Bercakap dengan jin ~ 52 ~ Sebilah keris aneh

Baru dua langkah datuk mengatur tapak, saya terpandangkan cahaya api yang kuat. Cahaya itu kelihatan bergerak menuju ke masjid. Perasaan saya jadi cemas.

“Ada orang bawa suluh datang ke sini tuk”, kata saya memberitahu datuk.

Dan datuk segera membatalkan niatnya menuju ke arah benda jatuh. Dia patah balik dan berdiri dekat saya di ambang pintu masjid. Tiada rasa cemas dan bimbang terpamer diwajahnya.

“Tamar”

“Ya tuk”

“Yang kau tengok tu bukannya suluh.”

“Kalau bukan suluh,apa dia tuk?”

“Itu disebut andang yang dibuat dari daun kelapa.”

“Hum, saya tak tahu tuk.”

“Kalau tak tahu belajar, orang Melayu kaya dengan bahasa,setiap benda ada nama dan gelarannya.”

“Huh..”, satu keluhan terpancut dari mulut saya.

Dalam saat-saat cemas begitu, datuk masih mahu memperkenalkan saya dengan benda-benda yang baru. Saya mula terasa yang diri saya ini, terlalu miskin dengan perbendaharaan kata- kata bahasa sendiri. Mata saya masih lagi terpaku pada andang daun kelapa. Bunga- bunga api yang dicipta oleh andang tersebut kelihatan berterbangan di udara, sebelum jatuh ke bumi. Satu pemandangan yang amat menarik dan cantik bagi saya. Cahaya api itu, kian lama kian hampir ke masjid.

“Sahabat, saya datang”, dada saya terasa lapang.

Saya kenal dengan suara itu. Datuk renung muka saya. Api andang daun kelapa pun padam. Dengan tenang Mahyuddin melangkah menghampiri saya dan datuk. Wajahnya nampak tenang.

“Kenapa lambat ?!”

“Mencari benda yang mahu saya serahkan pada awak. Benda itu hilang dari tempat simpanannya”, suara Mahyuddin penuh kesal.

Datuk terus menepuk-nepuk bahu Mahyuddin beberapa kali. Mahyuddin seluk baju cekak musang yang dipakainya. Dia mengeluarkan sekotak mancis cap kuda terbang. Mahyuddin terus membakar sumbu pelita minyak tanah yang dibawanya. Sebahagian daripada ruang masjid terang benderang dilingkari oleh cahaya lampu minyak tanah. Saya merenung ke luar, tidak ada satu benda pun yang dapat saya lihat, suasananya gelap. Datuk dan Mahyuddin sandarkan badan ke dinding masjid. Masing-masing merenung api di sumbu pelita minyak tanah yang terlentuk lentuk ditiup angin lembut.

“Tadi ada benda jatuh dalam masjid, baru mula nak cari, awak dah datang”, ujar datuk seraya menggosok-gosok pangkal hidungnya.

“Apa bendanya sahabat?”

“Entah, saya pun tak tahu, pinjam pelita sekejap biar saya cari apa bendanya.”

“Itu memang elok, kalau yang jatuh tu benda tak bernyawa tak apalah, tetapi kalau benda bernyawa seperti ular atau lain-lain, bahaya kita dibuatnya.”

“Betul cakap awak”, balas datuk.

Saya renung kiri kanan, memang seram bila Mahyuddin menyebut perkataan ‘ular’ bulu tengkuk saya berdiri dengan sendiri. Saya dapat membayangkan kalau benar ular jatuh tengah masjid, pasti bukan ular sembarangan, mungkin ular jadi-jadian. Saya terus melompat dan duduk di sisi Mahyuddin.

“Kau takut?” tanyanya pada saya.

“Tidak”, balas saya sambil menegakkan dada.

