Assalamu’alaikum

Qur'an

                                 Pesanan Terakhir

“Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti siapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan mu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba’, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba’ hendaklah dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.

Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.

Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya. Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu. “

~ Rasulullah saw ~

3 Comments

Filed under Renungan

10) ~ Orang Tua Berserban Kuning

Demikianlah diberitahu oleh Meon kepada saya mengenai Ulung Bahar.

Dari apa yang diceritakan oleh Meon itu saya dapati dia bukanlah orang dukun yang mengamalkan cara
perubatan tradisional. Kalau dukun tentulah dia menggunakan ramuan seperti bunga-bunga, bertih direndang, kemenyan dan sebagainya.
Cara yang dilakukan oleh Ulung Bahar ketika mengubat Orang Besar samalah seperti yang pernah dilakukan oleh Pak Tua Mahat, Aki Sahak dan Tok Aji.
Berbeza dengan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak, Tok Aji adalah guru agama yang mempunyai madrasah sendiri.
Sebab itulah saya berminat sangat mahu bertemu muka dengan Ulung Bahar ini.
Saya datang ke rumah Meon di Gombak kira-kira jam 9.00 malam kerana mahu menetapkan hari bilakah dia akan balik ke kampungnya. Memang saya tertarik hati mahu mengenalinya.

Ulung Bahar hanya menggunakan doa- doa tertentu saja dari ayat-ayat Quran, dan bukannya menggunakan jampi mentera. Dia juga tidak menggunakan ramuan seperti bertih, kemenyan, limau, bunga-bunga sebagaimana yang lazim digunakan oleh dukun-dukun.
Inilah persamaan yang dapat saya lihat antara Ulung Bahar dengan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak.

“Macam ustaz buat apa lagi jumpa Ulung Bahar…” kata Meon sebaik saja saya masuk ke rumahnya.

“Orang macam tu patut kita jumpa” jelas saya lalu duduk.

“Orang tua banyak pengalaman…” ujar saya tertawa.

“Saya agak orang macam ustaz ni memang suka sangat Ulung Bahar nak berjumpa” isteri Meon menyampuk.

“Ah, apa sangat saya ni…” saya serba salah bila dikatakan begitu.

Sebenarnya saya baru setahun
mengenali Meon dari seorang kawan.
Kawan saya itu mengidap sakit lelah beberapa tahun. Meon telah membawakan dia berjumpa dengan Ulung Bahar. Katanya penyakit lelahnya itu sudah beransur baik.

Dialah yang membawa saya pula bertemu dengan Meon.
Dari Meon pulalah saya mendengarbcerita Ulung Bahar mengubat Orang Besar yang hilang tenaga kelelakian itu. Tidak lama kemudian Simah isteri Meon meminta masuk ke bilik kerana dia merasa pening kepala. Tinggallah saya dengan Meon berbual-bual kosong. Pada mulanya saya tidak berniat untuk lama di rumah Meon, tetapi bila Meon bercerita mengenai beberapa kisah di kampungnya yang melibatkan Ulung Bahar, saya tertarik hati pula mahu mendengarnya.

Kata Meon, satu waktu dulu
kampungnya diganggu oleh lembaga hitam pada setiap malam. Lembaga hitam ini akan masuk ke dalam rumah dan mencabul wanita-wanita dengan sesuka hatinya. Kebanyakan wanita itu tidaklah diperkosanya, hanya
dibukakan pakaian wanita berkenaan, kemudian dia melarikan diri.
Bagaimanapun Ketua Kampung enggan melaporkan kepada polis, kerana orang-orang kampung mahu menangkap sendiri, siapakah yang melakukannya.

Seorang janda beranak terjerit bila tiba-tiba satu lembaga hitam menjelma di depannya. Jeritannya hanya sekaligus saja, kerana selepas itu dia terus kebingungan akibat dipukau oleh lembaga berkenaan. Lembaga hitam itu telah membuka pakaian janda tadi hingga tidak tinggal sebenang pun. Sebelum lari meninggalkan wanita tersebut dia memangkahkan kapur pada kemaluan janda itu.

Satu malam sampai lima enam orang diganggunya. Dia tidak peduli samavada anak dara, janda atau isteri orang, semua diganggunya. Setelah ditelanjangkan dia akan memangkah kemaluan wanita tersebut dengan kapur. Apakah tujuannya tidak pula diketahui.
Anehnya rumah-rumah yang
berdekatan dengan Ulung Bahar tidak pula diganggunya.

Apabila diberitahu pada Ulung Bahar dia juga tidak dapat memberi jawapan.
Katanya sukar juga mahu
memerangkap lembaga hitam itu, kerana tidak tahu rumah mana yang akan diganggunya.

“Kalau kita tahu rumah siapa mahu diganggunya, mudahlah kita memerangkap dia…” jelas Ulung Bahar.

“Apa tujuannya lembaga hitam ni Ulung?”

Ketua Kampung hairan denganbsuasana yang melanda kampung.

“Ah, ilmu sesat. Ilmu orang tak ingat Allah…” beritahu Ulung Bahar selamba.

Bagaimanapun tiap-tiap malam Ketua Kampung mengarahkan penduduk- penduduk kampung berkawal malam.
Lembaga hitam itu pula bagaikan tahu di mana penduduk-penduduk kampung berkawal. Dan dia akan datang mengganggu rumah yang jauh dari kawalan.

Sebenarnya Ulung Bahar boleh
memerangkap lembaga hitam
berkenaan sekiranya mendapat
kerjasama dari penduduk-penduduk kampung. Sayangnya, penduduk- penduduk kampung sendiri tidak mahu bersatu apabila diajak berkumpul di surau. Ulung Bahar mengajak mereka membaca Yassin beramai-ramai supaya lembaga hitam itu tidak dapat lagi masuk mengganggu.
Tetapi sebahagian besar penduduk mahu menangkap lembaga hitam itu.

Mereka mahu tahu siapakah orangnya yang berani melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Disebabkan Ulung Bahar enggan menerima cadangan orang-orang kampung yang berdendam mahu menangkap lembaga hitam tersebut, maka mereka telah menemui seorang dukun bernama Pak Musiro.

Pak Musiro mendakwa dialah yang menjadi guru kepada lembaga hitam yang mengganggu orang-orang kampung. Mengikut cerita Pak Musiro seorang pemuda telah datang menemuinya untuk belajar ilmu ghaib.
Bila ditanya siapakah pemuda
berkenaan, Pak Musiro tidak mahu menerangkannya.

“Nantilah, bila dapat kita tangkap, kalian semua akan tau…” kata Pak Musiro.

Pak Musiro ini dipercayai memiliki ilmu ghaib. Pernah di zaman pemerintahan Jepun dia mahu ditangkap oleh askar-askar Jepun.
Tetapi askar-askar Jepun tidak
menemuinya. Semasa darurat juga gerila komunis mahu menangkapnya, tetapi tidak dapat dikesan di mana dia bersembunyi.

Satu hari seekor babi hutan telah masuk ke kampung menyerang beberapa orang penduduk. Tetapi apabila terserempak dengan Pak Musiro babi hutan itu berpusing-pusing mencari Pak Musiro. Sempat pula Pak Musiro mengasah parangnya sebelum menetak kepala babi itu sampai tersungkur mati.
Mungkin kerana mendengarkan cerita kehebatan Pak Musiro inilah pemuda berkenaan ingin sangat mempelajari ilmu ghaib dari orang tua tersebut.

“Ilmu ghaib macam mana yang kau nak belajar?” tanya Pak Musiro.

“Ilmu ghaib yang ada pada Pak Musiro” sahut pemuda berkenaan.

“Ilmu ghaib ni ilmu jahat…” beritahu Pak Musiro menjelaskan kepada pemuda itu.

“Tetapi kalau mahukan ilmu supaya tidak ditemui oleh musuh, kau boleh amalkan dari Surah Yassin” dia menerangkan selanjutnya.

“Saya bukannya ada musuh…” kata pemuda itu tersengih-sengih.

Pak Musiro telah menerangkan satu cara yang paling sulit dilakukan dengan harapan pemuda tersebut tidak jadi meneruskan usahanya mahu menuntut ilmu ghaib.

Lagi pun Pak Musiro bukanlah bersungguh-sungguh mengajarnya. Dia hanya menerangkan satu perkara yang dia sendiri tidak pernah melakukannya. Pendek kata apa yang dicakapkan oleh Pak Musiro itu hanyalah rekaan semata-mata.

Kata Pak Musiro. “Kalau kau berani cubalah”.

“Cuba macam mana?” pemuda itu mendesak.

“Aku ingat lebih baik tak usah”
Dia masih lagi mencari akal apakah cerita yang hendak direkanya.

“Saya sanggup buat apa pun Pak
Musiro” tegas pemuda berkenaan.

Akhirnya Pak Musiro mendapat satu akal. Dia percaya tentu pemuda itu tidak akan sanggup melakukannya.
Memang kalau orang yang waras fikiran pun merasa tidak munasabah dengan apa yang disebutkan oleh Pak Musiro.

“Apabila ada orang mati, kau ambil abuk papan lahad yang diketam.Dibakar dan ambil abunya. Lepas itu semasa mayat sedang dimandikan, kau masuk ke bawah rumah tempat mayat itu dimandikan dan taburkan abu papan itu di kepala…” ujar Pak Musiro tersengih-sengih kerana pemuda tadi percaya sangat dengan apa yang dicakapnya.

“Lepas tu apa saya nak buat?” tanya pemuda berkenaan dengan yakin.

“Kalau ada apa-apa datang, kau curilah apa saja barangnya” kata Pak Musiro seterusnya.

“Lagi…” pemuda tersebut sedikit pun tidak ragu-ragu akan cerita Pak Musiro.

“Kalau ada sesiapa mengejar kau carilah sungai, dan cepat-cepat menyeberang” ujar Pak Musiro.

Pemuda itu mengangguk lemah. Terasa padanya terlalu berat mahu melakukan seperti yang diterangkan oleh Pak Musiro. Namun dia tidak sedar bahawa Pak Musiro hanya berolok-olok saja untuk melemahkan semangat dia dari meneruskan cita-citanya mahu belajar ilmu ghaib.

Bagi Pak Musiro orang yang akan mengejar sekiranya pemuda itu meneruskan cita-citanya mestilah keluarga si mati. Tentulah mereka marah apabila ada orang melakukan perbuatan demikian semasa si mati dimandikan. Sebab itulah dia sentiasa tersengih-sengih bila memberitahu demikian.
Selepas itu Pak Musiro tidak tahu apa yang berlaku ke atas pemuda tadi.

Apabila orang-orang kampung gempar dengan kejadian lembaga hitam mengganggu dan datang menemuinya,
Pak Musiro mula teringatkan kepada pemuda yang pernah menemuinya untuk belajar ilmu ghaib itu. Hanya orang yang melakukan ilmu halimunan saja yang boleh hilang dari pandangan orang ramai.

Orang-orang kampung menjadi bingung kerana lembaga hitam itu boleh masuk ke dalam rumah mangsa mengikut lubang yang boleh ditembusi angin.
Bagaimana rapat dikunci pun pintu dan tingkap, dia boleh masuk selagi ada lubang yang boleh ditembusi angin.

Setelah berjanji untuk menangkap lembaga hitam tersebut, Pak Musiro pun bersiap-siap dengan ramuan dukunnya. Dia menyediakan tujuh jenis bunga, tujuh biji limau dan tujuh geluk air yang diambil dari tujuh batang sungai. Dia akan memanggil lembaga hitan itu datang ke rumahnya dan akan menggunakan ‘pasung bumi’ iaitu ilmu kebatinan yang mengunci musuh tidak dapat mencari jalan keluar untuk melarikan diri.
Penduduk-penduduk kampung yang ditugaskan membantu Pak Musiro juga bersiap sedia di sekitar rumah Pak Musiro. Mereka akan menyerbu sebaik saja mendapat isyarat dari Pak Musiro.

Kira-kira jam 9 malam, Pak Musiro memulakan tugasnya. Dia mencucukkan tujuh batang lidi kepada setiap biji limau dan direndamkan ke dalam tujuh geluk yang berisi air dan tujuh jenis bunga.

Kemudian Pak Musiro membakar kemenyan sambil mulutnya kumat-kamit membaca mentera.
Lama dia membaca menteranya, tiba- tiba dia hilang dari pandangan orang ramai. Selepas itu mereka terdengar bunyi pergelutan di sekitar rumah itu.

Meon yang ditugaskan oleh Pak Musiro membakar kemenyan apabila dia sudah hilang dari pandangan, terus membakar kemenyan yang siap dijampi oleh Pak Musiro.
Orang ramai mahu membantu tidak dapat kerana masing-masing tidak nampak siapakah yang bergelut. Hanya barang-barang di dalam rumah itu saja tunggang-langgang seperti dirempuh.

Mereka semua menjadi cemas juga kerana tidak tahu siapakah akan tewas dalam pergelutan itu. Dalam masa mereka tidak ketahuan itu tiba-tiba Pak Musiro terpelanting di hadapan mereka. Termengah-mengah Pak Musiro menahan kesakitan. Mulutnya kelihatan berdarah dengan seluruh badannya calar balar.

Pak Musiro terbaring di lantai dalam keadaan tidak sedar diri. Orang-orang kampung semakin cemas melihatkan Pak Musiro tidak sedarkan diri setelah dipercayai bergelut dengan lembaga hitam yang mengganggu penduduk- penduduk kampung selama ini.

Dua hari Pak Musiro tidak sedarkan diri. Nafasnya mengombak-ngombak.
Kuku kaki dan tangannya sudah
menjadi lebam. Melihatkan keadaan Pak Musiro semakin tenat Meon pun menyuruh isteri Pak Musiro memanggil Ulung Bahar. Orang-orang kampung selama ini tidaklah menganggap Ulung Bahar sebagai dukun, tetapi sebagai orang tua yang banyak pengalaman saja. Lagi pun Ulung Bahar sendiri tidak suka dirinya dipanggil dukun seperti Pak Musiro.

Jiran-jiran masih ramai berkumpul di rumah Pak Musiro semasa Ulung Bahar datang. Ketua Kampung juga ada sama menziarahi Pak Musiro. Mereka semua merasa terhutang budi kepada Pak Musiro yang sanggup menyabung nyawa untuk menyelamatkan
penduduk-penduduk kampung.
Ulung Bahar memegang kepala Pak Musiro. Kesan calar-balar di tubuhnya juga menjadi lebam.

“Musiro bernasib baik…” keluh Ulung Bahar perlahan.

“Dia hampir berjaya, tetapi tak ada orang membantu. Musuhnya hampir kalah, tetapi cepat mendapat bantuan” katanya macam kesal.

Kekesalan yang terpancar di mata Ulung Bahar, ialah orang-orang kampung hanya berharap kepada Pak Musiro semata-mata. Mereka tidak tahu bagaimana harus membantu bila seseorang seperti Pak Musiro menentang gangguan syaitan. Kalau ada salah seorang darinya azan, sudah tentu Pak Musiro lebih mudah menjalankan tugasnya. Disebabkan tidak ada sokongan itulah Pak Musiro dapat ditewaskan.

“Minta aku air sejuk segelas…” Ulung Bahar meyuruh isteri Pak Musiro ambilkan air.

“Meon, ambil wudhuk” perintahnya lalu berpaling pada Meon.

Tidak bertangguh Meon mengambil wudhuk.

“Azan…” katanya lagi sambil mencapai gelas air yang dihulurkan oleh isteri Pak Musiro.

“Jangan berhenti selagi
aku tak suruh” dia memberitahu Meon.

Meon pun azan seperti yang disuruh oleh Ulung Bahar. Kira-kira sepuluh kali Meon azan barulah disuruh berhenti oleh Ulung Bahar. Ketika ini dia merenung ke dalam gelas air di depannya. Ulung Bahar tersenyum sedikit bila merenung ke dalam gelas.

“Bodoh!” itu saja yang orang ramai dengar terkeluar dari mulut Ulung Bahar.

Selepas itu mereka melihat mulut Ulung Bahar terkumat-kamit dengan mata terpejam rapat.

Sebenarnya Ulung Bahar sudah
ternampak Jalit abang Meon sedang diubat oleh seorang lelaki tua berserban kuning. Jubahnya juga kuning seperti kain Sami Buddha.
Apabila mereka berdua nampak Ulung Bahar mereka cuba melarikan diri.

Ketika ini Pak Musiro sudah menunggu di muka pintu, lalu mereka bertarik- tarikan. Sebelah tangan Jalit ditarik oleh lelaki tua berserban kuning itu, manakala sebelah lagi ditarik oleh Pak Musiro.

“Kau ajar dia jadi jahat!” pekik Pak Musiro menendang dada lelaki tua berserban kuning itu.

“Bukankah kau yang suruh dia datang kepada aku?” lelaki tua itu mengejek.

“Aku tak suruh…!” sahut Pak Musiro marah.

“Jangan pula kau berdalih” lelaki tua berserban kuning itu menampar muka Pak Musiro.

“Kau suruh dia datang belajar dengan aku, sekarang kau nak berdalih!” ujarnya masih memaut tangan Jalit.

Sementara Jalit pula menjadi bingung tidak bertindak apa-apa walaupun tangannya dipegang oleh orang tua berserban kuning dengan Pak Musiro.
Terkejut juga Pak Musiro bila dituduh demikian. Dia tidak pernah menyuruh Jalit menuntut dari sesiapa pun.

Semua pertengkaran ini dilihat oleh Ulung Bahar. Tetapi yang menerima akibat dari pertentangan itu ialah Jalit dan Pak Musiro sendiri. Mereka berdua yang cedera, manakala lelaki tua berserban kuning itu tidak menanggung apa-apa kecederaan.

Setiap tendangan kaki Pak Musiro yang menyinggahi dada lelaki itu semuanya menuju ke sasaran dada Jalit. Seolah-olah Jalit menjadi perisai pelindung lelaki tua berkenaan apabila  Pak Musiro membuat tendangan.

“Jalit cakapkan siapa yang suruh kau datang menemui aku?” soal orang tua berserban kuning.

“Pak Musiro…” beritahu Jalit.

“Jangan berdusta Jalit!” marah benar Pak Musiro bila Jalit menuduh dia demikian.

“Bukankah Pak Musiro menyuruh aku curi kulit papan yang diketam untuk papan lahad?” Jalit mengingatkan Pak Musiro.

“Pak Musiro suruh aku bakar, Pak Musiro suruh aku ambil abunya. Pak Musiro suruh aku mandi bawah air mandi mayat. Pak Musiro suruh aku taburkan abu kulit papan ke kepala aku…!” jelasnya bergema memukul gendang telinga Pak Musiro.

“Cukup…!” pekik Pak Musiro marah.

Merah padam mukanya bila
mengingatkan balik peristiwa dia menipu Jalit yang bersungguh-sungguh sangat mahu belajar ilmu ghaib. Rupa- rupanya Jalit betul-betul melakukan seperti apa yang disuruhnya, padahal dia hanya mereka-reka supaya Jalit lemah semangat.

Sebaik saja diberitahu oleh Pak Musiro petua-petua mencari ilmu ghaib, Jalit tidak memikirkan sama ada Pak Musiro memperolok-olokkan dia atau tidak. Dia sudah nekad akan mencuba seperti apa yang dicakapkan oleh Pak Musiro. Ilmu yang dituntut mestilah atas keyakinan diri sendiri. Sama ada ajaran guru itu betul atau salah tidak boleh difikirkan.

Inilah pendirian Jalit apabila menerima peraturan yang disuruh oleh Pak Musiro kalau mahukan ilmu menghilangkan diri.
Kebetulan tidak lama kemudian ada orang meninggal dunia di kampung itu.
Jalit terus menziarahi si mati dengan nekad akan melakukan seperti yang dikatakan oleh Pak Musiro.

Semasa orang mengetam papan untuk dibuat papan lahad, Jalit terus mengumpulkannya dan membawa keblubang sampah. Pada penglihatan orang ramai Jalit sangat rajin membantu dengan membuangkan sampah tersebut.
Di situ dia membakar sampah papan diketam tadi. Abunya dibungkus dengan sapu tangan. Dia menunggu sehingga mayat dimandikan di atas rumah kira-kira jam 12 tengah hari.

Orang ramai tidak menyedari bahawa dia sudah pun mencangkung di bawah rumah bersetentangan dengan mayat hendak dimandikan. Sebaik saja derau air yang mula dari mayat itu jatuh ke bawah rumah, teruslah menimpa kepala Jalit yang sudah ditaburkan dengan abu sampah papan diketam.
Belum pun selesai mayat itu
dimandikan, Jalit nampak lelaki tua datang bertongkat ikut sama mandi bersamanya. Lelaki itu tidak bercakapbsepatah pun.

Sebelum masuk mandi bersama dengan Jalit, dia meletakkan serban kuningnya pada gelegar rumah, manakala tongkatnya tetap dipegang di tangan.
Jalit memerhatikan apakah barang yang harus dilarikannya dari orang tua itu. Kalau mahu dilarikan tongkat, orang tua itu masih menggenggam tongkatnya erat-erat. Akhirnya terlintas di kepalanya untuk melarikan serban yang tersangkut pada gelegar rumah.
Itu saja barang yang ada pada orang tua itu tidak dipakainya.

Setelah melihat orang tua itu asyik mandi di bawah air mandian mayat tadi, Jalit pun meluru mencapai serban kuning yang tersangkut di gelegar.
Serentak dengan itu dia mendengar orang tua itu menjerit memanggil dia dan mengejarnya dari belakang. Jalit pun lari sekuat hati menuju ke arah sungai. Dia sempat menyeberang sungai. Orang tua yang mengejarnya dari belakang tadi tidak dapat menyeberang.

“Pulangkan serban aku!” pinta orang tua tersebut.

“Tidak…” sahut Jalit berbangga dengan kejayaannya melarikan serban orang tua yang sama-sama mandi air mayat tadi.

“Sekarang serban ni kepunyaan aku. Kalau kau mau marilah menyeberang sungai ke sini…” dia megejek-ngejek.

“Memang aku nak beri kau” orang tua itu tersenyum.

“Memang aku tau kau berhajat sangat hendakkan ilmu ghaib. Kau boleh memakai serban itu, tetapi ada syaratnya” beritahu orang tua itu.

“Apa syaratnya?”

“Senang saja…”

“Kalau aku tak ikut syarat?”

“Aku ambil semula serban”

“Ah! aku tak percaya!” Jalit cuba
mengelak dari syarat yang hendak dikenakan oleh orang tua tersebut.

Orang tua itu menunding jarinya ke arah Jalit. Dengan tiba-tiba saja serban kepunyaannya melayang dari tangan Jalit terus masuk berlingkar ke hujung tongkat. Jalit terlopong dengan tindakan orang tua berkenaan.
Ternyata dia tidak dapat melawannya.

Jalit tidak mempunyai apa-apa
kelebihan bagi mempertahankan diri dari tindakan orang tua tadi. Dia hanya melakukan seperti apa yang disuruh oleh Pak Musiro dengan tidak bertanyakan lebih lanjut bagaimana kalau dia tidak boleh melawan dugaan.

“Sekarang kau percaya atau tidak?” tanya orang tua itu ketawa berdekah- dekah mengejek Jalit.

Pucat muka Jalit. Dia percaya dirinya tidak akan dapat lari ke mana. Kalau serban di tangannya lagikan mudah dirampas kembali oleh orang tua itu, tentulah dia juga tidak akan dapat  melarikan diri.

“Aku percaya…” sahut Jalit lemah.

“Cakaplah apa syaratnya?” tanya Jalit mengharapkan pertolongan dari orang tua tersebut.

“Kau mesti mencabul 44 orang
perempuan!” ujar orang tua itu
memberikan syaratnya.

“Tetapi ingat, kau tidak boleh menodaibseorang pun…” katanya memberi amaran.

Lama Jalit berfikir sama ada mahu menerima syarat tersebut atau tidak.
Alang kepalang dia sudah pun hampir mencapai maksudnya. Cuma syarat itu saja mesti dilakukan.

“Ingat 44 orang perempuan dalam masa dua minggu!” tegas orang tua itu lagi.

“Baiklah, aku sanggup” Jalit memberi pengakuan.

“Kau mesti tandakan sebagai bukti kau telah mencabulnya!” katanya lagi.

“Baiklah!” sahut Jalit tegas.

Serban kuning itu dipulangkan semula kepadanya. Apabila dipakai di kepala Jalit merasakan dirinya boleh berlari kencang. Dia boleh melompat melepasi sungai. Alangkah gembiranya kerana dapat memenuhi maksudnya.

“Kalau kau tak berjaya mencabul 44 orang perempuan, serban itu aku ambil semula” beritahu orang tua itu menghilangkan diri dari pandangannya.

Untuk memenuhi tuntutan itulah Jalit terpaksa melakukan perintah orang tua berjubah dan berserban kuning itu.
Apabila dia balik ke rumah hari itu diabtelah bertemu Meon sedang mengembala lembu masuk ke kandang.
Jalit memanggil Meon, tetapi Meon berpusing-pusing mencari suara Jalit yang memanggilnya.

Apabila serban itu ditanggalkan barulah Meon melihat dia. Meon juga tidak nampak serban yang dipegang di tangannya. Sejak itulah kegemparan berlaku di kampung itu mengenai lembaga hitam mengganggu perempuan.

Setiap malam sekurang-kurangnya tiga orang perempuan telah dicabul. Kemaluannya dipangkah dengan kapur. Kesemua mangsa mengakui bahawa mereka tidak dinoda boleh lembaga hitam tersebut.
Hinggalah Jalit tidak dapat mengelak bila bertembung dengan Pak Musiro.

