Monthly Archives: October 2012

Bercakap dengan jin ~ 57 ~ Sumpah Selendang Merah

Saya lihat datuk kurang senang dengan arahan yang diberikan oleh Sajono pada saya.

“Ayuh, orang muda,” suara Sajono lembut.

“Cucu saya, masih bodoh pak.”

“Dia harus belajar, mungkin di masa akan datang dia tidak akan berhadapan dengan perkara semacam ini.”

“Tapi…”

“Jangan bimbang, biarkan dia lalui pengalaman ini, setidak- tidaknya akan jadi bahan sejarah untuk dirinya. Ayuh,” Sajono menggosok-gosok kepala saya.

Badan saya menggeletar. Takut dan bimbangnya Tuhan saja yang tahu. Saya berharap datuk akan berusaha menggagalkan rancangan yang diaturkan oleh Sajono itu.

“Pergi Tamar, jangan kecewakan kepercayaan orang.” kata datuk.

Ternyata, saya tidak ada pilihan lain. Saya pun rapat ke arah Samad Perang yang terlentang, kedua belah kakinya terkangkang. Biji matanya bergerak mengikut gerak geri saya. Dengan hati-hati saya masukkan anak kunci ke lubang kunci. Usaha saya berjaya. Saya renung muka Sajono.

“Kau sudah membuka kunci di kakinya, sekarang rantai dan kunci di bahagian tangannya,” perintah Sajono.

Saya renung muka datuk minta simpati. Datuk tersenyum.

“Buka kunci di tangannya Tamar,” perintah datuk.

Saya sungguh kecewa dengan sikapnya itu. Saya terus membuka kunci di kedua belah tangannya. Bila saya memberi belakang pada Samad Perang, saya terasa ada sesuatu yang menghentak pada pangkal belikat saya. Saya terjerumus di hujung lutut Sajono. Samad Perang mula melompat dan menari, tidak ubah macam orang orang berjoget.

“Bangun nak, kau jatuh sendiri, orang yang sakit tidak menendangmu, ada orang lain yang membuatnya,” Sajono melekapkan telapak tangan kanannya di dahi saya.

Badan saya tidak terasa sakit malah macam tidak ada apa- apa yang berlaku pada saya. Saya segera duduk di sebelah datuk. Sajono terus merenung dengan renungan yang tajam dan marah. Samad Perang berhenti menari.
“Duduk di sini,” kata Sajono.

Samad Perang terus duduk. Sajono mengeluarkan rotan seni sepanjang enam inci dari celah pinggangnya. Badan Samad Perang dipukulnya lima kali berturut-turut. Kemudian dia menentang biji mata Samad Perang. Samad Perang angkat kepala dan terus menentang mata Sajono dengan wajah yang bengis. Sajono tetap tenang dan matanya tidak berkedip memanah ke mata Samad Perang. Saya lihat seluruh badan Samad Perang menggeletar dan akhirnya rebah atas lantai.

“Bangun, tentang mata saya,” kata Sajono.

Samad Perang berusaha bangun. Percubaannya itu tetap gagal, setiap kali dia bangun, setiap kali pula dia rebah. Mukanya nampak pucat, kedua-dua belah cuping telinganya nampak kecut.

“Awak bangun perlahan- lahan Samad dan kemaskan sila, duduk mengadap saya,” ucap Sajono dalam nada suara yang lembut.

Cukup sukar Samad Perang mematuhi arahan Sajono itu. Setelah menghempas pulas, akhirnya Samad Perang berjaya. Duduk bersila di hadapan Sajono. Saya sudah dua kali mengucap. Datuk dan Mamat Bukit tidak berkata apa-apa. Mereka Cuma memperhati dengan penuh teliti segala gerak-geri Sajono dan Samad Perang. Sajono merenung muka datuk dan Mamat Bukit. Mereka berbalas senyum. Sajono rapat pada Samad Perang.

“Yang jahat, yang baik semuanya keluar,” suara Sajono meninggi.

Samad Perang rebah kembali. Tidak sedarkan diri. Tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh Sajono untuk menyedarkan Samad Perang dari pengsan.

“Biarkan dia sedar sendiri.”

Beritahu Sajono pada Mamat Bukit dan datuk.

Isteri Samad Perang sandarkan badan ke dinding dengan wajah yang tenang. Malam bertambah tua udara terasa amat dingin sekali. Sayup-sayup kedengaran kokok ayam. Bunyi burung hantu dan jampuk, tidak kedengaran lagi, suara cengkerik juga tidak sehebat tadi. Sesekali terdengar bunyi dedaun rumbia di pinggir rumah berlaga sama sendiri, disentuh angin malam yang bertiup. Samad Perang sedar dari pengsan. Dia terus duduk dalam keadaan yang amat letih sekali. Sajono tersenyum sambil menggosok-gosok kedua belah telapak tangannya. Kemudian, Sajono membetulkan letak songkoknya yang senget. Kain pelikat berpetak besar yang tersangkut di bahu kanan diubah ke bahu kiri.

“Yang jahat jangan datang, yang baik berumah dalam diri,” cukup lantang suara Sajono.

Mukanya kelihatan merah padam. Anak rambut di kiri kanan pelipisnya bergerak- gerak. Samad Perang jatuh pengsan lagi. Kali ini, Sajono segera memulihkannya dengan menggunakan kain pelikat.
“Air,” muka Samad Perang.

“Berikan,” ujar Sajono.
Isteri Samad Perang hulurkan segelas air pada Mamat Bukit dan Mamat Bukit serahkan pada Samad Perang.

“Minum,” kata Sajono.

“Terima kasih,” jawab Samad Perang.

Semua yang ada di situ merasa gembira. Saya lihat kelopak mata isteri Samad Perang digenangi air jernih. Tetapi dibibirnya tetap terukir segaris senyum yang melambangkan kebahagiaan dirinya.

“Pertama kali saya melihat suami saya bercakap dengan baik dan sopan santun,” kata isteri Samad Perang pada datuk.

Sajono yang berwajah tenang menggigit bibir. Samad Perang merenung wajah isterinya

. “Kau menangis, Sofiah?”

“Tak, saya tak menangis bang.”

“Matamu berair.”

“Ya, saya menangis bang, saya gembira kerana abang dah baik.”

“Aku tak faham dengan cakap kau Sofiah.”

“Abang sebenarnya sakit.”

“Sakit?”

Samad Perang renung Mamat Bukit. Saya lihat Mamat Bukit anggukkan kepala. Membenarkan kata-kata yang diucapkan oleh isterinya.

“Beri dia bantal, biar dia berehat,” Sajono menujukan kata-kata itu pada isteri Samad Perang.

Perempuan yang berbadan kurus dan berwajah cengkung itu segera masuk ke bilik tidur dan keluar membawa sebiji bantal. Samad Perang saya lihat seperti keadaan orang bingung. Dia renung pada rantai besi dan ibu kunci yang terdapat pada tiang seri.
“Saya mengantuk,” katanya pada Mamat Bukit.

“Tidurlah dulu.”

“Maafkan saya, mata saya tak boleh tahan,” suara Samad Perang lemah sekali.

Dia terus merebahkan badannya atas lantai. Mamat Bukit angkat kepalanya dan isterinya menyorongkan bantal.
“Ikat tangannya saja, bukan apa-apa sekadar untuk berjaga,” isteri Samad Perang segera mematuhi arahan dari Sajono.

Dalam beberapa minit saja, kami yang berada di situ sudah dapat mendengar suara dengkur Samad Perang.

“Selesai atau ada lagi Kiai?” cukup hati-hati Mamat Bukit mengajukan pertanyaan pada Sajono yang sedang duduk termenung macam memikirkan sesuatu.

“Ada lagi ke Kiai?” ulang Mamat Bukit.

“Untuk malam ini dah selesai, malam esok saya datang untuk menamatkannya,” Sajono bangun.

Saya dan datuk juga berjalan dalam ruang rumah dua kali. Bermula dari arah selatan menuju ke utara dan berhenti di muka pintu. Dia merenung malam yang gelap, merenung pokok-pokok yang tertegun di halaman. Kokok ayam bertambah kerap. Udara sejuk kian terasa.

“Saya nak pulang,” kata Sajono pendek dan ketika itu juga saya terdengar jam dinding di rumah Samad Perang berbunyi sebanyak dua belas kali.

Mamat Bukit segera turun ke tanah. Isteri Samad Perang membawa lampu gasolin ke muka pintu. Cahaya daripada lampu gasolin menerangi sebahagian daripada kawasan halaman rumah.

“Saya hantarkan Kiai,” ujar Mamat Bukit sambil menolak basikal tua keluar dari bawah rumah.

Sajono memijak mata anak tangga dengan teliti. Dia akhirnya menyarungkan selipar kulit ke kaki. Berdiri di situ sejenak.

“Malam esok saya datang lagi, saya minta sediakan rotan halus atau rotan seni yang panjangnya kira-kira tiga kaki,” Sajono meninggalkan pesan pada isteri Samad Perang.

“Saya balik dulu, malam esok saya harap awak datang,” Sajono merenung muka datuk.

“Dengan izin Allah saya akan datang,” balas datuk. “Saya harap Allah akan memperkenankan permintaan awak,” balas Sajono lalu bersalaman dengan datuk.

“Jaga suami awak baik-baik, saya rasa malam ni dia akan tidur sampai siang. Kalau takut, cari kawan,” Sajono renung isteri Samad Perang.

“Baik Kiai, saya jaga dia.”

“Lepas hantar Kiai, saya datang ke mari,” cara mendadak Mamat Bukit bersuara.

“Bagus,” celah datuk.

Sajono renung muka saya dan tangan kanannya menepuk bahu kiri saya. Sajono terus duduk di bahagian belakang basikal. Mamat Bukit pun kayuh basikal tanpa lampu membelah malam yang gelap.
“Hebat, naik basikal malam tak berlampu,” kata saya.

“Mamat sudah biasa begitu,” sahut isteri Samad Perang.

Datuk ketawa kecil, seolah- olah memberitahu saya, itulah keistimewaan orang kampung yang tidak kenal duna moden, tidak kenal lampu letrik di tepi jalan. Tetapi, mereka tidak pernah mengeluh dengan keadaan itu, mereka hadapi dengan tenang dan penuh cabaran.

“Kami balik dulu,” beritahu datuk pada isteri Samad Perang.

“Selamat jalan, jangan lupa malam esok datang lagi.”

“Kalau tak ada sakit demam dan umur pula panjang, saya sampai”, jawab datuk.

Saya dan datuk sampai ke rumah hampir pukul satu subuh. Nenek menyambut kami dengan wajah yang masam di muka pintu. Tetapi, datuk tetap memberikan senyum yang paling manis untuk seorang isteri yang setia, seperti nenek.

“Janda mana yang awak gila, anak dara mana yang awak intai hingga jauh malam baru sampai ke rumah,” gegendang telinga saya menangkap suara nenek.

“Tak ada janda, tak ada anak dara, yang ada awak seorang aje, sebab itulah saya balik ke rumah,” tingkah datuk yang diakhiri dengan ketawa pendek.

Nenek terus diam dan merapatkan daun pintu serta menguncikannya sekali. Saya terus merebahkan badan di bilik kecil yang dikhaskan untuk saya. Semua yang saya lihat dan alami di rumah Samad Perang terbayang kembali. Sukar untuk dipercayai dengan fikiran yang waras, bila seseorang menyuruh sesuatu yang dianggap jahat dan baik keluar dari tubuh manusia, kemudian mengizinkan benda yang baik menguasai hati dan perasaan manusia seperti yang dilakukan oleh Sajono pada Samad Perang. Andainya, kalau saya ceritakan pada orang lain tentang kejadian itu, pasti orang yang mendengarnya ketawa dan mengira perkara itu tidak masuk akal lalu menuduh saya pembohong. Tetapi, perkara yang tidak masuk di akal itulah yang saya saksikan dengan mata kepala saya sendiri. Memang aneh, dunia dan manusia tidak dapat dipisahkan dari menjalani kejadian-kejadian aneh yang kadang-kadang tidak masuk di akal, kata hati kecil saya sambil menarik selimut. Akhirnya saya terlelap. Saya terjaga dari tidur, bila datuk menarik kaki saya dengan kuatnya.

“Bangun, jangan dilayan kemahuan hati, nanti kau berkawan dengan syaitan, bangun sembahyang Subuh,” katanya keras.

Saya tidak boleh membantah. Saya pun bangun dan menjalankan rukun Islam kedua. Datuk sengaja pulang lewat ke rumah Samad Perang malam ini. Kata datuk tidak guna pergi awal, Sajono sendiri sudah mengatakan yang dirinya akan sampai ke rumah tersebut pukul dua belas tengah malam.
“Pukul sebelas kita bertolak dari rumah, sementara itu biar aku membaca Quran,” beritahu datuk pada saya.

Rasa gembira menguasai hati saya, bila mendengar keputusan dari datuk.

“Kau pergi baca surah Yasin,” ujar datuk lagi.

“Saya baca dalam bilik tuk.”

Tanpa membuang masa saya masuk ke bilik. Pintu bilik saya kunci dari dalam. Membaca surah Yasin, bukanlah satu tugas yang menyenangkan hati saya, lebih-lebih lagi kalau ada tugas lain yang saya kira lebih mustahak dari itu. Jadi, saya buat keputusan yang muktamad. Saya tidak mahu membaca surah Yasin. Saya harus menyambung kerja saya yang terbengkalai sejak dua tiga hari yang lalu, iaitu membuat sangkar burung. Pelita minyak tanah saya pasang dua sekali. Keadaan dalam bilik cukup terang tetapi, saya tidak puas hati. Saya mahu cahaya yang terang lagi. Saya pasang lima batang lilin. Kemudian saya keluarkan pisau kecil serta bilah-bilah buluh yang sudah diraut dari bawah katil. Saya pun memulakan kerja membuat sangkat burung mengikut bentuk yang saya ingini.

“Tamar kau baca Yasin atau tidur, tak dengan suara pun.”

“Saya baca tuk, tapi tak boleh kuat, suara serak, tekak saya sakit.”

“Betul ke ni Tamar.”

“Betul, sumpah tuk,” kata saya sambil menajamkan bilah buluh bahagian bawah, kemudian bilah itu saya tekan pada rotan yang dijadikan gelegar sangkar.

Bagi meyakinkan hati datuk yang saya membaca surah Yasin sesekali saya tinggikan suara sambil menyebut beberapa ayat dari surah tersebut yang saya ingati. Sambil melakukannya, saya ketawa sendirian kerana saya sudah berjaya memperdayakan datuk. Tepat jam sebelas malam, datuk terus ketuk pintu bilik. Kelam-kabut saya sorongkan sangkat yang baru siap separuh ke bawah katil. Kepala saya sarungkan dengan songkok, surah Yasin saya pegang. Pintu bilik saya buka lebar-lebar.

“Bagus, kau cucu yang baik dan mendengar cakap,” kata datuk.

“Terima kasih tuk.”

“Habis, apa lagi.”

Saya dan datuk pun meninggalkan rumah. Nenek Cuma menghantar hingga ke kaki tangga saja. Nenek berpesan supaya kami berhati-hati berjalan kerana banyak binatang bisa yang merayap malam. Begitulah sikap nenek saya, dalam marah dia tetap sayangkan suami. Setiap detik yang berlalu, tidak dipersiakan begitu saja, tetap diisi dengan doa dan harapan semoga berbahagia serta dipanjangkan usia.
“Nenekmu wanita kampung yang banyak menyerahkan harapan pada keadaan. Seorang isteri yang setia tetapi mempunyai suami yang kurang mementingkan hati dan perasaannya,” datuk mengeluh dalam perjalanan.

“Saya sayangkan nenek tuk.”

“Aku juga sayangkan dia Tamar. Kalau kau mencari isteri, carilah perempuan sebaik nenekmu.”

“Saya tak mahu kahwin tuk.”

“Satu waktu, kau akan kahwin juga Tamar.”

“Dengan siapa tuk.”

“Hanya Allah Yang Maha Besar akan menentukan jodohmu Tamar.”

Saya tersenyum mendengar cakap datuk. Saya bayangkan dalam kepala wajah-wajah gadis yang saya kenali. Tetapi, semuanya tidak saya minati. Kami sampai ke rumah Samad Perang. Sajono dan Mamat Bukit duduk di bawah pokok bertemankan lampu minyak tanah. Datuk tidak menyoal kenapa mereka duduk di luar tidak di dalam rumah. Datuk tahu selagi belum tepat jam dua belas malam, Sajono tidak akan memijak lantai rumah Samad Perang. Saya dan datuk turut duduk di bawah pokok. Sajono yang tenang tidak banyak bercakap. Tetapi, Mamat Bukit tetap rancak bercakap dengan datuk. Tepat jam dua belas. Kami pun masuk ke rumah Samad Perang. Duduk di ruang tengah. Isteri Samad Perang menyerahkan rotan seni pada Sajono.

“Bagaimana keadaannya,” tanya Sajono.

“Alhamdulillah, dia tidak meracau dan terus tidur, bila dia jaga dia minta air.”

“Lagi.”
“Dia bercakap dengan baik dan mula bertanya khabar tentang kawan-kawannya.”

“Bersyukurlah pada Allah yang memberkati usaha- usaha kita,” Sajono menadahkan kedua belah telapak tangannya sambil membaca sesuatu. Bila mulutnya berhenti bergerak, kedua belah telapak tangannya menyapu muka.

“Saya mulakan sekarang,” beritahu Sajono pada datuk dan Mamat Bukit.

“Silakan,” jawab Mamat Bukit dan datuk serentak.

Sajono terus membuka kunci pada rantai besi yang mengikat tangan Samad Perang.
“Bangun,” Sajono kejutkan Samad Perang, tergesa-gesa Samad Perang, gosok kelopak mata serta duduk bersila di depan Sajono.

Tangan kanan Samad Perang dijamah oleh Sajono, tiap sendi jejari tangan itu dipicitnya berkali-kali. Kemudian Sajono mengikat jejari tangan kanan itu dengan rotan seni. Bila dirasakannya ikatan itu sudah cukup kejap, Sajono terus merentapnya dengan kasar sekali. Samad Perang kelihatan cemas wajahnya berkerut menahan rasa sakit. Samad Perang terus menjerit dan meronta-ronta. Sajono terus memegang hujung rotan dengan sekuat hatinya. Samad Perang berpusing-pusing di lantai, dia bagaikan kehilangan tenaga untuk berdiri dan jejari tangan kanannya yang diikat dengan rotan, kelihatan lembik. Samad Perang terus lemah, suaranya bagaikan tidak keluar ketika itu juga Sajono meratapinya, lalu menepuk belakangnya. Saya lihat Samad Perang terus kaku, macam patung kayu tetapi, kelopak mata masih boleh dipejam celikkan.
“Syaitan masih mahu mengganggunya lagi,” Sajono renung muka Mamat Bukit.

Cepat-cepat Mamat Bukit anggukkan kepala. Datuk juga begitu. Samad Perang rebah perlahan- lahan atas lantai. Tetapi Sajono segera memulihkan badan Samad Perang yang lemah itu dengan melucutkan rotan yang mengikat kelima-lima jari kanannya.

“Samad,” kata Sajono.

“Ya.”

“Kau kenal dengan saya?”

“Tak kenal, awak siapa?”

“Saya Sajono, datang untuk berusaha memulihkan sakit dan Allah mengizinkan usaha itu, kau beransur sembuh.”

“Terima kasih.”

“Ingat Samad, Allah itu Maha Besar, Maha Mengetahui, tidak ada kuasa yang boleh mengatasi kuasa Allah, penunggu itu syaitan.”

“Saya faham,” kata Samad Perang.

Sajono tersenyum merenung kami. Dia menyerahkan rotan yang telah digunakannya pada isteri Samad Perang. Dia pun membaca doa kesyukuran pada Allah yang telah memberkati segala usahanya itu.

“Hantarkan saya pulang,” Sajono mengemukakan pertanyaan pada Mamat Bukit yang bersandar di dinding.”

“Terlalu cepat nak balik,” kata datuk pula, muka Sajono di renungnya lama-lama.

Sajono membetulkan songkoknya. Dan hujung kain pelikat di bahu dirabanya berkali-kali.
“Niat dari rumah untuk menolong orang, bila niat sudah tercapai, mesti pulang, hidup tidak boleh banyak cabang nanti ditumpangi syaitan,” Sajono memberikan ceramah pendek.

Datuk anggukkan kepalanya.

“Apa puncanya sakit kawan saya ni Kiai,” Mamat Bukit menyoal.

“Amalan yang baik, tersilap langkah itu saja silapnya.”

“Maksud Kiai.”

“Saya cuma dapat memberi tahu setakat itu saja.”

Sajono pun bangun melangkah menuju ambang pintu. Mamat Bukit segera memintas di depannya dan terus menuju ke tanah. Dalam beberapa minit saja, Mamat Bukit sudah sedia dengan basikal buruk di kaki tangga.

“Semoga Allah akan memberkati perjalanan awak,” suara datuk pendek.

“Mudah-mudahan,” jawab Sajono.

Mamat Bukit pun kayuh basikal. Saya dan datuk berpandangan, ketika itu juga saya terdengar suara dari isteri Samad Perang menyuruh kami duduk untuk minum kopi panas. Permintaan itu tidak kami hampakan. Samad Perang yang sudah pulih itu turut sama duduk dekat datuk. Terlalu banyak yang Samad Perang tanyakan pada datuk berhubung dengan dirinya. Semua pertanyaan itu tidak perlu dijawab oleh datuk. Isterinya menjelaskan kedudukan yang sebenar. Di malam yang singkat itu, tanpa diminta oleh sesiapa Samad Perang menceritakan pada datuk dan saya bagaimana nama perang tercantum di hujung namanya. Menurut Samad gelaran perang di hujung namanya itu diperolehi waktu zaman darurat dulu. Ketika itu dia berkhidmat dalam pasukan keselamatan.

“Saya jadi polis di bahagian Jungle Squad, setiap kali saya membawa orang- orang saya masuk hutan, pasukan yang saya pimpin selalu kena serang dan sejak itu nama saya ditambah dengan perkataan perang kerana bila masuk hutan saya mesti berperang dengan komunis,” kata Samad Perang dengan nada suara yang rendah tetapi, wajahnya tetap membayangkan rasa bangga dan megah.

Samad Perang juga memberitahu kami, ketika berkhidmat dalam pasukan keselamatan jugalah, dia belajar ilmu yang bertujuan untuk mempertahankan dirinya dari serangan pihak musuh.

“Apa ilmu yang kau belajar?” tanya datuk.

“Ilmu kebal, saya juga mandi minyak dan lain-lain lagi hingga saya diberikan oleh guru saya selendang merah.”

“Di mana kau belajar semuanya itu?”

“Waktu saya bertugas di Cincin, Melaka.”

“Apa yang kau dapat dari ilmu yang kau tuntut itu.”

“Bila saya masuk hutan, saya pakai selendang merah, komunis tidak sanggup menentang pasukan yang saya pimpin terlalu lama.”

Datuk terdiam mendengar keterangan dari Samad Perang. Isterinya tersenyum mendengar cerita suaminya. Samad Perang nampak bersih, biji matanya merenung tulang bumbung rumah dua tiga kali.
“Dulu, suami saya patuh dengan syarat yang diberikan oleh mahaguru, tetapi, sejak dia berhenti semua syarat- syarat itu dilupa,” tiba-tiba isteri Samad Perang bersuara.

Biji mata datuk terbeliak mendengarnya. Samad Perang cuma senyum saja.

“Apa syarat-syaratnya?”

Datuk mula mencungkil rahsia. Samad Perang renung isterinya, kemudian anggukkan kepala, seolah- olah memberi kebenaran pada isterinya untuk menjawab pertanyaan yang diajukan oleh datuk.

“Apa syaratnya?” ulang datuk lagi.

“Sembahyang lima waktu tak boleh tinggal, tidak boleh minum arak, tidak boleh berjudi dan main perempuan, setiap malam Jumaat mesti baca Yasin, tidak boleh makan minum di kedai bukan Islam,” cukup lancar isteri Samad Perang bercakap.

Saya lihat Samad Perang terdiam. Wajahnya nampak kesal sesekali dia menarik nafas panjang, membayangkan rasa hampa dan kecewa dalam hati.

“Semuanya saya langgar, saya minum arak, saya berjudi saya percaya pada perkara- perkara tahyul, akibatnya saya tanggung sekarang. Saya menyesal,” kata Samad Perang.

Saya simpati dengan nasib malang yang menimpa diri Samad Perang. Tetapi, bila saya fikirkan yang dirinya gagal memenuhi syarat-syarat yang dicarinya sendiri. Rasa simpati itu segera hilang.

“Mulai sekarang, ikut pesan guru kamu yang baik itu dan buang perangai yang tidak baik dari dirimu,” datuk melahirkan nasihat.

Datuk minta diri untuk pulang. Samad Perang dan isterinya mengizinkan permintaan datuk itu. Bila saya dan datuk berada di halaman rumah. Mamat Bukit pun tiba. Mukanya berpeluh dalam kedinginan malam.

“Bagaimana keadaan dirinya,” Mamat Bukit bersuara.

“Nampaknya sihat dan elok.”

