Bercakap dengan jin ~ 42 ~ Sepasang tangan berbulu

Suasana dalam rumah terasa amat sepi. Datuk dan ayah pemuda ganjil itu tidak berkata walau sepatah pun, begitu juga dengan saya. Kesepian itu terusik juga oleh kicau burung murai yang mencari cacing di luar rumah.

“Sabarlah, nanti saya usahakan. Dengan izin Allah anak awak akan kembali pada keadaan asal”, tiba-tiba datuk bersuara.

Bahu ayah pemuda ganjil itu ditepuknya berkali-kali. Ayah pemuda ganjil itu minta diri dan datuk menghantarnya hingga ke kaki tangga.

“Menerima amanah mudah tetapi menunaikan amanah memang pahit. Banyak godaan dan dugaan yang tiba. Kalau kurang iman jahanam diri sendiri dan balanya berterusan”, kata datuk dengan nada suara yang lemah sambil merenung wajah ayah pemuda ganjil.

Dari muka pintu saya lihat, ayah pemuda ganjil itu berada dalam serba salah, air mukanya berubah mendengar kata-kata dari datuk itu.

“Apakah anak saya menerima bala dari perbuatan datuknya?”

“Entahlah, hanya Allah yang mengetahui dalam hal ini”

“Saya rasa perbuatan ayah saya tidak bertentangan dengan hukurn agama. Dia merampas harta musuh dalam keadaan darurat atau berperang”

“Saya faham. Kalau tak silap, perbuatan itu diharuskan oleh agama Islam. Malah Nabi Muhammad S.A.W. pernah melakukannya. Harta rampasan itu dibahagi- bahagikan atau digunakan untuk kebajikan agama, tetapi ayah awak tidak amanah sudah menyimpang jauh dari hukum Islam”

Ayah pemuda ganjil itu terdiam mendengar keterangan dari datuk. Tanpa banyak cakap dia terus berjabat salam dengan datuk, kemudian melangkah dengan tenang meninggalkan kawasan rumah khas kami.

“Kau tunggu rumah. Aku mahu mengambil air sembahyang”, datuk memberitahu saya.

Belum pun sempat saya memberi jawapan, datuk hilang dari pandangan saya. Tidak tahu kemana datuk pergi. Semua cawan dan piring kosong saya bawa ke bahagian dapur dan terus membasuhnya hingga bersih. Lepas itu saya susun atas para. Bila saya kembali ke ruang tengah rumah, saya dapati datuk sedang duduk menghadap ke arah kiblat. Datuk membaca Surah Yasiin hingga tamat. Kemudian dia membilang tasbih berzikir panjang. Saya membiarkan datuk dengan kerjanya dan saya terus menyusun dan membersihkan akar-akar kayu dan batu-batu yang dikutip semalam.

Menurut datuk, bila semuanya sudah bersih, barang-barang itu mesti diletakkan di atas bendul rumah supaya kena matahari dan benda-benda itu tidak boleh dilangkah oleh manusia atau binatang. Bila matahari berada betul-betul di tulang bumbung rumah, datuk menghentikan tugasnya. Datuk mengambil beberapa akar kayu dan batu yang saya susun di bendul. Barang-barang itu di bawanya ke tanah dan diatur atas sekeping papan pada tengahari yang rembang. Datuk berpanas di situ hingga seluruh badannya berpeluh. Datuk masuk ke rumah lalu menyapu peluh di muka dengan belakang tangan. Kerana waktu Zuhur sudah sampai, datuk menggesa saya mengambil air sembahyang. Saya dapati datuk sudah berada di sisi saya. Datuk tidak saya hiraukan.

“Air itu tidak rata. Kau harus membasuh kakimu hingga sampai ke bulu lali dan air itu mesti kena jari kakimu, ambil air sembahyang mesti betul. Kalau ambil air sembahyang tidak betul macam mana sembahyang boleh betul”, tegur datuk.

Saya tersenyum dan segera mematuhi cakapnya.

“Ingat, jangan ambil air sembahyang sembarang. Ikut syaratnya, kalau tak tahu belajar dan bertanya”, tambahnya.

