Bercakap dengan jin ~ 20 ( Memburu Raja Pukau )

Datuk mengambil keputusan untuk pulang saja ke perkampungan orang asli. Bah Lanjut tidak membantah dengan keputusan yang di buat oleh datuk itu. Kami meredah hutan untuk pulang. Kami sampai di perkampungan orang asli ketika bulan sudah berada di pucuk tualang bercabang lima.

Malam itu datuk tidak dapat tidur dengan lelap. Dia selalu saja terjaga dan datuk akan melompat ke halaman dan berjalan sambil mengelilingi pondok. Saya mempersetankan saja telatah datuk itu. Bila datuk selesai sembahyang subuh, dia membakar sehelai kain buruk vang baunya cukup wangi. Datuk hanya membakar sebahagian saja dari kain buruk itu. Dan abunya datuk isikan ke dalam buluh yang beruas pendek. Buluh itu datuk letakkan di hujung bendul pokok.

Bila matahari mula kembang di kaki langit, Bah Lanjut sudah terpaku di halaman pondok. Dia memberitahu datuk, bahawa sepanjang malam anak buahnya berjaga makhluk ganjil berbulu tebal tidak datang mengacau anak dara di tempatnya. Bah Lanjut mengucapkan ribuan terima kasih pada datuk. Dia yakin, datuk telah melakukan sesuatu untuk keselamatan anak buahnya.

“Itu cara kebetulan saja tok batin,” kata datuk.

“Kita tak percaya,… awak memang handal.”

“Terpulanglah pada tok batin sendiri,” jawab datuk sambil tersenyum lalu merapati Bah Lanjut.

Datuk berbincang sesuatu dengan Bah Lanjut. Kemudian datuk naik ke pondok lalu menghampiri saya.

“Ke mana?” balas saya agak ragu.

Datuk merenung muka saya dengan renungan yang cukup tajam. Datuk ambil kain selimpang lalu turun. Saya termangu tidak tahu apa yang patut saya lakukan. Akhimya, saya juga melompat turun kehalaman. Saya renung muka Bah Lanjut mengajukan pertanyan.

“Biarkan dia, kalau dia nak ikut siap,” jawapan itu bukan saja ditujukan oleh datuk pada Bah Lanjut, malah ditujukan juga pada diri saya.

Fahamlah saya, bahawa mereka mahu menjejak makhluk yang berburu tebal itu. Sebelum panas terik mencengkam perkampungan orang asli, kami pun berangkat menuju ke gua tempat makhluk ganjil menghilangkan diri. Sampai saja di hadapan pintu gua, datuk dan Bah Lanjut terus duduk di situ. Saya menyapu peluh di muka dengan tapak tangan. Waktu saya menoleh ke kiri, saya lihat datuk sudahpun duduk bersila sambil membentangkan kain hitam atas tanah. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Datuk bangun, berjalan di depan pintu gua tiga kali.

“Kita masuk,” kata datuk sambil menjeling ke muka Bah Lanjut.

Saya lihat wajah Bah Lanjut agak cemas.

“Ini kerja mati,”

Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam hati saya. Dia rapat pada saya lalu menjentik telinga saya.

“Kau jangan banyak kerenah,” cukup lembut nada suaranya memukul gendang telinga saya, tetapi mempunyai kesan yang amat pahit bagi diri saya.

“Sediakan mancis,” datuk memberitahu Bah Lanjut lalu menyerahkan segumpal kain buruk pada saya.

Datuk melangkah ke dalam gua. Bah Lanjut dan saya mengekor dari belakang. Memang sukar berjalan dalam gua yang agak gelap itu. Akhimya kami sampai ke satu kawasan lapang. Kiri kanan kawasan itu di dindingi oleh batu pejal. Di sudut sebelah kanan, terdapat satu lagi lubang gua yang lain.

“Kita berada betul-betul di tengah antara dua gunung,” beritahu datuk pada saya.