Tunjuk berani tetapi, hati tetap berdebar. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Kepala lutut saya yang bertemu dengan kepala lutut Mahyuddin menggeletar, membuat Mahyuddin tersenyum sinis pada saya. Dengan cahaya pelita minyak tanah di tangan, datuk terus berarak menuju ke arah sebelah kanan masjid. Datuk yakin di situlah benda ganjil itu jatuh. Saya dan Mahyuddin hanya melihat segala gerak- geri datuk.

“Keris ! ”, jerit datuk.

Saya dan Mahyuddin segera menghampirinya. Sebilah keris terdampar atas lantai masjid. Hulunya diperbuat dari tanduk dalam bentuk muncung dan paruh burung helang. Sarungnya diperbuat dari kayu jenis keras. Bila terkena cahaya pelita, sarung dan hulu keris kelihatan bersinar•sinar. Datuk tidak berani menjamah keris tersebut, kerana hulu keris mengeluarkan asap nipis yang memanjang ke atas, bentuk asap itu kelihatan berliku-liku. Bila asap itu hilang, keris tersebut kelihatan bergerak sendiri dalam sarungnya, macam mahu keluar. Dengan tenang Mahyuddin menjamah keris tersebut. Kemudian membalutkan badan keris itu dengan kain kuning yang dikeluarkan dari saku seluarnya. Keris itu diletakkan kembali atas lantai dan Mahyuddin terus duduk bersila di depan keris. Dia kelihatan macam orang bertafakur.

“Inilah yang mahu saya berikan pada sahabat, belum pun sempat saya bertindak dia dah terbang mencari sahabat”, ujar Mahyuddin sambil merenung wajah datuk.

Beberapa saat kemudian, saya lihat Mahyuddin menatang keris itu untuk diserahkan pada datuk. Tetapi, datuk enggan menerimanya. Mahyuddin terpaksa meletakkan kembali atas. Rupanya tindak tanduk datuk itu difahami oleh Mahyuddin. Datuk mahu dia bercerita serba sedikit tentang keris ganjil itu. Menurut Mahyuddin, keris itu dibuat dengan tangan oleh guru silatnya. Mata keris itu dipadukan dengan lima jenis besi yang diambil dari lima buah gua di gugusan kepulauan Melayu iaitu dari tanah Bugis, Melaka, Bukit Seguntang, Pulau Mindanao (Filipina) dan Patani (Selatan Siam). Ketika dia bertapa dalam hutan, mata keris itu telah dijilat oleh harimau tiga malam berturut-turut.

Kata Mahyuddin lagi, keris itu telah membunuh tiga orang Belanda, tiga orang Inggeris dan lima korbannya terdiri dari orang-orang asing yang mahu menjajah alam Melayu. Saya menarik nafas panjang mendengar ceritanya. Saya kira, ceritanya itu tidak dapat diterima oleh akal. Datuk tidak melahirkan sebarang pendapat berhubung dengan cerita Mahyuddin itu. Datuk hanya menggigit kuku di ibu jari.

“Sekarang sahabat sudah tahu, sayalah harimau dan sayalah orang yang menyimpan keris air liur harimau yang bisa. Ingat, keris ini ada pantangnya. Jangan dibuat sembarangan, pantangnya tidak boleh ditikam ke badan manusia yang sebangsa dan seagama, kalau dilanggar pantang orang yang menyimpannya akan mati muntah darah”, kata Mahyuddin lagi.

Saya garu dahi dan datuk terus membisu seribu bahasa.

“Sahabat, umur saya dah lebih lapan puluh tahun, dengan kemahuan Allah saya sudah menemui seorang sahabat, sekarang sudah sampailah masanya saya menghebahkan rahsia diri saya pada orang- orang kampung. Sahabat dan cucu sahabat menjadi saksi dalam hal ini”, tekanan suara Mahyuddin cukup lantang.