Dan datuk terus mengambil air sembahyang. Bila sudah selesai, kami kembali ke rumah menunaikan fardu zuhur. Lebih kurang pukul dua petang, datuk suruh saya kumpulkan akar-akar kayu dan batu yang dijemurnya dalam baldi kecil. Dengan baldi kecil itu, saya dan datuk membawa barang-barang tersebut ke rumah batu. Lebih kurang satu rantai mahu sampai ke rumah itu, datuk mengambil baldi dari tangan saya. Bila sampai di pintu pagar rumah batu, datuk tepuk baldi dengan tangan kanannya dan pintu pagar terbuka dengan sendiri. Sebaik sahaja berada di halaman rumah batu, datuk ambil tiga batu dan tiga urat akar kayu. Batu dibuang kearah kanan dan akar kayu dibuang ke arah kiri. Mulut datuk kelihatan bergerak- gerak, sebiji batu dalam baldi diambilnya lagi dan batu itu di gosoknya berkali-kali. Akhirnya, batu itu diletakkan betul-betul didepan pintu rumah batu yang tertutup rapat. Bila datuk memijak batu itu dengan kaki kirinya, pintu rumah batu terbuka dengan sendirinya. Saya terpandang macam ada batang tubuh wanita berdiri di muka pintu beberapa saat. Saya tidak dapat memastikan wajah wanita itu kerana ia muncul sekejap saja dan macam bayang-bayang pula.

“Mari masuk Tamar”, kata datuk.

“Untuk apa tok?”

“Mari masuk”, sergah datuk sambiI merenung kelangit melihat matahari yang bersinar terik serta gumpalan awan yang bergerak ke arah barat daya.

Saya tidak tahu, entah mengapa kaki saya terasa berat untuk melangkah, macam ada sesuatu yang membelenggu kedua belah kaki saya. Bulu roma saya mula tegak, rasa takut bersarang dalam hati. Bila saya renung ke arah pintu yang terdedah, saya bagaikan terpandang sesuatu yang aneh. Saya semacam terpandang orang berjanggut panjang beberapa saat. Bila orang itu hilang, saya terlihat perempuan cantik berhidung panjang sampai ke dada. Bila perempuan itu hilang saya terlihat orang memakan bara api, semuanya bertukar ganti dalam masa yang cukup pantas.

“Saya takut tok”

“Mengarut, mari”, datuk menarik tangan saya sambil menekan nadi di pergelangan tangan dengan ibu jarinya bagaikan terkejut, macam orang kena kejutan letrik.

“Mengucap Tamar”, kata datuk lagi saya pun terus mengucap dua kalimah syahadah dengan tenang dan teratur.

Saya dan datuk terus melangkah ke dalam ruang rumah. Saya lihat beberapa ekor labah-labah merayap di dinding. Hampir seluruh kawasan ruang itu dipenuhi oleh sarang labah-labah dan angkut-angkut, keadaan didalam rumah itu kelihatan suram dan samar-samar. Datuk membuka salah sebuah tingkap di situ untuk mendapatkan cahaya matahari. Bila cahaya matahari masuk ke dalamnya, barulah saya melihat pecahan kaca dan tembikar berselerak di lantai, dua tiga ekor lipan bara melarikan diri dari terkena cahaya matahari, empat kerusi kuno dan sebuah meja kuno sudah berlubang-Iubang di makan oleh anai-anai. Di kaki tangga untuk naik ke tingkat atas terdapat sebuah busut jantan yang tingginya hampir lima kaki. Kalau direnung lama-lama busut jantan itu bentuknya macam seorang lelaki berpeluk tubuh. Bila datuk menjamah bahagian atas busut jantan itu, beribu-ribu kalkatu keluar memenuhi ruang rumah batu itu. Datuk dan saya segera memanjat anak tangga menuju ke tingkat atas. Terdapat lima bilik di tingkat tersebut, salah sebuah bilik di situ kelihatan bersih dan langsir kuning terpasang dengan rapi, beberapa keping patahan dari batu nisan kelihatan berselerak di muka pintu bilik. Saya dan datuk jenguk ke dalam bilik. Pemuda ganjil sedang tidur dengan nyenyaknya di atas katil kuno dengan beralaskan daun-daun ketapang kering sambil memeluk batu nisan.

