Bercakap dengan jin ~ 45 ~ Badan pawang berasap

Datuk terus menggosok- gosok pangkal hidungnya beberapa kali. Matahari pagi kian meninggi, sudah berada di paras pucuk kelapa bercabang dua dan sinarnya terus menjamah pada air sungai yang bergelombang kecil itu. Memang tidak ada seorang pun penduduk Kampung Tanjung Ara yang mengetahui kami berada di kawasan itu. Kedudukannya agak tersorok dan dilindungi oleh beberapa pohon-pohon besar yang di gayuti oleh akar sebesar lengan budak. Manakala bibir tebing tempat kami berdiri pula, berkeadaan seperti sebuah teluk kecil yang pantainya berpasir halus. Melihat pada keadaan tempat tersebut dan bentuk pasir yang terdapat di situ, temyata kawasan tesebut menjadi tempat buaya berjemur dan bertelur.

“Bagaimana? Apa kau mahu menyangkal dengan apa yang aku katakan itu?”, datuk terus renung wajah Saadun Juling.

Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Saadun Juling pada pertanyaan itu. Datuk lalu mengerutkan dahinya hingga kelihatan berlapis dua. Saadun Juling secara mendadak mengenggam penumbuk dan menahan nafas hingga mukanya kelihatan merah. Bila Saadun Juling melepaskan nafasnya terdengar macam bunyi suara buaya mendengkur dan wajahnya kelihatan garang sekali, biji matanya terbeliak mempamirkan urat mata yang merah berlajur atas selaput mata putihnya. Ke­ lopak matanya nampak berlapis macam kulit buaya tua.

“Aku tahu kau marahkan aku Saadun. Tetapi, cuba kau fikir berapa lama kau mahu melakukan kerja terkutuk ini?”

“Itu urusan aku”

“Dan urusan aku pula menyelamatkan orang-orang di sini”

Lagi sekali Saadun Juling terdiam. Perlahan-Iahan dia melangkah ke hadapan sambil membelakangi datuk. Dalam sekelip mata saja, Saadun memusingkan badannya lalu berdiri berhadapan dengan datuk sambiI membongkokkan badannya, tetapi biji matanya tetap menentang biji mata datuk. Dada saya mula berdebar dan hati kecil saya bagaikan dapat meramalkan yang Sadun Juling akan bertindak di luar rasa peri kemanusiaan. Datuk masih lagi berdiri dengan tenang, mata datuk tidak berkelip-kelip ke arah biji mata Saadun Juling yang kelihatan agak tersembul dan bersinar-sinar, macam mata kucing hutan terkena suluh lampu picit.

“Aeiiii…”, pekik Saadun Juling sambil melompat lalu melepaskan satu tendangan kilat ke dada datuk.

Kerana tendangan itu terlalu kencang dan kuat, datuk jatuh ke bumi. Dalam keadaan yang serba cemas itu, Saadun Juling berpusing ke arah saya lalu melepaskan penumbuk sulungnya ke pipi kanan saya, pandangan saya jadi berpinar- pinar, pipi mula terasa bengkak dan menebal. Saya terjatuh atas rumpun lalang liar, saya tidak berdaya mahu bangun. Saadun Juling terus menyerang datuk dengan bertubi-tubi, menyepak dan menendang ikut suka hatinya pada tubuh datuk yang tersungkur di bumi. Datuk tidak membalas serangannya yang begitu cepat bagaikan kilat itu, datuk lebih banyak mengelak dan mempertahankan dirinya. Saadun Juling memperlihatkan kehandalannya mengalahkan pihak lawan, gerak tangan dan kakinya macam kibasan ekor buaya, muka datuk mula dibasahi darah. Datuk kelihatan tidak bermaya dan Saadun Juling kian ganas, terus menyerang tanpa belas kasihan.

“Aieee…”, jerit Saadun Juling dengan lantang, ketika itu saya lihat batang tubuhnya sudah berada diawang- awangan dan bersedia untuk menendang pangkal leher datuk.

