Isteri Solehah Mengatasi Paras Rupa

dua

Sabda Rasullah s.a.w:

“Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah Wanita yang solehah.”

– Riwayat Muslim, Kitaab al-Ridha.

Agama merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri.

Ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa faktor ini berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.

Wanita yang beragama sentiasa mentaati ALLAH dan Rasul-NYA. Menjaga maruah diri dan ibu bapa, menundukkan pandangan di hadapan lelaki yang bukan mahram, berusaha menuntut ilmu, memahami dan mengamalkan apa yang difahaminya. Sentiasa bertaubat dan mendekatkan diri kepada ALLAH dengan melakukan pelbagai amalan wajib dan sunat.

Wanita yang terdidik dengan agama akan sentiasa memastikan dirinya bersih, kemas dan cantik. Ini kerana agama memerintahkan dia melakukan demikian. Semua itu dilakukan ikhlas kerana ALLAH berserta keyakinan bahawa dia akan dibalas dengan pahala di sisi TUHANnya.

Dia sentiasa memelihara diri dan menutup aurat dari pandangan lelaki yang bukan mahram. Percakapan yang lembut dan tepat seringkali menjadikan dirinya disukai dan disayangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya. Masa yang terluang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah dan demi kebaikan diri serta agama.

Melakukan Aktiviti yang Berfaedah

Menuntut ilmu amat penting untuk mempersiapkan diri dengan ilmu yang bermanfaat untuk diri dan rumah tangganya. Setiap saat yang berlalu tidak dibiarkan terbuang begitu sahaja. Malah, dipenuhi dengan apa sahaja aktiviti yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan sama ada berbentuk majlis ilmu, membaca bahan bacaan yang melibatkan isu semasa umat Islam atau kitab-kitab muktabar. Ilmu yang diterima bukan sahaja untuk faedah diri sendiri. Malah, dikongsi bersama ahli keluarga dan sahabat handai.

Dia tidak mudah dipengaruh oleh penyakit sosial yang sedang hebat melanda wanita lain di masa kini. Tidak dilalaikan oleh hiburan yang melampau. Tidak pernah terpengaruh dengan sekelilingnya yang sentiasa mengajak kepada kemungkaran. Sentiasa menjaga batas pergaulan lelaki dan wanita dan berwaspada terhadap budaya berseronok-seronok yang sedang menyerang muda-mudi masa kini.

Ketika rakan sebaya sedang asyik menikmati masa muda dengan cara berpeleseran, berpacaran, membuat janji temu dengan pasangan masing-masing, dia sibuk dengan kerja-kerja yang berguna untuk agama. Dia banyak menghabiskan masa dengan beribadah, mendirikan solat, menuntut ilmu pengetahuan, berbakti kepada ibu bapa dan mengisi masa senggangnya dengan pelbagai jenis aktiviti yang berfedah.

Keinginan untuk menyintai dan dicintai yang merupakan fitrah manusiawi tidak pernah dinafikan. Namun, kepada ALLAH jualah dia meminta agar dipermudahkan jalan untuk menyintai dengan cara yang halal dan diredhai ALLAH. Jiwa remajanya yang meruntun ke arah itu ditepisnya dengan iman dan takwa serta keyakinannya terhadap ALLAH. Kecintaan kepada ALLAH dan Rasul-NYA serta kegigihan untuk menjauhi segala yang diharamkan oleh ALLAH membantu dia menjalani zaman remaja yang penuh cabaran dengan benteng iman dan takwa.

Mana mungkin dia melayan semua bisikan syaitan ke arah itu. Sedangkan dia amat jelas tentang hukumnya. Dia amat sedar akan batasan hubungan itu. Dalam al-Quran, surah al-Nur ALLAH memerintahkan agar wanita-wanita yang beriman menundukkan pandangan. Melalui sabda Rasulullah s.a.w pula, jelas bahawa baginda melarang berdua-duaan antara dua kaum yang berlawanan jenis kerana syaitan akan mencelah di antara mereka, lalu mendorong ke arah maksiat yang lebih besar, iaitu zina.

Mentaati Ibu Bapa

Kedua-dua ibu bapa ditaati dengan sepenuh hati sebagai memenuhi perintah ALLAH agar berbuat baik kepada mereka dalam perkara makruf. Dia tidak pernah meninggikan suara jauh sekali menyakiti hati kedua-duanya. Ini bersesuaian dengan perintah ALLAH yang berbunyi:

“Dan TUHANmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan pada-NYA semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik terhadap ibu bapa. Jika salah seorang dari kedua-duanya atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan-MU, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka. Tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (mereka, dengan berkata): Wahai TUHANku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang dalam memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

– Surah al-Israak: 23 – 24.