“Kata Kiai, dia akan pulih betul dalam seminggu dua ini. Kiai itu juga beritahu saya, guru tempat Samad Perang belajar ilmu dulu, sepupunya.”

“Apa pesannya, ilmu yang dituntut sudah luput, pesan yang baik mesti diikut, kalau tidak diikut syaitan datang lagi.”

“Sepupunya, masih ada lagi?”

“Sudah balik ke Tanah Jawa.”

Datuk bersalam dengan Mamat Bukit. Kami tinggalkan halaman rumah Samad Perang ketika Mamat Bukit memijak anak tangga pertama. Angin malam terus bertiup lembut, menggugurkan dedaun tua. Kokok ayam mula kedengaran sayup-sayup. Saya dan datuk terus melangkah dengan tenang. Waktu saya dan datuk sampai ke rumah, nenek masih belum tidur lagi. Dia menunggu kami pulang untuk makan malam bersama.
“Nasi dan lauknya masih panas, baru selesai dimasak, saya dah agak awak bersama cucu pulang dalam waktu begini,” kata nenek lalu duduk di sisi datuk.

Kami makan dengan penuh selera, meskipun malam sudah terlalu dekat menuju ke pagi. Sebulan kemudian, saya dan datuk mengunjungi rumah Samad Perang. Keadaannya sudah banyak berubah, tidak mudah naik darah. Wajahnya kelihatan tenang, berhati-hati bila bercakap.

“Sejak malam itu, saya sudah insaf, saya berkawan baik dengan Sajono, saya belajar ilmu mengubat orang sakt dengan menggunakan rotan,” beritahu Samad Perang pada datuk.

“Kau mahu jadi dukun pula?”

“Saya sudah belajar, kalau ada anak buah saya mengalami sakt macam itu, bolehlah saya gunakan ilmu yang saya tuntut.”

“Bagus, apa kau tak pernah ke hutan lagi mencari rotan?”

“Saya sudah berhenti, biarlah Mamat Bukit dan kawan- kawannya membuat kerja itu.”

“Kau buat apa sekarang?”

“Saya mengusahakan tanah di belakang rumah, saya tanam pisang dan keledek, ini sumber rezeki saya.”

“Pelik?”

“Tak pelik, saya tak mahu buat kerja maksiat.”

“Maksud awak?”

“Masa mencari rotan dulu, sayalah kepala memuja tunggul buruh, pokok besar untuk mencari kekayaan.”

“Aku tak faham Samad.”

“Saya jadi kepala menurun nombor ekor, memang kami berjaya dapat duit ekor sampai lima enam ribu, tapi duit habis begitu saja. Duit haram tetap panas,” Samad Perang mengeluh.

Datuk tersenyum kerana sudah mengetahui rahsia sebenar kenapa Samad Perang menentang bermati-matian ketika dia menyertai rombongan Mamat Bukit mencari rotan dulu.
“Sudahlah Samad lupakan semuanya itu,” kata datuk dengan tenang.

Samad Perang ketawa.

“Sebulan dua lagi, saya nak pindah ke Kuala Lumpur, anak saudara saya mengajak saya ke sana, katanya di sana ada banyak peluang berniaga,” terkejut juga saya mendengar cakap Samad Perang itu.

Saya harap apa yang diucapkannya itu tidak akan menjadi kenyataan.

“Kau bergurau atau sungguh- sungguh,” tanya datuk.

“Apa yang dicakapkannya tu betul, saya dah pergi ke Kuala Lumpur, saya sudah menandakan tanah untuk dibuat rumah, anak saudara saya yang buat semuanya ini,” jawab isteri Samad Perang.

“Di mana? Di Kuala Lumpur tu luas,” soal datuk lagi.

“Di Kampung Nakhoda, dekat Batu Caves, pacak rumah dulu, sementara nak bertapak, malam saya nak jual mee, siang Samad menjual ikan dan sayur di pasar Selayang,”

“Banyak modalnya itu.”

“Anak saudara yang keluarkan modal dulu,” tambah isteri Samad Perang.

Beberapa bulan kemudian, Samad Perang dan isterinya pindah ke Kuala Lumpur. Berita terakhir yang saya dengan dari kawan- kawannya, Samad Perang sudah menjadi ahli perniagaan yang berjaya di Kampung Nakhoda. Tanah haram yang didudukinya, sudah menjadi miliknya sendiri. Dia mendirikan rumah batu dua tingkat. Samad Perang banyak menghabiskan masa lapangnya di masjid. Saya gembira mendengar berita itu dan berharap Samad Perang tidak akan jatuh dalam dunia perniagaannya, kalau dia jatuh, saya bimbang dia akan membuat kerja lamanya menyembah tunggul dan pokok-pokok besar untuk meminta nombor ekor.

“Allah memberikan jalan yang baik untuknya, semoga dia akan jadi manusia yang berguna pada agama, saya senang dengan cara saya mencari rezeki dengan memanjat bukit untuk mencari rotan,” kata Mamat Bukit, bila dia mendengar berita tentang kawan karibnya itu.

Advertisements

Leave a comment

Filed under Cerita

Bercakap dengan jin ~ 56 ~ Bomoh ‘ terjun’

Datuk terus memulaskan kedua belah tangan Samad Perang ke belakang. Udin Candung pula memegang kedua belah kaki. Mamat Bukit terus duduk di atas belakang Samad Perang.

“Dollah kau ambil rotan,” Mamat Bukit beri arahan pada Dollah Beranggas.

Cepat-cepat Dollah Beranggas melompat ke tanah dan segera naik ke rumah bersama segulung rotan. Tanpa membuang masa, Dollah Beranggas buka gulung rotan dan terus mengikat kedua belah pergelangan kaki Samad Perang.

“Rotan. Aku nak ikat tangannya, cepat sikit Dollah,” Dollah pun melemparkan rotan pada Mamat Bukit.

Kedua belah tangan Samad Perang pun terus diikat. Samad Perang terkapar di situ, nafasnya tercungap-cungap macam ikan atas daratan. Mungkin kerana letih membuat datuk, Mamat Bukit, Udin Candung dan Dollah Beranggas tersandar di dinding rumah.

“Kita tak boleh membiarkan dia begitu, kesian dan tak elok pada mata orang lain, macam kita tak berakal sangat,” kata datuk pada Mamat Bukit.

“Habis apa yang patut kita buat?, Kalau kita buka ikatannya nanti dia membunuh orang lain.”

”Bagaimana, kalau kita rantaikan kakinya pada tiang seri.”

“Betul juga cakap awak, kita kena berunding dengan kaum keluarganya dulu.”

“Terpulanglah pada awak Mamat.”

Mamat Bukit pun menemui keluarga Samad Perang. Setelah berunding Mamat Bukit menyuruh Dollah Berangas mencari rantai besi dan kunci. Dollah Beranggas segera akur dengan permintaan Mamat Bukit itu.Setengah jam kemudian, Dollah Beranggas kembali ke rumah dengan membawa rantai besi serta ibu kunci tembaga. Semuanya diserahkan pada Mamat Bukit.

“Di mana kamu dapat barang- barang ni Dollah?” Soal Mamat Bukit.

“Rantai besi dan kunci tu, saya pinjam dari Haji Ishak.”

“Macam rantai pengikat sampan (perahu) rupanya.”

“Ya, memang rantai pengikat sampan, kunci tembaga tu kunci peti duitnya.”

“Habis sekarang peti duitnya tak berkuncilah Dollah?”

“Duitnya memang tak ada, dia simpan petinya saja,” kata Dollah Beranggas sambil tersenyum.

Samad Perang pun diangkat berhampiran tiang seri, kakinya terus dirantai, dan dikunci. Rotan yang mengikat kaki dan tangannya pun dibuka. Samad Perang terus bangun sambil meronta-ronta.

“Lepaskan aku, lepaskan aku, aku nak kambing putih, aku nak balik ke bukit,” jerit Samad Perang dengan lantang.

Pinggan berisikan nasi yang dihulurkan oleh isterinya terus dipecahkannya dan nasinya dipijak-pijak. Jiran- jiran yang melihat kejadian aneh itu, ada yang geleng kepala dan ada pula yang menangis penuh simpati. Beberapa orang dukun yang cuba mengubati semuanya kena maki hamun dari Samad Perang. Dan datuk tidak dapat berbuat apa-apa dalam masalah ini, datuk merasakan apa yang terjadi pada diri Samad Perang memang ganjil sekali.

“Pelik, sungguh tadi elok sihat tiba-tiba ini jadinya,” keluh datuk.

“Bukan apa-apa tu, kena sampuk penunggu bukit,” celah Mamat Perang.

“Penunggu?”

“Ya, apa awak tak percaya? Awak dah tengok sekarang.”

Datuk menggigit kuku di jari manis. Dia agak enggan mahu mengakui kebenaran kata- kata akhir dari Mamat Bukit itu. Dan Mamat Bukit bagaikan tahu kesangsian yang bermain dalam diri datuk.

“Kau tidak percaya pada penunggu?”

“Susah nak aku cakapkan, terus terang aku katakan pada kamu Mamat, ini semuanya kerja syaitan.”

“Terpulanglah, tak usah kita bertengkar fasal ini, apa yang mesti kita fikirkan bagaimana mahu memulihkan diri Samad Perang.”

“Ya, memang betul cakap kau.”

Mamat Bukit dan datuk berbalas senyum. Secara spontan Mamat Bukit minta datuk mengubatinya. Tetapi, datuk menolaknya dengan alasan dia tidak mampu. Samad Perang yang dirantai kakinya terus menjerit sambil menumbuk-numbuk dada. Dia berusaha mahu memutuskan rantai besi, untuk lari ke hutan. Tiang seri dari kayu cengal terus digegarnya. Kerana kedudukan tiang seri itu teguh dan dipasak dengan baji kayu jenis keras, membuat tiang itu tidak bergerak walau sedikit pun.

“Saya balik dulu Mamat,” bisik datuk pada Mamat Bukit.

“Silakan. Tapi esok macam mana?”

“Saya tak faham cakap awak.”

“Mudah saja, pagi esok kami nak ke hutan menghantar kambing jantan putih serta membuat semahan atau jamuan untuk penunggu.”

“Saya tidak mahu subahat dengan kerja-kerja yang bercanggah dengan ajaran agama Islam Mamat.”

“Tak apalah, awak jangan menyesal kalau penunggu kacau awak.”

“Saya serahkan pada Allah yang maha besar.”

Saya dan datuk pun meninggalkan rumah Samad Perang yang jaraknya dengan rumah datuk kira-kira dua batu lebih. Bersama sinar matahari petang yang kian menurun, terdengar sayup- sayup jeritan Samad Perang.Sampai di rumah datuk terus menyeltkan rotan semambunya di gelegar rumah. Bila saya tanya kenapa datuk tidak membawa masuk ke dalam rumah.

Datuk hanya memberi jawapan yang pendek begini bunyinya: “Menurut petua orang tua-tua, barang-barang yang diambil dari hutan, tidak baik dibawa terus ke dalam rumah.”

“Apa sebabnya tuk?”

“Entahlah, tapi itu kepercayaan entah betul entah tidak dan hati aku ragu- ragu nak bawa masuk.”

Saya puas hati dengan penjelasan yang diberikan, tidak ada pertanyaan yang mahu saya kemukakan padanya. Dari air mukanya saya dapat menduga bahawa datuk begitu kecewa dengan nasib malang yang menimpa diri Samad Perang. Dua hari kemudian, saya dan datuk pergi semula ke rumah Samad Perang kembali. Orang pertama yang ditemui oleh datuk ialah Mamat Bukit. Mereka bersalaman.

“Permintaan penunggu sudah kami tunaikan,” beritahu Mamat Bukit.

“Macam mana kamu buat?”

“Kami buat ancak, semua barang yang dikehendakinya kami letakkan di situ, di bawah pokok besar.”

“Kambing jantan putih?”

“Kami sembelih, separuh dagingnya kami bawa balik, separuh lagi kami tinggalkan di bawah pokok.”

“Kerja membazir,” datuk terus merungut.

Mamat Bukit ketawa kecil dan memberikan keyakinan pada datuk yang penyakit Samad Perang akan sembuh dalam sedikit masa lagi kerana permintaan penunggu sudah dipenuhi. Datuk agak keberatan untuk mempercayai jaminan yang diberikan oleh Mamat Bukit itu. Dengan ditemani oleh Mamat Bukit datuk terus menemui isteri Samad Perang.

“Sudahkah awak berusaha mengubati penyakit suami awak?”

“Sudah dua orang pawang saya panggil, semuanya gagal.”

“Awak tak mahu bawa ke rumah sakit?”

“Kalau dibawa ke rumah sakit, suami saya akan dihantar ke rumah sakit otak di Tanjung Rambutan, saya mahu berusaha cara kampung.”
“Ya, kita cuba cara kampung dulu,” datuk memberikan keyakinan pada isteris Samad Perang.

Datuk pun meninggalkan isteri Samad Perang di situ, baru tiga langkah datuk melangkah meninggalkan, isteri Samad Perang segera menghampirinya.

“Malam ni ada bomoh terkenal datang untuk mengubati suami saya.”

“Bomoh dari mana?”

“Dari mana saya tak tahu, anak saudara saya yang uruskan, bayarannya juga mahal.”

“Berapa?”
“Lima ratus ringgit, tidak termasuk tambang dan makan minumnya, saya harap awak datang malam ni.”

“Baiklah.”

Malam itu selepas menunaikan sembahyang Isyak, saya dan datuk terpaksa menapak sejauh dua batu menuju ke rumah Samad Perang. Ketika kami tiba, beberapa jiran sudahpun berada di anjung rumah. Semuanya duduk bersila. Seorang lelaki berbadan tegap yang dipanggil Mahaguru duduk menghadapi mangkuk perasap yang berisi bara. Dia menaburkan kemenyan atas bara, seluruh ruang dikuasai bau kemenyan. Satu baldi air tersedia di sebelah kanannya. Lelaki yang dipanggil mahaguru itu terus bangun, dia membuka langkah silat dan menyeru nama beberapa pahlawan Melayu, antara nama yang disebutnya termasuklah nama Hang Jebat. Dia terus menampar muka Samad Perang dan kakinya menyepak badan Samad Perang. Kemudia dia mengambil baldi yang berisi air. Badan Samad Perang dijirusnya dengan air. Saya lihat badan Samad Perang menggeletar kesejukan. Lelaki yang digelar mahaguru itu meletakkan hujung keris yang berluk sembilan atas dahi Samad Perang.

“Ikut cakap aku,” katanya.

“Saya patuh dengan perintah mahaguru,” jawab Samad Perang.

“Buka kunci dan rantai besi,” suara mahaguru keras.

Rantai besi yang mengikat kaki Samad Perang pun dibuka oleh Mamat Bukit. Mahaguru terus duduk berhadapan dengan Samad Perang yang kelihatannya terlalu lemah dan mengikut apa sahaja perintah yang dikeluarkan oleh mahaguru. Beberapa orang jiran berbisik sama sendiri memuji kehandalan Mahaguru. Dengan perlahan-lahan Mahaguru menghembus asap kemenyan ke muka Samad Perang. Mahaguru terus menepuk lantai dengan tangan kiri. Keris berluk sembilan diletakkan dekat kepala lutut kiri.

“Bukan apa-apa, dia ditegur jin bukit,” kata mahaguru.

“Apa macam boleh dipulihkan Mahaguru,” tanya isteri Samad Perang.

“Boleh baik, usahkan jin bukit, jin gunung pun boleh saya ajar,” kata Mahaguru dengan bangga.

Mahaguru pun menentang biji mata Samad Perang. Tiba-tiba Samad Perang bertempik dan bangun, tempat perasap kemenyan ditendang hingga hancur, bara bertaburan atas lantai. Keris mahaguru disambarnya, muka mahaguru disepaknya. Semua orang yang berada di situ terkejut. Dan mahaguru yang mendakwa dirinya bomoh terkenal jadi kelam-kabut, tanpa berfikir panjang dia terus terjun ikut tingkap melarikan diri, kain sampingnya tersangkut di tingkap, semua alat-alat perubatannya habis dipijak- pijak oleh Samad Perang.Bila melihat mahaguru lari ikut tingkap, jiran-jiran yang berada di situ juga lari bertempiaran, beberapa orang jiran bengkak di dahi akibat berlaga sama sendiri, saya dan datuk juga lari.

Keadaan jadi kelam kabut masing-masing mahu menyelamatkan diri. Dalam keadaan yang tidak menentu itu Samad Perang terus menjerit dan lari menuju ke hutan di malam yang hitam. Mujurlah Mamat Bukit cepat bertindak dengan memburu Samad Perang. Mamat Bukit berjaya menangkap Samad Perang dan kedua belah kakinya dirantai kembali. Mungkin kerana keletihan membuat Samad Perang tidak melakukan sesuatu yang ganjil setelah kakinya diikat. Dia terus tidur hingga berdengkur. Lebih kurang pukul satu malam dia bangun dan meminta nasi. Permintaan itu segera ditunaikan oleh isterinya. Samad Perang makan tiga pinggan nasi tanpa lauk. Bila perutnya sudah kenyang dia tidur kembali.

Sepanjang malam itu saya, datuk dan Mamat Bukit berada di rumah Samad Perang semata-mata memenuhi permintaan isterinya. Menjelang waktu Subuh, Samad Perang kembali menjerit dan meronta-ronta di tiang seri. Bila matahari terbit di kaki langit dia terus tidur. Sebelum meninggalkan rumah Samad Perang pagi itu, datuk berpesan pada isterinya supaya berikhtiar mengubati suaminya, walau dengan apa cara sekalipun. Datuk juga melahirkan rasa puas hatinya pada Mamat Bukit yang berjanji akan membantu isteri Samad Perang yang sedang dilanda masalah besar itu.

“Saya tidak akan membiarkan keluarga kawan saya menderita.”

“Baguslah, semoga Allah akan menolong kamu.”

“Saya juga berharap awak tidak membiarkan saya keseorangan.”

“Tidak, carilah saya bila awak memerlukan pertolongan.”

Mamat Bukit senang hati dengan janji yang diberikan oleh datuk itu. Mereka terus berjabat tangan. Tetapi Mamat Bukit melahirkan juga rasa kesalnya atas sikap manusia yang menggelarkan dirinya sebagai mahaguru itu.

“Hati-hati bila kau mencari orang untuk mengubat kawan kamu Mamat, sekarang banyak orang menyamar. Ada ilmu setengah cawan mengaku mahaguru.”

“Ya, saya faham. Mahaguru tu sambil dia lari sempat juga dia menyambar wang dalam mangkuk putih.”

“Itulah manusia Mamat.”

“Kalau tak sanggup mengaku tak sanggup, jangan ambil wang orang, bini Samad sandar tanah pada ketua kampung nak cari wang sebanyak itu.”

“Lupakan saja tentang itu Mamat, kita cari yang lain.”

“Doakan saya berjaya.”

“Jangan bimbang, saya tetap bersama awak.”

Datuk dan saya pun meninggalkan Mamat Bukit di halaman rumah Samad Perang. Sudah dua minggu saya dan datuk tidak mengunjungi rumah Samad Perang. Tetapi datuk tahu segala kegiatan yang terjadi di rumah tersebut. Dollah Beranggas selalu menemui datuk dan menceritakan apa yang terjadi.

Dari mulut Dollah Beranggas juga datuk mendapat tahu, selama dua minggu lima orang bomoh sudah diundang untuk mengubati sakit yang ditanggung oleh Samad Perang. Semua usaha itu menemui jalan buntu. Masuk minggu yang ketiga, Mamat Bukit sendiri datang ke rumah datuk.

“Bagaimana sekarang apa usaha yang telah kamu lakukan Mamat?”

“Macam-macam ikhtiar saya jalankan. Malam ini ada sukarela nak mengubatinya.”

“Siapa orangnya.”

“Saya tak kenal, kalau awak nak kenal eloklah datang malam ini.”

“Baiklah saya datang nanti.”

Seperti yang dijanjikan, kira pukul sepuluh malam. Saya dan datuk pun sampai di rumah Samad Perang. Tidak ada apa-apa peralatan yang disediakan di ruang tengah seperti tempat perasap kemenyan, mangkuk putih atau sebagainya yang selalu digunakan oleh bomoh atau dukun bila mengubati orang yang sedang sakit.

Mamat Bukit terus memperkenalkan datuk dengan seorang lelaki. Orangnya kurus, memakai songkok hitam yang sudah kuning tepinya. Air mukanya nampak bersih dan tenang. Datuk terus bersalam dan memperkenalkan diri padanya.

“Dari mana,” bisik datuk padanya.

“Asalnya orang Parit Jawa, Johor. Sekarang menetap di Cenderung Balai Teluk Intan.”

“Macam mana boleh datang ke sini?”

“Saya datang ke rumah anak yang jadi guru sekolah di sini, dia minta tolong ikhtiarkan mengubat orang sakit ganjil.”

“Ada hubungan keluarga dengan orang sakit.”

“Tidak, anak si sakit ini, murid anak saya. Menurutnya budak itu pintar tetapi, sejak ayahnya sakit sudah lama tak datang ke sekolah.”

“Kerja apa?”

“Saya bersawah dan jadi imam surau.”

Walaupun baru bertemu, saya lihat datuk dan orang itu sudah cukup mesra, bagaikan sudah berkenalan bertahun- tahun.

“Silakan kiai,” kata Mamat Bukit.

“Jangan panggil saya kiai, ini terlalu tinggi panggil saja nama biasa, nama saya Sajono.”

“Minta maaf pak.”

“Tak mengapa, awak tak tahu.”

Sajono bangun dan terus menuju ke tempat Samad Perang. Dia menyuruh Mamat Bukit membukakan rantai besi yang mengikat kaki Samad Perang. Bila rantai dibuka, macam diarah-arah oleh sesuatu Samad Perang terus duduk bersila di hadapan Sajono.

Sajono menentang biji mata Samad Perang. Saya lihat mata Samad Perang tidak berkelip menentang mata Sajono. Makin lama, makin garang sinar mata Samad Perang. Sajono pun begitu juga. Mereka beradu kekuatan dengan mata. Badan Samad Perang menggeletar macam menahan benda berat yang terdampar atas kedua belah bahunya. Sesekali saya terdengar dengan jelas suara Sajono membaca ayat-ayat al- Quran dari surah Al-Jin. Tiba- tiba Sajono terus jatuh atas lantai. Biji mata Samad Perang yang merah dan kelihatan agak tersembul itu terus merenung muka Sajono.

Perlahan-lahan Sajono bangun tetapi, tersungkur kembali. Sajono bangun kembali. Kali ini dia memperkemaskan duduknya. Wajahnya kelihatan tenang dan peluh- peluh halus kelihatan membintik-bintik di kedua belah pipinya yang berkulit lembut itu. Sajono terus membaca ayat-ayat dari al- Quran.

Semua orang yang ada di situ dapat mendengarnya. Sebabnya, ketika Sajono berikhtiar mengubati Samad Perang, suasana di ruang anjung agak sepi. Tidak ada seorang pun yang berani bercakap atau bersuara. Andainya kalau ada sebatang jarum yang jatuh pun akan dapat didengar, begitulah tenang dan sunyi di ruang anjung. Semua yang hadir tumpukan seluruh perhatian pada Sajono.

Cara Sajono berusaha berbeza dengan cara- cara yang dilakukan para pawang atau dukun yang datang mengubati Samad Perang dulu, kebanyakan melompat atau bersilat. Ada pula yang seperti kemasukan syaitan bercakap tidak tentu arah dan terus tidak sedarkan diri.

“Memang Sajono ada cara yang tersendiri,” kata hati kecil saya.

Dan saya kira orang-orang yang berada di situ juga akan beranggapan demikian. Suasana yang sepi itu berkocak juga akhirnya, semua orang yang hadir terkejut besar. Samad Perang yang tadinya kelihatan gagah dan garang beransur lemah dan terus rebah atas lantai. Terkapar di situ, macam ayam kena sembelih. Sajono terus sujud syukur pada Allah yang memberkati usahanya, Sajono terus merenung wajah-wajah yang ada di situ dengan senyum.

“Bersyukurlah tuan-tuan semua pada Allah yang memberkati usaha saya ini,” katanya dengan tenang.

Mamat Bukit segera menghampirinya.

“Apa sakitnya Pak Sajono.”

“Semuanya ni kerja syaitan.”

“Syaitan?”

“Ya, syaitan. Awak tahu syaitan pada setiap saat beruasaha mahu membinasa anak Adam, dalam pelbagai bentuk dan cara adakalanya menyerupai manusia.”

Saya lihat Mamat Bukit menarik nafas panjang, agaknya dia dapat menerima dengan apa yang dikatakan oleh Sajono itu. Saya dan datuk berpandangan. Samad Perang sedar dari pengsan. Sajono menghampirinya. Dua kali Sajono menepuk bahunya.

“Ikat dia kembali, saya akan datang lagi untuk berusaha menolongnya,” beritahu Sajono pada Mamat Bukit.

Samad Perang pun dirantai semula. Datuk terus mendekati Sajono.

“Syaitan terlalu kuat mempengaruhi perasaannya,” kata Sajono.

“Apa lagi yang mahu tuan lakukan padanya.”

“Malam besok saya datang lagi, saya mahu menyambung kerja-kerja ini di rumah anak saya.”

