Bercakap dengan jin ~ 18 ( Diganggu lembaga hitam )

lembaga hitam

Di luar hujan turun mencurah- curah. Kilat dan guruh tingkah meningkah. Cahaya kilat yang masuk ke dalam pondok menjilat wajah datuk, Bah Lanjut dan saya. Bila bunyi hujan beransur reda, diganti pula dengan bunyi angin yang cukup keras melanggar dahan dan reranting pokok hutan. Api pelita melintuk-liuk mengikut arah tiupan angin. Bagi menyelamatkan api pelita dari padam, Bah Lanjut segera menaruh daun bertam muda di sekelilingi badan pelita. Beberapa bahagian daripada daun bertam muda itu dibuat lubang kecil bagi mendapatkan cahaya dari pelita tersebut.

Di luar hujan sudah berhenti terus. Angin sudah tidak sekeras tadi merempuh reranting dan dedahan pokok hutan. Bunyi cengkerik cukup gamat. Sekali-sekala terdengar lolongan anjing hutan sayup- sayup. Bunyi suara burung tukang cukup nyaring. Saya melihat jam saku datuk yang bertali tembaga di hujung lututnya.

Waktu Bah Lanjut memperkemaskan silanya,saya dengar ngauman harimau cukup nyaring bersama tempikan gajah. Tanpa di minta oleh datuk, Bah Lanjut perkenalkan datuk dengan pemuda yang membalas dendam pada anak Haji Azhar. Menurut Bah Lanjut, seorang asli membawa pemuda itu menemuinya dan menceritakan apa yang di alami oleh pemuda itu hingga timbul rasa balas di hatinya.

“Saya menolongnya kerana saya fikir dia telah dihina,” nada suara Bah Lanjut penuh kesal.

Datuk tersenyum dan menyuruh Bah Lanjut melupakan peristiwa tersebut.

“Lupakan tentang tu, mari kita cerita tentang hal lain,” ujur datuk sambil melagakan gigi bawah.

Bah Lanjut melunjurkan ke dua kakinya. Kulit belakang Bah Lanjut bertemu dengan dinding pondok yang di perbuat dari kulit kayu Merbau dan Jelutung.

“Ilmu kita bukan untuk merosakkan orang, ilmu kita untuk menolong orang,” keluh Bah Lanjut.

“Ilmu kita pun begitu juga,” tingkah datuk.

Beberapa ekor nyamuk hutan berterbangan dalam pondok. Melihat saya resah dengan kedatangan nyamuk itu, Bah Lanjut menepuk tangan, saya lihat nyamuk yang berterbangan itu menuju ke arahnya Bah Lanjut menadahkan kedua belah tapak tangannya. Nyamuk- nyamuk jatuh atas tapak tanganya.

“Pulanglah, jangan kacau kami,” kata Bah Lanjut

Nyamuk di tapak tangan segera terbang menuju ke arah tepi dinding dan terus keluar. Bunyi suara cengkerik di luar pondok beransur kendur. Malam bertambah dingin. Dua kali saya menguap panjang. Datuk dan Bah Lanjut masih terus bercakap.

“Mahu awak menuntut ilmu pengasih?”

Kelopak mata saya terasa ringan, mata saya bersinar merenung ke arah muka Bah Lanjut. Saya mengisut ke arahnya, kepala lutut saya dengan kepala lutut Bah Lanjut berlaga.

“Caranya?” soal datuk.

Hati saya cukup gembira, saya memang mengharapkan Bah Lanjut menurunkan ilmu itu pada datuk dan sekali gus saya akan dapat mengutip ilmu itu.

Saya kira, ilmu pengasih itu cukup baik untuk saya, bila saya sudah ada ilmu pengasih saya boleh memilih bakal isteri dari anak dara yang wajahnya cantik dari kalangan orang yang berada. Kalau saya di panggil untuk temuduga sebarang pekerjaan, ilmu pengasih dapat menolong saya. Orang menemuduga saya akan kasih pada saya, lalu memberikan pekerjaan, walaupun tidak ada kelulusan, fikir saya dalam hati. Bah Lanjut mengunyah sesuatu di dalam mulut. Saya tidak tahu apa yang dikunyahnya.