Mukanya kelihatan berseri- seri. Dia terus meletakkan keris yang berbalut kain kuning atas riba datuk. Cepat- cepat datuk meletakkan keris itu ke tempat asalnya. Datuk tidak mahu menerima pemberian tersebut. Datuk segera bangun. Tangan kanannya ditekankan ke dinding masjid. Pelita minyak tanah terus mengerdip. Suara katak dan cengkerik tidak putus-putus berbunyi.

“Apa erti semuanya ini Mahyuddin?”, soal datuk.

“Orang yang merantau akan kembali, setiap kehebatan dan kekuatan ilmu dunia yang dituntut akan terpisah juga dengan manusia, hanya ilmu akhirat saja yang dibawa, begitu juga dengan saya”, cukup jelas dan teratur Mahyuddin berkata-kata.

Tetapi, saya jadi kelam-kabut, sukar sekali memahami atau mencari pati dari kata- katanya itu, berbelit-belit macam ada unsur falsafah.

“Sahabat ku.. ”

“Saya faham, tunggu sampai sembahyang subuh”, ujar datuk bila Mahyuddin mahu menyambung kata-katanya.

Mahyuddin patuh dengan permintaan datuk. Mahyuddin bangun, berjalan ke muka pintu surau. Datuk mengekor di belakangnya. Mereka berdiri di situ merenung ke kaki langit, sebutir bintang timur kelihatan mengerdip dengan indah. Awan cukup bersih.

“Mahyuddin.”

“Ya sahabat.”

“Awak berkawan dengan jin?”

“Ahhh…” Mahyuddin tidak menghabiskan kata-katanya.

Datuk terus memicit bahu kanan Mahyuddin yang kelihatan resah tidak menentu. Saya mula rapat ke arah datuk dan Mahyuddin, berdiri di belakang mereka. Pelita minyak tanah terus menyala. Badan saya mula terasa sejuk. Dua tiga kali saya mengeliat dan menguap panjang.

“Mahyuddin maafkan aku, kalau kau tersinggung. Aku bukan apa-apa Mahyuddin, kita sebagai manusia harus hati-hati, jangan sampai berkawan dengan jin kafir. Kata orang ketika kita mahu mati nanti kita disesatkannya”, ujar datuk.

Mahyuddin terus membisu. Mata Mahyuddin masih tertumpu ke kaki langit.

“Sebaik-baiknya biar kita kenai dengan jin yang seagama dengan kita, sekadar berkenal saja, kerana mereka makhluk Allah, jangan sekali- kali kita memperhambakan diri kita pada mereka atau kita hambakan mereka”, sambung datuk lagi.

“Sudahlah sahabat, usahlah mengajar”, dari nada suara yang dikeluarkan Mahyuddin itu ternyata dia kurang senang dengan sikap datuk.

Datuk terus diam. Rupanya sikap datuk itu menguntungkan. Mahyuddin kelihatan tenang. Dia berjalan ke arah kerantung (beduk) yang tergantung di luar masjid. Kerantung itu dipalunya berkali-kali menandakan Subuh sudah hampir. Mahyuddin dan datuk terus mengambil air sembahyang.

“Pukul lagi kerantung tu, waktu Subuh sudah masuk”, Mahyuddin mengeluarkan perintah pada saya, ketika dia melintas di depan saya.

Tanpa membuang masa, saya terus memukul kerantung bertalu-talu. Memukul kerantung memang menjadi kegemaran saya, tidak saya nafikan, serba sedikit saya telah belajar dari datuk meningkah kerantung dengan baiknya, tingkah (pukulan) yang saya buat itu semacam ada satu irama yang boleh membuat orang tersentak dari tidur. Kata datuk, memukul kerantung Subuh mesti pandai, tidak sembarangan, mesti menarik minat orang dan boleh membuat orang bangun dari tidur, walaupun bukan bangun untuk bersembahyang. Peluang itu saya gunakan sekarang.

“Sudah”, jerkah datuk sekuat hati, kayu pemukul terlepas dari tangan saya.

