Bercakap dengan jin ~ 21 ( Berguru dengan syaitan )

Datuk tersenyum memandang saya. Dengan pertolongan cahaya bulan yang samar- samar itu, saya lihat ketua pukau terus berdiri dekat tengkorak kering. Tengkorak itu masih juga mengeluarkan buih dan sejenis habuk seakan-akan asap.

Menurut datuk, tengkorak itu diambil dari tengkorak orang mati dibunuh, ketika hujan panas. Lebih berkesan lagi kalau tengkorak itu dari tengkorak orang yang mati kena tikam. Tidak kira, sama ada orang yang mati itu orang Islam atau tidak.

Mengambil tengkorak orang yang mati dibunuh itu , harus melalui beberapa ujian yang tertentu. Bila tengkorak itu diambil dari tanah perkuburan, harus dipisahkan dengan badannya, tengkorak yang sudah di pisahkan dengan badan itu tidak boleh menyentuh tanah atau dipegang.

Mesti dibawa pulang dengan mengandarnya. Orang yang mengandarnya mesti ditutup kedua matanya dengan kain. Mesti sampai ke rumah sebelum subuh. Tengkorak itu akan disalai sampai kecut, kemudian dipuja oleh orang-orang yang tahu dengan kerja-kerja syaitan itu.

Lepas itu baru diserahkan pada orang yang memerlukannya dengan syarat, bila memasuki rumah orang, tuan rumah jangan dianayai, kecuali tuan rumah itu bercakap besar atau takbur dan mahu menguji kebolehan orang yang menyimpan tengkorak tersebut.

“Sebenamya, ilmu pukau ini ada bermacam-macam cara, tetapi memukau dengan tengkorak cukup berkesan. Kekuatan ghaibnya mengatasi ilmu-ilmu pukau yang lain”, begitulah yang dinyatakan oleh datuk pada saya secara ringkas.

“Lihat mereka sudah bersedia untuk masuk ke dalam rumah,” kata datuk dengan nada suara yang cukup perlahan.

Memang benar cakap datuk itu, saya lihat ketua pukau dua tiga kali berjalan di hadapan anak tangga. Dia memerintah anak buahnya memijak anak tangga pertama dengan hati- hati. Saya terdengar selak pintu jatuh. Serentak dengan itu daun pintu terbuka. Tuan rumah tercegat dan mempersilakan kaki-kaki pukau memijak lantai rumahnya .

“Kau tidurlah, kami tak ganggu kau”, cukup lantang suara ketua pukau.

Tuan rumah angguk kepala lalu merebahkan diri di muka pintu.

“Bukan di situ, tempat kau di bilik”, mendengar suara ketua pukau, tuan rumah segera bangun dan menuju ke bilik tidur.

Ketua pukau mengambil tengkorak lalu melekapkan pada hujung gelegar rumah dekat tiang seri. Dia bagaikan bercakap sesuatu dengan tengkorak tersebut.

Ketua pukau ketuk dinding rumah tiga kali berturut sambil berkata: “Mulakan. Ingat niat kita hanya mengambil barang, jangan ganggu anak isteri tuan rumah.”

Habis saja ketua pukau berkata-kata, seluruh perut rumah terang benderang. Anak buah ketua pukau pun masuk ke rumah. Mereka mencari barang-barang berharga. Lebih dari setengah jam mereka menjalankan kerja tersebut. Anak buah ketua pukau menurunkan barang yang dicuri. Semua barang-barang itu diserahkan pada ketuanya. Saya lihat ketua pukau memasukkan barang-barang kemas dalam beg kulit hitam, kemudian menghitung wang yang dicuri.

“Dah selesai?” tanyanya pada anak buah.

“Ambil daun tujuh helai dan ranting berkapit dua”, ketua pukau memberitahu anak buahnya.

Perintah itu segera dipatuhi oleh anak buahnya. Daun dan ranting berkepit dua lalu diletakkan di bawah rumah. Ketua pukau lagi sekali berhadapan dengan tengkorak kecut. Dia bercakap sesuatu di situ.

“Apakah yang mesti kita buat sekarang tok”, saya menyoal datuk bila melihat ketua pukau dan anak buahnya meninggalkan kawasan rumah yang di curi.

“Biarlah mereka pergi”, pendek saja datuk memberikan jawapan.