Bah Lanjut angguk kepala. Dari kawasan lapang itu, saya dapat melihat awan dan langit. Sekiranya berlaku hujan kami pasti basah, kalau masuk ke dalam perut gua. Menurut datuk keadaan seperti itu memang terdapat dalam kebanyakan gua di Malaysia. Tiba-tiba kami terdengar bunyi sesuatu, saya pun merenung ke atas, terdapat seekor ular hitam menyusur perlahan-lahan pada akar- akar kayu yang berjuntaian di lurah gunung itu. Ular itu terus bergerak dan berpaut pada sebatang pokok kecil yang tumbuh di tepi lurah.

“Pedulikan,” kata datuk bila melihat air muka saya berubah.

Serentak dengan itu kami terdengar bunyi orang berjalan ke lubang gua sebelah kanan. Datuk menyuruh kami menyorok di celah-celah batu besar. Bunyi itu, makin lama, makin jelas akhirnya terpacak tiga makhluk ganjil yang berbulu tebal di kawasan lapang. Makhluk ganjil itu duduk di situ sambiI memakan daun- daun kayu yang di bawanya. Gerak-geri makhluk ganjil itu tidak banyak bezanya dengan manusia, sama ada cara dia duduk atau mematah dahan- dahan kayu yang berpucuk hijau. Tingginya lebih kurang 2.5 meter, kira-kira lapan kaki. Bila berjalan agak membongkok sedikit ke depan.

Wajahnya hampir menyerupai orang utan. Suaranya macam suara monyet. Ketiga-tiga makhluk ganjil itu, terus baring di kawasan lapang. Datuk terus menjerit dengan sekuat hati dan melompat ke kawasan lapang dituruti oleh Bah Lanjut. Makhluk ganjil berbulu tebal itu segera bangun. Bersedia untuk menerkam ke arah datuk dan Bah Lanjut. Datuk bertafakur sejenak sambil membaca sesuatu. Salah seekor daripada makhluk ganjil itu bergerak ke belakang dan mengambil seketul batu besar. Batu itu dihumbankan ke arah datuk. Cepat cepat datuk mengelak.

“lni bukan syaitan atau penunggu hutan, binatang ini sesat ke sini,” kata datuk pada saya yang secara mendadak menghampirinya.

Bah Lanjut termenung sejenak. Dia kelihatan serba salah.

“Apa yang harus kita buat?” datang pertanyaan dari Bah Lanjut.

“Kita halau saja ia dari sini,” jawab datuk sambil meminta mancis api dari Bah Lanjut.

Datuk pun memerintah saya membakar kain buruk yang dibawa. Perintah datuk segera saya laksanakan. Bila melihat api, makhluk ganjil itu menjerit sambiI menutup matanya dengan tangan yang berbulu tebal. Makhluk ganjil itu takut pada api dan tidak tahan dengan asap dari kain yang dibakar. Makhluk ganjil itu pun lari masuk ke dalam perut gua. Bila saya lihat ke atas terdapat berpuluh-puluh ekor monyet bergayut di akar yang berjuntaian di cerun gunung.

“Dia akan meninggalkan tempat ini terus,” datuk memberitahu Bah Lanjut, sesudah melihat sesuatu dari kain hitam yang digenggamnya.

“Tetapi makhluk ganjil itu akan datang juga ke sini untuk membahas dendam,” sambung datuk sambil mengajak saya dan Bah Lanjut keluar dari tengah kawasan gua tersebut.

Sejak dari peristiwa itu kawasan perkampungan orang asli di Kampung Raja- Cameron Highlands tidak lagi diganggu makhluk tersebut. Bila kami kembali ke Batu Enam Belas, Bah Lanjut menyatakan hasratnya untuk menganut agama Islam. Bah Lanjut kagum, setiap kali datuk berhadapan dengan musuh selalu membaca ayat- ayat al Quran.

Hasrat Bah Lanjut itu tidak dihampakan oleh datuk. Bah Lanjut dibawa ke Tapah untuk menemui penghulu dan penghulu terus menghubungi Jabatan Agama Islam Perak.