Bila datuk mahu masuk ke bilik tersebut, rumah batu itu terasa bergegar disertai dengan bunyi dentuman yang amat kuat macam bunyi petir. Saya dan datuk mula terdengar bunyi air hujan mencurah-curah di luar. Bagi memastikan apakah di luar betul-betul hujan, datuk segera membuka tingkap, ternyata hari tidak hujan. Cuaca cukup baik, matahari tetap bersinar, langit biru kelihatan bersih. Satu hal yang menakjubkan. Bila daun tingkap terbuka perkara yang aneh itu tidak kedengaran, bila daun tingkap dirapatkan macam-macam bunyi mengusik gegendang telinga. Datuk rapat ke katil pemuda ganjil. Bila datuk duduk di sisinya, saya terlihat sepasang tangan yang berbulu sebesar pokok pinang dara keluar dari dinding bilik. Sepasang tangan itu mengarah ke batang leher datuk.

“Aku akan mengembalikan pada orang yang berhak. Jangan ganggu kami dan perdayakan anak cucunya”, kata datuk.

Sebaik saja datuk selesai bercakap sepasang tangan yang berbulu itu hilang dari tepi dinding bilik. Datuk cuba mengejutkan pemuda ganjil yang sedang tidur. Usaha datuk itu gagal. Setiap kali dia mahu menjamah kaki pemuda ganjil itu, bayang-bayang perempuan akan muncul di atas katil seolah-olah menghalang perbuatan datuk.

“Rumah ni, rumah syaitan”, keluh datuk lalu dia membaca beberapa potong ayat Al- Quran dari Surah Jin.

Ketika datuk membaca surah tersebut, pasir dan batu berterbangan dalam bilik. Datuk tidak peduli, dia terus membaca hingga bayang- bayang perempuan itu hilang dari penglihatan datuk dan saya. Bila keadaan sudah tenang, datuk pun membangunkan pemuda ganjil yang sedang tidur. Wajah pemuda itu nampak pucat lesi. Dia bagaikan berada dalam satu keadaan yang cukup asing, mulutnya terus mengungkapkan perkataan yang tidak berapa jelas dan sukar difahami. Tanpa saya duga, pemuda ganjil yang nampaknya tidak bermaya tiba-tiba melompat. Suaranya keras dan mengaum macam suara kucing yang sedang marah bila ekornya dipijak. Pemuda ganjil menerkam ke arah datuk. Tetapi datuk yang sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan itu segera me­ nekan kepala katil dengan ibu jari kiri. Dan pemuda ganjil itu seperti ditolak oleh kuasa ghaib kembali ke tempat asalnya. Duduk di situ kali ini dia menentang datuk dengan kuasa matanya. Keadaan itu datuk hadapi dengan tenang. Datuk menggunakan kuasa matanya hingga mata pemuda yang bersinar garang jadi layu dan terus tertutup. Pemuda ganjil itu rebah atas katil kembali. Datuk terus membaca Surah Al-Falak.

Bila sudah selesai membaca surah tersebut datuk meraba tubuh pemuda ganjil mulai dari kaki hingga ke pangkal leher dan datuk mematikan rabaan itu dengan menjentik sebanyak tiga kali cuping telinga kiri pemuda ganjil. Manakala dari sebelah telinga kanannya datuk membisikkan beberapa potong ayat Al-Quran hingga pemuda itu membuka matanya. Datuk segera mendukung pemuda ganjil itu keluar dari rumah batu. Bila kami berada di luar kawasan rumah batu, tiba-tiba hujan panas turun mencurah-curah. Habis rambut saya basah begitu juga dengan datuk. Pemuda ganjil yang terkapar dalam dukungan datuk tidak bergerak. Matanya pejam dan mulutnya yang separuh terbuka di masuki oleh air hujan. Peliknya, hujan panas itu terjadi dalam jarak beberapa ela sahaja dari kawasan rumah batu itu.