Bila kumpulan itu sudah pergi jauh dan datuk yakin jentera kereta kumpulan pukau sudah dihidupkan dan kereta mereka sudah bergerak, datuk pun mengambil ranting berkepit dua dan sehelai daun di bawah rumah. Semua benda-benda itu datuk bawa pulang ke pondoknya.

Sebaik sahaja datuk sampai ke pondok, dia segera menyalakan pelita dan menghidupkan bara api di tempatnya. Daun yang sehelai itu dilayarkan ke api pelita, manakala ranting berkepit dua dipatah-patahkan lalu ditaruh ke dalam tempat bara api. Saya tidak bertanya kenapa datuk melakukan semua kerja itu. Saya lihat datuk terus termenung di depan bekas bara api sambil menaburkan kemenyan ke dalamnya.

“Aku harap orang-orang yang mencuri itu akan datang menemui aku siang esok,” kata datuk dengan nada suara yang tenang.

Saya terus diam dan merebahkan badan di hujung lutut datuk . Lepas itu saya tidak tahu apa yang datuk buat tetapi saya di kejutkan oleh datuk ketika azan subuh menguasai kampung.

Pagi itu Din Kerani menemui Datuk dan menceritakan pada datuk apa yang berlaku di rumah ketua kampung. Datuk juga diberitahu, barang- barang yang hilang dinilaikan lebih dari enam ribu ringgit, termasuk wang tunai yang berjumlah dua ribu ringgit, hasil dari penjualan tanah isteri ketua kampung di Rendang Sawa, dekat Batu Gajah.

Secara terang-terangan Din Kerani melahirkan rasa kesal kerana datuk tidak berjaya menahan kejadian pukau itu itu dari berlaku. Malah Din Kerani meminta kata putus dari datuk sama ada dia sanggup menjalankan kerjanya atau tidak. Kalau tidak sanggup Din Kerani mahu mencari orang lain.

“Apa kau fikir menangkap orang berilmu sama macam menangkap anak ayam?”, tanya datuk pada Din Kerani sambil membeliakkan biji mata.

“Saya dah tak boleh sabar, semua orang kampung dah tahu, saya yang bawa awak ke sini untuk mengatasi masalah ini, kalau tak berjaya tentulah saya malu.”

“Kenapa kau begitu bodoh, beritahu orang kampung? Apa kau tak boleh sabar sikit?”

Nada suara datuk yang meninggi itu membuat Din Kerani termenung panjang. Dia bimbang benar kalau rumahnya akan menjadi mangsa ketua pukau. Datuk minta Din Kerani menunggu di pondok hingga pukul empat petang.

“Buat apa?”

“Untuk melihat ketua pukau”

Mendengar cakap datuk itu, air muka Din Kerani segera berubah. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang dicakapkan oleh Datuk. Mana mungkin pencuri mahu menyerah diri, kalau tidak di­ tangkap. Fikir Din Kerani.

“Benar atau berjenaka?”, Din Kerani meminta kepastian.

“Benar”, jawab datuk dengan tegas.

Entah apa malangnya, ramalan datuk tidak menjadi kenyataan. Hingga jam lima petang ketua pukau yang diharapkan itu tidak datang. Satu tamparan yang cukup hebat dalam tugas datuk. Belum pemah dia mengalami perkara seperti itu sebelumnya. Mukanya merah padam. Din Kerani tidak mahu bercakap walau sepatahpun dengan Datuk. Dia meninggalkan pondok dengan seribu pertanyaan.

“Orang ini benar-benar handal dan dia tidak akan tunduk pada sesiapa,” keluh datuk sambil merenung kemuka saya.

Dia terus ambil air sembahyang lalu menunaikan fardu Asar. Saya tidak tahu apa yang dilakukan oleh datuk selepas sembahyang. Saya lihat dia tertungguk depan tikar sembahyang sambil membuka beberapa buah kitab. Habis membaca kitab, datuk membaca surah Yassin. Datuk berhenti melakukan semua itu, setelah masuk waktu Maghrib.

Saya dan datuk sembahyang di pondok. Bila masuk Isyak saya dan Datuk berjemaah bersama-sama orang kampung di surau. Di surau orang-orang kampung membentuk satu jawatankuasa bertindak mengawal kampung. Mulai malam itu, lima orang lelaki dikehendaki mengawal kampung mulai jam 9.00 malam hingga 2.00 pagi. Dari pukul 2.00 hingga 6.00, orang yang lain pula datang mengambil tugas itu yang berjumlah lima orang juga. Din Kerani dipilih sebagai ketua gerakan tersebut. Dia diwajibkan berada di surau setiap kali lepas waktu sembahyang Isyak.