Dia sudah berjaya mencabul hampir 30 orang perempuan bila namanya diseru oleh Pak Musiro. Apabila dia mahu menyerah kalah kepada Pak Musiro, orang tua yang memberikan dia serban kuning itu datang menjelma. Orang tua itu memerintahkan dia supaya menentang Pak Musiro.

Terpaksalah Jalit menentang Pak Musiro. Tetapi setiap kali memberi tentangan, serangan Pak Musiro terlalu keras. Dia tidak dapat bertahan dari serangan Pak Musiro. Mujurlah orang tua berjubah kuning itu datang menolongnya. Orang tua itu meresap ke dalam tubuhnya lalu sama-sama menyerang Pak Musiro. Akhirnya Pak Musiro terpelanting tidak berdaya lagi untuk bangun menentang.
Jalit juga mendapat cedera parah.

Bagaimanapun cederanya dapat diubat oleh orang tua yang menolongnya.
Hinggalah Ulung Bahar datang
menjelma, barulah Pak Musiro kembali bertenaga untuk melepaskan dia dari genggaman orang tua tersebut.

“Kenapa kau lari?” jerkah Ulung Bahar bila melihat orang tua berserban kuning bergegas-gegas menarik Jalit, tetapi ditahan oleh Pak Musiro.

“Kau takut pada aku?” kata Ulung Bahar menghentakkan tumitnya ke lantai rumah Jalit.

Terpekik Jalit bila Ulung Bahar
menekan tumitnya ke lantai. Orang tua berserban kuning itu tertawa berdekah- dekah bila Jalit terpekik.

“Kau takkan menang Bahar…” ejeknya menyakitkan hati Ulung Bahar.

Pak Musiro juga masih memaut tangan Jalit. Dia tidak berjaya melepaskan Jalit dari orang tua berkenaan.
Kalaulah Pak Musiro dapat melepaskan tangan Jalit dari genggaman orang tua itu, tentulah mudah bagi mereka menyerang orang tua tadi.

Syaitan yang menjelma sebagai orang tua itu berjaya menggunakan Jalit menjadi pelindungnya apabila diserang oleh manusia.
Tetapi Ulung Bahar bukan semudah itu hendak ditentang oleh syaitan. Dia tidak putus asa apabila Jalit dijadikan pelindung syaitan. Ulung Bahar terus azan hingga menggegarkan kawasan rumah Jalit. Pak Musiro tetap berpaut pada tangan Jalit walaupun gegaran bertambah kuat.

“Musiro, kuatkan zikir kau…” Pak Musiro mendengar Ulung Bahar membisikkan sesuatu ke telinganya.

Pak Musiro mengangguk.
Dia berzikir mengingatkan kudrat dan iradat Allah. Ketika ini dia merasa gegaran itu tidak menyusahkan dirinya. Pak Musiro terselamat dari gangguan gegaran apabila Ulung Bahar azan. Hanya orang tua itu saja terhumban ke kiri ke kanan tidak dapat berjejak. Gegaran semakin kuat.

“Nanti…” orang tua itu merayu
meminta Ulung Bahar berhenti azan.

Tetapi tangannya tetap berpaut pada Jalit.

“Lepaskan Jalit dulu…” perintah Ulung Bahar.

Dia tidak memberhentikan azannya. Semakin galak Ulung Bahar azan berulang kali, semakin kuat gegaran di sekitar rumah Jalit. Orang tua itu terumbang ambing macam bertih direndang dalam kuali terlompat ke kiri ke kanan.

“Tolong berhentikan! Aku tau kau tak sama dengan Musiro.

Aku kalah dengan kau, tolong…” rintihnya memanjang.

“Lepaskan Jalit dulu…” tegas Ulung Bahar.

Selagi dia tidak melepaskan Jalit, Ulung Bahar tidak akan berhenti azan.
Tidak tahan dengan gegaran yang semakin kuat orang tua itu terpaksa melepaskan Jalit. Sebaik saja Jalit dilepaskan, Ulung Bahar menyuruh Pak Musiro lindungkan Jalit. Dia tahu Jalit tidak bersalah. Jalit hanya terpengaruh dengan ilmu sesat yang ditunjukkan oleh syaitan.

“Aku tak bermusuh dengan kau” gerutu orang tua itu marah.

“Aku bermusuh dengan Musiro, biarkan saja Musiro melawan aku” ujarnya menyimpan dendam pada Pak Musiro.

“Kalau kau tak mahu bermusuh dengan aku, biar aku yang bermusuh dengan kau” sindir Ulung Bahar.

“Jangan! Aku tak mahu bermusuh dengan kau…!” sahut orang tua itu lemah.

“Aku nak bermusuh dengan kau…!” jerkah Ulung Bahar.

“Mengapa pula?” dia sengaja mencari jalan mahu mengelakkan diri dari bertentang dengan Ulung Bahar.

“Memang syaitan musuh aku!” balas Ulung Bahar menampakkan kebenciannya.

“Aku nak berlawan dengan
Musiro…” beritahu orang tua itu lagi.

“Kenalah langkah mayat aku dulu!”

Ulung Bahar terus mencabar.
Orang tua itu berlegar-legar mahu menerkam ke arah Pak Musiro. Belum sempat dia menerkam, Pak Musiro menendang dadanya. Terpelanting orang tua itu akibat ditendang oleh Pak Musiro. Masa ini dia tidak dapat lagi menggunakan Jalit sebagai pelindungnya. Dia terpaksa menanggung sendiri kesakitan akibat tendangan kuat dari Pak Musiro.

Marah benar dia ditendang oleh Pak Musiro. Cepat-cepat dia bangun mahu membalas semula. Dia menerkam tetapisempat dielak dengan pantas oleh PakMusiro.

“Di depan Bahar kau memang
handal…” bentak orang tua itu marah.

“Baca Fatihah Musiro…” bisik Ulung Bahar.

Pak Musiro membaca Fatihah tiga kali.
Satu putaran angin kencang memutar orang tua tersebut seperti uri gasing berputar ligat. Jeritan orang tua itu bergaung di dalam putaran angin kencang itu. Lama dia diputar angin kencang orang tua itu jatuh tersungkur di depan Pak Musiro.

“Sekarang kau nak lawan Musiro lagi?” kata Ulung Bahar mengejeknya.

Orang tua itu tidak dapat bergerak lagi selepas diputar angin kencang tadi.
Ternyata dia terlalu lemah untuk bangun semula. Selama ini dia tidak gentar kalau menentang Pak Musiro.

Walaupun Pak Musiro dukun terkenal, tetapi dia tahu mempermainkan Pak Musiro. Apabila kalah dia akan berundur buat sementara dulu.
Kemudian akan datang semula
mengganggu.

Tetapi dengan Ulung Bahar dia tidak berpeluang mahu mengelak. Ke mana saja bersembunyi dapat diekori oleh Ulung Bahar. Sebab itulah sedapat- dapatnya dia mahu mengelak dari bertemu dengan Ulung Bahar.

“Sekarang kau lawanlah Musiro…” ulangi Ulung Bahar.

“Kau tolong dia, fasal itu aku tak
terlawan” rintihnya menyimpan
dendam pada Pak Musiro.

“Aku tak tolong dia, kau yang tak terlawankan dia” Ulung Bahar mengejeknya.

Orang tua itu bangun terhuyung
hayang. Dia masih berdendam pada Pak Musiro. Sebaik saja dia mahu menerkam, Ulung Bahar membisikkan ke telinga Pak Musiro supaya membaca Surah Al-Ikhlas, Pak Musiro membacanya tiga kali. Tiba-tiba bukit bukau berterbangan menimpa ke arah orang tua itu. Jerit orang tua itu bergema menahan kesakitan.

Pak Musiro melihat orang tua tersebut terhimpit di bawah bukit bukau yang berterbangan menimpanya. Apabila dia membuka mata, dilihatnya Ulung Bahar ada di sebelahnya.

Malam itu juga Pak Kadut ayah Meon datang memanggil Pak Musiro kerana Jalit diserang sakit sesak nafas tiba-tiba.
Alangkah terperanjatnya dia bila diberitahu Pak Musiro masih belum pulih dari sakit.

Bagaimanapun Ulung Bahar mendoakan segelas air dan menyuruh Pak Kadut membawanya pulang. Air itu hendaklah diberi minum pada Jalit dan disapukan ke dadanya.

“Itulah ceritanya ustaz…” kata Meon mengingatkan semula kisah abangnya tersalah tuntut ilmu.

Sebelum saya balik malam itu, kami telah berjanji fasal mahu menziarahi Ulung Bahar. Ketika saya mahu balik terdengar Simah isteri Meon memekik dari dalam bilik. Bergegas-gegas Meon masuk ke bilik bila mendengar isterinya memekik sebentar tadi. Sebentar kemudiannya dia keluar semula dalam keadaan cemas.

“Jangan balik dulu ustaz…” katanya rusuh.

“Tolong tengokkan Simah dulu” ujarnya tidak ketahuan.

“Astaghafarullah hala’zim…” keluh saya mengikut Meon mendapatkan isterinya di bilik.

Leave a comment

Filed under Cerita, Ibadah, Ilmu, Perawatan, Renungan, Tok Awang Ngah

Bercakap dengan jin ~ 81 ~ Dicakar kucing hutan

DI bawah sinar lampu gasolin yang cerah, saya tatap wajah datuk. Datuk nampak tenang menarik dan melepaskan nafas. Alang Abdul Rauf terus menggosok batang cangkul dengan sepasang telapak tangannya. Kawan-kawannya terus menggali kubur dengan rancak sekali. Bau wangi terus menguasai tanah perkuburan.
Saya terus mendekati datuk.

“Bau apa yang wangi tu tuk?”

“Ada mata tengok, ada telinga dengar.”

Jawapan yang datuk hamburkan itu amat mengecewakan diri saya. Suara cengkerik dan katak terus berlarutan.
Angin yang bertiup membekalkan rasa dingin ke seluruh tubuh. Bunyi mata pencebak dan cangkul berlaga dengan tanah jelas kedengaran. Suara burung hantu dan jampuk sayup-sayup kedengaran.

Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf menghampiri kami. Badannya nampak peluh dan saya terhidu bau hangit yang meloyakan tekak. Saya paling hidung saya ke arah lain. Tetapi bau hangit itu tetap memburu hidung saya.

“Lap peluh kamu.”

Alang Abdul Rauf mencampakkan kain padanya. Orang itu terus menyapu peluh yang melekat di badan. Ia tersenyum ke arah saya. Ia bagaikan tahu yang saya tidak menyenangi dirinya.

“Dah jumpa tulang orang mati?” Alang Abdul Rauf mengajukan pertanyaan padanya.

Orang itu tidak menjawab, Ia mencapai botol air sejuk di hujung lutut Alang Abdul Rauf.
Saya lihat buah halkumnya bergerak kencang ketika ia meneguk air dari dalam botol. Kulit perutnya juga turun bergerak-gerak. Sebahagian dari air yang tidak masuk ke mulutnya terus jatuh atas dada bidangnya yang berbulu lebat. Ia berhenti minum. Botol diletakkan kembali dekat hujung lutut Alang Abdul Rauf.

“Kali ni bukan jumpa tulang,” katanya sambil menyapu kesan air yang melekat di bibirnya.

Saya angkat kepala merenung muka datuk yang kelihatan terkejut. Alang Abdul Rauf menujah-nujah permukaan tanah dengan ranting kayu.

“Kalau bukan tulang, kamu jumpa apa?” tanya datuk.

“Mayat tak reput.”

“Mayat tak reput?” Alang Abdul Rauf terus berdiri.

“Ya bau wangi ini, datangnya dari
mayat tu,” orang itu tersenyum.

Muka Alang Abdul Rauf nampak resah. Datuk terus menggigit kuku di jari. Saya teraba-raba batang leher beberapa kali. Badan terasa seram.

“Aku dah agak bau wangi tu dari kubur yang digali, waktu aku menolong kamu menggali tadi, makin jauh dikorek makin kuat bau tu menyumbat hidungku,” Alang Abdul Rauf bersuara lemah.

Ia merenung muka datuk sejenak.

“Aku berhenti mengorek tadi kerana pinggang aku terasa sakit, dan terus duduk dekat kawan aku ni tapi, bau wangi tu sampai ke sini,” tambah Alang Abdul Rauf sambil menggeliat beberapa kali.

“Eloklah kita tengok Alang,” datuk mengeluarkan cadangan.

Alang Abdul Rauf mengekori langkah mereka yang tenang menuju ke kubur yang jaraknya dari tempat saya dan datuk, kira-kira sepuluh kaki. Datuk dan Abdul Rauf jengok ke lubang kubur. Kawan Abdul Rauf yang berbadan tegap bercekak pinggang merenung ke arah kawannya yang sedang berhempas-pulas mengorek kubur yang lagi satu.

Tiba-tiba saya bagaikan dipaksa untuk melihat ke dalam kubur. Tanpa memberitahu datuk dan Alang Abdul Rauf saya jenguk lubang kubur. Saya menarik nafas. Apa yang saya lihat ialah mayat seorang lelaki dalam keadaan yang baik. Wajahnya nampak bersih dalam keadaan yang tersenyum.
Alang Abdul Rauf segera menyuruh kawannya mengambil kain untuk menutup mayat dalam lubang kubur. Perintah Alang Abdul Rauf segera dipatuhi.

“Sekarang kamu pergi ke balai polis, laporkan perkara ni pada tuk sarjan,” kata Alang Abdul Rauf pada kawannya.

Tanpa sebarang bantahan kawannya terus meninggalkan kami, meredah malam menuju ke arah jalan raya pergi ke balai polis. Embun jantan yang gugur dari langit terasa menyentuh muka. Saya mula menguap, bau tanah kubur yang baru dikorek memang kurang menyenangkan hidung saya.

Sesekali saya tercium bau kapur barus dan bau air mawar. Saya tidak tahu, apakah bau tersebut tercium oleh datuk dan Alang Abdul Rauf. Bunyi dedaun yang disentuh angin bagaikan bunyi tapak kaki orang memijak daun getah di musim kemarau. Bunyinya bersambung-sambung.

“Dah kurang bau wanginya,” ujar Alang Abdul Rauf pada datuk yang sedang meraba-raba misainya.

Mulut datuk tetap bergerak.
Entah apa yang dibacanya saya sendiri pun tidak tahu.

“Ya, tapi bau ni takkan hilang terus,” sanggah datuk.

“Mana awak tahu?”

“Bukankah bau tu datang dari mayat, waktu begini bau kurang, menjelang subuh dan pagi baunya bertambah harum dan kuat,” jelas datuk lagi.

“Eh, macam mana awak tahu
semuanya ni?” Alang Abdul Rauf tatap muka datuk di bawah sinar lampu gasolin yang memancar terang.

Saya terus merenung ke arah kawan Alang Abdul Rauf yang sedang menggali kubur yang lagi satu.
Sesekali saya terdengar suara mereka ketawa berselang seli dengan suara batuk. Barang kali kawan Alang Abdul Rauf yang itu tidak menghadapi masalah. Kalau ada masalah terus mereka datang ke sini, kata hati saya sambil menggaru pangkal leher yang gatal akibat digigit nyamuk.

“Awak tahu makin terasa cuaca sejuk, makin kuat baunya, saya dah tahu, sebabnya dalam cuaca yang sejuk udara tidak dapat bergerak dengan lancar, sentiasa berpusing-pusing sebelum bergerak lebih jauh,” saya lihat datuk bersuara dengan tenang dan penuh keyakinan.

Apakah cakap datuk itu memang benar atau sengaja di ada-adakan bagi menyenangkan hati Alang Abdul Rauf.
Saya lihat Alang Abdul Rauf anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diucapkan oleh datuk. Saya menggeliat, menghilangkan rasa lenguh di pinggang. Rasa seram tetap menguasai seluruh badan saya.

“Pak Alang ke mari.”

Serentak kami memandang ke arah suara memanggil nama Alang Abdul Rauf. Dua orang lagi kawan Alang Abdul Rauf yang bersandar pada sebatang pokok terus mendekati datuk. Saya lihat muka keduanya sangat pucat.

“Kamu ke mana? Diam tak bercakap,” Alang Abdul Rauf menyoal kedua-dua orang kawannya dengan wajah bersahaja.

Suara burung hantu dan jampuk masih berterusan. Laungan anjing tidak pernah putus. Tetapi, deru angin malam bertambah lemah.

“Kamu tengok apa yang dia orang mahu. Tolong dia orang, kalau ada apa- apa masalah datang bagi tahu aku di sini,” Alang Abdul Rauf mengeluarkan penintah.

“Baiklah Pak Alang,” kedua-duanya meninggalkan kami.

“Mari kita duduk di sana,” Alang Abdul Rauf meluruskan jari kelingkingnya ke arah sebatang pokok kayu condong.

“Boleh juga, datuk.

“Mari.”

Kami bertiga terus menuju ke pokok condong. Duduk di situ. Datuk dan Alang Abdul Rauf duduk berdekatan hingga berlaga bahu. Saya duduk berdepan dengan mereka. Saya lihat datuk resah tidak menentu.

Dalam saat yang sama saya bagaikan terasa ada sesuatu yang bergerak di ruang kosong, antara saya dengan Alang Abdul Rauf. Saya rasa benda yang bergerak dan tidak dapat dilihat itu seperti kaki gajah. Dedaun kering dan reranting kecil nampak bergerak dan terbenam di bumi macam dipijak sesuatu. Meninggalkan tapak yang besar. Bentuknya macam tapak kaki manusia yang berjari empat.

Alang Abdul Rauf segera bangun.
Sebaik saja Alang Abdul Rauf berdiri. Ia terus jatuh terlentang macam ditolak sesuatu, baju Melayu yang dipakainya terkoyak bagaikan kena rentap oleh tangan manusia. Saya segera menghampiri Alang Abdul Rauf.
Dadanya bercalar bagaikan dicakar oleh kuku kucing hutan. Muka Alang Abdul Rauf berkerut menahan kesakitan.

Datuk segera bertindak, merentap daun gelenggang yang berbunga tunggal di kanannya. Daun itu digosoknya dengan kedua belah telapak tangan hingga hancur dan mengeluarkan air.
Kemudian, air dan daun gelenggang itu disapu ke dada Alang Abdul Rauf.
Darah berhenti keluar dan bekas kena cakar itu nampak kering.

“Aduh!”

Saya terus berguling di tanah. Bahu kanan saya bagaikan ditikam dengan pisau belati. Pedih dan sakitnya hingga tidak terkata. Dalam pandangan yang berpinar-pinar itu, saya lihat datuk bergerak ke sana dan ke sini sambil mengembangkan tangannya.

Menepis ke kiri dan ke kanan. Tidak tahu apa yang datuk tepiskan. Saya tidak nampak ada orang yang menyerangnya. Pokok-pokok kecil sekitar pokok condong jadi rata akibat dipijak oleh datuk.

Alang Abdul Rauf mula bertenaga. Duduk bersila di tanah sambil melagakan jari telunjuk dengan ibu jari berkali-kali seperti orang membilang tasbih. Pandangan saya jadi gelap dan saya terdengar suara orang membaca Quran. Saya mengikut pembacaan itu dalam hati sambil menyerahkan diri pada Allah yang maha besar. Saya terdaya membuka kelopak mata. Saya toleh ke kanan, saya lihat Alang Abdul Rauf sedang membaca ayat-ayat suci.

Datuk yang tertiarap di bumi bangun perlahan-lahan. Sekujur tubuhnya berpeluh dan baju yang dipakainya penuh dengan tanah kubur. Alang Abdul Rauf berhenti membaca ayat-ayat suci dan membantu datuk. Saya masih lagi terkapar menahan rasa sakit.
Datuk menghampiri saya lalu
menampar bahu saya yang sakit. Lagi sekali saya terus pengsan. Tidak tahu berapa lama saya tidak sedarkan diri.

Bila saya sedar saya rasa bahu saya tidak sakit lagi.
Datuk terus mengikat ranting kering dengan kain hitam. Ranting kering itu ikat bersusun. Ranting kering yang sudah diikat itu terus dipijak hingga terbenam dalam bumi. Suasana terasa amat sepi sekali.

“Syaitan kacau kita,”

“Saya tahu,” balas Alang Abdul Rauf.

“Apa ikhtiar kita?”

“Usah bimbang, kuasa Allah tak ada sesiapa yang dapat menentangnya,”
balas Alang Abdul Rauf penuh
keyakinan.

“Aghhhhh !! ”

Serentak saya dan Alang Abdul Rauf serta datuk menoleh ke kanan. Kami terbangun. Dari celah pepohon di atas perkuburan kami terlihat satu lembaga yang amat menggerunkan, lembaga tanpa badan itu bagaikan muncul dari pohon. Kami berpandangan sama sendiri. Mata saya kembali tertumpu pada lembaga tersebut. Keadaannya amat menakutkan.
Mulutnya cukup lebar hingga bertemu dengan telinga. Bibir bawahnya nipis di pagar dengan gigi yang halus dan putih, macam gigi ikan haruan. Biji matanya agak tersorok jauh ke dalam, memancarkan sinar yang garang.

Datuk menarik nafas dengan kencang sekali. Alang Abdul Rauf toleh kiri dan toleh kanan. Kulit mukanya nampak pucat. Perhatian saya masih tertumpu pada lembaga tanpa badan. Rambutnya yang kusut masai menutup dahinya yang luas dan terdapat bekas jahitan hingga ke pangkal leher.
Kulit pipinya nampak lembik ke kanan dan ke kiri bersama gerak darah segar.
Hidungnya rasa sama dengan kulit pipi. Bila matanya yang kebiru-biruan menatap muka saya seluruh badan saya menggeletar. Bibir Alang Abdul Rauf membaca ayat Qursi lembaga itu membuka mulutnya lebar-lebar serta menjelirkan lidahnya yang panjang macam lidah cicak. Setiap kali lidahnya bergerak, keluar air lendir berwarna putih.
Alang Abdul Rauf terus membaca ayat- ayat suci. Saya terdengar bunyi ombak yang kuat. Aneh sekali, macam mana suara ombak boleh terdengar di tanah kubur sedangkan laut berpuluh-puluh batu jaraknya. Dalam gemuruh bunyi ombak itu lembaga yang berada di depan kami terus hilang.

Suasana kembali tenang. Tiada deru ombak, tiada lembaga putih tanpa kepala di depan mata. Tetapi, keresahan tetap terbayang di wajah Alang Abdul Rauf dan datuk. Mata mereka sentiasa saja mengawasi kiri dan kanan. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang buruk.

“Rasanya tak ada apa-apa yang nak ganggu kita,” datuk renung muka Alang Abdul Rauf.
Perlahan-lahan Alang Abdul Rauf
anggukkan kepala.

“Tapi, rasanya ada baik kita tinggalkan tempat ini,” suara Alang Abdul Rauf lemah.

Matanya tertumpu ke arah kawan-kawannya yang sudah berhenti menggali kubur.

“Kita ke sana, tengok apa yang dia orang dapat,” tambah Alang Abdul Rauf.

“Mari,” Alang Abdul Rauf cuit bahu datuk.

“Boleh juga,” balas datuk.

Sebelum melangkah saya merenung arah kubur yang sudah digali. Teringin rasa hati mahu melihat mayat yang tidak reput dan berbau wangi. Tidak mungkin saya pergi ke situ sendiri tanpa ditemani oleh datuk dan Alang Abdul Rauf.

“Mari,” datuk tarik tangan saya.

Sinar lampu gasolin terus menerangi kawasan kubur. Sayang, sinar lampu tersebut tidak mampu menerangi jalan yang bakal kami lalui. Terpaksa menggunakan lampu picit. Bila sudah hampir dengan kubur yang digali oleh kawan-kawan Alang Abdu Rauf lampu picit tidak perlu digunakan lagi kerana sinar lampu gasolin yang terpasang di tempat mereka bekerja cukup terang.

Apa yang menghairankan saya, kawan- kawan Alang Abdul Rauf yang berhenti rehat dan menggali kubur itu menutup hidung mereka dengan kain yang diikat ke belakang. Saya tersenyum melihat cara mereka yang sekaligus mengingatkan saya pada filem cowboy dalam adegan rompakan.

“Awak ada tercium bau busuk?” tanya datuk pada Alang Abdul Rauf.

“Ada, dahlah busuk hapak pula,” Alang Abdul Rauf seperti merungut.

Kian hampir dengan kawan-kawan Alang Abdul Rauf, makin kuat bau busuk itu menyucuk lubang hidung. Saya tidak dapat menggambarkan bau busuk itu. Saya bagaikan mahu muntah tetapi, saya berusaha menahannya dengan menekan ibu jari ke pangkal dagu hingga terasa sakit.

“Dari mana bau busuk ini?” Alang
Abdul Rauf menyoal kawan-kawannya.

Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf meluruskan jari telunjuknya pada pada tanah kubur yang bertimbun.

“Dah jumpa tulang mayat?” tambah Alang Abdul Rauf.

Serentak kawan-kawannya gelengkan kepala. Datuk dan saya hanya berdiam diri saja.

“Kita tak boleh lambat, kita mesti
selesaikan segera,” Alang Abdul Rauf bersuara dalam nada yang penuh kesal.

Kawan-kawannya berpandangan sama sendiri. Angin tetap bertiup. Suara lolong anjing kian menjadi-jadi. Suara jampuk dan burung hantu tetap rancak bersenandung riang. Saya menggaru batang leher dua tiga kali. Datuk memetik beberapa daun pokok yang berdekatan. Saya tidak tahu kenapa datuk memetik dedaun tersebut.