“Inilah kebesaran Allah. Dalam panas ada hujan. Dalam hujan ada panas. Semoga Allah memberkati niat suci aku”, kata datuk lalu mempercepatkan langkahnya.

Bila sampai di rumah, datuk terus memandikan pemuda ganjil itu dengan air yang saya ambil dari sungai. Dengan jari manisnya datuk mencabut tujuh helai rambut pemuda ganjil di bahagian ubun-ubunnya. Rambut itu datuk simpulkan lalu disuruh saya menanamnya.

“Kau mahu minum ?” tanya datuk pada pemuda ganjil.

Walaupun pemuda ganjil itu tidak memberikan sebarang jawapan, datuk tetap menyuruh saya membuat air kopi panas yang dicampurkan dengan bawang putih.

“Minum”, kata datuk.

Pemuda ganjil itu bagaikan dipukau menurut saja perintah datuk. Bila air kopi habis di minum, pemuda itu mula batuk dan bersin. Dia sedawa berkali-kali. Mukanya kelihatan berpeluh dan merah.

“Emak dan ayah saya, mana dia ?”, tanya pemuda itu.

“Ada, kau mahu jumpa dia?”, balas datuk.

“Mahu”

“Cuba kau mengucap sekarang”

“Boleh, Ashha..”, pemuda itu mengucap dengan lancarnya.

Datuk gembira dan menyuruh saya memanggil kedua orang tua pemuda ganjil itu. Bila kedua orang tua pemuda ganjil itu tiba, suasana dalam rumah jadi lain macam. Ibu pemuda ganjil itu menangis, dia tidak terfikir anaknya yang aneh boleh kembali kepangkuannya walaupun wajah dan tubuh anaknya agak berbeza dari dulu.

“Jangan sentuh dia”, datuk melarang ibu pemuda ganjil itu menjamah tubuh anak kesayangannya.

Ibu pemuda ganjil itu jadi terkejut. Suaminya segera memujuk hingga rasa terkejut itu hilang dari dirinya. Datuk mengarahkan kedua ibubapa pemuda ganjil itu duduk di hadapannya. Manakala datuk, saya dan pemuda ganjil duduk sebaris jarak kami dengan kedua orang tua pemuda ganjil itu kira-kira dua kaki.

“Kau jawap pertanyaan aku sebelum kau bertemu dengan kedua orang tua kamu”, kata datuk sambil memandang ke wajah pemuda ganjil. Saya lihat pemuda itu anggukkan kepala tanpa memandang ke hadapan atau ke kiri dan ke kanan.

“Baik”, balas pemuda ganjil.

“Siapa nama ayah kau?”

“Ansaruddin Hasibuan”

“Emak kau?”

“Teh Mayang Mengurai”

“Salah”, pekik datuk sambil menumbuk lantai, semua yang ada dalam rumah jadi terkejut.

Datuk segera memegang leher pemuda ganjil sambil mencabut sehelai bulu roma telinga kanan pemuda itu. Ada pertentangan dari pemuda ganjil itu, tetapi, setelah datuk menekan dengan ibu jari kaki kiri di pahanya pemuda itu menyerah. Bulu roma telinga pemuda ganjil itu datuk letakkan atas tapak tangan kanan. Datuk hembus bulu telinga itu dengan kuasa hidungnya. Bulu roma itu kelihatan melayang-Iayang dalam ruang rumah.

“Pulanglah ke tempat asalmu dan jangan ganggu anak cucu Adam”, suara datuk cukup lantang.

Bulu roma yang berterbangan dalam rumah terus menuju ke muka pintu. Semua yang ada dalam rumah tercengang- cengang. Kami terdengar suara orang perempuan menangis dengan sayu di tengah hari yang menyerlah itu. Sesungguhnya, saya tidak tahu dari arah mana suara itu datang. Bila keadaan sudah tenang, datuk terus bertanya pada pemuda itu.

“Siapa nama emak kamu?”

“Rabiatun”, jawap pemuda itu.