“Memang baik cadangan awak, saya harap awak akan bersama saya malam esok.”

Datuk dan Sajono berpeluk- pelukan.

Dengan diiringi oleh anak saudara Samad Perang, Sajono melangkah ke tangga. Dari kaki tangga Sajono terus duduk di atas lanting basikal (bahagian belakang basikal untuk seorang penumpang). Anak saudara Samad Perang terus kayuh basikal membelah kegelapan malam menuju ke jalan besar.

“Saya tunggu sampai pagi di sini,” kata Mamat Bukit pada datuk, bila datuk minta diri untuk pulang.

Saya dan datuk terus menapak menuju ke rumah sejauh dua batu di malam yang mula dingin. Datang malam itu, saya dan datuk datang lagi ke rumah Samad Perang. Kami terus duduk di anjung. Isteri Samad Perang menghidangkan dua cawan kopi untuk kami.

“Minum, kopi bujang aje,” kata isteri Samad Perang.

“Tak apa inipun sudah seribu rahmat dapat kopi,” balas datuk bersama ketawa kecil.

Saya merenung permukaan cawan yang berasap nipis.

“Mamat Bukit ke mana?” tanya datuk pada isteri Samad Perang yang kelihatan cengkung dan agak pucat itu tetapi, masih mampu melayan setiap tetamu yang datang ke rumahnya dengan wajah yang manis.

Senyumnya tidak pernah mati dari bermain dari bibir. Setiap kata yang diucapkannya membayangkan ketabahan dan keyakinan yang suaminya akan pulih seperti sediakala.

“Mamat Bukit belum datang lagi, tiap-tiap malam dia berjaga menjaga suami saya, katanya malam ni dia datang lewat sikit,” ujar isteri Samad Perang.

“Payah mahu mencari kawan yang setia macam dia.”

“Nampaknya, begitulah.”

“Macam mana keadaannya, selepas kami balik malam semalam.”

“Ada kurang sikit cuma, waktu subuh dia menjerit dan meronta-ronta nak lari masuk ke hutan.”

“Bersabar, berkat usaha dan diizinkan oleh Allah, dia akan sembuh.”

“Saya harap begitu.”

Percakapan datuk dengan isteri Samad Perang saya ikuti dengan teliti. Datuk minta izin pada isteri Samad Perang untuk melihat suaminya, permintaan datuk itu diperkenankan.

“Tamar kau nak ikut aku?”

“Tak mahu, biar saya tunggu di sini.”

“Tak mahu pun tak apa,” kata datuk sambil bangun.

Datuk pun melangkah, satu, dua, tiga, masuk langkah yang keempat saya mula terasa seram. Pungung saya terangkat dari lantai. Bulu tengkuk saya meremang dengan sendiri. Tanpa membuang masa saya terus mengejar datuk.

“Kenapa Tamar?”

“Saya seram tuk.”

“Seram? Kau ni penakut sangat,” rungut datuk sambil menjeling tajam pada saya.

Isteri Samad Perang tersenyum melihat telatah saya yang agak melucukan itu. Datuk menghampiri Samad Perang yang terikat di tiang seri. Kedua belah kelopak mata Samad Perang bertaut rapat, dadanya kelihatan turun naik, menarik dan melepaskan nafas macam orang penat selepas melakukan kerja-kerja yang berat.

“Jangan bangunkan, biar dia tidur,” kata datuk, bila melihat isteri Samad Perang mahu mengejutkan suaminya.

Tanpa diduga Samad Perang membuka kedua belah kelopak matanya.

“Kawan awak, ini cucunya,” celah isterinya.

Samad Perang diam. Kedua- dua biji matanya kelihatan merah macam biji saga. Dari atas ke bawah, dari bawah ke atas, dia memandang saya dan datuk.

“Aummmmmm…,” Samad Perang mendengus sambil memperlihatkan giginya, macam harimau jantan berhadapan dengan kucing.

Samad Perang terus meronta- ronta mahu menerkam ke arah datuk dan saya. Kami segera berundur dan menuju ke anjung rumah semula. Datuk nampak kesal. Dia seolah-olah menyesal menghampiri Samad Perang tadi. Saya merenung keluar, tidak ada sesuatu yang dapat saya lihat.

Semua gelap belaka.Bunyi cengkerik dan burung hantu jelas kedengaran. Dalam saat yang sama kedengaran suara Samad Perang ketawa memanjang, bersama bunyi rantai besi berlaga dengan lantai dan tiang seri. Suasana begitu sungguh tidak menyenangkan dan menakutkan diri saya. Badan saya menggeletar tidak tentu arah. Datuk tetap duduk bersila sambil menundukkan kepalanya merenung lantai. Isteri Samad Perang kelihatan tidak tentu arah. Sekejap datang ke ruang anjung, sekejap berlari ke ruang tengah dan menuju ke dapur, tidak ubah macam kucing kehilangan anak.

“Sabar dan tenang,” datuk mendamaikan hati isteri Samad Perang.

“Minta pertolongan dan perlindungan dari Allah,” suara isteri Samad Perang perlahan sekali.

Rasa cemas dan takut yang menguasai diri saya dan isteri Samad Perang segera hilang, bila Mamat Bukit dan Sajono tiba.

“Dah lama sampai?” tanya Mamat Bukit pada datuk.

“Lama juga, kira setengah jam lebih.”

“Saya terlambat sikit, memang mengikut petua saya, masa datang malam, kedua dan ketiga harus dilambatkan sejam, tidak boleh datang dalam masa yang sama, malam ini saya datang pukul sebelas, malam esok pukul dua belas,” Sajono menerangkan sebab-sebab ia datang lewat.

Datuk anggukkan kepala dan terus bersalam dengan Sajono dan Mamat Bukit. Sajono dan Mamat Bukit duduk. Isteri Samad Perang meletakkan dua cawan kopi di hadapan mereka.

“Minta maaf, saya tak boleh minum selagi kerja belum selesai, malam pertama boleh minum, sebelum memulakan kerja, malam kedua boleh minum selepas selesai jalankan kerja dan malam ketiga langsung tak boleh minum, walaupun kerja dah selesai,” Sajono memberitahu isteri Samad Perang.

Kopi yang disediakan untuk Sajono dibawa ke dapur kembali. Dan Mamat Bukit terus minum kopi bahagiannya. Angin malam yang bertiup lembut masuk ke ruang rumah menerusi jendela yang terbuka, beberapa ekor kalkatu terus mengharung cahaya gasolin. Seekor kelawar sesat masuk ke ruang tengah rumah terbang tidak tentu arah dan akhirnya keluar ikut jendela. Bunyi burung hantu dan jampuk jelas kedengaran. Semuanya itu tidak mendatangkan sebarang kesan buat diri Sajono, malah dia marahkan Mamat Bukit yang cuba mahu membunuh seekor cicak yang jatuh dari tulang bumbung ke atas lantai.

“Jangan bunuh dia biarkan dia hidup, bukankah dia makhluk Allah,” katanya.

“Cicak membawa sial pada kita, Kiai,” balas Mamat Bukit.

“Pada Allah tidak ada makhluk yang sial dan bertuah, cuma manusia saja yang pandai membeza- bezakannya,” jawab Sajono.

Tidak ada jiran-jiran lain yang datang ke rumah Samad Perang. Malam sebelumnya, ruang anjung itu penuh dengan para jiran yang jumlahnya lebih dari dua puluh orang. Mungkin mereka merasa bosan atau merasakan tidak ada faedahnya berjaga, sedang keadaan Samad Perang tidak banyak berubah, menyebabkan mereka tidak mahu datang.

“Saya mulakan sekarang,” kata Sajono pada datuk.

“Silakan.”

“Mari ikut saya, Sajono renung muka datuk, renung muka Mamat Bukit dan saya.

Tanpa banyak karenah, datuk, Mamat Bukit dan saya terus mengiringi Sajono menuju ke tempat Samad Perang dirantai. Sajono terus menepuk bahu Samad Perang, kemudian duduk bersila berhadapan dengan Samad Perang.

“Kamu bukakan rantainya,” kata Sajono pada saya.

Badan saya mula menggeletar menerima anak kunci dari Mamat Bukit.

“Cucu saya pak,” kata datuk dengan wajah yang cemas.

“Tak mengapa biarkan.”

“Tapi, dia tak tahu semuanya ini pak.”

“Dia harus belajar,” Sajono merenung wajah datuk sambil menepuk bahu kiri datuk….

Leave a comment

Filed under Cerita

Bercakap dengan jin ~ 55 ~ “Mamat Bukit” yang gagah

Saya dan datuk berpandangan, tahulah kami sebelum kami tiba ke situ, mereka terlebih dahulu sampai.

“Lagi apa yang kau dapat?”, tanya Mamat Bukit pada Dollah Beranggas sambil merenung muka Samad Perang.
Mereka berbalas senyum. Dengan tenang Dollah Beranggas mengeluarkan seluar dan baju kelabu yang ada tanda tentera di dadanya. Dia juga mengeluarkan beberapa kerongsong peluru.

“Ini baju dan seluar dalam perempuan. Aku jumpa tiga keping gambar”, Dollah memberikan gambar-gambar itu pada datuk.

Habis saja datuk melihatnya diserahkan pada saya. Saya lihat gambar itu dengan tenang, dua keping gambar menunjukkan dua orang lelaki bersama keluarganya, manakala yang sekeping lagi gambar seorang gadis bersama orang tuanya. Saya kira lelaki tua itu ayahnya.

“Saya fikir barang-barang ni membahayakan diri kita. Kalau kita tertembung dengan orang dalam (komunis) kita akan ditahan, dan kita tak boleh mencari rotan di sini”, ujar Mamat Bukit.

“Apa yang nak ditakutkan? Kita jumpa dari bangkai kapal terbang. Orang dalam tu sendiri tentu sudah jumpa lebih dahulu dari kita. Aku ingat orang-orang yang ada di dalamnya sudah dibunuh”, Dollah Beranggas bersuara.

Dia terus memberitahu datuk yang dia dan kawan- kawannya pernah melihat sebuah kapal terbang berlegar-legar rendah di kawasan hutan Bubu, Senggeng, kemudian terus hilang.

“Aku melihatnya dari Kampung Cangkat pada satu petang kira-kira tiga bulan yang lalu, dan sekarang kita sudah jumpa”, tambah Dollah Beranggas lagi.

Dia enggan memenuhi permintaan Mamat Bukit yang mahu semua barang-barang itu dibakar.

“Demi keselamatan diri kita, ada baiknya kita bakar”, kata datuk.

Dan cakap datuk itu segera dipatuhi. Selepas menunaikan sembahyang Maghrib, semua barang- barang itu jadi bahan unggun api. Rasa sedih dan hampa terbayang di wajah Samad Perang dan Dollah Beranggas. Kira-kira dua belas malam, bangsal tempat kami berteduh bergegar, macam digoncang orang. Datuk yang sedang wirid membaling tasbih segera membangunkan Mamat Bukit dan Mamat Bukit memerintahkan kawan- kawannya memeriksa setiap penjuru bangsal. Tidak terdapat tanda-tanda kesan orang atau binatang liar yang datang ke situ. Keadaan begini mendatangkan rasa cemas di hati saya.

“Tiga batang rotan semambu saya hilang”, datuk mengadu kepada Mamat Bukit yang masih tercegat di depan bangsal.

Wajah Mamat Bukit saya lihat cemas sedikit.

“Di mana awak letak?”

“Saya letak dekat hujung lutut.”

“Awak dah cari?”

“Nak cari apa, masa bangsal ni bergoyang rotan semambu masih ada lagi di situ tak sampai seminit rotan semambu itu hilang dari mata.

Mamat Bukit terdiam mendengar penjelasan dari datuk. Dengan lampu picit berubat (bateri) lapan, Mamat Bukit menyuluh tempat datuk meletakkan rotan semambunya. Datuk menepuk dahi dua tiga kali, rotan semambunya masih berada di situ. Bila datuk mahu menjamahnya, Mamat Bukit segera menahannya.

“Jangan, kita tengok dulu”, kata Mamat Bukit tanpa mengubah pancaran cahaya lampu picit nya.

Tiga batang rotan semambu itu bergerak- gerak dan bertukar warna dari hijau menjadi merah, hitam dan kuning macam tembaga. Dalam beberapa saat pula bertukar menjadi ular tedung yang kepalanya menghala pada kami. Mamat Bukit terus melompat dan menyambar ranting pokok berdaun hijau di sisinya. Daun dan ranting dihumbankan pada rotan semambu yang menjadi ular. Ketika ranting dan daun hijau mengenai rotan semambu, saya terlihat satu pancaran cahaya macam kilat yang datang dari arah kanan bangsal, rotan semambu milik datuk kembali pada keadaan asalnya.

“Ganjil”, kata datuk.

“Ganjil pada awak, pada kami tidak. Hal semacam itu selalu terjadi pada pencari rotan”, dedah Mamat Bukit lalu mengajak saya dan datuk duduk berlonggok dengan kawan-kawannya.

“Kalau awak nak tahu itulah penunggu rotan”, tiba-tiba Udin Candung bersuara.

Kata- kata itu ditujukan pada datuk.

“Itu syaitan”, balas datuk.

“Bukan. Itu penunggu”, sahut kawan-kawan Mamat Bukit serentak.

Mereka seolah-olah tidak mahu menerima dengan apa yang diucapkan oleh datuk. Saya lihat datuk tersenyum. Dia tidak marah bila orang tidak mahu menerima pendapatnya. Kerana takut berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi, satu keputusan telah diambil. Semua yang ada di situ tidak boleh tidur serentak. Datuk terkecuali dari keputusan itu kerana dia sudah pun tidur selepas menunaikan sembahyang Isyak, kira-kira dua jam lamanya. Sekarang, datuk memutuskan untuk berjaga sampai pagi sambil membaca ayat-ayat suci.

“Awak boleh pilih sama ada mahu berjaga atau tidur”, kata Mamat Bukit kepada saya sambil tersenyum.
Kerana memikirkan berjaga lebih selamat dari tidur, saya memutuskan untuk berjaga macam datuk. Ternyata Mamat Bukit senang dengan keputusan itu.
“Kau orang tidur dulu, biar aku sama Dolah Berangas berjaga. Bila aku kejut kau orang mesti bangun”, beritahu Mamat Bukit pada Udin Candung dan Samad Perang.

Tidak ada bantahan dari orang yang menerima arahan. Udin Candung dan Samad Perang pun merebahkan bafan masing-masing. Sudah setengah jam masa berlalu. Dollah Berangas tidak mampu berjaga. Atas rasa kasihan, Mamat Bukit mengizinkan Dolah Berangas tidur. Tinggallah saua dan Mamat Bukit menghadapi unggun api.

Datuk tidak menghiraukan kami, dia tetap membilang tasbih dan membaca ayat ayat suci dalam bangsal. Saya terhibur dengan cerita cerita yang diungkapkan oleh Mamat Bukit tentang pengalaman pengalaman aneh yang dialaminya ketika betmalam dalam hutan. Semua cubaan dan rintangan dapat diatasinya.

Berdasarkan pada cerita cerita itu, saya segera membuat kesimpulan bahawa Mamat Bukit bukan calang calang orangnya.
Menurutnya gelaran ‘Bukit’ dihujung namanya itu diberi penduduk kampungnyakerana kepandaiannya mengiasai puncak bukit serta tahu nama nama bukit sekitar daerahnya. Memang seronok bercakap dan berborak dengan dengan Mamat Bukit ; masa yang berlalu tidak terasa sama sekali.

“Cahaya!” jerit saya bila melihat cahaya api yang datangnya dari salah satu puncak gunung dari barisan Titiwangsa.

Saya perhatikan cahaya itu menuju ke arah kami.

“Bertenang”, bisik Mamat Bukit kepada saya.

Mamat Bukit pun bangun. Berdiri sambil merenung tajam ke arah cahaya itu. Dia meluruskan tangan kana ke arah cahaya itu. Dalam beberapa detik, kelima lima jarinya terkembang macam menahan sesuatu. Kemudian kelima lima jarinya bergerak seperi orang memulas buah kelapa.

“Puhhhhh…” katanya sekuat hati.

Saya lihat cahaya sebesar bola tenis pecah berserakan di udara dan akhirnya hilang entah ke mana. Dahi Mamat Bukit berpeluh dan dia terus jatuh. Dalam beberapa minit kemudian dia bangun kembali. Dia merapatkan dirinya ke unggun api mungkin kerana kedinginan. Datuk masih lagi dengan tugasnya. Dengkur kawan kawan yang tidur bertambah kuat.

Lagi sekali saya terkejut, apabila tetibi seekor lembu jantan berwarna putih berdiri di sebelah kanan Mamat Bukit sambil ekornya memukul badannya. Bila Mamat Bukit bergerak, lembu itu dengan tiba tiba bersuara , jadi marah dan merenung ke arah saya dan Mamat Bukit.

Belum pun sempat saya dan Mamat Bukit berbuay sesuatu, lembu itu terus mengelilingi unggun api beberapa kali. Akhirnya lembu itu naik minyak dan menyerang apa saja yang terdapat di sekelilingnya . Dua tiga lali lembu itu mahu melanggar saya. Kalau tidak kerana kecekapan Mamat Bukit mempertahankan diri saya dengan getak dan langkah silatnya yang tangkas, sudah padti badan saya hancur dipijak lembu tersebut.

“Kau ke sana”, Mamat Bukit menolak badan saya dari berpaut padanya.

Saya terdorong agak jauh juga dari unggun api. Rupanya Mamat Bukit menggunakan kepintarannya, dengan berbuat demikian lembu yang sedang naik minyak itu akan menyerang saya. Dalam saat begitu memberi kesempatan pada Mamat Bukit melakukan sesuatu. Ketika lembu itu memburu saya, Mamat Bukit terus menyambar ekor lembu dan terus dipulasnya dengan sekuat hati. Mamat Bukit dan lembu memperadukan tenaga.

Dalam pertarungan itu Mamat Bukit lebih hebat, lembu itu tidak terdaya menarik batang tubuh Mamat Bukit. Lembu itu terus jatuh dan hilang, tanah tempat lembu itu jatuh berasap dan berlubang. Seluruh badan Mamat Bukit dibasahi peluh dan nafasnya tercungap-cungap.

“Tempat ni memang keras”, rungut Mamat Bukit sambil merenung Iubang yang berasap.

Sebelum saya mengajukan sebarang pertanyaan pada Mamat Bukit, lubang yang berasap itu terus menjadi rata tanpa meninggalkan sebarang kesan.

“Saya mesti mengadakan semah atau jamuan di tempat ini”, Mamat Bukit lalu menandakan tempat itu dengan sebatang kayu yang bercabang dua.

Salah satu cabang itu Mamat Bukit ikatkan dengan kain warna hitam. Mamat Bukit terus duduk bersila di situ, badannya terus menggeletar, suaranya juga berubah parau dan kasar, kemudian bertukar macam suara orang perempuan. Mamat Bukit terus menghempas-hempaskan badannya di bumi, macam ayam kena sembelih. Kelakuan Mamat Bukit itu mengejutkan kawan- kawannya yang sedang tidur. Mereka terus menerkam ke arah Mamat Bukit yang tidak sedarkan diri. Samad Perang terus mencangkung di depannya.

“Hai datuk penunggu, kenapa anak cucu yang mencari makan di sini diganggu?”, kata Samad Perang.

Mamat Bukit yang berguling-guling atas tanah berhenti berguling, terus duduk mencangkung sambil menekankan mulutnya ke bumi. Saya Iihat bibirnya penuh dengan tanah.

“Datuk mahu makan? Boleh kami beri”, sambung Samad Perang.

“Ya, kambing jantan warna putih, disembelih, tujuh sikat pisang emas”, balas Mamat Bukit dalam suara seorang perempuan, Mamat Bukit terus mengilai.

“Lagi apa tuk penunggu mahu?”

“Adakan jamuan itu pada tiap-tiap tahun, nanti kau orang senang mencari rezeki di sini.”

“Baik datuk penunggu.”

“Ingat pesan aku.”

Begitulah lebih kurang percakapan Samad Perang dengan penunggu rotan yang meresap ke dalam diri Mamat Bukit. Bila percakapan itu selesai, Mamat Bukit pun pulih seperti biasa. Datuk tidak campur tangan dalam urusan tersebut.

Pagi itu, setelah datuk menunaikan sembahyang Subuh serta mandi embun, barulah datuk bertanya pada Mamat Bukit tentang peristiwa yang dialaminya pada sebelah malam. Datuk mengakui tentang kehebatan Mamat Bukit, menurut datuk kalau calang-calang orang tidak mungkin boleh berhadapan dengan kejadian yang aneh itu. Nampaknya Mamat Bukit kurang senang dengan pujian yang diberikan oleh datuk. “Saya buat apa yang saya tahu”, beritahu Mamat Bukit pada datuk. “Dari mana kau belajar semuanya ini Mamat?”

“Dari arwah orang tua saya.”

“Cuma ada satu saja yang cacatnya dalam perkara ini.”

Saya lihat muka Mamat Bukit segera berubah. Dia bagaikan terkejut menerima kata-kata datuk yang tidak diduga sama sekali terkeluar dari mulut datuk. Dengan pandangan yang tajam dia merenung muka datuk lama-lama.

“Apa maksud dengan cacat yang awak katakan?”, soal Mamat Bukit.

“Saya tahu, ayah awak memang handal di hutan, saya berkawan dengannya. Saya merasa megah kerana awal sedikit sebanyak dapat ilmu darinya.”

“Lagi?”

“Sejak semalam saya belum melihat awak bersembahyang sebagai tanda bersyukur pada pemberianNya, awak menerima rezekiNya, tapi awak tidak pernah mengingatinya. Maafkan saya kalau tersinggung, sebagai seorang Islam saya cuma mengingatkan awak. Saya tidak memaksa”, dengan tenang datuk bersuara.

Mamat Bukit tersenyum. Dan Mamat Bukit tidak mahu memperkatakan perkara yang datuk sebutkan itu. Dia mengalih persoalan pada penunggu rotan semambu yang mahukan kambing putih, secara tidak langsung dia membebankan masalah itu pada diri datuk, cara halis dia seolah-olah mahukan datuk mengadakan kambing putih itu.

Datuk yang mengerti dengan tujuan dan maksud Mamat Bukit itu, menolak permintaan itu dengan secara terhormat. Dan Mamat Bukit pula tidak merasa hampa atau kecewa dengan sikap datuk itu, malah kalau datuk tidak mahu mengadakan, dia sendiri akan berusaha hingga perkara yang dijanjikannya itu pasti terlaksana.

“Usahlah buat kerja membazir tu Mamat. Itu perbuatan syaitan”, kata datuk dengan tenang.

Mamat Bukit gelengkan kepala beberapa kali.

“Ini janji.”

“Janji dengan Syaitan.”

“Tidak, dengan penunggu”, suara Mamat Bukit mula meninggi.

Matanya merah merenung muka datuk. Dan kawan-kawannya juga merasa kurang senang dengan tindak-tanduk datuk itu. Dollah Beranggas menghampiri datuk. Dua kali bahu kanan datuk ditepuknya.

“Awak tak usah masuk campur, ini urusan kami selesaikan sendiri”, kata Dollah Beranggas.

“Tapi perbuatan itu tak kena pada tempatnya, bertentangan dengan hukum agama Islam.”

“awak tahu, bila hajat penunggu ditunaikan, rotan akan menjadi-jadi dan rezeki kami akan bertambah.”

Datuk menggigit bibir, muka Dollah Beranggas direnungnya.

Saya lihat Mamat Bukit, Samad Perang dan udin Candung tersenyum sinis pada datuk.

“Kerja mengarut.”

“Mengarut pada awak, pada kami tidak”, sahut Mamat Bukit.

Datuk terus membisu dan beredar dari situ menuju ke belakang bangsal. Tidak siapa yang tahu kenapa datuk pergi ke belakang bangsal. Saya tahu, datuk kurang senang dengan peristiwa yang terjadi, begitu dengan Mamat Bukit dan kawan-kawannya. Mereka merasakan kehadiran datuk dalam kumpulan mereka tidak mendatangkan manfaat yang besar.

Samad Perang secara terang-terangan menyalahkan Mamat Bukit yang membenarkan datuk ikut serta dalam kumpulan mereka. Mamat Bukit tetap mempertahankan apa yang dibuatnya itu memang kena pada tempatnya. Mujurlah perbalahan kecil yang terjadi antara mereka tidak sampai didengar oleh datuk. Kalau datuk dengar sudah tentu perasaannya tersinggung.

“Jangan beritahu pada datuk awak, apa yang awak dengar…”, Mamat Bukit mengingatkan saya.

Tanpa berfikir panjang saya anggukkan kepala. Matahari pagi kian meninggi, jalur sinarnya memanah pada daun-daun kering di bumi. Mamat Bukit dan kawan- kawannya sudah pun memikul gulung rotan ke atas bahu masing-masing. Bersedia untuk pulang.

“Macam mana ni? Kita balik ikut jalan kita datang atau ikut jalan lain?”, Udin Candung bersuara.

“Ikut jalan datang”, balas Samad Perang.