“Ilmu tu saya tak mahu, bagilah saya ilmu-ilmu lain,” ujur datuk secara tidak langsung membunuh harapan yang bertunas dalam hati saya.

Saya mengeluh dan datuk tersenyum merenung ke arah saya, bagaikan dia tahu, apa yang bergolak dalam dada saya.

“Kalau awak tak mahu, berikan pada cucu awak,” Bah Lanjut mengemukakan cadangan.

Lagi sekali, saya lihat senyum datuk bermain di bibir.

“Jodoh pertemuan dan rezeki di tentukan oleh Allah yang maha besar,” datuk menepis cakap Bah Lanjut.

“Kita disuruh berusaha.”

“Bukan dengan cara itu tok batin, lagi pula ilmu pengasih ni, banyak buruk baiknya, terutama kalau terlepas ke tangan orang muda.”

“Tujuannya baik ”

“Memang tujuannya baik, tujuan baiknya sikit sangat. Yang di buat tujuan yang jahat yang banyak di lakukan, ilmu tu banyak penggodanya.”

“Jadi, awak tak mahulah. Kalau awak mahu,boleh saya bawa naik bukit dan guna mencari ibu minyaknya.”

“Terima kasih sajalah tok batin,” suara datuk merendah.

Bah Lanjut terdiam. Suara anjing hutan makin keras. Bunyi burung hantu dan jampuk bersahut-sahutan di puncak bukit. Sesekali saya terdengar bunyi orang berjalan di bawah pondok.

Malam bertambah larut. Datuk bangun, lalu membuka pondok. Datuk terkejut. Dua tapak dia undur ke belakang. Muka datuk pucat. Bah Lanjut menerkam ke arahnya. Saya juga menerkam ke muka pintu. Kaki kami bagaikan terpaku di lantai. Di muka pintu, terjegat satu lembaga berbulu hitam tebal. Dahi lembaga itu berbulu, lubang hidungnya cukup luas. Gigi putih lembaga itu menyeringai, bagaikan mahu menelan kami. Saya amati lembaga itu lama-lama. Bentuknya macam seekor monyet besar.

Tiba-tiba, Bah Lanjut bergolek diatas lantai menuju ke arah pelita. Dia cabut daun bertam, lalu membakar kain pelikat datuk yang tersangkut dekat dinding. Dengan mendadak saja api marak dalam pondok kami. Dan lembaga yang berdiri dikaki tangga bersuara, bagaikan suara beruang jantan tercium buah kelubi. Lembaga itu menggawang- gawangkan tangannya ke kiri dan ke kanan. Kemudian lengannya yang berbulu itu menutup kedua belah matanya. Lembaga hitam itu menjerit dengan sekuat hatinya, lalu menendang dinding dekat pintu. Dinding yang dibuat dari kulit kayu itu runtuh dan pecah berkaca. Lembaga itu melompat ke tanah dan diikuti dengan bunyi kayu tangga patah. Lembaga itu pun hilang dalam kegelapan malam yang pekat itu. Datuk, saya dan Bah Lanjut kembali duduk di ruang tengah pondok, sesudah api yang membakar kain pelikat datuk dipadamkan.

“Apa bendanya tu tok batin?” soal datuk dengan tenang.

Bah Lanjut terdiam. Dia merenung liar ke kiri dan ke kanan.

“lnilah masalah yang kami hadapi sekarang,” bisik Bah Lanjut pada datuk.

Datuk angguk kepala. macam itek angsa bertemu kawan. Saya resah sendiri. Bimbang benar hati saya, kalau lembaga hitam itu datang lagi.

“Saya harap awak boleh menolong kami dalam hal ini.” Bah Lanjut menyuarakan hasrat hatinya.

Datuk merenung lantai yang terbuat dari buluh itu. Bah Lanjut nampak resah. Sesekali dia membetulkan parang yang tersangkut di pinggangnya.