“Betul”

Datuk menyuruh pemuda itu mencium lutut ibunya. Pemuda ganjil itu ikut cakap datuk. Bila dia selesai mencium lutut ibunya, pemuda itu segera memeluk ayahnya sambil minta maaf. Mereka berpeluk-pelukan dan bertangis-tangisan. Datuk dan saya terus menyaksikan peristiwa yang penuh dramatik itu dengan perasaan terharu. Air mata saya meleleh dipipi. Sedarlah saya betapa kasihnya ibu dan ayah terhadap anaknya. Dengan izin datuk, pemuda ganjil itu dibenarkan pulang ke rumahnya. Tetapi, sebelum pemuda itu masuk ke rumah, dia harus dimandikan dulu di bawah tangga atau di pintu rumah. Perkara itu di lakukan sebagai syarat atau petua dari orang tua-tua, kononnya untuk menghalau hantu syaitan.

“Walaupun ini merupakan petua tetapi tidak ber­tentangan dengan ajaran agama, tujuannya baik”, kata datuk pada ibu pemuda ganji itu.

Syarat itu sengaja di sampaikan pada ibunya ke­rana kerja-kerja harus di lakukan oleh ibunya sendiri. Ayahnya tidak dibenarkan oleh datuk ikut pulang sama.

“Awak duduk di sini, hingga lepas waktu Asar. Banyak perkara yang mahu saya cakapkan pada awak”, ujar datuk pada ayah pemuda ganjil.

Saya renung wajah ayah pemuda ganjil itu. Dia nampak tenang dan setuju dengan cadangan datuk itu. Pemuda ganjil dan ibunya segera berangkat dari rumah yang kami diami. Sementara menanti waktu Asar tiba, saya terpaksa memasak nasi dan menggoreng ikan gelama masin. Bahan-bahan yang saya masak itu adalah pemberian ayah pemuda ganjil itu semalam. Bila waktu Asar tiba, kami pun sembahyang. Lepas sembahyang dan wirid sedikit barulah kami makan. Lepas makan kami berehat di anjung rumah. Masa berehat itulah datuk menyoal bermacam-macam hal pada ayah pemuda ganjil itu.

“Harta anak yatim, harta pusaka dan amanah orang, jangan dipermainkan kalau tak sanggup jangan diterima”, saya terdengar suara datuk dalam nada yang lembut.

Ketika dia bercakap itu matanya merenung wajah ayah pemuda ganjil di sebelahnya.

“Maksud awak? Saya tak faham”, tanya ayah pemuda ganjil.

“Saya rasa, ini pendapat saya. Boleh jadi betul, boleh jadi tidak. Sepasang tangan yang berbulu di rumah batu itu merupakan petunjuk dari Allah bahawa rumah yang dibina oleh arwah ayah awak tu dari wang yang perolehi secara tidak halal”

“Saya faham cakap awak”

“Saya bukan apa-apa. Cuma mengingatkan kalau mahu membuat rumah biarlah dari wang yang halal kerana rumah itu tempat kita berlindung dan membuat amal ibadat. Membuat rumah dari duit yang halal berkatnya lebih, hati kita sentiasa tenang bila bernaung di bawahnya” ujar datuk lagi.

Saya tidak tahu kenapa perkara itu yang datuk timbulkan. Saya renung muka datuk, tidak ada sebarang perubahan di wajahnya. Lebih kurang pukul enam petang, barulah ayah pemuda ganjil itu meninggalkan rumah khas kami. Sebelum dia melangkah, dia terus berkata pada datuk.

“Sudah selesaikah kerja awak?”

“Belum”

“Apa yang belum selesai?”

“Saya mahu pergi ke rumah batu itu lagi malam ini, kalau awak nak ikut datanglah lepas waktu Isyak”

“Boleh juga, saya akan datang”

“Baguslah tu”, datuk pun melambaikan tangan pada ayah pemuda ganjil tersebut.