Kalau tendangan itu tepat pada sasarannya, pasti nyawa datuk melayang dari badan. Bila tendangan dari Saadun Juling hampir ke batang leher, datuk segera mengelak dengan memusingkan badannya ke arah perdu pokok bunga tanjung. Usaha datuk itu berjaya, Saadun Juling tertendang perdu bunga tanjung. Kerana tendangan itu terlalu kuat sebahagian dari pada kulit perdu bunga Tanjung terkopak. Saadun Juling menjalar atas bumi seketika, kemudian dia merangkak ma­ cam buaya untuk menyerang datuk. Dengan cepat datuk bangun lalu melompat ke atas belakang Saadun Juling. Kedua belah tangan datuk memegang rambut Saadun Juling di bahagian ubun-ubun kepala. Saadun Juling tidak melawan, dia terkapar atas bumi dengan kedua belah tangannya terkedang, macam katak mati dilanggar tayar lori.

“Saadun, aku tahu di mana kekuatan dan sumpah ilmu kamu”, kata datuk sambil bangun.

Di tangan datuk saya lihat tergengam rambut Saadun Juling, tanpa banyak cakap Saadun Juling terus bangun dan duduk bersandar di perdu bunga tanjung. Dia kelihatan letih benar, nafasnya tercungap-cungap. Datuk terus membersihkan darah di muka dengan daun serunai laut. Kemudian daun itu diramas-ramasnya, lalu disapukan ke bahagian muka yang bengkak. Tidak sampai sepuluh minit kemudian, bengkak dan lebam di mukanya terus hilang. Ketika datuk mengubat mukanya dengan daun serunai laut, rambut Saadun Juling di sembunyikan di celah ketiak kanan.

“Saadun, aku minta pada kamu supaya jangan memuja semangat buaya yang boleh menyusahkan orang-orang di sini”, datuk merayu dengan nada suara yang lembut .

Saadun Juling juihkan bibir bawahnya ke hadapan. Datuk terus termenung panjang.

“Saadun, jangan jadikan diri kamu tempat orang meletakkan sumpah dan cara kau mencari rezeki begini tidak berkat, rezeki yang kau terima panas. Kau tak akan boleh hidup senang”, tambah datuk lagi dengan wajah yang tenang.

Saadun Juling tetap membisu, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dirinya mahu patuh dengan permintaan datuk. Datuk jadi serba salah, segala usahanya menemui jalan buntu. Datuk terus membasuh muka dengan air sungai. Lama juga datuk merenung bayang wajahnya dalam air, setelah itu dia memetik daun keladi liar yang tumbuh di tebing sungai, daun keladi itu terus diisinya dengan air sambil mulutnya bergerak-gerak membaca sesuatu. Dengan kedua belah tangannya, dia menatang air di dalam daun keladi dengan hati-hati (kerana dia tidak mahu rambut Saadun Juling yang disembunyikannya di celah ketiak itu jatuh ke tanah). Bila datuk sudah hampir dengan Saadun Juling yang tercungap-cungap di pangkal pokok itu, datuk segera mencurahkan air dalam daun keladi ke muka Saadun Juling. Saya lihat muka Saadun Juling pucat seketika, kemudian baru berdarah kembali. Sebelum Saadun Juling berkata sesuatu, datuk terus menepuk dahi Saadun Juling sebanyak tiga kali berturut- turut sambil membaca selawat nabi.

“Biarkan dia di situ. Aku sudah melembutkan hatinya. Semoga niat baik aku diberkati oleh Allah”, ujar datuk pada saya.

Datuk terus duduk di sisi saya sambil melagakan ibu jari dengan jari telunjuk, macam orang membilang tasbih.

“Saadun, marilah kita berbuat baik sesama manusia dan mencari rezeki yang halal, tidak memeras orang lain secara terhormat untuk kepentingan diri kita sendiri”, kata datuk sambil merenung ke muka Saadun Juling.

Saya lihat Saadun Juling menarik nafas panjang sambil merenung ke arah langit yang terang benderang itu.