“Benda tu, cuma takut pada api saja,” sambung Bah Lanjut dengan rasa kesal.

Dan barulah saya faham, kenapa waktu tengahari mahu jatuh di kaki lantai, orang asli membakar kayu besar yang dilonggokkan di sekeliling rumah mereka. Api biarkan menyala hingga ke subuh. Bah Lanjut berjalan ke hulu ke hilir dalam ruang pondok. Berhenti dekat bendul pemisah, antara ruang tengah dengan dapur. Dia duduk dekat bendul sambil menakik -nakik kayu bendul dengan parang kontotnya.

Datuk hanya memperhatikan saja tingkah laku Bah Lanjut. Dari gerak-geri itu, datuk dapat meramalkan, bahawa penghulu orang asli itu di amok rasa resah yang tidak menentu. Bah Lanjut merenung ke arah Datuk. Datuk angkat kepala lalu pandangan mereka bertembung.

“Yang kita bimbangkan tentang keselamatan anak buah kita, terutama anak- anak dara,” Bah Lanjut mengeluh.

“Sebab?”

“Binatang sial tu, mencari anak dara, sudah dua orang anak buah saya di kampung bukit sebelah mati kerananya.”

“Dahsyat tu.”

“Kerana itulah, kalau boleh saya mahu minta tolong dari awak, walaupun saya handal tetapi dalam hal ni, saya mengaku kalah,” Bah Lanjut mengakui kelemahan yang terdapat pada dirinya.

Datuk kerutkan dahi. Saya rebahkan badan di atas lantai buluh. Bah Lanjut bangun ambil kain dari dalam beg datuk. Kain itu dicampakkannya pada saya.

“Selimut badan kau, sejuk ni,” ujamya sambil ketawa kecil.

Bah Lanjut terus mendekati datuk. Mereka bercakap. Apa yang dikatakan oleh mereka itu dapat ditangkap oleh gegendang telinga saya, walaupun kelopak mata saya pejam rapat. Fikiran saya berperang sama sendiri.

Bentuk lembaga hitam yang besar itu menari-nari dalam kepala saya. Bagaimana, ketika saya terlelap lembaga itu datang, lalu membawa saya ke tempatnya? Barangkali lembaga itu memakan daging manusia. Apakah daging peha saya akan dibahamnya? Semuanya berlegar-Iegar dalam kepala saya.

Datuk terus juga bercakap dengan Bah Lanjut. Saya pusing kanan. Setiap kali badan saya bergerak, lantai buluh tetap berbunyi kiuk-kiuk. Bila bunyi itu terdengar berturut- turut kali,saya terasa seronok,macam satu nada irama lagu yang terjadi tanpa penciptanya.

Bah Lanjut memberitahu datuk, lembaga hitam itu sudah dua tiga kali masuk ke dalam perkampungannya, malah satu ketika anak buahnya hampir berjaya memberkas lembaga hitam itu dengan mengepungnya, tetapi lembaga itu berjaya menghilangkan diri dengan berpaut pada dahan meranti condong. Menurut Bah Lanjut, setiap kali lembaga hitam datang, mesti diiringi dengan bunyi burung hantu atau salakan anjing hutan.

Begini saja, esok kita cari kesan tapak kakinya,” datuk memberi satu keputusan yang muktamad.

Dan Bah Lanjut bersetuju dengan cadangan datuk itu.

“Sampai ke mana?” soal Bah Lanjut.

“Sehingga mana yang boleh kita cari,” batas datuk .

Bah Lanjut anggukkan kepala. Mereka terus bercakap. Gegendang telinga saya sudah tidak mampu mahu mendengar perbualan datuk dengan Bah Lanjut. Saya terlelap.

Bila saya terjaga dari tidur, saya lihat Bah Lanjut sudah tiada dalam pondok. Datuk saya lihat masih termenung panjang. Malas saya mahu menyuruh datuk tidur. Saya kira dia sedang memikirkan sesuatu. Saya tidur kembali.

