Bercakap dengan Jin ~ 8 (Manusia berkepala anjing)

Imam Hamid mengedutkan dahinya hingga berlapis empat. Dia renung muka datuk. Dia renung muka saya hingga kepucatan yang terhampir di wajahnya hilang.

“Mustahak ke ?” soalnya agak ragu.

“Memang mustahak, perkara yang mahu diceritakan ni ada hubungannya dengan diri Pak Imam.”

“Dengan diri saya ?” “Iya,” datuk angguk kepala.

Tanpa banyak bicara Imam Hamid mengikut datuk dan saya ke rumah. Kami bertiga duduk bersila di anjung rumah. Macam selalu datuk bila berbual suka bersandar. Sebelah kakinya berdiri lutut. Ini memang amalan datuk. Menurut datuk duduk begitu bukan duduk yang kosong. Duduk yang ada makna. Susah kalau musuh mahu menyerang, payah hantu syaitan mahu mengoda.

“Apa dia perkara yang mustahak tu?” Imam Hamid mula mendesak.

Datuk tersenyum. Serentak dengan itu nenek pun meletakkan tiga cawan kopi di depan kami.

“Begini,” datuk menggeliat dan terus bercerita ; “Anjang Dollah sudah mati, pagi esok kita terpaksa uruskan mayatnya untuk di tanam. Dia mati dibunuh syaitan yang dibelanya.” Imam Hamid terkejut.

Kemudian dia senyum. Sepasang matanya merauti paras datuk. Saya cuma diam sahaja. Tidak baik campur orang tua-tua bercakap.

“Pemintaan saya diberkati Allah.”

Itu yang terhambur dari mulut Imam Hamid. Matanya bercahaya memandang muka saya.

“Dengan apa Pak Imam membinasakan kerja laknat tu, “ datuk terus bertanya.

Imam Hamid gosok batang hidungnya beberapa kali.

“Dengan ayat Quran, kau harus tahu tidak ada kuasa yang dapat mengatasi kekuasaan Tuhan, lagi pun dalam Quran sudah lengkap semuanya. Kerja jahat memang tidak diberkati Tuhan.”

Itulah yang diberitahu oleh Imam Hamid pada datuk. Datuk angguk kepala. Imam Hamid pun terus bercerita pada datuk tentang diri Anjang Dollah. Menurut Imam Hamid, Anjang Dollah memanglah dukun yang tidak bersih. Ia tidak mengamalkan ilmu kedudukannya untuk kebaikan manusia. Dia bekerja bergurukan syaitan. Kerjanya mengorek kubur perempuan mati beranak, suka ambil kain kapan rambut orang yang baru mati beranak.

“Agaknya dia dukun sihir Pak Imam,” dengan mendadak datuk bersuara.

Imam Hamid mengakuinya sambil berkata ; ” Dia sudah dipengaruhi syaitan sanggup mengambil darah orang mati beranak untuk makanan syaitan yang dipeliharanya.”

“Siapa pula yang di belanya tu ?” saya tanya.

Datuk merenung dengan marah pada saya.

“Hantu itu, adik perempuannya sendiri, dia potong kepalanya dan hal tu tak dikesan oleh sesiapapun.”

“Dahsyatnya,” ujar datuk.

“Memang dahsyat dan aku menduga dia akan mengorek kubur anak aku. Jadi aku bersedia untuk menghantarkannya.”

Imam Hamid berhenti bercerita. Dia minta diri untuk pulang ke rumahnya. Mula daripada malam itulah datuk mendapat tahu, bahawa Imam Hamid bukan sebarang orang. Dia banyak ilmu dunia dan akhirat. Sifat orang terpuji pada diri Imam Hamid kerana dia tidak mahu menunjukkan kebolehannya di mata orang ramai. Inilah yang mengkagumkan diri datuk. Sebaik sahaja Imam Hamid pulang. Saya dan datuk tidak dapat tidur. Rumah datuk diganggu dengan bermacam- macam cara. Pintu rumah datuk terbuka dengan sendiri. Kelambu datuk terbakar sendiri. Paling mengerikan bila rumah dibaling dengan batu dan kayu. Datuk tidak bertindak dia cuma membiarkan sahaja. Dia cukup tenang duduk di tengah rumah. Bila datuk mahu pergi ke perigi untuk mengambil air sembahyang. Dia terkejut. Ruang luas di anjung rumahnya penuh dengan daun buluh dan batang pisang.