“Mari kita korek,” Alang Abdul Rauf ambil cangkul dari salah seorang kawannya.

“Kami bukan tak mahu korek, kami tak tahan dengan bau busuk,” kawan Alang Abdul Rauf menerangkan dengan penuh jujur.

Alang Abdul Rauf melepaskan ulu
cangkul yang dipegangnya. Sepasang matanya merenung tajam pada datuk. Datuk segera menghampirinya dan menyerahkan daun pada Alang Abdul Rauf.

“Buat apa?” tanya Alang Abdul Rauf.

“Gulung dan sumbatkan dalam lubang hidung, tentukan nafas boleh keluar, kalau tidak awak mati lemas,” ujar datuk. Alang Abdul Rauf segera mematuhi cakap datuk.

“Memang, tak ada bau busuk,” katanya dengan suara yang meninggi.

Kawan-kawannya segera menerkam ke arah datuk. Mereka mengambil daun dari datuk. Digulung dan disumbat ke lubang hidung. Kemudian Alang Abdul Rauf terus menggali kubur di bawah sinar lampu gasolin.

Saya berdiri di tepi kubur, entah apa malangnya daun yang saya sumbat ke lubang hidung kerap kali jatuh. Bila daun itu jatuh. Bau busuk segera masuk ke lubang hidung.

Tetapi entah mengapa saya tidak
merasa jemu atau penat mengambil daun yang jatuh dari lubang hidung untuk disumbatkan kembali. Kalau tadi datuk tidak mahu melibatkan diri dalam urusan menggali kubur, kali ini ia terus ambil cangkul dan mengkais- kais tanah sekitar kubur. Alang Abdul Rauf dan kawan-kawannya menyambung kembali kerja yang terhenti.

Saya tetap berada di sisi datuk. Ke mana ia bergerak, di situlah saya berada. Saya tidak mahu bila ada kejadian buruk yang berlaku, saya terpisah dari datuk.
Saya kurang ilmu dan kurang
pengalaman ditambah pula dengan usia yang masih hijau. Jadi saya memerlukan seseorang yang boleh jadi tempat saya berlindung. Buat saat ini, saya kira orang yang paling layak sekali ialah datuk.

Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf melompat dari dalam kubur ke tebing. Tanpa berkata sesuatu ia terus mengambil lampu gasolin lalu diletakkan betul-betul di tepi lubang kubur. Cahaya dari lampu gasolin itu menyinari seluruh perut kubur.

“Mayatnya tak reput juga,” suara Alang Abdul Rauf lantang.

Saya terus menerpa ke tebing kubur.
Rasa takut hilang diatasi oleh rasa ingin melihat dengan apa yang dikatakan oleh Alang Abdul Rauf. Datuk juga mencangkung di tepi kubur melihat mayat yang dikatakan tidak reput itu.
Alang Abdul Rauf bersama dua orang kawannya naik ke tebing kubur.
Manakala kawan yang lain berada
dalam kubur. Orang yang berada dalam kubur segera mengangkat mayat tersebut dengan hati-hati sekali.

“Kita sambut mayat tu baik-baik,”
Alang Abdul Rauf keluarkan arahan.

Saya ditolak oleh datuk ke kanan. Saya tahu, datuk tidak mahu saya berdiri dekatnya. Boleh menghalang kerjanya dan kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang mahu menyambut mayat itu.
Saya merasa beruntung, bila saya
berubah tempat ke kanan, saya dapat melihat gerak-geri mereka dengan jelas sekali. Setiap pergerakan mereka tidak terlepas dari pandangan saya.
Mereka mengangkat mayat itu dengan berhati-hati sekali. Begitu juga dengan pihak yang menyambutnya tetap
berhati-hati dan berjaga. Mereka
bagaikan tidak mengizinkan mayat yang tidak reput itu terjatuh atau sebagainya.

Mayat itu selamat sampai di atas.
Diletakkan di tanah yang bersih dengan beralaskan kain bekas tepung gandum yang sudah dicantumkan. Ketika melihat mayat yang terbujur di depan mata, entah macam mana daun yang saya sumbatkan ke dalam kedua-dua lubang hidung terjatuh.
Saya jadi resah dan terus menekup mulut menahan rasa mahu muntah.

Sekarang sudah pasti, bau busuk yang meloyakan tekak itu datangnya dari mayat yang terbujur di depan saya. Di bawah sinar lampu gasolin yang memancar itu, saya lihat kuku dan jejari mayat itu membelit bahagian dadanya. Wajah mayat itu amat menyeramkan.

“Jangan tengok,” salah seorang kawan Alang Abdul Rauf berbisik pada saya,

“Belum pernah saya tengok mayat macam ini, badan saya jadi seram sejuk, kalau orang dewasa macam saya rasa satu macam, apa lagi kamu,” tambah orang itu.

Saya diam, cakapnya memang benar. Tetapi, keinginan saya yang tinggi tidak mengizinkan hati saya mematuhi cakapnya.

“Jangan tengok,” Tamar kata datuk.

“Tutup saja mayat itu dengan kain,” ujar Alang Abdul Rauf.

Dan mayat yang menakutkan itu pun ditutup dengan kain.
Datuk duduk dan sandarkan badan pada sebatang pohon. Alang Abdul Rauf dan kawan-kawannya terus mencari kayu untuk dijadikan pengusung untuk membawa mayat itu keluar dari kawasan perkuburan.

Tiba-tiba saya terpandangkan kain penutup mayat bergerak macam ditolak sesuatu dari dalam. Kemudian kain di hujung kaki mayat itu juga bergerak.
Saya segera mendekati datuk. Saya lihat datuk tenang. Saya pandang ke arah mayat kembali. Kali ini saya lihat mayat itu terus duduk mencangkung dengan kain menutup tubuh. Saya jadi cemas.

“Mayat itu duduk tuk.”

“Kau jangan mengarut, orang dah mati macam mana boleh bangun atau bergerak.”

“Kalau tak percaya cuba tuk tengok.”

Datuk segera renung ke arah mayat tersebut. Datuk tersenyum lalu menepuk kepala saya beberapa kali.

Perlahan-lahan datuk gelengkan kepala seraya berkata:
“Aku tak nampak mayat itu bangun, tetap baring macam tadi.”

“Saya nampak tuk.”

“Tengok mayat tu duduk
mencangkung,” tambah saya sambil merenung ke arah mayat.

Dua tiga kali saya gosok kelopak mata. Mayat itu tetap mencangkung. Aneh kenapa pandangan datuk dan saya berbeza pada mayat itu. Apakah mata saya sudah rosak? Fikir saya sambil menggosok-gosok mata.

“Kamu mengantuk,” tambah datuk.

“Tidak,” balas saya.

“Renung muka aku, Tamar.”

Saya terus renung muka datuk. Saya terdengar suara datuk membaca Bismillah dan dituruti dengan pembacaan ayat Alhamdulillah hingga akhir. Sebaik saja pembacaan itu tamat, telapak tangan datuk menyapu sepasang kelopak mata saya tiga kali berturut-turut. Pandangan saya jadi berpinar-pinar.
Lampu gasolin yang tergantung saya lihat jadi dua, begitu juga dengan kawan-kawan Alang Abdul Rauf.
Semuanya nampak kembar. Kelopak mata saya pejam celikkan berkali-kali.

“Kau nampak mayat tu duduk
mencangkung lagi?”

Pertanyaan datuk itu tidak saya jawab. Saya arahkan sepasang mata pada mayat. Ternyata mayat yang saya lihat sebentar tadi duduk mencangkung tetap baring kaku. Muka datuk saya tatap sejenak.

“Pelik dah memang sah, saya nampak mayat tu duduk mencangkung macam mana pula sekarang dia baring,” kata saya dengan rasa takjub.

Datuk menggaru pangkal keningnya berkali-kali.

“Apa yang kamu lihat tadi bukannya mayat tetapi syaitan yang menyerupai mayat,” jelas datuk.

“Kalau begitu kita balik saja tuk, saya tak suka melihat benda-benda yang ganjil.”

“Sabar, kita tunggu sampai semua urusan mereka selesai.”

Saya menarik nafas dalam-dalam.
Kata-kata datuk itu terus saya patuhi. Kalau saya membantah, pasti datuk menyuruh saya pulang sendirian. Mananmungkin saya berani berjalan seorang diri di kawasan kubur yang telah membekalkan saya dengan berbagai- bagai peristiwa yang tidak menyenangkan.

Malam kian larut, rasa dingin kian
hebat mencengkam kulit tubuh.
Lolongan anjing sudah pun berhenti tetapi, suara jampuk dan burung hantu tetap kedengaran tetapi tidaklah serancak tadi.
Angin tidak lagi bertiup. Titisan embun tetap berlanjutan. Dedaun kering di permukaan tanah kubur melahirkan bunyi bila dirayapi oleh serangga liar yang berjalan malam.

Beberapa orang rakan Alang Abdul Rauf sandarkan badan ke pangkal pokok.
Ada di antara mereka yang terlelap dan berdengkur. Suasana di tanah perkuburan lama itu terasa amat sepi sekali. Datuk dan Alang Abdul Rauf kelihatan tidak mengantuk.

Tiba-tiba suasana sepi dan hening di tanah perkuburan lama itu diganggu oleh bunyi ranting patah macam dipijak oleh manusia, serentak dengan itu juga terdengar bunyi suara orang bercakap yang sukar difahami maksudnya.

Ada cahaya menyuluh ke arah pepokok besar di kawasan perkuburan. Agak sukar menentukan dari arah mana cahaya itu datang. Saya lihat muka datuk dan datuk pandang muka Alang Abdul Rauf dengan rasa yang cemas.

Secara mendadak saja rakan-rakan Alang Abdul Rauf yang terlena di pangkal pokok segera bangun, mereka bagaikan digerakkan oleh sesuatu yang aneh. Mata mereka nampak merah dan muka membayangkan rasa takut.

“Kenapa?” tanya datuk.

“Saya mimpi mayat ini bangun dan mahu mencekik leher saya,” kata kawan Alang Abdul Rauf yang bertahi lalat di pipi kiri.

Bila ditanya pada kawan-kawannya yang lain, semuanya mengakui mengalami mimpi yang sama.
Bagaimana perkara macam ini boleh terjadi? Lima orang mengalami mimpi yang sama, hati kecil saya bersuara.
Alang Abdul Rauf menyuruh rakan- rakannya membasuh muka dengan air yang dibawa (air itu diisi dalam botol besar, yang bertujuan untuk dibuat air minuman). Cakap Alang Abdul Rauf segera dipatuhi. Suara orang bercakap dan bunyi tapak kaki memijak reranting kering kian kuat.

Leave a comment

Filed under Ilmu, Perawatan, Renungan

Bercakap dengan jin ~ 80 ~ Mayat berbau wangi

“Begini,” Alang Abdul Rauf menggosok- gosok badan cawan dengan jari kelingkingnya.

Lagi sekali ia merenung ke kiri dan ke kanan. Ia menarik nafas panjang.
Kesan air kopi yang melekat di bibir bawahnya terus dikesat dengan hujung jari telunjuk. Saya masih menanti, apakah petua-petua yang akan diucapkannya kepada saya.

“Begini Tamar, orang tua-tua kita dulu, banyak mengamalkan petua terutama bila berdepan dengan minuman dan makanan,” Alang Abdul Rauf memulakan,

” petua tu digunakan untuk menjaga diri, mungkin makanan atau minuman yang diberi atau dihidangkan oleh orang lain pada kita, ada benda-benda bisa yang termasuk secara tidak sengaja,” tambahnya dengan nada suara yang lembut.

Wajahnya nampak tenang sekali. Saya anggukkan kepala beberapa kali sambil merenung tangkai cawan.

“Apa dia petuanya pak cik?”

“Selalunya, orang menaruh guna-guna dalam minuman, juga makanan dengan tujuan untuk menjadikan seseorang tu bodoh, ada juga yang cuba menaruh racun,” Alang Abdul Rauf membetulkan duduknya, supaya selesa.

“Cara pertama gunakan lidah untuk menjolok lelangit, kalau terasa geli, bolehlah minum dan makan benda yang dihidangkan, kalau tidak terasa apa-apa semacam kebas jangan makan atau minum, itu merbahaya,” Alang Abdul Rauf meluahkan petua pertama.

Saya mendengar dengan penuh minat.

“Cara kedua macam mana pak cik?”

“Tekup kedua belah telinga kamu
dengan tangan, biasanya bila telinga ditekup, kita akan terdengar bunyi gugup memanjang, macam bunyi dalam air waktu kita menyelam. Kalau terdengar bunyi macam tu, kita boleh minum dan makan, kalau tak dengar macam tu jangan makan,”

“Lagi petua yang ketiga macam mana pula?”

“Sebelum makan atau minum, gosok rambut dengan telapak tangan, biasanya, jika rambut digosok terasa kesat dan mengeluarkan bunyi, jika tak dengan bunyi, jangan minum dan makan barang yang dihidangkan di depan kamu,” Alang Abdul Rauf meluahkan semua petua yang diketahuinya pada saya.

Saya mengaru-garu batang leher yang gatal. Mata terus merenung ke setiap sudut kedai kopi. Saya kira petua- petua yang dikatakan oleh Alang Abdul Rauf itu memang baik untuk diamalkan.

“Tetapi, orang-orang muda sekarang mana mahu amalkan semua petua, Bismillah pun jarang dibaca bila mahu makan atau minum,” kata Alang Abdul Rauf dan saya merasakan kata-kata itu, bagaikan menyindir diri saya sendiri. Muka Alang Abdul Rauf saya pandang sejenak.

“Tapi, aku yakin kamu selalu baca
Bismillah setiap kali minum dan
makan, bukan begitu Tamar?”

“Insya-Allah pak cik,” balas saya
dengan segaris senyum.

“Mari kita pergi Tamar.”

Alang Abdul Rauf terus bangun. Ia menuju ke meja tuan punya kedai kopi.
Alang Abdul Rauf bayar harga kopi dan kuih. Kedai kopi kami tinggalkan dan saya terus duduk di pelantar basikal menuju ke rumah adiknya yang terletak kira-kira sebatu dari kedai kopi tersebut.

Tujuan utama Alang Abdul Rauf
menemui adiknya untuk
membincangkan tanah pusaka
peninggalan orang tua mereka. Alang Abdul Rauf mahu menjual tanah pusaka itu pada orang lain.
Tetapi adiknya tidak setuju dengna alasan tanah pusaka itu mahu ditanam dengan pokok durian dan langsat.
Sedangkan Alang Abdul Rauf
berpendapat cara yang mahu dilakukan oleh adiknya itu tidak sesuai kerana kedudukan tanah itu jauh dan tidak pernah dijaga.

“Dari tanah tu terbiar ada baiknya kita jual, duitnya kita bagi sama, selama ni duit cukai tanah aku yang membayar hasilnya tak ada apa-apa,” ujar Alang Abdul Rauf pada adiknya.

“Saya tak mahu jual, kalau abang jual juga, kita bukan lagi adik beradik,” suara adiknya keras.

“Kalau sudah begitu kata kamu, tak jadilah aku nak jual tapi, cukainya kita bayar sama-sama.”

“Abang saja yang bayar, saya mana ada duit, anak-anak saya ramai, bila saya ada duit nanti saya bayar.”

“Itulah yang selalu kamu cakapkan, bila aku datang minta duit kamu lari,” suara Alang Abdul Rauf meninggi.

Adiknya terus membisu.

Mungkin kerana sifat penyabarnya, Alang Abdul Rauf tidak mahu menyebut-nyebut soal tanah pusaka dalam perbincangan berikut dengan adiknya. Anehnya, sebelum Alang Abdul Rauf pulang, adiknya meminta wang darinya. Alang Abdul Rauf hulurkan wang dua puluh ringgit pada adiknya.

“Itulah adik aku Tamar, namanya Mat Judin, susah mahu diajak berunding,” bisik Alang Abdul Rauf pada saya, ketika turun dari rumah.

“Adik nombor berapa pak cik.”

“Adik bongsu, yang dia tahu minta duit tak beri tarik muka, kerana tak mahu bergaduh dengan adik-beradik, terpaksa aku ikut cakapnya,” terang Alang Abdul Rauf.

“Apa pendapat kamu tentangnya.”

“Tak ada apa-apa pak cik,” balas saya dengan senyum pendek.

Saya tidak mahu melibatkan diri dalam urusan keluarga orang lain.
Kami tinggalkan rumah Mat Judin,
ketika matahari sudah condong.
Seronok naik basikal di bawah
lindungan pokok-pokok getah. Terasa cukup redup dan selesa sekali. Peluh tidak sehebat tadi mercik di dahi dan tubuh. Alang Abdul Rauf cukup rancak bercerita tentang keluarganya.

Saya cuma anggukkan kepala. Sesekali, saya ketawa, bila terdengar peristiwa lucu terjadi antara Alang Abdul Rauf dengan adik bongsunya.

Tiba-tiba, Alang Abdul rauf brek
basikalnya dengan mengejut. Saya terpelanting ke tanah. Siku kiri saya berdarah kena tunggul getah. Dengan susah payah saya bangun. Pada mulanya saya mahu marahkan Alang Abdul Rauf tetapi, bila saya lihat dirinya terkial-kial ditindih basikal dan baju Melayu cekak musangnya koyak, saya tidak jadi marah.

“Kenapa pak cik,” tanya saya.

“Tengok tu,”

“Ha,” mulut saya ternganga.

Kepala lutut saya terasa lemah. Seekor ular tedung sela memanggungkan kepalanya separas dada saya. Ular itu kelihatan seperti berdiri atas ekornya.

“Kamu jangan bergerak, Tamar,”
perintah Alang Abdul Rauf.

Saya mematikan diri. Tegak macam patung. Ular tedung selar itu menggerakkan kepalanya ke kanan mengikut gerakan tubuh Alang Abdul Rauf yang cuba mendirikan basikalnya. Ular tedung sela itu terus mematuk ke arah tubuh Alang Abdul Rauf. Anehnya patukan ular itu bagaikan tidak sampai ke tubuh Alang Abdul Rauf, macam ada sesuatu yang menghalangnya.
Ular tedung sela berhenti mematuk tubuh Alang Abdul Rauf . Basikal tua berjaya ditegakkan. Ular tedung sela masih berdiri dengan kepala yang terkembang.
Perlahan-lahan Alang Abdul Rauf
membongkokkan badannya. Ular
tedung sela turut merendahkan
badannya dan bersedia untuk
melepaskan patukan pada ubun-ubun kepala Alang Abdul Rauf.

Belum pun sempat ular tedung sela membenamkan siungnya yang bisa ke kulit Alang Abdul Rauf, saya lihat Alang Abdul Rauf terus melompat dengan sekelip mata sahaja, bahagian bawah kepala ular tedung sudah berada dalam genggamannya. Cepat-cepat Alang Abdul Rauf menekan siung ular tedung pada besi galang basikal.

“Kau ambil mangkuk getah dan tadah,” perintah Alang Abdul Rauf.

Saya segera mengambil mangkuk yang tersangkut pada pohon getah lalu menadah bisa ular tedung yang keluar.
Badan ular terus melilit lengan Alang Abdul Rauf. Pada mulanya lilitan itu cukup kuat dan kejap. Sepuluh minit kemudian, lilitan ular tedung menjadi lemah dan badannya terus lurus ke bawah, tidak bermaya.

“Balik ke tempat kamu,” kata Alang Abdul Rauf meletakkan ular tedung selar atas tanah.

Beberapa minit kemudian, ular tedung sela itu menggerakkan ekornya beberapa kali. Panggungkan kepala separas lutut Alang Abdul Rauf untuk beberapa saat. Badannya direndahkan lalu melata atas bumi masuk ke dalam semak di sebelah kanan jalan.

“Buat apa bisa ular ni pak cik,” tanya saya.

Alang Abdul Rauf terus mengeluarkan botol kecil yang dibawanya. Ditutup dengan sapu tangan bewarna merah.

“Jarang-jarang dapat bertemu denganular tedung, entah macam mana petang ni, dia datang serah diri,”

Mukanya kelihatan kemerah-merahan.

“Buat apa bisa ular ni pak cik?” ulangsaya lagi.

“Untuk menawarkan bisa ular,”
balasnya tersenyum.

“Naik, kita balik,” gesa Alang Abdul Rauf pada saya.

Ia terus menolak basikalnya atas jalan tanah merah. Tanpa membuang masa saya terus melompat atas lanting basikal. Kali ini Alang Abdul Rauf kayuh basikal dengan laju sekali.
Rambut saya terus mengerbang ditolak angin.

“Pak cik saya nak tanya sikit?”

“Apa dia tamar.”

“Tadi saya nampak ular tu patuk ke badan pak cik tapi macam tak sampai.”

“Betul ke?” Alang Abdul Rauf macam terkejut.

“Ya, pak cik.”

Alang Abdul Raud tidak menjawab, ia terus membongkok kayuh basikal.
Langgar akar dan tanah keras. Saya terpaksa angkat punggung. Kalau tak buat macam itu, daging punggung saya terasa sakit dan mungkin juga lebam. Angin yang memukul tubuh membekalkan kesegaran.

“Lain kali saja perkara tu aku ceritakan pada kamu Tamar.”

“Kenapa?”

“Tak usahlah kamu tanya kenapa”
“Bisa ular tu nak buat apa pula?”

“Kamu terlalu banyak bertanya,” suara Alang Abdul Rauf mula meninggi.

Saya tahu ia kurang senang dengan sikap saya. Buat beberapa ketika kami tidak bercakap. Bunyi rantai basikal tua yang tidak pernah ditaruh minyak menyakitkan anak telinga saya.

“Bisa ular itu, aku campurkan dengan minyak kelapa tulin kemudian aku hangatkan ke api hingga mendidih, isi dalam botol.”

Tidak saya duga Alang Abdul Rauf mahu membuka rahsia kegunaan bisa ular yang diambilnya sebentar tadi. Saya tersenyum dan memasang telinga untuk mendengar keterangan lanjut darinya.

“Lepas tu pak cik buat apa?”

“Aku jadikan minyak untuk menyapu seluruh badan, bila mahu tidur malam, dengan izin Allah jika kita kena patuk ular bisanya terus tawar, kadang- kadang ular tidak mahu mematuk kita, kecuali ular yang betul-betul ganas.”

“Macam ular tadi.”

Alang Abdul Rauf terus anggukkan kepala.

Badannya terus membongkok kayuh basikal.

“Selain dari itu, apa khasiatnya lagi.”

“Boleh menghilangkan sakit-sakit
lenguh sendi, terkehel dan penawar bisa binatang.”

“Macam tu, barulah saya tahu.”

“Datuk kau tak cakap dengan kau.”

“Tidak.”

Alang Abdul Rauf terbatuk. Basikal terus dikayuh dengan tenaga tuanya. Bau peluhnya terasa hangit menyucuk lubang hidung saya. Baju dibahagian ketiaknya basah dengan peluh. Dedaun getah yang tua terus berguguran.
Melayang-layang di udara sebelum tersadai di tanah.

“Kalau macam tu, kenapa pak cik tak tangkap ular dan ambil bisa untuk dijadikan ubat, jual pada orang ramai macam tukang-tukang ubat kaki lima buat,” soal saya.

Alang Abdul Rauf memperlahankan laju
basikalnya.

“Tak boleh, kita tak boleh tangkap sebarang ular bisa, kecuali ular yang betul-betul garang dan menyerang kita, macam ular tadi. Kalau sengaja kita tempah cari ular bisa, perkara tu tak mahu menjadi,” terang Alang Abdul Rauf dalam keadaan yang mengah.

Ia terus menyapu peluh di dahi dengan telapak tangannya. Saya terus melihat pepohon getah yang kaku. Dua tiga ekor kera berlompatan di dahan getah, memulas dan membuang buah getah muda.

“Lagi satu ubat macam tu, tak boleh dijual, kalau dijual mujarabnya kurang, malah tak datang kesan langsung, kita boleh menyimpannya dan
menggunakannya untuk orang yang benar-benar memerlukan pertolongan, kalau dijadikan punca rezeki, ia tak mahu menjadi, silap-silap caranya kita dituduh orang, jadi penipu.” lanjut Alang Abdul Rauf penuh semangat.
Saya terus diam.

Apa yang saya fikirkan dalam kepala, macam mana Alang Abdul Rauf tahu kegunaan bisa ular itu. Apakah sebelum itu ia pernah kena patuk ular bisa atau memang sejak dulu lagi, ia ada ilmu ular.

“Agaknya pak cik ada ilmu ular?”

Saya memberanikan diri bertanya.
Soalan saya tidak dijawabnya untuk beberapa minit. Saya tidak berani mengulanginya, saya takut kena marah. Saya biarkan ia mengayuh basikal dengan tenang.

“Tak ada ilmu, memang aku tak tahu ilmu ular, cuma setiap kali berhadapan dengan ular aku baca Bismillah, kemudian amalkan petua orang tua-tua bersama dengan rasa yakin dan berani, tidak melupai kebesaran ALLAH.”

“Apa dia petuanya.”

“Bila kamu jumpa kulit ular mahu
bersalin kulit, ambil kulitnya itu, bawa pulang dan bakar, abunya kamu isi dalam buluh kecil, bila kamu masuk hutan yang kamu fikirkan terdapat ular bisa bawalah buluh tu, dengan izin Allah, ular datang ke kaki kamu menyerah diri. Kamu jangan buat apa- apa, bacalah Bismillah dan tangkap ular itu, letakkan ke tanah sebelah kanan tempat kamu berdiri.” Alang Abdul Rauf berhenti bercakap.

Ia menelan air liur dua tiga kali. Bau peluhnya bertambah hebat.