“Aku minta kau menghentikan perbuatan jahat dan menghalau buaya da­ ri sini, itu saja permintaan aku Saadun, satu permintaan yang cukup mudah”, saya terdengar suara datuk mula meninggi.

Saadun Juling menjeling tajam ke wajah datuk.

“Mudah bagi kau, tapi susah bagi aku”, suara Saadun Juling mula keras.

“Maksud kau?”

“Kalau aku menurut cakap kau, ertinya aku menyerah nyawa pada buaya, aku akan mati”

“Hidup mati kau, bukan kuasa buaya, nyawa seseorang tergantung pada Allah”

“Kalau kau pandai, kau sendiri halau buaya di sungai. Aku tak mahu, kau jangan halang kerja aku”

“Eh, Saadun aku bukan pawang buaya macam kau, apa yang aku lakukan selama ini ialah petua untuk menjinakkan buaya, petua tu aku perolehi dari orang tua- tua, itu saja yang ada pada diriku”

Matahari kian panas bersinar, angin yang bertiup sekitar kawasan itu tidak dapat memberikan rasa sejuk pada diri saya. Setiap kali saya menggerakkan kulit muka, akan terasa sakit dan pedih akibat kena penumbuk sulung dari Saadun Juling. Bila saya raba dengan tapak tangan bahagian kulit yang pedih itu, terasa tebal dan membengkak.

“Tak apa Saadun, aku rnengajak cara baik kau tak mahu. Mulai saat ini kita bermusuh, kalau aku lalai akan jadi habuan kau dan kalau kau pula lalai, kau akan jadi habuan aku. Ingat kejahatan kamu akan aku ceritakan pada orang-orang di sini”, datuk mengugut Saadun Juling.

Rambut Saadun Juling yang disembunyikan di bawah ketiak dikeluarkan untuk disimpan dalam saku baju hitamnya, kemudian datuk mengajak saya pulang. Baru lima langkah melangkah, Saadun Juling menerpa ke arah datuk sambil menghulurkan ulu golok pada datuk. Saya dan datuk tergamam. Langkah kami terus mati. Datuk dan saya berpandangan, secara perlahan-Iahan saya melangkah tiga tapak ke belakang. Bukan kerana takut, cuma bersiap sedia untuk lari, kalau Saadun Juling mengamuk dengan tiba-tiba.

“Untuk apa Saadun?”

“Potong rambut saya di bahagian tengkuk. Mulakan dari kiri ke kanan, jangan sampai sehelai pun rambut saya jatuh ke tanah”

Datuk pun segera mengambil golok dari tangan Saadun Juling. Datuk renung rambut Saadun Juling yang panjang dan lebat itu. Dengan hati-hati datuk mematuhi arahan yang dikatakan oleh Saadun Juling. Rambut yang sudah di potong itu segera di serahkan pada Saadun Juling kembali, kemudian dia membungkusnya dengan kain hitam

“Mari kita duduk”, ujar Saadun Juling.

Panas kian terik. Lima minit masa berlalu, kami tidak bercakap walau sepatah pun. Curna Saadun Juling saja yang memandang liar ke kiri dan ke kanan. Dari saku baju sebelah kirinya, Saadun Juling mengeluarkan kotak kecil. Kotak itu diserahkan pada datuk.

“Bukalah kotak itu”, katanya.

Datuk pun membuka kotak tersebut. Di dalamnya termuat sebilah pisau cukur bersarung hitam, segumpal rambut, se­ butir telur buaya yang masih baik keadaannya serta dua bilah gigi buaya yang sudah berlubang, pada lubang itu dicucuk dengan benang hitam, bila disarungkan ke leher akan menjadi kalung.

“Ini ibu geliga buaya”, Saadun Juling menunjukkan pada datuk satu benda putih yang berkilat dan bentuknya seperti batu sebesar ibu jari.

Benda putih itu dikeluarkan oleh Saadun Juling dari sebelah rusuk kirinya. Datuk anggukkan kepala mendengar penerangan dari Saadun Juling, saya cuma melihat dan memasang telinga sahaja.