“Syaitan, semuanya kerja syaitan,” keluh datuk.

Dia terus ke perigi. Saya juga ikut ke perigi. Kami sembahyang subuh bersama. Selesai sahaja datuk sembahyang semua daun pisang dan batang buluh hilang.

Pagi itu, kami berdua segera pergi ke tanah kubur. Sampai sahaja di kawasan tanah perkuburan. Imam Hamid dan beberapa orang kawannya sudah berada di situ. Mayat Anjang Dollah sudah dimasukkan ke dalam guni. Dua orang anak muda sudah pun mengandar guni yang berisi mayat Anjang Dollah. Datuk segera mendapatkan Imam Hamid minta kebenaran untuk melihat mayat Anjang Dollah. Permintaan datuk itu tidak dihampakannya. Sebaik sahaja datuk melihat mayat Anjang Dollah dalam guni. Air mukanya segera berubah. Jadi cemas.

“Kenapa jadi macam itu ?” Datuk dengan tiba-tiba bersuara.

“Itulah pembalasan yang dapat kita lihat, bila orang melakukan kerja-kerja yang bertentangan hukum Allah,” bisik Imam Hamid pada datuk.

Mayat Anjang Dollah pun dibawa ke rumah. Dia dimandi dan dikapan, akhirnya disemadikan di tanah perkuburan.

Cerita tentang Anjang Dollah pun padam dari menjadi pokok perbualan orang-orang kampung. Datuk mula berkawan dengan Imam Hamid. Tujuan utama datuk berkawan ialah untuk menambahkan ilmu buat dirinya. Orang yang selalu dibawa oleh datuk ke rumah Imam Hamid, saya sendiri.

Kadang-kadang saya jadi bosan dan benci dengan perangai datuk itu. Bila saya memprotes, datuk cuma ketawa sahaja. Dia berharap benar-benar supaya saya ambil tahu tentang kepandaian orang Melayu dalam beberapa bidang tertentu yang menurut datuk kebolehan dan kepandaian itu sudah mulai pupus. Pada dasarnya , saya setuju dengan apa yang diperkatakan oleh datuk itu.

“Aku tak mahu kau jadi dukun atau pawang,” kata datuk pada satu malam.

“Tak guna saya ikut datuk.”

“Ada gunanya,”

“Apa gunanya, sekadar untuk tahu sahaja tak lebih dari itu, aku mahu kau jadi doktor atau peguam.”

“Jadi dukun, sama juga tarafnya dengan doktor.”

“Itu pendapat yang salah,” dalih datuk.

Kerana malam itu terlalu dingin, saya minta pada datuk untuk tidur dalam biliknya. Permintaan saya itu diizinkan oleh datuk dengan syarat saya tidak dibenarkan mengusik semua perkakas datuk dalam biliknya. Pesan datuk itu saya akur. Waktu saya menolak pintu bilik datuk, saya lihat jam di ruang tengah baru pukul sebelas malam. Sepatutnya saya tidur lebih awal dari itu kerana esoknya saya mesti pergi ke Kuala Lumpur untuk temuduga sebagai buruh hutan atau forest labourer. Datuk sudahpun memberikan beberapa petua untuk temuduga tersebut. Antaranya, bila saya mahu melangkah harus dimulakan dengan kaki kanan. Tidak boleh berpatah balik. Bila berhadapan dengan orang yang menemuduga kelak. Saya harus membengkokkan jari telunjuk saya sambil berkata.

“Aku tidak mematahkan jariku, tapi mematahkan hati orang yang menyoal. Biar dia simpati dan kasih pada diriku.

” Sebaik sahaja berkata begitu, saya disuruh salawat Nabi s a w tiga kali sambil membaca ayat Qulya. Semuanya saya lakukan dalam hati. Saya masuk ke dalam bilik datuk rebahkan badan atas katil. Tiba-tiba saya rasa katil bergerak. Saya bangun dan menoleh ke kanan. Badan saya menggeletar.