Pagi itu, sembahyang subuh, datuk terus mengajak saya mandi air embun. Pagi di perkampungan orang asli cukup mengesankan. Saya melihat matahari terbit di puncak banjaran Gunung Titiwangsa, kabus nipis berarak menuju ke dada langit, kicau burung hutan dan ayam hutan bersahut-sahutan. Lepas mandi air embun, saya bakar ubi kayu dan datuk masak air panas. Bila matahari sudah meninggi, sayup-sayup terdengar bunyi suara jentera dan pekerja hidro-elektrik dan di turuti dengan bunyi ledakkan yang cukup kuat.

“Apa benda tu tok?” tanya saya.

“Dia orang tebuk bukit buat terowong air,” begitulah datuk memberi penjelasan.

Saya melihat ke arah bunyi ledakkan itu, saya lihat ada asap berkepul naik ke udara. Selesai makan ubi bakar dan minum kopi, Bah Lanjut datang menemui datuk. Dia mengajak datuk mencari kesan tapak kaki lembaga hitam yang datang ke pondok malam tadi.

“Boleh, nanti saya tukar pakaian,” jawab datuk.

Saya dan datuk pun ke atas pondok. Bah Lanjut menanti di tanah. Dia memakai seluar pendek kuning, berbaju hitam dengan parang kontot tersangkut di pinggang. Sumpit panjangnya tersandang di belakang. Saya dan datuk turun ke tanah. Sesudah berkeliling di kawasan sekitar pondok. Saya terjumpa kesan tapak kaki binatang, macam bentuk tapak kaki gajah, mempunyai empat jari. Saya segera memberitahu datuk dan Bah Lanjut.

“Memang inilah tapak kakinya,” kata Bah Lanjut sambil menguis dedaun di kelilingi tapak kaki itu.

Bah Lanjut berhenti menguis. Dia mengambil sesuatu dari muka tanah.

“Inilah bulunya,” pekik Bah Lanjut sambil menunjukkan pada datuk.

Saya dan datuk pun rapat pada Bah Lanjut. Bulu hitam keras itu pindah dari tapak tangan Bah Lanjut ke tapak tangan datuk. Datuk renung bulu hitam keras itu. Bila bulu itu terkena sinar matahari, warnanya menjadi perang. Datuk menyerahkan bulu itu pada Bah Lanjut. Dan Bah Lanjut memasukkan ke dalam buluh yang tersangkut di pinggang sebelah kirinya.

Berpandukan kepada kesan tapak kaki itu, kami bergerak menuju ke arah barat daya. Datuk dan Bah Lanjut menemui beberapa ranting kayu patah kena pijak. Dua tiga pokok hutan kelihatan terkulai, bagaikan dirempuh sesuatu. Kesan itu hilang di sebuah lurah menghala ke sebuah anak bukit yang di pisahkan oleh sebatang anak sungai dengan perkampungan orang asli. Matahari sudah berada betul- betul di tengah kepala. Kerana kesan tapak kaki lembaga itu tidak dapat di kesan lagi, datuk dan Bah Lanjut membuat keputusan pulang saja ke pondok. Datuk memberi janji akan menolong Bah Lanjut mengatasi masalah tersebut, demi keselamatan anak buahnya. Dan Bah Lanjut juga memberi ikrar akan membantu datuk sedaya upaya untuk menangkap atau mengusir lembaga hitam itu.

Sebaik saja kami sampai di pondok, lima orang pemuda Melayu dengan topi putih berbucu depan belakang, seakan-akan bentuk topi keledar menanti kami. Mereka bercakap sesama sendiri.

“Apa halnya ni?” tanya Bah Lanjut.

Kelima-lima pemuda itu diam. Mata mereka merenung tepat ke arah saya dan datuk . Salah seorang daripada pemuda itu berbadan tegap, berkulit hitam manis menghampiri saya.

“Awak orang asli atau orang Melayu?” tanyanya dengan berbisik pada saya.

Saya tersenyum. Aneh juga rasanya, kerana mereka tidak dapat membezakan saya dan datuk dengan orang asli.