Bila masuk waktu Maghrib, hujan turun dengan lebatnya. Hujan yang lebat itu tidak mengganggu datuk berwirid dari Maghrib hingga masuk waktu Isyak. Cuma hati saya saja yang berdebar kerana hujan yang lebat itu disertai juga oleh bunyi petir dan angin yang kuat. Tiba-tiba saya menggigil kesejukan. Badan segera saya selimutkan dengan kain pelikat, saya duduk mencangkung. Dagu saya bertemu dengan kepala lutut. Kilat, angin dan hujan terus bermaharajalela diluar. Datuk masih lagi berada di tikar sembahyang.

Satu ledakan petir yang kuat bergema, sinarnya menerangi seluruh rumah. Telinga saya bagaikan fana dan terasa kosong. Bila cahaya kilat itu hilang, saya lihat batang tubuh perempuan terpacak tidak jauh dari depan datuk. Wajahnya manis sekali dengan rambut terurai hingga ke pinggang, memakai baju kebaya dari kain songket warna hijau, begitu juga dengan baju. Selindang songket terletak atas bahunya yang lebar.

“Kau rampas suami aku. Binatang, kau harus bersedia menerima pembalasan”, katanya pada datuk.

Wajahnya bertukar jadi merah macam udang kena bakar. Saya lihat datuk segera berdiri, saya tidak tahu waktu mana datuk mem­ buang kain sarungnya dan memakai seluar hitam, baju hitam dengan kain merah terlilit di kepala.

“Kau Puteri Mayang Mengurai?”, tanya datuk.

“Ya, kenapa?”

“Dari mana kau datang?”

“Dari Gunung Tahan”

“Bohong, kau syaitan. Kau langsiur menjelma menjadi manusia untuk memperdaya manusia”

“Itu soal aku, bukan soal kau. Aku mahu suami aku”, suara perempuan itu mula meninggi.

Datuk menarik nafas panjang. Kedua belah tangannya di­ lekapkan ke dadanya yang bidang. Bibir bawahnya nampak bergerak-gerak.

“Aku bersedia memulangkan orang yang kau sayangi, kalau kau benar manusia. Buktikan yang diri kau manusia”, datuk mengajukan pertanyaan.

Perempuan yang berdiri di depannya kelihatan tenang. Wajahnya yang merah sudah tidak merah lagi.

“Bukankah dengan wujudnya aku di sini membuktikan itu semua”, katanya.

“Masih belum cukup, aku sangsi”

“Apa lagi yang kau mahu?”

“Kau berdiri di situ, jangan bergerak-gerak”

“Baik”

Datuk senang hati dengan jawapan itu. Datuk pun mula meluruskan ke dua belah tangannya. Mulutnya mula bergerak membaca ayat Al- Kursi. Perempuan itu tersenyum tetapi, bila sampai pada ayat pertengahan perempuan itu tidak senyum lagi, malah cuba memberikan isyarat pada datuk supaya jangan meneruskan pembacaannya. Datuk tidak peduli. Datuk terus membaca ayat tersebut. Bila sampai pada ayat terakhir, saya lihat seluruh tubuh badan wanita itu jadi merah macam bara, wanita itu terkapai-kapai macam minta tolong. Dalam beberapa saat saja badan yang merah menjadi hitam macam arang, kemudian terus hilang.

“Syaitan itu sudah binasa”, datuk memberitahu saya.

Perlahan-Iahan datuk menyingsing lengan baju kanannya. Dia kembali duduk di depan tikar sembahyang. Saya tidak tahu apakah yang di bacanya. Rasa menggigil di badan saya mula hilang. Saya terus ikat kain di pinggang. Hujan dan petir masih berterusan di luar. Datuk terus membuka tingkap tetapi, cepat-cepat daun tingkap itu dirapatkannya kembali, tempias hujan menjamah wajahnya.

“Masih belum datang lagi”, rungut datuk.

“Sabarlah, barangkali kerana hujan”

“Betul juga cakap kau Tamar”

“Kita tunggu sampai hujan teduh tok”

“Aku fikir pun begitu juga”, nada suara datuk menurun.