“Semangat buaya yang saya puja berada di sini, sekarang biarlah saya pulangkan padanya kembali dan saya minta pada buaya-buaya di sini pindah ke tempat lain”, muka datuk berubah mendengar kata-kata itu.

Saadun Juling terus mengambil sekepal pasir dan sehelai daun keladi. Pasir yang di genggamnya itu ditaruh atas daun keladi dan ibu geliga buaya ditaruh di tengah- tengah pasir lalu dibungkus dengan daun keladi. Bungkusan itu di genggamnya sebentar sambil mulutnya menyebut sesuatu yang sukar saya fahami, bahasa yang di ucapkan bercampur aduk, ada bahasa Siam, ada bahasa Jawa dan bahasa Acheh. Bila semuanya sudah selesai, bungkusan itu dilemparkan ke dalam sungai. Dalam sekelip mata saja, air sungai bergelombang. Bila gelombang air sungai berakhir, berpuluh-puluh ekor buaya timbul. Semua kepala buaya itu menghadap ke hilir.

“Pindahlah kamu dari sini, aku bukan bapak kamu lagi, pergilah ke mana-mana”, jerit Saadun Juling.

Ternyata buaya-buaya di sungai itu mendengar cakapnya, buaya-buaya itu bergerak menuju ke kuala. Saya kagum dengan ke­ bolehan luar biasa yang dimiliki oleh Saadun Juling. Saya kira rasa kagum itu terjadi juga pada diri datuk. Sebabnya, apa yang dilakukan oleh Saadun Juling datuk perhatikan dengan penuh minat. Saadun Juling masih lagi merenung air sungai yang kelihatan agak tenang. Kelopak matanya tidak berkedip. Tiba-tiba air sungai bergelombang kembali, seekor buaya sebesar batang kelapa timbul di permukaan sungai, buaya itu berenang ke tepi sungai.

“Berhenti dan tunjukkan badan kamu”, kata Saadun Juling, buaya itu segera menimbulkan seluruh badannya.

Warna badan buaya itu agak keputih- putihan sedikit dan pergerakkan kaki serta ekornya tidak sepantas macam buya-buaya yang lain.

“Aku tidak memerlukan kamu lagi, aku kembalikan semangat kamu yang aku pinjam pada kamu kembali, sumpah yang kita buat sudah tidak ada lagi, kau berhak memakan daging aku dan aku berhak membunuh kamu”, Saadun Juling terus berkata-kata dengan buaya tersebut.

Saya lihat buaya itu terus menyelam dan ghaib. Di tempat buaya itu menyelam muncul sepotong kayu hitam macam kayu arang yang pan­ jangnya kira-kira dua kaki. Kayu itu berpusing-pusing di situ dengan ligatnya sambil mengeluarkan asap yang nipis di permukaan sungai. Asap itu nampak memanjang naik ke udara. Beberapa saat kemudian asap itu hilang, dan Saadun Juling terus jatuh ke tanah. Badan Saadun Juling kelihatan kaku, tidak bergerak dan kedua belah kelopak matanya tertutup rapat. Dari sinar matahari yang cukup terik itu, saya lihat seluruh badan Saadun Juling mengeluarkan wap seperti wap dari ketul asis. Bila wap itu hilang Saadun Juling mula bergerak dan terus bangun. Dengan langkah yang tenang dia mendekati datuk.

“Kamu lihat buaya putih tadi?”

“Ya”

“Sebenamya badan buaya itu tidak putih cuma penglihatan kita saja yang membuat kita menyangka buaya itu putih”

“Maksud kau Saadun?”

“Itulah buaya jadi-jadian yang aku puja dari puntung kayu hanyut di tengah sungai waktu malam, sebelum puntung itu aku puja, puntung itu aku serahkan pada guruku untuk ditapa selama tujuh minggu dalam lubuk yang airnya berpusing, setelah dipujanya barulah diserahkan pada aku untuk memujanya dengan beberapa syarat yang tertentu”

Datuk renung wajah Saadun Juling lama-lama, kemudian datuk tersenyum sambil meraba pipi kanannya berkali- kali. Datuk hulurkan tangan pada Saadun Juling, cepat- cepat Saadun Juling menyambut huluran tangan datuk itu. Mereka berjabat salam penuh mesra sambi ketawa penuh makna.