Seminggu kemudian, Bah Lanjut berjaya membuat sebahagian besar daripada anak buahnya menganut agama Islam. Dua hari sebelum meninggalkan kampung orang asli di Batu Enam Belas itu, datuk telah di datangi oleh seorang pemuda asli yang mendakwa datang dari Pahang. Pemuda itu memberitahu, beberapa orang pemburu telah menemui lapak kaki binatang yang menyerupai tapak kaki manusia di Kuala Teris, dekat Lanchang di Pahang. Setelah berunding agak lama dengan pemuda itu, datuk bersetuju pergi ke Kuala Teris ikut jalan hutan. Satu hari perjalanan, akhirnya kami sampai ke Kuala Teris dan datuk terus menyiasat tapak kaki makhluk ganjil menyerupai tapak kaki manusia itu, cukup besar dan panjang bentuknya.

“Binatang ini, kami halau dari Kampung Raja. Usah bimbang, tetapi orang-orang di sini mesti berjaga, makhluk ganjil itu cukup suka pada anak dara, dia boleh membawa anak dara lari ke hutan,” begitulah datuk memberitahu beberapa orang penduduk Lanchang yang bertanyakan tentang makhluk ganjil itu.

Menurut hemat datuk, makhluk ganjil itu akan datang lagi ke kawasan Cameron Highlands kerana kawasan tersebut sesuai dengan makhluk ganjil itu yang mahukan tempat yang dingin. Datuk yakin, binatang itu datang dari banjaran gunung Himalaya di Nepal dan berpecah dengan kumpulannya ketika berlaku ribut salji di kawasan tersebut. Dan binatang ganjil itu sesat ke dalam hutan besar di Pahang.

Dari Lanchang datuk terus ke Jerantut menemui Dukun Nong. Dua minggu saya dan datuk menginap di rumah Dukun Nong. Masa di rumah Dukun Nong, datuk dijemput oleh seorang lelaki ke Cameron Highlands lagi sekali untuk mencari seorang saudagar sutera dari Thailand yang berbangsa Amerika yang di dapati hilang, ketika berjalan mengambil angin di kawasan sebuah banglow. Datuk mencari saudagar itu bersama dengan pasukan keselamatan.

Seluruh hutan di puncak Cameron Highlands telah di jelajahi tetapi saudagar yang hilang tidak juga ditemui. Akhirnya, datuk membuat keputusan sendiri. Dia mengajak saya pergi ke kawasan gua tempat menemui makhluk ganjil dulu, dengan ditemani oleh beberapa orang anggota polis. Di situ datuk hanya memenuhi beberapa pokok besar yang sudah patah dan beberapa carikan kain yang dipercayai kepunyaan saudara tersebut. Datuk yakin saudagar itu sudah ditawan oleh makhluk ganjil tersebut.

Pendapat datuk itu tidak diterima oleh pasukan polis. Dan datuk tidak mahu ikut dalam usaha selanjutnya. Ternyata akhirnya, usaha polis tidak mendapatkan sebarang hasil. Mereka terus membatalkan rancangan untuk mencari saudagar sutera dari Thailand itu. Kehilangan saudagar itu terus menjadi tanda-tanda hingga ke hari ini.

Kejadian ini berlaku dalam tahun enam puluhan. Sesudah itu, saya dan datuk lagi sekali pergi ke rumah Dukun Nong dan menceritakan pengalamannya ketika mencari saudagar yang hilang itu. Dan dukun juga bersetuju dengan pendapat datuk. Menurut firasat Dukun Nong, saudagar sutera itu memang ditawan makhluk ganjil sebagai membalas dendam terhadap orang yang menganggu kawasan persembunyiannya.

Dalam pertemuan itu Dukun Nong memberitahu datuk, makhluk ganjil itu masih berkeliaran dalam hutan negeri Pahang. Tempat persinggahan yang paling di sukainya ialah di sekitar kawasan sejuk. Tetapi dukun Nong cukup yakin binatang itu akan berusaha sedaya upaya melarikan dirinya dari bertemu dengan manusia, kecuali kalau sudah tidak boleh dielakkan.