Redha dan Syukur dengan Apa yang Ada

Harta benda bukanlah matlamat utama hidupnya. Jika dia diberikan kekayaan, dia bersyukur dan tidak sombong. Malah seboleh mungkin melakukan kebajikan dengan bersedekah kepada yang kurang upaya. Sebaliknya jika dia ditakdirkan miskin, dia juga bersyukur dan bersabar. Dirinya sentiasa sedar bahawa di luar sana masih ramai yang diuji dengan kemiskinan yang lebih dahsyat daripada apa yang dialaminya. Segala yang ditentukan oleh ALLAH buat dirinya diterima dengan penuh redha. Yakin bahawa setiap sesuatu yang telah ditentukan oleh ALLAH ke atasnya adalah baik untuk kehidupan dunia dan agamanya.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sungguh mengkagumkan sifat orang mukmin. Apa sahaja keadaannya pasti baik. Ia tidak pernah dialami oleh sesiapa pun melainkan orang mukmin. Jika dia senang, dia bersyukur dan ia baik untuk dirinya. Dan jika dia susah dia bersabar dan itu baik untuk dirinya.”

– Riwayat Muslim.

Dia juga sentiasa mengikut teladan wanita-wanita pada zaman sahabat dan salafussoleh. Mereka berjaya melahir dan mendidik generasi yang bijak pandai. Antaranya, dengan mencontohi Fatimah binti Muhammad .a yang sabar menghadapi kemiskinan, mencontohi Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar .a dalam kebijaksanaan dan kecintaan kepada ilmu, mencontohi Ummu Sulaim binti Milhan .a dalam kecintaan dan kesetiaan kepada suami dan kejayaan mendidik, mencontohi Asma bin Abu Bakar .a dalam semangat yang kental dan ketabahan menghadapi pelbagai ujian hidup.

Wanita Solehah Adalah untuk Lelaki Mukmin

Oleh itu, adalah tidak wajar bagi seorang mukmin sejati melupakan kesemua ciri wanita solehah ini dalam memilih pasangan lalu menilai semata-mata dari sudut paras rupa yang menarik tetapi buruk akhlaknya. Ini amat merugikan suami dan rumah tangga muslim yang bakal dibina.

Segala ciri di atas menggambarkan betapa indahnya sifat wanita solehah. Dan alangkah bahagianya lelaki yang memiliki hati wanita ini. Keindahan ini tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ratu cantik dunia. Sekalipun pada pandangan manusia lain dia tidak memiliki paras yang cantik.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:

“(Kebiasaannya) wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat. Lelaki-lelaki yang jahat juga adalah untuk wanita-wanita yang jahat. Dan sebaliknya wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik serta lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.”

– Surah al-Nur: 26.

Walau bagaimanapun, ini bukanlah bermakna agama melarang sama sekali seseorang itu memilih calon isteri yang cantik paras rupanya. Tiada siapa menafikan bahawa paras rupa yang menarik boleh menambahkan lagi keinginan seorang lelaki untuk menikahi seorang wanita. Ini merupakan fitrah dan diperakui oleh agama.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Apabila salah seorang kamu meminang seorang wanita sekiranya dia dapat melihat wanita itu, dia hendaklah melihatnya agar bertambah keinginannya untuk berkahwin.”

– Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Bazzar. Disahihkan oleh al-Hakim dan Ibn Hibban.

Juga berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:

“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara. Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beruntung.”

– Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Paras Rupa Bukanlah Segala-galanya

Namun, apa yang dilarang ialah sikap seorang lelaki mukmin yang mengabaikan pemilihan isteri dari sudut agama kerana mengutamakan rupa paras. Sehinggakan sanggup memilih wanita yang tidak berakhlak semata-mata kerana kecantikannya. Dan mengabaikan wanita mukminah lain yang lebih baik dari segi akhlak.

Ini bersesuaian dengan firman ALLAH yang menyebut bahawa seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik untuk dijadikan pasangan hidup berbanding wanita musyrik. Walaupun rupa paras wanita musyrik itu lebih menawan hati lelaki mukmin.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:

“Sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu.”

– Surah al-Baqarah: 221.