Saya merasa kagum dengan tenaga yang dimiliki oleh mereka. Walaupun tubuh badan mereka agak kecil, tetapi mereka mampu memikul gulung (berkas) rotan yang berat untuk meredah hutan dan paya.

“Nanti dulu, sahabat saya belum bersedia”, suara Mamat Bukit meninggi.

Dan kawan- kawannya terpaksa meletakkan kembali gulung rotan di bahu ke tanah. Semua biji mata kawan-kawan Mamat Bukit merenung pada datuk yang muncul dari belakang bangsal. Dia tangan kanannya ada sebatang kayu sebesar ibu jari kaki.

“Buat apa kayu tu?”, tanya Mamat Bukit.

“Buat tongkat, waktu turun dari bukit.”

“Saya dah bertahun masuk hutan, tak pernah bawa kayu bila turun bukit.”

“Itu awak, sudah biasa. Saya tak pandai.”

Kawan-kawan Mamat Bukit terus ketawa mendengar jawapan dari datuk itu. Datuk terus mengambil rotan semambunya dalam bangsal. Tiba-tiba datuk berpatah balik, mukanya nampak cemas.

“Kenapa?”, soal Mamat Bukit.

“Ular tedung dekat rotan semambu saya.”

“Itulah, awak tak percaya pada penunggu. Sekarang apa dah jadi?”, cara mendadak saja Samad Perang bersuara yang diakhiri dengan senyum menyindir.

“Jangan timbulkan masalah lagi”,

Mamat Bukit menengking Samad Perang dan di wajahnya terpamer rasa kesal atas tindakan Mamat Bukit itu.

Mamat Bukit terus mengajak datuk ke tempat rotan semambu. Saya pun ikut serta. Apa yang dikatakan oleh datuk itu memang benar. Seekor ular- tedung berlingkar atas batang rotan semambu milik datuk. Bila mendengar bunyi tapak kaki kami, ular itu bergerak-gerak dan panggungkan kepala. Sebenarnya, kalau datuk tidak memanggil Mamat Bukit pun masalah itu boleh diatasi. Datuk boleh mengusir ular itu dengan kayu atau membunuhnya. Ada masalah yang lebih besar dari itu datuk boleh menyelesaikannya, kenapa masalah sekecil ini datuk memerlukan tenaga orang lain? Tindak-tanduk datuk itu menimbulkan tanda tanya pada diri saya sendiri. Apakah muslihat datuk yang sebenar? Apakah dia mahu menguji kemampuan diri Mamat Bukit atau sekadar mahu tahu sejauh mana Mamat Bukit mempercayai perkara tahyul.

Mamat Bukit hulurkan tangan kirinya pada ular itu. Saya lihat badan ular itu bergerak cepalt lalu mematuk tangan Mamat Bukit. Aneh, Mamat Bukit masih tersenyum dan terus menangkap kepala ular. Dengan ibu jari dan telunjuk dia menekan rahang ular hingga mulutnya terbuka. Siung (gigi) ular jelas kelihatan. Mamat Bukit tekan siung ular itu pada kayu keras hingga siungnya mengeluarkan air jernih yang agak kental.

“Itu bisa ular”, bisik datuk pada saya.

Ular di tangan Mamat Bukit jadi lemah. Mamat Bukit melemparkan ular itu ke dalam hutan tebal. Dengan telapak tangannya, Mamat Bukit mengambil bisa ular yang jatuh atas daun kering dan digosokkan pada kedua belah tangannya.

“Dengan cara ini saya akan kebal dari sebarang bisa ular”, beritahu Mamat Bukit pada datuk.

“Kau memang hebat Mamat.”

“Sebenarnya begini, saya belajar perkara ini semasa saya berada di Siam.”

“Macam mana awak boleh ke sana?”

“Panjang ceritanya. Saya ditangkap oleh tentera Jepun dan jadi buruh keretapi maut, saya lari dari kem. Berbulan- bulan duduk dalam hutan. Masa itulah saya berjumpa dengan seorang sami”, Mamat Bukit berhenti bercerita.

“Apa yang awak buat dengan sami tu?”

“Dialah yang mengajar saya ilmu ini, tetapi, sebelum itu saya terpaksa makan hempedu ular yang bisa.”

“Begitu”, keluh datuk sambil mengerutkan dahi.

Mamat Bukit terus menepuk- nepuk belakang saya berkali-¬ kali. Datuk terus melihat kawasan sekeliling.

“Jadi ular tadi bukan ular penunggu?”, saya bertanya padanya.

“Bukan”, sahut Mamat Bukit lalu menyuruh datuk mengambil rotan semambu.

Datuk terus ambil rotan semambu, kemudian kami pun menuju ke kawasan lapang depan bangsal. Samad Perang, Udin Candung dan Dollah Beranggas masih duduk mencangkung di situ.

“Mari, kila beredar sekarang”,

Mamat Bukit mengeluarkan perintah.

Kawan-kawannya bangun serentak dan meletakkan gulung rotan ke atas bahu masing-masing. Mamat Bukit jadi kepala jalan. Datuk berada di belakang sekali. Baru dua tiga rantai melangkah, Mamat memerintahkan kami berhenti.

“Tak seronok rasanya, kawan kita berada di belakang sekali. Kenapa tak ke depan dekat saya”, kata-kata itu Mamat Bukit tujukan pada datuk.

“Tak apa, biarlah saja jadi ekor jalan.”

“Bukan apa-apa, kalau bercerai nanti saya takut awak sesat.”

“Dengan izin Allah, saya tak sesat.”

Mamat Bukit puas hati dengan penjelasan datuk itu. Dia meneruskan perjalanan. Orang yang paling resah sekali dengan sikap datuk itu ialah Samad Perang. Dia seolah-olah tidak mahu datuk berada di belakangnya. Kalau boleh biarlah datuk berada di depannya. Kenapa Samad Perang bersikap demikian? Saya sendiri pun tidak tahu. Badan saya mula berpeluh, saya kira orang-orang lain dalam perjalanan juga berpeluh. Kami sudah pun menuruni tiga buah bukit yang curam. Setiap kali turun bukit saya pasti jatuh kerana tidak pandai mengimbangi badan. Satu hal yang pasti, dalam perjalanan itu kami tidak banyak bercakap, kecuali ada hal yang penting.

“Sial”, pekik Samad Perang sambil membuangkan gulung rotan di bahu.

Samad Perang terus mencabut golok perak dan mencantas semua pokok-pokok kecil di kelilingnya. Rambutnya yang digunting pendek kelihatan tegak macam bulu landak, biji natanya mula merah. Kata- kata yang lahir dari mulutnya tidak menentu dan curang jelas, sukar untuk memahami dengan apa yang dituturkannya.

“Buat bulatan keliling dia. Kalau dia mahu lari, tangkap”, Mamat Bukit mengeluarkan arahan.

Arahan itu segera dipatuhi. Samad Perang terus mengamuk, tidak ada seorang pun yang berani menghampirinya.

“Siapa berani sila rapat, aku keluarkan isi perut kamu semua”, suaranya meninggi.

Golok perak terus diacu- acukan pada kami yang mengelilinginya. Samad Perang gulingkan badan atas tanah. Habis semua pokok- pokok renek di situ dilanggarnya. Aneh, bajunya tidak koyak, badannya juga tidak luka.

“Aku mahu kambing jantan putih”, suara Samad Perang berlainan benar kali ini.

Parau dan garang. Dia cuba merempuh bulatan yang kami buat. Dalam masa kelam kabut itu, Mamat Bukit terus mencabut sebatang pokok kecil. Badan Samad Perang dipukulnya bertalutalu. Pukulan itu tidak mendatangkan sebarang kesan pada Samad Perang. Malah, Samad Perang bertambah berang. Kekuatan yang diperlihatkannya amat luar biasa sekali.

Mamat Bukit tidak boleh menahan sabar lagi, bila Samad Perang menendang perut Udin Candung hingga termuntah- muntah. Udin Candung tersungkur di bumi. Mamat Bukit segera bertindak. Dia melompat tinggi dan melepaskan satu tendangan kencang di bahu kanan Samad Perang. Samad Perang tergolek di bumi. Mamat Bukit terus mengikat kedua belah tangan dan kaki Samad Perang dengan rotan. Kemudian dia menyuruh Dollah Berangas dan Udin Candung membuat pengusung. Cukup cepat mereka bekerja. Tidak sampai satu jam, pengusung pun siap.

“Nampaknya kita terpaksa pikul sampai ke rumah”, kata Mamat Bukit.

Bagi memastikan Samad Perang tidak melompat dari pengusung, badannya diikat dengan rotan pada gelegar pengusung. Mamat Bukit dan Dollah Berangas didepan, Udin Candung dan datuk di belakang. Saya terkecuali dari tugas itu, tetapi, saya terpaksa memikul tiga batang rotan semambu milik datuk. Tiga batang rotan semambu bukanlah berat sangat, tetapi, rotan semambu yang saya pikul ini beratnya agak aneh, macam berat seguni padi.

Saya teringat pesan datuk. Katanya, bila hati merasa cemas atau sangsi terhadap sesuatu bacalah ayat Kursi. Hal itu segera saya lakukan. Rotan semambu yang terasa berat itu menjadi ringan kembali. Memikul manusia dalam hutan bukanlah satu perkara yang mudah. Kerana semangat setia kawan yang kental, kerja yang sukar itu menjadi senang. Lebih kurang pukul dua petang, pengusung yang membawa Samad Perang terdampar di halaman rumahnya. Kaum keluarganya jadi gempar. Ada yang menangis dan ada yang meratap. Pada sangkaan mereka Samad Perang sudah meninggal dunia.
Bila keadaan sebenar dijelaskan oleh Mamat Bukit, suasana menjadi aman dan tenang. Samad Perang dibawa ke dalam rumah dan dibaringkan di ruang anjung. Semua ikatannya dibuka. Marnat Bukit meraba pangkal lehernya lalu menekan salah satu urat di situ. Samad Perang membukakan kedua belah kelopak matanya. Dia senyum seketika dan lepas itu dia terus melompat dan bertempik, semua barang yang ada berada di anjung habis ditendangnya. Samad Perang menjelirkan lidahnya macam anjing kehausan. Dan sepasang matanya yang merah merenung tajam ke wajah isterinya yang berdiri tidak jauh darinya. Gerakannya cukup pantas, dengan sekelip mata sahaja dia menerkam ke arah isterinya dan terus mencekik leher isterinya. Mamat Bukit segera bertindak. Dia melepaskan satu penumbuk kencang di dagu Samad Perang.

Saya lihat Samad Perang terus jatuh. Udin Candung terus memapah isteri Samad Perang dalam keadaan separuh sedar dan pengsan ke ruang tengah rumah. Beberapa orang perempuan terus memberi rawatan kilat pada isteri Samad Perang. Di luar dugaan, Samad Perang yang kena penumbuk kencang itu boleh bangun dengan segera dan terus menyerang Mamat Bukit. Datuk, Udin Candung serta Dollah Berangas terus menangkap Samad Perang tetapi,usaha itu gagal. Samad Perang terlalu gagah.

Dengan sekali pusing sahaja ketiga-tiga orang itu terhumban atas lantai anjung rumah. Dahi Udin Candung berdarah kena tiang. Bibir Dollah Beranggas pecah kena lantai. Pangkal kening datuk bengkak kena penumbuk. Mamat Bukit berhempas mahu melepaskan dirinya dari pelukan Samad Perang. Setiap kali Samad Perang menggigit tubuhnya, muka Mamat Bukit berkerut menahan kesakitan. Darah membasahi baju Mamat Bukit. Satu pemandangan yang amat ngeri bagi diri saya.

“Tolong saya, tangkap dia”, jerit Mamat Bukit.

Dengan serentak datuk dan Dollah Beranggas memeluk tubuh Samad Perang dari belakang. Kedua-duanya kena penendang, tersungkur atas lantai. Udin Candung pula bertindak dan mengalami nasib yang sama.

“Kita tangkap kakinya”, Dollah Beranggas beri cadangan.

“Ya, mari kita cuba”, jawab Udin Candung.

“Satu cara yang baik”, sahut datuk.

Serentak mereka bertiga memaut kaki Samad Perang dan Samad Perang pun rebah. Mamat Bukit berjaya melepaskan dirinya dan terus memeluk tubuh Samad Perang.

1 Comment

Filed under Cerita

Bercakap dengan jin ~ 54 ~ Penunggu rotan semambu

“Sebagai manusia saya juga merasakan satu kesilapan kalau saya sudah menolong seseorang kemudian minta dikenang atau dibalas, Islam tidak menyuruh kita menuntut sesuatu bila sudah menolong orang lain. Kerana tolong menolong antara satu sama lain itu adalah amal jariah kita sesama manusia.

” Saya lihat lelaki itu anggukkan kepala mendengar kata-kata dari datuk itu. Mungkin sudah kehabisan modal atau sengaja mahu menumpukan perhatian pada kenderaan yang dipandunya, membuat lelaki itu tidak mengemukakan sebarang pertanyaan pada datuk. Rupa- rupanya datuk senang dengan keadaan demikian. Dia merapatkan kedua belah kelopak matanya macam orang tidur.

Saya tahu benar- benar, bila datuk berbuat demikian fikirannya tidak tertumpu pada keadaan kelilingnya. Dia sebenarnya memusatkan hati dan perasaannya pada sesuatu tempat dan jarak yang berpuluh-puluh atau beratus batu dari tempat dia duduk sekarang. Saya tidak tahu bagaimana datuk boleh mencantumkan seluruh perasaannya pada tempat tersebut, kadang-kadang dia bagaikan tahu tentang sesuatu kejadian di tempat yang dihayatinya.

“Tamar.”

“Ya Tuk.”

“Nenek kau tidak berapa sihat, sudah dua hari demam tapi masih boleh berjalan dan menumbuk padi” “Kasihan nenek tuk, kalau kita sampai cepat saya tolong dia menumbuk padi di lesung.”

“Sabarlah”, kata datuk dengan tenang.

Rupanya percakapan saya dengan datuk diikuti dengan teliti oleh orang yang memandu kereta itu. Dia mengerutkan dahi mungkin sedang memikirkan sesuatu, fikir saya. Kereta yang kami tumpangi terus merempuh beberapa selekoh tajam.

“Macam mana awak boleh tahu tentang hal isteri awak?”, tanya lelaki itu sambil menjeling ke arah datuk.

Saya renung muka datuk.

“Menggunakan pancaindera yang lima pemberian Allah, saya manfaatkan pemberian itu dengan sebaik mungkin. Tetapi, sebelum menggunakan kita harus mengenali Allah terlebih dahulu. Andainya kita mahu menggunakannya tanpa mengenali Allah terlebih dahulu pun boleh juga tetapi … “, datuk berhenti bercakap, matanya merenung keluar.

Dua tiga kali datuk mengangkat bahu kanannya, macam ada sesuatu yang mengusik di bawah ketiaknya.

“Cuba jelaskan biar saya faham?”, desak lelaki itu.

“Air kelapa mengeluarkan panas tetapi melemahkan badan. Dengan itu, dia akan dapat berehat, air sirih dapat mengembalikan pergerakan urat-urat yang lemah”, bisik datuk pada saya.

Dia terus ke dapur mengambil bawang putih dan halia. Semua bahan- bahan itu ditumbuk dalam lesung batu hingga hancur. Bila sudah hancur, dikeluarkan dari lesung batu dan dimasukkan ke dalam gelas lalu di campur dengan satu sudu madu lebah serta air panas.

“Bila nenek kau bangun nanti, suruh dia minum benda ini”, datuk menyerahkan gelas pada saya. Datuk terus meninggalkan bilik nenek.

Datuk menuju ke halaman rumah. Saya tidak tahu apa yang dilakukannya di situ. Saya terus memicit- micit jari-jari kaki nenek. Tiba- tiba nenek bangun dan membuang kain batik jawa yang menyelubung tubuhnya. Muka nenek kelihatan merah dan berpeluh.

“Aku dahaga, ambilkan aku air.”

“Ini airnya.”

Saya serahkan cawan yang diberikan oleh datuk itu pada nenek. Tanpa membuang masa lagi nenek terus meminumnya. Atas permintaan nenek saya meninggalkan biliknya. Menurut nenek badannya sudah tidak sejuk lagi, sendi- sendi badannya juga sudah tidak terasa sakit.

Sudah enam bulan saya dan datuk tinggal di kampung. Setiap pagi kami ke kebun dan ke sawah. Sesekali datuk mengulangi kerja lamanya dengan mengajak saya memasang jerat pelanduk dan memburu ayam hutan. Boleh dikatakan setiap kali ke hutan kami tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Saya sudah pandai mengesan jejak pelanduk dan rusa. Hidung saya juga dapat menghidu bau binatang dari jarak setengah batu.

Semua kebolehan yang saya miliki itu, berkat dari kesabaran saya belajar dari datuk. Selain dari memburu, ada minat baru yang datang secara mendadak dalam diri datuk. Minat baru datuk ialah mencari rotan. Tujuan datuk mencari rotan bukanlah untuk mencari wang seperti yang dilakukan oleh pencari-pencari rotan yang lain. Datuk cuma mencari rotan semambu untuk dibuat tongkat yang jumlahnya bukan sedikit dan bentuknya pula bermacam- macam. Semua tongkat rotan itu datuk aturkan di ruang tengah rumah dan berjaya menarik perhatian setiap tetamu yang datang ke rumahnya. Datuk tidak akan menjual tongkat-tongkatnya itu, walaupun ditawar dengan harga yang tinggi. Tetapi, datuk akan memberikan tongkat secara percuma pada sesiapa yang difikirkan layak diberi.

“Bersiap, pagi esok lepas sembahyang subuh kita ikut Mamat Bukit dan kawan- kawannya mencari rotan di hutan Bubu dekat Senggeng”, kata datuk pada saya pada suatu pagi.

“Itu pun kalau kau nak ikut”, tambah datuk.

“Saya nak ikut tuk”, jawab saya tegas.

Datuk terus menepuk kepala saya berkali- kali. Pagi itu, nenek terpaksa bangun pukul tiga pagi, menanak nasi dan menggoreng ikan. Nasi dan ikan goreng ditaruh dalam upih lalu dibalut dengan kertas surat khabar. Datuk sudah pun menyediakan air dalam satu tong plastik besar.

“Nasi bekal itu taruh dalam beg Tamar. Tong air itu biar aku yang bawa”, kata datuk sebaik saja dia

menunaikan sembahyang Subuh. Datuk sudah pun mengenakan pakaian yang biasa digunakannya ketika masuk hutan. Sementara menanti Mamat Bukit dan kawan- kawannya tiba, datuk dan saya duduk di anjung rumah. Beberapa minit kemudian Mamat Bukit dan kawan-¬ kawannya pun tiba. Saya dan datuk pun meninggalkan rumah. Nenek cuma melihat langkah kami dengan teliti hingga hilang dari pandangannya. Berjalan di hutan dalam keadaan cuaca yang agak samar dan sejuk itu amat menyulitkan bagi diri saya. Badan saya menggeletar sendirian. Sebelum matahari terbit di kaki langit, kami sudah pun meredah empat hutan dara dan hutan tebal.

Akhirnya, kami sampai di satu kawasan lapang lalu berehat di situ. Saya sandarkan badan ke pangkal pokok meranti. Mamat Bukit dan kawan-kawannya (empat orang semuanya) terus menebas anak-anak pokok di situ dengan golok perak. Datuk terus bergerak dari pokok ke pokok, memukul perdu dengan sepotong kayu. Badan saya masih terasa dingin walaupun sinar matahari mula menjalar di bumi yang lembap. Burung- burung liar yang beraneka bentuk dan warna mula berterbangan sambil berbunyi. Matahari terus memancar, keadaan di sekeliling juga turut beransur cerah.

“Kita minum dulu”, kata datuk sambil duduk.

Mamat Bukit dan kawan-kawannya berhenti menebas. Mereka terus duduk dan mengeluarkan bekalan air kopi masing-masing. Selesai minum kopi Mamat Bukit segera menggulung rokok daunnya bersama tembakau jawa. Dia kelihatan puas setelah menyedut rokok daun.

“Dah mandi embun?”, Mamat Bukit menyoal datuk.

“Sudah.”

“Rotan semambu banyak sebelah sana.”

Mamat Bukit mengarahkan jari telunjuk ke arah barat daya yang berhutan tebal. Datuk merenung ke situ sambil menganggukkan kepalanya beberapa kali. Kawan-kawan Mamat Bukit memasukkan bekalan air kopi ke tempat asalnya, mereka terus bangun sambil mengeliatkan pinggang masing-masing beberapa kali.

“Kita berpecah. Udin Candung ikut aku. Dollah Beranggas ikut Samad Perang. Sebelum waktu Asar kita bertemu di sini dan dirikan pondok untuk bermalam. Petang esok baru kita balik”, Mamat Bukit mengeluarkan perintah pada kawan-kawannya.

Mereka pun bergerak mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh Mamat Bukit.

“Kita macam mana tuk?”, saya renung muka datuk.

“Kita ada rancangan kita sendiri, sabarlah Tamar.”

“Tapi, kita dah bercerai dengan mereka?”

“Tak apa”, nada suara datuk cukup lembut.

Dia terus menyangkutkan golok perak di tali pinggang yang dibuat dari kulit yang selebar satu inci. Saya segera bangun, beberapa ekor pacat hutan kelihatan merayap di atas daun kering menuju pada saya. Datuk saya lihat masih lagi berdiri di situ, tidak ada tanda-tanda untuk melangkah.

“Bagaimana kita tuk, boleh kita mulakan sekarang?”, soal saya lagi.

Datuk tetap membisu dan masih mundar mandir di hadapan saya. Inilah saat-saat yang paling saya benci, bila datuk bertindak demikian. Cara yang paling baik saya lakukan ialah turut sama membisu. Biarkan apa saja yang mahu datuk lakukan. Tindakan saya ilu memang ada untungnya. Saya tidak marah atau merungut sesuatu yang akan menimbulkan kemarahan pada datuk. Matahari kian meninggi, saya renung ke utara dan nampak barisan Gunung Titiwangsa yang tertegun kaku, kabus nipis kelihatan mengelilinginya.

Buat beberapa saat saya bagaikan terpukau pada keindahan semula jadi dalam pancaran sinar matahari pagi yang kian meninggi. Dari arah belakang saya terdengar sesuatu yang agak ganjil, macam bunyi orang mematahkan anak-anak pokok hutan yang kecil. Bunyi itu makin lama makin jelas dan dekat. Saya renung datuk yang sedang membongkok, mencabut anak pokok besar jari kelingking. Mustahil datuk tidak dapat mendengar bunyi suara terscbut, pendengarannya lebih tajam dari saya. Tetapi, kenapa dia tidak bertindak atau membuat persediaan?

Sedang saya melayan pertanyaan dalam hati, Bunyi suara ranting dan pokok hutan yang dipatahkan bertambah hebat, saya jadi cemas. Tanpa berfikir panjang saya terus memalingkan muka ke belakang. Saya terkejut, sepasang kaki saya menjadi lemah tidak mampu menahan tubuh untuk berdiri tegak. Sekawan gajah dalam jumlah enam hingga tujuh ekor mengangkat belalai masing- masing ke arah saya sementara kaki gajah yang sebesar batang kelapa dara memijak anak-anak pokok hutan di sekeliling hingga menjadi rata dan ranap.

Dalam waktu cemas begitu, saya jadi panik tidak lahu apa yang palut saya lakukan. Gajah- gajah liar itu terus mara seolah-olah batang tubuh saya tidak wujud di depan mereka. Telinga gajah yang lebar itu terus memukul badan masing-¬ masing dan melahirkan bunyi yang agak kurang menyenangkan buat diri saya. Dalam keadaan yang tergamam itu, saya terasa badan saya macam disambar sesuatu, melayang-Iayang dan akhirnya tercampak di perdu pokok besar, kira-kira tiga puluh kaki jaraknya dari kumpulan gajah-gajah liar. Buat beberapa saat pandangan saya berpinar-pinar dan pendengaran saya jadi pana (tuli).

Bila keadaan sudah pulih, saya lihat datuk berdiri di hadapan kumpulan gajah liar sambil memegang sebatang pokok kecil di tangan kanan. Tangan kirinya diangkat melepasi kepalanya. Gajah-gajah liar itu bagaikan berhenti dari melangkah sambil menegakkan belalai masing-masing setinggi yang boleh. Tempikkan dilahirkan oleh gajah-gajah itu dalam keadaan yang serentak membuat suasana di dalam hutan menjadi kacau bilau dan kelam kabut.

“Pusing ke sana”, pekik datuk dengan sekuat hati.

Kesemua gajah-gajah liar itu memusingkan badannya mengikut arahan tangan kiri datuk.

“Kita semua makhluk Allah dan sama-sama mencari rezeki pemberian-Nya. Kau dengan cara kau. Kami dengan cara kami. Jalankan kewajipan masing-masing dan jangan kami”, tambah datuk sambil menjatuhkan tangannya.

Aneh sekali gajah-gajah liar itu bagaikan mengerti dengan cakap datuk. Sambil menjatuhkan belalai gajah- gajah itu bergerak ke kanan menuju ke kawasan yang banyak ditumbuhi pokok enau dan bayas.

“Bangun Tamar.”

“Tak boleh tuk, saya sakit.”