“Biarkan ular itu pergi, kalau ular tu tak mampu bergerak kerana terkena sumpah kulitnya, kau mesti meletakkan di tempat yang kamufikirkan ia boleh bergerak. sebaik- baiknya cari pucuk gelenggang letakkan atas kepalanya, kamu dapat tengok ular itu lari macam pelesit,” tokok Alang Abdul Rauf sambil batuk.

“Berani kamu membuatnya Tamar?”

“Tak berapa yakin.”

“Kalau tak yakin, jangan cuba-cuba melakukannya nanti kamu terima padah, lagipun petua ni ada ujiannya, bila kamu bawa kulit ular dalam buluh, macam-macam ular yang tak pernah kamu lihat akan kamu lihat.”

“Ular macam mana tu pak cik?”

“Ular kepala dua, kadang kepala tiga, ada masanya kamu jumpa ular bertanduk, kalau kamu takut, petua tu tak akan menjadi.”

“Kalau saya berjaya macam mana pak cik?”

“Kamu boleh jadi macam aku, bila
jumpa ular yang garang macam tadi ambil bisanya dan buat seperti apa yang aku katakan,” Alang Abdul Rauf menoleh ke arah saya bersama senyum sinis.

Saya tahu, ia semacam
memperkecilkan kemampuan diri saya. Sesungguhnya, saya tidak minat sama sekali untuk jadi macam dirinya.
Tetapi saya seronok melihat kejadian- kejadian yang aneh dalam hidup saya.

Saya bercadang minta kebenaran dari datuk untuk tinggal lebih lama dengan Alang Abdul Rauf, saya mahu berkongsi pengalaman dengannya. Saya yakin tidak ramai orang-orang tua yang ada ilmu dan petua dalam dada seperti Alang Abdul Rauf.

Kalau saya tidak mahu mengambil petua darinya, apa salahnya melihat dirinya mengamalkan petua itu.
Setidak-tidaknya akan jadi bahan
cerita anan cucu saya, betapa orang- orang tua terdahulu mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Lebih kurang pukul empat petang, saya dan Alang Abdul Rauf sampai ke rumah. Saya lihat datuk duduk menongkat lutut atas pelantar di bawah pohon mempelam membaca akhbar dengan tenang.

“Macam mana, semuanya berjalan dengan selamat.” tanya datuk pada Alang Abdul Rauf yang sedang menyandarkan basikal tuanya di tiang rumah.

“Semuanya selamat, kalau tak selamat aku dan cucu kamu tak sampai ke sini,” sahut Alang Abdul Rauf dalam nada suara yang meninggi.

Datuk melipatkan akhbar yang dibaca.
Saya terus menghampirinya dan duduk disisinya.

Beberapa minit kemudian Alang Abdul Rauf datang ke pelantar dan duduk di sebelah kanan saya. Datuk terus meraba-raba dagunya.

“Apa yang cucu aku dapat ikut kamu Alang?”

“Banyak yang dia dapat, kamu tak percaya cubalah tanya dirinya sendiri.”

“Betul ke ni Alang atau nak bergurau saja,” tingkah datuk dan mereka ketawa berderai di bawah sinar matahari petang yang cerah.

“Eh.. Tamar kau cakapkan pada datuk kamu, apa yang kamu tengok dan masa kamu ikut aku,” Alang Abdul Rauf merenung mata saya.

Datuk menggaru-garu pangkal
telinganya.

“Cakaplah Tamar,” Alang Abdul Rauf seperti mendesak.

“Tak payah Tamar cakap pun aku dah tahu, kamu bawa balik bisa ular tedung Alang,”

Saya lihat muka Alang Abdul Rauf berubah. Ia terkejut besar. Memang ia tidak menduga yang datuk tahu apa yang telah terjadi.

“Mana kamu tahu?” tanyanya cemas.

“Hidung aku dapat menciumnya,” balas datuk.

“Bukan hidung, tetapi pancaindera yang kelima memberitahu aku.”

“Kamu memang manusia aneh.”

“Tak aneh, tetapi aku mengamalkan pantang larang dan petua orang tua- tua,” suara datuk merendah.
Alang Abdul Rauf termenung panjang.

Membiarkan angin petang menyentuh wajahnya. Saya mengeliat dua tiga kali.

“Sengaja aku suruh si Tamar ikut kamu, biar dia tahu setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya, aku tak suruh dia ikut saja, semuanya sudah aku kira dan perhitungkan,” datuk membuka rahsia.

“Jadi, semuanya sudah kamu rancang.” tanya Alang Abdul rauf.

“Ya, bila kamu sebut kamu nak pergi jauh, aku segera terfikir untuk menyuruh Tamar menemani kamu, aku tahu kamu bukan sebarang orang, setidak-tidaknya Tamar dah tahu kamu memang handal melemahkan ular berbisa.”

“Kamu memang bijak, cara kamu mengajar cucu kamu supaya menghargai kehebatan orang tua-tua memang tidak terasa.”

“Entahlah,” datuk terus menepuk pangkal pahanya berkali-kali.

Saya terus bangun dan menggeliat, tidak lama kemudian terdengar suara azan asar. Kami bertiga segera bangun.
Menuju ke rumah. Saya basuh muka dan kepala. Datuk tukar baju dan Alang Abdul Rauf tergesa-gesa mandi.
Kami pun menuju ke masjid untuk berjemaah. Selesai berjemaah Alang Abdul Rauf mengajak saya dan datuk meninjau ke kawasan tanah perkuburan yang sudah dikosongkan.
Tidak lama lagi kawasan itu akan menjadi kolam lombong.

“Kawasan sebelah sana, kubur-
kuburnya masih belum diubah.”

Alang ABdul Rauf berdiri di bawah pohon gajus. Tangannya mengarah ke kawasan perkuburan yang penuh dengan susunan batu nisan dalam pelbagai aneka bentuk. Pokok-pokokbyang tumbuh di situ, seolah-olah menjadi payung pada perkuburan dan batu nisan. Sinar matahari bagaikan tidak menyentuh tanah kubur.

“Kubur yang kamu korek tu sebelah mana?”

Tanya datuk pada Alang Abdul Rauf, saya lihat Alang Abdul Rauf
membetulkan songkok putihnya yang senget di kepala. Ia menarik nafas panjang.

“Saya korek sebelah kiri kawasan kubur yang kita nampak ni, lepas tu baru sebelah kanan. Semua kawasan kubur orang Islam ini penuh dengan bijih,” tangan kanan Alang Abdul Rauf terus cekak pinggang merenung
kawasan-kawasan yang disebutnya.

“Sejak kamu korek kubur, kamu tak jumpa dengan perkara-perkara yang ganjil Alang?”

Saya lihat Alang Abdul Rauf tersenyum sumbing mendengar pertanyaan dari datuk.

Saya terus garu kepala dalam keresahan yang tidak menentu.

Leave a comment

Filed under Bercakap Dengan Jin, Cerita, Doa, Ilmu, Perawatan, Renungan

Bercakap dengan jin ~ 79 ~ Wanita tanpa wajah berjalan malam

Pemilik lombong itu membeli tanah milik orang Melayu dengan harga yang mahal. Dan orang Melayu yang menjual tanah itu diberi tapak rumah yang terletak di satu kawasan lain. Tidak lama lagi tulang mayat yang ada di tanah perkuburan tersebut akan dipindahkan ke tempat lain. Segala perbelanjaan ditanggung oleh pihak tuan punya lombong.

“Tidak lama lagi kampung kami tinggal nama saja, semua rumah yang ada ini, paling lama boleh bertahan lima enam bulan saja lagi, lepas tu terpaksa pindah. Di bawah tempat kita berdiri ini penuh dengan bijih,” kata Ramli.

“Macam mana kalau mereka tak mahu pindah?”

“Mana boleh semuanya sudah dijual duit pun dah ambil dari tauke lombong,” jawab Ramli.

“Rugi mereka jual tanah,” kata saya.

“Awak tak boleh cakap macam ini, kalau mereka tak jual tanah, mereka juga tak boleh kaya, takkan nak cangkul tanah cari bijih, lagipun tawaran yang datang ni memang tinggi,” kata Ramli.

Bila saya fikirkan dengan halus
cakapnya itu memang ada benarnya. Rupanya Ramli yang hampir sebaya dengan saya itu, terlalu pintar bercakap. Ia boleh bercerita tentang apa sahaja yang ada hubung kait dengan Kampung Bakap. Kami terus bercerita panjang. Kami berpisah ketika azan Maghrib dilaungkan.
Ramli kini menjadi pelombong Melayu yang berjaya, setelah ia meletakkan jawatan sebagai Pengarah Galian Negeri Perak.

Anak sulungnya menuntut ilmu kedoktoran di England. Kawan datuk itu namanya, Alang Abdul Rauf. Datuk memanggilnya Rauf sahaja.
Sebagai orang kampung yang
sederhana, ia mempunyai dua ekar tanah dusun dan tiga ekar ladang getah. Hasil dari tanah miliknya itu menjadi sumber pendapatannya.

Sejak enam bulan kebelakangan ini, ia membuat kerja tambahan menggali kubur lama waktu malam. Tulang- temulang dari kubur lama itu dikumpulkan lalu ditanam di kawasan perkuburan yang baru. Semua pembiayaan kerja itu diuruskan oleh pihak tuan punya lombong yang mahu mencari bijih di kawasan tersebut.
Alang Rauf dibantu oleh empat orang lain. Mereka menjalankan kerja selepas waktu Isyak hingga ke Subuh.

Sepanjang tugas itu dilaksanakan
mereka tidak menghadapi sebarang kejadian aneh. Semua kerja berjalan dengan lancar.

“Bagaimana, kalau kamu dengan cucu kamu ikut kami malam ini,” Alang Abdul Rauf membuat tawaran pada datuk setelah selesai sembahyang Isyak.

Bulu tengkuk saya jadi meremang
mendengar pelawaan itu. Ah, itu kerja gila, pergi kubur waktu malam dan menggalinya pula, rungut saya dalam hati.

“Minta maaf, malam ni saya ada
berjanji dengan orang yang berniaga di pasar Batu Gajah,” ujar datuk tenang.

“Nak ke mana pula?”

“Orang tu beritahu saya, di kampung tempat dia menyewa rumah dikawal oleh satu lembaga putih, sesiapa yang datang ke kampungnya dengan niat nak mencuri atau mengambil sesuatu lembaga putih akan menganggunya.”

“Aku tahu cerita tu kalau tak silap di Kampung Dhobi di Pekan Lama.”

“Agaknya, begitulah,” datuk menelan air liur.

Alang Abdul Rauf menggaru pipi kiri. Kemudian menyedut rokok daun dengan penuh nafsu. Suara cengkerik jelas kedengaran menendang gegendang telinga.
Alang Abdul Rauf pun terus bercerita pada datuk. Kira-kira tiga bulan yang lalu, waktu musim buah durian gugur.

Tiga orang pemuda India yang nakal telah datang ke kampung tersebut untuk mencuri buah durian waktu malam.
Sedang mereka mengutip buah durian, tiba-tiba mereka terpandang lembaga putih memakai kain telekung. Pada sangkaan pemuda-pemuda India itu, orang-orang kampung cuba menakutkan mereka.

Mereka terus membalingkan kulit
durian dan dahan kayu ke arah
lembaga tersebt. Lembaga itu tidak bersuara malah terus duduk di tunggul buruk. Kerana memikirkan yang bertelekung itu orang perempuan, ketiga-tiga pemuda India ini terus rapat ke arah lembaga tersebut.

Bila sahaja lembaga itu merenung ke arah mereka. Ketiga-tiga pemuda India itu terus menjerit dan lari lintang- pukang. Dua hari kemudian seorang daripada pemuda India itu mati gantung diri. Manakala yang dua orang terus gila dan dihantar ke hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

“Apa yang mereka lihat.” tanya datuk.

“Entahlah,aku pun tak tahu.”

“Pelik juga ceritanya.”

“Kalau kamu nak tahu, kamu pergi sendiri. Aku nak mulakan kerja, kawan-kawan aku dah menunggu,”
Alang Abdul Rauf segera bangun
menuju ke pintu.

“Tak apalah Rauf, aku juga nak pergi ke tempat yang aku janjikan dengan peniaga tu,” datuk terus bangun.

“Kamu balik atau tidak malam ni?”

“Belum tahu lagi.”

“Tak apalah, kalau kamu balik dan aku tak ada di rumah kamu ketuk aja pintu, nanti orang rumah aku bukakan pintu.”

Alang Abdul Rauf terus melangkah menuju ke tempat kerjanya. Saya dan datuk juga mengatur langkah.

Sampai sahaja di depan Masjid Batu Gajah, kenalan datuk sudah pun menunggu. Di situ kami menuju ke rumahnya. Isterinya menghidangkan kopi dan biskut kering.

“Awak ni berminat sangat nampaknya, apa awak seorang pawang dan nak menghalaunya,” tanya peniaga tersebut pada datuk.

Ketika itu jam sudah pun hampir pukul dua belas malam.

“Bukan apa-apa, saya cuma nak
tengok, apakah cerita betul atau
sengaja diada-adakan.”

“Kalau awak tak mahu, biar kami pergi berdua.”

“Tak apalah. saya hantarkan awak ke hujung kampung.”

“Boleh juga,” jawab datuk.

Tepat pukul dua belas malam. Kami meninggalkan rumah. Peniaga tersebut cuma menghantar kami hingga sampai ke pohon jejawi yang besar. Ia membekalkan lampu suluh pada datuk. Saya mula resah. Angin malam yang bertiup lembut terus menjamah wajah saya.

“Saya setakat sini saja, awak tahu menuju rumah saya,” lembut benar suara peniaga.

Membayangkan rasa cemas.

“Saya tahu menuju rumah awak, terima kasih.”

“Sebenarnya, saya tak pula suruh awak buat macam ni, saya sekadar bercerita saja di masjid tadi, saya fikirkan awak olok-olok aje nak datang rupa-rupanya awak sungguh-sungguh.”

“Saya memang suka buat kerja macam ni,” jawab datuk.

Dan peniaga itu meninggalkan kami di bawah pepohon jejawi yang besar itu.
Dua tiga kali saya meraba pangkal dagu bila terdengar lolongan anjing bersahut-sahutan dari bahagian tengah dan hujung kampung. Lolongan anjing itu disertai dengan salakan yang tidak putus-putus macam menyalak sesuatu. Saya lihat ke langit, saya nampak awan putih bersih bergerak lemah ke selatan.
Suara katak dan cengkerik
menambahkan rasa seram. Beberapa helai daun jejawi yang tua gugur lalu menyentuh kepala saya. Datuk tetap tenang menyuluh ke kiri dan ke kanan dengan lampu picitnya. Melihat dari langkah dan gerak tangan datuk, menggambarkan yang dirinya tidak perlu membuat apa-apa persiapan.

Datuk tidak membaca ayat-ayat suci. Ia kelihatan tenang dan adakalanya ia tersenyum panjang. Datuk duduk bersila di pangkal jejawi. Akar-akar yang bergayutan di pohon jejawi bergerak sendiri macam ada orang yang menolaknya. Akar-akar itu memukul belakang datuk dan adakalanya memukul bahagian punggung saya. Terasa juga sakitnya tetapi, saya diamkan sahaja.

“Suluh baik-baik,” datuk mengingatkan saya.

Arahan datuk saya patuhi.
Saya terdengar kicau burung murai.
Pelik juga macam mana murai boleh berkicau malam. Bila kicau mural itu berhenti. Ada titik air jatuh dari dahan jejawi, macam air dari perahan kain yang dibasuh. Air itu turun berjuntai.

Salakan anjing beransur perlahan
begitu juga dengan lolongannya.
Terdengar bunyi kaki orang memijak reranting dan dedaun kering dalam gelap malam. Bila disuluh dengan lampu picit. Tidak ada sesuatu yang dapat dilihat.

Bulu tengkuk saya meremang. Badan saya terasa seram sejuk.
Beberapa ekor tikus liar. Entah dari mana datangnya melintas di depan saya dan datuk. Seekor anjing yang bertompok hitam putih melompat di depan datuk dan terus hilang. Beberapa saat kemudian terdengar suara anjing menderam macam menegur sesuatu.

“Dia tidak datang kerana kita tidak mengambil sesuatu di sini,” kata datuk pada saya sambil bangun.

Ia menggeliat.

“Apa yang kita nak ambil tuk?”

“Ikut aku Tamar.”

Saya lihat datuk menyuluh ke kanan.

Dari suluhan lampu picit ternampak beberapa batang pokok delima yang berdaun lebat. Datuk mengajak saya menuju ke pohon delima itu. Datuk serahkan lampu picit pada saya.

“Suluh, biar aku petik sebiji dua,”
beritahu datuk pada saya.

“Baik tuk.”

Datuk memetik dua biji delima yang masak ranum. Dia masukkan ke dalam sakunya dan datuk melangkah ke arah pohon kelapa yang berada di depannya.

Tiba-tiba dari balik pohon kelapa itu muncul lembaga manusia, memakai kain putih menutup seluruh tubuh hingga ke kaki. Hujung kain putihnya mengheret dedaun dan ranting yang melekat dan mengeluarkan bunyi macam bunyi pinggan yang ditarik atas meja tanpa alas.

Ia berjalan di depan kami dalam jarak lima belas kaki. Bila datuk dan saya berhenti berjalan. Ia juga turut berhenti. Bila datuk mengalihkan perjalanan ke arah lain. Ia hilang untuk beberapa minit dan akhirnya muncul di depan kami.

Perbuatannya itu seolah-olah menyekat perjalanan saya dan datuk. Lebih dari satu jam kami berlegar-legar di situ. Ke mana sahaja kami pergi lembaga putih tetap berada di depan. Ia tidak menoleh ke arah saya dan datuk. Bagaikan ia mahu menyembunyikan wajahnya dari kami. Ia juga tidak mengganggu atau cuba menakutkan saya dan datuk. Saya mengajak datuk pulang. Malangnya datuk tidak mahu mendengar cakap saya.

“Dia tidak berkasar, susah aku nak menduganya,” beritahu datuk pada saya dengan wajah sedikit kecewa.

Dan datuk cuba mendekatinya.
Lembaga putih itu bagaikan tahu ape yang tersirat di hati datuk. Ia tidak bergerak, tertegun dengan
membelakangi kami.
Datuk terus menepuk bahu lembaga putih. Dengan pantas lembaga itu memusingkan badannya. Menentang wajah saya dan datuk. Badan saya menggeletar dan lembik. Saya jatuh tanpa berkata apa-apa. Datuk tidak berganjak, Ia tetap menentang wajah lembaga putih itu.

Macam mana badan saya tidak lembik dan jatuh. Lembaga putih itu tidak berwajah. Bahagian muka yang tidak ditutup dengan kain putih itu sebenarnya kosong, nampak berlubang dan hitam pekat tetapi ada kilau cahaya yang amat kecil yang menyebabkan mata jadi silau bila ditentang. Kepala terasa pening.

“Aku cuma nak tengok kamu saja, apa yang aku ambil aku pulangkan ke tempatnya,” kata datuk pada lembaga itu.

Perlahan-lahan lembaga itu
memusingkan badannya ke arah
depan. Datuk membangunkan saya. Lembaga putih masih berdiri di tempatnya.

“Kita mengambil hak orang,” beritahu datuk pada saya.

Tangan saya ditariknya menuju ke pohon delima. Datuk mengeluarkan buah delima dari koceknya dan diletakkan di pangkal pokok delima. Bila kami toleh ke arah lembaga putih, lembaga itu sudah pun hilang.

Salakan dan lolongan anjing
kedengaran bertalu-talu dari arah
selatan. Datuk menarik tangan saya menuju ke rumah peniaga. Saya terkejut, peniaga itu menunggu kami di kaki tangga. Jam tua di tengah rumahnya berdenting dua kali.

“Jumpa?” Tanyanya.

“Jumpa, saya dah jumpa,” balas datuk.

“Apa katanya?”

“Dia mengawal kampung awak,” jawab datuk.

Peniaga itu agak terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh datuk. Ia termenung.

Dengan nada suara yang lembut ia berkata; “Ramai orang yang berkata, seperti yang awak katakan itu.” Datuk tersenyum panjang.

Datuk terus duduk di sisinya. Saya masih berdiri.
Peniaga itu mengajak datuk tidur di rumahnya dengan alasan ia mahu datuk bercerita, bagaimana lembaga putih itu boleh berkeliaran di kampungnya. Ia juga ingin tahu betulkah lembaga itu menjelma untuk mengawal kampung tersebut.

Datuk menolak permintaannya. Datuk juga berjanji padanya, satu hari nanti, datuk akan menceritakan padanya bagaimana lembaga putih tu boleh muncul. Peniaga itu puas hati dengan penjelasan datuk dan merestui perjalanan kampung ke rumah Alang Abdul Rauf.

Along Abdul Rauf sudah pun pulang kerja ketika kami tiba di rumahnya. Ia sudah menyediakan tilam dan bantal untuk kami. Macam selalu, sebelum tidur datuk akan melakukan sembahyang sunat. Mungkin kerana terlalu letih, Along Abdul Rauf tidak mahu bercerita panjang.

“Esok kamu ceritakan pada aku apa yang kamu alami,” kata Along Abdul Rauf.

Saya merasa senang hati. Saya dapat tidur cepat. Sudah tidak tahan rasa menahan kelopak mata.

“Tak apalah Rauf, esok saja.”

“Tidurlah.” Alang Abdul Rauf
meninggalkan kami.

Pagi itu, kami sarapan pagi di anjung rumah Along Abdul Rauf. Goreng pisang yang disediakan oleh isterinya membuat saya makan dengan penuh selera sekali.

“Kamu jumpa?” Along Rauf memulakan ceritanya.

“Jumpa dan bercakap dengannya.”

“Apa katanya?”

“Aku saja yang bercakap tetapi dia diam juga.”

“Ah, kamu mempermainkan aku.” balas Along Abdul Rauf sambil ketawa panjang.

Saya cuma tersenyum lebar. Seronok juga melihat orang tua berjenaka.
Tanpa diminta oleh datuk, Along Abdul Rauf terus bercerita berhubung dengan lembaga putih. Menurutnya, lembaga itu sudah lama muncul di tempat tersebut.

Beberapa orang pawang telah dipanggil untuk menghalaunya tetapi tidak berjaya. Penduduk di tempat tersebut terpaksa bertindak demikian kerana ramai penduduk yang terserempak dengan lembaga putih bila pulang malam. Malah, ada yang jatuh sakit.

“Saya rasa susah nak mencari orang yang boleh menghalaunya,” tercetus suara datuk.

“Kalau macam tu susahlah.”

“Tak susah satu masa nanti lembaga ini akan hilang dengan sendirinya, asalkan penduduk di situ selalu mengadakan pembacaan yasin secara beramai-ramai di masjid atau surau pada setiap malam Jumaat,” jelas datuk dengan tenang.

Datuk terus memberitahu Alang Abdul Rauf, lembaga putih itu ada
hubungannya dengan orang kaya atau orang yang mula meneroka kampung tersebut. Orang kaya atau peneroka kampung tersebut memelihara sejenis makhluk untuk jadi pengapit dirinya atau untuk menjaga hartanya.

“Ilmu itu apa namanya?”

Mendadak sahaja Alang Abdul Rauf bertanya.

“Setengah orang menyebutnya Pengapit dan setengah orang pula menyebutnya sebagai kembar” jelas datuk.

“Tujuannya baik, tentu tak salah?”

“Sebagal orang islam kenapa kita mesti minta pertolongan dari makhluk lain seperti syaitan atau jin, kenapa kita tidak memohon pertolongan dari Allah? Perbuatan begini sudah salah boleh memesongkan akidah kita.”

“Tapi, kita mohon sesuatu yang baik untuk keselamatan diri dan Allah perkenankan,” Alang Abdul Rauf tidak puas hati.

“Bukankah Allah itu pemurah, apa
yang diminta akan diberi tetapi, Allah memberikan fikiran pada kita untuk berfikir bagi memilih mana yang baik, Allah suka pada orang berfikir.” Sanggah datuk.

Dan datuk bersedia melanjutkannya kalau Alang Abdul Rauf mahu berhujah tentang perkara itu.

“Kamu tahu tak, apakah makhluk
pengapit dari jin dan syaitan atau
sebagainya,” tanya Alang Abdul Rauf lagi.

“Boleh jadi kedua-duanya sekali,”
pendek datuk menjawab.

“Hum,” keluh Alang Abdul Rauf.

Datuk terus menerangkan pada Alang Abdul Rauf, bila orang yang
mengamalkan ilmu pengapit itu
meninggal dunia. Pengapitnya akan berkeliaran mencari kerabat si mati yang mahu membelanya.

Andainya keluarga si mati itu tidak tahu simpati membela pengapit atau tidak mahu menyambung usaha si mati, pengapitnya berkeliaran ke mana sahaja di kawasan kampung yang pernah jadi tempat tinggal si mati.
Pengapit itu akan menjadi penunggu kampung secara sukarela dengan harapan ada orang yang bersimpati untuk mengambilnya menjadi pengapit.

“Kamu tahu macam mana cara orang itu membela pengapitnya?” Cungkil Alang Abdul Rauf.

“Dia mengadakan kenduri, membaca doa tetapi, lebihan dari jamuan kenduri itu diambil diletakkan dalam niru lalu dicampakkan ke dalam hutan atau di bawah pokok besar.”

“Mana kamu tahu semuanya ni?”

“Aku pernah berdamping dengan orang yang membela pengapit tetapi, aku tak mengamalkannya kerana perbuatan ini bertentang dengan ajaran Agama Islam.”