Saya merasa kurang senang hati terhadap sikap orang- orang kampung pada datuk. Mereka buat tidak kisah dengan datuk, tidak seperti mula-mula Datuk datang dulu. Barangkali mereka mula sedar, bahawa datuk tidak mampu bertindak lebih jauh lagi untuk mencegah kejadian pukau. Meskipun begitu datuk tidak merasa kecil hati. Dia tetap melayan orang-orang kampung dengan baik dan peramah. Dia bercakap dengan tok siak, dia menyapa tok imam dan ketua kampung. Sebelum pulang datuk bercakap dengan Din Kerani dan datuk minta Din Kerani datang ke pondoknya kira- kira pukul satu malam.

Malam itu datuk tetap berusaha untuk memberkas ketua pukau. Dia berazam untuk menangkap ketua pukau itu dan mahu menasihatinya supaya jangan meneruskan kerja yang boleh menyusahkan orang ramai. Datuk mahu menasihatkan ketua pukau itu supaya mencari rezeki yang halal. Datuk membentangkan kain hitam di tengah ruang pondok. Dia meletakkan keris panjang di tengah kain. Mangkuk putih yang berisi air ditempatkan di bucu kain hitam sebelah kanan. Bucu sebelah kiri diletakkan tempurung serta sabut.

Datuk berdiri tegak menghadapi benda-benda itu semua. Datuk memakai seluar hitam serta baju hitam dan pinggangnya diikat dengan kain merah. Kepala dililit dengan kain kuning.

Datuk berdiri sambil memeluk tubuh. Datuk terus membaca ayat Al-Iqra’ hingga tamat. Lepas itu dia membaca Al- Fatihah. Sebaik saja datuk selesai membaca dengan tiba- tiba mangkuk putih yang berisi air bagaikan meletup, air melempah atas kain putih. Datuk terus duduk. Keris panjang saya lihat bergerak sendiri menuju ke bucu kain hitam sebelah kanan. Wajah datuk cukup cemas. Peluh halus muncul dengan tiba-tiba di dahi luasnya.

“Orang ini mencabar aku”, kata datuk pada saya.

Cepat-cepat datuk membuka bungkusan kain kuning yang disimpannya dalam beg rotan. Dia mengeluarkan sebilah keris pendek berulu gading. Mata keris itu kelihatan berkarat. Datuk pernah menceritakan pada saya, bahawa keris itu memang di bawanya dari Jambi, Indonesia. ltulah satu-satunya peninggalan orang tuanya yang dapat diwarisinya. Keris itu pernah digunakan, ketika menentang Belanda di Acheh.

“Besinya dikutip dari besi-besi sekitar Acheh dan Jambi, dibuat dengan tangan. Mata keris itu sudah di taruh racun getah ipoh”, kata datuk pada saya satu masa dahulu.

Datuk juga memberitahu keris tersebut pernah membunuh beratus-ratus tentera Belanda. Keris itu disimpan dalam busut di bawah rumah. Bila orang tuanya mahu meninggal dunia, keris itu diserahkan padanya dengan syarat dia tidak boleh memijak bumi Jambi sampai akhir hayat, kalau mahu keris itu menyimpan bisa dan kuasanya. Hanya itu saja yang saya tahu tentang keris tersebut. Datuk terlalu merahsiakan tentang keris itu dari anak cucunya, kecuali saya.

Datuk melayarkan mata keris ke atas bara. Saya lihat keris itu bertukar kemerah-merahan. Di mata keris tersebut timbul huruf-huruf jawi iaitu dua kalimah syahadah. Datuk menyimpan keris kembali. Dia merenung tembikar mangkuk putih yang berserak.

“Kau memang mahu menghancurkan aku”, tiba- tiba saya terdengar satu suara dari arah kanan.

Saya segera menoleh. Seorang lelaki tua berdiri di situ. Dari mana datangnya saya sendiri tidak tahu. Datuk merenung lelaki itu dengan pandangan yang tajam.

“Aku sebenarnya tidak pernah tenang dan aku harap kau akan memberikan ketenangan itu pada aku”, lelaki itu bersuara lemah.