“Saya orang Melayu,” jawab saya.

“Itu datuk saya,” muka anak muda yang bertanya kelihatan berubah.

Dia hulurkan tangan, bersalam dengan saya dan datuk .

“Saya Zamri,” katanya pada datuk .

“Awak orang mana?”

Saya orang Jeram, dekat Kuala Dipang, Kampar, saya bekerja di sini.”

Mendengar cakap pemuda itu, datuk angguk kepala dan tersenyum. Datuk lalu mempersilakan mereka duduk di atas tunggul kayu di halaman pondok. Bah Lanjut berdiri di depan kumpulan pemuda tersebut.Saya terus duduk di sisi salah seorang anak muda yang berkulit hitam, berhidung mancung. Tanpa diminta anak muda itu memberitahu saya namanya, Amiruddin, berasal dari Teluk Bahang, Pulau Pinang. Sudah dua tahun menjadi buruh hidro elektrik di situ.

“Apa halnya?” tanya Bah Lanjut lagi.

Zamri bangun sambil meraba-raba batang hidungnya.

“Kawan kami kena patuk ular di kaki bukit, waktu menebas,” katanya.

Bah Lanjut renung muka datuk dan menyatakan, pekerja-pekerja di situ memang selalu menemuinya jika ada menghadapi kesulitan seperti itu.

“Kenapa tak bawa jumpa doktor?” datuk menghadapkan pertanyaan itu pada Zamri.

Bah Lanjut menggosok-gosok ulu parang kontotnya.

“Salah seorang kawan saya sudah pun jumpa ketua, memang mahu dibawa ke Hospital Tapah, tetapi kami terpaksa tunggu kereta.”

“Di mana kawan awak tu?” saya pula bertanya.

“Ada dekat setor, menanti kereta.” Bah Lanjut membisikkan sesuatu ke telinga datuk.

Kemudian Bah Lanjut mengajak kelima-lima pemuda itu pergi ke tempat kawan mereka yang kena patuk ular itu. Setelah meredah hutan dan menuruni dua buah anak bukit, akhirnya saya, dan datuk dan Bah Lanjut sampai ke belakang setor.

Di situ, saya lihat seorang pemuda terbaring atas pangkin. Seorang lelaki berbangsa Jerman berdiri di sisinya. Pangkal peha pemuda yang baru berusia lebih kurang dua puluh lima tahun itu diikat dengan kain kuat- kuat. Lelaki berbangsa Jerman itu meletakkan sesuatu di bahagian bawah peha yang sudah diikat itu. Pemuda yang malang itu tidak bergerak. Dadanya kelihatan berombak. Kedua kelopak matanya rapat. Zamri menghampiri lelaki Jerman yang berbadan tegap. Mereka bercakap dalam bahasa Inggeris. Dua tiga kali orang Jerman itu geleng kepala. Zamri terus juga bercakap akhirnya orang Jerman menghampiri datuk.

“Migiteis,” ujur lelaki itu.

Datuk angguk kepala. Lelaki itu bercakap sesuatu pada datuk. Saya lihat kelopak mata datuk pejam celik. Dia tidak mengerti dengan apa yang diperkatakan oleh orang Jerman itu. Bahasa yang diucapkan oleh orang Jerman itu terlalu asing buatnya.

“Ini ketua kami, dia setuju memberi peluang pada kami mengubat kawan yang malang itu, mengikut cara kampung, sementara menanti kereta yang akan membawanya ke rumah sakit Tapah,” Zamri menjadi juru bahasa pada datuk dan Bah Lanjut.

Orang Jerman yang berbadan tegap itu renung muka datuk dan Bah Lanjut. Bila orang Jerman itu meninggalkan bahagian belakang setor menuju ke pejabat kecilnya bengkel membaiki lokomotif, Bah Lanjut memerintahkan Zamri dan kawan-kawannya mencari batang tepus dan pokok pisang karok (pisang hutan) serta daun langkah dengan secepat mungkin. Tidak sampai dua puluh minit, barang-barang yang dikehendaki oleh Bah Lanjut itu diperolehi, pemuda malang di atas pangkin di bawa kesatu tempat lapang berdekatan dengan pokok jelutung mati dahan. Bah Lanjut meletakkan barang- barang yang di kehendaki di sekeliling pangkin.