“Bila orang suruh pukul, buatlah setakat yang patut, ini sampai berjam- jam”, sambung datuk lagi.

Saya tersengih, macam kerang busuk. Apa mahu dikatakan lagi, memang salah diri sendiri, tanggunglah akibatnya. Azan Subuh dilaungkan oleh Mahyuddin, suaranya memang merdu. Kalau dengar pada suaranya, memang orang tidak duga yang Mahyuddin sudah berusia hampir lapan puluhan, suaranya lantang macam orang muda berusia dua puluhan. Setelah selesai menunaikan sembahyang Subuh, Mahyuddin berlari ke pintu. Dia minta orang yang bersama dalam masjid supaya jangan meninggalkan masjid. Dari muka pintu, Mahyuddin membuka rahsia dirinya. Dia menceritakan namanya yang sebenar serta asal usulnya. Orang ramai agak terkejut dengan peristiwa itu.
“Saya rasa tugas saya sudah hampir selesai. Halalkan makan minum saya, terima kasih atas budi baik orang di sini. Pada sesiapa yang terlalu hormat dan kagum dengan diri saya, buangkan semuanya itu. Saya adalah manusia biasa”, cukup bersemangat Mahyuddin bercakap, kemudian dia berjabat tangan dan berpeluk-pelukan dengan setiap orang yang lalu dekat pintu.

Dia menangis dan memeluk badan Dumba. Bila semuanya selesai, Mahyuddin tergesa-gesa meninggalkan masjid tanpa mengucapkan sesuatu pada saya dan datuk. Ketika itu hari sudah hampir cerah.

Matahari mula bangun di kaki langit, menebarkan sinarnya ke seluruh pelosok kampung.

“Ganjil perangainya, dengan orang berpeluk bersalam dengan kita dia buat tak tahu”, datuk melahirkan rasa kurang senang.

Saya tersenyum sambil merenung ke arahnya.

“Agaknya dia lupakan kita tuk.”

“Boleh jadi juga, maklumlah manusia ini tidak lepas dari sifat lalai dan lemah”, datuk tersenyum.

Rambut genjur saya dijamahnya berkali-kali. Penuh manja. Setelah selesai mandi embun dan membuat serba sedikit senaman. Datuk dan saya menuju ke kedai kopi. Saya makan sebungkus nasi lemak dan minum secawan kopi. Datuk pula minum air panas yang di campur dengan sedikit garam. Sebagai mengalas perut, datuk cuma makan dua biji kuih koci.

“Minum air panas dengan garam untuk cuci perut dan melancarkan perjalanan darah, boleh menghilangkan sakit tekak. Garam mesti dikacau hingga hancur dan airnya bila sudah dingin baru diminum”, begitu datuk memberitahu saya.

“Biasanya datuk tidak minum dengan air panas”, kata saya.

“Itu masa di rumah, kau sendiri tahu di rumah tuk minum air yang sudah di dingin sepanjang malam dan diisi dengan labu, di kedai mana kita nak dapat air macam tu.”

“Saya, faham sekarang.”

“Apa yang tuk buat ni boleh diamalkan tetapi khasiatnya kurang sedikit dari air yang kita dinginkan sepanjang malam.”

Datuk membayar semua harga minuman dan makanan. Kami pulang ke masjid untuk mengambil barang datuk yang tertinggal iaitu, sehelai kain hitam tiga segi. Pada mulanya, datuk memutuskan selepas sarapan pagi, mahu terus pulang ke kampung.

“Kau tunggu di sini, biar aku saja yang masuk”, saya tidak membantah arahan itu.