Datuk terdiam. Saya lihat datuk seperti berada dalam keadaan yang tidak tentu arah. Datuk menarik tangan saya. Dan saya pun segera mendekatinya. Dalam keadaan yang agak tenang itu, datuk sempat memberitahu saya, bahawa lelaki tua yang kelihatan itu adalah kenalannya yang sama-sama datang dari Jambi. Bila sampai ke semenanjung, kenalannya itu sudah mati lemas di sungai, dekat pengkalan di Hutan Melintang. Perahu yang dinaiki kawannya itu karam akibat berlanggar dengan batang kayu di musim tengkujuh. Datuk menyuruh saya duduk di muka pintu pondok. Arahan Datuk itu saya patuhi.

“Kenapa kau yang datang Tandang Ali. Aku bukan mencari kau”, kata datuk sambil membaca sesuatu.

Ibu jari tangan datuk menekan pangkal belikat. Wajah datuk agak pucat sedikit.

“Aku tahu apa yang kau cari Ucang Diah”, beritahu lelaki itu.

Saya terkejut, kerana lelaki itu dapat menyebut nama datuk dengan tepat. Sebenarnya tidak ramai orang yang tahu nama sebenar datuk. Dalam kad pengenalan datuk namanya tercatat sebagai – Kulub Mohd Diah. Dan orang-orang kampung, anak cucunya juga tahu itulah nama datuk yang sebenar. Tetapi pada saya, datuk memberitahu secara rahsia nama sebenarnya yang diberitahu oleh orang tuanya ialah Ucang Diah. Ucang itu adalah nama keturunan atau suku yang dibawanya dari Jambi.

“Engkau boleh memberi ketenangan pada roh aku”

“Maksud kau?”

“Akulah yang memberikan tengkorak pada ketua pukau. Aku mengambilnya dari kubur dan aku memujanya. Selagi tengkorak itu tidak hilang darinya, roh aku tidak aman.”

“Kenapa kau memanjangkan ajaran syaitan?”

“Itulah silapnya aku.”

“Kau tahu hukumnya menyiksa mayat? Berdosa besar.”

“Masa itu aku tidak terfikir. Yang aku fikirkan masa itu ialah menyuruh mereka memukau rumah-rumah orang putih yang menjajah negara kita, tetapi mereka melakukan sebaliknya.”

“Apapun niat kau tetap berdosa. Islam tidak mengajar pengikutnya membuat jahat. Islam menyuruh umatnya berunding dan menggunakan akal fikiran. Kenapa kau menyempitkan ajaran Islam?”

“Aku tahu..”, belum pun sempat orang itu mengakhiri cakapnya, datuk terus membelakanginya.

Dengan sekelip mata saja, lelaki itu hilang dari pandangan saya. Datuk terus menuju ke muka pintu. Dengan tenang memijak anak tangga pondok. Saya mengekornya dari belakang.

“Ke mana tok?”

“Ke surau.”

Sebaik saja saya dan datuk melangkah lima langkah ke depan, tiga orang lelaki menghalang. Saya kenal lelaki yang berbaju putih dengan badek di tangan itu ialah ketua pukau.

“Hei kalau kau benar-benar handal tunjukkan, apa hak kau menghalang kerja kami?”, cukup keras suara ketua pukau.

Salah seorang dari rakannya memberikan golok perak kepadanya. Datuk menyuruh saya undur. Muka ketua pukau saya lihat merah padam dalam samar- samar cahaya bulan malam itu.

“Aku guni kan awak dengan anak awak, kami nak campak ke dalam Sungai Kinta,” ketua pukau terus mengugut.

Datuk berdiri tegak di hadapan ketiga-tiga lelaki itu. Kaki kanan datuk saya lihat bergerak-gerak. Mata datuk tidak berubah merenung muka ketua pukau. Datuk menikam tumit kaki kanan ke dalam bumi. Separuh dari tumit itu saya lihat tenggelam.

“Kenapa bersekutu dengan syaitan untuk mencari kemewahan?”, datuk terus menyergah ketua pukau.

Dan ketua pukau sudah tidak sanggup menerima penghinaan itu. Dia lalu mengangkat golok perak untuk menetak batang leher datuk. Datuk kerutkan muka. Tumitnya kian kejap ditekan ke bumi. Saya lihat seakan- akan ada kepulan asap mengelilingi buku lali kaki datuk. Ketua pukau angkat senjata, tiba-tiba tangan dan kakinya tidak boleh bergerak bagaikan terkunci. Dia berusaha mahu bergerak. Usahanya gagal. Mulutnya separuh terbuka.