Dengan Dukun Nong, datuk mendalami ilmu-ilmu kebatinan. (Dukun Nong meninggal dunia dalam tahun tujuh puluhan). Walaubagaimanapun, sejak ke­ hilangan saudagar sutera dari Thailand yang berbangsa Amerika itu, cerita mengenai makhluk ganjil itu sudah tidak didengar lagi.

Pengalaman-pengalaman yang dikutip semasa mengikut datuk di Cameron Highlands menjadi bahan yang cukup menarik untuk diceritakan pada nenek. Dan nenek hanya ketawa senang mendengar keistimewaan-keistimewaan yang dimiliki suaminya. Tetapi nenek memang tidak mengharapkan salah seorang dari pada cucunya mengikut jejak langkah suaminya. Menurut nenek, kerja yang dilakukan oleh datuk adalah kerja yang berat dan sukar. Tidak mudah untuk diikuti oleh anak cucunya yang akan hidup dalam dunia yang serba maju ini.

“Kau jangan ikut macam datuk kau,” kata nenek di kepala tangga sambil merenung wajah datuk yang duduk di sisinya.

Datuk melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya berkali-kali. Sepasang mata datuk merenung ke arah pintu jalan.

“Ada motosikal masuk ke mari tu,” datuk segera bangun.

Sebelum melangkah ke tanah, dia merenung muka nenek sambil berkata,

“Kenapa cucu kita, tak boleh ikut macam kita?”

“Sudah.”

“Sudah bagaimana?” balas datuk lagi.

“Mengamalkan ilmu yang awak tuntut bukannya mudah, mesti menjauhkan diri dari semua perbuatan yang dilarang oleh agama.”

“Jadi, awak fikir cuma kita tak boleh buat semuanya tu?”

“Saya ingat tak mudah mereka boleh membuatnya, tak boleh menipu, berjudi, berjahat dengan perempuan, terpisah dari dunia kehidupan zaman ini, mana ada anak cucu kita bila sudah ke bandar boleh menjauhkan diri dari perkara begitu, sembahyang lima waktu belum tentu mereka tunaikan dengan sempurna”, begitu nenek memberikan pendapatnya dalam hal tersebut.

Motosikal Honda 50 cc berhenti di kaki tangga. Dua orang lelaki berdiri di tengah halaman. Lelaki yang memakai songkok hitam menyandang senapang kampung berlaras satu itu saya kenaI. Mat Pie namanya, orang Kampung Dendang dan ada pertalian keluarga dengan datuk saya. Dia adalah anggota pengawal kampung yang di kenali pada masa itu dengan nama A.P. kemudian ditukar menjadi Home Guard atas H.G.

Dia sudah membunuh lima anggota komunis di Tanah Empat Ratus yang sekarang telah dijadikan tanah rancangan dengan nama Bukit Kota; kira-kira 8 kilometer dari pekan Bruas, terletak di jalan menghala ke bandar Parit.

Mat Pie kawan karib Tok Janggut yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas komunis di Sungai Rotan dekat Padang Gajah, Taiping. Mat Pie sudah pun meninggal dunia, anak cucunya masih ada lagi di Kampung Bruas.

“Apa hajatnya’?” tanya datuk pada Mat Pie.

Mat Pie memperkenalkan kawannya pada datuk. Orang Tanjung Tualang, bertugas sebagai kerani dengan sebuah perusahaan lombong bijih di tempatnya. Orang itu namanya Kulub Maidin dan lebih di kenali dengan nama Din Kerani di tempatnya.

Datuk pun mempersilakan, kedua orang kawannya itu naik ke rumahnya. Nenek pun membuat kopi. Tidak sampai lima minit bercakap, nenek pun menghidangkan kopi panas dan ubi keledek rebus pada mereka. Saya pun tumpang sama.