Badan datuk hilang ditelan pintu masjid. Beberapa minit kemudian dia muncul. Kali ini saya lihat wajahnya lain macam, dahinya berkerut. Di tangan kanannya terdapat bungkusan yang dibalut dengan kain kuning. Saya tahu apa yang ada dalam tangan datuk, kerana itu saya tidak menegurnya. Matahari kian bersinar. Saya kira sudah pukul lapan pagi. Kulit muka saya terasa pedih kena panahan matahari. Dua tiga kali saya meraba kulit muka, tanpa saya sedari datuk sudah berdiri di sisi saya. Dua tiga kali datuk dongakkan kepala melihat matahari, kelopak matanya pejam celik menahan panahan matahari.

“Mari kita pulangkan hak Mahyuddin ni.”

“Tapi, dia dah beri pada datuk.”

“Aku tidak kata apa-apa, sama ada mahu menerima atau menolaknya.”
“Betul juga cakap tuk tu.”
Secara tidak sengaja saya terpandangkan lengan kanan datuk yang memegang benda berbalut kain kuning. Urat- urat lengan datuk kelihatan timbul. Benda yang dipegangnya seakan-akan bergerak sendiri dalam genggaman datuk. Kulit muka datuk kelihatan tegang macam menahan sesuatu. Saya terpegun dengan kejadian itu.

“Tamar, jangan tengok benda dalam tangan aku”, pekik datuk.

Serentak dengan itu telapak tangan kirinya jatuh atas kepala saya. Kepala saya dipulasnya, hingga pandangan saya beralih ke arah lain. Batang tengkuk saya terasa sakit sekali.

“Jangan”, tambah datuk lagi.

Badan saya ditolaknya ke depan.

“Nak ke mana lagi tuk?”

“Ikut aku ke rumah Mahyuddin”, biji mata datuk kelihatan bersinar garang.

Gerak-gerinya jadi serba tangkas. Begitulah, di bawah sinar matahari saya dan datuk melangkah di jalan kecil yang muat untuk dua basikal berselisih. Sebelah kanan jalan ditumbuhi lalang dan sebelah kirinya dikuasai oleh pokok serunai laut. Langkah datuk terlalu cepat dan saya terpaksa berlari anak supaya tidak jauh ketinggalan di belakangnya. Ketika bintik- bintik peluh menguasai dahi, saya dan datuk sudah pun berada di halaman rumah Mahyuddin. Pintu rumah tertutup rapat. Tiga kali datuk memberi salam, semuanya tidak berjawab. Datuk renung tanah di halaman rumah.

“Tapak harimau”, kata datuk.

“Tapak harimau?”, tanya saya cemas, badan mula terasa lain macam.

“Ya”, datuk terus membongkok meneliti kesan tapak kaki harimau.

Datuk luruskan badannya kembali, dan merenung ke arah belukar kecil di belakang rumah Mahyuddin. Datuk mengikut kesan tapak kaki harimau yang menuju ke belukar tersebut Ternyata kesan tapak kaki harimau itu tidak sampai ke tepi belukar. Hilang di antara tiang depan dengan tiang bahagian lapur rumah. Datuk termenung panjang, kemudian mendekati saya yang berdiri tidak jauh dari tangga. Datuk renung muka saya tepat-tepat dan bergerak dari kiri ke kanan di depan saya. Datuk berhenti melangkah. Bibir bawahnya ditekan dengan ibu jari seketika.

“Ganjil”, kata datuk.

“Apa yang ganjil tuk?”

“Tapak harimau hilang dalam kawasan rumah”, suara datuk rendah.

Keris yang berbalut kain kuning masih dalam genggamannya. Kerana saya ditegah melihatnya, saya tidak melihat malah hampir lupa dengan keris tersebut yang berada pada datuk.

“Ikut aku Tamar.”

“Baik tuk.”
“Jangan tegur, jangan tanya apa yang aku buat”

“Baik tuk.”

Sinar matahari bertambah terik, sesekali kedengaran suara ungka bersahut-sahutan di kaki bukit. Burung murai terus berkicau di hujung dahan menyambut sinar matahari yang memancar terang. Datuk pijak anak tangga pertama hingga ke anak tangga bongsu. Saya juga berbuat begitu. Datuk tolak daun pintu yang tidak berkunci.