Datuk melangkah ke depan. Dengan cepat datuk menyentuh mata golok perak. Dengan tiba-tiba golok perak itu patah dua. Bahagian atas yang patah jatuh betul-betul di hujung sepatu ketua pukau. Datuk menghentakkan kakinya ke atas tanah sekuat hati. Golok perak yang tinggal separuh di tangan ketua pukau terlepas.

“Kuncinya sudah aku buka. Apa yang aku mahu sekarang, ingat bersekutu dengan syaitan tidak akan boleh ke mana-mana. Belajarlah hidup dengan berusaha mencari rezeki yang halal”, datuk memberitahu ketua pukau.

Dengan mendadak saja ketiga- tiga ahli kumpulan pukau itu sujud di kaki datuk. Cepat cepat datuk menolak ketiga- tiga badan anggota pukau itu. Datuk berubah tempat berdiri.

“Jangan sujud di kaki aku. Aku adalah manusia seperti kau juga, berasal dari tanah. Dalam Islam tidak ada manusia yang tinggi dan rendah, semuanya sama saja. Kamu semua harus sujud pada Allah yang Maha Besar meminta ampun dan bertaubat”, kata datuk.

“Tapi kami mahu minta maaflah pada orang yang kami curi harta-bendanya. Jangan hukum kami.”

“Aku tidak boleh menghukum kamu. Allah yang Maha Besar berhak atas dirimu. Pada Allah terletak hukuman yang adil”

“Kami bertaubat”

“Bertaubatlah pada Allah dan aku minta kau serahkan tengkorak itu pada aku”, datuk mengemukakan permintaan secara jujur.

Belumpun sempat ketua pukau melakukan apa yang di perintahkan datuk, Din Kerani pun datang. Datuk terus memberitahunya, bahawa kaki pukau yang di cari ada di hadapan. Din Kerani mahu bertindak untuk membawa kaki pukau ke balai polis. Per­mintaan itu tidak dapat ditunaikan oleh datuk.

“Maafkan orang yang bersekutu dengan syaitan lebih mulia dari menghu­kumnya. Dengan kesempatan yang kita berikan, boleh membuat mereka insaf dan kembali ke ajaran Islam yang sebenamya”, itulah alasan yang diberikan oleh datuk pada Din Kerani.

Datuk membebaskan mereka, dan mereka berjanji akan memberikan pada datuk tengkorak kecut yang digunakan ketika mencuri. Sejak terjadi peristiwa itu, kejadian mencuri dengan memukau tidak lagi berlaku. Saya dan datuk terus duduk di Kampung Tanjung Tualang selama tiga minggu lagi.

Dalam rancangan datuk, sesudah dia mendapatkan tengkorak kecut dari ketua pukau, barulah dia pulang ke kampung. Ternyata, ketua pukau tidak menunaikan janjinya. Mereka berpindah tempat melakukan kegiatan memukau di kawasan Kampar pula. Datuk merasa kesal kerana membebaskan mereka tempohari.

Sedarlah datuk, sekali syaitan menguasai hati manusia memang sukar untuk membuangnya. Datuk menjadi manusia yang paling berdukacita dengan kejadian itu. Lebih-lebih lagi berita itu didengarnya pada setiap hari bila dia berjemaah ke surau. Datuk pun mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan dia akan cuba menghancurkan kumpulan pukau itu dengan caranya yang tersendiri. Dua hari di kampung, datuk terus mengajak saya pergi ke Kampung Bahagia di Teluk Intan.

Kami tinggal di rumah seorang ustaz yang mengajar di sekolah Sultan Abdul Aziz. Dengan secara jujur datuk memberitahu ustaz tersebut yang secara kebetulan mempunyai pertalian keluarga yang agak jauh dengan nenek, tujuannya datang untuk ke situ untuk memberkas kumpulan pukau. Ustaz tersebut memperkenalkan datuk dengan seorang mata gelap. Mat Jali namanya, orang Lambor Kanan. Mat Jali memang sudah lama mengikuti kegiatan kumpulan pukau tersebut. Mat Jali memang mengharapkan dengan adanya kerjasama dari datuk, kegiatan kumpulan itu akan segera dapat ditum­ paskan. Memang datuk berazam, bila kumpulan itu dapat di berkas, datuk tidak akan memberikan ampun dan maaf pada mereka. Datuk mahu mereka dihukum mengikut undang-undang yang telah di tetapkan.