“Pukul berapa?” tanya saya pada Zamri.

“Dekat pukul dua petang,” jawabnya, tiba-tiba datuk menepuk bahu saya menyuruh saya diam.

Bah Lanjut mengambil batang tepus lalu dipukul ke pangkal pokok pinang hutan, dipalu ke tanah tujuh kali. Manakala pucuk daun langkap dikoyak- koyak, separuh dibuang ke dalam hutan, separuh lagi dikunyahnya. Pucuk langkap yang sudah hancur itu diluahkan di pangkal pangkin. Bah Lanjut menyuruh saya dan datuk serta kawan-kawan Zamri, duduk di satu tempat agak jauh juga jaraknya dengan pangkin sambil berpesan jangan bercakap atau bangun. Dan gerak gerinya jangan di tegur. Kami beredar.

Muka Zamri dan kawan- kawan agak cemas, mereka agak bimbang kalau-kalau yang kena patuk ular itu tidak pulih dalam waktu yang ditepatkan, kereta dari Batu Tiga Puluh Dua akan datang dan ketua mereka akan memerintahkan supaya kawan yang malang itu dibawa segera ke Hospital Tapah. Bah Lanjut duduk mencangkung di depan pangkin.

Dia bercakap dalam bahasa orang asli, macam kicau burung hantu bunyinya. Lepas itu dia mengambil sehelai daun berhampiran tempat tersebut lalu meniupnya. Bunyi tiupan dari daun itu cukup nyaring dan sakit gegendang telinga saya dibuatnya. Bah Lanjut terus meniupnya tanpa berhenti-henti. Peluh di dahi dan di belakang mula keluar.

Tiba-tiba saya melihat beberapa ekor ular keluar dari hutan kecil di belakang kami, semuanya meluru ke arah pangkin pemuda malang itu. Anehnya, ular itu berpatah balik ke dalam hutan. Bah Lanjut terus meniup daun tanpa berhenti-henti.

Tanah lapang dekat pangkin pemuda malang itu, sudah pun di penuhi dengan berbagai bentuk ular, beberapa ekor ular menjalar dan memanjat belakang Bah Lanjut yang meniup daun. Saya berasa takut, belum pernah saya melihat ular sebanyak itu dengan beranika rupa dan bentuk. Saya kira semua ular di dalam hutan sekitar itu berkumpul di situ. Dada saya berdebar, tanpa memperdulikan kami, ular- ular terus berkeliaran keluar dan masuk ke dalam hutan belakang. Kami tidak bergerak. Kami benar-benar jadi tunggul buruk. Saya jeling kemuka daluk. Saya lihat wajahnya tetep tenang. Ular berkeliaran di kaki pangkin.

Bah Lanjut terus meniup daun, ular yang begitu banyak di tanah lapang beransur kurang. Kawan Zamri yang malang masih terkapar atas pangkin di panggang matahari yang keras.

Dalam beberapa saat saja, semua ular yang ada di situ ghaib semuanya. Bah Lanjut duduk kembali, dia terus meniup daun dengan sekuat hatinya. Seekor ular hitam, sebesar lengan kanan saya merayap keluar dari hutan di belakang kami. Ular itu bergerak malas menuju ke arah Bah Lanjut. Ia berhenti betul-betul di depan Bah Lanjut. Ular itu panggungkan kepala di depan muka Bah Lanjut. Kepala Bah Lanjut dan kepala ular itu kelihatan sarna parasnya. Ular itu boleh mematuk leher atau kepala Bah Lanjut.