Pandangan pertama yang saya lihat sesudah pintu terbuka amat mengejutkan. Mahyuddin terbaring kaku di ruang tengah rumah. Mukanya nampak lebam. Baju cekak musang di bahagian dadanya terbelah dua. Kulit badannya terkoyak macam dicakar sesuatu, kedua belah kakinya terlipat. Terdapat garisan yang memanjang di kedua belah betisnya. Datuk jamah pergelangan tangan Mahyuddin, memeriksa pergerakan nadinya. Datuk menarik nafas panjang sambil meluruskan kedua belah kaki Mahyuddin. Bahagian dada Mahyuddin datuk tutup dengan kain pelekat berkotak besar, berwarna merah dan hijau. Kain pelekat itu datuk ambil dari longgokkan kain Mahyuddin yang terletak dekat dinding rumah.

“Dia sudah mati.”

“Keadaannya ganjil sekali tuk.”

“Setiap orang yang dapat meresapkan perasaannya menjadi harimau akan mati dalam keadaan begini. Selalunya, bila orang menuntut ilmu ini membuka rahsia diri sendiri, dia tidak akan lama hidup.”

“Dia boleh menentukan tarikh matinya tuk?”

“Tidak, dia cuma dapat alamat saja. Kematian dirinya terletak pada kuasa Allah yang Maha Besar. Ada orang yang menuntut ilmu ini membuka rahsia dirinya di depan orang ramai tetapi, masih hidup beberapa tahun lagi.”

“Apa yang terjadi pada dirinya, cara kebetulan saja ya tuk.”

“Ya memang cara kebetulan, selepas dia buat pengumuman dia pun mati, ini tidak bererti dia sudah menentukan tarikh matinya. Ingat, jangan sesatkan diri dengan kejadian begini”, ujar datuk sambil meraba-raba hujung dagunya.

Saya dan datuk berehat sebentar dalam rumah Mahyuddin. Keris yang berbalut kain kuning datuk letakkan dalam peti hitam di bucu rumah. Peti hitam itu datuk tindih dengan seketul batu yang datuk ambil di ruang dapur. Tiba-tiba saya terdengar menggelodak dalam peti hitam macam ada orang mengetuk-ngetuk dari dalam. Bunyinya cukup kuat tetapi, beberapa minit kemudian bunyi itu beransur kurang dan terus hilang. Wajah datuk kelihatan tenang.

“Aneh sungguh mayat Mahyuddin tuk”

“Ya Tamar, sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia melompat macam harimau untuk beberapa minit, kemudian menjadi lemah dan terus mati”

“Dahsyatnya tuk.”

“Begitulah ilmu dunia, tidak ada yang kekal, ada kelebihan dan kekurangan”, nada suara datuk amat perlahan sekali.

Datuk menyuruh saya menemui Dumba untuk menceritakan hal yang berlaku pada diri Mahyuddin. Perintah datuk saya patuhi. Dengan ditemani oleh Dumba saya pergi ke rumah anak angkat Mahyuddin. Tidak sampai setengah jam, berita kematian Mahyuddin heboh seluruh kampung. Salah seorang penduduk kampung terus menuju ke masjid, memukul beduk (kerantung) menandakan ada kematian berlaku di kampung. Menjelang waktu Zohor, mayat Mahyuddin pun dike¬bumikan. Orang yang bekerja keras menyelenggarakan pengebumian Mahyuddin, tidak lain dan tidak bukan ialah Dumba sendiri dengan dibantu oleh anak angkat Mahyuddin.

“Semuanya sudah selesai, biarlah kami balik”, beritahu datuk pada anak angkat Mahyuddin dan Dumba di kaki tangga.