Suatu petang Mat Jali datang menemui datuk. Mereka bercakap panjang di halaman rumah hingga waktu Maghrib. Lepas waktu maghrib, lagi sekali Mat Jali datang menemui datuk. Saya tidak mahu ambil tahu dengan apa yang mereka bicarakan. Perkara yang nyata ialah, sambil datuk bercakap, Mat Jali mencatatkan sesuatu di kertas kecil. Sebelum Mat Jali meninggalkan rumah,

Datuk terus berpesan padanya: “Saya yakin, mereka akan di situ malam ini. Saya yakin dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, firasat saya ini betul, dan awak akan berjaya”

“Semoga Allah akan memberkati kerja saya ini”

“Sama-samalah kita berdoa”, sahut datuk dari muka pintu.

Datuk masuk kerumah. Dia terus membaca surah Yassin, duduk di ruang tengah bersama saya dan ustaz.

Menurut datuk, kumpulan pukau itu akan kecundang. Dua sebab kenapa kumpulan pukau itu kecundang. Pertama, ketuanya mungkir janji dan dan kedua gurunya sendiri tidak merestui kerja tersebut.

“Kerja dia orang licin”, kata ustaz.

“Saya tahu. Guru mereka kawan saya dan sudah pun mati, sekarang rohnya tak aman.”

“Macam mana Wak tahu hal itu?”

“Kerja jahat, janganlah di tanya. Pada Wak, cuma Wak mahu buat dengan tak mahu buat saja. Setiap kerja yang kita lakukan kita harus memikirkan apakah kerja tu di berkati oleh Allah atau tidak”

“Saya paham”

Cuma setakat itu saya dengar kata-kata datuk dan ustaz. Lepas itu masing-masing masuk bilik. Lebih kurang pukul dua pagi, rumah ustaz di ketuk orang bertalu-talu. Datuk buka pintu. Muka Mat Jali tersembul.

“Apa halnya?”, soal datuk.

“Semuanya dapat kami tangkap.”

”Dimana?”

“Macam awak katakan itu, mereka nak pukau rumah penghulu Tapah yang duduk di Bidor.”

“Sekarang dia orang di mana?”, tanya datuk lagi.

Dia tersenyum puas.

“Di Balai Polis Langkap”

“Kenapa di Langkap, tidak di bawa ke Kampar?”, celah ustaz yang berbadan besar, ada janggut sejemput di dagu, memakai kaca mata putih.

“Tak tahu, pegawai suruh bawa ke Langkap, esok baru di bawa ke Kampar”

“Begitu”, suara datuk lemah.

Malam itu juga, saya dan datuk naik kereta Moris Minor Mat Jali menuju ke Balai Polis Langkap. Atas daya usaha Mat Jali, datuk dan saya dapat menemui ketua pukau bersama kawannya di dalam lokap.

“Kenapa kamu tak insaf?”, soal datuk pada ketua pukau.

Pertanyaan datuk itu tidak mendapat jawapan. Ketiga- tiga kaki pukau itu diam membisu. Dari Mat Jali datuk mendapat tahu nama sebenar ketua pukau itu ialah Kusman tetapi lebih dikenali dengan panggilan Hitam. Sudah ada anak dan isteri. Anaknya yang besar belajar tingkatan dua di Kampar yang pada masa itu dibela oleh abangnya. Datuk terus meminta tengkorak kering dari ketua pukau. Datuk memberitahu tengkorak kering itu harus di pulangkan kepada tuannya secara ghaib, di samping itu datuk juga memberitahu, bawa guru mereka Tandang Ali memintanya mengambil tengkoraknya itu dari mereka.

“Dia sudah mati”, meletus jawapan dari ketua pukau.

“Aku tahu, tapi rohnya tidak aman. Bila harta peninggalannya kau pulangkan pada yang berhak, baru dia aman. Aku tahu, dia kawan aku”.

Ketua pukau terdiam. Datuk terus memujuknya. Hingga terbit fajar pagi datuk tidak memperolehi apa-apa darinya.

Datuk tahu tengkorak itu ada padanya. Siapa pun tidak akan menjumpainya kalau mencari di badannya, kecuali meng­gunakan beberapa petua yang tertentu. Tengkorak itu boleh di sembunyikan di celah kulit bahagian paha di mana orang tidak akan nampak.