Dari percakapan mereka, saya mendapat tahu yang Din Kerani meminta pertolongan datuk untuk mencegah kejadian pukau yang kian menjadi-jadi di tempatnya, malah kegiatan gerombolan pukau itu sudah mula melarat ke beberapa buah kampung lain di sekitar Batu Gajah.

“Perkara yang benar-benar saya kesalkan kumpulan pukau tu mencuri harta benda orang-orang kita yang susah”, Din Kerani memberitahu datuk.

Dia juga menyatakan rumah pengurusnya juga sudah di masuki oleh pencuri dengan menggunakan ilmu pukau yang melakukan kegiatannya dalam seminggu sekali dan masanya tidak sama.

“Habis apa yang patut saya buat’?” soal datuk.

“Begini, saya tidak mengharapkan sesuatu yang besar, kalau dapat pihak awak menghalang kejadian itu dari berlaku di tempat kami, sudah cukup.”

“Susah tu, lagi pun saya ni bukannya pandai sangat dan saya belum pun sampai se­ minggu berada di rumah.”

“Dia minta tolong tak akan tak boleh dicuba,” sanggah Mat Pie.

Saya lihat ,muka datuk tidak begitu gembira. Dia termenung panjang.

“Begini saja, awak balik dulu esok atau lusa saya akan datang,” cukup cepat datuk membuat keputusan.

Din Kerani tersenyum. Mat Pie terus menghirup air kopi, kemudian menjamah ubi keledek rebus.

“Tinggalkan alamat rumah awak pada saya,” datuk bersuara pada Din Kerani.

Mat Pie segera mengeluarkan pensil dari saku bajunya dan menyuruh saya mencari secarik kertas.

Bila kertas saya serahkan pada Mat Pie, dengan tenang dia bersuara, “Kau lukiskan rajah rumah kau, jadi senang dia mencarinya.”

“Betul juga,” Din Kerani ambil kertas dan pensil dari Mat Pie.

Dia melukiskan rajah masuk ke rumahnya.Bila selesai kertas itu diserahkan pada datuk. Datuk menatap kertas itu agak lama juga. Dia menggaru pipi kirinya yang berparut. Telatah datuk diperhatikan dengan teliti oleh Mat Pie dan Din Kerani dengan tenang.

“Ada pokok tak sebelum masuk ke rumah awak?”, soal datuk.

“Ada, awak turun dekat sekolah, sebelah kanan jalan ada pokok pauh, ikut jalan tanah merah itu ke darat, hujung jalan tu rumah saya,” Din Kerani memberikan penerangan.

Datuk angguk kepala tanda faham. Bila semuanya sudah selesai, mereka pun pulang. Datuk mengiringi mereka hingga ke muka jalan raya. Masa perjalanan itu Mat Pie tolak motosikal dan Din Kerani terus bercakap dengan datuk. Entah apa yang mereka cakapkan, saya sendiripun tidak tahu.

Malam itu selepas menunaikan sembahyang Isyak, datuk duduk bersendirian di anjung rumah sambil melukiskan rajah-rajah di atas sekeping kertas. Dia memanggil saya menghampirinya. Dia menyuruh saya melihat dia melukis rajah dan menulis perkataan dengan tulisan jawi. Saya akur dengan permintaannya.

“Hari yang baik kita bertolak petang Rabu, tidak ada bahaya; yang kita akan peroleh laba, kalau pergi Khamis, perjalanan bahaya, kita akan kerugian,” datuk memberitahu saya, sambil memberi petua bagaimana mahu memilih hari yang bertuah dalam setiap perjalanan.

Lepas itu, datuk membaca sesuatu sambil memeluk tubuh. Dia minta nenek menyediakan bara atas tempat bara. Barang yang di minta tiba. Datuk menaburkan kemenyan atas bara. Asap kemenyan penuh di ruang anjung. Datuk menolak tempat bara itu ke tepi. Dia sandarkan badan ke dinding.

“Kalau tidak kerana Mat Pie, saya memang berat nak pergi ke Tunjung Tualang,” rungut datuk.