Muka Dumba segera berubah mendengar cakap datuk, begitu juga dengan anak angkat Mahyuddin. Mereka tahu, bukanlah satu perkara yang mudah untuk mendapatkan kenderaan, bila sudah pukul lima petang. Belum sampai ke Slim River hari sudah malam, lagi pun perkhidmatan bas penumpang tamat pada jam enam petang.

“Begini saja, arwah bapa angkat saya ada meninggalkan pesan, sekiranya dia mati, dia minta rumahnya ditunggu selama satu malam. Orang yang dipilihnya ialah tuan sendiri”, anak angkat Mahyuddin membuka rahsia.

Orangnya bertubuh kecil, berambut kerinting dan berdahi sempit.

“Bila dia cakap dengan awak?”

“Sejak dia mengenali diri tuan, katanya tuan tahu serba sedikit tentang kebolehannya.”

Datuk termenung panjang. Saya tahu fikiran datuk ketika itu berbalah sama ada mahu tidur di rumah Mahyuddin atau meneruskan perjalanan. Kalau datuk bertanya pada saya, sama ada mahu bermalam di situ atau pulang, saya akan menyuruh datuk pulang saja. Apakan daya datuk tidak bertanya pada saya.

“Tunaikan pesanan arwah. Kalau dulu awak minta saya berbaik dengannya dan saya penuhi permintaan awak, sekarang saya minta awak tunaikan wasiatnya”, Dumba pula mengeluarkan pendapatnya.

Datuk masih lagi termenung, keningnya kelihatan berkedut. Ruang rumah Mahyuddin direnung pada setiap sudut. Akhirnya, biji mata datuk tertumpu pada peti hitam yang berisikan keris.

“Baiklah, cuma semalam saja”, kata datuk sambil bangun.

Anak angkat Mahyuddin dan Dumba yang sedang duduk bersila di lantai rumah turut bangun sama. Mereka kelihatan riang. Datuk tidak menghampakan permintaan mereka. Malam itu setelah selesai sembahyang Maghrib dan Isyak di masjid, saya dan datuk terus menuju ke rumah arwah Mahyuddin, bila sampai di rumah, anak angkatnya sudah sedia menanti kami. Makan malam sudah tersedia di ruang rumah. Tiga pelita minyak tanah sudah terpasang. Ada satu keganjilan yang dilakukan datuk ketika makan malam. Dia mengepalkan nasi sebanyak tujuh kepal. Diletakkan berderet di pinggir pinggan. Datuk memulakan makan nasi yang sudah dikepalkannya itu dari kiri ke kanan. Dia tidak menjamah lauk pauk yang tersedia di situ.

“Ini petua, kalau si mati bersahabat dengan makhluk jahat kita boleh tahu”, datuk membuka rahsia.

Mulut anak angkat Mahyuddin terlopong. Sayang, datuk cuma membuka rahsia setakat itu saja. Dia tidak menerangkan perkara ini dengan lebih mendalam lagi.

“Macam mana kita nak tahu hal tu tuan?” Tanya anak angkat Mahyuddin.

“Bila kepal nasi yang ganjil bilangannya kita telan, kita akan tersedak, tapi ada pula caranya yang boleh membuat hal itu jadi. Bukan boleh pakai suap saja, nanti lain kali aku beritahu pada kamu”, datuk terus meneguk air.

Lebih kurang pukul sepuluh malam. Anak angkat Mahyuddin membawa pulang pinggan mangkuk yang telah digunakan itu. Saya terus baring dan datuk terus membaca surah Yasiin. Dalam suasana yang tenang itu, peti hitam yang berisikan keris berbunyi. Batu penindih yang diletakkan di atas penutupnya terus bergerak. Makin lama, bunyi itu makin kuat. Saya mula resah. Datuk berhenti membaca surah Yasiin. Dia terus renung ke arah peti hitam yang masih berbunyi itu. Datuk lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali- kali. Mulutnya mula bergerak- gerak macam membaca sesuatu. Tiba-tiba datuk menampar lantai rumah dengan sekuat hati. Bunyi dalam peti hitam terus berhenti. Serentak dengan itu, pintu rumah terbuka. Anak angkat Mahyuddin terpacak di situ. Mukanya pucat lesi, ditoreh tidak berdarah.