“Kita bersahabat ,tetapi kalau kau tersilap langkah ertinya kau habuan aku. Begitu juga dengan aku kalau tersilap langkah akan jadi habuan kamu, ” kata-kata itu diucapkan oleh Saadun Juling dengan penuh semangat.

“Kalau itu sebagai satu syarat untuk kita bersahabat, aku terima Saadun”, balas datuk.

“Memang itu syaratnya, aku senang bila kau terima syarat tersebut”, sahut Saadun Juling.

Seram juga mendengar janji dua orang yang mahu bersa­ habat ini, pelik dan ganjil sekali buat diri saya. Saadun Juling terus melangkah beberapa tapak ke belakang dan ke hadapan di depan datuk. Kerana datuk masih duduk bersila di tanah, langkah yang di atur oleh Saadun Juling itu diperhatikannya dengan ekor mata sambil bersedia kalau langkah itu akan bertukar menjadi buah silat lalu mencari sasaran di tubuh datuk. Mujurlah langkah Saadun Juling tetap dengan langkahnya, tidak ada tanda-­ tanda akan bertukar menjadi buah silat membuat perasaan datuk jadi tenang. Dalam keadaan yang begitu tenang Saadun Juling terus melompat dengan tiba-tiba dan terus duduk bersila di hadapan datuk. Saadun Juling hulurkan kepalanya yang berambut panjang serta lebat itu pada datuk.

“Gunakan pisau cukur tadi dan cukurlah rambut ini, aku mahu membuang segala ilmu yang aku tuntut”, wajah datuk kelihatan berubah, bagaikan tidak percaya dengan apa yang dituturkan oleh Saadun Juling padanya.

“Kau mahu mempermainkan aku atau kau memang berhajat betul”

“Aku bercakap benar, segala kekuatan ilmu yang aku tuntut terletak pada rambutku. Sebab itulah aku menyimpan rambut panjang, ada tujuan dan gunanya, kata orang ada muslihatnya”

“Begitu. Fahamlah aku sekarang”

“Eh, kau memang bijak, pura- pura tidak tahu. Padahal kau sendiri tahu, bila kau menarik rambut aku tadi aku sudah tahu yang kau sudah mengetahui rahsia diri aku”

Datuk tersenyum mendengar kata-kata dari Saadun Juling itu. Datuk tidak dapat berdalih lagi, secara terus terang datuk mengatakan pada Saadun Juling, segala rahsia kekuatan itu diketahuinya setelah melihat cara-cara Saadun Juling berjalan serta cara kerdipan mata Saadun Juling. Secara jujur pula Saadun Juling mengakui, sebab utama dia mahu mengikut cakap datuk kerana datuk mengetahui rahsia kekuatan dirinya. Andainya datuk tidak mengetahui rahsia itu dia bermusuh dengan datuk hingga hari kiamat. Tanpa membuang masa lagi, datuk pun mencukur rambut Saadun Juling dengan meninggalkan rambut bahagian ubun-ubun kepala dalam bentuk bulat, kerana rambut yang tinggal itu panjang membuat saya teringat pada rambut kaun Red Indian di Amerika yang selalu saya Iihat dalam filem cowboy. Saya tersenyum, memang bodoh kelihatannya bila orang tua berjambul dengan rambut panjang, sebabnya, datuk meninggalkan rambut tersebut adalah atas permintaan Saadun Juling sendiri.

“Sekarang cukurlah rambut yang tinggal itu dan kau bersedialah mengelakkan diri kau dari terkena badinya”, kata Saadun Juling sambil menyuruh datuk mengambil segumpal rambut, telur buaya dan dua bilah gigi buaya dari dalam kotak kecil.

Kalung dari gigi buaya disangkutkan ke lehernya, manakala segumpal rambut dan telur buaya diletakkan atas daun keladi dan daun keladi yang diisikan dengan barang tersebut pun diletakkan di bawah paha kanan Saadun Juling.