“Di mana?”

“Tangan dan paha kanan tuk.”

“Hum…”

Datuk segera menghampiri saya. Paha kanan saya dirabanya hingga di pergelangan kaki. Dengan sepenuh tenaga datuk merentap kaki saya hingga setiap sendi sebelah kanan badan saya berbunyi.

“Bangun”, ucapnya.

Saya pun bangun dan melangkah duatiga tapak.

“Lagi di mana terasa sakit Tamar?”

“Bahu.”

Datuk terus memeriksa bahu kanan saya. Dari pangkal bahu membawa ke hujung siku, kulit saya menjadi lebam. Setiap kali datuk menekan daging badan di bahagian itu, saya terasa sakit yang bukan kepalang dan membuat saya terasa mahu buang air kecil dengan serta-merta.

“Tunggu di sini”, bisik datuk ke telinga.

Saya anggukkan kepala. Datuk menuju ke perdu pokok salak, selembar daun salak yang masih hijau diambilnya. Dari situ datuk melangkah ke arah pokok jelutung dan terus terbongkok-bongkok di situ, macam mencari sesuatu. Datuk datang pada saya kembali menatang sesuatu di dalam daun salak, saya lihat benda yang datuk tatang itu lembik berwarna agak hijau muda. Tanpa berkata apa-apa datuk terus melumurkan benda itu di bahagian badan saya yang lebam dan daun salak muda terus dibekamnya sekali. Bagi mengelakkan daun salak itu jatuh, datuk terus mengikatnya dengan akar berwarna kebiru-biruan yang datuk ambil di tanah.

“Baring, luruskan kaki dan tangan. Bila aku kata bangun, kau bangun.”

“Baik tuk”, badan saya rebahkan ke bumi.

Datuk terus duduk di sisi saya dengan wajah yang tenang dan sabar.

“Apa rasanya?”, tanya datuk.

“Panas sampai ke tulang.”

“Tak apa, sikit lagi sakit kau baik.”

Lama juga saya terbaring di tanah. Muka saya berpeluh disimbah sinar matahari, tetapi rasa sakit seluruh badan terasa beransur-ansur kurang, kemudian hilang terus.

“Bangun, dan berlari.”

Saya segera bangun dan terus berlari dengan mengelilingi kawasan tanah lapang. Saya berhenti berlari atas perintah datuk.

“Apa rasanya badan kau?”

“Dah tak sakit lagi tuk.”

“Mari dekat aku. Biar aku buka balut di lengan kau.”

Saya terus menghampiri datuk. Tangan kanan saya hulurkan padanya. Datuk terus membelek-belek tangan saya itu seketika. Daun salak yang hijau itu saya lihat menjadi kecut, macam terkena bahang api. Sebelum membuka balut tersebut datuk terlebih dahulu merentap tangan kanan saya secara mengejut hingga berbu¬ nyi. Bila balutan itu dibuka, lebam yang memanjang dari bahu hingga ke hujung siku sudah tidak ada lagi. Bila datuk menekannya dengan ibu jari, sudah tidak terasa sakit lagi. Saya boleh menggerakkan lengan kanan itu seperti biasa. Baju yang koyak datuk cantumkan kembali dengan menggunakan sejenis getah yang diambilnya dari sebatang pokok. Datuk tidak menyatakan pada saya, getah pokok jenis apa yang diambilnya dan saya tidak berminat untuk bertanya padanya.

“Kita melangkah sekarang, menuju ke arah yang ditunjukkan oleh Mamat Bukit. Aku harap kita dapat rotan semambu yang elok”, datuk menggeliat dua tiga kali sambil melihat arah kedudukan matahari. Dalam perjalanan menuju ke tempat yang dikatakan oleh Mamat Bukit, langkah datuk terlalu cepat, andainya saya menoleh ke arah lain datuk akan hilang dari pandangan saya. Berjalan dalam hutan yang penuh dengan akar-akar kayu, tunggul-tunggul lama serta pokok-pokok besar bukan satu hal yang mudah bagi diri saya. Tetapi, hal semacam itu tidak menimbulkan masalah buat diri datuk.

“Ubat apa yang tuk balutkan ke lengan saya tadi?”

“Tahi gajah.”

“Tahi gajah?”, ulang saya dengan rasa yang amat terkejut.

Datuk berhenti melangkah lalu merenung muka saya bersama segaris senyum. Tekak saya terasa loya dan badan terasa geli.

“Itu petua orang tua-tua dan hasilnya sudah kau lihat sendiri. Kau tak perlu risau, petang nanti kau cuci badan kau dengan tujuh jenis daun yang aku cari”, kata datuk lagi.

Dia meneruskan perjalanan. Saya juga begitu. Saya dan datuk terpaksa menyeberangi sebatang anak sungai yang airnya mengalir jernih. Anak- anak seluang berkejaran di celah-celah batu. Airnya terasa sejuk sekali. Kemudian kami mendaki bukit kecil sebelah kanan tebing sungai.

Di lereng- lereng bukit itu kami menemui rotan yang banyak tetapi rotan yang ada di situ bukanlah rotan yang dicari oleh datuk. Kami mendaki ke puncak bukit. Datuk terpegun melihat rotan semambu yang terdapat di situ. Dia bagaikan orang gila menerkam dari satu perdu rotan ke satu perdu rotan. Semua rotan semambu yang dilihatnya menarik belaka, tidak tahu yang mana satu harus diambilnya. Mungkin kerana penat bergerak, datuk terus duduk sambil melunjurkan kedua belah kakinya. Saya masih lagi melihat daun rotan yang menghijau, bergoyang- goyang ditiup angin.

“Kau pergi ke bawah ambil air di sungai”, datuk mengeluarkan perintah.

Wajahnya saya renung dan datuk bagaikan tahu apa yang menjadi persoalan dalam diri saya ketika itu.

“Kau tak ada bekas nak isi air?”

“Ya tuk.”

“Itu perkara mudah, biar aku buatkan”, datuk pun bangun.

Dia mengambil daun hutan yang lebar lima enam lembar, daun-daun itu di cantumkannya. Bagi mengelakkan daun yang dicantumkan itu terbuka, datuk menggunakan rotan kecil yang ditajamkan dan dicucuk pada setiap sendi atau pelipat daun hutan yang sudah dijadikan dalam bentuk baldi empat segi.

“Sekarang kau pergi ambil air.”

Saya pun menuruni lereng bukit dengan hati-hati. Tetapi, hati berasa kurang sedap. Saya bagaikan merasa ada mata di dalam hutan itu yang memerhatikan gerak-geri saya. Bila saya berdiri di tebing sungai, saya terdengar bunyi orang berenang di sebelah hilir. Saya terus menoleh ke arah itu, apa yang saya lihat ialah air jernih kelihatan berkilau-kilauan dipanah matahari.

Saya kira, apa yang saya dengar itu cuma perasaan saja, mana mungkin ada manusia di dalam hutan selain saya dan datuk. Tidak masuk di akal air sungai yang cetek itu membolehkan manusia berenang di dalamnya. Kalau boleh pun pasti yang melakukannya manusia dungu, fikir saya. Saya terus mengambil air sungai dan membawa pada datuk. Kami terus makan tengahari dalam hutan. Setelah makan datuk pula pergi ke sungai, mandi dan mengambil air sembahyang. Lepas itu, barulah datuk memilih rotan semambu yang dikira baik untuknya. Datuk cuma mengambil tiga batang saja.

“Tiga pun sudah cukup, lain kali aku datang lagi”, kata datuk pada saya sambil meneliti ruas rotan semambunya.

Kedua belah tangan datuk genggam, dengan genggaman itu juga datuk menyukat rotan semambu dari hujung ke pangkal. Datuk memulakan sukatan itu dengan perkataan untung dan rugi. Bila sampai ke bahagian pangkal semuanya berakhir dengan perkataan untung. Kepalang gembiranya datuk, senyuman terus bermain di bibirnya. Senyuman di bibir datuk terus berhenti dikejutkan oleh bunyi perdu rotan semambu, dedaun rotan berguguran macam ada tangan raksasa yang menggoncangnya, akar- akar rotan tercabut sendiri.

“Syaitan”, kata datuk.

“Bukan tuk, penunggu rotan semambu.”

“Mana ada penunggu, penunggu tu syaitan”, suara datuk mula meninggi dan dia terus berdiri merenung ke arah perdu rotan semambu yang sudah tercabut.

Saya menarik nafas panjang. Rasa takut dan cemas terus menguasai diri. Datuk tidak berganjak dari tempat asalnya, matanya tidak berkedip merenung pada setiap perdu rotan yang tercabut. Saya terkejut bila terdengar bunyi deru seperti bunyi jentera penolak datang, semua pokok-pokok di situ bergoyang. Datuk segera membongkok lalu mengambil tanah dan tanah itu dikepal- kepalnya macam nasi. Dengan sepenuh tenaga dia melemparkan kepalan tanah itu pada perdu yang tercabut. Suara jentera hilang dan perdu rotan semambu saya lihat tetap seperti keadaan asal, tidak tercabut.

“Syaitan, syaitan”, datuk menyebutnya berulang kali sambil mengajak saya beredar dari situ tanpa membawa rotan semambu yang diambilnya.

“Ke mana kita nak pergi tuk?”

Saya terus mengikutinya menuju ke arah timur bukit kecil, sambil berjalan itu datuk terus memperkenalkan jenis pokok hutan pada saya. Akhirnya datuk mematikan langkahnya. Dia terasa kakinya tersepak kan sesuatu yang keras. Dia terus membongkok dan memeriksa tanah yang dipijaknya. Bila datuk tegakkan badan, di tangannya terlekap sepotong besi yang panjangnya kira- kira enam inci. Besi itu sudah berkarat dan bentuknya bulat kecil, kira-kira sebesar ibu jari tangan orang dewasa.

“Tulang mawas agaknya tuk?”

“Bukan.”

“Kalau bukan besi apa pula tuk?”

“Inilah yang aku fikirkan.”

Datuk terus duduk di tanah. Besi itu terus ditelitinya. Ketika itu matahari sudah agak condong kedudukannya. Dalam perkiraan saya, jika matahari itu bergerak atau tergelincir dari kedudukannya dalam jarak dua jengkal bererti waktu Asar sudah tiba. Saya mencadangkan pada datuk supaya pulang saja ke tempat asal (tempat bermalam yang dicadangkan oleh Mamat Bukit). Datuk menolak cadangan saya itu, dia masih mahu mencari rotan semambu lagi. Mahu atau tidak, saya terpaksa mengikutinya. Kami terus mara dalam hutan tebal. Tetapi perjalanan yang rancak itu berhenti juga, bila kami berhadapan dengan rangka besi yang bentuknya macam ekor ikan paus tersadai di satu kawasan.

“Rangka bas tuk.”

“Bukan. Aku tengok macam ekor kapal terbang”, balas datuk.

Dia terus menghampiri ekor kapal terbang sambil mengetuk-ngetuknya dengan belakang parang. Pada bahagian ekor yang terpacak ke atas terdapat nombor. Manakala pada bahagian tepinya (badan) terdapat perkataan ‘The Air Transport Command’ serta ‘The US Army Air Force’. Perkataan itu terus melekat di kepala saya hingga kini. Seluruh kawasan itu kami periksa dengan teliti, begitu juga dengan bahagian dalamnya. Semua alat di dalamnya masih baik. Tanpa mengusik sesuatu kami meninggalkan rangka kapal terbang itu. Kami mengambil keputusan untuk pulang ke tempat asal.

Bila sampai di tempat datuk mengambil rotan semambu tadi, dilihatnya tiga batang rotan semambu yang dipilihnya masih berada di situ. Tanpa berfikir panjang datuk terus mengambilnya, kemudian kami mandi di sungai. Bila kami sampai ke tempat mula-mula tiba tadi, Mamat Bukit dan kawan-kawan sudah ada, malah mereka sudah pun membuat bangsal kecil untuk bermalam. Beberapa longgokan rotan seni terdapat di situ.

“Sebelah sana, ada alur air untuk mandi dan ambil air sembahyang. Airnya jernih yang datang dari gunung”, kata Mamat pada datuk.

Alur ialah aliran air atau parit kecil yang airnya sentiasa mengalir. Datuk senang dengan penerangan Mamat Bukit. Dia terus ke situ mengambil air sembahyang. Setelah selesai menunaikan sembahyang Asar, saya terus berborak dengan kawan- kawan Mamat Bukit. Macam- macam hal yang kami kisahkan. Tetapi datuk tetap merahsiakan kejadian ganjil yang dialaminya ketika mengambil rotan semambu tadi.

“Kami jumpa bangkai kapal terbang orang putih”, ujar Samad Perang sambil menunjukkan barang-barang yang diambilnya dari bangkai kapal terbang.

Leave a comment

Filed under Cerita

Bercakap dengan jin ~ 53 ~ Ghaib dalam bas

Saya kira, tidak ada perlu datuk fikirkan. Sembahyang Subuh sudah ditunaikan. Mandi embun sudah dilakukan. Malah, kawasan rumah arwah Mahyuddin sudah kelilingi sebanyak tujuh kali. Empat penjuru kawasan rumah tersebut sudah ditanam dengan dahan pokok delima yang dipotong sepanjang enam inci.

“Tujuannya bukan apa-apa, cuma nak mengelakkan orang-orang yang tidak bertanggungjawab dari membuat perkara tak senonoh. Maklumlah semua orang tahu, arwah Mahyuddin bukan sebarang orang, mana tahu ada orang yang cuba menuju tempat tidurnya, minta itu minta ini, kerja syaitan dan maksiat begini cepat mempengaruhi fikiran orang-orang kita, lebih-lebih lagi kerja maksiat tu boleh mendatangkan wang ringgit” datuk menjelaskan tentang perkara yang di bualnya pada saya.

Datuk terus duduk di batang kelapa buruk di sudut kanan halaman rumah. Saya terus memperhatikan beberapa ekor burung merak melompat dari dahan ke dahan di pohon mempelam.

“Datuk awak di mana?”

Saya dikejutkan oleh suara Dumba.

“Itu, datuk atas batang kelapa.”

Jari telunjuk saya menuding ke arah datuk.

“Tengok burung, di sini memang banyak burung”, anak angkat Mahyuddin mencelah, kemudian terus mengekori Dumba menuju ke tempat datuk.

Saya capai sepotong kayu lalu membaling ke arah burung yang hinggap di ranting. Saya ketawa melihat burung- burung itu berterbangan. Kemudian, saya berlari mendapatkan datuk. Saya lihat kelopak mata Dumba berair, begitu juga dengan kelopak mata anak angkat Mahyuddin. Datuk menggigit bibir, sesekali menggosok pangkal hidung dengan ibu jari. Di wajah datuk tergambar kesedihan.

“Muktamad, sebelum masuk waktu Zuhur kami berdua akan meninggalkan tempat ini”, ujar datuk dan sepasang matanya silih berganti merenung muka Dumba dan anak angkat Mahyuddin.

“Bagaimana kalau bertolak lepas Zuhur?”, Dumba mengajukan cadangan.

“Mengikut petua dan langkah, hari ini mesti bertolak sebelum Zuhur baru terlepas dari bencana buruk, petua peninggalan nenek moyang kita tak rugi diikuti, ini merupakan warisan”, jawab datuk.

Dalam masa yang sama, saya sempat menjeling ke arah jam yang terlekat di tangan anak angkat Dumba. Jarum panjangnya menunjuk angka dua belas dan jarum pendeknya mengarah ke angka tujuh.

“Kalau sudah balik, bila pula nak datang ke sini lagi?”, anak angkat Mahyuddin mengeluarkan pertanyaan.

Datuk tersenyum sambil merenung wajah Dumba.

“Kalau panjang umur dan diizinkan Allah yang Maha Kuasa, saya akan datang juga ke sini.”

“Dengan kehendak Allah juga kita bertemu dan awak lerusaha mem betulkan kesilapan yang saya lakukan.”

Dengan mendadak Dumba meningkah cakap datuk. Semua yang ada di situ terus ketawa. Bila ketawa berakhir, aya lihat lagi sekali datuk merenung bumi agak lama. BiIa kepalanya diluruskan, saya lihat matanya merah. Tahulah saya bahawa datuk menahan air matanya membasahi kulit pipinya.

“Memang tidak pernah terfikir dalam hidup ini yang saya akan berjumpa dengan orang- orang di sini, kemudian menetap di sini hampir dua minggu, semuanya terjadi atas kehendak Allah”, nada suara datuk tersekat-sekat.

Dumba terus menerpa pada datuk. Mereka berpeluk- pelukan sejenak. Bila Dumba melepaskan lingkaran tangannya dari tubuh, anak angkat Mahyuddin segera berjabat salam dengan datuk.

“Mari ke rumah saya untuk makan pagi?”, bisik anak angkat Mahyuddin.

“Terima kasih lain kali saja”,balas datuk sambil mengajak kami naik ke rumah arwah Mahyuddin.

Semuanya tidak membantah. Bila berada dalam rumah, datuk mengarahkan anak angkat Mahyuddin mengarnbil beberapa helai kain pelikat, sehelai sejadah serta sekeping tikar mengkuang panjang dua belas. Barang-barang itu datuk suruh hantarkan kc masjid untuk digunakan oleh ramai yang berjemaah di situ. Datuk juga minta anak angkatnya menyelesaikan hutang- piutang Mahyuddin, sekiranya dia ada berhutang ketika hayatnya.

“Peti hitam dah tak ada tuk”, kata saya bila melihat tempat peti hitam itu kosong.

Datuk terdiam sejenak, kemudian dia senyum.

“Kembali pada yang hak”, pendek datuk menjawab.

“Ada perca kain kuning tiga segi di tempat peti hitam tuk.”

“Biarkan. Orang yang berhak memberitahu kita dia sudah mengambil haknya”

Selesai sahaja datuk berkata, perca kain itu melayang- layang macam ditiup angin, sedangkan angin tidak bertiup ketika itu. Perca kain itu bergerak menuju ke tingkap dan akhirnya hilang. Apa yang saya lihat itu, dilihat juga oleh Dumba dan anak angkat Mahyuddin. Dan kehilangan peti hitam itu juga disedari oleh anak angkat Mahyuddin tetapi dia tidak kelihatan cemas.

“Ayah dah beritahu saya, katanya, peti hitam dan isinya akan hilang bila dia mati. Ayahnya juga berhasral unlllk memberikan isi peti hitam pada saya.”

“Kau dapat isinya’?”, celah datuk.

“Tak dapat. Sebenarnya, kalau tak dapat, kata ayah, saya tak cukup syarat. Tetapi ayah berjanji sebelum dia mati barang dalam peti hitam akan diberikan pada orang yang difikirkannya layak”, terang anak angkat Mahyuddin lagi.

Datuk tidak bertanya lebih lanjut lagi tentang perkara itu pada anak angkatnya Mahyuddin. Datuk mengajak kami keluar dari rumah dan duduk kembali di halaman. Saya sudah pun membimbit beg rotan empat segi. Di dalamnya termuat beberapa helai pakaian saya dan datuk. Semuanya sudah saya basuh semalam. Mungkin dalam petua datuk, ketika matahari sudah berada di paras pucuk kelapa dara serta tiupan angin lembut dari arah selatan, adalah saat paling baik untuk memulakan perjalanan. Lagi sekali datuk berjabat salam dengan Dumba. Saya lihat Dumba tidak dapat menahan kesedihan.

“Awak banyak menolong saya dan menyedarkan saya”, kata Dumba.

“Bukan saya. Allah yang membuka hati awak. Saya cuma berusaha”, balas datuk sambil merangkum tangan.

Saya dan datuk pun mula mengatur langkah. Sampai dekat pokok macang (bacang) di liku jalan, dua orang lelaki muncul dengan pakaian yang agak kotor. Baju dan seluarnya terdapat kesan- kesan getah yang sudah keras. Mereka menahan datuk dan saya.

“Kenapa?”, suara datuk lembut.

“Tolong kami.”

“Tolong apa?

Nak minta tolong toreh getah?”, tanya saya.

Sesungguhnya, saya kurang senang dengan kedatangan dua manusia itu. Mereka mengganggu perjalanan saya dan datuk untuk segera pulang.

“Jangan biadap. Mana budi bahasa kamu sebagai Melayu?”, telapak tangan kanan datuk menekan pipi kanan saya.

Marah sungguh dia dengan sikap saya itu. Datuk terus melayan kedua penoreh getah itu.

“Kami ni selesai menoreh kira- kira pukul tujuh pagi, sementara menanti getah berhenti menitik dalam mangkuk, kami pergi ke kubur Mahyuddin”, terang penoreh yang berbadan kurus.

Dari jauh saya nampak Dumba dan anak angkat Mahyuddin menuju ke arah saya dan datuk.

“Apa yang nak kamu cari di kuburnya?”, datuk jegilkan biji mata.

Kedua lelaki itu tersengih. Mereka kelihatan serba salah.

“Apa yang kau orang nak cari di sana?”, soal datuk lagi.

“Mahyuddin tu banyak ilmu dunia. Kami nak cari sesuatu darinya”, sahut lelaki yang berbadan kurus.

“Habis, dapat apa yang kamu cari?”

“Huh, kami jumpa harimau atas kuburnya.”

“Apa yang kau orang dapat dari harimau tu?”

“Kami takut, lalu lari”, sahut lelaki yang bermata sepet.

Datuk menggigit bibir sambil merenung muka dua lelaki itu.

“Aku tahu, kau orang mahu meninjau. Kemudian kau orang nak menurun nombor ekor di kuburnya”, nada suara datuk meninggi.

Kedua lelaki itu anggukkan kepala, mengakui apa yang datuk katakan itu. Ketika itu juga anak angkat Mahyuddin dan Dumba sampai. Datuk terus menceritakan apa yang berlaku.

“Biadab, tidak tahu menghormati perasaan orang lain”, tiba-tiba tercetus ungkapan dari mulut anak angkat Mahyuddin.

“Sabar”, pekik datuk lalu menangkap pergelangan tangan anak angkat Mahyuddin yang mahu melepaskan penumbuk ke muka salah seorang daripada lelaki itu.

Badan anak angkat Mahyuddin kelihatan menggeletar menahan perasaan marah.

“Memang, dia orang dagang, tapi,aku anak angkatnya, apa kau orang berdua tidak memikirkan perasaan aku? Apa rasa hati kamu berdua kalau kubur saudara-mara kamu dipermainkan begitu,” anak angkat Mahyuddin terus meluahkan perasaannya.

Saya kira, kalau datuk tidak ada di situ, pasti berlaku pertengkaran.

“Sudahlah, lupakan semuanya itu”, datuk memujuk.

Dan lelaki itu segera meminta maaf pada anak angkat Mahyuddin. Dada saya terasa lapang, bila anak angkat Mahyuddin bersedia memaafkan perbuatan kedua lelaki itu. Kemudian datuk menyuruh kedua lelaki itu pergi ke kebun getah untuk mengutip susu getah.

“Kami takut”, ujar kedua lelaki itu serentak.

“Takut apa?”, soal Dumba.

“Takut harimau”

“Pergilah, tak apa. Kalau kau orang tidak berniat serong .Tetapi kalau berhajat nak menurun nombor ekor di situ, batang tengkuk kau orang akan dipatahkan oleh harimau itu”, kata datuk.

Ternyata, kedua lelaki itu enggan beredar. Mereka tidak yakin dengan apa yang datuk katakan itu.

“Apa tunggu lagi, pergilah buat kerja”, Dumba bersuara.

Kedua lelaki itu berpandangan sama sendiri, sesekali menoleh ke arah kebun getah, macam mengawasi sesuatu.

“Aku nak balik aje”, tiba-tiba yang berbadan kurus bersuara.

Biji matanya tertumpu ke wajah datuk. Kemudian, dia terus melangkah dengan diikuti oleh kawannya. Datuk segera memintas di hadapan mereka hingga langkah mereka mati.

“Ingat, jangan cuba menurun di kubur atau di pangkal pokok kerana mahu menikam nombor ekor. Itu perbuatan orang syirik. Carilah rezeki cara yang halal, nanti hidup di berkati Allah”, ujar datuk dengan nada suara yang rendah.

Kedua lelaki itu anggukkan kepala. Datuk langkah setapak ke depan sambil mendepangkan kedua belah tangannya.

“Ingat”, jerit datuk serentak dengan itu kedua belah tangannya singgah ke atas bahu lelaki itu

Saya menarik nafas panjang, bila saya lihat datuk menekan bahu kedua lelaki tersebut. Tekanan yang datuk lakukan itu, saya kira cukup kuat, kalau tidak masakan wajah kedua lelaki itu macam menahan kesakitan. Datuk jatuhkan kedua belah tangannya dari atas bahu kedua lelaki itu. Datuk terus membongkok lalu mengambil sekepal tanah.

“Kamu tahu, asal kita semua dari tanah, ambil tanah ini”, ujar datuk lalu menyerahkan kepalan tanah di tangannya kepada kedua lelaki itu.

Macam kena pukau, kedua lelaki itu menahan tangan, menerima tanah yang diberikan oleh datuk.

“Bawa”, sahut kedua lelaki itu serentak.

Mereka renung muka saya sejenak, kemudian mengalihkan biji mata merenung wajah Dumba dan anak angkat Mahyuddin. Tanpa mengucapkan sesuatu, mereka melangkah menuju ke kebun getah meneruskan kerja masing-masing.