Isteri Adalah Pemimpin di Rumah Suami 
Wanita yang beragama berupaya mendidik anak-anaknya dengan sempurna. Dia tahu dan sedar bahawa dirinya adalah ketua di rumah suaminya. Bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak diberikan didikan agama yang secukupnya. Oleh itu, dia sentiasa memastikan anak-anaknya membesar dengan sempurna dari segi rohani dan jasmani. Jadi, suami yang meninggalkan anak-anaknya bersama isteri kerana mencari rezeki tidak akan bimbang kerana dia sedar bahawa isteri solehah lagi beragama yang dipilihnya itu berupaya menjaga dan mendidik anaknya dengan amanah sepanjang ketiadaannya di rumah.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap orang akan ditanya terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang imam adalah pemimpin dan akan ditanya terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Setiap seorang kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.”

– Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Paling baik ialah memilih wanita yang mempunyai kedua-dua ciri yang dinyatakan di atas, iaitu cantik dan beragama. Perlulah berupaya menjaga maruah diri dan suami, menggembirakan hati suami, membina keluarga Islam yang harmoni dan membimbing keluarga menuju ALLAH. Namun, jika seorang lelaki berada dalam keadaan di mana dia perlu memilih salah satu daripada di atas, dia hendaklah mengutamakan agama.

Mendidik Isteri Tentang Agama

Mungkin ada di kalangan muslimin yang mengatakan bahawa dia berupaya memberikan didikan agama yang secukupnya kepada bakal isterinya kelak setelah berumah tangga. Lalu memandang remeh usaha mencari wanita yang beragama sebagai calon isteri. Tetapi, tidak ramai yang sedar bahawa bukan mudah mendidik isteri tentang agama dari mula sehingga dia benar-benar faham agama keseluruhannya. Usaha mendidik anak mungkin terbantut kerana isteri itu sendiri masih belum mendalaminya. Ini merumitkan lagi tugas suami kerana terpaksa menghabiskan tenaga yang banyak dalam mencari nafkah, mendidik isteri dan memastikan anak-anak membesar dengan agama yang sempurna.

Sebaliknya, isteri yang telah pun faham dan mengamalkan tuntutan agama dengan baik akan memudahkan tugas suami. Bukan sahaja meringankan beban suami dengan memberikan pelbagai pandangan yang bernas untuk kebaikan rumah tangga, malah anak-anak juga membesar dengan didikan agama yang sempurna. Dan suami tadi tidak perlu lagi memikirkan cara mendidik isteri kerana dia sendiri telah pun faham segala tuntutan agama lalu menerapkannya kepada anak-anak dan rumah tangga.

Paras Rupa, Harta Benda dan Kedudukan Tidak Kekal

Kecantikan paras rupa, harta benda dan darjat keturunan tidak akan berkekalan. Namun, kebaikan dan akhlak yang mulia akan kekal selagi hayat dikandung badan. Sehinggalah ia membawa pelakunya ke syurga.

Antara kelebihan wanita solehah ialah akan sentiasa menghiburkan hati suami, redha dan menghargai pemberian suami serta sanggup bersama suami sama ada ketika susah mahupun senang. Ini kerana, agama menuntut dia melakukan demikian.

Sabda Rasululah s.a.w:

“Tidak boleh bagi seorang manusia bersujud kepada manusia lain. Sekiranya perbuatan sujud seorang manusia kepada manusia lain ini baik, nescaya aku akan perintahkan wanita sujud kepada suaminya kerana hak suami ke atasnya terlalu besar.”

– Hadis tsabit riwayat Ahmad dan al-Bazzar.

Sebuah riwayat menceritakan:

“Seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w kerana hajat tertentu. Apabila selesai, Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah kamu mempunyai suami? Dia menjawab: Ya. Sabda baginda: Bagaimanakah kamu dengan dia? Dia menjawab. Aku tidak melalaikan haknya melainkan jika melibatkan apa yang tidak mampu kulakukan. Sabda baginda: Kamu perlu lihat keadaan kamu daripadanya. Sesungguhnya dia adalah syurga dan neraka kamu.”

– Riwayat Ahmad dan al-Nasaai dengan sanad yang baik.

Wanita solehah memahami hak suami. Dia berusaha menunaikan semua hak itu semata-mata kerana mengharapkan redha ALLAH. Apa sahaja masalah rumah tangga yang dihadapinya akan ditangani secara baik dan terbuka. Dia juga bersedia menerima segala sikap baik dan buruk suami. Serta memohon petunjuk ALLAH agar dipermudahkan segala masalah yang dihadapinya ketika melayari hidup berumah tangga. Dia tidak akan sekali-kali membuka rahsia suami kepada orang lain terutamanya yang melibatkan rahsia di tempat tidur mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukan manusia di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mendatangi isterinya dan isteri yang mendatanginya, lalu salah seorang mereka mendedahkan rahsia pasangannya.”

– Riwayat Muslim.