“Sekarang, cukurlah rambut itu dari arah matahari jatuh membawa ke arah matahari naik”, Saadun Juling segera memberikan perintah.

Datuk segera melakukannya. Bila mata pisau cukur terkena bahagian rambut tersebut, secara mengejut hujan turun dalam panas yang terik itu. Air hujan yang kasar itu jatuh atas permukaan sungai membuat air sungai kelihatan seperti meruap-ruap. Saadun Juling memejamkan matanya dan tangan datuk yang memegang pisau cukur kelihatan bergerak-gerak tidak tentu arah macam di tolak sesuatu. Akhirnya dapat juga datuk mencukur rambut sejemput itu, setelah dia membaca beberapa potong ayat suci. Bila rambut itu selesai di cukur, hujan panas segera berhenti. Tetapi, wajah datuk kelihatan kebiru-biruan, kedua belah bibirnya nampak hitam dan badannya menggeletar macam orang kena serang demam kura. Datuk segera menghampiri saya serta menyuruh saya mencari daun lidah buaya dan cendawan telinga monyet. Berpeluh juga badan saya mencari bahan-bahan yang dikehendaki oleh datuk sekitar kawasan itu. Nasib saya agak baik, cendawan telinga monyet saya temui di batang getah buruk. Daun lidah buaya pula saya temui dalam jarak satu rantai dari batang getah buruk tersebut. Semua bahan-bahan itu saya serahkan pada datuk. Cendawan telinga monyet datuk patah dua. Sebelah digosokkan pada tapak kaki kiri dan yang sebelah digosokkan pada tapak kaki kanan beberapa kali hingga rasa mengeletar di badannya hilang. Bahagian kulit atas daun lidah buaya datuk kupas (siat) dengan golok, bila kulit itu tersiat terdapat sejenis lendir yang rupanya macam agar-agar. Lendir itu datuk taruh atas tapak tangan lalu dimakannya. Saya terasa geli – geleman dan tekak saya terasa loya melihat datuk menelan lendir dari daun lidah buaya. Bahagian bawah daun itu datuk kupas juga, lendimya datuk ambil dan disapukan ke muka serta kedua belah lengannya. Bibir datuk yang kelihatan hitam segera bertukar menjadi merah begitu juga dengan wajahnya yang kebiru-biruan pulih seperti sediakala.

“Daun lidah buaya ini banyak khasiatnya, kalau anak dara mahu kulit mukanya bersih serta halus tanpa jerawat sapulah lendir dari daun ini. Kalau kita mahu kelihatan muda (awet muda) sapukan lendirnya ke muka setiap petang, kalau badan terasa panas atau mahu menjaga kesihatan tubuh badan, ini khasiatnya”, kata datuk pada saya sambil mengeliat.

“Kalau mahu mengekalkan rumah tangga hingga mati dan mahu berbini lebih dari satu daun lidah buaya juga boleh digunakan. Orang lelaki yang memakai daun lidah buaya muda menawan hati orang perempuan. Tapi mesti ada petua dan syaratnya, belajarlah dengan datuk awak”, sampuk Saadun Juling.

Dan saya mengharapkan datuk akan mengeluarkan petuanya dan saya bersedia melakukannya. Sebagai lelaki tentu saja saya teringin memikat atau jadi pujaan setiap gadis, kalau perlu mahu beristeri lebih dari satu.

“Petua yang itu tidak boleh diberikan pada Tamar. Belum tentu petua itu digunakan dengan sebaik-baiknya, hari ini kita nampak bagus, bila dah dewasa belum tentu dia bagus. Kalau petua tu terlepas padanya aku yakin dia akan jadi kambing randuk (bapak kambing) yang kerjanya membilang kepala bini atau membilang kepala betina”, kata datuk lalu disambut dengan ketawa berdekah-­ dekah oleh Saadun Juling.