“Apa azimat yang diberi pada mereka?”, soal Dumba pada datuk.

“Azimat?”

“Azimat apa yang awak beri pada mereka”, ulang Dumba.

“Dalam hidup ni, tidak ada azimat. Aku cuma memberi sekepal tanah biasa yang tidak membawa apa-apa makna pada mereka. Tetapi, aku yakin mereka merasakan tanah itu sebagai tangkal yang boleh menghalau harimau.”

“Jadi awak menipu mereka?”, sanggah anak angkat Mahyuddin sambil tersenyum sinis.

Datuk menggigit bibirnya sambil mata merenung pada pohon getah yang berbaris di hadapannya.

“Aku tidak menipu, apa yang aku lakukan adalah petua orang tua-tua. Manusia yang sedang takut, kalau kita sergah dengan sekuat hati akan jadi berani. Lebih-lebih lagi selepas disergah, kita berikan sesuatu yang kita kirakan boleh memberi kepercayaan atau semangat pada mereka”, datuk membocorkan rahsianya.

Menurut datuk, ketika menyerahkan benda-benda itu mesti cepat dilakukan. Jangan beri kesempatan pada orang yang menerimanya bertanya sesuatu kepada orang yang memberi. Bila orang itu sudah bertanya, pasti menimbulkan keraguan dalam dirinya. Bila sudah ada keraguan dalam dirinya, semangatnya tidak akan padu lagi dan boleh menimbulkan rasa waswas. Terkejut anak angkat Mahyuddin dan Dumba mendengar penjelasan itu.

“Sebab itulah, orang-orang Melayu dulu, kalau memilih panglima perang, terdiri dari orang yang suara garang. Berbadan tegap dan pintar, kerana orang-orang seperti itu boleh memberi semangat pada anak buahnya. Dari itu lah timbulnya tangkal dan azimat di kalangan orang-orang kita yang kononnya boleh membuat seseorang itu kebal”, sambung datuk lagi.

Saya tersenyum. Dumba saya lihat gelengkan kepala.

“Tetapi, semuanya itu ada sesuatu yang sengaja awak tak beritahu pada kami”, anak angkat Mahyuddin mula mencungkil rahsia diri datuk.

“Tak ada apa-apa. Mana ada azimat dalam Islam. Para sahabat nabi berjuang menentang musuh tidak pakai azimat tetapi mereka berbekalkan semangat dan keyakinan. Mereka berjuang penuh semangat untuk menegakkan Islam. Mereka yakin, mereka tidak akan mati kalau tidak diizinkan Allah yang Maha Besar”, kata- kata yang datuk ucapkan itu membuat anak angkat Mahyuddin dan Dumba tidak mengajukan sebarang pertanyaan lagi

“Mari”, datuk menarik tangan saya.

“Ke mana tuk’?”

“Hai, baliklah, ke mana lagi?”

Saya pun melangkah menuju ke jalan raya. Dumba dan Mahyuddin terus mengiringi kami. Lebih kurang sepuluh minit berjalan, kami pun sampai ke bibir jalan raya. Berdiri di situ menunggu bas yang mahu pergi ke Tanjung Malim. Matahari terus bersinar. Bas yang dinanti belum juga tiba. Saya sudah tidak sanggup berdiri dan terus duduk di atas seketul batu.

“Bas”, kata Dumba.

Saya segera melompat untuk menaiki bas. Bas pun berhenti, dan saya melangkah ke dalam perut bas. Datuk masih lagi berdiri di tepi jalan. Perbuatannya itu kurang disenangi oleh penjual tiket bas yang berbangsa Cina. Penjual tiket terus memukul alat penekan lubang tiket ke besi bas, memberitahu datuk supaya segera naik.

“Hai orang tua cepatlah. Ini bas bukan sendiri punya”, sergah penjual tiket bas.

Pemandu bas yang berbadan tegap membunyikan hon bas. “Hei cepatlah”, pekik pemandu bas yang berbangsa India itu, sambil memaki-maki datuk. Saya mula terasa takut dan terus duduk di bangku. Tidak ada penumpang di dalam bas.

“Sekejap Encik”, kata datuk

“Apa lu ingat ini bas lu punya ke?”, sergah pemandu bas dengan wajah yang garang.

Datuk tersenyum padanya sambil mengangkat tangan tanda minta maaf. Rupanya, sikap baik yang datuk ditunjukkan itu menambahkan rasa marah pada penjual tiket bas.

“Eh, bodoh naiklah”, sergah penjual tiket.

“Encik, saya tahu saya salah, tapi cakaplah baik-baik sikit”, balas datuk.

“Apa lu ingat lu besar”, jawab penjual tiket.

“Saya tak besar, tapi Tuhan lagi besar dari semua tau”, suara datuk mula meninggi.

Dinding bas terus ditamparnya, serentak dengan itu enjin bas terus mati. Saya turun dari bas. Berdiri dekat datuk yang buat tidak tahu dengan apa yang berlaku. Muka pemandu bas dan penjual tiket mula dibasahi peluh dalam sinar panas mula terik.

“Satu perkara yang mahu aku ingatkan pada kamu berdua, jangan cemas bila melihat harimau berkeliaran di halaman rumah arwah Mahyuddin selama tiga petang berturut-turut. Lepas tiga hari harimau itu akan hilang. Tolong perhatikan kubur Mahyuddin jangan sampai dikeramatkan oleh orang- orang tertentu”, datuk meninggalkan pesan pada Dumba dan anak angkat Mahyuddin.

Mereka bersalaman dan berpeluk-¬ pelukan. Datuk pijak tangga bas, begitu juga dengan saya. Kami duduk di bangku belakang pemandu bas.

“Apa pasal tak jalan?”, tanya datuk pada pemandu bas yang sedang terbongkok- bongkok dengan stereng bas.

Pemandu bas segera merenung muka datuk dengan wajah yang masam. Dia menggigit bibir.

“Saya panas, jalanlah apa tunggu lagi”, datuk merungut dan rungutan itu didengar oleh penjual tiket yang berdiri dekat datuk.

Dia pun menghempaskan papan tiket atas bangku, dan memperlihatkan rasa marahnya yang amat sangat pada datuk. Kalau datuk menegur atau bersuara, pasti dia bersedia melakukan sesuatu. Datuk bangun dan menepuk bahu penjual tiket.

“Saya tolong awak hidupkan enjin bas”, ujar datuk.

Penjual tiket dan pemandu bas menjuihkan bibir ke depan sambil merenung sinis pada datuk.

“Sudahlah, lu apa tahu”, ejek pemandu bas.

“Dengan izin Allah, saya boleh menolong awak”, balas datuk lalu memukul kepala gear bas yang tertonjol di situ.

Sebaik sahaja datuk melakukannya, enjin bas segera hidup. Pemandu bas terkejut dan terus mematikan suis bas, kemudian menghidupkan kembali. Ternyata enjin bas berjalan dengan baik. Tanpa mengucapkan sesuatu, pemandu bas duduk kembali di tempatnya lalu menekan minyak dan menolak gear satu, bas pun meluncur dengan tenang. Saya dan datuk melambaikan tangan pada anak angkat Mahyuddin dan Dumba. Saya terasa ada sesuatu yang aneh berlaku dalam bas. Penjual tiket tidak meminta wang pada datuk walaupun bas itu sudah berjalan hampir tiga batu. Sampai di satu selekoh bas berhenti kerana mengambil orang. Ketika orang itu naik, datuk segera bangun.

“Saya turun di sini, cucu saya saja yang naik bas sampai ke Tanjung Malim. Ini tambangnya”, datuk menghulurkan wang pada penjual tiket.

Dalam keadaan serba salah penjual tiket mengambil wang dari tangan datuk, tetapi, wang itu diserahkan pada saya kembali tanpa pengetahuan datuk. Bas terus berjalan, datuk melambaikan tangan pada saya.

“Apa pasal tak ambil tambang?”, tanya saya pada penjual tiket.

“Tak apa, lu duduk. Kalau ada inspektor tiket datang, saya boleh cakap.”

“Nanti datuk saya marah sama saya.”

“Dia mana tahu, dia sudah turun.”

“Betul, awak cakap”, balas saya.

Penjual tiket itu terus ketawa. Bas berhenti lagi mengambil penumpang. Saya perhatikan hampir separuh bangku dalam bas sudah dipenuhi dengan penumpang. Dan bas kian kerap berhenti lagi mengambil penumpang. Tekak saya mula terasa loya kerana tidak tahan dengan bau minyak diesel. Bagi menghilangkan rasa loya itu saya tekan perut dengan tangan. Akhirnya, saya terlelap. Bila saya terjaga, bas sudah berhenti di perhentian Tanjung Malim. Dua tiga kali saya gosok mata. Saya biarkan penumpang-¬ penumpang lain turun dulu. Biarlah saya turun kemudian. Pemandu dan penjual tiket masih berdiri di tempat masing-masing. Semua penumpang sudah turun. Dada saya mula berdebar. Saya renung wajah penjual tiket.

“Turunlah apa tunggu lagi?”, katanya pada saya.

“Tunggu di luarlah. Saya ingat dia tumpang lori, awak tunggu di sana”, ujar penjual tiket sambiI menuding jari telunjuk ke sebuah gerai menjual buah-buahan.

Saya terdiam, fikiran saya jadi kelam-kabut. Saya salahkan diri saya sendiri, sepatutnya saya bertanya datuk, ketika dia turun dari bas tadi. Aneh, semuanya tidak terfikir oleh saya ketika itu. Lagi sekali saya menarik nafas panjang. Kali ini pandangan saya tertumpu ke wajah pemandu bas.

“Lu punya datuk bodoh punya orang. Sudah naik bas apa pasal mahu turun?”, pemandu bas menyatakan rasa kesalnya.

Tiba-tiba wajah pemandu bas jadi pucat, mulutnya terlopong. Matanya tajam merenung ke bahagian belakang bas. Saya segera menoleh, saya juga terkejut besar. Dua tiga kali saya gosokkan mata bagi memastikan apakah yang saya lihat itu satu kenyataan atau khayalan saya saja.

“Tuk”, kata saya.

“Ya, ini memang datuk kau Tamar, kau tidak berkhayal kau menghadapi kenyataan”, suara datuk parau.

Saya segera menerkam ke arahnya lantas menjabat tangannya. Datuk terus menghampiri pemandu dan penjual tiket.

“Eh, orang tua lu manusia ke hantu?”, tanya penjual tiket penuh rasa curiga.

Datuk tersenyum lalu menepuk bahu penjual tiket. “Saya manusia serupa macam awak”, kata datuk.

“Tadi, awak turun macam mana awak boleh duduk di belakang?”

“Betul, saya turun. Saya jalan kaki ke sini. Masa bas berhenti di sini, saya naik tapi awak tak nampak”, datuk memberi penjelasan pada pemandu bas yang menyoal.

Saya gosok batang hidung dua tiga kali. Saya tidak tahu kenapa datuk melakukan semuanya itu.

“Saya buat macam ni, supaya lain kali awak jangan cakap besar dan sombong. Saya mahu awak belajar menghormati orang tua-tua, tidak kira apa bangsa pun, kerana awak juga satu hari akan menjadi tua”, datuk memulangkan paku buah keras pada pemandu dan penjual tiket.

Saya lihat pemandu dan penjual tiket terdiam. Mereka tarik nafas panjang penuh rasa takjub. Saya dan datuk turun dari bas. Tiba-tiba pemandu dan penjual tiket meluru ke arah datuk. Kedua belah tangan datuk mereka sambar untuk dicium, kemudian mereka terus membongkok macam mahu menyembah datuk.

“Jangan”, kata datuk sambil menarik tangan kiri dan kanannya.

Kemudian datuk menyuruh mereka menegakkan badan. Mereka patuh dengan cakap datuk.

“Dalam ajaran Islam, tidak boleh menyembah sesama manusia kerana manusia itu adalah sama di sisi Allah, baik dia hitam atau pun putih”, datuk terus menepuk-nepuk bahu kedua lelaki itu.

“Tapi, awak lain macam punya orang?”

“Lain macam mana?”

“Awak boleh mati dan hidupkan enjin kereta, kemudian awak boleh berjalan laju macam bas.”

“Semuanya itu cara kebetulan saja”, kata datuk tersekat-¬ sekat.

Orang ramai mula menghurung datuk. Pemandu bas itu terus juga mengajukan berbagai-bagai pertanyaan. Semua pertanyaan itu mempunyai unsur-unsur memuja dan mengagumi diri datuk. Satu perbuatan yang tidak disenangi oleh datuk.

“Mari”, datuk terus menarik tangan saya.

Kami menyusup di celah-celah orang ramai yang mengelilingi pemandu dan penjual tiket.

“Tengok, tadi orang tua tu ada di sini sekarang dia sudah hilang. Dia banyak ganjil punya orang, saya ingat dia hantu”, suara pemandu bas meninggi.

Orang ramai yang berada di perhentian bas jadi kelam-¬ kabut lalu menuju ke tempat pemandu dan penjual tiket. Tidak lama kemudian suara pemandu bas itu kian menurun dan hilang, digantikan oleh suara ketawa dari orang ramai. Datuk dan saya hanya melihat peristiwa yang melucukan dari jarak dekat, kira-kira lima atau sepuluh kaki saja jaraknya dari orang ramai yang mengelilingi pemandu bas. Anehnya, setiap orang yang lalu di hadapan kami bagaikan tidak nampak dengan batang tubuh saya dan datuk. Seolah-olah kami tidak wujud di situ. Mereka berulang-alik dan kami terpaksa mengelakkan diri dari dilanggar.

“Sebenarnya, aku mahu bercerita panjang pada mereka. Aku mahu menjelaskan kedudukan yang sebenar, bila mereka buat bising aku terpaksa melarikan diri”, keluh datuk penuh rasa kesal.

“Bagaimana bila orang sudah tidak ada, kita jumpa mereka tuk?”

“Tak payahlah, lain kali saja kalau ada umur aku jumpa mereka.”

“Tapi, mereka jadi serba salah tuk, orang menuduh mereka gila.”

Datuk memicit pangkal dagunya. Orang ramai yang menghurung pemandu dan penjual tiket mula berkurangan. Dan setiap orang yang meninggalkan kawasan itu menuduh mereka mabuk todi. Akhirnya pemandu dan penjual tiket mula sedar yang perbuatan mereka, adalah perbualan sia-sia. Mereka masuk ke dalam perut bas kembali, kerana bangku- bangku kosong dalam bas sudah dipenuhi dengan para penumpang.

“Syukurlah, keadaan sudah tenang”, kata datuk.

Tanpa banyak soal saya terus mengekori datuk menuju ke jalan besar. Ketika kami berjalan di kaki lima bangunan di situ, sebuah kereta Morris Minor berwarna hitam berhenti. Seorang lelaki keluar dari kereta tersebut dan meluru ke arah datuk.

“Kenal saya?”, kala lelaki itu.

“Rasanya, saya kenal.”

“Bukan rasa, memang dah kenal. Bukankah awak yang menolong anak saya dulu.”

“Oh, bagaimana dengan anak awak?”

“Sudah jadi manusia. Awak nak ke mana ni?”

“Saya sebenarnya nak ke Ipoh.”

“Begini”, lelaki itu tidak meneruskan perkataannya.

Ada semacam keraguan bermain dalam kepalanya. Dia nampak keberatan untuk menyatakan sesuatu pada datuk.

“Terangkan pada saya”, datuk mendesak.

Lelaki itu mempamerkan senyum. Dengan nada suara yang lemah dia berkala: “Saya tak dapat nak menolong awak. Saya tak dapat nak menghantar awak hingga ke Ipoh.”

“Itu yang awak susahkan, saya tak minta awak berbuat begitu.”

“Saya tahu, awak sudah menolong saya. Alangkah baiknya dalam saat begini saya boleh menolong awak.”

“Jangan begitu. Setiap pertolongan yang saya berikan tidak minta dibalas”, suara datuk cukup tenang.

Lelaki itu tunduk merenung simen kaki lima.

“Saya mahu ke Sungkai. Bagaimana kalau awak berdua menumpang saya sampai ke Sungkai?”

“Boleh juga”, balas datuk.

Tanpa membuang masa, saya dan datuk masuk ke perut kereta. Sepanjang perjalanan itu, lelaki tersebut tidak putus-putus melahirkan rasa kesalnya kerana tidak dapat menghantar datuk hingga ke Ipoh.

“Kalau saya tak ada hal mustahak di Sungkai, saya hantar awak hingga ke Ipoh. Jasa awak menolong anak saya dulu, belum dapat saya balas”, lelaki itu terus mengeluh sambil memaut stereng kereta erat-erat.

Saya yang duduk di bahagian belakang kereta, terus melihat pokok-pokok dan bukit- bukau yang tertegun di kiri kanan jalan. Satu pemandangan yang amat mengasyikkan buat saya. Seronok benar saya melihat daun-daun pokok yang menghijau itu.

“Awak tak usah sebut-sebut lagi perkahwinan itu. Bersyukurlah pada Allah kerana anak awak sudah baik. Awak tak perlu memikirkan untuk membalas jasa saya”, cara mendadak datuk bersuara.

 

Leave a comment

Filed under Cerita

Bercakap dengan jin ~ 52 ~ Sebilah keris aneh

Baru dua langkah datuk mengatur tapak, saya terpandangkan cahaya api yang kuat. Cahaya itu kelihatan bergerak menuju ke masjid. Perasaan saya jadi cemas.

“Ada orang bawa suluh datang ke sini tuk”, kata saya memberitahu datuk.

Dan datuk segera membatalkan niatnya menuju ke arah benda jatuh. Dia patah balik dan berdiri dekat saya di ambang pintu masjid. Tiada rasa cemas dan bimbang terpamer diwajahnya.

“Tamar”

“Ya tuk”

“Yang kau tengok tu bukannya suluh.”

“Kalau bukan suluh,apa dia tuk?”

“Itu disebut andang yang dibuat dari daun kelapa.”

“Hum, saya tak tahu tuk.”

“Kalau tak tahu belajar, orang Melayu kaya dengan bahasa,setiap benda ada nama dan gelarannya.”

“Huh..”, satu keluhan terpancut dari mulut saya.

Dalam saat-saat cemas begitu, datuk masih mahu memperkenalkan saya dengan benda-benda yang baru. Saya mula terasa yang diri saya ini, terlalu miskin dengan perbendaharaan kata- kata bahasa sendiri. Mata saya masih lagi terpaku pada andang daun kelapa. Bunga- bunga api yang dicipta oleh andang tersebut kelihatan berterbangan di udara, sebelum jatuh ke bumi. Satu pemandangan yang amat menarik dan cantik bagi saya. Cahaya api itu, kian lama kian hampir ke masjid.

“Sahabat, saya datang”, dada saya terasa lapang.

Saya kenal dengan suara itu. Datuk renung muka saya. Api andang daun kelapa pun padam. Dengan tenang Mahyuddin melangkah menghampiri saya dan datuk. Wajahnya nampak tenang.

“Kenapa lambat ?!”

“Mencari benda yang mahu saya serahkan pada awak. Benda itu hilang dari tempat simpanannya”, suara Mahyuddin penuh kesal.

Datuk terus menepuk-nepuk bahu Mahyuddin beberapa kali. Mahyuddin seluk baju cekak musang yang dipakainya. Dia mengeluarkan sekotak mancis cap kuda terbang. Mahyuddin terus membakar sumbu pelita minyak tanah yang dibawanya. Sebahagian daripada ruang masjid terang benderang dilingkari oleh cahaya lampu minyak tanah. Saya merenung ke luar, tidak ada satu benda pun yang dapat saya lihat, suasananya gelap. Datuk dan Mahyuddin sandarkan badan ke dinding masjid. Masing-masing merenung api di sumbu pelita minyak tanah yang terlentuk lentuk ditiup angin lembut.

“Tadi ada benda jatuh dalam masjid, baru mula nak cari, awak dah datang”, ujar datuk seraya menggosok-gosok pangkal hidungnya.

“Apa bendanya sahabat?”

“Entah, saya pun tak tahu, pinjam pelita sekejap biar saya cari apa bendanya.”

“Itu memang elok, kalau yang jatuh tu benda tak bernyawa tak apalah, tetapi kalau benda bernyawa seperti ular atau lain-lain, bahaya kita dibuatnya.”

“Betul cakap awak”, balas datuk.

Saya renung kiri kanan, memang seram bila Mahyuddin menyebut perkataan ‘ular’ bulu tengkuk saya berdiri dengan sendiri. Saya dapat membayangkan kalau benar ular jatuh tengah masjid, pasti bukan ular sembarangan, mungkin ular jadi-jadian. Saya terus melompat dan duduk di sisi Mahyuddin.

“Kau takut?” tanyanya pada saya.

“Tidak”, balas saya sambil menegakkan dada.

Tunjuk berani tetapi, hati tetap berdebar. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Kepala lutut saya yang bertemu dengan kepala lutut Mahyuddin menggeletar, membuat Mahyuddin tersenyum sinis pada saya. Dengan cahaya pelita minyak tanah di tangan, datuk terus berarak menuju ke arah sebelah kanan masjid. Datuk yakin di situlah benda ganjil itu jatuh. Saya dan Mahyuddin hanya melihat segala gerak- geri datuk.

“Keris ! ”, jerit datuk.

Saya dan Mahyuddin segera menghampirinya. Sebilah keris terdampar atas lantai masjid. Hulunya diperbuat dari tanduk dalam bentuk muncung dan paruh burung helang. Sarungnya diperbuat dari kayu jenis keras. Bila terkena cahaya pelita, sarung dan hulu keris kelihatan bersinar•sinar. Datuk tidak berani menjamah keris tersebut, kerana hulu keris mengeluarkan asap nipis yang memanjang ke atas, bentuk asap itu kelihatan berliku-liku. Bila asap itu hilang, keris tersebut kelihatan bergerak sendiri dalam sarungnya, macam mahu keluar. Dengan tenang Mahyuddin menjamah keris tersebut. Kemudian membalutkan badan keris itu dengan kain kuning yang dikeluarkan dari saku seluarnya. Keris itu diletakkan kembali atas lantai dan Mahyuddin terus duduk bersila di depan keris. Dia kelihatan macam orang bertafakur.

“Inilah yang mahu saya berikan pada sahabat, belum pun sempat saya bertindak dia dah terbang mencari sahabat”, ujar Mahyuddin sambil merenung wajah datuk.

Beberapa saat kemudian, saya lihat Mahyuddin menatang keris itu untuk diserahkan pada datuk. Tetapi, datuk enggan menerimanya. Mahyuddin terpaksa meletakkan kembali atas. Rupanya tindak tanduk datuk itu difahami oleh Mahyuddin. Datuk mahu dia bercerita serba sedikit tentang keris ganjil itu. Menurut Mahyuddin, keris itu dibuat dengan tangan oleh guru silatnya. Mata keris itu dipadukan dengan lima jenis besi yang diambil dari lima buah gua di gugusan kepulauan Melayu iaitu dari tanah Bugis, Melaka, Bukit Seguntang, Pulau Mindanao (Filipina) dan Patani (Selatan Siam). Ketika dia bertapa dalam hutan, mata keris itu telah dijilat oleh harimau tiga malam berturut-turut.

Kata Mahyuddin lagi, keris itu telah membunuh tiga orang Belanda, tiga orang Inggeris dan lima korbannya terdiri dari orang-orang asing yang mahu menjajah alam Melayu. Saya menarik nafas panjang mendengar ceritanya. Saya kira, ceritanya itu tidak dapat diterima oleh akal. Datuk tidak melahirkan sebarang pendapat berhubung dengan cerita Mahyuddin itu. Datuk hanya menggigit kuku di ibu jari.

“Sekarang sahabat sudah tahu, sayalah harimau dan sayalah orang yang menyimpan keris air liur harimau yang bisa. Ingat, keris ini ada pantangnya. Jangan dibuat sembarangan, pantangnya tidak boleh ditikam ke badan manusia yang sebangsa dan seagama, kalau dilanggar pantang orang yang menyimpannya akan mati muntah darah”, kata Mahyuddin lagi.

Saya garu dahi dan datuk terus membisu seribu bahasa.

“Sahabat, umur saya dah lebih lapan puluh tahun, dengan kemahuan Allah saya sudah menemui seorang sahabat, sekarang sudah sampailah masanya saya menghebahkan rahsia diri saya pada orang- orang kampung. Sahabat dan cucu sahabat menjadi saksi dalam hal ini”, tekanan suara Mahyuddin cukup lantang.

Mukanya kelihatan berseri- seri. Dia terus meletakkan keris yang berbalut kain kuning atas riba datuk. Cepat- cepat datuk meletakkan keris itu ke tempat asalnya. Datuk tidak mahu menerima pemberian tersebut. Datuk segera bangun. Tangan kanannya ditekankan ke dinding masjid. Pelita minyak tanah terus mengerdip. Suara katak dan cengkerik tidak putus-putus berbunyi.

“Apa erti semuanya ini Mahyuddin?”, soal datuk.