Ular hitam yang nampak berkilat di sinar matahari itu merebahkan badannya atas tanah seketika, kemudian panggung kepala lagi. Perbuatan itu dilakukannya sebanyak tiga kali berturut. Nada tiupan dari Bah Lanjut beransur perlahan, iramanya yang tadinya keras berubah pada nada irama yang agak sayu sedikit. Ular hitam di hadapannya bergerak malas menuju ke arah pangkin, bergerak dengan bebasnya di atas tubuh kawan Zamri yang terkapar di situ. Ular itu berhenti betul-betul di bahagian dada kawan Zamri yang malang. Ular panggung kepala lagi ke arah Bah Lanjut, nada tiupan Bah Lanjut bertambah lemah, ular hitam rebahkan kepala lalu merayap ke celah peha kawan Zamri dan berhenti di situ.

Saya lihat ular itu membenamkan kepalanya di bawah ikatan pada kawan Zamri,lama juga ular itu mengisap sesuatu di situ. Bah Lanjut bangun, bunyi tiupan dari daun di celah mulut Bah Lanjut bertambah perlahan. Ular hitam berpusing atas pangkin, kemudian turun ke tanah dengan gerak yang amat perlahan sekali.

Sebaik sahaja ular hitam itu sampai di hadapan Bah Lanjut, ular hitam itu sudah tidak bergerak Iagi. Bah Lanjut menerkam ke arah kawan Zamri di atas pangkin, daun hutan yang di buat serunai dikelapkan bahagian betis kawan Zamri yang di patuk ular itu. Bah Lanjut menepuk dada kawan Zamri. Kawan Zamri di atas pangkin menggerakkan kaki dan tangan. Bah Lanjut menggamit kami datang ke arahnya.

“Dia dah sedar dari pengsan, bisanya dah dihisap oleh ular yang mematuknya,” kata Bah Lanjut, kawan Zamri yang malang pun bangun.

Dia turun dari pangkin. Serentak dengan itu kereta dari Batu Tiga PuIuh Dua pun sampai dan orang Jerman yang mengetuai pekerja di situ datang ke arah kami, mukanya bengis, dia memaki Zamri dan kawan- kawannya kerana membawa pemuda yang kena patuk ular ke tempat lain tanpa memberitahunya. Orang Jerman itu terkejut, bila dia melihat pemuda yang kena patuk uIar itu sudah boleh berdiri serta berjalan ke arahnya dan terus bersalam dengannya. Orang Jerman memeluk datuk dan Bah Lanjut sebagai tanda mengucapkan ribuan terima kasih kerana berjaya menyelamatkan pekerjanya.

“Beri dia berehat dulu, petang esok saya datang lagi,” kata Bah Lanjut pada Zamri.

Bah Lanjut mengambil bangkai ular hitam itu dan dibelitkannya ke leher.

“Buat apa?” tanya duduk penuh ragu.

“Mesti ditanam,” jawabnya.

Datuk dan saya berpandangan.

“Ilmu inilah yang mahu saya tuntut dari awak,” datuk menyatakan hasratnya.

“Boleh, tapi awak mesti tolong saya hancurkan lembaga hitam duIu.”

“Saya cuba tok batin.”

Kami pun meninggalkan kawasan pekerja hidro elektrik menuju ke arah perkampungan orang asli. Sebaik sahaja sampai di pondok, datuk terus duduk di atas tunggul buruk di hadapan pondok. Bah Lanjut terus pulang ke rumahnya. Saya terus masuk ke dalam pondok merebahkan badan, kerana terlalu letih saya tertidur.

Bila saya terjaga dari tidur, saya lihat datuk membincangkan sesuatu dengan Bah Lanjut. Saya segera mendapatkan mereka.

“Malam ini, kita tunggu lembaga hitam tu datang, esok kita pergi ke kampung lain dekat Kampung Raja di Tanah Rata,” datuk memberitahu saya.

Saya terdiam. Bah Lanjut renung muka saya.

“Di kampung orang darat sana, ada orang sakit kena sembur lembaga hitam.” Bah Lanjut menerangkan kepada saya.

“Walaupun begitu, malam ini kita mesti berjaga kalau lembaga hitam itu datang,” terang Bah Lanjut.

Saya angguk kepala.

 

Leave a comment

Filed under Cerita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s