Sesunguhnya, kata-kata datuk itu meninggalkan kesan kecewa yang amat mendalam pada diri saya. Apa boleh buat, mahu bertanya atau meminta petua itu pada datuk saya takut, silap-silap tanya atau minta nanti penampar hinggap ke muka paling kurang kena maki. Matahari sudah berada betul-betul di atas kepala dan burung helang siwah mula terbang rendah mencari makan sambil berbunyi sekali-sekala, ketika itu jugalah Saadun Juling membentang kain kuning berbucu tiga di atas tanah. Rambutnya sudah dicukur, dikumpul atas kain kuning tersebut. Begitu juga dengan pisau cukur, telur buaya, kalung gigi buaya dan segumpal rambut, semua benda-benda itu dibungkus dengan kain kuning lalu diletakkan di atas batang buruk dan dihanyutkan ke tengah sungai. Bila kain kuning di atas batang buruk itu bergerak ke hilir, helang siwah yang terbang terus menjunam serta menyambar kain kuning tersebut, bila kain kuning itu berada dimuncung burung helang yang berlegar-Iegar di udara, terdengar satu ledakan macam ledakan petir dan badan helang yang berada di udara berkecai, bulunya berterbangan jatuh atas permukaan sungai.

“Semuanya sudah habis, ilmu yang di tuntut sudah pulang ke tanah asalnya di Kuala Tari, Acheh, menemui tuannya”, ujar Saadun Juling dengan wajah yang gusar.

“Habiskan usia kamu yang ada ini untuk mengabadikan diri pada Allah, mohon ampun dan bertaubatlah pada Allah, semoga kau akan bahagia dunia akhirat”, datuk terus menepuk bahu Saadun Juling sambil meninggalkan kawasan tersebut menuju ke pondoknya.

Bunyi ledakan petir di tengah hari itu rupanya menimbulkan kegemparan pada para penduduk di Tanjung Ara, beberapa orang penduduk yang ingin tahu tentang kejadian itu segera mencari datuk.

“Apa yang mahu dirisaukan, bunyi petir ditengah hari perkara biasa semuanya berlaku atas kehendak Allah, kalau mahu mengetahui rahsianya carilah sendiri, saya sendiri tidak tahu”, kata datuk pada orang-orang kampung yang menemuinya dikaki tangga pondok tempat Saadun Juling menumpang.

Tanpa banyak soal jawab, orang-orang kampung terus pulang ke rumah masing- masing. Sebagai membuktikan kejujuran dan keikhlasan hatinya pada orang-orang kampung Tanjung Ara dan datuk, Saadun Juling membuat keputusan untuk tinggal di kampung tersebut selama dua minggu lagi. Alasan yang diberikan pada orang-orang kampung ialah untuk melihat sejauh mana kejayaannya menghalau buaya di sungai tersebut. Sungguh memeranjatkan, usaha Saadun Juling tidak sia-sia. Buaya cukup sulit untuk di temui di sungai tersebut. Kalu ada pun, buaya tersebut hanya sekadar menumpang lalu, mempamirkan tubuh badan seminit dua di permukaan sungai, kemudian terus hilang dan amat sukar dikesan kemana buaya itu menghilangkan diri. Kerana kejayaan itu, orang- orang kampung telah sepakat untuk mengadakan kenduri kesyukuran dengan mengadakan jamuan makan tengahari di surau kampung tersebut setelah menunaikan sembahyang Zuhur secara berjemaah.

“Saya minta pada orang di sini supaya jangan membuang cicak ke sungai atau memancing ikan berumpankan cicak, perbuatan itu memang dilarang dan merupakan satu pantang. Kalau dilanggar pantang itu buaya akan mengamuk kembali. Jika ada diantara tuan-tuan yang memanggang cicak dengan buluh atau sebagainya lalu dibuang ke sungai padahnya cukup buruk, buaya akan membalas dendam, dalam ilmu pawang buaya hal ini memang merupakan pantang besar”, demikian Saadun Juling memberitahu orang- orang kampung.