Seorang lelaki berbadan tegap, bermandikan peluh, berdiri di situ. Muka lelaki itu kelihatan hitam. Bila direnung lama-lama muka lelaki itu berubah menjadi muka anjing yang garang mula dari pangkal lehernya. Lelaki itu menjelerkan lidah anjing dan cuba menjilat badan saya. Saya terus menjerit, serentak dengan itu datuk melompat ke dalam bilik dengan keris di tangan. Manusia berkepala anjing merenung muka datuk dan bersedia untuk menerkam pada datuk. Datuk angkat tangan kiri separas dada. Tangan kanan datuk menunjuk ke arah manusia berkepala anjing. Jari manis dan jari kelingking datuk berkait antara satu sama lain. Manusia kepala anjing melompat ke sebelah kiri, kemudian hilang di balik dinding. Serentak dengan itu juga tingkap bilik datuk terbuka kemudian bagaikan dihempas oleh sesuatu benda, papan tingkap memukul jenang, seluruh bilik bergegar. Barang-barang yang tersangkut di situ jatuh berserak ke lantai. Datuk menerpa ke tepi tingkap. Dilihatnya bulan sedang mengambang. Angin tidak bertiup tetapi pokok rambutan gading di depan rumah bergerak. Beberapa minit kemudian terdengar salakan anjing bersahut- sahutan. Datuk meniup tingkap. Dia menyuruh saya pindah ke bilik lain yang dekat dengan bilik nenek.

“Jaga cucu kita ni baik-baik,” datuk beritahu nenek.

“Awak nak ke mana ?”

“Aku nak selesai masalah baru ini di rumah Imam Hamid.”

“Awak nak pergi seorang.”

“Tentulah,” suara datuk keras.

Baru lima langkah datuk melangkah di halaman terdengar jeritan orang perempuan dari rumah Hussein Janggut. Datuk bergegas ke situ.

“Kenapa Sin ?” datuk tercungap-cungap

“Bilik anak dara saya di masuk orang berkepala anjing.”

“Kemudian apa jadinya ?

” “Dia cuba membawa anak dara saya keluar dari rumah ni,” sungut Hussein Janggut parau.

Dalam beberapa detik sahaja rumah Husein Janggut mula dikerumuni orang kampung. Malam itu sahaja sekurang-kurangnya lima buah rumah yang ada anak dara telah didatangi oleh makhluk manusia berkepala anjing. Seluruh kampung Paya Liam jadi gempar. Malam itu juga bentuk dibentuk jawatankuasa pengawal kampung. Seluruh isi perut kampung Paya Lima berazam mahu menangkap manusia aneh itu. Perkara itu segera dilaporkan kepada pihak polis.

Dua malam kemudian atas inisiatif Imam Hamid, orang lelaki Paya Lima dikumpulkan di surau.Mereka mengadakan pembacaan Yassin untuk menghindarkan manusia kepala anjing yang berleluasa di kampung tersebut. Ibubapa yang mempunyai anak dara diminta supaya jangan membenarkan anak dara mereka berjalan waktu malam, terutama ketika bulan mula mengambang. Setiap anak dara disuruh membawa pisau atau parang bila mahu tidur. Pintu dan tingkap harus dikunci. Datuk dan Imam Hamid sungguh runsing dengan kejadian itu.

Dalam sibuk-sibuk perkara manusia berkepala anjing, Imam Hamid menghilangkan diri dari kampung tersebut. Dengan itu beberapa tuduhan mula dilemparkan oleh orang- orang kampung pada Imam Hamid. Datuk bertindak tegas. Dia menolak semua tuduhan itu dengan alasan yang dapat diterima oleh orang-orang kampung.

“Cara yang paling selamat kita lakukan ialah berjaga pada setiap malam.”