Dia kembali duduk di tikar sembahyang membaca Surah Yasin. Dalam kiraan saya, hujan lebat itu berlaku selama satu jam. Sebaik saja hujan berhenti, ayah kepada pemuda ganjil datang ke rumah kami. Datuk memberi dia minum kopi panas.

“Kita pergi sekarang”, kata datuk.

“Boleh, saya ada bawa lampu picit”

“Tak pakai lampu picit pun tak apa”

“Gelap nanti tak nampak jalan”

“Saya ingat, mana lopak dan pokok besar”

“Hum..”, mulut ayah pemuda ganjil terpelohong kehairanan.

Tanpa banyak kerenah, datuk pun turun dan di ikuti oleh saya dan ayah pemuda ganjiI. Bila kami memijak bumi, tanah yang dibasahi air hujan terasa menyentuh kulit kaki meskipun saya memakai sepatu getah. Datuk yang memakai capal kulit itu cukup cepat melangkah. Percikan pasir dan tanah dari kibasan capalnya terasa mengenai muka saya. Lebih kurang sepuluh minit berjalan dalam gelap yang dikepalai oleh datuk, kami pun sampai ke rumah batu. Bila berada dalam rumah batu itu. Keadaannhya saya rasa berbeza dengan keadaan sebelah pagi tadi. Saya tidak terasa seram atau takut. Datuk terus kumpulkan kayu dan papan-papan buruk lalu dibakarnya. Api yang marak itu menerangi bahagian bawah rumah batu itu. Datuk mencari bahagian sudut rumah itu yang mengarah ke kiblat. Datuk duduk bertafakur beberapa minit disitu. Bila kerjanya itu selesai datuk pun menghampiri kami.

“Sekurang-kurangnya tiga gadis Cina telah dirogol dan dibunuh oleh tentera Jepun dirumah ini. Mayatnya di tanam di belakang rumah”, datuk memberitahu saya.

Menurut datuk, ada kemungkinan perempuan- perempuan cantik yang da­ tang menemui pemuda ganjil pada setiap malam itu berasal dari syaitan yang mengambil kesempatan untuk menggoda pemuda ganjil yang memang diketahuinya mudah digoda kerana imannya kurang kuat dan baru mahu mendalami hal-hal agama.

“Tangan yang berbulu berpunca dari apa?”

Secara mendadak ayah pemuda ganjil itu bertanya. Datuk segera mengambil sebatang kayu dan menikam ke arah api yang sedang marak itu, muka datuk nampak berpeluh. Dahinya berkedut. Dia berhenti menikam api dengan serta merta. Datuk termenung panjang, terlalu sukar nampaknya datuk mahu menjawab pertanyaan itu.

“Saya tak tahu. Itu kuasa Allah, kejadian itu barangkali sebagai petunjuk pada manusia supaya jangan tamak dan haloba kerana mahu hidup senang dan tergamak melakukan pecah amanah”, cukup teratur datuk bercakap sambiI matanya merenung wajah saya.

Tanpa saya duga, dalam bangunan rumah batu dua tingkat itu, di depan api yang marak datuk menceritakan yang dirinya pemah mengalami kejadian itu di dua buah rumah besar. Kejadian pertama berlaku di Alor Setar dan kejadian ke dua berlaku di Pekan, Pahang. Rumah di Alor Setar itu didirikan di atas tanah pesaka yang tidak di farait atau dibahagikan mengikut hukum syarak. Sehingga menimbulkan perbalahan di kalangan empat saudara, abang yang tua dalam keluarga itu menggunakan kuasa kuku besinya. Dia mengambil semua tanah pesaka itu untuk dirinya, dalam masa yang sama abang yang tua itu kena loteri kebajikan masyarakat. Dia pun mendirikan rumah batu yang besar dan membawa anak bininya tinggal di situ. Sejak tinggal di rumah baru itu anak bininya sentiasa sakit dan diganggu oleh satu lembaga besar hingga membuat abang yang tua berada dalam keadaan resah dan tidak tenang.