Dia juga menyatakan pada orang-orang kampung bahawa segala ilmu yang dituntutnya bagi menangkap buaya, sudah dibuangnya kerana dia mula sedar yang ilmu itu banyak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Dalam majlis kesyukuran itu juga, datuk mengambil daya usahanya sendiri mempertemukan Saadun Juling dengan suami wanita yang digodanya. Memang diluar dugaan datuk pertemuan yang diadakan dengan tujuan yang baik menjadi sebaliknya. Suami wanita itu menaruh dendam pada Saadun Juling. Bila dia berhadapan dengan Saadun Juling tanpa berfikir panjang, dia terus mencabar Saadun Juling supaya bergaduh dengan menggunakan parang panjang.

“Saadun, aku harap kau bersabar, orang yang sabar dikasihi oleh Allah, tujuan kita bukan mahu bergaduh, apa yang kita lakukan adalah untuk kebaikan. Untuk menghilangkan rasa permusuhan sesama Islam, bukankah Islam mahu para pe­ ngikutnya berbaik-baik, hidup aman dan saling tolong- menolong”, kata datuk kepada Saadun Juling.

“Saya ikut cakap awak, asalkan tujuannya baik”, sahut Saadun Juling.

Datuk terus mendekati si suami yang sedang marah itu. Datuk tepuk bahu kanannya dua tiga kali, kemudian datuk ambil keris pendek yang tergenggam di tangan si suami itu. Keris itu datuk masukkan ke dalam sarungnya. Orang- orang kampung yang tidak tahu tentang kedudukan perkara tersebut jadi tercengang-cengang sambil berbisik sama sendiri.

“Usah bimbang, mereka ada selisih faham sedikit. Biarlah saya yang cuba mengatasinya. Saya yakin kalau kita bersikap sebagai orang Islam sejati, masalah ini boleh selesai”, datuk memberitahu orang-orang kampung dan menyuruh mereka bersurai.

Datuk terus menemui si suami yang sedang naik darah itu kembali. Datuk terus bercakap-cakap dengannya sebentar, Saadun Juling cuma melihat dari jauh saja. Saya menarik nafas tanda senang hati kerana datuk berjaya memujuk si suami yang sedang marah itu. Saadun Juling bersalam dengan si suami yang mempunyai parut di betis kanannya, kemudian si suami itu mengajak datuk, Saadun Juling dan saya ke rumahnya. Kami di jamu dengan kopi panas di anjung rumah.

“Saya mengaku saya bersalah dalam hal ini, ambillah golok ini dan lakukan apa saja demi menjaga kehormatan awak sebagai seorang suami, saya rela mati atas perbuatan saya”, tiba-tiba Saadun Juling menghulurkan ulu golok pada sisuami yang berparut di betis kanan.

“Tak perlu, saya faham dan saya sudah mengetahui kedudukan diri awak. Saya maafkan awak, walaupun perbuatan saya ini satu perbuatan dayus pada mata orang lain, saya tidak merasa kesal. Menjauhkan perasaan dendam dan bergaduh sesama orang yang seagama itu lebih mulia”, dengan tenang si suami itu bercakap pada Saadun Juling.

Mereka berdakap-dakapan dan menangis. Saya dan datuk sungguh terharu melihat peristiwa tersebut. Dengan perasaan yang ikhlas si suami itu terus bertanya pada isterinya, sama ada dia mencintai dirinya atau Saadun Juling. Dengan jujur si isteri itu menjawab, dia memang tidak mencintai atau menyayangi suaminya, kerana si suami itu bukan pilihan hatinya. Dia menikah dulu semata-mata mendengar cakap ke dua orang tuanya. Si suami menerima keterangan itu dengan dada yang terbuka, kemudian dia membuat keputusan menceraikan isterinya, setelah Saadun Juling memberikan jaminan yang dirinya akan memperisterikan wanita tersebut. Saadun Juling membuktikan kata-katanya itu, setelah wanita itu lepas edah, dia terus menikah dengan wanita tersebut. Kemudian Saadun Juling membawa isterinya ke kampung halamannya dan memulakan penghidupan baru dengan membuka kedai kopi dan barang-barang runcit di tempatnya dan namanya sebagai pawang buaya terus dilupakan orang.

 

Leave a comment

Filed under Cerita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s