Nenek mendengar apa yang dicakapkan oleh datuk itu.

“Kenapa pula?”

“Saya sudah malas dengan kerja ini.”

“Orang minta tolong, mestilah ditolong.”

“Saya faham, tapi … ,” datuk tidak meneruskan kata-kata itu.

Dia bangun lalu pergi ke ruang tengah. Perasaan datuk saya lihat tidak tenteram malam itu. Saya sesungguhnya memang tidak tahu dengan apa yang bergolak dalam dadanya. Timbul rasa belas dalam hati saya.Kenapa datuk mesti menyusahkan diri sendiri untuk menolong orang lain. Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Anehnya, pertanyaan itu tidak saya ke mukakan pada diri datuk. Saya takut menerima akibat darinya. Tanpa saya sedari, datuk turun ke tanah di malam yang pekat itu. Dia terus naik ke rumah duduk kembali di ruang tengah. Datuk termenung panjang di situ.

“Kenapa tok?” tanya saya.

Datuk renung muka saya.

“Perkara ini berat,” jawabnya.

“Sebab?”

“Orang yang kita cari ni, bukan sebarang orang, dia menggunakan tengkorak manusia untuk kerja pukaunya,” nada suara datuk menurun.

Dahinya saya lihat berkerut empat.

“Walau bagaimanapun kita mesti menolong orang ini,” tambahnya dengan rasa penuh keyakinan sambil mengepalkan penumbuk.

Saya tersenyum dan datuk terus masuk ke bilik tidur. Sebelum memulakan tugasnya, datuk lebih suka meninjau keadaan tempat untuk dia menjalankan kerjanya itu. Ini memang sudah menjadi satu kebiasaan yang mesti di lakukannya.

Dua hari berada di rumah Din Kerani, seluruh kawasan kampung itu sudah dijalaninya. Datuk sudah memilih kawasan hutan mana yang harus dilaluinya pada setiap pagi untuk mandi embun. Hampir separuh dari penduduk kampung itu sudah di lawannya bercakap ketika berjemaah di surau.

Menurut datuk hal ini perlu dilakukan untuk mendapatkan kerjasama orang ramai, tanpa kerjasama kejayaan agak sukar diperolehi. Masuk malam yang ketiga bermalam di rumah Din Kerani, sebuah rumah telah di pukau. Habis harta benda tuan rumah dilarikan orang.

Dan esoknya datuk meninjau kawasan rumah itu. Datuk hanya menemui sekeping daun dedap kering yang diselitkan oleh kumpulan pukau pada tiang seri rumah. Datuk ambil daun itu. Datuk meminta Din Kerani mendirikan satu pondok khas untuknya. Alasan datuk memerlukan pondok itu ialah untuk memudahkan bagi dirinya menjalankan kerja membenteras kejadian pukau. Permintaan datuk ditunaikan. Dengan kerjasama orang kampung sebuah pondok didirikan tidak berapa jauh dari rumah Din Kerani.

“Kumpulan pukau ni, di ketuai oleh orang yang banyak tahu tentang ilmu batin”, kata datuk pada Din Kerani pada suatu senja.

Datuk berazam untuk menewaskan kepandaian ketuanya sebelum kumpulan itu dihancurkan. Pada malam yang keempat, datuk sudah bersedia. Dia memakai seluar hitam, baju hitam dan bertanjak hitam dengan kain selipang berwarna merah terpampang di dada.

Datuk duduk bersila sambil kedua lengannya terletak di atas kepala lutut. Datuk menghadap sehelai kain putih yang diletakkan ke dinding. Dia menyuruh saya menaruh kemenyan dalam tempat bara  yang terletak dihadapannya. Dalam masa tidak sampai lima minit, ruang pondok dipenuhi dengan bau dan asap kemenyan, macam bau bangkai.

“Orang ini menggunakan tengkorak manusia yang mati di bunuh. Tengkorak itu sudah disalaikan ke api hingga mengecut jadi sebesar putik kelapa,” datuk memberi tahu saya.