“Hebat juga kamu ni?”

“Bagi aku, kita harus menyerahkan diri pada Allah minta perlindungan pada- Nya, buat apa yang disuruh, jauh dari kerja yang ditegahnya. Ajaran Islam kalau diikut dengan betul, kita selamat dunia akhirat.”

“Tetapi, ada orang campur-adukkan ajaran agama dengan ilmu dunia, campur dengan perkara tahyul, bagaimana pendapat kamu.”

“Itu cara yang salah dan tanggungjawab orang itu untuk berhadapan dengan Allah,” datuk tersenyum.

Biji mata Alang Abdul Rauf terbeliak bila datuk memberitahunya, jika datuk memasukkan segenggam tanah ke arah muka lembaga putih yang kosong itu, pasti lembaga itu akan mengikutnya dan akan menjadi hamba datuk sampai datuk mati.

“Bukan itu tujuan aku mencarinya, aku sekadar nak tahu saja. kalau aku tanya orang-orang kampung tersebut, aku mesti dapat tahu pengapit siapa lembaga putih itu, tapi kena makan masa yang panjang.”

“Tak usah buat kerja salah tu,” tahan Alang Abdul Rauf.

“Kalau kamu tak cakap pun, aku tak akan membuatnya.”

“Bagus, malam esok ikut aku ke kubur korek mayat,” pelawa Alang Abdul Rauf.

“Boleh juga,” jawab datuk pantas.

Saya menarik nafas panjang.
Saya tinggalkan datuk dan Alang Abdul Rauf yang rancak berbual. Saya duduk berjuntai kaki di tangga, melihat pepohon yang berdaun lebat di halaman rumah Alang Abdul Rauf.

Dari radio jiran tetangga Alang Abdul Rauf,bsaya menikmati lagu ‘Tak Mengapa’ dendangan A. Rahman Hassan yang popular ketika itu.

Hati saya jadi terhibur lalu menepuk tangan perlahan-lahan mengikut rentak irama lagu tersebut. Sesekali saya menyebutkan senikatanya.
Memang, semua senikata lagu itu tidak dapat saya ingati. Tetapi, iramanya memang menarik, sambil mendengar lagu tersebut, saya cuba mengkhayalkan dalam kepala yang saya sedang mendendangkan lagu itu di atas pentas di hadapan ribuan para peminat.

Saya tersenyum bila menerima tepukan yang bergemuruh. Saya lalu menundukkan badan dan kepala membalas penghormatan itu. Saya bayangkan, ketika turun dari pentas saya terus dikerumuni oleh para peminat, mereka hulurkan tangan untuk bersalaman, mereka lari beri autograf untuk ditandatangani. Ada yang beri baju dan sapu tangan untuk ditandatangani. Saya jadi lemas di tengah para peminat yang terdiri dari para belia.

Saya juga membayangkan gambar saya jadi bahan siaran majalah hiburan. Di mana-mana saya pergi, saya tetap disanjungi dan dihormati. Setiap hari saya membalas beratus-ratus surat perminat. Oh, seronoknya.

“Eh, kamu ini tak habis-habis dengan menung, berangan-angan,” datuk terus menepuk bahu kanan saya.

Semua khayalan indah yang berbunga dalam kepala hancur punah. Saya renung mukanya dengan rasa kesal.
Bukannya senang mahu membina satu khayalan yang menyeronokkan.

“Kamu ikut Alang Abdul Rauf pergi ke Kota Baru,” kata datuk.

“Tuk nak ke mana?”

“Aku nak jumpa dengan peniaga di pasar Batu Gajah.”

“Kalau macam tu, saya ikut tuk saja, tak seronok dengan Alang Rauf, saya tak begitu kenal dengannya tuk.”

“Jangan bantah cakap aku.” suara datuk mula keras.

Dan Alang Abdul Rauf segera
mendekati saya. Perlahan-lahan saya lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali.

“Mari,” kata Alang Abdul Rauf.

Saya tak ada pilihan. Terpaksa ikut cakap datuk dan mematuhi ajakan datuk.
Datuk, saya dan Alang Abdul Rauf meninggalkan rumah. Jalan bersaingan hingga sampai kepala simpang. Dari situ kami berpecah. Datuk menuju ke pasar Batu Gajah. Alang Abdul Rauf dan saya menuju ke tempat yang
dirancangkan.

Seronok juga ikut Alang Abdul Rauf. Saya dapat pengalaman baru yang amat menyeronokkan. Melintasi ladang getah dan kawasan perlombongan yang amat luas. Tidak saya sangka Alang Abdul Rauf yang sudah tua, (saya kira usianya sekitar lima puluh tujuh) masih bertenaga mengayuh basikal berbatu-batu. Saya yang membonceng di belakangnya perlu mengimbangkan badan supaya tidak berat sebelah.

Sesekali terpaksa angkat punggung, bila tayar basikalnya melanggar akar- akar getah yang berselirat di jalan kampung. Alang Abdul Rauf memberitahu, dia sengaja membawa saya melalui jalan tersebut kerana jalan kampung itu merupakan jalan pintas yang terdekat untuk sampai ke Kota Baru, sebuah pekan kecil dalam daerah Kinta.
Sejam kemudian, kami sampai ke
pekan kecil itu. Alang Abdul Rauf
sandarkan basikal di pangkal pokok jati depan kedai kopi. Bahagian belakang baju Melayunya, saya lihat dibasahi peluh. Daging punggung saya terasa kebas dan sengal-sengal.

“Kita minum, rumah adik aku tak jauh lagi,” kata Alang Abdul Rauf.

“Saya tak dahaga pakcik.”

“Tak dahaga pun, apa salahnya
minum.”

“Tak payahlah pakcik.”

“Jangan begitu, datuk kamu tak marah, dia suruh aku bawa kamu, biar kamu tahu tentang keadaan orang di sini.”

“Hummmm,” ketuh saya lalu
mengikutnya masuk kekedai kopi.

Alang Abdul Rauf minta dua cawan kopi. Sementara menanti kopi yang dipesan, Alang Abdul Rauf menatap akhbar Utusan Melayu yang memang disediakan oleh pihak pekedai untuk para pelanggan yang datang minum.
Saya lihat tidak berapa ramai orang yang minum dalam kedai tersebut. Kebanyakannya sudab tua-tua belaka.
Tetapi, mereka tetap bersikap ramah pada saya dan Alang Abdul Rauf.
Mereka tidak kedekut untuk
memberikan senyuman pada kami.
Sikap mereka itu membuat saya
gembira dan senang hati. Kopi yang dipesan pun sampai.

“Minumlah” kata Alang Abdul Rauf pada saya.

Cepat-cepat saya anggukkan kepala lalu mendekatkan piring dan cawan ke tepi meja. Saya kacau air dalam cawan dengan sudu. Biar gula, kopi dan susu jadi sebati. Alang Abdul Rauf masih lagi menatap akhbar. Seolah-olah buat tidak kisah dengan air kopi yang dipesannya.

“Pak cik kenapa tak minum?” Tanya saya.

Alang Abdul Rauf jatuhkan suratkhabar atas meja. Muka saya ditentangnya sambil menolak suratkhabar Utusan Melayu ke tepi. Saya terus mendermakan senyum padanya sambil mengangkat cawan untuk menghirup air kopi.

“Tamar.”

Cawan kopi saya letakkan atas meja kembali. Saya lihat Alang Abdul Rauf menekup kedua belah telinganya dengan telapak tangan. Matanya tertatap pada dada meja. Memang saya tidak mengerti kenapa Alang Abdul Rauf berbuat demikian. Mungkin itu kebiasaan yang sering dilakukannya atau dia mengalami sakit telinga, saya membuat andaian yang tersendiri.

Alang Abdul Rauf terus menghirup kopi. Bahu kanan saya dicuitnya, menyuruh saya minum. Tanpa membuang masa, air kopi terus saya hirup. Rasa kering di anak tekak terus berakhir.

“Makan kuih,” kata Alang Abdul Rauf.

Ia terus mengambil pulut udang dalam piring. Pembalut pulut udang dikoyakkannya dengan berhati-hati.

Sebelum pulut udang disumbat ke dalam mulut, pembalut bahagian atas dan bawah terus dibuang. Alang Abdul Rauf terus mengunyah pulut udang dan kemudian ditelan.
Saya terus mengambil kuih Seri Muka, bila kuih itu saya dekatkan ke mulut.

Alang Abdul Rauf terus berdehem. Saya segera memandang padanya dengan ragu-ragu. Kenapa setiap kali saya mahu minum dan makan, Alang Abdul Rauf melakukan sesuatu.

“Kau tak baca bismillah,” Alang Abdul Rauf mengingatkan.

“Oh. terima kasih.”

Saya terus membaca Bismillah. Kuih Seri Muka saya kunyah dengan rakus sekali. Alang Abdul Rauf tersenyum memandang pada saya. Beberapa orang pelanggan, masuk dan keluar dari
kedai kopi. Matahari yang memancar garang di luar menghantar bahang panas ke dalam kedai.

Badan saya jadi berpeluh. Alang Abdul Rauf menghabiskan sisa-sisa kopi di cawan. Ia minta lagi secawan kopi.
Jumlah pulut udang dalam piring terus berkurangan. Saya kira kopi dan pulut udang merupakan makanan dan minuman yang amat digemari oleh Alang Abdul Rauf.

“Tamar, kau mahu mengamalkan petua orang tua-tua.”

‘Mahu pakcik.”

Alang Abdul Rauf kacau kopi dengan sudu berkali-kali. Sudu yang berlaga dengan bibir cawan melahirkan bunyi yang amat menyeronokkan bagi diri saya. Sebelum minum kopi, Alang Abdul Rauf menggosok-gosok rambutnya dengan telapak tangan. Kemudian baru ia minum dengan tenang.

“Apa petua yang pakcik nak cakapkan dengan saya?”

Leave a comment

Filed under Bercakap Dengan Jin, Cerita, Doa, Ibadah, Ilmu, Perawatan, Renungan

Bercakap dengan jin ~ 78 ~ Kakinya dipaut bumi

Dalam keadaan begini, tentu sahaja saya tidak dapat melakukan petua dari orang tua-tua yang pernah saya dengar itu. Saya hanya berserah pada Allah sahaja.

Tiba-tiba ketua komunis itu memerintah tiga orang komunis berdiri di depan datuk dalam jarak dua puluh kaki. Mereka juga diarah menyediakan peluru dalam senapang.

“Semua mesti tembak tepat di
kepalanya,” kata ketua komunis itu.

“Baik,” serentak anggota komunis itu menjawab.

“Kalau sesiapa tidak tembak tepat di kepalanya, orang itu saya tembak dengan pistol ini,” ketua kornunis itu memusingkan pistolnya di tangan.

Langkahnya tidak ubah macam seorang koboi.

“Sedia,” kata ketua komunis.

Tiga anggota komunis halakan
muncung senapang ke arah datuk.
Dada saya berdebar. Datuk nampaknya menyerahkan dirinya pada Allah. Ia tidak bimbang. Sesekali terdengar ia membaca ayat al -Fatihah dengan agak lantang.

“Hei Melayu tua, sekarang kita tengok siapa kuat, senapang orang aku atau kamu punya Allah,” sindir ketua komunis itu.

“Allahu Akbar,” jawab datuk
perlahan.

“Dia panggil dia punya Tuhan,” ketua komunis itu ketawa terkekeh.

Kemudian ia memerintah tiga
orangnya melepaskan tembakan pada datuk.

Semua orang yang berada dalam bas menekup muka. Tidak sampai hati melihat peristiwa yang amat menyeramkan. Badan saya menggigil dalam gema tembakan yang bertalu- talu itu. Tiba-tiba tembakan itu berhenti. Saya membuka mata.

Saya gembira, bila melihat datuk tidak apa-apa. Ia berdiri dengan tenang di pangkal pokok. Tali sabut yang membalut tubuhnya sudah hancur dimamah peluru. Datuk terus meluru ke arah saya. Anggota komunis yang ada di situ bagaikan terpaku, tidak berani menyapa atau menahan, datuk memeluk tubuh saya.

“Tuk kebal,” tanya saya padanya.

“Tidak, cuma peluru tidak kena tubuh aku, aku mohon Allah melindungi diriku, syukur permintaanku telah
diperkenankan oleh Allah yang maha besar,” bisik datuk dan segera menarik tangan saya untuk menuju ke bas.

Ternyata datuk tidak mahu bergaduh dengan anggota komunis yang jumlahnya bukan sedikit.

Tiba-tiba ketua komunis itu
menghampiri datuk. Wajahnya cukup bengis. Ia merasa kecewa kerana datuk tidak menemui ajal di hujung senapang anak buahnya. Ketua komunis itu menekan muncung pistolnya ke telinga datuk. Datuk menahan nafas kemudian menjatuhkan badannya ke bumi lalu memaut lutut ketua komunis tersebut.
Ketua komunis itu terjatuh. Tetapi
bangun dengan cepat, sebelum Ia
melakukan sesuatu pada datuk.

Saya lihat datuk sudah pun berdiri. Sandarkan badan ke pangkal getah.
Datuk terus memeluk tubuhnya.
Matanya mula kelihatan kemerah-
merahan.

“Tangkap dia lagi sekali, kali ni kita sumbat dia dalam sangkar babi, kemudian rendam dalam telaga,” secara mendadak anggota komunis Melayu bersuara dengan nyaring.

Anggota komunis yang lain segera patuh. Tetapi, sebelum mereka memulakan langkah pertama. Datuk segera menghentakkan telapak kaki kanannya ke bumi. Tiba-tiba anggota komunis Melayu itu menjerit. Ia tidak terdaya melangkah kakinya bagaikan terbenam dalam tanah. Begitu juga dengan anggota komunis yang lain.

Datuk terus menghampiri auggota
komunis bangsa lndia dan Cina. Datuk terus menjentik hidung mereka. Mereka terpekik terlolong, macam kena sengat tebuan.

“Sekarang pulangkan barang-barang yang kamu rampas pada tuannya, kalau tidak kamu dan orang-orang kamu susah nanti,” kata datuk pada komunis.

“Baik, sekarang saya pulangkan,”
jawabnya.

Tetapi, ia menghadapi masalah yang lain pula, orang-orangnya tidak boleh bergerak, walaupun diperintah berkali- kali dengan suara yang nyaring. Datuk tahu di mana silapnya perkara itu. Ia segera membongkok dan menepuk muka bumi dengan tangan kanannya.
Bila semuanya dilakukan oleh datuk, baru anggota komunis itu boleh bergerak.

“Sekarang kasi balik orang punya
barang,” ketua komunis mengeluarkan perintah lagi.

Tidak ada sesiapa yang membantah.
Semua barang-barang yang dirampas diletakkkan atas tanah lapang.
Kemudian ketua komunis itu
menyuruh orang yang berada dalam bas turun untuk mengambil barang-barang mereka.

Tidak sampai setengah jam, upacara memulangkan barang-barang yang dirampas pada tuannya pun selesai.
Datuk menyuruh mereka naik ke bas semula. Datuk juga menyuruh pemandu bas menghidupkan enjin bas.

“Siapa suruh lu kasi tahu driver bas, hidup enjin bas?”

Ketua komunis mula marah. Suaranya cukup garang dan matanya tertumpu ke wajah datuk.

“Saya kesian dengan dia orang, hidup mesti tolong-menolong,” balas datuk.

“Apa awak cakap, ini awak kenal?”

Ketua komunis halakan muncung
pistol ke batang hidung datuk. Datuk tarik nafas panjang. Ia merasakan dirinya tercabar dan terhina.
Datuk menggigit bibir. Matanya tidak berkedip merenung ke arah saya.
Dadanya nampak berombak menarik dan melepaskan nafas.

“Biadap,” pekik datuk.

Dan cara tiba-tiba pistol di tangan
ketua komunis itu terlucut. Mukanya kelihatan pucat. Dan datuk terus jengkal mukanya dengan jari. Ketua komunis itu terdiam. Ia terkejut dengan apa yang dilakukan oleh datuk.

“Biadap, memang tak tahu mengenang budi,” rungut datuk.

Datuk renung semua anggota komunis yang berdiri di sisinya. Saya terdiam, tidak berani berkata sesuatu apa pun.

“Kamu balik ke hutan, kalau kamu
mahu selamat,” pekik datuk lagi.

Anggota-anggota komunis yang berdiri itu, segera bergerak dan
menghilangkan diri dalam hutan.
Tetapi, tiga orang anggota komunis tidak mempedulikan kata-kata datuk.
Mereka ini dianggap orang kanan dan ada kuasa dalam pasukan komunis yang berjumlah hampir tiga puluh orang itu. Datuk renung muka komunis Melayu, kemudian komunis India dan akhir sekali komunis Cina.

“Sekarang bas boleh jalan,” jerit datuk ke arah pemandu bas.

Beberapa minit kemudian bas Ipoh- Kuala Kangsar terus bergerak, meninggalkan kami berlima di pinggir hutan iaitu tiga orang anggota komunis, diri saya dan datuk.

Tanpa saya duga anggota komunis Melayu itu menyeluk sakunya. Ia mengeluarkan tangkal dan seketul kemenyan. Ia membakar kemenyan dengan mancis api. Saya rasa seluruh kawasan saya berdiri penuh dengan asap tebal. Saya terdengar bunyi orang bercakap tetapi, orangnya tidak kelihatan.
Memang tidak lojik, asap kemenyan yang sedikit itu boleh menguasai seluruh kawasan belukar. Saya dan datuk terbatuk dua tiga kali.

“Mereka dah hilang tuk,” kata saya pada datuk.

“Aku tahu, mereka hilangkan diri dari kita.”

“Apa yang patut kita buat tuk?”

“Sabarlah.”

Saya dan datuk mendiamkan diri kira- kira lima minit, asap kemenyan terus menipis dan hilang. Datuk mengajak saya menuju ke bibir jalan raya. Bila kami melangkah, anggota komunis Melayu muncul dari balik pokok getah.
Ia tidak merenung ke arah saya dan datuk.

“Ikut kami, bersatu dengan kami untuk membebaskan tanahair dari penjajah,” katanya dengan suara yang lembut.

“Kita sudah merdeka, bukan kau tak tahu, kita merdeka pada 1957, sekarang sudah enam tahun lebih kita merdeka,” jelas datuk.

“Kita tidak benar-benar merdeka, kamu harus membantu kami, ini tawaran paling baik untuk kamu, kalau kamu mahu hidup, kalau tidak kamu dua beranak kami bunuh di sini.”

“Tidak, perjuangan kamu perjuangan sia-sia,” balas datuk tegas.

Kali ini komunis Melayu itu merenung ke arah datuk. Ia menghilangkan dirinya beberapa saat di celah daun keladi liar. Kemudian Ia memunculkan dirinya di antara saya dengan datuk.

“Apa fasal kamu kata perjuangan kami sia-sia, kami berjuang untuk
kemerdekaan tanahair, untuk
kebebasan berfikir,” komunis Melayu itu bersuara.

“Kamu komunis yang tidak percayakan kewujudan Allah”, sanggah datuk.

Dan kali ini datuk kelihatan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Komunis Melayu itu mencampakkan se utas tangkal atas tanah. Kawasan tempat tangkal itu jatuh terus dikuasai oleh api. Anggota komunis itu tepuk tangan. Api yang marak itu terus padam.

“Kau memang handal,” kata datuk.

“Kalau tak cukup syarat, aku tak jadi komunis,” jawabnya.

“Aku tak boleh bekerjasama dengan kamu,” kata datuk.

“Jangan menyesal”

“Tidak.”

Komunis Melayu itu menghilangkan diri. Saya dan datuk meneruskan
perjalanan. Tiba-tiba komunis Melayu dan dua orang kawannya muncul di depan kami. Mereka bersedia untuk menangkap kami. Datuk masih tenang.
Ia tidak merasa bimbang, walaupun muncung senapang menghala ke arah perutnya.

“Sekarang, mahu ikut atau mahu mati,” ketua komunis (Cina) terus bersuara.

Kali ini, muncung senapangnya
ditekan ke pusat datuk. Saya lihat
ketua komunis cukup hati-hati. Ia
tidak mahu peristiwa yang dialaminya sebentar tadi berulang pada dirinya.

“Tidak mahu,” jawab datuk.

“Tidak mahu, ertinya awak mati,” suara ketua komunis keras.

Ia cuba menarik pemetik senapang.
Cepat-cepat datuk memegang muncung senapang itu menjadi lembut macam timah dibakar.
Ketua komunis itu terus juga menarik pemetik senapang. Anehnya, senapang itu tidak meletup tetapi, kelongsong pelurunya terus keluar. Ketua komunis itu mendapati seluruh tangannya terbakar dan melecur.
Komunis Melayu itu jadi marah, kerana ketuanya dipermainkan. Ia
mengeluarkan sejambak tangkal dari sakunya. Mulutnya mula bergerak membaca mantera dan jampi. Datuk terus membaca Fatihah dengan lancar sebanyak 41 kali.
Semua tangkal yang dikeluarkan oleb komunis Melayu tu hancur menjadi abu. Telapak tangannya kelihatan merah macam terbakar. Semua tangkal yang dipasang di tangan, di pinggang dan leher habis jatuh ke tanah.
Semuanya menjadi abu dan debu.

“Pulanglah, aku tak mahu apa-apakan kamu, cuma nasihat aku pada kamu jangan menuntut ilmu dari syaitan.” kata datuk pada komunis Melayu itu.

Rupanya, komunis Melayu itu tidak mampu melangkah. Kedua belah kakinya macam lumpuh. Komunis Cina dan India terus menghampirinya.
Komunis berbangsa India terus
menembak komunis Melayu dengan pistol. Perbuatan itu amat mengejutkan datuk.

“Kenapa kamu bunuh dia?” Tanya
datuk.

“Dia lumpuh, orang lumpuh dan tidak sihat, memang tidak dikehendaki oleh pasukan kami,” jelas ketua komunis.

Datuk terdiam. Tidak dapat berbuat apa-apa.
Datuk menarik nafas dalam-dalam sambil merenung ke arah saya.
Perlahan-lahan datuk gelengkan
kepala, bila melihat mereka mengusung mayat komunis Melayu ke dalam hutan. Saya menggaru pangkal leher.
Sedih rasa hati melihat bangsa sendiri dipikul macam binatang.

“Hei, nanti dulu!”

Datuk meluru ke arah anggota komunis yang memikul kawannya. Mereka berhenti melangkah. Mayat yang diikat kaki dan tangan diletakkan atas tanah.
Kayu pengandar dibiarkan berada di mayat tersebut.

“Kenapa?” Tanya ketua komunis.

“Dia orang Melayu dan beragama Islam, serahkan pada saya, biar saya kebumikan cara hukum Islam. Awak tahu, cara yang awak lakukan ini menyeksa mayat, perbuatan begini tidak baik menurut agama kami. Islam mahu setiap penganutnya yang mati mesti segera ditanamkan.”

“Itu urusan agama kamu, tapi dia ini dah jadi ahli kami dan apa yang berlaku adalah urusan kami,” jawab ketua komunis.

Datuk terdiam. Ketua komunis terus mengarahkan orang-orangnya memikul mayat komunis Melayu itu dalam hutan. Kumpulan komunis itu meninggalkan kami. Mereka melepaskan tembakan ke udara bertalu-talu.

“Sudahlah Tamar, aku tak berani
bertindak lebih jauh dari apa yang
kamu lihat, kalau aku berkeras bererti aku menempah bahaya,” datuk bagaikan merungut.

Ia terus mengajak saya keluar dari kawasan hutan menuju ke tepi jalan raya. Kami berdiri di situ sambil menahan kenderaan yang lalu.
Tidak ada sebuah kenderaan pun yang mahu berhenti. Badan saya terus berpeluh. Sinar matahari bertambah garang. Dada jalan raya dibahangi kepanasan kelihatan macam ada air bertakung. Beberapa lori tentera terus melintas di depan kami. Anggota tentera yang ada di dalamnya lengkap dengan senjata. Mereka merenung ke arah kami dengan renungan yang tajam.

Tiba-tiba sebuah jeep polis yang
berdindingkan besi waja berhenti di depan kami. Dua orang anggota polis yang memakai topi bulat dan berjambul di tengah menghampiri kami dengan raifel yang tersedia di tangan.
Kedua-dua anggota itu menghampiri datuk. Segera datuk terangkan apa yang telah terjadi. Kedua-dua anggota polis agak terkejut. Saya dan datuk disuruh masuk ke perut jeep. Lemas rasanya berada dalam perut jeep yang tidak bertingkap.

“Nak bawa kami ke mana?” Tanya datuk.

“Ke Balai Polis Chemor, buat laporan,” jelas anggota polis yang duduk di sisi datuk.

”Jangan bimbang awak tak apa-apa cuma melaporkan apa yang terjadi,” tambahnya.

Datuk anggukkan kepala. Jeep yang kaml tumpangi berpatah balik ke Pekan Chemor. Datuk dan saya diperkenalkan dengan ketua Balai Polis. Datuk menceritakan apa yang dialami. Seorang anggota polis mencatatkan apa yang diterangkan oleh datuk.

“Kawasan tempat kejadian itu,
namanya Kantan dan saya yakin
pemandu bas itu membuat laporan di Balai Polis Ipoh,” terang ketua Balai Polis pada datuk.

Ia menjeling ke arah saya. Kemudian ketua Balai Polis itu menyuruh anggota polis yang bertugas di bahagian semboyan menghubungi Pejabat Polis Negeri untuk melaporkan apa yang terjadi.

“Saya yakin, pihak pasukan
keselamatan akan mengesan jejak anggota-anggota komunis itu,” terang ketua Balai Polis.