Itu nasihat datuk pada orang-orang kampung. Beberapa orang dukun memberikan petua pada anak dara dan teruna supaya menaruh inai di jari manis. Dukun-dukun juga menasihatkan setiap rumah harus menyimpan Quran dan membacanya pada setiap malam. Dengan itu akan melumpuhkan kegiatan manusia kepala anjing datang ke rumah yang ada anak dara dan teruna. Dukun-dukun atau pawang mengesahkan bahawa manusia kepala anjing itu adalah manusia yang datangnya dari kampung berhampiran yang sedang mengamalkan ilmu salah. Dia sedang menuntut ilmu seri pandang yang antara lain memaksa penuntut ilmu menjadi anjing. Dia akan menjadi manusia yang kacak dan cantik, bila dia sudah dapat memperkosa empat puluh orang gadis atau dapat menghisap darah anak teruna sebanyak empat puluh empat orang. Kalau dia tidak dapat berbuat begitu, dia akan terus menjadi anjing berbadan manusia hingga hari kiamat. Kalau dia berjaya, dia akan dapat menguasai hantu syaitan yang akan memberikan kemewahan pada dirinya.

Malam itu, datuk pulang dari surau sesudah membaca Yassin. Waktu datuk mahu melintasi parit kecil yang memisahkan Kampung Paya Besar dengan Paya Lima, datuk terpandang pokok keduduk dan serunai laut tepi parit bergerak-gerak. Datuk sembunyikan diri di balik pokok besar.

Di langit bulan mula mengambang, makin kuat sinar bulan memanah bumi, makin kuat pokok- pokok kecil di situ bergerak. Anjing mula bersuara keras. Datuk membuat keputusan untuk mengetahui apakah gerangan yang bergerak dalam hutan kecil itu. Bila bulan sudah cukup mengambang. Datuk melihat satu lembaga manusia bergerak dan berjalan macam anjing, mencium tanah dan pokok-pokok di situ.

“Syaitan,” sergah datuk.

Lembaga itu terus menyalak macam anjing. Dari merangkak lembaga itu tegak berdiri. Dengan tiba-tiba sahaja beberapa ekor anjing besar mengelilingi lembaga itu.

“Engkau rupanya memang aku cari selam ini,” suara datuk keras.

Bila dia melihat manusia berkepala anjing hitam itu dengan matanya yang bercahaya ke merah- merahan. Bulunya cukup tebal. Giginya putih tajam dan air liur meleleh di muncungnya. Rupanya cukup mengerikan. Manusia berkepala anjing itu mula menerkam pada datuk. Macam selalu datuk yang memang pandai bersilat itu mengelak dengan mudah. Perbuatan datuk itu menaikkan darah manusia berkepala anjing itu. Ia melolong dengan kuatnya. Empat ekor anjing hitam di sampingnya datang menyerang datuk. Anehnya semua anjing-anjing itu hilang entah ke mana, bila datuk membaca ayat Al-Kursi. Dengan itu menguatkan hati datuk, bahawa dia berhadapan dengan syaitan. Sekarang, datuk berhadapan dengan manusia berkepala anjing satu sama satu. Tidak mudah bagi datuk untuk menewaskannya. Manusia berkepala anjing tidak menyerang datuk, tapi dia merenung muka datuk dengan matanya yang bersinar tajam. Dua kali datuk jatuh terlentang. Belumpun sempat manusia berkepala anjing menerkam padanya datuk segera bangun. Datuk pun menggunakan ilmu kebatinannya untuk menentang manusia kepala anjing. Di samping itu datuk juga menggunakan ayat-ayat al-Quran. Datuk mula terasa musuh yang ditentangnya beransur lemah.

Benarlah, manusia kepala anjing itu mula rabah ke bumi. Dengan sekilas pandang datuk sudah dapat mengenali manusia berkepala anjing.

“Aku kenal kau,” pekik datuk.

Serentak dengan itu tempat manusia berkepala anjing terus ghaib. Datuk menang dalam perjuangan ini. Tapi datuk memang tidak menduga manusia yang jadi kepala anjing itu, adalah manusia yang dikenalinya. Dia pernah bercakap dengan orang itu. Memang di luar dugaan perkara itu boleh berlaku. Apakah orang itu melakukan semuanya kerana mahu membalas dendam. Persoalan ini timbul dalam kepala datuk sepanjang malam.

 

Leave a comment

Filed under Cerita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s