“Orang yang merantau akan kembali, setiap kehebatan dan kekuatan ilmu dunia yang dituntut akan terpisah juga dengan manusia, hanya ilmu akhirat saja yang dibawa, begitu juga dengan saya”, cukup jelas dan teratur Mahyuddin berkata-kata.

Tetapi, saya jadi kelam-kabut, sukar sekali memahami atau mencari pati dari kata- katanya itu, berbelit-belit macam ada unsur falsafah.

“Sahabat ku.. ”

“Saya faham, tunggu sampai sembahyang subuh”, ujar datuk bila Mahyuddin mahu menyambung kata-katanya.

Mahyuddin patuh dengan permintaan datuk. Mahyuddin bangun, berjalan ke muka pintu surau. Datuk mengekor di belakangnya. Mereka berdiri di situ merenung ke kaki langit, sebutir bintang timur kelihatan mengerdip dengan indah. Awan cukup bersih.

“Mahyuddin.”

“Ya sahabat.”

“Awak berkawan dengan jin?”

“Ahhh…” Mahyuddin tidak menghabiskan kata-katanya.

Datuk terus memicit bahu kanan Mahyuddin yang kelihatan resah tidak menentu. Saya mula rapat ke arah datuk dan Mahyuddin, berdiri di belakang mereka. Pelita minyak tanah terus menyala. Badan saya mula terasa sejuk. Dua tiga kali saya mengeliat dan menguap panjang.

“Mahyuddin maafkan aku, kalau kau tersinggung. Aku bukan apa-apa Mahyuddin, kita sebagai manusia harus hati-hati, jangan sampai berkawan dengan jin kafir. Kata orang ketika kita mahu mati nanti kita disesatkannya”, ujar datuk.

Mahyuddin terus membisu. Mata Mahyuddin masih tertumpu ke kaki langit.

“Sebaik-baiknya biar kita kenai dengan jin yang seagama dengan kita, sekadar berkenal saja, kerana mereka makhluk Allah, jangan sekali- kali kita memperhambakan diri kita pada mereka atau kita hambakan mereka”, sambung datuk lagi.

“Sudahlah sahabat, usahlah mengajar”, dari nada suara yang dikeluarkan Mahyuddin itu ternyata dia kurang senang dengan sikap datuk.

Datuk terus diam. Rupanya sikap datuk itu menguntungkan. Mahyuddin kelihatan tenang. Dia berjalan ke arah kerantung (beduk) yang tergantung di luar masjid. Kerantung itu dipalunya berkali-kali menandakan Subuh sudah hampir. Mahyuddin dan datuk terus mengambil air sembahyang.

“Pukul lagi kerantung tu, waktu Subuh sudah masuk”, Mahyuddin mengeluarkan perintah pada saya, ketika dia melintas di depan saya.

Tanpa membuang masa, saya terus memukul kerantung bertalu-talu. Memukul kerantung memang menjadi kegemaran saya, tidak saya nafikan, serba sedikit saya telah belajar dari datuk meningkah kerantung dengan baiknya, tingkah (pukulan) yang saya buat itu semacam ada satu irama yang boleh membuat orang tersentak dari tidur. Kata datuk, memukul kerantung Subuh mesti pandai, tidak sembarangan, mesti menarik minat orang dan boleh membuat orang bangun dari tidur, walaupun bukan bangun untuk bersembahyang. Peluang itu saya gunakan sekarang.

“Sudah”, jerkah datuk sekuat hati, kayu pemukul terlepas dari tangan saya.

“Bila orang suruh pukul, buatlah setakat yang patut, ini sampai berjam- jam”, sambung datuk lagi.

Saya tersengih, macam kerang busuk. Apa mahu dikatakan lagi, memang salah diri sendiri, tanggunglah akibatnya. Azan Subuh dilaungkan oleh Mahyuddin, suaranya memang merdu. Kalau dengar pada suaranya, memang orang tidak duga yang Mahyuddin sudah berusia hampir lapan puluhan, suaranya lantang macam orang muda berusia dua puluhan. Setelah selesai menunaikan sembahyang Subuh, Mahyuddin berlari ke pintu. Dia minta orang yang bersama dalam masjid supaya jangan meninggalkan masjid. Dari muka pintu, Mahyuddin membuka rahsia dirinya. Dia menceritakan namanya yang sebenar serta asal usulnya. Orang ramai agak terkejut dengan peristiwa itu.
“Saya rasa tugas saya sudah hampir selesai. Halalkan makan minum saya, terima kasih atas budi baik orang di sini. Pada sesiapa yang terlalu hormat dan kagum dengan diri saya, buangkan semuanya itu. Saya adalah manusia biasa”, cukup bersemangat Mahyuddin bercakap, kemudian dia berjabat tangan dan berpeluk-pelukan dengan setiap orang yang lalu dekat pintu.

Dia menangis dan memeluk badan Dumba. Bila semuanya selesai, Mahyuddin tergesa-gesa meninggalkan masjid tanpa mengucapkan sesuatu pada saya dan datuk. Ketika itu hari sudah hampir cerah.

Matahari mula bangun di kaki langit, menebarkan sinarnya ke seluruh pelosok kampung.

“Ganjil perangainya, dengan orang berpeluk bersalam dengan kita dia buat tak tahu”, datuk melahirkan rasa kurang senang.

Saya tersenyum sambil merenung ke arahnya.

“Agaknya dia lupakan kita tuk.”

“Boleh jadi juga, maklumlah manusia ini tidak lepas dari sifat lalai dan lemah”, datuk tersenyum.

Rambut genjur saya dijamahnya berkali-kali. Penuh manja. Setelah selesai mandi embun dan membuat serba sedikit senaman. Datuk dan saya menuju ke kedai kopi. Saya makan sebungkus nasi lemak dan minum secawan kopi. Datuk pula minum air panas yang di campur dengan sedikit garam. Sebagai mengalas perut, datuk cuma makan dua biji kuih koci.

“Minum air panas dengan garam untuk cuci perut dan melancarkan perjalanan darah, boleh menghilangkan sakit tekak. Garam mesti dikacau hingga hancur dan airnya bila sudah dingin baru diminum”, begitu datuk memberitahu saya.

“Biasanya datuk tidak minum dengan air panas”, kata saya.

“Itu masa di rumah, kau sendiri tahu di rumah tuk minum air yang sudah di dingin sepanjang malam dan diisi dengan labu, di kedai mana kita nak dapat air macam tu.”

“Saya, faham sekarang.”

“Apa yang tuk buat ni boleh diamalkan tetapi khasiatnya kurang sedikit dari air yang kita dinginkan sepanjang malam.”

Datuk membayar semua harga minuman dan makanan. Kami pulang ke masjid untuk mengambil barang datuk yang tertinggal iaitu, sehelai kain hitam tiga segi. Pada mulanya, datuk memutuskan selepas sarapan pagi, mahu terus pulang ke kampung.

“Kau tunggu di sini, biar aku saja yang masuk”, saya tidak membantah arahan itu.

Badan datuk hilang ditelan pintu masjid. Beberapa minit kemudian dia muncul. Kali ini saya lihat wajahnya lain macam, dahinya berkerut. Di tangan kanannya terdapat bungkusan yang dibalut dengan kain kuning. Saya tahu apa yang ada dalam tangan datuk, kerana itu saya tidak menegurnya. Matahari kian bersinar. Saya kira sudah pukul lapan pagi. Kulit muka saya terasa pedih kena panahan matahari. Dua tiga kali saya meraba kulit muka, tanpa saya sedari datuk sudah berdiri di sisi saya. Dua tiga kali datuk dongakkan kepala melihat matahari, kelopak matanya pejam celik menahan panahan matahari.

“Mari kita pulangkan hak Mahyuddin ni.”

“Tapi, dia dah beri pada datuk.”

“Aku tidak kata apa-apa, sama ada mahu menerima atau menolaknya.”
“Betul juga cakap tuk tu.”
Secara tidak sengaja saya terpandangkan lengan kanan datuk yang memegang benda berbalut kain kuning. Urat- urat lengan datuk kelihatan timbul. Benda yang dipegangnya seakan-akan bergerak sendiri dalam genggaman datuk. Kulit muka datuk kelihatan tegang macam menahan sesuatu. Saya terpegun dengan kejadian itu.

“Tamar, jangan tengok benda dalam tangan aku”, pekik datuk.

Serentak dengan itu telapak tangan kirinya jatuh atas kepala saya. Kepala saya dipulasnya, hingga pandangan saya beralih ke arah lain. Batang tengkuk saya terasa sakit sekali.

“Jangan”, tambah datuk lagi.

Badan saya ditolaknya ke depan.

“Nak ke mana lagi tuk?”

“Ikut aku ke rumah Mahyuddin”, biji mata datuk kelihatan bersinar garang.

Gerak-gerinya jadi serba tangkas. Begitulah, di bawah sinar matahari saya dan datuk melangkah di jalan kecil yang muat untuk dua basikal berselisih. Sebelah kanan jalan ditumbuhi lalang dan sebelah kirinya dikuasai oleh pokok serunai laut. Langkah datuk terlalu cepat dan saya terpaksa berlari anak supaya tidak jauh ketinggalan di belakangnya. Ketika bintik- bintik peluh menguasai dahi, saya dan datuk sudah pun berada di halaman rumah Mahyuddin. Pintu rumah tertutup rapat. Tiga kali datuk memberi salam, semuanya tidak berjawab. Datuk renung tanah di halaman rumah.

“Tapak harimau”, kata datuk.

“Tapak harimau?”, tanya saya cemas, badan mula terasa lain macam.

“Ya”, datuk terus membongkok meneliti kesan tapak kaki harimau.

Datuk luruskan badannya kembali, dan merenung ke arah belukar kecil di belakang rumah Mahyuddin. Datuk mengikut kesan tapak kaki harimau yang menuju ke belukar tersebut Ternyata kesan tapak kaki harimau itu tidak sampai ke tepi belukar. Hilang di antara tiang depan dengan tiang bahagian lapur rumah. Datuk termenung panjang, kemudian mendekati saya yang berdiri tidak jauh dari tangga. Datuk renung muka saya tepat-tepat dan bergerak dari kiri ke kanan di depan saya. Datuk berhenti melangkah. Bibir bawahnya ditekan dengan ibu jari seketika.

“Ganjil”, kata datuk.

“Apa yang ganjil tuk?”

“Tapak harimau hilang dalam kawasan rumah”, suara datuk rendah.

Keris yang berbalut kain kuning masih dalam genggamannya. Kerana saya ditegah melihatnya, saya tidak melihat malah hampir lupa dengan keris tersebut yang berada pada datuk.

“Ikut aku Tamar.”

“Baik tuk.”
“Jangan tegur, jangan tanya apa yang aku buat”

“Baik tuk.”

Sinar matahari bertambah terik, sesekali kedengaran suara ungka bersahut-sahutan di kaki bukit. Burung murai terus berkicau di hujung dahan menyambut sinar matahari yang memancar terang. Datuk pijak anak tangga pertama hingga ke anak tangga bongsu. Saya juga berbuat begitu. Datuk tolak daun pintu yang tidak berkunci.

Pandangan pertama yang saya lihat sesudah pintu terbuka amat mengejutkan. Mahyuddin terbaring kaku di ruang tengah rumah. Mukanya nampak lebam. Baju cekak musang di bahagian dadanya terbelah dua. Kulit badannya terkoyak macam dicakar sesuatu, kedua belah kakinya terlipat. Terdapat garisan yang memanjang di kedua belah betisnya. Datuk jamah pergelangan tangan Mahyuddin, memeriksa pergerakan nadinya. Datuk menarik nafas panjang sambil meluruskan kedua belah kaki Mahyuddin. Bahagian dada Mahyuddin datuk tutup dengan kain pelekat berkotak besar, berwarna merah dan hijau. Kain pelekat itu datuk ambil dari longgokkan kain Mahyuddin yang terletak dekat dinding rumah.

“Dia sudah mati.”

“Keadaannya ganjil sekali tuk.”

“Setiap orang yang dapat meresapkan perasaannya menjadi harimau akan mati dalam keadaan begini. Selalunya, bila orang menuntut ilmu ini membuka rahsia diri sendiri, dia tidak akan lama hidup.”

“Dia boleh menentukan tarikh matinya tuk?”

“Tidak, dia cuma dapat alamat saja. Kematian dirinya terletak pada kuasa Allah yang Maha Besar. Ada orang yang menuntut ilmu ini membuka rahsia dirinya di depan orang ramai tetapi, masih hidup beberapa tahun lagi.”

“Apa yang terjadi pada dirinya, cara kebetulan saja ya tuk.”

“Ya memang cara kebetulan, selepas dia buat pengumuman dia pun mati, ini tidak bererti dia sudah menentukan tarikh matinya. Ingat, jangan sesatkan diri dengan kejadian begini”, ujar datuk sambil meraba-raba hujung dagunya.

Saya dan datuk berehat sebentar dalam rumah Mahyuddin. Keris yang berbalut kain kuning datuk letakkan dalam peti hitam di bucu rumah. Peti hitam itu datuk tindih dengan seketul batu yang datuk ambil di ruang dapur. Tiba-tiba saya terdengar menggelodak dalam peti hitam macam ada orang mengetuk-ngetuk dari dalam. Bunyinya cukup kuat tetapi, beberapa minit kemudian bunyi itu beransur kurang dan terus hilang. Wajah datuk kelihatan tenang.

“Aneh sungguh mayat Mahyuddin tuk”

“Ya Tamar, sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia melompat macam harimau untuk beberapa minit, kemudian menjadi lemah dan terus mati”

“Dahsyatnya tuk.”

“Begitulah ilmu dunia, tidak ada yang kekal, ada kelebihan dan kekurangan”, nada suara datuk amat perlahan sekali.

Datuk menyuruh saya menemui Dumba untuk menceritakan hal yang berlaku pada diri Mahyuddin. Perintah datuk saya patuhi. Dengan ditemani oleh Dumba saya pergi ke rumah anak angkat Mahyuddin. Tidak sampai setengah jam, berita kematian Mahyuddin heboh seluruh kampung. Salah seorang penduduk kampung terus menuju ke masjid, memukul beduk (kerantung) menandakan ada kematian berlaku di kampung. Menjelang waktu Zohor, mayat Mahyuddin pun dike¬bumikan. Orang yang bekerja keras menyelenggarakan pengebumian Mahyuddin, tidak lain dan tidak bukan ialah Dumba sendiri dengan dibantu oleh anak angkat Mahyuddin.

“Semuanya sudah selesai, biarlah kami balik”, beritahu datuk pada anak angkat Mahyuddin dan Dumba di kaki tangga.

Muka Dumba segera berubah mendengar cakap datuk, begitu juga dengan anak angkat Mahyuddin. Mereka tahu, bukanlah satu perkara yang mudah untuk mendapatkan kenderaan, bila sudah pukul lima petang. Belum sampai ke Slim River hari sudah malam, lagi pun perkhidmatan bas penumpang tamat pada jam enam petang.

“Begini saja, arwah bapa angkat saya ada meninggalkan pesan, sekiranya dia mati, dia minta rumahnya ditunggu selama satu malam. Orang yang dipilihnya ialah tuan sendiri”, anak angkat Mahyuddin membuka rahsia.

Orangnya bertubuh kecil, berambut kerinting dan berdahi sempit.

“Bila dia cakap dengan awak?”

“Sejak dia mengenali diri tuan, katanya tuan tahu serba sedikit tentang kebolehannya.”

Datuk termenung panjang. Saya tahu fikiran datuk ketika itu berbalah sama ada mahu tidur di rumah Mahyuddin atau meneruskan perjalanan. Kalau datuk bertanya pada saya, sama ada mahu bermalam di situ atau pulang, saya akan menyuruh datuk pulang saja. Apakan daya datuk tidak bertanya pada saya.

“Tunaikan pesanan arwah. Kalau dulu awak minta saya berbaik dengannya dan saya penuhi permintaan awak, sekarang saya minta awak tunaikan wasiatnya”, Dumba pula mengeluarkan pendapatnya.

Datuk masih lagi termenung, keningnya kelihatan berkedut. Ruang rumah Mahyuddin direnung pada setiap sudut. Akhirnya, biji mata datuk tertumpu pada peti hitam yang berisikan keris.

“Baiklah, cuma semalam saja”, kata datuk sambil bangun.

Anak angkat Mahyuddin dan Dumba yang sedang duduk bersila di lantai rumah turut bangun sama. Mereka kelihatan riang. Datuk tidak menghampakan permintaan mereka. Malam itu setelah selesai sembahyang Maghrib dan Isyak di masjid, saya dan datuk terus menuju ke rumah arwah Mahyuddin, bila sampai di rumah, anak angkatnya sudah sedia menanti kami. Makan malam sudah tersedia di ruang rumah. Tiga pelita minyak tanah sudah terpasang. Ada satu keganjilan yang dilakukan datuk ketika makan malam. Dia mengepalkan nasi sebanyak tujuh kepal. Diletakkan berderet di pinggir pinggan. Datuk memulakan makan nasi yang sudah dikepalkannya itu dari kiri ke kanan. Dia tidak menjamah lauk pauk yang tersedia di situ.

“Ini petua, kalau si mati bersahabat dengan makhluk jahat kita boleh tahu”, datuk membuka rahsia.

Mulut anak angkat Mahyuddin terlopong. Sayang, datuk cuma membuka rahsia setakat itu saja. Dia tidak menerangkan perkara ini dengan lebih mendalam lagi.

“Macam mana kita nak tahu hal tu tuan?” Tanya anak angkat Mahyuddin.

“Bila kepal nasi yang ganjil bilangannya kita telan, kita akan tersedak, tapi ada pula caranya yang boleh membuat hal itu jadi. Bukan boleh pakai suap saja, nanti lain kali aku beritahu pada kamu”, datuk terus meneguk air.

Lebih kurang pukul sepuluh malam. Anak angkat Mahyuddin membawa pulang pinggan mangkuk yang telah digunakan itu. Saya terus baring dan datuk terus membaca surah Yasiin. Dalam suasana yang tenang itu, peti hitam yang berisikan keris berbunyi. Batu penindih yang diletakkan di atas penutupnya terus bergerak. Makin lama, bunyi itu makin kuat. Saya mula resah. Datuk berhenti membaca surah Yasiin. Dia terus renung ke arah peti hitam yang masih berbunyi itu. Datuk lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali- kali. Mulutnya mula bergerak- gerak macam membaca sesuatu. Tiba-tiba datuk menampar lantai rumah dengan sekuat hati. Bunyi dalam peti hitam terus berhenti. Serentak dengan itu, pintu rumah terbuka. Anak angkat Mahyuddin terpacak di situ. Mukanya pucat lesi, ditoreh tidak berdarah.

“Kenapa?” tanya datuk.

“Saya diikuti harimau besar.”

“Tak apa, kau baliklah, ambil kain pelekat ayah kamu dan belitkan ke badan, nanti harimau itu tak akan mengikut kau lagi”, datuk menyerahkan kain pelekat pada anak angkat Mahyuddin.

Dengan tenang lelaki berambut kerinting yang mempunyai anak satu itu meninggalkan rumah. Usaha datuk tidak sia-sia. Setelah dibekalkan dengan kain pelekat, anak angkat Mahyuddin dapat meneruskan perjalanannya dengan aman. Kalau dia diganggu atau diekori harimau tentu dia datang menemui datuk. Kami tunggu hingga jam dua belas malam. Anak angkat Mahyuddin tidak juga muncul- muncul. Lebih kurang jam dua pagi, saya terpandangkan seorang lelaki berserban kuning duduk atas peti hitam menatang sebilah keris. Wajahnya kelihatan bersih.

Hal itu segera saya beritahu pada datuk yang masih membaca surah Yasiin. Lelaki berserban kuning masih lagi duduk di atas peti hitam. Kedua belah tangannya terletak atas kepala lutut. Saya lihat keris yang ditatangnya sudah tidak ada lagi di tangannya. Bila datuk selesai membaca surah Yasiin, dia segera merapati peti hitam. Orang yang berserban kuning sudah tidak ada lagi di situ. Datuk membuka peti hitam dan mengeluarkan keris yang berbalut kain kuning. Keris itu ditatangnya seketika.

“Bukan keturunan aku mengambil barang yang bukan hak aku, sekarang aku pulangkan kembali pada yang berhak kerana orang yang menjaganya selama ini sudah tak ada lagi”, perkataan yang keluar dari mulut datuk cukup jelas dan teratur, bagaikan ada manusia di hadapannya mendengar apa yang dikatakannya.

Datuk membuka sila lalu bangun. Dia melangkah dua tapak ke belakang. Berhenti dan meluruskan kedua belah kakinya, macam tentera yang sedang berkawad di padang. Kedua belah tangannya masih lagi menatang keris yang berbalut kain kuning. Datuk maju setapak, dua tapak dan berdiri betul-betul di depan peti hitam. Keris yang berbalut kain kuning diletakkannya di situ.

“Ini hak kamu, aku diberikan kuasa oleh Mahyuddin untuk menjaga sekejap saja”, kata datuk sambil duduk bersila, macam seorang panglima menghadap sultan di zaman silam.

Ketika itu juga, terdengar suara harimau mengaum di bawah rumah. Suaranya cukup kuat dan nyaring sekali, boleh membangunkan seluruh penduduk kampung yang sedang tidur. Rumah terasa bergegar seketika, tiupan angin mula terasa, cukup lembut dan nyaman sekali. Setelah itu, suasana tenang dan sepi sekali. Saya terlihat orang berserban kuning berdiri dekat peti hitam membongkok lalu mencapai keris yang berbalut dengan kain kuning. Datuk masih terpegun di situ. Beberapa saat kemudian, orang yang berserban kuning hilang dari pandangan saya.

“Semuanya sudah selesai Tamar”, bisik datuk pada saya.

Dia menyuruh saya tidur kembali, tetapi mata saya tidak mahu tidur.

Saya terus bertanya pada datuk: “Apakah yang kita lihat tadi jin, kawan Mahyuddin tuk?”

“Susah aku nak cakap, tetapi itulah kenyataan yang kita lihat, sudahlah”, kata datuk.
Akhirnya saya terlelap.

Leave a comment

Filed under Cerita

Bercakap dengan jin ~ 51 ~ Rahsia seorang sahabat

Tiba-tiba saya tersedak. Mata dan hidung terus berair. Dan sepasang mata datuk tertumpu ke wajah saya. Renungannya begitu tajam. Tangan kanan saya yang memegang cawan teh terus menggeletar. Perlahan-lahan cawan itu saya letakkan kembali ke tempat asalnya (dalam talam kecil). Mahyuddin terus menepuk belakang saya perlahan-lahan, kemudian dia mengurut- ngurut dua tiga kali di bahagian tengah tulang belakang. Perjalanan nafas terasa normal kembali.

“Tak apa, tersedak tengah minum, menurut kata orang tua-tua, ada orang yang menyebut nama kamu Tamar”, ujar Mahyuddin.

“Itu tandanya, minum tak menyebut kalimah Allah, cuba baca Bismillah tadi, tentu tidak begitu jadinya”, sahut datuk.

Saya segera berpaling ke arahnya. Saya menggigit bibir, renungan datuk tidak lagi setajam tadi. Tetapi, saya tahu datuk begitu kesal dengan sikap yang telah saya lakukan itu.

“Dia tak sengaja, usahlah dikesalkan”, Mahyuddin bersuara.

“Saya tahu, kalau dari sekarang tidak ditegur nanti perbuatan itu diulang lagi. Malu kita bila disebut orang membela cucu yang tak tahu adat dan tak senonoh”, jawab datuk.

“Sudahlah, masih boleh dibetulkan”, balas Mahyuddin sambil tersenyum pada datuk.

Dari tingkap yang terdedah, saya dapat melihat awan petang yang berarak perlahan-lahan arah ke selatan, sesekali ternampak burung gagak terbang rendah mencari ulat di daun pisang nangka dan embun. Kerana datuk tidak menjamah pisang goreng dan air teh, Mahyuddin terpaksa membawa barang- barang itu ke dapur. Datuk sandarkan badan pada dinding rumah. Dahinya kelihatan berkedut macam memikirkan sesuatu, saya masih lagi melihat gumpalan awan serta burung gagak yang terbang bebas di luar.

“Kalau mengantuk bawa baring dulu”, kata Mahyuddin pada datuk.

Saya bagaikan terkejut dan merasa hairan, bila masanya Mahyuddin melintas di hadapan saya dari ruang dapur menuju ke ruang tengah. Berdasarkan pada tempat yang saya duduk itu, sesiapa saja yang mahu pergi ke dapur atau dari dapur mahu ke ruang tengah mesti melintas di hadapan saya. Ah, ini memang perkara pelik, macam mana saya tak boleh sedar langsung Mahyuddin melintas. Agaknya, dia mahu menguji kepandaian datuk lagi. Memanglah manusia Mahyuddin ini tidak boleh dipercayai. Semua persoalan itu bermain-main dalam kepala saya. Rasa curiga berbunga kembali dalam hati. Datuk harus diberitahu tentang hal ini, biar datuk bertindak segera, kalau lambat bertindak nanti celaka menimpa diri.

“Apa yang kau fikir Tamar?”, tanya datuk dengan mendadak.

“Mahyuddin tuk”, kata saya semacam berbisik.