Datuk anggukkan kepala.

“Kalau begitu biarlah kami balik dulu,” kata datuk.

“Awak berdua nak ke mana?”

“Ke Batu Gajah”

“Kalau begitu awak berdua tumpang jeep yang awak naik tadi sampai ke Ipoh.”

“Tak payahlah, biar kami naik teksi.”

“Jangan begitu, awak berdua naiklah, jeep itu memang nak pergi ke Balai Polis Pusat di Ipoh.”

“Tapi.”

“Tak ada tapinya.”

“Saya minta maaf, biarlah kami naik teksi dari sini,” datuk menolak dengan wajah yang manis.

Jawapan datuk itu kurang memuaskan hati ketua Balai Polis. Ia maca merasakan keselamatan diri saya dan datuk tidak begitu terjamin. Ia minta seorang anggota polis menemani datuk dan saya ke tempat teksi.

“Pastikan mereka naik teksi,” pesan ketua Balai polis itu pada anggota polis yang akan menemani ke tempat teksi.
Saya lihat anggota polis itu
mengangguk.

Akhirnya, kami naik teksi menuju ke Ipoh. Saya tahu, kalau datuk ada masa, tentu ia tidak mahu terus ke Ipoh.
Mungkin Ia mahu berada lebih lama di Chemor. Ramai saudara-maranya di situ terutama di Ulu Kuang.

“Kalau tak diganggu oleh komunis, mahu pergi ke Ulu Kuang,” ujar datuk sebaik sahaja turun dari teksi.

Saya senyum, datuk memang agak aneh orangnya.
Kalau hatinya tergerak untuk singgah di mana-mana dalam perjalanan Ia akan turun di tempat yang diingininya, sedangkan ia sudah pun membayar tambang perjalanan terus.
Saya masih ingat, satu waktu datuk mengajak saya pergi ke Kluang, naik keretapi dari Taiping. Bila sampai di Segamat ia terus turun untuk ke Jemantah menemui kawan lamanya, padahal datuk sudah membayar tambang Taiping – Kluang. Inilah keganjilan datuk, kerana itu nenek tidak suka mengikutnya berjalan ke mana-mana.

“Apa yang kamu menungkan, mari kita pergi stesen bas”, jerkah datuk.

Apa yang bermain dalam kepala terus hilang. Kami naik beca menuju ke bas stesen. Sampai di stesen bas, datuk jumpa kawan dan kawannya itu mengajak Ia minum kopi.

Hampir dua puluh minit saya termangu di kedai kopi, mendengar datuk bercerita dengan kawannya. Perkara yang diceritakan fasal kebun pisang, fasal kebun dan musuh-musuh yang merosakkan tanaman mereka.
Kemudian cerita fasal anak cucu.
Memang bosan mendengar cerita
seperti itu.

Bila saya memperlihatkan wajah
kurang senang, barulah datuk sedar tentang kesilapan kecil yang dilakukannya. Ia segera membayar air minuman dan bangun. Bersalaman dengan kawannya dan terus keluar dari kedai. Saya gembira dengan tindakan yang dilakukan oleh datuk.

“Dia tu aku kenal sepuluh tahun yang lalu, orang kuat politik menentang Inggeris, dia tu bekas anggota Angkatan Pemuda Insaf yang diketuai oleh Boestamam,” beritahu datuk pada saya.

“Macam mana tuk boleh kenal
dengannya?” Saya cungkil rahsia.

“Dulu, aku pergi ke hospital Ipoh
tengok anak buah aku yang kerja
atendan di situ, aku terjumpa dia
mengambil ubat. Aku tegur dia,
kemudian dia menceritakan pada aku, dia orang tahanan politik di jalan Asby, dia juga kirim salam pada ayah saudara kamu yang jadi anggota API macamnya,” jelas datuk.

Saya anggukkan kepala.
(Boestamam yang dimaksudkan oleh datuk ialah Datuk Ahmad Boestamam yang meninggal dunia pada 18 November 1983 di Kuala Lumpur.
Angkatan Pemuda Insaf atau API
adalah parti politik yang dipimpinnya untuk memperjuangkan kemerdekaan tanahair).

“Kamu puas hati dengan keterangan aku ni ,Tamar?”

“Puas hati tuk.”

“Lain kali kamu mesti ingat, kalau aku jumpa dengan sesiapa dan bercakap panjang, itu tandanya orang yang aku lawan bercakap tu, bukan sebarang orang.”

”Ada juga orang yang tuk kenal di tepi jalan tapi datuk bercakap panjang,”

Saya lihat datuk bagaikan tersentak mendengar kata-kata saya itu.
Mungkin datuk tidak terdaya
menafikan kata-kata saya itu. Saya lihat datuk tersenyum sambil merenung ke arah manusia yang mundar-mandir di bas stesen. Bunyi enjin bas menderu-deru mengganggu anak telinga saya.

“Barangkali itu kelemahan datuk kamu Tamar, aku suka bercakap dengan siapa saja,” datuk semacam mengeluh.

Bahu saya ditepuknya berkali-kali. Saya dan datuk menuju ke bas yang akan menuju ke bandar Batu Gajah. Sebaik sahaja penjual tiket menghampiri datuk dan enjin bas dihidupkan datuk segera bangun dan turun dari bas.

“Kenapa tuk?”

“Habis kita nak naik apa tuk?”

“Aku rasa tak sedap hati naik bas.”

“Mari kita ke tempat teksi, kita naik teksi.”

Meluat rasa hati dengan sikap datuk.
Mahu sahaja saya membangkang
rancangannya. Tetapi, bila
mengingatkan perangai datuk yang pantang dibantah atau dihalang itu, saya menurut sahaja. Hati kecil saya tetap membebel berjalan di tengah panas menuju ke perhentian teksi yang letaknya agak jauh dari stesen teksi.

Kami sampai ke bandar Batu Gajah dan singgah di masjid untuk sembahyang Zuhur. Datuk berkenalan dengan seorang penjual sayur di pasar Batu Gajah yang cara kebetulan menunaikan fardhu Zuhur di situ.

Saya yang duduk bersandar di dinding masjid dalam jarak kira-kira sepuluh kaki dari mereka, tidak dapat mendengar dengan jelas perbualan mereka. Dari raut wajah datuk, saya dapat meneka yang penjual sayur ini menyampaikan sesuatu yang menarik minat hati datuk.

Mereka bersalaman dan berpisah.
Sebelum keluar dari masjid penjual sayur berkulit hitam dengan tahi lalat sebesar biji betik di bibir kanan tersenyum ke arah saya. Senyuman mesra itu saya balas. Saya dan datuk meninggalkan masjid.

Kami menyusur kaki lima bangunan kedai. Bandar Batu Gajah terbahagi dua, sebelah selatan disebut Pekan Lama dan sebelah utara disebut Pekan Baru. Saya dan datuk sedang menuju ke arah Pekan Baru.

“Ke mana?”

Seorang lelaki berkulit cerah, berbadan gempal menegur datuk. Raut wajahnya tampan ada mirip aktor Allahyarham Nordin Ahmad.

“Ha kamu, kamu anak Haji Alwi,” suara datuk riang.

Datuk segera menarik tangan anak muda itu ke dalam sebuah restoran milik India Muslim. Haji Alwi memang saya kenal. Ia orang kampung saya berasal dari Kerinci, Pulau Sumatera Barat.
Kami duduk di meja tepi sebelah
kanan kedal. Tersorok dari pandangan orang ramai.

“Kamu buat apa di sini Zamri?” Tanya datuk.

“Sejak saya tinggalkan kampung, saya terus masuk polis, nama saya juga sudah bertukar, bukannya Zamri lagi.”

“Habis, kamu pakai nama apa? Nama orang putih?”

“Pakai nama Islam, nama saya
sekarang Mat Noor, sekarang ni nak ke mana?” Soal Mat Noor.

“Aku nak ke Bakap nak jumpa kawan.”

“Hum,” Mat Noor tersenyum.

Minuman yang dipesan oleh Mat Noor pun diletakkan atas meja. Sambil minum, Mat Noor menceritakan sebab utama meninggalkan kampung kerana takut diberkas oleh lnggeris. Ketika ia menjadi orang kuat parti Boestamam.
Mat Noor berhijrah ke Kajang.

Bila kerajaan lnggeris memerintahkan setiap rakyat Tanah Melayu mesti memiliki kad pengenalan dan setiap yang mahu membuat kad pengenalan mesti membawa surat tarikh lahir atau surat beranak. Kesempatan itu digunakan dengan sebaik mungkin oleh Mat Noor untuk masa depannya.
Ia memberitahu Pegawai Daerah surat lahirnya sudah hilang. Ia diperintah membuat surat sumpah di depan hakim dengan membawa dua orang saksi. Perintah itu dipatuhi oleh Mat Noor.

Sejak hari itu, nama Zamri yang
diberikan oleh orang tuanya tidak
digunakan lagi. Di mana-mana orang mengenalinya sebagai Mat Noor.

“Kalau saya pakai nama lain, sudah tentu saya kena masuk kem tahanan, saya tak boleh ingat , saya buat kad pengenalan masa saya dah berumur dua puluh tahun,” Mat Noor mengenangkan kisah lalu.

“Kamu dah berumur dua puluh empat tahun, aku pula lagilah tua, dah dekat lima puluh, orang kampung jadi takut, maklumlah itulah kali pertama kad pengenalan diperkenalkan pada kita, aku ingat masa nak ambil gambar kad pengenalan ayah kamu pakai serban, masa tu dia baru balik dari Mekah,” kata datuk dan mereka terus ketawa serentak.

Pertemuan yang tidak diduga antara datuk dengan Mat Noor, sedikit sebanyak memberikan pengetahuan pada saya bagaimana anak-anak
kampung berjuang menentang penjajah untuk kebebasan tanahair tercinta.

Ini membuktikan anak-anak Melayu di kampung, memang manusia yang berjiwa besar, tahu menilai dan menghargai erti kebebasan dan kemerdekaan tanahair. Selain dari itu, saya juga mendapat tahu bahawa penggunaan kad pengenalan mula digunakan di tanahair sejak zaman Inggeris lagi.

“Bia balik dari Bakap nanti, singgahlah di rumah saya, duduk semalam dua, boleh jumpa anak bini saya,” pelawa Mat Noor ketika keluar dari restoran tersebut.

“Tengok keadaan dulu, kalau ada masa boleh singgah.”

“Kalau mahu mesti ada masa,” jawab Mat Noor yang berusia sekitar 39-40-an.

Ia senyum ke arah saya. Kami meninggalkan Mat Noor di kaki lima restoran.
Datuk amat gembira, ia dapat bertemu dengan kawan lamanya di Kampung Bakap. Melihat bentuk tubuh dan wajah kawan datuk itu, saya dapat menduga yang usia tidak jauh berbeza dengan datuk. Kalau datuk tua cuma beberapa tahun sahaja. Begitu juga dengan dirinya, kalau Ia muda, cuma dalam jarak beberapa tahun.

Sementara datuk dan kawannya itu berborak panjang di anjung rumah, saya terus berdiri di bawah pohon kelapa dalam sinaran matahari petang yang redup.

Saya merenung ke sebuah kapal korek yang berada dalam danau yang luas. Kapal Korek itu sedang mengeluarkan bijih timah dari perut bumi.
Ingin sekali saya menghampiri kapal korek yang besar itu. Tetapi, datuk melarangnya dengan alasan takut saya jatuh ke dalam lombong yang airnya cukup dalam.

Kawan datuk juga tidak menggalakkan saya pergi ke tempat tersebut. Katanya ada budak yang jatuh dan mati kerana tanah tempat mereka berdiri rebak dan mereka jatuh dalam lombong.

Sedang asyik memerhatikan kapal korek tersebut, seorang budak lelaki menghampiri saya. Saya kira usianya sama dengan saya kerana tinggi kami hampir sama. Dengan wajah yang ramah Ia memperkenalkan dirinya sebagai Ramli.

Dalam beberapa minit sahaja kami jadi begitu mesra. Ayah Ramli menjadi buruh kapal korek yang saya lihat.

Ramli yang ramah itu menceritakan pada saya, dulu kawasan yang menjadi lombong itu adalah perkampungan dan penuh dengan rumah orang Melayu.

Leave a comment

Filed under Bercakap Dengan Jin, Cerita, Doa, Ibadah, Ilmu, Perawatan, Renungan

8) Tok Awang Ngah ~ Dendam Si Angut Lumpuh

Sebatang parit yang melintasi tengah kampung selalu dikaitkan oleh orang- orang kampung dengan dendam Angut Lumpuh.

Siapa saja yang terkena dendam Angut Lumpuh nescaya akan menjadi lumpuh kalau umur panjang, sebaliknya kalau sampai ajal akan mati. Apakah yang dikatakan Angut Lumpuh ini pun saya tidaklah tahu sangat, cuma Kadir Misai yang mengajak saya ke Jerantut di Pahang apabila adiknya dikatakan sakit akibat disampuk dendam Angut Lumpuh ini.

Kadir Misai pun hanya mengesyaki saja adiknya disampuk dendam Angut Lumpuh. Ini disebabkan apabila penduduk kampung itu diserang sakit luar biasa, maka mereka akan cepat mengesyaki terkena sampuk Angut Lumpuh kerana tidak mahu menghampakan hati Kadir Misai saya pun bersetuju ke Jerantut pada malam itu juga. Lagi pun saya sendiri ingin untuk mengetahui apakah yang dikatakan Angut Lumpuh itu. Kalau puaka mengapa pula dinamakan Angut Lumpuh? Kalau jenis syaitan dari mana pula datangnya nama Angut Lumpuh?

Ketika saya sampai di rumah ayah Kadir Misai, memang adiknya berumur 13 tahun masih tidak sedar diri. Kata Lebai Man iaitu ayah Kadir Misai sudah tiga hari Zuki anaknya tidak sedarkan diri.

“Kenapa awak tak panggil Ulung Bahar di Lancang?” tanya saya pada Kadir Misai.

“Ah, awak pun sama juga ustaz.” bisiknya.

“Tapi lebih elok orang sini juga” kata saya cuba menarik perhatian dia.

“Mana nak ingat semua tu, dalam keadaan macam ni” ujarnya sambil memanjangkan bibir menunjuk ke arah adiknya yang terlentang di tengah rumah.

“Kawan ingat, ustaz pun bolehlah…” jelasnya perlahan.

“Ha, cubalah ustaz” Lebai Man pula menggesa.

Sukar juga saya mahu membuat
keputusan. Orang sudah mendesak supaya saya tengokkan Zuki. Kalau saya mahu berdalih mengapa tidak menolak semasa Kadir Misai datang menjemput ke rumah. Sebenarnya saya datang hanya untuk mengetahui apakah yang dikatakan Angut Lumpuh itu.

Kebetulan Dukun Pak Cu Jabat sudah mengubatnya. Dia sendiri meminta saya pula mencubanya. Dukun Pak Cu Jabat juga mengesyaki memang angkara Angut Lumpuh. Dari dialah saya diberitahu mengenai parit yang melintasi kampung, yang telah saya lalui bersama Kadir Misai ketika datang ke situ, memang ada kaitan dengan Angut Lumpuh ini.

Beberapa tahun dulu anak saudara dia meninggal dunia setelah terkejut melihat seorang perempuan tua berjalan menginsut punggung di dalam.parit tersebut. Dia tidaklah meninggal dunia sebaik saja melihat perempuan tua itu, sebaliknya jatuh demam. Budak baru berumur empat tahun itu memberitahu emaknya dia ternampak seorang nenek tua menginsut punggung mudik parit tersebut.

Kira-kira sebulan lebih budak itu sakit, dia pun meninggal dunia. Dukun Pak Cu Jabat memberitahu kalau ternampak perempuan tua itu nyatalah dia Angut Lumpuh. Maksudnya Angut ini ialah nenek kepada nenek. Sekiranya ternampak dia mudik bererti susahlah hendak diselamatkan pesakit berkenaan, sebaliknya kalau dia menginsut ke hilir masih ada harapan untuk sembuh, tetapi mangsanya itu akan lumpuh.

Dia juga menceritakan seorang lelaki tepok di dalam kampung itu yang disebabkan angkara dendam Angut Lumpuh. Kaki dan tangan sebelah kanannya menjadi lumpuh setelah sembuh dari sakitnya. Lelaki itu sekarang sudah berumur lebih 40 tahun dikenali sebagai panggilan Apat Tepok saja. Seorang lagi sepupu Lebai Man menjadi tidak siuman selepas sembuh dari sakit yang dikatakan akibat terkena sumpahan Angut Lumpuh ini.

Sebenarnya sudah banyak mangsa Angut Lumpuh itu sejak beberapa tahun dulu. Parit itu adalah anak sungai kecil yang mata airnya terbitndari bukit dalam kampung itu juga, sekarang ini bukit berkenaan sudah pun ditebang tebas dijadikan kebun getah.

“Kalau ternampak Angut Lumpuh tu di dalam parit tu, hah tanda nahaslah tu…” ujar Dukun Pak Cu Jabat.

“Ada yang terjumpa?” tanya saya.

“Siapa yang jumpa Angut Lumpuh, kalau tak lumpuh, mati…” sahut Lebai Man pula menguatkan lagi dakwaan Pak Cu Jabat.

“Zuki ni jumpa?” soal saya lagi.

“Tak taulah…” beritahu Lebai Man perlahan.

“Tengah makan tiba-tiba dia pening kepala, langsunglah tak sedar diri. Fasal itulah kawan telefon pada Kadir di Kuala Lumpur” jelas orang tua itu seterusnya.

Lama saya memikirkan apakah cara mahu dilakukan terhadap Zuki. Kalau Pak Cu Jabat seorang dukun sudah berusaha memulihkan, pada hal dia sudah berpengalaman sekian lama di situ tetapi tidak berhasil, bagaimana pula saya mahu mencubanya.

Kerana tidak terfikirkan cara yang lain, lalu saya mengajak semua orang yang ada di situ bersama-sama dengan saya membaca Yasiin. Mereka bersetuju dengan cadangan saya, iaitu membaca Surah Yasiin. Lebai Man juga setuju saya mengepalai bacaan Yasiin tersebut. Tiga kali bacaan Yasiin dibuat barulah saya dapati Zuki mula menggerakkan badannya.

Bagaimanapun dia masih tidak sedarkan diri. Dia seolah-olah mahu bangun untuk melompat ke tanah, tetapi tenaganya masih lemah. Zuki terbaring semula. Apabila dipanggil namanya dia tetap mendiamkan diri.

Hati saya lega kerana Zuki sudah mula menggerakkan badan. Walaupun dia masih belum sedarkan diri, namun ada perubahan juga. Tidaklah terlentang tidak bergerak-gerak seperti mula-mula saya datang. Saya sampai di rumahLebai Man kira-kira jam 11.30 malam. Ketika ini masih ramai lagi orang datang menziarahi Zuki.

Saya lihat Pak Cu Jabat juga tersenyum dengan perubahan Zuki. Setelah setengah jam Zuki boleh menggerakkan badan, dia pun mula berpusing ke kiri ke kanan dalam keadaan masih lemah. Nafasnya saja kencang turun naik. Dia tidak bercakap apa-apa pun.

“Ada perubahan nampaknya, ustaz…” kata Dukun Pak Cu Jabat.

“Alhamdulillah…” sahut saya perlahan.

“Dukun ni bukan kira besar kecil, kira rasi” ujar Pak Cu Jabat mengurut- ngurut misainya.

“Kira rasi, kalau rasi dukun dengan ubatnya, hah macam kunyit jumpa kapur aje laa” dia terangguk-angguk puas hati dengan perubahan Zuki yang sudah tiga malam tidak bergerak-gerak.

Semakin lama semakin keras Zuki berpusing ke kiri ke kanan. Terpaksa pula Kadir Misai memegangkan kakinya. Tetapi cepat saja kaki Zuki menyinggahi dada Kadir Misai. Terundur juga Kadir Misai ke belakang bila kaki itu menerjah ke dadanya.

“Mari kita cuba sama-sama Pak Cu” saya menepuk bahu Pak Cu Jabat.

“Silakan dulu…” dia menyuruh saya terus menghadapi keadaan Zuki yang semakin keras.

“Pak Cu bantulah saya” kata saya mengharapkan dia sama-sama menggunakan kemahirannya.

“Iya, ya…silakan” ujarnya sambil rapat kepada Zuki.

Zuki tidak meronta-ronta, tetapi dia membalikkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan. Makin lama semakin kencang dia membalikkan tubuh ke kiri dan ke kanan.

Saya lihat Pak Cu Jabat sudah
terkumat kamit mulut membacakan ayat-ayat tertentu, yang saya tidak tahu.apakah ayatnya. Seperti Ulung Bahar yang pernah saya temui, Pak Cu Jabat juga tidak menggunakan kemenyan, bertih, limau atau ramuan-ramuan khas bagi mengubati pesakit.
Zuki masih membalik-balikkan tubuh ke kiri ke kanan. Sekali-sekala dia mendengus bagaikan hidung tersumbat. Saya menyorot tubuhnya dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Lama kelamaan tubuh Zuki hilang dari sorotan saya. Keliling saya menjadi gelap seketika.

Setelah melepasi kegelapan itulah saya dapati diri saya terlalu jauh di dalam kawasan hutan yang terdapat satu parit anak sungai yang kecil. Parit tersebut sama seperti parit yang melintasi di tengah-tengah kampung Kadir Misai. Cuma keadaan kelilingnya saja
dipenuhi hutan dan anak-anak pokok. Lama saya berlegar-legar mencari punca di manakah saya telah sampai.

Akhirnya saya dapat menganggak bahawa anak air yang saya temui itu adalah anak air di kampung itulah seperti keadaannya beberapa puluh tahun lalu.

“Mungkinkah saya sudah berjalan terlalu jauh?” fikir saya dalam kebingungan.

Ketika ini saya teringat untuk membaca Ayat Waddhuha. Saya membaca tiga kali barulah saya mendapat pedoman mengenai anak air itu. Memang itulah anak air yang saya cari. Tidak salahlah dakwaan Pak Cu Jabat mengenai anak air yang mengalir di tengah kampung itu sudah banyak memakan mangsa.

Dalam masa saya merayau-rayau ini.kedengaran kepada saya suara orang mendehem. Cepat-cepat saya berpaling memerhatikan arah suara itu.

Seorang lelaki berserban putih, mukanya bersih berbau harum sambil memegang tongkat semambu dari rotan beruas songsang. Dia memimpin tangan Zuki masih teragak-agak mahu melompati parit berkenaan.

“Assalamualaikum…” tiba-tiba dia memberi salam.

Saya menjadi serba salah. Mustahil pula syaitan boleh memberi salam atau berbau harum demikian. Sekali lagi dia memberi salam. Mau tidak mau saya terpaksa juga menyahut salamnya.

“Anak jangan ragu-ragu” dia tersenyum seolah-olah dapat membaca perasaan saya yang tidak mempercayai dia.

“Anak mau budak ni balik, memang saya mau menghantar dia pada keluarganya” jelasnya sambil mengusap-ngusap kepala Zuki.

Budak itu tersenyum mengerling ke arahnya.

“Tok Sheikh ni siapa?”
saya mula mempercayai dia.

“Saya menjaga tempat ni” beritahu dia ramah.

“Memang si lumpuh tu tak habis-habis berdendam, sampai budak Zuki ni pun dia nak kenakan. Mujur saya cepat sampai menolongnya…” katanya menghentak-hentakkan tongkat rotan beruas songsang itu.

“Kenapa Tok Sheikh tak hantar Zuki balik…?” saya cuba menduga.

“Tak ada orang sampai ke sini. Pak Cu Jabat tak sampai, dia jauh lagi. Saya pula tak boleh keluar jauh dari sini” jelas lelaki yang saya panggil Tok Sheikh tu.

Tok Sheikh itu tidak pula
menceritakan siapakah dirinya
sebenar. Tetapi saya dapati dia
memang berniat baik. Boleh jadi juga Pak Cu Jabat tidak sampai ke situ, sebab itulah Zuki tidak dapat dihantarnya balik. Kalaulah Zuki tidak dapat diambil balik bereti dia akan tidak sedarkan diri beberapa lama lagi. Inilah hakikat sebenarnya.

“Memang jauh anak berjalan…”
katanya lalu mengajak duduk pada sepohon pokok.

“Jarang orang boleh sampai ke sini, kalau kurang pengalaman memang sukar nak sampai ke sini” ujarnya.

Saya mengangguk-angguk kepala. Kagum juga saya dengan sifat ramah orang tua berkenaan . Kalaulah dia dari jenis syaitan masakan budi bahasanya begitu ramah. Oleh itu saya kuat mengagakkan dia bukanlah syaitan, tetapi golongan yang boleh membantu.

“Anak mau pertolongan saya?”
tanyanya tersenyum memerhatikan saya dalam keadaan ragu-ragu.

“Tidak!” tegas saya.

“Saya hanya memerlukan pertolongan Allah” kata saya ego sedikit.

“Alhamdulillah, kalau begitu…”
suaranya lembut mempesonakan.

“Saya tahu anak memang cucu Tok Aji Mat Kampar. Saya kenal dengan Tok Aji Mat Kampar” katanya lagi.

Kesal juga saya kerana bercakap seakan-akan kasar terhadap orang tua berkenaan. Tetapi saya masih tertanya- tanya siapakah dia sebenarnya? Belum pernah saya menghadapi suasana demikian, kerana selalunya kedatangan saya ditentang oleh jelmaan syaitan- syaitan.