Pada pukul 10 pagi datuk melihat ketua pukau itu dimasukkan ke dalam perut jeep untuk di bawa ke Balai Polis Kampar. Sebelum bertolak datuk mengingatkan polis yang mengawalnya supaya berhati-hati dengan ketua pukau. Meskipun tangan digari, dia boleh melepaskan diri. Ketua pukau itu juga mempunyai beberapa kebolehan dalam ilmu kebatinan. Bagi menjamin ketua pukau itu tidak boleh melepaskan diri, datuk menawarkan diri untuk mengikuti jeep itu pergi ke Kampar. Permintaan datuk itu tidak dapat ditunaikan oleh ketua Balai Polis Lengkap.

Datuk merasa bertuah kerana Mat Jali bersedia membawa datuk ke Kampar dengan menaiki keretanya kerana Mat Jali mengekor dari belakang. Datuk nampak resah sahaja. Dia menyatakan pada Mat Jali ada sesuatu yang akan berlaku dalam perjalanan. Tetapi Mat Jali meyakinkan datuk, bahawa semuanya berjalan dengan baik, malah dia yakin ketua pukau itu tidak akan berjaya melepaskan diri. Datuk diam. Dia memejamkan kedua belah matanya. Dahinya berkerut. Mukanya mula didatangi oleh peluh- peluh halus. Saya tahu, bila datuk melakukan hal sebegitu, dia merenung atau menilik sesuatu yang jauh darinya.

“Dia berjaya membuka garinya”, tiba-tiba datuk bersuara agak keras.

Ketika itu kereta jeep yang membawa ketua pukau sedang melintas jambatan di Sungai Air Kuning, dekat Kampar (jambatan itu dirobohkan dalam dalam tahun 1976, sebagai gantinya satu jambatan baru telah dibina, seperti yang ada sekarang ini).

“Dia akan terjun ke dalam sungai”, kata datuk lagi.

Sebaik saja datuk selesai bercakap, saya dan Mat Jali melihat ketua pukau terjun ke atas jalan raya, kemudian terjun ke dalam sungai. Polis yang berada di sisinya terpaku. Mat Jali membunyikan hon menyuruh kereta jeep berhenti. Jeep itu pun berhenti dan Mat Jali menghentikan keretanya ke tepi. Datuk keluar dari perut kereta.

“Dia agak handal orangnya”, ujar datuk sambil merenung kedalam sungai yang berbuih.

Polis angkat rifle dan menjunamkan muncung ke arah perut sungai.

“Kita tidak akan dapat menangkapnya. Dia ada ilmu tahanair”, kata Datuk.

Cakap datuk itu memang benar. Tiga puluh minit menunggu, ketua pukau tidak juga muncul. Air tempat dia terjun tetap berbuih. Datuk memberitahu Mat Jali dia boleh memberkas ketua pukau itu, tetapi memakan masa sedikit. Datuk meminta Mat Jali menyuruh pemuda jeep membawa kawan ketua pukau ke Kampar. Jeep pun bergerak. Datuk berdiri di tebing sungai. Dia mengambil air sungai dengan daun keladi. Air itu di lambung ke atas. Sebelum air itu jatuh k tanah, datuk menyambutnya dengan mulutnya, kemudian air itu disemburkan ke dalam perut sungai. Saya lihat air sungai bagaikan mengelegak dan berbuih-buih, kemudian tempat ketua pukau terjun itu berpusing-pusing menjadi semacam lubuk. Dengan mendadak sahaja air sungai itu menjulang badan ketua pukau lalu mencampakkannya ke tepi tebing. Ketua pukau tersadai di situ. Dari bawah dagunya keluar satu benda putih. Benda itu berbuih dan akhirnya menjadi satu tengkorak. Datuk pun mengambil tengkorak tersebut.

Datuk merawat ketua pukau hingga pulih. Dia berdiri sambil merenung Mat Jali di sisinya, dan bagaikan kilat dia merampas pistol Mat Jali, lalu melepaskan tembakan ke arah datuk. Datuk cepat-cepat menguncikan sendi badannya. Pistol di tangan ketua pukau terjatuh di kaki, dan secara mendadak saja pistol itu meletup dan pelurunya mengenai perut kedua pukau. Sebelum ketua pukau rebah ke bumi, datuk memeluk tubuhnya dan dengan sekilap mata sahaja datuk muntah darah. Seluruh badan datuk menjadi biru.

 

Leave a comment

Filed under Cerita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s