terus termenung panjang.

“Awak balik nanti, buatlah sembahyang hajat. Awak buat sendiri jangan minta tolong pada orang lain. Mohon pada Allah supaya bencana yang ada segera hilang dari awak.”

“Baiklah,” Sariyah memberikan janji.

Sebelum mereka pulang. Datuk membekalkan dua buku lengkuas dan dua buku kunyit pada Sariyah.

“Lengkuas ni potong empat dan letakkan pada empat penjuru dalam bilik air awak. Kunyit pun potong empat letakkan pada empat penjuru bilik tidur, sebelum meletakkan di tempat yang saya sebut itu, bacalah surah Al-Fatihah sepuluh kali, barang-barang ni jangan dilangkah. Awak tinggal di rumah batu?”

“Ya, saya menyewa rumah dua tingkat.”

“Bagus, bila awak datang ke mari nanti, ceritakan apa yang awak lihat setelah benda-benda itu diletakkan di tempat yang saya katakan. Awak kena buat cepat.”

“Ya, saya akan balik ke Butterworth hari ini juga.”

Datuk gembira dengan pengakuan yang diberikan oleh Sariyah. Datuk suruh nenek menghantar Sariyah dan ibunya hingga ke tepi jalan enam kaki.

Datuk terus mencari penukul dan mengenakan papan dinding yang tercabut ke tempat asalnya. Bila semua kerjanya selesai. Datuk terus duduk di muka pintu merenung arah ke selatan.

“Tuk”

“Kenapa”

“Ilmu papan sekeping tu apa dia tuk.”

Datuk tersenyum. Dia memanggil saya duduk di sisinya. Bila saya berada dekatnya. Datuk gosokkan kepala saya dua tiga kali. Dia tersenyum. Menurut datuk, ilmu itu berasal dari salah satu tempat dari selatan benua India. Ilmu itu dibawa oleh orang-orang India Muslim yang datang ke tanah Semenanjung.

“Kebanyakkan orang-orang India Muslim yang datang ke tanah air sudah beristeri, sebelum mereka datang, mereka kenakan ilmu itu pada isterinya, tujuannya untuk mengelakkan isteri mereka melakukan perbuatan terkutuk, bila mereka tidak ada kerana merantau,” datuk memulakan ceritanya.

“Bila ilmu itu dikenakan, setiap orang lelaki yang memandang isteri mereka walau secantik mana pun, tidak terasa apa-apa,” sambung datuk. Saya hanya anggukkan kepala.

Tiba-tiba bulu tengkuk saya meremang. Bila datuk menjelaskan orang-orang yang mengamalkan ilmu tersebut biasanya menyimpan sekeping papan keranda orang yang mati berdarah. Papan itu dipotong kecil-kecil dan disimpan dalam peti hitam di sesuatu tempat yang tertentu. Selalunya peti hitam itu ditanam dalam tanah.

“Cara mereka membuatnya macam mana tuk?” Tanya saya.

“Mereka akan mengambil tiga helai rambut perempuan yang gugur di atas bantal waktu pagi, dililitkan pada salah satu papan keranda yang sudah dipotong halus-halus itu, kemudian ditanam di pangkal pokok atau disimpan saja. Biasanya orang-orang India Muslim yang merantau membawanya ke mana-mana atau di buang ke laut.”

“Kejam,” kata saya.

“Memang kejam menganiayakan kaum perempuan, kalau dah sayangkan bini bawalah ke mana-mana, buat apa ditinggalkan dengan cara ini. Peliknya, bila sampai ke sini mereka kahwin, bini yang ditinggalkan terus merana,” datuk semacam mengeluh.

Datuk turun ke tanah. Saya terus mengekorinya menuju ke sudut rumah. Datuk melihat lukah yang tergantung di dahan belimbing buluh. Salah satu lukah itu datuk ambil.

“Aku mahu menahan lukah di sungai, kau pikul lukah ini ke sungai,” saya segera menyambut lukah yang datuk hulurkan pada saya. Sepanjang jalan menuju ke sungai datuk terus bercerita tentang ilmu papan sekeping.

Kata datuk, ilmu papan sekeping banyak menggunakan mentera dalam bahasa yang sukar dimengertikan, banyak menggunakan pemujaan pada hantu syaitan.

“Bahasa bercampur aduk, ada bahasa hindu tua, ada bahasa jawa tua dan Siam. Ilmu itu cukup terkenal di kalangan dukun-dukun Siam yang kemudian dituntut oleh beberapa orang Melayu secara diam-diam,’ datuk berhenti bercakap kerana kami sudah sampai ke tepi sungai.

Saya lihat air sungai mengalir dengan tenang. Dua tiga helai daun getah yang sudah tua terkapar di permukaan sungai dibawa oleh arus menuju ke hilir.

“Apakah suami Sariyah mengenakan ilmu itu pada isterinya, tuk?”

“Aku tak fikir begitu, suaminya orang berpelajaran, mana mungkin mahu buat kerja macam itu.”

“Jadi, siapa yang membuat angkara buruk tu tuk?”

“Aku tak tahu, mungkin perkara itu jadi secara kebetulan. Tak apalah Tamar, aku akan berusaha memulihkannya, selalunya kerja-kerja syaitan akan musnah dengan kuasa Allah,” kata datuk.

Tanpa membuang masa datuk turun ke dalam perut sungai. Dia mencari lubuk yang difikirkan banyak ikan. Di situ datuk menahan lukah.

Leave a comment

Filed under Cerita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s