Saya angguk kepala. Kain putih saya lihat bergerak-gerak dan saya lihat ada bayang manusia di situ. Saya perhatikan kain putih itu penuh minat. Memang ada wajah manusia yang bermisai, hidungnya pesek mempunyai sepasang mata yang tajam agak jauh ke dalam letaknya. Orangnya kelihatan seperti orang yang berbudi bahasa dengan sulah di dahi yang cukup luas. Tingginya lebih kurang lima kaki.

“Sudah jangan lihat,” jerit datuk sambil memadamkan bara api dengan tapak tangannya.

Saya lihat tangannya tidak apa-apa. Tetapi muka datuk saya lihat dirayapi oleh peluh-peluh halus.

“Orang ini dari sebuah kampung dekat Kampung Gajah, Teluk Anson (sekarang Teluk Intan) dulu menjadi S.C.”, ujar datuk lagi sambil membuka kain putih yang tergantung di dinding.

Kain itu di lipatkannya. Dimasukkan ke dalam beg kertas cap kuda terbang.

“Minggu depan dia akan datang ke sini, kalau tak silap kali ini mereka akan memukau rumah ketua kampung,” tambah datuk.

Dia duduk di sisi saya sambil memetik ibujarinya. Walaupun begini, datuk melahirkan rasa bimbangnya untuk berhadapan dengan ketua kampulan pukau itu. Menurut hematnya, kalau silap langkah datuk akan menanggung malu yang cukup besar. Tidak ada jalan lain, datuk terpaksa menghubungi isterinya orang bunian dengan perantaran kuasa ghaib. Datuk memejamkan matanya yang terbuka luas. Dalam sekilap mata saya, saya lihat di tapak tangannya sudah tersedia dua biji limau nipis dan sebilah keris pendek.

“Kita akan menolong orang di sini,” kata datuk dengan nada suara yang cukup riang pada saya.

Dia bangun, berjalan dalam ruang pondok.

“Ketua pukau ini memang handal orangnya, di Slim River dia meletakkan satu keluarga di tengah padang dan tidak mengambil barang-barang yang di rumah,” tambah datuk lagi.

“Kenapa jadi begitu tok?”

“Dia mahu menguji kehandalan tuan rumah tu yang cuba mahu menghalang kerjanya, tuan rumah itu kononnya bersedia menangkap ketua pukau tu dan meminta bayaran yang tinggi untuk kerjanya tu, berita itu sampai ke telinganya dan dia menguji.”

“Siapa yang handal dalam hal ni tok?”

“Tentulah ketua pukau, kalau tidak masakan dia mahu memalukan tuan rumah itu.”

Penerangan datuk itu memberikan satu kepuasan pada diri saya. Malam yang dinantikan pun tiba, sebuah kereta jenis Morris Minor berhenti di tepi jalan dekat sekolah Tanjung Tualang. Dari perut kereta itu keluar tiga orang lelaki menuju kerumah ketua kampung.

Jam ketika itu sudah pukul dua subuh. Saya dengan datuk memperhatikan gerak-geri manusia bertiga itu dengan penuh minat. Sampai di rumah ketua kampung, ketiga-tiga manusia itu mengelilingi rumah ketua kampung sebanyak tujuh kali. Kemudian mereka meletakkan tengkorak kecil di pangkal tiang seri. Lelaki yang berbadan kurus itu terus memuja tengkorak kecil itu yang bertukar warna dari putih ke warna hitam- hitaman. Lepas itu dia membakar kemenyan dengan api rokok. Asap kemenyan diasapkan pada tengkorak. Tengkorak di kepala tiang seri kelihatan berbuih-buih dan bergerak-gerak. Serentak dengan itu seluruh kawasan berbau busuk kemudian berbau wangi. Saya terasa kelopak mata cukup berat.

“Pukaunya sudah menjadi,” bisik datuk pada saya sambil meletakkan kedua tangannya ke muka saya.

Saya terasa segar dan rasa mengantuk terus hilang.

Leave a comment

Filed under Cerita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s