Datuk tersenyum sambil menepuk bahu kiri saya berkali-kali. Datuk kembali duduk di tempat asalnya. Sesungguhnya saya tidak sedar masa bila datuk merapati saya. Mahyuddin yang duduk berhadapan dengan datuk, tersenyum ke arah saya. Dia bagaikan tahu apa yang tersirat dalam dada saya.

“Cucu awak memang pemerhati orangnya”, kata Mahyuddin pada datuk.

“Betul kah cakap awak ni?”

“Saya bercakap setelah melihat, tadi sengaja saya menghilangkan diri di hadapannya ketika dia termenung panjang, rupa- rupanya dia sedar, malah langkah saya ke dapur dikiranya”, tambah Mahyuddin lagi.

Datuk tarik nafas panjang. Begitulah perangai datuk, dia semacam tidak senang bila ada orang memuji saya secara . berhadapan. Saya garu pangkal dagu beberapa kali, kembang juga rasa hati bila menerima pujian begitu. Mahyuddin memperkemaskan silanya. Datuk pula sandarkan badan ke dinding. Mereka sekarang berada dalam keadaan yang cukup selesa. Angin petang yang masuk ikut jendela memberikan rasa segar pada mereka. Barangkali, datuk dan Mahyuddin senang berada dalam keadaan demikian. Bagi diri saya tidak pula begitu, saya rasa jemu duduk dalam rumah tanpa melakukan sesuatu.

“Apa hajat sebenar awak menjemput saya ke mari. Cakaplah, kalau boleh saya tolong, tetap saya tolong, kalau tak boleh saya menolak”, senang hati saya bila datuk bersuara demikian.

Datuk mahu menyelesaikan masalahnya dengan segera dan dengan segera pula dia mahu meninggalkan rumah Mahyuddin. Saya lihat Mahyuddin mengerutkan dahi luasnya, lama benar dia termenung. Dia seperti berada dalam keadaan serba salah. Tiba-tiba Mahyuddin bangun dan menuju ke tingkap. Berdiri di situ dengan membelakangi datuk. Mahyuddin merenung ke arah pokok-pokok yang tumbuh subur di lereng sebuah bukit yang tidak jauh dari rumahnya. Melihat bentuk tubuh Mahyuddin dari belakang, memang menarik serta menampakkan ciri-ciri seorang pahlawan. Bidang belakangnya lebar, kedua belah pangkal lengannya kelihatan tegap. Cukup sajak dia berdiri, kena pula dengan tubuhnya yang tinggi.

“Aku telah berjanji dengan diri sendiri, engkau adalah satu-satunya sahabat ku dunia akhirat”, Mahyuddin pusingkan badan merenung wajah datuk.

“Jadi apa yang engkau mahu aku lakukan untuk menguatkan persahabatan tu Mahyuddin?”

“Apa yang ada pada saya, mahu saya nyatakan pada awak.”

“Jangan bergurau kawan.”

“Saya tidak bergurau tentang sesuatu yang benar.” Datuk terdiam mendengar kata-kata Mahyuddin tu.

Dengan lemah Mahyuddin melangkah merapati datuk. Mereka duduk berhadapan. Mahyuddin letakkan tangan kanannya atas kepala lutut datuk dengan tenang.

Dia termenung sejenak. Kulit dahinya kelihatan berlapis dan kedua belah kelopak matanya kelihatan kian mengecil melindungi sepasang anak matanya yang tajam. Tiba- tiba Mahyuddin melepaskan sebuah keluhan. Belakangnya bertemu dengan papan dinding. Keningnya masih juga berkerut.

“Awak memang tidak ada hubungan dengan harimau tetapi … ”

“Teruskan Mahyuddin”, desak datuk.

“Waktu saya mengejar awak dalam hutan, saya selalu di pintas dan disergah oleh harimau, mujurlah saya berjaya mengunci geraknya, kalau tidak mati saya.”

“Biasanya harimau yang mengikut saya tidak mengacau atau membinasakan sesiapa kecuali dirinya dicederakan”

“Begitulah, antara kita berdua ada perbezaan dalam menguasai dunia binatang.”

“Aku tidak menguasai binatang”, kata datuk dengan nada suara yang agak tinggi, seolah-olah menafikan tanggapan yang dibuat oleh Mahyuddin itu.

Cepat –cepat Mahyuddin tepuk bahu datuk. Mereka berbalas senyum. Saya terkejut bila Mahyuddin kenyitkan matanya pada saya. Dengan itu, fahamlah saya yang Mahyuddin sekadar mahu mengusik datuk.

“Saya fikir eloklah kita keluar dari rumah ni, duduk berehat di belakang rumah pula.”

Mahyuddin mengeluarkan cadangan. Sayangnya cadangan itu ditolak oleh datuk dengan alasan, kalau dia berada di tepi hutan kecil di belakang rumah, harimau yang selama ini mengikuti dirinya akan muncul.

“Biarkan si Tamar saja yang keluar untuk bermain”, kata datuk.

Saya gembira mendengar perintah itu. Tanpa membuang masa, saya terus melompat ikut pintu, dalam beberapa saat saja sudah berada di tanah. Bila berada di tanah saya jadi bodoh, saya tidak tahu dengan siapa saya mesti berkawan. Saya renung ke hulu hilir silih berganti. Akhirnya, saya duduk di bawah pohon mempelam. Dalam keadaan matahari yang kian mengecil di dada langit, saya tercium bau yang am at wangi, beberapa ekor ayam hutan, entah dari mana datangnya muncul di bawah rumah. Saya naik ke rumah kembali. Bila saya berdiri di muka pintu, saya lihat datuk dan Mahyuddin berdiri tanpa baju. Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan ketika saya tidak ada di atas rumah. Saya duduk di tempat asal saya. Datuk dan Mahyuddin masih lagi berdiri, mereka bagaikan tidak menyedari kedatangan saya. Saya pura-pura batuk. Serentak datuk dan Mahyuddin merenung ke arah saya dengan rasa terkejut. Keduanya mengenakan baju ke badan kembali dan terus berdiri. Mereka masih lagi merenung ke arah saya.

“Ada apa tuk?” tanya saya.

“Tak ada apa-apa Tamar, kami cuma berlatih menguatkan urat-urat badan”, balas datuk dengan wajah yang selamba.

Saya menggigit bibir dan terus duduk. Aneh, datuk dan Mahyuddin masih lagi berdiri, bertentang mata dengan kedua belah tangan menolak bahu pihak yang menentang (datuk tolak bahu Mahyuddin dan Mahyuddin pula tolak bahu datuk) masing-masing kelihatan berusaha menewaskan pihak yang menentang.

Muka datuk dan Mahyuddin kelihatan merah, sepasang kaki mereka bagaikan melekat di lamai. Badan keduanya kelihatan berulas-ulas dan daging yang terlekap di bahagian bawah ketiak, kelihatan mengembang macam ahli bina badan dalam pertunjukan. Semua yang saya lihat menimbulkan berbagai-bagai ramalan pada diri saya, mungkin mereka beradu kekuatan cara batin atau mungkin saja. Ramalan yang terjadi dalam diri saya itu bagaikan mendesak menyuruh saya menyoal datuk.

“Latihan apa ni tuk, saya tak pernah melihat tuk berlatih macam ini”, tanya saya dan terus bangun, kemudian duduk berhampiran kaki kanannya, saya lihat urat-urat dan ketul ketul daging di betis datuk berulas-ulas pejal.

“Jauh Tamar”, tekanan suara datuk meninggi.

Saya tidak peduli dengan perintahnya. Saya merasa seronok melihat daging buah betisnya yang pejal bergerak-gerak, geram juga rasa hati melihat bulu romanya yang tumbuh panjang di betis, bulu romanya juga bergerak, macam tunggul lalang dilanggar kaki lembu.

“Jauhhhh …. “, tempik datuk, saya jadi terkejut dan terus melompat lari ke arah muka pintu.

Suara datuk yang keras dan kasar itu membuat badan saya jadi menggeletar tidak tentu arah. Saya terus duduk di atas bendul pintu sambil berjuntai kaki tetapi, sepasang mata saya masih menyorot telatah datuk dan Mahyuddin. Tiba-tiba, Mahyuddin menjatuhkan kedua belah tangannya dari memaut bahu datuk, kedua belah telapak tangannya dikembangkan macam bentuk ekor burung merpati, Mahyuddin melompat lalu melepaskan satu tendangan yang cukup kencang ke dada datuk. Bagaikan kilat datuk memegang telapak kaki kanan Mahyuddin dan terus memusingkannya. Mahyuddin terlentang atas lantai.

“Macam mana boleh jadi begini? Pada mulanya kita berjanji melakukan semuanya ini sekadar untuk menegangkan urat di samping mencari punca atau bentuk langkah silat yang kita amalkan serupa atau tidak, tiba-tiba lain pula yang kau lakukan”, nada suara datuk cukup kecewa dan hampa.

Wajahnya kelihatan muram sekali. Saya menggigit bibir. Mahyuddin segera meraba pangkal lehernya berkali-kali. Kemudian dia terus duduk dalam keadaan berdiri lutut. Kedua belah lengannya terkandas atas kepala lutut. Dia termenung panjang dengan sepasang matanya merenung lantai.

“Inilah kelemahan saya sahabat, terlalu sangat menurut kata hati hingga menenggelamkan akal fikiran sendiri”, kesal benar bunyi nada suara Mahyuddin.

Ketika dia berkata -kata itu wa jah datuk tidak dipandangnya. Saya lihat datuk masih berada dalam keadaan yang sungguh tenang. Dua tiga kali dia meraba-raba hujung dagunya.

“Mungkin pengalaman lalu mengajar saya jadi begini?”

“Pengalaman macam mana Mahyuddin.”

“Masa belajar silat dulu, kawan seguru yang dianggap setia, diajak tidur di rumah, makan seperiuk tiba-tiba mengkhianati diri saya sendiri.”

“Khianat macam mana?”

“Isteri saya dirampas dengan secara terhormat hingga saya bercerai, kemudian dia kahwin dengan isteri saya.”

Datuk menghampiri Mahyuddin,dua tiga kali bahu manusia harimau (Mahyuddin) diurut oleh datuk dengan penuh manja, macam seorang ayah memujuk anak kesayangan yang merajuk. Dan saya bagaikan ditolak- tolak oleh sesuatu yang menyebabkan saya bergerak dan duduk di sebelah Mahyuddin.

“Ada rahsia yang mahu saya tanyakan pada sahabat”, bisik Mahyuddin.

“Silakan”, datuk tersenyum.

Bahu Mahyuddin ditepuknya dua tiga kali. Mereka berbalas senyum. Anehnya, Mahyuddin tidak terus mengajukan pertanyaan pada datuk. Ada keraguan yang terpamer di wajah Mahyuddin.

“Tanyalah apa yang mahu kau tanyakan pada ku, apa rahsia yang mahu kau katakan pada ku Mahyuddin?”

“Sahabat juga membela harimau seperti saya.”

“Tidak.”

Muka Mahyuddin jadi pucat, bila dia mendengar datuk menyebut perkataan ‘tidak’ dengan serta merta dia menekup mulutnya dengan kedua belah telapak tangannya. Dahi Mahyuddin kelihatan berkerut. Saya kira Mahyuddin merasa kesal dengan apa yang telah dilakukannya. Dia bimbang dengan tindak tanduknya itu, perasaan datuk akan terguris.

“Maafkan saya”, Mahyuddin tersipu-sipu.

“Tak apa, setiap orang berhak bertanya dan menyoal, perbuatan kamu tidak salah.”

“Tapi, boleh melukakan perasaan orang.”

“Tidak,kerana aku sememangnya tidak membela harimau, cuma ada orang yang berpendapat aku membelanya”, datuk membuka rahsia diri.

Mahyuddin anggukkan kepala. Saya mula resah tidak menentu, memang bosan duduk dalam rumah yang pergerakannya serba terbatas. Saya sandarkan badan ke dinding dan kedua belah kaki saya luruskan. Dan sepasang mata saya kembali tertumpu pada awan serta dedaun yang dapat saya lihat dari jendela yang terdedah.

“Pelik juga, orang yang tidak tahu tentang harimau dapat menguasai harimau”, rungut Mahyuddin sambil matanya merenung pangkal dagu datuk.

Kemudian Mahyuddin minta izin dari datuk untuk melihat garis-garis di pergelangan tangan kiri datuk. Permintaan itu tidak dihampakan. Setiap bulu roma dan kedut kulit lengan datuk ditatap oleh Mahyuddin dengan teliti, sesekali dia menggosok lengan datuk dengan telapak tangannya perlahan-lahan macam mencari atau merasa sesuatu.

“Berdasarkan rabaan dan gerak urat-urat sendi awak, memanglah awak tidak memelihara harimau, awak berterus terang dengan saya”, Mahyuddin berhenti meraba pergelangan tangan datuk.

Mahyuddin menarik nafas panjang, kepalanya diangkat perlahan- lahan hingga tegak. Dia merenung dinding rumah dan setiap benda yang ada ditatapnya dengan renungan yang sayu sekali. Dan angin petang yang masuk ke rumah menyentuh rambutnya yang terjuntai di atas dahi, rambut itu bergerak-gerak lemah.

“Dalam zaman pemerintahan Jepun dulu, kawan serumah yang dianggap sebagai adik dunia akhirat, tiba-tiba mengadu pada Jepun tentang kegiatan saya hingga saya diburu Jepun, saya ditangkap hingga dipaksa minum air sabun oleh tentera Jepun, dengan kehendak Allah saya dibebaskan, pengalaman yang saya tempoh mengajar saya jadi begini sahabat”, Mahyuddin meraba bibir bawahnya dengan hujung kelingking.

Saya lihat kelopak matanya digenangi air jernih. Rasa simpati dan hiba menguasai diri saya. Tanpa disedari air mata membasahi kulit pipi saya yang keras.

“Tamar, kau orang lelaki, kau anak jantan, yang mempunyai hati betina, jangan mudah mengeluarkan air mata”, bisik datuk ke telinga.

Cepat-cepat saya kesat air mata, segaris senyum saya pamerkan untuk datuk. Tanpa membuang masa lagi datuk menegakkan ibu jari kanannya sambil tersenyum lebar. Hati saya jadi kembang macam bunga matahari kembang pagi. Di luar matahari mula jatuh di kaki langit. Kicau burung tidak kedengaran dan rama- rama sudah berhenti terbang. Kecuali bunyi suara burung kuang mula kedengaran. Dan alam keliling mula beransur samar-samar. Mahyuddin masih lagi duduk di tempat. tadi dengan datuk di sisinya.

“Sejak itu, saya rasa cukup susah untuk menegakkan keyakinan dalam diri saya terhadap orang yang bersikap jujur pada saya”, keluh Mahyuddin.

Datuk terus juga menepuk-nepuk bahu Mahyuddin, jari tangan datuk terus dipegang oleh Mahyuddin erat-erat, muka datuk dipandangnya.

“Salah kah saya sahabat?”

“Kau tidak bersalah, pengalaman membentuk kau jadi begitu dan itu adalah hak kau dan hak itu kalau kau kembalikan pada ajaran agama Islam yang mahukan seliap pengikutnya bersikap jujur, timbang rasa dan kasih sayang, sudah tentu tentu merasa bahagia.”

“Apa yang mesti saya buat.”

“Kembali pada ajaran agama, bersihkan hati dan perasaan”, terang datuk.

Lagi sekali Mahyuddin tunduk merenung lantai.

“Mari kita bersihkan diri dan pergi ke masjid, Maghrib sudah dekat”, sambung datuk.

Tanpa banyak soal, saya terus ke telaga dan mandi, diikuti oleh Mahyuddin dan akhir sekali datuk. Setelah itu serentak kami melangkah meninggalkan rumah. Setelah selesai sembahyang Maghrib dan Isyak, datuk membaca Al-Quran, saya membaca Muqaddam, Mahyuddin membaca surah Yasiin. Kira- kira jam sebelas malam, kami berhenti dari kerja-kerja yang dilakukan.

Datuk membuat. keputusan untuk bermalam di masjid tetapi, Mahyuddin mendesak datuk bermalam di rumahnya.

“Masjid sebaik-baik tempat untuk berteduh”, kata datuk.

“Ke rumah saya sajalah, banyak hal yang belum saya selesaikan dengan sahabat, banyak rahsia diri saya yang belum terbongkar untuk pengetahuan awak.”

“Kita selesaikan di sini, berkatnya lebih”, datuk menolak.

Wajah Mahyuddin segera berubah, dia mula menunjukkan sikap menentang. Dia jadi panas hati kerana datuk tidak mahu memenuhi permintaannya. Saya jadi resah, saya takut berlaku perkelahian lagi. Kerana saya tahu perangai datuk, dia tidak akan mengalah pada sesiapa sampai kali keempat, ini memang merupakan satu pantang larang dalam dirinya. Dia boleh dihina, dijatuhkan maruahnya di mana-mana saja sebanyak tiga kali, tetapi untuk kali yang keempat dia akan bangun melawan secara berhabis-habisan. Dalam keadaan diri saya yang serba salah itu, saya lihat datuk sembahyang dua rakaat, seolah-olah tidak ada sesuatu pun yang berlaku. Setelah memberi salam terakhir, dia senyum pada Mahyuddin dan menghulurkan salam. Mahyuddin menyambut salam itu.

“Bebaskan diri dari rasa cepat marah, orang yang cepat marah adalah tempat syaitan bermain yang menjadikan kita menyimpan perasaan hasad dan dendam,” sambil tersenyum datuk berkata.

Mahyuddin terdiam.

“Isikan dada dengan rasa sabar kerana sabar itu akan membuat kita mengenali diri sendiri yang serba kurang dan secara tidak langsung membuat kita berfikir, bahawa tidak ada yang lebih berkuasa di dunia ini selain daripada Allah, “ tambah datuk lagi.

Mahyuddin merenung muka datuk, kemudian tanpa dipaksa oleh sesiapa, dia bersetuju untuk tinggal bersama datuk di masjid tersebut sepanjang malam. Rupanya di dalam masjid, Mahyuddin memperoleh satu ketenangan bagi dirinya serta datuk dan saya. Mahyuddin menceritakan pada datuk, sejak dia dikhianati oleh kawannya sendiri, dia tidak pernah berhasrat untuk mempunyai seorang isteri.

“Kalau saya kahwin bukan kerana saya sukakan perempuan tetapi sekadar mengelakkan diri saya dari melakukan zina”, katanya.

Dan datuk tidak mahu menyoal lebih lanjut lagi tentang hal itu. Dan perkara itu mati begitu sahaja.

“Saya tahu, awak memang tidak membela harimau dan harimau yang mendampingi awak itu merupakan harimau peninggalan datuk nenek awak yang diwariskan pada awak, sampai waktunya harimau itu akan meninggalkan awak juga”, saya terkejut mendengar cakap Mahyuddin itu.

“Lagi apa yang awak tahu?”

“Awak adalah waris terakhir, bila awak mati harimau itu tidak akan mencari keturunan awak untuk menjadi tuannya”

“Saya tidak tahu”

“Sekarang awak sudah tahu, harimau yang mendampingi awak tu sudah cukup tua, sebagai makhluk yang bernyawa dia akan mati juga”

Penjelasan Mahyuddin itu amat menarik sekali. Sebagai manusia yang sedar dirinya serba kekurangan, datuk mengakui bahawa, Mahyuddin bukan calang- calang manusia. Dia tahu dengan apa yang dicakapkannya.

Dia manusia yang arif tentang harimau dan dunianya. Datuk rasa cukup kagum dengan Mahyuddin, tidak banyak manusia di alam Melayu yang belajar silat harimau.

“Inilah kelebihan awak dan kekurangan awak tidak boleh mengawal perasaan marah, sesungguhnya tidak ada ilmu yang cukup sempurna, bagi manusia”, kata datuk.

“Tepat sekali”, sahut Mahyuddin.

Kelopak mata saya terasa berat, bayang datuk dan Mahyuddin memanjang di dinding dalam sinar lampu gasolin yang sekejap terang dan sekejap malap. Saya merebahkan badan atas lantai, lantas saya terkenangkan nenek di kampung, saya membayangkan ketika begini nenek akan berada di ruang tengah rumah, berbumbung limas dengan sebuah pelita minyak tanah di hadapannya. Nenek akan menjalankan kerjanya dengan tekun menganyam tikar mengkuang panjang dua belas atau melurut mengkuang ladang dengan kayu untuk dibuat tudung saji. Tiba-tiba saja rasa rindu pada nenek berbunga dalam hati kecil saya.

“Tunggu sebentar, biar saya pulang dulu, sebelum kokok ayam pertama berbunyi saya akan datang ke sini”

“Kenapa begitu pula jadinya?”

“Kedatangan saya kali ini akan membuka rahsia diri saya pada awak, bila rahsia itu saya buka, saya akan merasa bahagia kerana orang yang mahu saya serahkan atau mewarisi pusaka saya telah saya temui”

“Maksud awak saya yang berhak?”

“Kira-kiranya begitulah”, sahut Mahyuddin dengan senyum.

Mahyuddin berdiri. Melangkah tiga tapak ke hadapan, bila dia melangkah untuk kali keempat, batang tubuhnya terus hilang dari penglihatan saya. Sebagai manusia yang ingin mengetahui sesuatu, saya segera menerpa ke pintu masjid dan berdiri kaku di situ. Apa yang saya lihat ialah kegelapan malam yang cukup pekat. Di langit tidak ada sebiji bintang pun tergantung, pokok- pokok di hadapan masjid kelihatan kaku. Bunyi burung kuang kuit mula kedengaran.

“Tamar, kalau burung tu berbunyi, tandanya ada harimau berjalan malam”, kata datuk.

Perlahan-lahan saya melangkah meninggalkan muka pintu masjid.
“Biasanya burung tu berbunyi awal tapi malam ni agak jauh malam baru berbunyi, jangan- jangan suara syaitan”, sambung datuk lagi.

Saya segera melompat dan tiba-tiba saja saya dapati diri saya berada di celah ketiak datuk.

“Bukan di sini tempat kamu Tamar, pergi tidur di sana”, datuk menolak badan saya dengan keras, tanpa rasa belas kasihan.

Akhirnya saya rebahkan badan untuk kali keduanya dekat tiang. Marah juga rasa hati dengan sikap datuk itu. Saya terlelap.

Serentak dengan kokok ayam kali pertama malam itu, saya terjaga dari tidur, saya lihat datuk masih lagi menunggu kedatangan Mahyuddin dengan setia, lampu gasolin sudah padam.

“Belum datang lagi tuk?”

“Belum.”

“Jangan-jangan dia nak mainkan kita.”

“Kita tunggu sampai pagi, kalau dia tak datang kita pergi ke rumahnya, lepas tu kita balik ke kampung”

Saya terdiam mendengar kala- kata datuk itu, tidak jauh dari tempat datuk duduk, kelihatan cahaya api yang sekejap garang dan sekejap mengecil mengikut tekanan ataupun tiupan angin yang masuk ke dalam masjid. Saya pasti api itu datangnya dari seludang kelapa kering. Siapa yang membuatnya?

“Aku yang membuatnya, waktu kau tidur tadi aku cari seludang kelapa, aku hancurkan dengan batu kemudian diikat dengan tali guni, kalau tak ada seludang ni mati kita kena nyamuk”, saya senyum dalam gelap mendengar penjelasan itu.

Memang saya tahu datuk boleh membuat kerja seperti itu tetapi mencair seludang kelapa kering tengah malam, bukanlah satu kerja yang mudah.

“Tidurlah Tamar, kalau dia datang nanti, aku bangunkan kamu”, nasihat datuk pada saya.

Tanpa mengucapkan terima kasih pada datuk, saya terus membengkokkan badan jadi macam angka lima untuk menahan kesejukan. Baru sekali lelap, saya terdengar bunyi tapak kaki orang memijak lantai masjid. Cepat- cepat saya buka kelopak mata. Saya lihat datuk berdiri di muka pintu masjid sambil memeluk tubuhnya. Mata datuk tertumpu keluar, dia seolah-olah dapat melihat sesuatu dalam gelap. Lama benar datuk berdiri di situ. Saya tidak jadi meneruskan tidur saya yang terputus. Saya bangun perlahan-lahan dan terus duduk, semua gerak geri datuk saya perhatikan dengan cukup teliti.

Burung kuang-kuik kian kuat berbunyi, bersahut-sahutan dengan kokok ayam yang memanjang. Saya pasti kokok ayam itu bukan kali pertama, paling kurang kokok, kali yang kedua atau yang ketiga. Mungkin kerana Mahyuddin tidak muncul dalam waktu yang dijanjikan, membuat datuk resah. Datuk meluruskan tangan kiri, tangan kanannya yang meraba ikat kepala itu, saya terdengar desir angin yang cukup kuat, datang dari arah pintu masjid tempat datuk berdiri. Baju dan seluar datuk nampak bergerak-gerak, begitu juga dengan kain ikat kepalanya. Tiupan angin itu cukup kuat membuat datuk terpaksa memegang jenang pintu, kalau datuk tidak berpaut saya yakin dia akan jatuh. Kira-kira sepuluh minit kemudian tiupan angin itu berhenti, saya terdengar seperti ada benda jatuh atas lantai masjid. Datuk menuju ke arah bunyi benda jatuh.

Leave a comment

Filed under Cerita