Seorang guru agama menasihatkan abang yang tua itu supaya menjual tanah tersebut. Hasil dari pendapatan jualan itu dibahagikan sesama keluarganya atau membahagikan tanah pesaka di kalangan keluarganya mengikut hukum agama, abang yang tua memilih cara kedua. Bila tanah itu dibahagikan mengikut hukum syarak, lembaga hitam itu tidak muncul dan keluarganya tidak sakit, rumah batu itu dipecahkan kerana didirikan dengan wang loteri.

“Tetapi abang yang tua tidak akan terlepas dari dosa di akhirat kerana dia berjudi”, kata datuk.

Kejadian di Pekan Pahang hampir sama dengan kejadian di Alor Setar, cuma bezanya rumah besar yang didirikan oleh seorang haji disitu, adalah hasil dari penyelewengan wang kutipan zakat fitrah orang Islam, dan haji itu sendiri membunuh diri dalam rumah tersebut.

“ltulah pembalasan Allah di dunia pada orang yang tidak amanah”, kata datuk mengakhiri ceritanya.

Saya termenung panjang, begitu juga dengan ayah pemuda ganjil tersebut.

“Sudahlah, mari kita pulang”, kata datuk, kami pun segera pulang.

Sebaik saja kami sampai di kaki tangga, satu ledakan petir terjadi. Cahaya kilat itu menerangi seluruh kawasan di sekitar kami, bila cahaya kilat itu berakhir, kami jadi tergamam dan terkejut besar kerana dibahagian bumbung rumah batu dua tingkat kelihatan api menjulang. Api itu terus marak dan membakar seluruh rumah batu dua tingkat. Datuk tidak menghiraukan kejadian itu, malah dia menyuruh kami balik ke rumah. Sepanjang malam itu, saya tidak dapat tidur kerana memikirkan kejadian yang saya lihat.

Pagi esoknya, kami pergi ke rumah batu yang jadi korban petir . Tidak ada bentuk rumah yang wujud di situ, kecuali tiang batu yang hitam macam arang terpacak mengarah ke langit.

“Awak jual tanah ni atau wakafkan, kalau awak jual wangnya jangan awak ambil satu sen pun, semuanya di berikan pada baitulmal atau ke rumah anak-anak yatim. Saya rasa inilah cara yang paling baik dengan itu keturunan awak akan terselamat dari kutukan Allah”, datuk menasihatkan ayah pemuda ganjil.

“Lagi apa yang mesti saya buat?”

“Beramallah pada Allah, mohon limpah rahmat dariNya. Kita ini hamba Allah, pada Allah lah kita mengadu dan Allah akan membuat keputusan yang maha adil”, tambah datuk lagi.

Dua hari kemudian, sedang saya dan datuk berkemas untuk pulang, ayah pemuda ganjil itu datang menemui datuk lalu menyerahkan wang sebanyak lima ratus ringgit, sebagai tanda terima kasih atas kejayaan datuk mengubati anaknya.

“Simpan wang awak. Saya tidak cari makan cara ini. Saya menolong sesama manusia dengan ikhlas, kebolehan yang ada pada saya adalah milik Allah”, muka ayah pemuda ganjil pucat mendengar cakap datuk. “Maafkan saya, tapi saya mahu bersedekah”, balasnya.

“Sedekahlah pada fakir miskin”, jawab datuk tegas dan mengucapkan ribuan terima kasih atas layanan yang diberikan kepada saya dan datuk.

Ayah pemuda ganjil itu menghantar kami ke perhentian bas. Tiga bulan kemudian, ayah pemuda ganjil itu datang menemui datuk dan menyatakan apa yang dinasihati oleh datuk telah dilaksanakannya. Tanahnya sudah dijual dan wangnya sudah diserahkan pada Baitulmal.

“Anak saya sudah sihat, saya akan menghantarnya ke Padang Panjang untuk belajar agama. Kalau ada rezeki saya mahu melanjutkan pelajarannya hingga ke Kaherah, mulai tahun ini saya akan membayar zakat”

 

“Baguslah tu”, jawab datuk. Dan saya masih dapat membayangkan bagaimana ayah pemuda ganjil itu menangis teresak-esak ketika meninggalkan halaman rumah datuk.

Leave a comment

Filed under Cerita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s