Mahu bertanya berulang kali terasa juga segan. Maklum saja, menyoal orang demikian, tidak sama seperti menemui manusia biasa di alam nyata.
Orang begini kadangkala sudah dapat membaca apa yang terbendung di hati kita. Dia juga tahu mengenai Tok Aji saya yang dikenali Tok Aji Mat Kampar itu. Tentulah orang tua itu bukannya musuh.

“Saya bukannya musuh…” katanya seolah-olah mengerti apa yang saya fikirkan.

“Tapi, datang untuk menolong”
jelasnya.

Dia pun menceritakan mengenai Angut Lumpuh yang mengganggu itu. Katanya Angut Lumpuh itu seorang wanita yang pernah dimadukan oleh suaminya. Dia tinggal berhampiran dengan parit berkenaan. Kisah ini berlaku bertahun- tahun dulu sebelum kampung itu terbuka seperti sekarang.

Nama sebenar Angut Lumpuh ini ialah Mak Pilin, manakala suaminya Pak Bakok telah berkahwin seorang lagi atas alasan Mak Pilin tidak mempunyai anak. Dengan isteri mudanya Pak Bakok mendapat tiga orang anak. Mak Pilin tidaklah marah dengan perbuatan suaminya berkahwin lain, sekalipun pada mulanya dia merasa kecewa juga.
Lagipun dia tidaklah berani mahu melawan Pak Bakok. Kadangkala apabila diherdik Pak Bakok dia tidak berani langsung mahu menjawab.

Satu hari Pak Bakok menyuruh Mak Pilin membasuh seluarnya yang sudah kusam. Seperti biasa Mak Pilin tidak membantah perintah suaminya, maklumlah sejak kebelakangan itu pula Pak Bakok menunjukkan sikap lebih sayang kepada isteri mudanya. Ini disebabkan isterinya yang muda mempunyai anak, sedangkan Mak Pilin bolehlah dianggap perempuan mandul.

Kerja-kerja di rumah lebih banyak dilakukan oleh Mak Pilin. Kadangkala bila isteri Pak Bakok yang muda bernama Siti mahu membantu akan dimarahi pula oleh Pak Bakok. Jadi, terpaksalah Mak Pilin membuat kerja- kerja seperti membasuh, memasak, mencari kayu api dan sebagainya.

Sementara Siti hanya menjaga anak- anak saja. Mereka tinggal serumah. Siti sangat menghormati Mak Pilin, sementara Mak Pilin juga menganggap Siti sebagai adiknya. Dia melayan anak- anak Siti sama seperti anaknya juga. Sayangnya sikap baik Mak Pilin ini disalah anggap oleh Pak Bakok. Dia memikirkan sikap baik Mak Pilin itu ada udang di sebalik batu. Tentu Mak Pilin akhirnya akan menganiaya Siti anak-beranak melalui sikap lemah lembut itu.

Memang ada niat Pak Bakok mahu membuat rumah berasingan, tetapi mestilah membawa Siti anak-beranak berpindah kerana rumah yang didudukinya itu adalah harta peninggalan ayah Mak Pilin. Untuk membina rumah lain tentulah memakan belanja yang besar. Oleh itu terpaksalah Pak Bakok mendiamkan diri terlebih dulu dengan menumpang tinggal di rumah pusaka Mak Pilin.

Bermula dari membasuh seluar kusam itulah rumahtangga Pak Bakok menjadi porak peranda. Pak Bakok menjadinberang kerana seluar yang dibasuh itu tidak bersih. Seolah-olah retak menanti belah saja bila didapatinya seluar tersebut tidak putih setelah dibasuh.

“Memang awak betina tak berguna, basuh kain pun tak boleh diharap!” bentak Pak Bakok melemparkan seluar tersebut ke muka Mak Pilin.

“Seluar tu memang kupam. Tak boleh putih lagi dah…” sahut Mak Pilin terharu dengan sikap suaminya.

Selama ini dia tahu Pak Bakok tidak pernah bersikap demikian. Hanya setelah mendapat anak dari Siti barulah sikapnya berubah terhadap Mak Pilin.

“Awak jangan menjawab cakap aku!” gerutu Pak Bakok.

“Aku cakap yang benar” balas Mak Pilin tidak puas hati dengan tindakan suaminya yang kasar.

“Macam mana nak putih kalau seluar tu kusam” ujarnya mempertahankan diri.

Memang seluar kupam itu tidak boleh putih walau macam mana dicuci pun. Tetapi Pak Bakok sengaja mahu mencari salah dia. Seolah-olah apa saja kerjanya semua tidak memuaskan hati Pak Bakok

Siti cuba masuk campur, tetapi
diherdik oleh Pak Bakok. Dia tidak mahu Siti membela Mak Pilin.

Padanya Mak Pilin memang tidak boleh diharap lagi. Membasuh kain baju pun sudah tidak cuci. Masak nasi sudah tidak menyelerakan. Semua yang dibuat oleh Mak Pilin tidak kena lagi pada dia.

“Bukan Kak Pilin yang basuh tu, aku yang basuh…” Siti cuba mempertahankan Mak Pilin.

“Seluar tu dah kupam, macam mana nak putih lagi. Sental macam mana pun tak hilang kupamnya” kata Siti dengan harapan kemarahan Pak Bakok boleh reda.

Rupa-rupanya dengan kata-kata Siti itu membuat Pak Bakok semakin berang. Matanya terjengil memerhati Mak Pilin.

“Oh, selama ni di belakang aku, kau hambakan Siti ye?” dia terus menyepak paha Mak Pilin.

“Kau suruh Siti membasuh, memasak, mencari kayu api. Kau duduk goyang kaki aje di rumah!” bentaknya
menggertap bibir.

“Tak pernah aku buat macam tu…” sahut Mak Pilin terkejut juga dia dengan tindakan Pak Bakok menyepak dia.

“Habis, kenapa Siti mengaku dia
membasuh seluar aku tu?” Pak Bakok terus menampar pipi Mak Pilin.

Cepat-cepat Siti memeluk Pak Bakok. Dia juga tidak menyangka Pak Bakok bertindak demikian jauh.

“Awak dah gila ke buat Kak Pilin
macam tu, awak dah gila!” Siti
menangis teresak-esak menahan sebak di dada.

Pak Bakok tidak peduli rayuan Siti. Dia terus melepaskan geramnya kepada Mak Pilin. Benci sangat dia pada Mak Pilin, setelah mendapati wanita itu seolah-olah menjadi beban saja kepadanya.

“Aku mau kau basuh seluar tu sampai putih, kalau tak putih aku bunuh kau!” kata Pak Bakok terus meninggalkan Mak Pilin dengan Siti di situ.

Apabila Mak Pilin mahu bangun tiba- tiba dirasakan kakinya sudah tidak boleh digunakan lagi. Dia tersepuk duduk tidak boleh berjalan. Terkejut juga Siti melihat kejadian yang menimpa Mak Pilin. Mungkin tendangan Pak Bakok terlalu kuat menyebabkan paha Mak Pilin patah.

Malamnya setelah Pak Bakok balik ke rumah, Siti memberitahu kejadian yang menimpa Mak Pilin. Tetapi Pak Bakok tidak memperlihatkan rasa kasihan dengan apa yang berlaku ke atas diri Mak Pilin. Dia juga tidak berusaha untuk mengubat kaki Mak Pilin. Sejak itulah Mak Pilin menjadi lumpuh. Dia berjalan dengan menginsut punggung.

Kerja-kerja di rumah tetap dilakukan seperti biasa. Pak Bakok tidak mahu dia membebankan kerja-kerja rumah pada Siti. Manakala Pak Bakok sehari- harian kerjanya pergi menyabung ayam. Jadi, terserahlah kepada Mak Pilin membuat kerja-kerja membasuh, memasak dan mencari kayu api.
Rupa-rupanya kemarahan Pak Bakok menjadi-jadi disebabkan dia kalah bersabung.

Tapi nasibnya baik, apabila seluar kupam yang telah dibasuh oleh Mak Pilin itu dipakainya dia sentiasa menang bersabung ayam. Dia terlalu sayang dengan seluar tersebut, walaupun kelihatan kusam.

Siti tidak berani lagi masuk campur sekiranya Pak Bakok memarahi Mak Pilin. Dia tidak mahu berlaku lagi apabila dengan pengakuannya membasuh seluar itu telah menyebabkan Pak Bakok bertambah marah, padahal tujuannya adalah untuk menyelamatkan Mak Pilin.
Setelah beberapa lama Mak Pilin menjadi lumpuh, satu hari sampailah masanya Siti pun meninggal dunia.

Sedih juga hati Mak Pilin kerana Siti yang baik hati meninggal dunia. Anak- anak Siti yang ditinggalkan juga belumlah dewasa lagi.

Pak Bakok pula tidak lama selepas kematian Siti, dia bernikah lagi dengan seorang janda. Sejak berkahwin dengan janda itu Pak Bakok mengikut apa saja perintah isterinya. Sampaikan anaknya dengan Siti pun terbiar.

Terpaksalah Mak Pilin mengambil berat akan nasib anak-anak Siti.
Setiap hari dia terpaksa membasuh kain yang bertimbun-timbun. Janda itu bernama Encom kadangkala bertindak lebih garang dari Pak Bakok sendiri terhadap Mak Pilin.

Di parit anak sungai itulah Mak Pilin membasuh kain. Dia menginsut punggung untuk membasuh kain.

Kadangkala anak-anak Siti tiga orang yang berumur 5, 3 dan 2 tahun itulah menemankan dia ke parit berkenaan.
Kebetulan satu pagi dia ke parit itu bersama-sama anak Siti tiga orang untuk membasuh kain. Encom menyuruh budak-budak itu membantu Mak Pilin membasuh.

Ketika sedang membasuh itu sehelai kain kesayangan Encom telah dihanyutkan air. Apabila menyedari kain itu hanyut anak Siti yang berumur 5 tahun bernama Minah terus menghilir air untuk mencari kain tersebut. Dia telah pergi bersama dua orang lagi adiknya.

“Biar aku cari ke hilir Mak Tua…” kata Minah meminta izin untuk pergi mencarinya.

“Tak payahlah…” Mak Pilin berkeras tidak membenarkan.

“Biar Mak Tua saja mencarinya. Kau semua tunggu di sini” ujarnya hiba.

“Mak Tua susah nak berjalan, biarlah aku cari” Minah ketakutan akibat kain tersebut hanyut tidak mereka sedari.

“Nanti Mak Encom marah, kalau kain tu hilang” dia tetap mahu mencari kain yang hanyut itu.

Mahu tidak mahu Mak Pilin terpaksa juga membenarkan Minah bersama adik-adiknya menghilir sungai mencari kain yang hanyut itu.

Setelah matahari tegak di kepala dia menunggu, Minah tidak juga balik. Dia mulai bimbang kerana Minah tidak balik semula ke situ. Tentulah suaminya menjadi berang kalau Minah tiga beradik tidak balik, sementara Encom pula akan merampus bila didapati kain kesayangannya hanyut tidak ditemui. Terpaksalah Mak Pilin menginsut punggung menghilir sungai untuk mencari Minah tiga beradik.

Perkara kain Encom hilang tidak menjadi soal lagi kepadanya. Dia mesti mencari Minah sampai dapat. Semasa menghilir sungai ini, Minah bersama tiga orang adiknya sudah pun menemui kain yang hanyut itu tersangkut pada rumpun aur. Tetapi apabila mudik semula ke hulu, dia tidak mengikut jalan sungai itu, sebaliknya naik ikut jalan darat supaya cepat sampai semula. Bimbang juga dia kalau-kalau Mak Pilin terlalu lama menunggu.

Apabila dia sampai ke tempat Mak Pilin membasuh didapati oleh Minah kain baju sudah siap berbasuh, tetapi Mak Pilin tidak ada. Puas dia menunggu Mak Pilin tidak juga muncul, Minah juga mengajak adik- adiknya balik untuk memberitahu perkara itu kepada ayahnya.

Sejak itulah Mak Pilin tidak lagi balik- balik ke rumah. Pak Bakok pula cuba juga menghilir parit tersebut untuk mencarinya, tetapi tidak bertemu kesannya.

Akhirnya dengan hasutan Encom, dia pun melupakan saja ke mana hilangnya Mak Pilin. Dengan kehilangan Mak Pilin itu terpaksalah Minah yang baru berumur lima tahun itu mengambil alih tugasnya membasuh, memasak dan mencari kayu api. Encom hanya memerintah saja, sementara Pak Bakok tidak berani membantah perbuatan Encom.

Satu hari semasa Minah membasuh di tempat yang selalu digunakan menjadi pengkanlan, dia ternampak Mak Pilin menginsut punggung mudik. Cepat- cepat dia berkejar mendapatkan Mak Pilin.

“Ke mana Mak Tua selama ni?” Minah menangis teresak-esak.

“Janganlah Minah menangis…” pujuk Mak Pilin.

“Jagalah adik-adikmu baik-baik. Kau tak ada emak, tak ada Mak Tua lagi” dia mengusap-ngusap rambut anak kecil itu.

“Marilah kita balik Mak Tua” Minah mengajaknya.

“Mak Tua tak boleh balik lagi” beritahu dia kepada Minah.

“Mak Tua dah tak sama lagi dengan Minah” ujarnya memujuk anak kecil itu.

Walaupun Minah masih kecil, tetapi pada Minahlah dia menceritakan apa yang telah terjadi. Semasa dia
menghilir mencari Minah tiga beradik dia sudah berjalan terlalu jauh, sambil menginsut-insut punggung itu dia meraba-raba juga di tepi parit kalau kain kepunyaan Encom tersangkut di situ.

Hinggalah sampai ke satu pondok di tepi sungai di hilir yang tidak tahu di mana, seorang lelaki tua menunggu Mak Pilin di situ. Lelaki tua itu berjanji boleh mengubati kaki Mak Pilin yang lumpuh dengan syarat mesti bernikah dengannya. Mak Pilin memberitahu tentang suaminya Pak Bakok, oleh itu adalah mustahil untuk berkahwin lain.

Tetapi lelaki tua itu memberitahu bahwa kain Encom ada di tangannya.
Dia akan memulangkan dengan syarat Mak Pilin mesti menjadi isterinya. Dia tertarik hati pada Mak Pilin kerana hatinya terlalu jujur kepada suami.

Sebab itulah dia mahu sangat menikahi Mak Pilin, walaupun perempuan itu sudah tua.
Disebabkan takut dimarahi Pak Bakok, di samping kain Encom yang hilang itu pada lelaki berkenaan, maka Mak Pilin terpaksa menerima syarat tersebut.

Bagaimanapun dia tidak dibenarkan balik semula pada Pak Bakok. Dengan janji itulah kain berkenaan ditemui semula oleh Minah, yang terlebih dahulu menghilir mencarinya sebelum Mak Pilin menghilir.
Memang Mak Pilin memerhatikan kain tersebut diserahkan oleh lelaki tua itu kepada Minah yang pada sangkaan Minah dia menemui kain tersebut tersangkut pada ranting aur.

Sebenarnya Mak Pilin sudah dinikahi oleh puaka sungai berkenaan yang sekian lama telah memerhatikan keadaan kehidupan Mak Pilin suami isteri.

“Kalau Mak Tua mudik ke hulu itu tandanya Mak Tua nak makan” dia memberitahu Minah.

“Kalau Mak Tua menghilir, Mak Tua nak main-main aje” itulah pesan Mak Pilin pada anak tirinya.

Sebelum pergi Mak Pilin mengingatkan Minah supaya tidak terkejut kalau ditegur oleh Mak Pilin. Kalau Minah terkejut tidak dapatlah Mak Pilin mengetahui akan siapakah Minah sebenarnya, kerana dia sendiri memang tidak ada keturunan. Hanya Minah dianggapnya sebagai keturunan dia.

“Mak Tua tak akan mengganggu
Minah” jelasnya.

Sejak itu hilanglah Mak Pilin dari pandangan Minah. Sebagaimana sumpahnya apabila dia mudik parit berkenaan, maka adalah mangsanya. Sebaliknya kalau ada yang menghilir, maka mangsanya akan lumpuh.
Demikianlah kisah Angut Lumpuh yang diceritakan oleh Tok Sheikh.

“Sayalah keturunan dari Minah itu…” beritahu orang tua berserban yang memimpin Zuki.

“Jadi, Tok Sheikh pun tak suka dengan perbuatan Angut Lumpuh?” saya menduga.

“Iya…” dia mengangguk lemah.

“Tapi, saya tak boleh menghalangnya. Cuma saya akan selamatkan mangsanya, itu saja” jelas dia tenang.

“Mengapa pula?” soal saya.

“Sebab dia tidak menjadikan anak cucu Minah sebagai mangsanya” ujar orang tua berjubah dan berserban putih itu.

“Mana dia nak tau anak cucu Minah?” saya mendesak lagi.

“Kalau tidak terkejut bila ternampakb dia, itulah tandanya anak cucu Minah” beritahunya tersenyum mengerling ke arah saya.

“Bolehkah saya bertemu dengan Angut Lumpuh?” saya memberanikan hati bertanya kepada Tok Sheikh itu.

“Memang anak seorang yang berani..! kata Tok Sheikh itu tidak menjawab pertanyaan saya.

Dia pun menyerahkan Zuki kepada saya lantas menghilangkan diri. Heran juga saya mengapa dia tidak mahu menjawab pertanyaan saya untuk bertemu dengan Angut Lumpuh atau Mak Pilin yang sudah diperdayakan oleh syaitan itu.

Bagaimanapun saya tidaklah
mengesyaki yang Mak Pilin itu bertemu dengan puaka sungai seperti yang diceritakan oleh Tok Sheikh.
Kemungkinannya ialah dia mati lemas semasa menghilir parit itu. Sebenarnya Mak Pilin itu sendiri yang bertukar menjadi puaka di situ di sungai tersebut.

Ketika saya mahu membawa Zuki balik, saya ternampak seorang nenek tua lumpuh menginsut punggung mudik ke hulu. Matanya merah menyala seperti api. Mukanya kelihatan garang seolah- olah menyimpan dendam. Kelihatan dia terlalu payah mahu menginsut punggungnya. Saat inilah Tok Sheikh yang menghilang tadi muncul di hadapan saya. Dia memegang tongkat rotan beruas songsang itu di tangannya.

“Angut jangan ganggu Zuki ni!” kata Tok Sheikh perlahan.

“Dah masuk ke tangan, takkan nak lepaskan” suaranya bergetar seperti menyimpan dendam.

“Tak usahlah Angut, dah banyak sangat mangsa Angut” Tok Sheikh mengeraskan suara.

“Kau jangan masuk campur!” jerkah Angut Lumpuh.

“Saya kata jangan, janganlah Angut…”
Tok Sheikh memberi amaran.

“Kalau Angut berkeras, saya juga akan berkeras” tegasnya lalu menghentakkan tongkat rotan beruas songsang itu ke tanah.

Terjerit Angut Lumpuh menekup dadanya dengan tangan.

Kemudian dia melompat bertukar menjadi asap berkepul mahu menerkam ke arah Tok Sheikh. Tetapi Tok Sheikh tidak melepaskan tongkatnya yang tercancang di tanah. Asap berkepul itu tidak dapat menerpa. Dia berlegar-legar mahu menerkam.

Bagaimanapun dia tidak dapat
merapati Tok Sheikh kerana tongkat itu tetap tercancang di situ. Sekali sekala suara jerit Angut Lumpuh bergema juga menahan kesakitan.

Melihatkan keadaan tersebut saya pun mengambil kesempatan lalu membacakan lanarjumannakum,
menyebabkan panahan api datang menerjah beratus-ratus.
Angut Lumpuh terpekik-pekik menepis panahan api yang menerjah ke arahnya.

“Saya dah cakap, Angut jangan
mengganggu lagi…!” seru Tok Sheikh melihat asap berkepul-kepul itu jatuhbsemula ke dalam parit.

Terkial-kial Angut Lumpuh menginsut punggung.

“Angut tidak akan diganggu, kalau Angut tidak mengganggu orang” jelas Tok Sheikh mengingatkan.

Angut Lumpuh mengerang-ngerang kesakitan. Dia masih tidak berputus asa mahu menerkam balik. Tetapi tongkat rotan beruas songsang yang tercancang di tanah itu membuatkan dia menekan-nekan dadanya. Tongkat tersebut seolah-olah menusuk ke dadanya.

Lama dia terkial-kial menekup dadanyanbarulah dia menghilir semula dengan hampa. Selepas dia menghilang, Tok Sheikh berpaling ke arah saya,

“Bawalah budak ni balik. Insya Allah semuanya akan selamat…” beritahu Tok Sheikh itu kemudian pergi dengan tidak meninggalkan apa-apa pesan.

Beberapa kali Pak Cu Jabat menepuk bahu saya, barulah saya membuka mata. Dia memicit tengkuk saya, sambil menghembus ubun-ubun saya. Betul-betul saya keletihan.

“Berani sangat ustaz berjalan jauh…” bisiknya ke telinga saya.

Baru saya sedari bahawa Pak Cu Jabat memang tahu saya sudah terlalu jauh melepasi had yang sepatutnya.

Saya menceritakan pengalaman saya kepada Pak Cu Jabat selepas itu. Kata Pak Cu Jabat bahawa Tok Sheikh yang saya temui itu memang tok akinya yang telah meninggal dunia berpuluh tahun dulu. Akinya memang seorang ulama yang pernah belajar agama di Sumatera. Dari Pak Cu Jabat juga saya mendapat tahu dia memang keturunan Minah anak tiri Angut Lumpuh itu.

Selepas Zuki pulih semula dia juga menceritakan dirinya telah dikurung di satu pondok buruk. Tidak lama kemudian datang Tok Sheikh itu membawa dia keluar dari pondok berkenaan. Angut Lumpuh cuba merampasnya dari Tok Sheikh, tetapi Tok Sheikh terus membawa dia lari.

“Saya fikir elok juga carikan saya rotan beruas songsang” saya memberitahu Pak Cu Jabat.

Pak Cu Jabat tersenyum. “Itulah pun musuh dia…” katanya.

Dia tidak menceritakan lebih lanjut mengenai rotan beruas songsang itu.
Tetapi saya memang sudah
mengagaknya, kerana Tok Sheikh itu saya lihat memegang tongkat dari rotan beruas songsang.

Leave a comment

Filed under Cerita, Doa, Ibadah, Ilmu, Perawatan, Renungan, Tok Awang Ngah

Bercakap dengan jin ~ 74 ~ Perempuan cantik koyak kain

Datuk terus mengangkat kaki kiri. Dengan tangan kiri, dia terus menepuk tapak kaki lima kali berturut-turut. Kucing hitam terus mengiau sekuat hati sambil berdiri di kaki. Mulutnya terbuka luas. Mata merah bagaikan.seketul bara api dari kayu bakau.

Perlahan-lahan datuk menjatuhkan kaki kirinya sambil menahan nafas. Bila dia menghembuskan nafas, tangan kiri terus diluruskan. Sebaik sahaja tapak kaki kiri bertemu dengan batu jalan. Kucing hitam terus menjerit serta melompat separas kepala saya. Kucing hitam terus ghaib.

Sekujur tubuh saya dibasahi peluh. Panas bagaikan menyengat menggigit kulit muka. Mulut Tajuddin dan Maniam terlopong. Muka mereka bertambah pucat. Datuk menatap muka Maniam dan Tajuddin. Deru kenderaan yang lalu di dada jalan raya menyumbat lubang telinga.
Debu-debu dan kenderaan yang
bergerak dalam suasana panas amat membosankan. Beberapa orang anggota polis yang bertugas di balai merenung ke arah kami. Ganjil bagi mereka melihat kami bercakap dalam panas yang amat membahang.

“Ular, ularr..” suara itu datang dari arah pasar.

Perhatian terus ditumpukan ke arah pasar. Suasana di situ kelihatan kelam- kabut, penjual dan pembeli bertempiaran keluar dari pasar. Mereka berlari tidak tentu arah. Jerit mereka sambung-menyambung.
Dua orang penjual ikan dengan pisau pemotong ikan di tangan, melintasi jalan raya. Sebuah kereta terpaksa melakukan brek kecemasan. Sebuah lori membawa durian yang berada dalam jarak dekat dengan kereta itu, tidak dapat melakukan brek
kecemasan.

Akibatnya, lori itu terus menyondol punggung kereta. Pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami kecederaan. Begitu juga dengan pemandu dan kelindan lori yang membawa durian. Suasana menjadi bertambah kacau. Cerita ularnmuncul dalam pasar terus merebak dengan cepatnya.

Penjual ikan yang selamat dari
dilanggar kereta kecil terus masuk ke kawasan depan balai polis. Datuk segera menangkap tangannya. Datuk merampas pisau pemotong ikan darinya. Manakala yang seorang lagi terus lari ke arah belakang pekan tidak muncul-muncul lagi.

Mungkin penjual ikan bangsa Cina itu pulang ke rumahnya, fikir saya. Bila saya menoleh ke arah Maniam dan Tajuddin saya dapati mereka sudah pun meninggalkan saya. Mereka lari masuk ke balai polis. Beberapa orang anggota polis segera pergi ke tempat kejadian. Mereka mengawal keadaan supaya perjalanan kenderaan di jalan raya berjalan dengan lancar. Beberapa orang anggota polis yang tidak bertugas segera mencari kayu dan buluh untuk pergi ke pasar.

“Jangan,” kata datuk pada anggota polis itu.

Mereka patuh dengan cakap datuk. Sarjan 1000 segera mendapatkan datuk. Mereka bercakap-cakap sebentar. Sarjan 1000 segera meyuruh anggota- anggota polis yang membawa kayu dan buluh pulang ke balai.