“Kenapa?” tanya datuk.

“Saya diikuti harimau besar.”

“Tak apa, kau baliklah, ambil kain pelekat ayah kamu dan belitkan ke badan, nanti harimau itu tak akan mengikut kau lagi”, datuk menyerahkan kain pelekat pada anak angkat Mahyuddin.

Dengan tenang lelaki berambut kerinting yang mempunyai anak satu itu meninggalkan rumah. Usaha datuk tidak sia-sia. Setelah dibekalkan dengan kain pelekat, anak angkat Mahyuddin dapat meneruskan perjalanannya dengan aman. Kalau dia diganggu atau diekori harimau tentu dia datang menemui datuk. Kami tunggu hingga jam dua belas malam. Anak angkat Mahyuddin tidak juga muncul- muncul. Lebih kurang jam dua pagi, saya terpandangkan seorang lelaki berserban kuning duduk atas peti hitam menatang sebilah keris. Wajahnya kelihatan bersih.

Hal itu segera saya beritahu pada datuk yang masih membaca surah Yasiin. Lelaki berserban kuning masih lagi duduk di atas peti hitam. Kedua belah tangannya terletak atas kepala lutut. Saya lihat keris yang ditatangnya sudah tidak ada lagi di tangannya. Bila datuk selesai membaca surah Yasiin, dia segera merapati peti hitam. Orang yang berserban kuning sudah tidak ada lagi di situ. Datuk membuka peti hitam dan mengeluarkan keris yang berbalut kain kuning. Keris itu ditatangnya seketika.

“Bukan keturunan aku mengambil barang yang bukan hak aku, sekarang aku pulangkan kembali pada yang berhak kerana orang yang menjaganya selama ini sudah tak ada lagi”, perkataan yang keluar dari mulut datuk cukup jelas dan teratur, bagaikan ada manusia di hadapannya mendengar apa yang dikatakannya.

Datuk membuka sila lalu bangun. Dia melangkah dua tapak ke belakang. Berhenti dan meluruskan kedua belah kakinya, macam tentera yang sedang berkawad di padang. Kedua belah tangannya masih lagi menatang keris yang berbalut kain kuning. Datuk maju setapak, dua tapak dan berdiri betul-betul di depan peti hitam. Keris yang berbalut kain kuning diletakkannya di situ.

“Ini hak kamu, aku diberikan kuasa oleh Mahyuddin untuk menjaga sekejap saja”, kata datuk sambil duduk bersila, macam seorang panglima menghadap sultan di zaman silam.

Ketika itu juga, terdengar suara harimau mengaum di bawah rumah. Suaranya cukup kuat dan nyaring sekali, boleh membangunkan seluruh penduduk kampung yang sedang tidur. Rumah terasa bergegar seketika, tiupan angin mula terasa, cukup lembut dan nyaman sekali. Setelah itu, suasana tenang dan sepi sekali. Saya terlihat orang berserban kuning berdiri dekat peti hitam membongkok lalu mencapai keris yang berbalut dengan kain kuning. Datuk masih terpegun di situ. Beberapa saat kemudian, orang yang berserban kuning hilang dari pandangan saya.

“Semuanya sudah selesai Tamar”, bisik datuk pada saya.

Dia menyuruh saya tidur kembali, tetapi mata saya tidak mahu tidur.

Saya terus bertanya pada datuk: “Apakah yang kita lihat tadi jin, kawan Mahyuddin tuk?”

“Susah aku nak cakap, tetapi itulah kenyataan yang kita lihat, sudahlah”, kata datuk.
Akhirnya saya terlelap.

Leave a comment

Filed under Cerita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s