Mereka sentiasa gembira dan ikhlas menjalankan tugas sebagai isteri semata-mata kerana ALLAH dan yakin terhadap sabda Rasulullah s.a.w bahawa seorang wanita yang melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, menjaga kemaluan dan mentaati suami, dia boleh masuk syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya.

(Hadis sahih riwayat Ahmad dan al-Tobrani).

Oleh itu, segala perintah agama dilaksanakan sepenuh hati semata-mata kerana ALLAH. Muslimah yang baik sentiasa memahami bahawa ketaatan yang diberikan kepada suami adalah sebagai melaksanakan perintah ALLAH. Setelah itu dia akan diberikan pahala yang tidak terhingga banyaknya. Keengganannya berbuat demikian mengundang laknat dan kemurkaan ALLAH.

Tidak Menolak Permintaan Suami

Wanita solehah tidak akan sekali-kali mengabaikan permintaan suaminya di tempat tidur. Dia sentasa berwaspada terhadap sabda Rasulullah s.a.w yang menyebut:

“Demi yang jiwaku di tangan-NYA, mana-mana suami yang memanggil isteri di tempat tidur, lalu isteri itu enggan memenuhinya, maka segala yang ada di langit dan bumi akan murka terhadapnya sehinggalah suaminya redha kepadanya.”

– Riwayat Muslim.

Dia juga memahami bahawa permintaan suaminya itu wajib dipenuhi segera dan tidak boleh ditangguhkan walaupun ketika itu dia sedang sibuk di dapur atau berada di atas kenderaan.

Permintaan yang ditunaikan itu dapat menjaga dan membantu suaminya menghindari segala bisikan dan runtunan syahwat yang melanda fikirannya. Dan menenangkan jiwa suaminya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Nabi s.a.w bersabda:

“Apabila salah seorang kamu tertawan dengan seorang wanita dan hal itu berbekas dalam hatinya, dia hendaklah segera mendapatkan isteri dan menggaulinya. Sesungguhnya itu akan membuang segala perasaan yang ada dalam dirinya.”

– Riwayat Muslim.

Hal ini amat berbeza sekali dengan wanita yang tidak memahami tuntutan agama. Mereka sewenang-wenangnya menolak permintaan suami dan menganggap perbuatan itu tidak mendatangkan sebarang dosa. Mereka sewenang-wenangnya memberi alasan penat atau sebagainya. Amaran dan ancaman laknat ALLAH dan malaikat terhadap perbuatan itu langsung tidak berbekas dalam hatinya.

Wanita solehah yang memahami kewajipan itu akan berusaha sebaik mungkin menjalankan tanggungjawabnya. Sepenat manapun, dia akan berusaha menunaikan segala permintaan suami. Ini kerana, redha ALLAH kepadanya terletak pada redha suami terhadap dirinya.

Antara Suami dan Kerjaya

Setinggi manapun kerjaya yang disandangnya, ia tidak sama sekali menyebabkan tugasnya di rumah diabaikan. Dia sentiasa sedar bahawa ketika berhadapan dengan ALLAH di akhirat kelak, dia akan ditanya sejauh mana dia melaksanakan amanahnya sebagai isteri. Bukan sebanyak mana harta yang berjaya dikumpul sepanjang berkerjaya.

Kalaulah mereka sedar kelebihan yang akan mereka perolehi di akhirat kelak kerana mentaati suami sudah tentu mereka sanggup bersusah payah menunaikan hak suami.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Wahai para wanita, kalaulah kalian mengetahui hak suami ke atas kalian, nescaya salah seorang kalian akan sanggup menyapu debu yang ada pada kedua-dua telapak kaki suami menggunakan kemuliaan kulit mukanya.”

– Riwayat Ibn Hibban dan al-Bazzar dengan sanad yang baik dan rijal yang tsiqaat.

Alangkah malangnya wanita yang tidak sedar akan hal ini. Terutamanya setelah berkerjaya. Ramai wanita gagal melakukan tugasnya sebagai ibu dan isteri yang baik sebagaimana yang dituntut oleh agama.

Wanita solehah sentiasa sedar akan tanggungjawabya terhadap rumah tangga. Apa sahaja kerjaya yang disandang bukanlah penghalang untuk dia melakukan yang terbaik untuk rumah tangganya. Dia sentiasa sedar bahawa tugasnya terhadap rumah tangga mengatasi kerjayanya. Dan jika berlaku pertembungan antara kedua-dua tugas di atas, dia tidak teragak-agak untuk mendahulukan rumah tangganya berbanding yang lain.