“Macam mana rupanya ular tu?” tanya datuk pada penjual ikan yang berasal dari Kedah.
image

“Hitam besar, sebesar pinang dara, menjilat darah ikan lantai pasar.”

“Kamu tahu dari mana dia datang?”

“Tak tahu, yang saya ingat sebelum tu ada seorang lelaki tua, bau badannya busuk masuk pasar.”

“Apa yang dicarinya?”

“Dia berjalan dalam pasar, bila saya kata ada bau busuk lelaki itu hilang, lima minit kemudian tempat lelaki itu hilang, muncul ular besar, lidahnya menjilat bangkai ikan dan darah.”

“Hummmmmmmmmm…,” datuk mengeluh pendek.

Sarjan 1000 yang mendengar perbualan antara datuk dengan penjual ikan itu menggigit bibir. Dahinya terus dikedutkan. Sementara itu kereta dan lori yang berlanggar segera diubahkan ke tepi jalan.

“Mari kita pergi tengok,” datuk menarik tangan penjual ikan.

“Minta maaf,” penjual ikan itu
menolak.

“Tak apalah kalau kamu tak mahu.”

“Saya takut.”

“Tak apa, kamu pergi ke balai,”

Sebaik sahaja selesai datuk bercakap, penjual ikan itu terus menuju ke balai polis. Datuk terus bercakap dengan Sarjan 1000. Datuk tidak dapat menerima cadangan dan Sarjan 1000 untuk menembak ular tersebut.

“Kalau tidak dibunuh, ular tu boleh mengancam keselamatan orang ramai,” kata Sarjan 1000.

“Saya tahu Sarjan, kita cari jalan lain.”

“Apa caranya?”

“Begini saja, kita tunggu di sini, awak suruh orang yang ada dua tiga orang tepi jalan ni pulang, jangan suruh mereka tunggu di situ.”

“Baik.”

Sarjan segera menyuruh orang-orang itu pulang. Keadaan kembali tenang. Beberapa orang suri rumah yang masuk ke pasar disuruh pulang. Keadaan dalam pasar sunyi sepi. Panas tengah hari kian mencengkam, batu di jalan kelihatan seperti ada air.

“Sekarang awak berdiri di belakang saya dalam jarak sepuluh kaki, Tamar pula berdiri di belakang awak dalam jarak yang sama,” datuk mengeluarkan perintah pada saya dan Sarjan 1000.

Perintah itu segera kami patuhi.
Kenderaan kian berkurangan melalui jalan raya di depan pasar.
Datuk terus memeluk tubuh sambil merenung ke arah pasar. Saya lihat sebuah teksi berhenti mengejut di jalan raya. Di depan teksi tersebut kelihatan seekor ular hitam sebesar batang pinang dara, berwarna hitam melintasi jalan raya dalam panas tengah hari yang membahang.
Bila teksi itu bergerak semula, ular hitam sebesar batang pinang dara sudah pun berada di depan datuk. Ular itu mengelilingi datuk. Dalam sinar matahari yang keras itu, saya lihat mulut itu mengeluarkan asap nipis.

Datuk angkat kaki kanan, melangkah tiga tapak ke depan. Datuk membuka tangan yang memeluk tubuh dan undur tiga tapak ke belakang akhirnya datuk membuka silat. Serentak dengan itu terdengar satu ledakan yang kuat macam suara petir. Dari sebelah kanan datuk memancar cahaya kilat yang memanjang menuju ke arah pucuk kelapa. Suara ledakan di tengah bandar itu didengar oleh para penduduk beberapa buah kampung sekitar pekan kecil tersebut. Bila ledakan itu berakhir, ular hitam sebesar pinang dara itu terus ghaib. Saya lihat tubuh datuk dibasahi peluh.

Nafasnya tercungap-cungap. Rumput hijau yang berada tidak jauh dari datuk nampak hangus. Manakala batu jalan menuju ke balai polis, tempat ular hitam sebesar pinang dara itu bergerak, kelihatan merkah.
Datuk meletakkan hujung jari
telunjuknya di hujung dahi. Dari
hujung dahi, dia menjatuhkan jarinya perlahan-lahan hingga ke pangkal dagu. Peluh yang disapu oleh jari telunjuk berjatuhan atas dada.

“Masih belum selesai lagi,” rungut datuk. Sarjan 1000 menarik nafas panjang sambil merenung muka saya dengan seribu macam persoalan.

“Sekarang orang yang berniaga
bolehlah pulang ke tempat berniaga,” datuk beritahu Sarjan 1000.

Dan Sarjan 1000 segera menghebahkan perkara itu pada orang-orang yang berada di situ. Sepuluh minit kemudian, pasar ikan dan sayur berdenyut kembali dengan manusia. Mereka seolah-olah lupa dengan apa yang berlaku.

Beberapa orang kampung yang
berdekatan, datang ke balai polis. Mereka mahu mengetahui punca ledakan yang mereka dengar. Mereka kecewa, tidak seorang pun anggota polis di balai tersebut dapat memberi penjelasan dengan terperinci.

“Tidak ada sesuatu yang ganjil dan saya sendiri tidak dapat
menerangkannya, kalau awak mahu tahu tanyalah pada penjual ikan dan sayur di market,”

Itulah jawapan yang datuk berikan pada salah seorang lelaki yang bertanya padanya berhubung dengan perkara aneh itu. Orang yang bertanya menggigit bibir lain meninggalkan datuk.

Kerana waktu Zuhur sudah tiba, saya dan datuk menuju ke masjid. Setelah menunaikan fardu Zuhur serta berwirid pendek, kami pun meninggalkan masjid yang letaknya tidak berapa jauh dari Sungai Perak.
Sebabnya saya beranggapan demikian, kerana pakaian lelaki itu bertampung di sana, bertampung di sini, tidak jauh darinya terdapat tongkat dan tempurung.

Datuk berhenti melangkah. Dia terus menyeluk saku bajunya. Bersedia untuk mencampakkan seringgit dua ke dalam tempurung peminta sedekah. Saya sudah masak benar dengan perangai datuk. Terlalu murah hati dengan peminta sedekah, sanggup berlapar asalkan peminta sedekah diberi wang.

“Berikan padanya” datuk hulurkan wang kertas lima ringgit pada saya.

“Banyak sangat ni tuk.”

“Berikan saja, jangan banyak cakap,” datuk membeliakkan biji mata.

Saya terkejut dan terus melangkah mendapatkan peminta sedekah.
Bila saya berdiri di depan peminta sedekah, bulu tengkuk saya terus berdiri. Perasaan saya terus berdebar, macam ada sesuatu yang kurang menyenangkan. Saya rasa sepasang mata lelaki itu begitu tajam menyorot tiap langkah saya. Badan saya terus menggeletar.

“Apa lagi yang kau tunggu Tamar?” jerit datuk.

“Saya takut tuk”

“Apa yang kamu takutkan, bukankah dia makhluk macam kamu juga.”

“Saya tak mahu tuk,” saya segera berpatah balik ke arah datuk yang berdiri tidak jauh dan saya.

Tidak saya duga, perbuatan saya itu menimbulkan rasa marah pada datuk.

Dia segera mengheret saya ke arah peminta sedekah di bawah pokok. Sebaik sahaja saya dan datuk berdiri di depan peminta sedekah tersebut, tanpa diduga peminta sedekah itu segera bangun. Dia melemparkan tempurung dan tongkatnya arah utara. Perbuatannya itu memang aneh sekali. Saya dan datuk merenung ke arah kawasan dia melemparkan tongkat dan tempurung. Bila kami merenung kembali ke arahnya. Peminta sedekah itu, sudah tiada lagi di situ. Saya dan datuk terhidu bau busuk yang amat kuat.

“Sudahlah, kita dipedaya lagi.”

“Siapa yang mempedayakan kita tuk?”

“Nantilah, aku terangkan kemudian.”

“Saya boleh agak orangnya tuk.”

“Sudahlah, jangan nak merepek.”

Nada suara datuk yang keras itu,
membunuh hasrat saya untuk
menunjukkan sebarang pertanyaan. Tetapi, otak saya segera memikirkan tentang Kamal. Semua gerak-gerinya timbul dalam kepala. Dua tiga kali, saya menggosok kelopak mata, saya bagaikan terpandang-pandang tubuh Kamal dan kakinya yang tokak wujud di depan saya.

“Berusaha melupakannya, bila kau ingat atau terkenangkan dirinya, dia datang dekat kamu,” kata-kata datuk itu membuat seluruh bulu roma saya tegak berdiri.

Saya tidak berjaya melupakannya, makin kuat saya mahu melupakannya, makin kuat pula ingatan itu berlegar- legar dalam kepala.
Datuk segera mengeluarkan sapu tangan. Muka saya digosoknya dengan saputangan dua warna iaitu hitam dan kuning, bentuknya tiga segi. Dua kali muka saya digosok dengan saputangan. Kepala saya terasa
berdesing sebentar kemudian terasa cukup lapang. Bayang Kamal terus hilang.
Saya dan datuk singgah di kedai
makan, tidak jauh dari tebing sungai. Saya minta nasi dan gulai tempoyak ikan baung. Datuk hanya meminta segelas air sejuk. Sebelum, air itu diteguk datuk membaca sesuatu.

Sementara menanti saya selesai
makan, datuk terus termenung.
Sesekali dia menggaru batang lehernya. Dua orang lelaki yang duduk tidak jauh dan meja kami, bercerita dengan rancaknya tentang buaya putih yang dilihat o1eh beberapa penduduk di kampung seberang.

Menurut cerita kedua lelaki itu, buaya putih tersebut muncul di tengah sungai waktu bulan mengambang penuh.
Buaya itu mengekor sampan yang digalah oleh orang-orang yang pulang malam dari pekan Parit. Setakat ini belum ada orang yang diganggu oleh buaya putih itu. Buaya itu sekadar memperlihatkan dirinya sahaja. Bila ada orang memaki hamunnya, buaya putih akan membuka mulutnya luas- luas sambil ekornya memukul air sungai.

“Buaya putih tu, buaya keramat, malam esok orang-orang kampung aku akan mengadakan jamuan untuk buaya putih,” saya menjeling ke arah lelaki yang bercakap itu.

Orangnya berbadan kurus, ada misai nipis melintang di bibir. Di dagunya tergantung sejemput janggut. Saya menyebut janggut jenis itu sebagai janggut kambing.

“Buaya putih itu berasal dan manusia, kalau tak dibuat jamuan atau semahan akan mendatangkan bala pada kita,” sambung lelaki itu.

Kawannya yang tertonggok di depan anggukkan kepala. Datuk segera mencuit bahu saya. Dia suruh saya makan cepat. Datuk tidak begitu minat mendengar perbualan kedua orang lelaki itu. Dari cara kedua lelaki itu bercakap (dengan nada suara yang keras), seolah-olah mahu menarik perhatian pelanggan-pelanggan lain yang berada dalam kedai makan. Saya tidak tahu tujuan sebenar kedua-dua orang lelaki itu.

“Bangun,” kata datuk. Saya anggukkan kepala dan terus bangun.

Saya terus menuju ke meja penerima wang. Saya jelaskan bayaran makan dan minuman yang dipesan. Kami tinggalkan kedai makan.

“Memuja dan membuat jamuan tu kerja khurafat, mana ada buaya keramat,” bisik datuk pada saya.

“Habis buaya itu, buaya apa tuk.”

“Boleh jadi memang ada buaya putih, boleh jadi itu kerja syaitan.”

“Sudahlah, jangan tanya perkara
macam tu pada aku Tamar.”

Kerana patuh dengan permintaannya, saya tidak mengajukan sebarang pertanyaan pada datuk. Kami menuju ke arah stesen minyak. Dan situ kami bergerak menuju ke kedai menjual kain baju. Berdiri di situ menanti bas. Hampir sepuluh minit berdiri bas yang ditunggu tidak juga datang.

“Kita cari teksi Tamar,” kata datuk.

“Elok juga tu, kalau tak dapat teksi betul, kita baik teksi sapu tuk.”

“Mana-mana pun boleh.”

Saya dan datuk menuju ke tempat teksi. Nasib kami cukup baik. Malik Cina (kawan datuk) yang membawa teksi sapu bersedia untuk menghantar saya dan datuk pulang dengan percuma.

Pada mulanya, datuk enggan menerima tawaran itu tetapi setelah dipujuk beberapa kali oleh Malik Cina datuk menerimanya. Datuk memberitahu saya, sebab kawannya itu dipanggil Malik Cina kerana wajahnya mirip orang Cina serta boleh bercakap bahasa Cina dengan lancar sekali.

“Ini cucu awak,” tanya Malik Cina pada datuk.

“Ya,” datuk anggukkan kepala. Malik Cina senyum lalu mempersilakan saya dan datuk masuk ke keretanya.

“Setahu aku, kamu dulu pindah ke Kelantan, habis macam mana kamu boleh bawa teksi di sini.”

“Betul, itu dulu, malah aku sudah mengambil keputusan nak menetap di Kubang Kerian,” Malik Cina meraba batang lehernya.

“Habis kenapa balik ke sini?”

“Bila anak perempuan sulung aku kahwin, nasib buruk menimpa keluarga kami.”

“Nasib buruk macam mana? Rumah kamu terbakar, harta benda kamu dirampas orang atau kamu dapat menantu orang jahat.”

“Bukan itu,” jawab Malik Cina pendek.

Saya lihat muka Malik Cina gusar. Sesekali dia menarik nafas panjang sambil memandu kereta dengan tenang. Datuk menggigit bibir sambil merenung ke arah pepohon yang tumbuh subur di kaki kiri kanan jalan. Kereta yang dipandu oleh Malik Cina melalui liku jalan yang tajam.
Angin terasa memukul wajah saya. Rambut saya mengerbang tidak tentu arah. Terpaksa disikat dengan rapi tetapi, rambut yang disikat itu mampu bertahan untuk beberapa minit sahaja.

“Menantu kamu tu orang mana?” tanya datuk.

“Orang Mersing, sama-sama kerja satu pejabat dengan anak perempuan aku.”

“Apa kerjanya?”

“Kedua-duanya kerja di Jabatan Parit dan Taliair,” Malik Cina menjeling datuk dengan ekor mata.

Datuk mengkepal-kepal kedua belah tangannya. Sesekali meraba hujung mata dengan jari kelingking. Saya sandarkan badan ke kusyen berlagak macam orang kaya. Bergerak ke sana, bergerak ke sini dengan bebas maklumlah duduk seorang diri di belakang.

“Tiga minggu lepas nikah, anak
perempuan aku buat perangai, masuk saja waktu asar, dia terus menjerit dan mengoyak pakaiannya hingga hancur. Dah puas aku bawa jumpa doktor pakar jiwa, sakitnya tak juga berubah.”

“Berubat cara kampung kau tak cuba.”

“Sudah, berpuluh pawang dan bomoh yang lari lintang pukang.”

“Kenapa jadi macam tu?”

“Bila dia tengok pawang atau bomoh, sakitnya menjadi jadi kekuatannya macam orang lelaki, tiga orang tak mampu memegangnya, api bara dipijak dan dimakan.” Malik Cina menelan air liur.

“Setelah berfikir panjang, semua tanah dan rumah saya di Kubang Kerian saya jual dan menantu saya pula mengizinkan saya membawa isterinya dengan tujuan nama berubat, dah lima bulan aku menetap di Sungai Siput,” sambung Malik Cina.

“Jauh sungguh kamu cari penumpang sampai ke sini.”

“Pagi tadi, ada orang sewa kereta aku ke Teluk Intan. Dari Teluk Intan, aku dapat penumpang nak ke Parit, supaya jangan pulang kosong aku cari penumpang untuk ke Kuala Kangsar, dari Kuala Kangsar aku cari penumpang untuk ke Sungai Siput, tiba-tiba aku jumpa kamu,” Malik Cina ketawa berdekah-dekah.

“Lepas kamu hantar aku ni, kamu nak cari penumpang lagi?” tanya datuk.

“Tidak, aku nak terus balik,” jawab Malik Cina.

Malik Cina memberhentikan teksi sapunya di tepi jalan. Datuk hulurkan wang sewa teksi sapu. Malik Cina menolak dengan alasan apa yang dilakukan itu sebagai tanda persahabatan. Menurutnya, dia bersyukur kerana dapat berjumpa dengan datuk. Perjumpaan itu tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit.

“Aku cuma nak minta tolong pada kau satu saja,” suara Malik Cina mendatar masuk ke lubang telinga datuk.

“Apa dia Malik?”

“Kalau kau ada kenal bomoh atau pawang handal, sila beritahu aku. Aku nak berikhtiar nak ubat anak aku.”

“Tak usahlah, kau berubatlah ke
hospital.”

“Aku bukan tak percaya dengan doktor tapi, aku dah berusaha ke arah itu, hasilnya kurang berkesan, aku juga tak percaya pada bomoh dan pawang, banyak bomoh dan pawang menipu tapi, aku mencuba,” Malik Cina menelan air liur.

Datuk termenung panjang. Dia renung muka saya sejenak. Angin petang di bawah sinar matahari yang redup terasa menampar-nampar kulit muka saya. Perlahan-lahan saya menarik nafas dalam-dalam.

“Nantilah aku tanya orang-orang
kampung kalau ada yang tahu pawang atau bomoh,” datuk memberikan jawapan.

Cepat-cepat Malik Cina menyambar tangan datuk. Dipegangnya erat-erat. Mukanya kelihatan berseri-seri.

“Aku ingin nak tengok penyakit anak kamu tu Malik?” tambah datuk.

“Bila, kamu nak datang bagi tahu, biar aku ambil kamu.”

“Tak tentu, boleh jadi dalam minggu depan.”

“Macam tu susahlah.”

“Tak susah, kau lukis rajah ke rumah kamu Malik,”

“Ya, tunggu sekejap,” Malik Cina
mengambil sekeping kertas dan pensel dari dalam kereta.

Kemudian Malik Cina melukis rajah jalan ke rumahnya. Setelah siap dilukis kertas itu diserahkan pada datuk. Datuk meneliti rajah yang dibuat oleh Malik Cina dengan teliti. Datuk anggukkan kepala dua tiga kali.

“Aku tahu, tanah dan rumah yang kamu beli tak jauh dari Kampung Bahagia.”

“Betul, tapi kena lalu Kampung Bahagia dulu baru sampai ke rumah aku, pada hal jaraknya dengan jalan raya Kuala Kangsar – Ipoh tak jauh, kerana tak ada jalan pintas semuanya jauh.”

“Tanah siapa yang kamu beli?”

“Tanah Cina, jangan terkejut bila kamu datang ke rumah aku, kamu melihat anak perempuan aku berpakaian tak senonoh, macam orang separuh bogel dan memaki hamun kamu.”

“Itu perkara biasa,” balas datuk.

Datuk mempelawa Malik Cina ke rumah untuk menikmati kopi petang.
Malik Cina menolak dengan alasan dia mahu pulang segera. Lagi sekali datuk dan Malik Cina bersalam-salaman.
Beberapa saat kemudian teksi sapu milik Malik Cina meninggalkan saya dan datuk di bibir jalan.

Sampai di rumah datuk memberitahu saya, umurnya dengan Malik Cina berbeza hampir lapan tahun. Tetapi Malik Cina nampak lebih tua dari datuk. Datuk juga memberitahu saya, Abang Malik dikenali maka Suhaimi Jepun, jadi kawan rapat datuk ketika menuntut ilmu silat.
Tetapi, Suhaimi Jepun mati gantung diri kerana malu isterinya dilarikan oleh orang. Malu dengan peristiwa yang dilakukan oleh abangnya yang bertentangan dengan ajaran agama Islam itu, Malik Cina pindah ke tempat lain. Itulah latar belakang keluarga Malik Cina yang dinyatakan oleh datuk pada saya.

Saya terkejut bila datuk menyatakan dia mahu pergi ke rumah Malik Cina.
Saya termenung panjang, padahal semalam datuk memberitahu Malik Cina dia mahu pergi ke tempat tersebut dalam minggu depan.

“Kenapa mendadak saja tuk nak pergi?”

“Itu soal aku, bukan soal kamu,” tebal rasa kulit muka saya.

“Pukul berapa kita nak pergi tuk.”

“Sekejap lagi, aku mahu sampai ke rumahnya sebelum waktu Asar, kau pergi dulu naik bas,” terkejut lagi saya mendengar kata-kata dari datuk.

Belum pernah datuk menyuruh saya pergi ke sesuatu tempat seorang diri.
Ke mana-mana kami tetap bersama barang kali datuk mahu menguji saya?
Apakah saya mampu pergi ke mana- mana seorang diri. Cabaran ini mesti dijawab. Saya anak jantan bukannya pondan, timbul azam dalam diri saya.

“Datuk pula macam mana?”

“Itu urusan aku, kamu pergi dulu, nanti aku dekat simpang masuk ke Kampung Bahagia.”

“Baiklah tuk,” balas saya.

Datuk memberikan wang tambang. Dia juga memilih pakaian yang perlu dibawa dan memasukkan ke dalam beg sandang. Nenek tidak dapat berbuat apa-apa. Saya terpaksa naik bas sendirian.

Terasa bosan kerana tidak ada kawan untuk dilawan bercakap. Semuanya saya hadapi dengan perasaan yang tenang dan tabah. Saya beruntung dalam perjalanan itu, saya bertemu dengan seorang pemuda yang sebaya dengan saya. Namanya, Zainuddin dan nama bapanya Ismail.

Saya bertemu dengan Zainuddin di perhentian bas Kuala Kangsar. Dia dalam perjalanan ke Ipoh. Dari Ipoh dia akan meneruskan perjalanannya dengan bas ekspres ke Kuala Lumpur.

Dari Kuala Lumpur dia naik has untuk ke Melaka menziarahi ayah saudaranya yang bertugas sebagai tentera di Terendak Kem.
Akhirnya saya sampai juga ke simpangnmasuk ke Kampung Bahagia. Saya tersentak bila melihat datuk sudah ada di situ. Dia menyambut saya dengan wajah yang manis. Dia bertanya pengalaman saya naik bas. Semuanya saya ceritakan. Bila saya bertanya, bagaimana datuk boleh berada di situ.
Apakah dia naik teksi atau bas? Datuk tidak mahu menjawab.

Bila saya tanya berulang kali, datuk jadi marah. Dia jegilkan biji mata ke arah saya. Saya dan datuk terus berjalan kaki melalui kawasan perumahan. Lebih kurang 200 meter mahu sampai ke rumah Malik Cina, kami bertemu dengannya.

“Naik kereta saya, kenapa semalam tak mahu cakap, kalau cakap siang-siang bukankah mudah,” Malik Cina menyatakan rasa kesalnya.

Datuk hanya ketawa sahaja sambil masuk ke kereta (teksi sapu).

“Kamu tak cari penumpang hari ni, Malik?”

“Hari ini cuti, semalam dapat lebih.”

“Ini kerja orang malas namanya.”

“Kerja sendiri.”

“Betul cakap kamu, kerja sendiri tak ada siapa yang marah kalau tak buat,bkalau tak ada beras di rumah pun orang tak marah,” usik datuk dan serentak kami ketawa.

Setelah menunaikan sembahyang Asar, datuk mengajak saya melihat keadaan anak perempuan Malik Cina. Orangnya cantik, berkulit putih, hidung mancung tinggi lampai dengai rambut panjang separas dada. Usianya sekitar dua puluhan. Saya merasa kasihan melihat gadis secantik itu tidur dalam keadaan kakinya dirantai.

Saya dan datuk kembali ke ruang anjung rumah. Datuk mencungkil rahsia dari Malik Cina. Tanpa berselindung-selindung Malik Cina memberitahu, bila perempuan cantik itu terjaga dari tidur dia akan menjerit, untuk memberhentikan dirinya dari menjerit, terpaksa diberi kain. Kain itu akan dikoyaknya hingga hancur.

“Sekarang ni, saya menggantikan kain itu dengan kertas nampaknya dia dapat menerima kertas tu, saya terpaksa menyediakan lima enam kati kertas sehari, kalau tak diadakan, dia akan menjerit sambil mencubit kulit badannya dan membuka pakaian,” sebaik sahaja Malik Cina habis berkata kami terdengar suara perempuan menjerit.

Bulu roma saya terus berdiri.
Malik Cina meninggalkan kami. Dia membuka rantai kaki anak
perempuannya. Isteri Malik Cina segera membawa setimbun kertas dan diletakkan di bawah pokok manggis di belakang rumah. Bila rantai kakinya dibuka perempuan cantik itu segera mendapatkan timbunan kertas.

Dia terus mengoyak kertas sesuka hati, ketika itu kalau dibersihkan makanan atau air minuman, semuanya habis dicampakkan ke mana sahaja mengikut sesuka hatinya.
Jiran-jiran yang berdekatan, segera mengerumuni perempuan cantik itu.
Mereka merasa terhibur melihat
perempuan cantik mengoyak kertas, malah ada yang datang itu membawa kertas dan kain untuk diberikan padanya .

Saya merasa perbuatan jiran-jiran itu sudah keterlaluan, mereka mencari hiburan dari orang yang sedang sakit. Sepatutnya mereka bersimpati dengan penderitaan gadis tersebut.

“Mari Tamar, kita lihat lebih dekat lagi perangainya,” kata datuk.

“Boleh juga tuk,” balas saya.

Kami terus melangkah ke arah pokok manggis. Malik Cina dan isterinya yang ada di situ kelihatan sugul melihat kedatangan kami.
Datuk berhenti di depan gadis cantik. Datuk bertinggung di depannya. Perempuan itu terus mengoyak-ngoyak kertas.

Leave a comment

Filed under Renungan