Menjaga Batas Pergaulan

Isteri solehah sentiasa memelihara auratnya ketika berurusan dengan lelaki yang bukan mahram. Cara percakapan dan akhlak sentiasa diawasi agar tidak melanggar batasan syarak. Dia tidak bercakap melainkan perkara yang baik. Jauh sekali mengumpat dan mengeji orang lain. Larangan mengumpat, menghina dan mengejek orang lain yang dinyatakan dengan jelas oleh al-Quran dan sunnah sentiasa terpahat dalam hatinya.

Isteri solehah membimbing dan menasihati suami dalam melakukan apa yang terbaik untuk agama dan rumah tangga. Juga memberikan pandangan yang bernas terhadap dakwah dan kerjaya suami. Wanita pertama yang menjadi contoh terbaik dalam hal ini ialah Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan orang pertama yang beriman, membenarkan, menyokong, berkoran jiwa dan raga serta sentiasa bersama baginda di saat-saat sukar baginda dalam menyampaikan dakwah.

Segala kebaikan, sokongan dan pengorbanan beliau ini mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada ALLAH S.W.T. Sehinggakan ALLAH dan Jibril berkirim salam kepada beliau dan menjanjikan sebuah mahligai untuknya di syurga kelak. Hal itu adalah penghargaan ALLAH terhadap segala kebaikan, layanan dan pengorbanannya buat suami tercinta.

Abu Hurairah menceritakan ketika saat wahyu mula-mula turun di mana baginda selalu bertahannuts di Gua Hirak:

“Jibril mendatangi Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah, ini Khadijah telah mendatangimu. Bersamanya ada bekas yang berisi lauk, makanan atau minuman. Apabila dia mendatangi kamu, maka sampaikanlah kepadanya salam TUHANnya dan daripadaku dan berilah khabar gembira kepadanya tentang sebuah mahligai di dalam syurga yang dibina daripada emas. Tidak ada kesusahan dan keletihan di dalamnya.”

– Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Sentiasa Bersih dan Kemas

Wanita solehah telah dididik oleh keluarga yang beragama. Dia cintakan ilmu pengetahuan dan sentiasa bersedia menghadapi apa juga cabaran hidup. Dia akan sentiasa menguruskan rumah tangga mengikut apa yang dipelajari dan dididik kepadanya sejak kecil. Menjaga akidah, amal ibadah, solat, puasa dan memastikan seluruh anggota keluarganya mentaati perintah agama. Dia juga sentiasa berhias untuk suaminya dan memastikan dirinya sentiasa kemas, bersih dan harum ketika berada di hadapan suami.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Antara punca kebahagiaan anak Adam ialah memiliki isteri yang solehah, tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang baik. Antara punca kecelakaan anak Adam ialah isteri yang jahat, rumah yang tidak selesa dan kenderaan yang tidak elok.”

– Riwayat Ahmad melalui para perawi yang sahih.

Wanita solehah hanya berhias dan mempamirkan kecantikannya hanya untuk suaminya. Dia tidak mempamerkan di hadapan suami melainkan apa yang cantik dan wangi. Dalam sebuah riwayat diceritakan:
Rasulullah s.a.w ditanya tentang sebaik-baik wanita. Baginda menjawab: Yang menyukakan kamu apabila memandangnya. Apabila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu dengan baik dan menjaga harta kamu.”

– Riwayat Ahmad dan selainnya dan dihasankan oleh al-Albani.

Malang sekali ramai di kalangan wanita memandang remeh perkara ini. Mereka salah faham lalu mempamerkan diri di hadapan suami dalam keadaan kusut masai, berbau, pakaian compang-camping dan sebagainya. Lebih buruk lagi ada yang hanya berkemban sepanjang berada di rumah.

Sebaliknya apabila hendak keluar rumah, mereka berhias secantik mungkin untuk dipamirkan kepada lelaki yang tidak berhak melihatnya. Ini bukan sahaja tidak wajar, malah mengundang dosa besar dan musibah terhadap keharmonian rumah tangga muslim.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, dalam memilih calon isteri, faktor agama perlulah dijadikan matlamat utama. Jika itu yang dicari, sudah pasti suami akan mendapat segala kebahagiaan dan ketengan di dunia ini sebelum menuju kepada kebahagian yang kekal abadi di akhirat kelak.

Seorang suami memerlukan pembantu yang solehah lagi bijaksana dalam melayari kehidupan berumah tangga. Dengan ini tugas suami dalam memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anaknya menjadi lebih mudah. Dan bahtera rumah tangganya dapat belayar dan berlabuh dengan aturan yang betul dan diredhai ALLAH S.W.T.

Sumber: http://ukhwah.com/article.php?sid=2468

Leave a comment

Filed under Muslimah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s